Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Takut pisang berbuah dua kali


Maria Farida tidak serik berkahwin lagi tetapi sering dihantui peristiwa hitam 10 tahun lalu

BUKAN serik nak berkahwin lagi, sebaliknya pelakon jelita, Maria Farida tidak mahu pisang berbuah dua kali. Kegagalan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta hampir sedekad lalu cukup membuatkannya berhati-hati dalam memilih pasangan hidup. Apatah lagi berkahwin bukan soal main-main, ia membabitkan masa depan.

Lebih bahagia bersama satu-satunya permata hati, Mizan Ashley, 12, pelakon kacukan Melayu-Filipina itu bagaimanapun tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh. Cuma di kala hidup bersendirian selepas sekian lama, Maria tidak mahu kebahagiaan yang dimiliki hari ini direntap dengan permasalahan rumah tangga.

Masih cantik seperti dulu, pelakon yang kini tampil menerusi filem Jalang itu mengakui: “Bukan saya tak percaya pada lelaki selepas rumah tangga saya dulu berkecai di tengah jalan, tetapi saya belum bertemu lelaki yang sesuai. Bohonglah, kalau tiada lelaki yang mahu mendekati, tetapi rasanya mereka hanya sesuai dijadikan kawan, bukan pasangan hidup.

“Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali, saya tak mahu merana selama-lamanya. Ada kalanya rasa serik masih menebal dalam diri saya, apatah dulu saya berdepan dengan konflik rumah tangga yang mencengkam jiwa. Jika ditakdirkan hidup sendiri lebih baik, saya reda. Jika bertemu jodoh dengan lelaki bertanggungjawab, punya kerjaya dan bukan suami orang, itu sudah memadai. Saya tak pilih nak berkahwin dengan lelaki kaya, berharta atau berpangkat, cukuplah ada kerjaya dan pendapatan tetap.

“Paling penting, lelaki itu menerima saya dan anak saya seadanya. Saya sudah melalui kesulitan dulu apabila mempunyai suami yang tidak bekerja, habis duit simpanan saya ketika bergelar model dan pelakon dikeluarkan untuk menyara hidup, saya tak sanggup lagi melalui keperitan itu. Alhamdullilah, selepas terlepas cengkaman bekas suami dulu, saya kembali berlakon semula dan hari ini, rezeki saya tak putus-putus sehingga ada yang terpaksa ditolak.”

Maria berkata, dia tidak pernah menyesali takdir apabila mengambil keputusan meninggalkan dunia lakonan ketika namanya sedang berada di puncak. Ketika itu, dirinya mahu mendirikan rumah tangga dan berhasrat menumpukan perhatian pada suami dan anak-anak.

“Suatu percaturan yang silap apabila saya berhenti berlakon dulu, tetapi saya tak pernah kesal. Saya terlalu letih bekerja, maklumlah saya sudah bergelumang dalam dunia seni sejak berusia 16 tahun. Dari seorang model, akhirnya saya ke layar perak, jadi saya sudah merasai perit jerih sebagai anak seni.

“Jadi bila berkahwin, saya rasa ada baiknya saya memberikan tumpuan pada suami dan anak. Saya tidak mahu lagi sibuk di lokasi penggambaran sehingga awal pagi, sedangkan suami dan anak terbiar di rumah. Bagaimanapun, saya sangka panas hingga ke petang, tapi hujan di tengah hari, percaturan saya silap. Ketika berkahwin, saya tukar nombor telefon dan berpindah ke rumah lain, jadi saya terputus hubungan dengan kawan-kawan.

“Peringkat awal mahu kembali semula berlakon memang susah, ramai yang tak dapat mencari saya, tetapi kini, selepas hampir 10 tahun berlalu, saya semakin selesa. Saya bersyukur bakat yang dikurniakan Tuhan memberi saya peluang meneruskan hidup seperti insan lain.

“Kini, anak pun sudah meningkat dewasa dan hikmahnya, biarpun rumah tangga menemui kegagalan, tetapi Tuhan menghadiahkan saya seorang anak sebagai peneman hidup,” katanya yang baru selesai penggambaran drama 20 episod, Rias Mutiara dan filem komedi romantik, Datin Ghairah.

Tiga filemnya, selain Jalang, My Spy dan Senario The Movie Episode 2: Beach Boys juga bakal berada di pawagam serentak dalam masa terdekat.

Secara jujur, Maria berkata, dia sering ditawarkan watak antagonis dalam lakonan, termasuk watak wanita elit dan golongan datin. Mungkin disebabkan perwatakan dan rupa paras yang kelihatan sombong menyebabkannya diberikan watak sedemikian.

Terbaru, menerusi Jalang, arahan Nazir Jamaluddin dan terbitan De’Baron Sdn Bhd, Maria melakonkan watak Puan Sri Salina, isteri Tan Sri Jamaudi yang mempunyai skandal dengan seorang wanita pelacur kelas atasan, Maria.

“Saya akui watak Datin atau Puan Sri sudah sinonim dengan saya. Saya tidak kisah membawa apa saja watak asalkan ada kelainan dan mencabar kemampuan. Watak ibu, anak dara atau remaja, asalkan menarik, saya akan terima. Bagi saya, bila ditawarkan bermakna penerbit serta pengarah percaya saya mampu galas tanggungjawab itu.

“Jalang adalah filem kelapan saya sejak bergelar anak seni. Bila melakonkan watak Puan Sri Salina, mungkin orang luar menilai watak biasa saja, tetapi kelainan kali ini, apabila saya berdepan dengan konflik hidup setelah suami mempunyai perempuan simpanan dan wanita itu adalah seorang jalang.

“Kesudahan cerita, watak saya tersangkut pula dengan orang kanan suami dan menjalinkan hubungan sulit hingga ke ranjang. Memang sukar kerana saya juga seorang `jalang’ yang menduakan suami dalam filem ini.

“Saya melihat filem ini mempunyai mesej berguna dan jangan sesekali menghukum seseorang, terutama golongan pelacur atau jalang, hanya Tuhan yang mengetahui segala-galanya,” katanya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails