Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Cara Nora tak profesional'


Tarik diri daripada Spa Qistina gara-gara kemunculan Fasha

KONTROVERSI berlaku lagi terhadap bersiri Spa Q musim ketiga yang kini ditukar judul menjadi Spa Qistina. Terbaru ia membabitkan dua bintang 'panas' - Nora Danish dan Fasha Sandha yang pertama kali bekerja di bawah produksi sama, Global Station Network Sdn Bhd sejak mereka dikatakan 'perang dingin' berkaitan isu peribadi lebih setahun lalu.

Sekalipun produser syarikat itu, Datin Zaiton Mohamad Jiwa atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ton tidak pernah mempertemukan Nora dan Fasha berlakon babak sama kerana memahami situasi berkenaan, insiden lain pula yang berlaku pada 5 November lalu apabila Nora dikatakan meninggalkan lokasi penggambaran di Lot 10, Kuala Lumpur apabila menyedari kehadiran Fasha di situ.

Tidak cukup dengan itu, pihak Global Station Network juga dikatakan sudah menyerahkan surat tamat kontrak kepada Nora dan wataknya sebagai Maya digantikan pelakon, Datin Natasha Hudson. Pun begitu, menerusi laporan Harian Metro terbitan 9 November lalu, Nora menegaskan dia tidak disingkirkan, sebaliknya terpaksa menarik diri kerana tidak dapat memberi komitmen pada tarikh baru yang dibuat untuk produksi Spa Qistina. Ia memulakan penggambarannya pada 19 Oktober lalu, tetapi babak membabitkan Nora bermula pada 22 Oktober.

"Saya juga sempat buat beberapa babak mengikut jadual itu, tetapi produksi Spa Qistina mempunyai masalah teknikal dan terpaksa berhenti pada 29 Oktober selama empat hari. Sepanjang tempoh itu, banyak babak saya tidak dapat dilaksanakan. Saya juga tidak dapat memberi komitmen apabila Spa Qistina diambil alih pasukan produksi baru dan penggambaran juga pada tarikh baru yang ditetapkan. Sepatutnya, saya selesai penggambaran pada 20 November, tapi pasukan baru pula dijadualkan tamat penggambaran pada Disember. Saya juga sudah terima tawaran daripada MIG Production Sdn Bhd untuk berlakon dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2 yang akan memulakan penggambarannya Disember nanti," kata Nora.

Kata Nora lagi, dia menarik diri bukan kerana masalah bayaran kerana memang puas hati dengan bayaran yang sudah dipersetujui bersama Global Station Network sebelum ini.

"Saya juga hanya sempat jayakan kira-kira 10 peratus saja babak Maya dalam drama bersiri itu. Saya juga tidak mengambil sebarang bayaran pun daripada Global Station Network kerana terpaksa menarik diri daripada drama bersiri ini," katanya.

Nora juga menafikan dia menarik diri kerana kehadiran Fasha dalam drama itu. Menerusi Rap pada hari sama juga, Zaiton berkata, Nora terpaksa menarik diri daripada Spa Qistina kerana tidak dapat memberi komitmen pada tarikh baru penggambaran yang ditetapkan pasukan produksi baru siri itu.

Pun begitu, Zaiton mengubah kenyataannya apabila bertemu wakil B*Pop pada Selasa lalu 10 November apabila mendakwa dia tidak mahu terus dilabel sebagai produser pilih kasih oleh mereka yang mengetahui kejadian sebenar berlaku antara Nora dan Fasha pada 5 November itu.

Nora letak syarat

"Kami tidak pernah mengundang kontroversi, sebaliknya ia berlaku di luar kawalan Global Station Network. Namun, saya ingin membuat penjelasan dan pembetulan mengenai laporan disiarkan akhbar awal minggu ini mengenai kemelut yang berlaku antara pihak produksi, Nora dan Fasha, sekali gus memberitahu apa yang sebenarnya berlaku di aras bumbung, Lot 10 pada 5 November lalu.

Apabila pada suatu tahap orang mempertikaikan kenapa saya mengamalkan sikap pilih kasih atau double standard ke atas Nora dan Fasha, saya harus menjelaskan perkara sebenar kerana pada hari kejadian saya berada di situ dan tahu apa yang berlaku. Saya terpanggil untuk membuat penjelasan ini untuk memberitahu apa yang sebenar-benarnya berlaku supaya isu ini tidak dipersoalkan lagi.

Kami sudah membuat perbincangan dengan pihak Astro mengenai barisan pelakon yang akan membintangi Spa Qistina. Antara artis yang terpilih termasuklah Nora dan Fasha. Mulanya saya membuat tawaran ini kepada Fasha dan dia bersetuju sekalipun tahu Nora juga akan berlakon. Pada masa sama, saya juga menawarkan satu watak kepada Nora.

Mulanya, Nora tak tahu Fasha juga terbabit dalam Spa Qistina, namun selepas beberapa siri perbincangan, barulah dia tahu. Saya tanya Nora, adakah dia bersetuju kerana Fasha juga ada, Nora kata tak ada masalah, ini soal kerjaya dan dia harus bersikap profesional, namun dengan syarat, tidak ada satu pun babak membabitkan Nora dan Fasha. Itulah permintaan Nora.

Sewajarnya, saya patut memberi pertimbangan di atas permintaan Nora. Saya berjanji tidak akan membabitkan sebarang watak antara dia dan Fasha. Justeru, kami akan memastikan perkara itu tidak terjadi di lokasi, Nora dan Fasha tidak akan bertembung. Ketika penggambaran Spa Qistina pada 5 November itu, call time Nora jam 1 petang, manakala Fasha 4 petang. Memang jadual kami dah susun cantik.

Nora-Fasha tak bergaduh

Namun, disebabkan beberapa masalah teknikal dan cuaca, maka berlakulah kelewatan, call time ‘lari’. Produksi penggambaran agak lewat membuat persiapan di aras bumbung Lot 10 itu. Pada masa sama, saya mendapat panggilan daripada pengurus produksi, memberitahu Fasha sudah sampai. Saya terus memberi arahan supaya 'tahan' Fasha, jangan benarkan dia naik ke aras bumbung dulu kerana Nora masih berada di situ.

Ketika itu jam sudah hampir 3.30 petang dan pekerja saya terus 'tahan' Fasha, tak benarkan dia ke lokasi dengan alasan set tak siap lagi tanpa memaklumkan Nora turut berada di situ. Tapi, Fasha tetap nak naik juga ke aras bumbung itu sebab dia nak bersolek. Apabila Fasha meneruskan perjalanannya ke lokasi, entah siapa memaklumkan kepada Nora, Fasha dah sampai!

Nora terus beredar dari set Spa Qistina, tidak mahu meneruskan penggambaran, sekali gus mendakwa kenapa pihak produksi tidak sensitif, kenapa tak telefon Fasha, jangan biarkan dia datang dulu sebab dirinya masih di lokasi. Saya cuba menerangkan keadaan sebenar kepada Nora, sebaliknya dia tetap meninggalkan set.

Bagi saya, Nora dan Fasha tak bertemu muka pun di lokasi, ketika di aras bumbung itu, Nora berada di dalam bilik, manakala Fasha di luar. Alasan Nora, dia tak mahu berada di bawah satu bumbung bersama Fasha. Saya masih cuba memberi penjelasan, pihak produksi bukan sengaja ingin menemukan Nora dan Fasha, lagipun call time mereka berbeza. Namun, kelewatan yang berlaku pada hari itu adalah di luar kawalan pihak produksi.

Begitu juga dengan gosip yang mendakwa Nora dan Fasha bergaduh di lokasi Spa Qistina pada 5 November itu. Ingin saya tegaskan di sini, pergaduhan itu tidak pernah berlaku!”

Nora pulangkan cek

"Sebaliknya Nora tidak mahu mendengar penjelasan saya, dia terus beredar meninggalkan set tanpa mempedulikan artis lain yang sudah berada di situ untuk memulakan penggambaran. Jelas, pihak produksi tidak pernah menyingkirkan Nora, dia sendiri yang meninggalkan set. Bukan sekadar dia tak mahu meneruskan penggambaran pada hari itu, sebaliknya terus tarik diri daripada Spa Qistina. Nora terlalu emosional.

Saya minta Nora berbincang dengan saya untuk menyelesaikan masalah ini secara profesional, namun dia enggan bertemu dengan saya. Saya telefon, dia tak jawab. Pihak produksi juga tidak pernah mungkir janji menemukan Nora dan Fasha di mana-mana lokasi pun.

Nora juga terus memulangkan cek pembayaran pendahuluan yang diterimanya sebelum ini pada hari yang sama dia meninggalkan set. Memang kami belum menandatangani sebarang kontrak perjanjian kerana ada perubahan harga. Nora minta bayarannya dinaikkan daripada apa yang ditawarkan kepadanya sebelum ini. Saya setuju dengan harga diminta Nora dan ketika pertukaran perjanjian itulah, situasi ini berlaku.

Pada masa sama, Nora sudah pun menjalani penggambaran Spa Qistina sebanyak 38 babak. Saya sangat kesal dengan tindakan Nora yang meninggalkan terus set penggambaran, sekali gus mengakibatkan kerugian pihak produksi. Saya terpaksa mencari pelakon lain menggantikan Nora. Alhamdulillah watak Maya sudah pun menemui pengganti iaitu Ummi Nazeera.

Tak hormati produser

Pun begitu, sekiranya Nora masih bersama produksi Spa Qistina, kami akan sedaya upaya memastikan jadual penggambarannya tidak bertindih dengan jadual filem terbarunya, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 yang bakal memulakan penggambarannya Disember ini. Namun, apa lagi yang mampu kami lakukan apabila Nora menutup pintu perbincangan melainkan menanggung kerugian.

Saya menganggap apa yang berlaku ini, Nora mencampur adukkan masalah peribadinya dengan profesionalisme dalam kerjaya. Dia tak boleh terima sebab mengapa perkara itu terjadi. Kalau pihak produksi sengaja menemukannya dengan Fasha, kami faham kenapa dia bertindak demikian.

Saya juga dimaklumkan, tiga hari selepas insiden berkenaan, Nora dan Fasha hadir pada Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (M-IFW) 2009 yang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur. Saya dapat tahu, mereka berkongsi bilik menunggu dan runway yang sama! Sekiranya Nora berpegang kepada prinsipnya - tidak mahu berkongsi bumbung dengan Fasha, dia sewajarnya tidak hadir pada majlis berkenaan.

Justeru, apabila Nora menarik diri daripada Spa Qistina, seolah-olah dia tidak menghormati saya sebagai produser. Saya beranggapan Nora tidak berfikir secara rasional, sekiranya dia menerima tawaran Spa Qistina kerana saya, sepatutnya dia tidak menimbulkan sebarang masalah. Tambahan pula ketika majlis pelancaran Spa Qistina, Nora tak datang, saya faham Fasha ada di situ.

Apa yang saya dapat lihat, Nora seolah-olah pentingkan diri dan perasaan sendiri, langsung tak profesional. Mungkin ini satu dugaan yang harus saya tempuhi sebelum saya berangkat menunaikan fardu haji pada 19 November ini. Etika kita bekerja, kita perlu mendahulukan profesionalisme. Apabila potret diri kita profesional di hadapan orang ramai, buat juga profesional, jangan beritahu kita profesional, sebaliknya tidak begitu."

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails