Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Yana Shamsudin tunggu keputusan


NAMANYA mungkin baru dalam dunia lakonan. Namun tiada siapa yang dapat menyangkal aura yang dibawa gadis ini.

Sementelah namanya juga kian melonjak sebaris dengan pelakon wanita popular lain tanah air.

Memiliki wajah comel dan ilmu lakonan yang mantap, Yana Shamsudin kini bukan calang-calang pelakon apabila sering menjadi dambaan peminat filem Melayu.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini keupayaan pelakon muda itu mula menimbulkan kesangsian apabila bakat lakonannya dikatakan kurang menyerlah.

Isu itu timbul apabila watak dalam filem atau drama lakonannya dikatakan tidak menonjolkan bakat sebenarnya.

Bagi Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 28, dia langsung tidak terkilan dengan tanggapan itu yang baginya hanya pendapat sesetengah pihak.

Menurut Yana, biarpun pengalamannya dalam industri itu sudah menjangkau sembilan tahun, namun dunia lakonannya hanya bermula sejak tiga tahun lalu.

“Umur pengalaman saya di dalam dunia lakonan baru sahaja mencecah tiga tahun. Manakala lagi lima tahun itu saya banyak bekerja di sebalik tabir.

“Untuk itu rasanya masih terlalu jauh untuk saya mengatakan saya sudah puas dengan tahap lakonan saya.

“Sebenarnya 2012, merupakan tahun penting buat saya kerana kebanyakan filem-filem lakonan saya akan muncul pada tahun ini.

“Malah mungkin ia juga bakal menjadi penentu kepada kerjaya lakonan saya,” katanya ketika di temui di majlis pratonton Adnan Sempit 2 di Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.

Mula dikenali sebagai pengarah sebelum bergelar pelakon, Yana mengakui ada kalanya dia berasa sangat rindu untuk kembali mengarah.

Namun kekangan jadual sebagai pelakon memaksanya lebih menumpukan kepada lakonan sahaja.

“Saya memang suka bekerja di belakang tabir. Malah saya sudah melakukannya sejak dari belajar lagi.

“Bagaimanapun saya jenis yang suka kesempurnaan. Oleh itu amat sukar untuk saya menumpukan banyak perkara dalam satu-satu masa. Buat masa ini saya hanya mahu menumpukan perhatian dalam bidang lakonan sahaja,” ujarnya.

Malah Yana juga menegaskan, dia mahu melihat sejauh mana bidang lakonan akan membawa namanya sebelum membuat keputusan sama ada menumpukan perhatian kepada dunia lakonan semata-mata

atau kembali dalam dunia pengarahan.

“Saya masih lagi berada dalam program Skim Pengarah Muda. Setakat ini saya baru mengarah sebuah filem iaitu Selamat Pagi Cinta.

“Saya masih berhutang sembilan filem lagi dan mungkin pada bila-bila masa sahaja saya akan kembali mengarah.

“Bagaimanapun buat masa ini saya mahu memantapkan dahulu lakonan saya.

“Tetapi jika suatu hari nanti dunia lakonan lebih cerah dari dunia pengarahan, mungkin saya akan membuat keputusan untuk hanya meneruskan karier sebagai pelakon sahaja,” jelasnya.

Ditanya antara watak idaman yang mahu dicubanya, menurut Yana, setelah tiga tahun meneroka diri sebagai pelakon, dia bertuah kerana banyak diberi peluang untuk mencuba pelbagai watak.

“Rasanya sudah pelbagai watak yang berbeza saya bawakan dalam setiap filem yang saya terlibat.

“Namun mungkin suatu hari nanti saya mahu melakonkan watak superhero dengan kostum tersendiri,” katanya.

Jehan Miskin rahsiakan hubungan cinta


BUKAN niatnya untuk berahsia, namun jejaka bertubuh sasa ini lebih selesa tidak menggembar-gemburkan kisah percintaannya.

Menurut empunya diri, ini kerana episod cinta lalu banyak mengajarnya untuk lebih menghargai hubungan istimewanya kini dengan cara yang lebih berbeza.

Walaupun tidak banyak yang mahu diceritakan Jehan Miskin kepada Hits pada pertemuan di Skybar, Traders Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, aktor itu tidak lokek berkongsi kenapa dia lebih senang merahsiakan hubungannya kali ini.

Tidak mengelak untuk berbicara soal hati malah berterus terang mengakui sudah mempunyai pilihan, namun tegas Jehan, dia dan pasangannya lebih selesa untuk menjalinkan hubungan tanpa sebarang publisiti.

Malah pelakon kacak itu turut menyifatkan hubungan tanpa pengetahuan umum lebih mudah dan selesa untuk diri dan pasangannya.

"Saya akui dahulu saya agak terbuka untuk bercerita tentang kisah cinta saya lebih-lebih lagi kerana bekas kekasih saya dahulu juga seorang artis.

"Oleh itu adalah tidak mungkin untuk kami berdua merahsiakan hubungan tersebut.

"Namun kekasih saya kini bukan lagi seseorang yang terlibat dalam industri dan bagi menghormati hubungan ini kami berdua juga mengambil keputusan untuk tidak menceritakan hubungan ini secara terbuka kepada umum.

"Secara jujurnya ia lebih mudah untuk menguruskan hubungan ini," jelasnya.

Ditanya sama ada dia tidak berasa bersalah kerana merahsiakan hubungan cintanya daripada pengetahuan para peminatnya, Jehan atau nama sebenarnya Mohd. Jehan Miskin, 32, percaya peminat hari ini lebih terbuka dan memahami keputusannya itu.

"Tiada apa yang mahu diceritakan kepada mereka kerana saya hanya menjalinkan hubungan sahaja dan saya percaya peminat saya faham.

"Tetapi saya berjanji jika ada berita baik daripada kami berdua, tentunya kami tidak akan membelakangi peminat serta pihak media," katanya sambil tersenyum.

Siapa yang tak jujur? - Zarina Anjoulie


APA sebenarnya status hubungan antara Zarina Anjoulie dengan Alif Aziz? Banyak sangat Syed dengar cerita yang kurang enak pasal mereka sampaikan satu tahap dah tak tahu cerita apa pula yang berlaku.

Betul ke mereka tu berhubungan? Sebab banyak sangat cerita yang bertebaran mengatakan Zarina yang syok sendiri. Betul ke macam tu?

Bila Syed hubungi Zarina pagi Rabu lalu, dia memang dah jangka cerita tu akan keluar. Sambil menafikan berita tersebut, Zarina cukup kecewa dengan apa yang telah berlaku.

“Siapa yang tak jujur? Dalam isu ini memang teruk saya kena hentam. Orang media pun banyak sangat tanya saya pasal hal ini sampai saya naik lemas.

“Saya tak mahu dedah apa hubungan saya dengan dia. Cuma saya tak mahu keruhkan lagi keadaan yang dah memang kusut ni. Cukup-cukuplah nak hentam saya.

“Cuma kalau orang nak kata saya yang syok sendiri atau tergila-gilakan dia tu memang tak benar. Dia yang datang pada saya dan cakap tak ada teman wanita.

“Kalau dia jujur kenapa dia cakap masih single? Itu belum lagi kisah dia yang saya tak ingin dedahkan. Gambar yang dia peluk saya tu apa pula? Adakah saya jer syok dekat dia sorang-sorang?

“Kalau ada yang perasan gelang tangan dan rantai yang dia selalu pakai dah tak ada. Sebab saya simpan. Habis nak saya dedah semua sekali? Saya pun tak mahu buka aib orang sampai terlondeh semua,” kata Zarina.

Bersabarlah. Itu sahaja yang Syed mampu katakan. Tak ada masalah yang tak dapat diselesaikan. Jangan sampai ‘terlondeh’ kain sendiri sudahlah.

Lisa, kenapa media dilayan begini?


JOYAH kasihan tengok kawan-kawan seperjuangan Joyah yang beriya-iya nak buat liputan perkahwinan Lisa dan Yusry petang Khamis lalu. Nampak kecewa, tak puas hati sebab ‘undang-undang’ pihak penganjur kepada semua petugas media.

Ada empat syarat yang dikenakan tapi syarat pertama iaitu pelepasan mengambil gambar atau visual dari tempat yang disediakan memang menyusahkan semua media!

Mana tidaknya, Joyah diberitahu bahawa tempat yang dimaksudkan penganjur cukup jauh dengan upacara pernikahan. Macam mana nak rakam gambar dan dapatkan sudut menarik, paling bersejarah untuk diabadikan kalau sekadar mampu merakam belakang kepala pengantin.

Ambil gambar menikah Yusry, tapi tak nampak muka Yusry, hanya nampak songkok saja. Aduhai... apa benda ni?

Joyah bukan nak berleter, tapi berfikir panjanglah sebelum menjemput media kalau nak tempatkan media di tempat macam itu. Kita kan sama-sama nak kongsi momen bahagia pengantin, tapi janganlah buat sekatan sampai begitu sekali? Buat liputan majlis menteri pun tak macam itu.

Joyah tahulah yang majlis pernikahan itu hak milik penerbitan sepenuhnya pihak Astro. Dengar kata, Lisa bagi kebenaran itu pada Astro sebab salah seorang saudaranya orang ‘top’ Astro. Tak apalah Lisa, kalau macam ini layanan awak kat kami.

Tapi, apa yang Joyah coretkan ini bukan fitnah tau. Joyah cuma nak penjelasan, kenapa boleh jadi macam ini. Harap Lisa atau suami tercinta, Yusry dapat terangkan kepada kami semua. Supaya tiada lagi hati yang terluka selepas ini.

‘Cukuplah fitnah saya’ - Ramona


ATMOSFERA hiburan tanah air sekali lagi hangat dengan kisah peribadi pelakon baru yang selesa dikenali dengan nama Ramona Zamzam ini.

Satu ketika, dia pernah dituduh suka bersosial selain mengamalkan cinta songsang termasuk suka bertukar-tuar teman lelaki.

Reda kontroversi itu, kali ini wanita dengan nama sebenar Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 22, ini tercalit pula dengan gosip liar yang mendakwa dia mempunyai hubungan istimewa dengan seorang lelaki berstatus Datuk.

Khabar angin mengenai hal ini sudah pun tersebar meluas termasuk disiarkan dalam akhbar ini.

Lumrah kehidupan artis, apa sahaja yang dilakukan sudah tentulah menjadi perhatian dan sentiasa sahaja ada yang mahu mengambil tahu.

Maka, kerana itu jangan terkejut sebenarnya sudah ramai mata-mata nakal yang cuba meneka-neka nama lelaki yang dimaksudkan.

Mengikut dakwaan, lelaki yang dikenali dengan nama Datuk S itu merupakan seorang individu yang berpengaruh dalam bidang kosmetik dan kecantikan.

Spekulasi kian memburuk apabila Ramona juga dituduh kononnya sering kelihatan berulang-alik ke rumah Datuk S tanpa sebab yang diketahui.

Tidak cukup dengan itu, pelakon drama bersiri Nilapura ini juga dituduh telah pergi bercuti dan menghabiskan masa bersama Datuk berkenaan di sebuah resort di Pulau Pinang baru-baru ini.

Persoalannya sekarang, semurah itukah diri Ramona?

Ketika pertanyaan diaju, riak wajahnya seakan tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa yang terbeban di hati lantaran dirinya difitnah sebegitu rupa.

“Saya ingatkan dah habislah orang nak mengata tentang diri saya. Rupanya ada lagi,” ringkas tutur anak sulung daripada dua beradik ini usai sesi penggambaran dijalankan.

Pancaindera juga mahu gosip ini diuraikan dengan penjelasan yang telus terutama dalam membongkar siapakah sebenarnya Datuk S yang dikaitkan dengan Ramona.

“Terus-terang saya sendiri tidak tahu siapa Datuk S yang dikatakan itu. Sumpah! Saya tidak kenal dan tidak tahu.

“Saya pun terkejut macam mana boleh timbul isu saya keluar dengan Datuk S dan sebagainya. Padahal saya ni tak ada hubungan istimewa dengan sesiapa pun.

“Tak kiralah dengan lelaki bujangkah, yang dah kahwinkah, ada gelaran Datuk atau Tan Sri sekali pun, memang tak ada. Apa yang dihebohkan itu adalah satu tuduhan palsu!” katanya tegas.

Penafian berulang-ulang kali dibuat. Namun satu perkara yang benar mengenai gosip yang ditimbulkan adalah mengenai percutiannya di Pulau Pinang tempoh hari.

Dalam tenang, Ramona menjelaskan bahawa kunjungannya tempoh hari ke Pulau Pinang sememangnya atas tujuan bercuti.

Namun kebenarannya adalah, kunjungannya ke situ bukanlah bersama Datuk S sebagaimana yang didakwa.

“Sebetulnya, saya ke sana atas ajakan seorang Datin. Biarlah saya rahsiakan siapa Datin tersebut.

“Tetapi dia bukan ajak saya seorang, kerana tiga finalis satu pertandingan gadis jelita sebuah majalah juga turut serta.

“Paling utama, ibu dan adik turut menemani saya. Jadi tak ada istilah saya ke sana bersama lelaki atau Datuk S seperti yang didakwa tu. Main jet ski? Oh itu sudah lebih, ” katanya.

Kongsi pelakon yang berasal dari Ipoh, Perak ini lagi, dia menerima pelawaan percutian itu semasa menghadiri sebuah majlis pelancaran produk kecantikan awal tahun ini.

“Tak akan orang ajak kita nak tolak pula? Lagipun Datin tu sangat baik orangnya. Pelawaan itu bukan datang daripada orang yang saya tak kenal.

“Tak sangka pula ada orang sengaja nak reka cerita ni sampai jadi isu. Lagi satu, saya tak duduk resort. Percutian itu adalah di sebuah kapal mewah. Jadi jangan main tuduh-tuduh,” katanya.

Diva sangatkah?

Selain isu Datuk S, Ramona juga turut dihimpit dengan isu dimana dia didakwa berlagak diva.

Isunya bukan sekadar itu. Ramona juga dikatakan meminta bayaran untuk sesi fotografi sebuah majalah selain tidak mengaku dia lahir daripada sebuah majalah kanak-kanak satu ketika dahulu.

Pantas menepis segala tohmahan itu, kata Ramona, dia tidak pernah dididik untuk bersikap sombong dengan orang apatah lagi untuk berbohong sedemikian rupa.

“Tak pernah sekali pun saya minta duit untuk fotografi dengan media dan tak pernah sekali pun saya berbohong menafikan tentang asal saya.

“Jujurnya saya sedih bila orang cakap saya begitu. Padahal saya kenal siapa diri saya. Mereka yang kenal saya akan tahu saya macam mana orangnya.

“Apa hasilnya kalau saya berlagak diva? Kalau sekali pun tak ada benda nak gosip, janganlah sampai menuduh saya begitu.

“Walhal saya tahu, kalau saya bersikap diva, jawabnya tak lamalah saya dalam industri,” katanya.

Mahu jaga peribadi

Meskipun sudah tampil memberi penjelasan, wanita ini tahu, dirinya tidak mungkin akan terlepas dengan sebarang kontroversi lain yang mungkin akan mendatang selepas ini.

Maka, kerana itu dia mengaku sudah bersiap sedia dari segi mental untuk menepis apa sahaja dugaan selepas ini.

Kata Ramona, dia tidak takut untuk berdepan dengan kontroversi yang datang selagi dia berada di pihak yang benar.

“Macam saya katakan tadi, saya tahu siapa saya. Malah keluarga terutama ibu selalu mengikut saya ke mana sahaja.

“Jangan ingat saya artis, maka orang boleh tabur fitnah macam-macam pada saya

“Selagi boleh, saya juga berjanji dalam apa pun yang dilakukan, saya akan jaga peribadi dan mengelak daripada hal yang boleh menconteng arang ke muka ibu bapa saya.

“Biarlah orang nak kata dan tuduh saya macam-macam sebab di akhirnya, saya tahu keluarga sentiasa berada di belakang saya,” ujarnya.

Riadah cara Salih Yaacob


JIKA difikirkan, bukan mudah bagi lelaki ini untuk membahagikan masa bersama isteri-isterinya apatah lagi dengan anak-anak. Namun bagi salah seorang tunggak utama segmen Sinar Pagi di Sinar FM bersama Kak Engku dan Khairil Rashid ini, keluarga adalah keutamaannya.

Tidak mahu menjadikan ‘tidak cukup masa’ sebagai alasan, Salih tetap memastikan mempunyai kelapangan untuk bersama-sama anak-anak mahupun empat isteri.

Baru-baru ini, S3 berpeluang mengikuti Salih Yaacob bersama dua orang isteri dan lima orang anaknya beriadah di Tasik Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut penghibur yang sudah menceburi bidang seni seawal tahun 80-an ini, meluangkan masa bersama keluarga adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi dirinya.

“Tidak dinafikan, kadang-kadang saya memang sibuk tetapi kalau ada masa terluang, memang saya akan ajak anak-anak dan isteri untuk keluar bersama.

“Bukan apa, walau sesibuk mana pun kita bekerja, dalam masa yang sama juga kita harus memberi perhatian dan tumpuan kepada keluarga.

“Lebih-lebih lagi keluarga saya pun memang jenis yang suka keluar berjalan-jalan, jadi memang meriahlah kalau keluar ramai-ramai,” katanya lagi.

Selain itu, Salih juga mengakui aktiviti riadah bersama keluarga yang selalu dilakukannya itu dapat membantu untuk mengurangkan tekanan.

Meskipun sekadar berjalan-jalan untuk mengambil angin, ia dapat melegakan perasaan, terutamanya selepas aktiviti seni yang padat.

“Apabila bersama keluarga, hilang jugalah segala masalah yang ada di kepala.

“Malah dalam masa yang sama, ia sebenarnya turut memberi peluang kepada anak-anak saya untuk lebih mengenali antara satu sama lain kerana mereka berlainan ibu.

“Aktiviti riadah sebegini turut dapat merapatkan hubungan mereka adik beradik.

“Contohnya hari ini, saya bawa empat orang anak saya dengan isteri kedua iaitu Effa Madiha, 19, Effa Nageeha, 15, Effa Fateha, 9 tahun dan Mohd Ehsan, 11 tahun.

“Sementara Farah Aqeesya, 3 tahun adalah anak bersama isteri saya yang ketiga. Jadi memang perkara sebegini dapat membuatkan mereka lebih bersatu,” ujar bapa kepada 11 orang anak ini lagi.

Selain bersiar-siar di lokasi berdekatan kediaman, Salih juga meletakkan hasrat untuk membawa keluarga besarnya melancong ke luar negara apabila berkesempatan.

Jika tahun lalu, dia telah membawa seluruh isi keluarganya melancong ke China, tahun ini dia merancang untuk mengadakan rombongan ke Singapura pula.

“Percutian di luar negara juga adalah salah satu cara saya meraikan ahli keluarga yang sangat memahami kesibukan saya selama ini.

“Walaupun hanya sesekali apabila ada peluang, kesempatan itu menjadi sangat bermakna kerana seluruh keluarga akan turut serta dan di sinilah peluang untuk lebih mesra dan berkasih sayang antara isteri-isteri dan anak-anak yang lain,” katanya sambil tersenyum lebar.

Penyampai perlu menonjol

Setelah lima tahun berada bersama stesen radio nombor satu Malaysia, Sinar FM, tidak dinafikan Salih sememangnya mempunyai rangkaian peminat sendiri.

Merungkai sedikit persoalan mengenai bagaimana untuk menjadi penyampai radio yang dihormati, Salih mengakui perkara tersebut datang daripada kedudukan dan juga reputasi penyampai itu sendiri.

“Penyampai tidak boleh stereotype dan selalu memikirkan apa yang terbaru mahu diberikan kepada pendengar. Apa yang lebih penting adalah kebolehan penyampai radio itu dalam menghidupkan suasana.

“Penyampai yang berjaya ialah yang boleh memberi kesan kepada pendengar dan dapat menghiburkan mereka melalui corong radio,” ujarnya seraya memberikan tips berguna kepada penyampai generasi baru hari ini.

Diana kaya kerana emas


RAMAI yang menyangka sejak melahirkan anak sulung, Kashfi Haiqal, pada 29 Oktober 2010, pelakon Diana Rafar sudah tidak aktif berlakon.

Sebenarnya, pelakon utama filem Susuk itu masih meneruskan kerjaya sebagai pelakon yang diladeni sejak 1988.

Kata Diana atau Adiana Abdul Rafar, 30, sejak ada anak, kegiatannya sebagai pelakon agak terbatas kerana dia perlu mengutamakan keluarga.

“Diana tidak boleh tinggalkan anak lama sebab masih menyusu badan. Kalau ada tawaran berlakon yang waktu penggambarannya singkat, pasti Diana terima.

“Lainlah kalau ada produksi yang boleh bertolak ansur, sudah pasti Diana terima tawaran itu. Bagi Diana, sekarang ini keluarga lebih utama. Kalau tidak berlakon, Diana tetap sibuk menguruskan spa dan memenuhi undangan persembahan nyanyian bersama kakak, Linda Rafar,” katanya ketika ditemui di D'Lugano Spa, Seksyen 13, Shah Alam baru-baru ini.

Menurut anak bongsu dari enam beradik itu, dia tidak menyesal menolak banyak tawaran kerana telah menemui satu bidang baru yang lebih menguntungkan, iaitu menjadi ejen menjual kepingan emas.

Sebagai ejen menjual kepingan emas 999.9 dengan syarikat pembekal Serambi Emas, Diana memberitahu, dia tidak memerlukan masa yang lama di sesuatu tempat memandangkan pekerjaan itu mampu mendatangkan hasil yang lumayan.

“Kalau berlakon, Diana kena tinggalkan anak di rumah. Bila buat jualan emas begini, boleh bawa anak bersama. Adalah menjadi hasrat Diana untuk berkongsi rezeki ini dengan orang lain kerana perniagaan ini sudah lama beroperasi, cuma orang kita sahaja yang tidak sedar,” katanya bersungguh-sungguh.

Menurut Diana, sudah dua tahun dia menjadi ejen menjual kepingan emas dan pulangan yang diperoleh amat lumayan sehinggakan sekarang ini menjadi terlalu memilih untuk berlakon.

“Sekarang Diana sudah temui satu bidang baru yang memberi pendapatan berlipat ganda daripada berlakon. Jadi buat masa sekarang, Diana tumpukan perhatian pada perniagaan emas ini.

“Dulu memang Diana kena cari pelanggan dan menerangkan apa kelebihan kalau kita membeli emas. Alhamdulillah, sekarang ini ramai yang mencari Diana pula untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Menurut Diana, dia ingin mengubah pendirian masyarakat Melayu agar tidak menjadikan emas sekadar hiasan diri semata-mata tetapi sebagai pelaburan jangka masa panjang.

Harga emas sentiasa naik mengikut pasaran semasa dan emas yang dibeli itu boleh disimpan sendiri atau di bank melalui sistem Ar-Rahnu.

“Kalau emas itu disimpan di rumah, pembeli tidak akan mendapat sebarang keuntungan melainkan kena jual emas itu.

“Di Serambi Emas pelanggan boleh membeli melalui sistem Ar-Rahnu di mana mereka boleh membayar 35 peratus daripada nilai sebenar dan bakinya akan dibiayai Ar-Rahnu,” terangnya lancar.

Tambah Diana, selepas membayar secara ansuran kepada Ar-Rahnu, emas berkenaan akan menjadi hak milik pembeli dan mereka yang terbabit dengan perniagaan emas dengan Serambi Emas pada masa sama dapat menjana pendapatan sampingan.

Katanya, perniagaan emas yang dilakukannya bukanlah sistem jualan langsung tapi sebagai persediaan masa depan dan sesiapa yang berminat boleh menghubunginya di talian 014-7104039 atau 014-7104029.

Malah, dia sanggup turun padang untuk memberi penerangan pada sesiapa yang ingin menambah pendapatan dengan cara ini.

Lantaran seronok mengendalikan perniagaan jual beli emas itu, kini Diana menjadi seorang pemilih dalam bidang lakonan.

“Bukan Diana nak berhenti berlakon, cuma kurangkan sedikit. Lagipun sudah lama Diana berlakon, sekarang ini masanya untuk tumpu pada keluarga.

“Disebabkan anak masih menyusu badan, Diana tidak boleh terima tawaran berlakon yang lama sebab kasihan pada anak. Lainlah kalau watak yang diberi benar-benar menarik perhatian, Diana akan fikir dua kali,” katanya tersenyum.
Translation Services

Recent Comments

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails