Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Masih lagi suami isteri rupanya-Radhi OAG


HAMPIR setahun lebih naik turun mahkamah, alih-alih Radhi OAG dan Shazlin disahkan masih lagi suami isteri. Inilah yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Joyah gembira dengan keputusan itu tetapi dalam masa yang sama tak pasti lagi apa hala tuju hubungan mereka selepas ini. Mana tak nya, setelah sekian lama mereka 'bikin drama', akhirnya mahkamah mengatakan mereka masih suami isteri.

Macam-macam perkara yang telah berlaku antara mereka. Kalau pembaca setia Joyah masih ingat pasangan ini juga sering kali bertengkar di perkarangan mahkamah dan mendapat liputan yang cukup meluas sebelum ini.

Cuma kegembiraan Joyah tak lama apabila dapat tahu 8 Jun ini mahkamah akan mendengar permohonan cerai secara baik oleh pasangan ini. Mereka mengambil keputusan untuk bercerai juga setelah pernah ditolak oleh mahkamah sebelum ini.

Entahlah, Joyah bukan nak galakkan perceraian tapi kalau sampai bergaduh tak sudah, rasanya lebih baik berpisah sahaja. Masing-masing boleh bawa haluan sendiri dan mulakan hidup baru. Joyah sendiri pun tak sanggup nak baca cerita yang tak patut dibaca hal rumah tangga orang ni sebab macam-macam perkara pelik yang akan Joyah ketahui.

Camelia Kahwin Semula, Kini Bergelar Datin


PETALING JAYA: Penyanyi dan hos popular program Casa Impian, Dayang Nur Camelia Abang Khalid atau lebih dikenali dengan nama Camelia khabarnya telah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan beberapa bulan yang lalu.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan beliau, suami baru Camelia itu bukanlah Wira Tun Daim Zainuddin yang sebelum ini dikaitkan dengannya.

Sumber itu tidak menafikan bahawa hubungan rapat antara Camelia dengan anak bekas menteri kewangan itu menjadi punca orang mengatakan penyanyi kelahiran Sarawak itu berkahwin dengannya.

"Ya benar, Camelia telah berkahwin dan kini menetap di Bangkok tetapi bukan dengan anak Tun Daim sebaliknya dengan seorang usahawan yang telah lama dikenalinya," kata sumber tersebut.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama dan latarbelakang suami baru Camelia. Usaha mStar untuk menghubungi Camelia juga tidak berhasil.

Camelia dilahirkan pada 20 Jun 1974 di Kuching, Sarawak pernah menghoskan program popular - Casa Impian menerusi Saluran Astro Ria suatu ketika dahulu.

Pada 14 Mac 2008, dia menjadi satu-satunya artis Malaysia yang diterbangkan ke Hong Kong untuk menyaksikan pembukaan butik Louis Vuitton (LV) di Canton Road Maison yang juga merupakan butik LV yang kedua terbesar di dunia selepas butik di Champs Elysee.

Album yang pernah dihasilkannya termasuklah Camelia, Memori, Mimpi, Untukmu dan yang terakhir, Mysticam yang berada di pasaran pada 2007. Camelia adalah artis Virgin Records, manakala Mysticam diedarkan EMI Malaysia.

Antara lagu dalam album terakhirnya itu ialah Jari Jemari, Closer, Hypnosis, Kool dan Du Du Du - kesemuanya ciptaan Camelia sendiri. Dua lagu lama yang diberi sentuhan baru ialah Seiring Sejalan dan Puteri Santubong.

Camelia juga pernah bergelar duta produk terkemuka seperti L’Oreal, Tag Heuer, Wacoal, Epson, Pantene dan Omega. Pencapaian terbaik Camelia adalah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik & Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 1998.

Pernah mendirikan rumah tangga dengan Ehsan Tun Ahmad Zaidi, namun rumah tangga mereka tidak mampu bertahan lama apabila berpisah pada November 1999. Tidak lama selepas itu Ehsan berkahwin dengan pelakon dan penyanyi kumpulan Elite, Azzarima Zawari manakala Camelia masih bersendirian sehinggalah berita mengenai perkahwinannya ini diperkatakan orang.

Watie: Hentikan Tohmahan Atau Dia Ambil Tindakan


ISTILAH kontroversi memang tidak asing bagi anak kelahiran Sungai Besar, Selangor ini. Sejak kembara seninya bermula sebagai anggota kumpulan pop Elite hampir 15tahun lalu, Watie Sadali terus dihujani pelbagai cerita dan persepsi serong masyarakat.

Baru-baru ini, pelakon Gelora Di Hati Sara 2 ini diuji lagi dengan penyebaran gambarnya pada sebuah majlis hari jadi di internet selain dakwaan kononnya dia menghidap Hepatitis. Lebih memburukkan keadaan, impak daripada fitnah itu menjejaskan tawaran lakonan padanya.

"Saya kesal dan kecewa dengan tohmahanpihak yang mendakwa saya menghidappenyakit berjangkit baru-baru ini.Kesannya, tawaran lakonan yang diterimaterus merudum. Jika benar saya disahkanmenghidap penyakit berbahaya, tidakmungkin pihak hospital membenarkan sayakeluar selepas beberapa hari sahaja ditahan.

"Mungkin banyak produksi masih tidaktahu status sebenar kesihatan saya ekoranfitnah itu. Terus-terang, saya tidak sakitseperti yang didakwa, hanya gastrik sahaja.Kini, saya sudah sembuh sepenuhnya daningin kembali bekerja," jelasnya.

Setelah sekian lama tunduk bersabar, Watie bertekad untuk tidak beri muka lagi pada pihak yang sengaja 'memalit lumpur' hingga menjejaskan periuk nasinya.

"Selama ini, saya hanya diamkan diri dengan apa jua fitnah atau cerita-cerita buruk mengenai saya yang ditokok-tambah daripada fakta sebenar. Namun, nampaknya tindakansaya mendiamkan diri memberi kesan pada periuk nasi saya.

"Saya tidak mahu beri muka lagi pada mana-mana pihak yang sengaja mencemar nama saya. Bukan saya suka-suka cari kontroversi. Banyak kontroversi yang melanda datangnya daripada persepsi serong dan hasad dengki segelintir pihak terhadap saya. Selepas ini, saya pasti akan ambil tindakan jika cerita-cerita buruk terus dilemparkan," tegas Watie.

Nadia Mustafa Dikuarantin Kerana Anak-Anaknya Terkena H1N1


KUALA LUMPUR: Pelakon drama popular, Nadia Mustaffa buat masa ini terpaksa mengkuarantinkan diri di rumah bersama suami kerana anak-anak kecilnya dijangkiti virus H1N1.

Dia berkata, tindakan berjaga-jaga itu diambil selepas anak perempuan, Qaisara Hazil Izham, 2, dan anak lelaki, Qaliss Hazil Izham, 1, dikenal pasti dijangkiti virus berbahaya itu pada Ahad lalu.

Bagaimanapun kata Nadia, anak-anaknya telah dibenarkan keluar dari hospital Pantai Cheras pada Khamis lalu.

"Mereka dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu dan empat hari kemudian, mereka dibenarkan keluar dari hospital. Tidak lagi dikenakan drip dan mereka dah boleh minum susu.

"Walaupun dah empat hari, saya tidak boleh keluar dari rumah," katanya kepada mStar Online di sini, semalam.

Nadia yang sedang mengambil cuti sakit berasa hairan bagaimana dua anaknya boleh dijangkiti virus H1N1 itu kerana mereka tidak dibawa keluar dari rumah selama dua minggu sebelum itu.

Katanya, sanak-saudara pernah datang melawat tetapi mereka tidak dikesan membawa virus tersebut selepas pemeriksaan kesihatan dibuat.

"Pada Ahad lalu, Qaisara mengalami demam panas secara mendadak. Suhu badannya mencecah 40 darjah celsius. Dalam tempoh lima jam kemudian, adiknya Qalis pun kena mengalami simptom yang sama iaitu demam panas secara mendadak, batuk dan selesema.

"Saya cepat-cepat membawa mereka ke hospital kerana mengesyaki dijangkiti virus H1N1. Bila periksa di hospital, doktor mengesahkan anak-anak saya dijangkiti H1N1," ujarnya yang turut berlakon dalam sketsa dan komedi terbaru, Terbelahak.

Nadia berkata, pemeriksaan doktor bagaimanapun mendapati dia dan suaminya pula tidak dijangkiti virus yang boleh mendatangkan maut kepada pesakit.

Dalam pemeriksaan perubatan terbaru yang dilakukan, aktres jelita itu berkata, dia berkeadaan baik dan hanya mengalami selesema.

Tambah Nadia, dia memakan vaksin serta Vitamin C serta minum banyak air untuk memastikan badannya mempunyai antibodi yang kuat.

Nadia mengakui cuti sakitnya itu telah mengganggu penggambarannya dalam satu telefilem.

'Saya tak jadi saman Linda'


Aktor dan pengacara terkenal, Fahrin Ahmad akur nasihat ramai pihak

JADI atau tidak Fahrin Ahmad nak saman Linda Onn? Dulu beriya-iya buat sidang media, sampai menangis di depan wartawan, nak saman Linda jika dia tak minta maaf, sekarang apa sudah jadi? Adakah Fahrin tak sampai hati menyaman Linda kerana masih ada rasa sayang terhadap wanita yang pernah bertakhta di hatinya itu? Atau mengambil kira saranan banyak pihak termasuk Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang berharap Fahrin menyelesaikan masalah peribadinya di luar mahkamah?

Justeru, itu adalah antara persoalan yang belum terjawab sama ada Fahrin ingin meneruskan kes saman terhadap Linda atau sebaliknya kerana sudah empat bulan menunggu, tiada sebarang tindakan susulan daripada pelakon dan pengacara berkenaan. “Saya masih membuka jalan damai, tapi nampaknya Linda seolah-olah memaksa saya membawa kes ini ke muka pengadilan. Sekiranya semua usaha menemui jalan buntu, saya terpaksa meneruskannya ke mahkamah. Jika terlalu lama berdiam diri, saya tak mahu dianggap tidak tegas membuat keputusan atau tiada pendirian. Saya harap Linda sedar dan mengkaji implikasinya apabila perkara ini dibawa ke mahkamah,” kata Fahrin kepada B*Pop terbitan 7 Mac lalu.

Kesempatan bertemu Fahrin di Mutiara Damansara, Petang Jaya, hujung minggu lalu berjaya merungkai segala persoalan. Fahrin akhirnya mengakui, selepas menimbang saranan daripada banyak pihak dan kerjaya seninya tidak terjejas gara-gara kenyataan Linda kepada media massa yang dikatakan mempunyai unsur hasutan sehingga boleh menjejaskan nama baik dan reputasinya, dia akur tidak mahu memanjangkan isu berkenaan ke mahkamah.

“Setiap tindakan saya berdasarkan kebijaksanaan dan pertimbangan kritikal keadaan ketika itu. Saya mengadakan sidang media tempoh hari semata-mata kerana kepentingan kerjaya dan rezeki, tiada unsur peribadi. Namun, selepas situasi berkenaan, saya menerima saranan daripada banyak pihak termasuk Seniman supaya menyelesaikannya di luar mahkamah.

Linda tolak selesai luar mahkamah
“Ramai peminat yang mengharapkan supaya saya membuat penyelesaian tanpa membabitkan perundangan. Begitu juga penaja yang memberikan nasihat mereka. Seniman pula sangat bersungguh-sungguh untuk membantu. Dalam masa sama, saya turut memantau keseluruhan keadaan daripada tuduhan yang pernah dibuat terhadap saya.

“Namun, saranan untuk penyelesaian di luar mahkamah tidak disambut baik oleh Linda (Onn). Mungkin dia ada sebab tersendiri. Saya boleh memilih untuk menjadi angkuh dan ego tanpa menimbangkan implikasi buruk yang boleh menimpa seandainya saya terus berpegang kepada keangkuhan dan keegoan.

“Justeru, tagline saya untuk keseluruhan keadaan, mengalah bukan bererti kalah, berundur bukan bererti takut. Mungkin Linda tidak nampak apa yang saya nampak mengenai implikasi yang boleh membabitkan maruah kami saja, sebaliknya keluarga, kerjaya dan kawan-kawan seandainya perkara ini berpanjangan di mahkamah. Ramai pihak yang akan dipanggil untuk memberi keterangan, bagi saya perkara ini terlalu remeh dan menyusahkan hidup orang lain.

“Pada suatu ketika, saya dituduh dan perlu mengadakan sidang media untuk membersihkan nama supaya kerjaya tidak terjejas. Dalam masa sama, saya imbas semula keadaan, kerjaya saya tidak terjejas, penaja tidak menarik diri dan tawaran lakonan tetap ada. Namun, seandainya tuduhan dan hasutan yang pernah dibuat mengakibatkan rezeki saya tertutup, saya terpaksa meneruskan saman sekalipun perlu memperjudikan maruah saya.

'Saya terlalu banyak bersabar'

“Daripada maklum balas daripada banyak pihak, mereka senang dan menghormati tindakan saya iaitu memaafkan keadaan yang pernah berlaku antara saya, Linda dan semua. Bagi saya, apa yang pernah berlaku disebabkan manusia tiada yang sempurna. Justeru, selepas mendalami cadangan daripada banyak pihak, saya membuat keputusan tidak akan memanjangkan perkara ini hingga ke mahkamah.

“Saya sedar, apa saja keputusan yang saya buat, pasti ada pihak yang akan berfikiran negatif. Tetapi, berdasarkan pertimbangan dan pemerhatian, saya berasakan keputusan ini adalah yang terbaik. Saya nampak ramai yang menyokong keputusan ini daripada mempertikaikan tindakan saya sekiranya berlanjutan di mahkamah. Pun begitu, saya tak boleh memuaskan hati semua pihak. Saya membuat keputusan di atas nasihat suara ramai,” katanya panjang lebar.

Fahrin juga mengakui dia terlalu sebak pada sidang media empat bulan lalu kerana tidak faham kenapa pihak yang saling pernah berjasa suatu ketika dulu, tergamak membuat kenyataan yang boleh menjejaskan masa depan dan rezekinya sedangkan hubungan itu sudah lama berlalu.

“Kenapa sampai hati buat saya begitu sekali? Saya ada keluarga, tapi kenapa sanggup menimbulkan keraguan terhadap penilaian orang terhadap saya sedangkan mereka kenal siapa saya. Justeru, saya berasa amat sedih. Saya ada perasaan kerana itu air mata saya tumpah. Orang yang tidak ada perasaan adalah mereka yang ego. Saya terlalu banyak bersabar,” katanya lagi.

Fahrin harap tiada pihak jadi batu api

Apabila Fahrin tidak jadi memanjangkan perkara ini ke mahkamah, pelbagai persepsi bakal wujud di pihak Linda, antaranya kredibiliti Fahrin sebagai pelajar undang-undang akan tercalar atau dia hanya meraih publisiti semata-mata, sebaliknya saat ini Linda mungkin akan bertambah ego, apa komen Fahrin?

“Apa yang Linda nak rasa, nak kata, itu adalah haknya. Apapun keputusan saya bukan berdasarkan emosi. Perkara pokok di sini bukan menang atau kalah, sebaliknya ini adalah pengorbanan saya kepada keseluruhan keadaan termasuk kedua-dua pihak. Jika dia tak nampak, saya nampak. Saya tak rela mengaibkan orang hanya untuk mempertahankan diri sendiri. Di mahkamah nanti, rela atau tidak cakap pasal orang, kita terpaksa, itu yang saya tak mahu.

“Namun, seandainya perkara sama (tuduhan dan hasutan) diulangi oleh mana-mana pihak sekalipun, bukti yang ada boleh dirujuk kembali dalam jangka masa panjang. Saya harap selepas ini, perkara sama tidak dibangkitkan lagi oleh pihak Linda mahupun rakan media lain. Jangan jadi batu api! Jika ada kenyataan sekalipun, bukannya berbentuk provokasi! Ini janji saya, saya tidak akan berkata apa-apa lagi selepas ini.

“Saya percaya, setiap apa yang pernah berlaku, ada hikmah. Saya harap, perkara seumpama ini akan jadi pengajaran kepada keseluruhan industri supaya artis lebih berhati-hati ketika diminta membuat kenyataan apatah lagi isu yang membabitkan maruah dan periuk nasi orang lain. Dalam agama, kita digalakkan tegur menegur dengan cara yang baik, bukan menjatuhkan atau mengaibkan pihak lain, selain memberi pengajaran bersama,” katanya mengakhiri bicara.

Info Fahrin

NAMA PENUH: Fahrin Ahmad
TARIKH LAHIR: 9 Mei 1979
ASAL: Skudai, Johor
KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor
FILEM: 2 Hati 1 Jiwa, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Cicakman 2: Planet Hitam, 9 September, Puaka Tebing Biru, Pesona Non Grata, Qaisy & Laily, Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami! (ditayangkan mulai 20 Mei lalu) dan Ombak Rindu (bakal memulakan penggambaran)
DRAMA: Simbiosis, Salina, Banglo Nombor Satu, Villa Cinta Daddy, Dalam Hati Ada Cinta 4, Dalil Cinta dan Laila Asyikin (bakal memulakan penggambaran)
TEATER: Antara...
PENGACARAAN: Nadi KL, XY, Famili Penyayang dan Sehati Berdansa (musim pertama hingga ketiga)
DUTA: Garnier for Men dan Shell


Kronologi hubungan Fahrin-Linda dan Fahrin-Scha Alyahya

1. Gosip cinta antara Fahrin dan Linda semakin kuat diperkatakan sejak awal 2005, namun Linda kerap mengklasifikasikan hubungan mereka sebagai ‘teman tapi mesra’. Namun, kedua-duanya dikatakan pernah ke Makkah menunaikan ibadat umrah bersama.

2. Awal September 2007, desus-desus mendakwa Fahrin dan Linda sudah mengikat tali pertunangan secara diam-diam, namun mereka menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.

3. Fahrin dan Linda pernah bergelar pengacara bersama program realiti tarian Astro Ria, Sehati Berdansa pada musim pertama dan kedua. Pun begitu, memasuki musim kedua program berkenaan sekitar Oktober 2008, hubungan Fahrin dan Linda dikatakan melalui fasa perang dingin sehingga gelaran ‘teman tapi mesra’ tidak lagi relevan untuk mereka.

4. Penghujung 2008, Fahrin dikatakan sudah bertemu pengganti Linda apabila mula berkawan rapat dengan bakat baru dalam lakonan, Scha Alyahya. Namun, Fahrin tidak mahu melabel hubungan mereka sebagai ‘teman tapi mesra’ kerana pengalaman lalu banyak memberi pengajaran kepadanya. Dia lebih selesa mentafsir hubungannya bersama Scha sebagai teman rapat.

5. Hubungan cinta Fahrin dan Scha turut dijadikan pelaris untuk program realiti Sehati Berdansa musim ketiga sekitar September 2009, namun belum sempat program berkenaan menemui penonton, Scha membuat pengakuan terbuka, antara dirinya dan Fahrin sudah tidak ada apa-apa hubungan istimewa lagi.

6. Tanggal 25 Januari 2010, Fahrin mengadakan sidang media di Palace of the Golden Horses mengumumkan dia memberi tempoh tujuh hari supaya Linda membuat permohonan maaf sebelum tindakan undang-undang diambil ke atasnya selepas personaliti radio berkenaan membuat kenyataan menerusi akhbar Sinar Harian diikuti The Star terbitan 19 dan 20 Januari 2010 yang dikatakan mempunyai unsur hasutan sehingga boleh menjejaskan nama baik dan reputasi Fahrin.

7. Diwakili peguam bela Tengku Naufal Tengku Mansor daripada Tengku Naufal & Co, Fahrin membuat empat tuntutan ke atas Linda iaitu membuat permohonan maaf secara jelas, penarikan semula kenyataan secara terbuka yang disiarkan dalam akhbar, aku janji tidak mengulangi kenyataan memburukkan Fahrin Ahmad dan tuntutan kos ganti rugi.

8. Pun begitu, Linda terus berdiam diri, sekadar menunggu surat saman daripada Fahrin dan menanti kes berkenaan berakhir di mahkamah. Ramai pihak yang menasihatkan Fahrin supaya menyelesaikan kes yang lebih berbau peribadi itu tanpa membabitkan perundangan, namun Fahrin terus memberi tempoh supaya Linda menjawab tuntutannya. Namun, selepas empat bulan menunggu, tiada surat saman dikeluarkan terhadap Linda.

Peminat mahu Noh minta maaf


Tulis perkataan ‘Awak busuk’ sebagai ganti tanda tangan autograf dianggap menghina pelajar universiti.
SEORANG gadis remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Zee, 20, tampil membuat pengakuan kepada B*Pop mendakwa artikel atau gosip yang disiarkan menerusi akhbar ini berjudul ‘Vokalis kumpulan indie biadab, hina warga universiti’ terbitan 16 Mei lalu sebagai satu cerita benar. Malah, tanpa berselindung dan penuh yakin, dia menamakan penyanyi yang dimaksudkan itu sebagai Noh iaitu vokalis band popular ketika ini, Hujan.
Zee mendakwa, dia yang menjadi peminat kumpulan muzik itu turut menjadi mangsa kebiadapan Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh, 25, pada hari kejadian 29 April lalu menerusi sebuah majlis anjuran Fakulti Seni Reka dan Bentuk kursus Diploma Teknologi Fotografi di sebuah universiti tempatan. Zee yang juga pelajar tahun akhir kursus berkenaan mewakili rakannya yang lain menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sikap Noh yang dianggap keterlaluan itu. “Selepas membaca artikel berkenaan, saya pasti penyanyi indie yang dimaksudkan itu ialah Noh Hujan! Kejadian berlaku di universiti tempat saya belajar. Noh bersikap biadap melayan kerenah pelajar yang ingin mendapatkan tanda tangannya. Namun, autograf yang kami peroleh daripada Noh hanya tertera perkataan yang ditulisnya ‘Awak Busuk’!

“Sepatutnya Noh menulis namanya atau menurunkan tanda tangan jika peminat meminta autograf, bukan tulis ‘Awak Busuk’! Mungkin ini adalah autograf terbaik daripadanya! Saya harap artis lain tidak mencontohi sikap Noh Hujan,” kata Zee penuh kesal.

Pihak fakulti menganjurkan majlis berkenaan untuk memberi anugerah kepada pelajar berdasarkan pencapaian hasil kerja kursus mereka. Selain Noh, artis atau selebriti lain yang turut dijemput ialah tokoh perfileman negara, Senator Tan Sri Dr Jins Samsudin; Datin Paduka Shuhaimi Baba; Datuk Yusof Haslam dan Datuk Siti Nurhaliza.

Namun, menurut Zee, semua tetamu sedia memberikan kerjasama kepada pelajar sekalipun tidak menerima sebarang bayaran. Mereka tidak keberatan bergambar, menandatangani autograf dan menghadiri jamuan ringan, kecuali sikap ego Noh yang mengundang perasaan tidak senang di kalangan penuntut universiti berkenaan.
“Bagi saya, antara Noh dan Siti Nurhaliza memang jauh beza, antara langit dengan bumi, tapi kenapa Siti boleh melayan kami dengan amat baik? Siti sentiasa tersenyum dan melayan kerenah kami untuk bergambar, menandatangani autograf dan tidak meninggalkan majlis, tapi Noh berkelakuan sebaliknya. Dia terus meninggalkan majlis begitu saja tanpa pengetahuan kami!

“Seperti dilaporkan B*Pop tempoh hari, Noh turut menyebut sebaris ayat - ‘girls kat sini tak cantik, tak cun!’. Saya sendiri yang mendengar kata-katanya itu. Bagi kami, kata-kata Noh kasar dan keterlaluan untuk diterima. Kenapa dia perlu berkata begitu? Sekiranya Noh bergurau, perlulah kena pada tempatnya.

“Kata-katanya itu dilontarkan secara terbuka di khalayak ramai. Kami rasa terhina! Jika Noh beranggapan dirinya bintang rock yang hebat, mungkin ya... sebab kami sebagai pelajar, remaja, memang minat band indie. Namun, selepas kami dihina, apa gunanya kami terus menyokong atau meminati artis seperti dia?

“Selain menulis ‘Awak Busuk’ yang dianggap menghina pelajar wanita, Noh juga menggunakan Artline yang diberikan untuk menconteng papan kenyataan di universiti kami. Namun, kami sudah pun memadamkan kesan contengan itu,” kata Zee yang ternyata kecewa.

Selepas diperlakukan begitu, Zee mewakili teman sekampus mengakui amat kecewa dengan sikap tidak sopan Noh terhadap mereka. Katanya lagi, Noh tidak menghargai jemputan daripada peminat yang mengagumi lagu-lagunya bersama Hujan.

“Saya tak cakap saya cantik, tapi ciptaan Tuhan, nak buat macam mana? Noh pun bukannya handsome sangat! Tapi, apabila kami meminatinya, dia juga perlu menghormati peminatnya. Kenapa bila ada press pada majlis yang dihadirinya, Noh boleh kata dia sayang peminat, terima kasih peminat! Tapi, pada hari kejadian, tiada wartawan bertugas, jadi kenapa dia perlu memperlekehkan kami? Noh hipokrit dan tunjuk belang tak tentu pasal!

“Justeru, saya Zee mewakili pelajar wanita dari universiti berkenaan, berharap Noh Hujan meminta maaf secara terbuka kepada pihak kami atas apa yang diucap dan dilakukannya terhadap warga kampus. Mungkin ini adalah kali pertama dan terakhir kami menjemput Noh ke universiti ini,” kata Zee dalam temu bual bersama B*Pop dan kru Melodi TV3.

Aduhai! Rozita Che Wan berskirt pendek


MINGGU lepas Cik Normah berkesempatan menonton Konsert Akhir Akademi Fantasia (AF8) walaupun sebenarnya hati ini berat sangat nak pergi. Ialah tahun ini tak ada seorang pun pelajarnya yang memikat hati Cik Normah, tak macam Zahid dengan Mawi dulu.

Ketika itu, memang Cik Normah bersungguh-sungguh mengundi mereka. Tapi untuk AF8 baru-baru ini, Cik Normah tidak mengundi mana-mana pelajarnya. Tapi ini tidaklah bermakna pelajar AF8 tidak bagus. Tak dapat nafikan ramai juga yang berbakat besar.

Atas sebab itulah, atas undangan rakan-rakan di Astro, Cik Normah pergilah juga sebab tak mahu mengecilkan hati kawan-kawan. Walaupun pada mulanya hati Cik Normah keberatan, tetapi apabila sudah sampai ke sana dan terjumpa pula rakan-rakan seperjuangan. Kebosanan Cik Normah berubah menjadi keseronokan.

Ketika berborak sakan dengan teman-teman, tiba-tiba mata Cik Normah terpana pada seorang wanita yang cukup anggun yang juga bukan asing dalam industri seni tanah air. Wanita cantik berbaju merah dan berbunga di kepala itu cukup menarik perhatian Cik Normah. Dari paras kepala ke pinggang, Cik Normah memang terpegun melihat kecantikannya tetapi bila melihat pinggang ke bawah, Cik Normah hampir saja tersedak.

Dalam hati Cik Normah terdetik, amboi seksinya Rozita Che Wan. Bukan main putih gebu lagi pehanya. Ramai juga yang agak ‘tersiksa’ apabila terpandang penampilan seksi Rozita ketika itu. Maaflah Ita jika Cik Normah menegur, Cik Normah bukanlah ortodoks atau old school, cuma Cik Normah tak berapa berkenan dengan penampilan Ita pada malam itu. Memanglah cantik dan mengiurkan, tetapi skirt pendek paras atas lutut yang bila duduk menyerlahkan keputihan pehanya tak berapa elok pada pandangan Cik Normah.

Lagipun Ita baru saja pulang dari umrah, bukankah lebih elok jika memakai pakaian yang lebih sopan. Kalau boleh bila balik dari menunaikan ibadat, pakaian kenalah jaga sikit. Ialah seolah-olah umrah tu pergi melancong pula bila balik penampilan tidak dijaga. Dalam sebuah drama yang disiarkan dalam Astro juga turut menampilkan Ita berpakaian sopan, lengkap bertudung. Tapi realitinya... aduhai!

Pada malam itu bukan saja Rozita yang seksi, Azza bekas anggota kumpulan Elite pun bukan main sakan lagi gayanya. Kalau skirt Rozita pendek, Azza punya lagi pendek. Kalau iya pun nak bergaya, fikirkanlah kesesuaian majlis. Kalau boleh bila pergi ke majlis yang ramai peminat, berpada-padalah sikit bergaya. Apatah lagi masa AF8 hari itu, sebahagian besar penontonnya remaja dan orang muda. Bukan apa nanti jadi bahan mengata pula.

Kos perkahwinan RM4 juta-Dian Sastrowardoyo


BAGAIKAN perkahwinan diraja. Itulah yang dapat disimpulkan mengenai acara pernikahan pasangan Dian Sastrowardoyo dengan suaminya, Maulana Indraguna Sutowo baru-baru ini.

Berdasarkan apa yang dilaporkan oleh media Indonesia, acara perkahwinan pasangan itu berlangsung dalam suasana serba mewah dan gemilang.

Difahamkan kos perkahwinan mencecah RM4 juta termasuk acara resepsi pernikahan yang diadakan di Pienary Hall Jakarta Convention Centre di Senayan, Jakarta.

Berikut kami siarkan foto-foto sekitar perkahwinan pasangan berkenaan yang dirakamkan pada majlis peminangan, akad nikah, khatam al-Quran dan persandingan.

Hari gemilang Dian, Indra


SETELAH gagal beberapa kali menjalin cinta, Dian akhirnya menemukan pelabuhan terakhir cintanya.

Maulana Indraguna Sutowo menjadi tempat hatinya berlabuh setelah bercinta selama dua tahun.

Kedua-duanya bertunang pada 14 Februari lalu dan selang tiga bulan selepas itu, pasangan berkenaan disatukan pula sebagai suami isteri pada 18 Mei.

Pelakon, Ada Apa Dengan Cinta?, Dian atau nama sebenarnya Dian Pramita Sastrowardoyo, 28, menamatkan zaman bujangnya dengan pilihan hati yang juga sebaya dengannya.

Pernikahan yang menggunakan adat Jawa itu dijalankan di Hotel Dharmawangsa Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.

Pada majlis pernikahan itu, Dian menerima sepasang telekung dan perhiasan emas sebagai mas kahwin.

Perhiasan emas seberat 185 gram itu melambangkan tarikh pernikahan mereka pada 18 Mei.

Mas kahwin tersebut diserahkan kepada bapa saudara Dian yang menggantikan ayahnya yang telah meninggal dunia.

Setelah selesai akad nikah Dian dan suaminya melakukan adat panggih (bertemu) pengantin setelah kedua-duanya dipisahkan selama tiga minggu.

Ia merupakan adat yang berasal dari Jogjakarta iaitu pasangan pengantin ditemukan semula setelah rasmi menjadi suami isteri.

Mengikut adat yang diwarisi, pasangan pengantin itu, tidak dibenarkan bertemu selama tiga minggu sebelum mereka disatukan.

Sejam selesai akad nikah, Dian keluar dari 'persembunyian' dan ditemukan dengan Maulana yang secara rasmi menjadi suaminya.

Dian yang anggun mengenakan busana pengantin kebaya off white muncul di depan Maulana dengan senyuman lebar.

Pada acara bersejarah itu, Maulana pula memakai pakaian pengantin berwarna putih dengan topi jawa dikenali sebagai blangkong berwarna hitam setelah penantian untuk bertemu dengan pasangannya berakhir.

Setelah itu dilanjutkan dengan upacara adat panggih yang bermula dengan melemparkan daun sirih di antara Dian dan Maulana.

Dian juga mencuci tapak kaki suaminya dengan air berasal dari lima sumber. Pasangan itu akhirnya duduk bersanding di pelamin di hadapan ratusan tetamu dan ahli keluarga.

Dian mengalirkan air mata semasa pernikahannya. Bukan sahaja kerana bahagia bergelar isteri kepada lelaki yang dicintainya tetapi juga terkenangkan arwah bapanya yang tidak sempat melihat peristiwa bersejarah dalam hidupnya itu.

Menurut Dian, suaminya tidak pernah bertemu dengan bapanya dan hanya melihat gambar-gambar sahaja.

Dian dan Maulana bertemu pada tahun 2007 dan akhirnya menjalinkan hubungan cinta.

Resepsi pernikahan diadakan di Pienary Hall Jakarta Convention Centre di Senayan, Jakarta.

Selepas pernikahan kedua-duanya tetap mahu menjalani hidup seperti sebelum mereka menikah dahulu.

Berdasarkan rancangan dan kata sepakat, pasangan pengantin itu akan meneruskan kehidupan mereka biarpun sudah terikat dengan komitmen sebagai suami isteri.

Baik Dian mahupun Maulana, masing-masing memahami prinsip bahawa kedua-duanya harus menghormati kerjaya peribadi masing-masing.

"Tapi yang pasti dalam kehidupan perkahwinan akan banyak perbincangan dan komunikasi untuk ambil keputusan, salah satunya tentulah tentang pekerjaan.

"Saya dan Dian dari awal sudah memahami pekerjaan satu sama lain. Kalau memang Dian masih mahu memenuhi kerjayanya tidak menjadi masalah, sebab saya juga mempunyai karier sendiri," kata Maulana.

Bagi aktres kesayangan ramai itu pula, selepas bergelar isteri, dia akan memberi perhatian pada rumah tangga.

"Yang pasti kami akan selalu mengutamakan keluarga kemudian baru kerjaya. Sebelum mengambil sebarang keputusan, saya akan berbincang dengan suami.

"Apa-apa yang akan kita putuskan pasti tergantung dengan perbincangan atau komunikasi kami berdua," kata Dian.

Pasangan Dian dan Maulana juga merancang untuk mengelilingi Laut Mediteranian sebagai destinasi bulan madu pilihan mereka.

Alyah cuba jauhi suami orang

SATU persatu cerita kurang enak terbit dalam kehidupan penyanyi popular bertubuh genit ini. Baru saja reda kontroversi pertelingkahan dengan jurumekap, Noor Hasliah Abu Hasan, 29, atau Alyah, dikatakan pula menjalin skandal dengan lelaki berstatus suami orang.

Sejauh mana kebenarannya, Alyah yang ditemui Rap baru-baru ini, diminta menjelaskan sendiri mengenai gosip hangat itu.

"Bukan suami orang saja, macam-macam orang cakap pasal saya sebelum ini. Bagaimanapun, saya tak nafikan dulu pernah berkawan dengan suami orang, Sekarang tidak lagi dan saya masih 'single'.

"Saya juga manusia biasa tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Album Tak Mungkin Kerana Sayang yang diterbitkan Ajai itu sebenarnya adalah terjemahan luahan rasa semua cerita lama yang sudah saya tinggalkan.

"Saya mengorak langkah baru selepas pernah putus cinta," katanya sambil meneguk jus oren di gazebo Mayangsari Resort & Spa di Dungun, Terengganu, baru-baru ini.

Akui Alyah lagi, pelbagai iktibar diperolehnya daripada hubungan yang dianggap terlarang itu. Justeru, dia tidak mahu mengulangi kesilapan sama.

Saya pernah putus tunang ketika hampir-hampir hendak berkahwin dulu. Kemudian saya juga pernah berkawan dengan suami orang. Kalau boleh, saya tak mahu terjebak dengan situasi sebegitu lagi. Memanglah soal jodoh susah dijangka tapi selagi boleh, saya akan cuba menolaknya. Terus terang saya sudah serik.

"Dalam mencari pasangan hidup, saya tidak kisah apa pun pekerjaan asalkan lelaki itu mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin terhadap keluarga.

"Fokus utama saya sekarang adalah kepada kerjaya nyanyian saya. Album terbaru saya dalam proses pembikinan. Pada masa sama, saya sibuk memenuhi undangan nyanyian di merata tempat dan pada hari tidak bekerja akan memberi tumpuan kepada keluarga dan anak saya (dua anak angkatnya)," kata Alyah yang semakin pandai bergaya.

Pembabitan Alyah dalam bidang seni kalau diikutkan sudah bermula sejak Bintang HMI 2000 bahkan sebelum ini sudah memiliki dua album solo dan satu album bersama Fabulous Cats. Dari segi pengalaman, dia sudah banyak menjuarai pelbagai pertandingan lagu pop dan asli.

Bagaimanapun, simbahan cahaya populariti mula menyinari anak kelahiran Gelang Patah, Johor ini tahun lalu apabila lagunya, Tak Mungkin Kerana Sayang dan Ku Pinjam Satu Bintang dan Realiti Dewi, membawa tuah.

Dek faktor itu jugalah Alyah belum sedia untuk menamatkan zaman bujang kerana menganggap kerjaya seninya baru hendak bernafas bermula.

"Seperti saya katakan, fokus utama saya adalah karier nyanyian. Khamis lalu saya baru selesai merakamkan lagu kedua yang akan dimuatkan dalam album solo ketiga.

"Lagu itu dihasilkan Azlan Abu Hassan, ia berkonsepkan balada rock dan liriknya ditulis Kak Chah (Habsah Hassan). Judul asalnya, Pesananmu Azimat Di Jiwa, tetapi mungkin akan bertukar tajuk lain. Saya juga akan merakamkan sebuah lagu ciptaan Julfekar dan Slen bulan depan.

"Kerjasama ini adalah yang pertama antara saya, Azlan dan Julfekar. Sejak dulu lagi saya selalu mengikuti perkembangan muzik mereka dan alhamdulillah baru sekarang saya memperoleh peluang.

"Azlan menghasilkan lagu bercorak balada rock manakala Julfekar pula slow balada. Sebelum ini kedua-dua mereka banyak menaikkan nama artis seperti Adibah Noor, Kaer, Farawahida dan Azharina," katanya.

Mengambil masa kurang dua jam untuk dirakamkan, sebuah lagi lagu juga selesai pembikinannya adalah Bisu ciptaan Omar K yang juga komposer lagu Realiti Dewi.

"Lirik lagu itu ditulis Sulu Sarawak dan konsep lagunya ala Bad Romance yang dipopularkan Lady Gaga. Keseluruhan kos album ini ditanggung saya sendiri.

"Album ini hanya memuatkan enam lagu. Insya-Allah saya juga akan menggunakan lagu ciptaan Lan Laga. Melengkapkan jumlah lagu yang akan dimuatkan, saya juga mengintai peluang untuk bekerjasama dengan Aidit Alfian," katanya.

Mengakui tidak mudah menghasilkan album dengan bajet sendiri, namun Alyah puas dapat menimba pengalaman itu.

"Saya kena kerja keras untuk mencapai impian. Duit hasil nyanyian saya peruntukkan untuk diri dan keluarga. Selebihnya saya simpan untuk pembikinan album ini.

"Memang susah untuk menghasilkan album sendiri kerana zaman sekarang, bukan macam zaman dulu. Dulu syarikat rakaman yang uruskan semua.

"Saya masih perlu banyak belajar dan ucapkan terima kasih kepada semua pihak media dan peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada saya," kata Alyah yang akan bertanding dalam final Gah 1 terbitan RTM.

Alyah yang pernah menjuarai Wirawan EON pada 1994, Juara Bintang Pepsi (1996), Juara Suara Johor (1997) dan Naib Juara Asia Bagus (1998), turut menyertai One In A Million musim kedua, namun tersingkir pada konsert minggu keempat.

Kegilaannya untuk menyanyi tidak pernah padam apabila menyertai Fabulous Cats untuk projek album sulung, Fantastik, tetapi Alyah menarik diri kemudian mencuba pula nasib dalam pertandingan pencarian bakat berkumpulan terhebat Asia, Gang Starz musim kedua untuk diserap masuk ke dalam One Nation Emcee. Namun disebabkan masalah kesihatan, dia menarik diri.

Album menggunakan judul Alyah turut dicalonkan dalam kategori Album PopTerbaik di Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) manakala Tak Mungkin Kerana Sayang berjaya ke Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24).


ROFIL

NAMA PENUH: Noor Hasliah Abu Hasan
TARIKH LAHIR: 3 Januari 1981
ASAL: Gelang Patah, Johor
HOBI: berenang, memasak, menyanyi dan mengembara
IDOLA: Celine Dion, Aishah, Sheila Majid, Anita Sarawak
Pencapaian muzik (antaranya):


Juara Wirawan EON (1994)

Juara Bintang Pepsi (1996)

Juara Suara Johor (1997)

Naib Johan Asia Bagus! (1998)

Album kedua turut dicalonkan dalam kategori Album Pop Terbaik AIM16.

Fauziah Latiff malas fikir soal jodoh


MUNGKIN bagi sesetengah wanita yang telah mengalami tragedi perceraian dalam kamus hidup, mereka menganggap tidak dapat meneruskan kehidupan dengan baik tanpa seorang insan bergelar suami.

Bagi wanita-wanita itu, mereka mungkin akan mencari pengganti seorang lelaki sebagai teman dalam hidup mereka atau lebih sopan dipanggil suami sejurus selepas bercerai.

Kehidupan selepas bercerai bukanlah impian bagi setiap wanita kerana mereka akan dinobatkan satu dengan 'title' iaitu janda.

Tetapi perkara itu tidak menghantui penyanyi cantik, Fauziah Latiff. Dia ternyata menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal sejak beberapa tahun lalu dengan tenang bersama dua anaknya yang kini berusia 10 dan 12 tahun.

Katanya yang kini menginjak usia 40 tahun, baginya soal jodoh itu adalah kerja Tuhan dan dia malas untuk memikirkannya.

"Kalau saya terlalu fikirkan hal itu, ia akan membuatkan saya sakit hati. Saya nak fikir yang mudah-mudah sahaja buat masa ini.

"Soal jodoh ini kalau ada-adalah," luahnya ketika ditemui di Perbadanan Filem Nasional (Finas) baru baru ini.

Tambah Fauziah yang lebih mesra dipanggil Jee, malas untuk fikirkan soal jodoh bukan bererti dia sudah tidak mahu untuk berkahwin lagi tetapi dia lebih bersikap terbuka.

"Untuk memperbaiki kualiti kehidupan selepas perceraian, saya banyak menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama teman-teman dan melakukan scuba diving.

"Bagi saya hidup ini tidak panjang. Selagi ada masa kita buat apa yang kita nak buat," katanya.

Jee cipta lagu

Musim yang pertama Gelora Di Hati Sara adalah sejarah kepada seorang penyanyi yang diminati ramai ini kerana akhirnya dia 'terpedaya' untuk terbabit dalam bidang lakonan mengikut penerbit dan juga pelakon, Rosyam Nor.

Memanjangkan drama bersiri ini, Fauziah atau mesra dipanggil Jee, tidak sekadar berlakon, sebaliknya dia telah mencipta lagu, sekali gus menjadi lagu tema untuk drama bersiri 26 episod yang kini memasuki musim kedua.

Menurut Jee, walaupun dia pernah melalui pengalaman masalah rumah tangga tetapi lirik lagu yang berjudul Ku Di Sini itu tidak mempunyai kaitan langsung dengan dirinya.

"Memang saya pernah alami sendiri pengalaman pahit berkenaan rumah tangga tetapi lagu yang dicipta memang untuk disumbangkan kepada drama ini. Ia tidak berkaitan dengan masa lampau saya," katanya.

Tambahnya, banyak pengalaman baru yang dia belajar selepas masuk dalam bidang lakonan.

Katanya: "Saya berharap bidang lakonan yang diceburi ini dapat memberi sinar dalam kehidupan selepas ini."

Malah Rosyam Nor selaku orang yang bertanggung jawab membawa Jee masuk dalam bidang lakonan, mengakui pada awal penggambaran, Jee sedikit kekok. Tetapi Rosyam tetap yakin dengan kredibilitinya sebagai pelakon.

"Pada awal penggambaran GDHS 2 ini, secara jujurnya saya mengakui Jee mempunyai masalah mungkin kerana sudah setahun dia tidak berlakon.

"Kami memberikan adegan yang kurang berat pada awalnya supaya Jee dapat mengikut rentak lakonannya diikuti dengan adegan yang lebih mencabar," katanya.

Gelora

Jika episod siri pertama berakhir dengan kebahagiaan menjadi milik Asrul bersama Sara meski pun Sara dibayangi serba salah dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh madunya, Tengku Marina, drama ini berkembang dengan konflik yang lebih merumitkan lagi apabila watak Sara berkeras mahu meneruskan penceraiannya dengan Asrul.

Menurut Rosyam, musim kedua ini adalah kesinambungan dari musim pertama yang pernah mencetuskan fenomena di kalangan peminat drama bersiri kekeluargaan.

"Pada musim yang kedua, watak dalam setiap plot drama ini akan dikembangkan,"katanya.

Pada musim kedua Sara sanggup berkorban semata-mata mahu melihat kebahagiaan menjadi milik Tengku Marina yang dipercayai ikhlas mencintai Asrul meskipun Iskandar ingin kembali kepadanya.

Kebaikan Sara membuatkan Marina setuju untuk diceraikan. Datin Maria sangat sedih dengan keputusan Tengku Marina kerana dia adalah menantu pilihannya.

Seboleh-bolehnya Datin Maria mahu mengekalkan perkahwinan itu. Datin Maria berada dalam keadaan dilema kerana menantu-menantunya mahu berkorban di antara satu sama lain.

Bagaimanapun Asrul tetap memilih Sara dan mahu menceraikan Tengku Marina seperti kehendak Tengku Malik. Tengku Malik memutuskan hubungan persahabatan dengan Datuk Taufik dan menganggap Asrul mengkhianati Tengku Marina. Dia juga menarik semua saham dalam syarikat Datuk Taufik dan membatalkan semua perjanjian perniagaannya.

Sara meneruskan proses perceraian Diana dengan Zaidi. Zaidi yang dikenakan tuduhan pecah amanah dan menipu syarikat bapa mertuanya dibebaskan dengan jaminan RM500, 000 serta dilarang meninggalkan Malaysia sementara menunggu tarikh perbicaraan. Zaidi enggan menceraikan Diana.

Dia merayu kepada Diana untuk menerimanya semula dan kononnya insaf perbuatannya. Zaidi mencari jalan supaya Datuk Taufik bersimpati kepadanya dan menggugurkan dakwaan.

Namun masihkan ada peluang untuk Sara terus menyayangi anak itu setelah Tengku Marina mahu merebut haknya dan memisahkan keduanya semata-mata dia cemburukan perhatian diberikan Asrul kepada Sara dan anak itu? Dan masihkan ada rasa keinsafan di hati wanita bernama Tengku Marina itu?

Anda boleh menyaksikan kesudahan drama bersiri penuh konflik kekeluargaan ini dengan meluangkan masa menonton Gelora Di Hati Sara 2, setiap Rabu, pukul 9.30 malam di TV2.

Drama arahan Mohd Nasir Juhan (Jet Lee) itu juga masih mengekalkan gandingan pelakon handalan seperti Watie Sadali, Dato' Rahim Razali, Aida Radzwil dan Norman Hakim.

Anne tunai umrah lepas cerai


TIADA angin tiada ribut, kebahagiaan yang pernah dicipta pelakon manis, Anne Ngasri atau nama sebenarnya, Nasriah Ngasri dengan suami yang dinikahi sejak 2006 lalu, Abdul Wafi Hassan bertukar menjadi ribut kedukaan.

Pasangan low profile ini mengejutkan khalayak sekitar dua bulan lalu apabila mengesahkan mereka bercerai, namun selepas kes didengar di mahkamah minggu lalu, barulah Anne bersedia untuk membuka mulut berkongsi sedikit kisah perpisahan mereka.

Menjadi ibu tunggal kepada dua cahaya mata lelaki iaitu Abdul Warits dan Abdul Wafri, Anne yang kini baru berusia 25 reda dengan ketentuan Ilahi.

Malah dia sendiri mengaku, sedang mengandung empat bulan anak bekas suaminya itu. Tetapi benih yang ada di dalam rahimnya tidak mungkin diikat semula dengan ikatan rumah tangga kerana dia dan Wafi, 28 tahun, telah bercerai dengan talak tiga.

Sewaktu ditemui pada majlis perasmian dirinya sebagai duta produk Aleema, wajahnya tenang sahaja seolah-olah tiada apa yang berlaku. Namun, dalam hatinya, siapa yang tahu bila terpaksa berdepan dengan dugaan besar apabila mahligai perkahwinan yang dibinanya selama lima tahun diakhiri dengan penceraian.

Menurut Anne, setelah gagal mencari jalan penyelesaian, Anne telah memfailkan permohonan lafaz cerai pada 16 April lalu yang mendakwa suaminya ada melafazkan 'Aku ceraikan kau Anne' di kediaman mereka di Shah Alam pada pukul 11.20 pagi, 25 Mac lalu.

Pada Khamis lalu pula, Mahkamah Syariah telah menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula pengesahan lafaz cerai pasangan ini.

Walau kelihatan susut kerana alahan mengandung, Anne seperti biasa, Anne sentiasa memberikan senyuman manis kepada para wartawan serta teman-teman yang hadir bagi menjayakan majlis tersebut.

Sebelum menemubualnya, Anne terus berkata: "Kita borak begini lebih elok kan. Masa di mahkamah, saya memang tak boleh nak beri komen apa-apa. Pertama kali katakan, terasa gugup pula."

KOSMO!: Sejak bila Anne dan Wafi berpisah? Adakah Wafi tahu mengenai kandungan Anne?

ANNE: Kami berpisah sejak bulan Mac lalu dan masa Wafi melafazkan cerai dia tahu yang saya sedang mengandung.

Waktu diceraikan, ada tak Wafi terfikir mengenai kandungan Anne?

Saya tak tahulah apa reaksi dia tentang hal ini.

Bagaimana dengan perasaan Anne sekarang?

Bagi saya, ini semua qada' dan qadar. Mungkin jodoh kami tidak berpanjangan. Saya pun dah cuba yang terbaik. Sekarang saya rasa lebih lega. Saya menerima takdir ini dengan hati yang terbuka. Saya menerima apa yang sudah terjadi dan inilah penyelesaian yang terbaik untuk kami.

Lega dengan keputusan ini?

Ya. Sebab saya reda dengan ketentuan ini dan lega kerana segala masalah yang dilalui kami selesaikan dengan cara yang baik. Saya pun tak suka antara kami atau keluarga bergaduh.

Apa punca kalian bercerai?

Saya tak mahu komen apa-apa dan ia terlalu peribadi untuk saya ceritakan. Dia pun ada keluarga dan saya perlu menjaga hati keluarga bagi kedua-dua belah pihak.

Ada gosip mengatakan yang Anne adalah mangsa keganasan rumahtangga. Benar?

Saya tak mahu komen apa-apa.

Ada kaitan dengan orang ketiga?

Maaf, yang ini juga saya tak mahu komen.

Masih lagi sayang pada suami?

Ya, masih. Siapa yang tidak sayang suami dan siapa yang mahu rumah tangga mereka berantakan bukan? Tapi ia telah pun terjadi dan inilah jalan terbaik buat kami. Saya reda. Saya percaya, ada hikmah disebaliknya.

Sudah bersedia bergelar janda?

Ya, saya dah sedia dan tak risau pun dengan kritikan yang bakal diterima nanti. Saya masih muda dan banyak perkara lagi yang perlu dilakukan. Saya pun tak serik untuk berumah tangga semula pada masa akan datang nanti.

Anne nampak terlalu tenang, tapi mesti anda menyimpan semuanya sendirian bukan?

Saya pun tak tahu. Kena redalah. Rasanya dalam hal ini, kita tak boleh tuding jari kepada sesiapa pun kerana dua-dua pun salah.

Komen Anne bila orang mengaitkan penceraian kalian berpunca daripada badi program realiti televisyen, Sehati Berdansa?

Taklah. Ini semua kerja Allah S.W.T. Saya percaya hal ini bukan kerana badi Sehati Berdansa. Ada juga yang tidak terlibat dengan program itu juga bercerai.

Dulu ketika Anne baru menjinakkan diri dengan pemakaian tudung, Anne dikritik kerana membuka tudung dalam drama Na-O-Mei. Jadi adakah Anne akan membuka tudung mengikut tawaran juga selepas bergelar janda?

Saya tak mahu komen apa-apa. Insya-Allah saya akan pakai sampai bila-bila. Alhamdulillah, sejak peminat dan media memberi respons mengenai perubahan saya yang memakai tudung ini, semakin banyak pula tawaran berlakon watak bertudung.

Apa perancangan Anne kini?

Pada 26 Mei ini, saya akan mengerjakan umrah mengikut rombongan. Saya tahu, beribadat di mana-mana pun sama. Tapi di sana saya nampak cahayanya dan hasrat ini sudah lama saya inginkan. Sudah dua kali saya ingin mengerjakan umrah dan Alhamdulillah, keinginan buat kali ketiga ini termakbul. Kebetulan tarikh itu adalah ulang tahun pernikahan saya.

Hak penjagaan anak pula bagaimana?

Buat sementara waktu, saya yang menjaganya dan setakat ini kami tiada masalah tentang hak penjagaan anak. Lagipun, saya tinggal berdekatan dengan keluarga dan jika tidak dapat menjaga anak-anak kerana penggambaran, saya akan hantar kepada mak saya. Cuma harapan saya, biarpun kami sudah berpisah, anak-anak kami tidak akan terabai. Terutama daripada segi kasih sayang. Saya harap kami akan adil dalam hal kasih sayang ini.

Diulit cinta-Scha dan Juliana


Scha, Juliana akui kini semakin selesa mempunyai kekasih, kerjaya berjalan seiring

SAMA cantik, sama popular dan sama-sama sedang bercinta! Scha, 27, dan Juliana, 21, masing-masing berdarah kacukan, kedua-duanya laris di kaca TV, filem dan pentas peragaan, kini mereka menjadi ayam tambatan Astro apabila dipilih mengacarakan program hiburan terbaru, Kata Kau dan Era TV menerusi stesen berbayar itu. Mereka terus bersemangat melayari kerjaya seni, lebih-lebih lagi kekosongan di hati sudah berpenghuni.

Namun, yang jelas bagi Scha mahupun Juliana, dalam hati ada bunga apabila kedua-duanya sedang diulit bahagia dengan pasangan masing-masing. Scha selepas melalui episod duka dalam percintaannya sebelum ini, kelihatan manja di sisi pengacara dan pelakon kacak, Awal Ashaari, manakala Juliana tidak lagi kesepian selepas hati dilukai apabila dirinya kini setia ditemani penyanyi popular, Sam Bunkface. Kedua-duanya juga teruja apabila diberi peluang bergandingan buat pertama kali menerusi sesi fotografi ini. Kali terakhir mereka bekerjasama kira-kira tiga tahun lalu apabila menjayakan komersial TV, Nokia. Namun, selepas itu mereka belum pernah dipertemukan atas tiket kerja, sehinggalah B*Pop menemukan dua jelitawan ini di tengah padang golf bertaraf elit di pinggir ibu kota.

Sekalipun kedua-duanya tidak pernah menyembunyikan hubungan cinta daripada pengetahuan peminat dan media massa, namun Scha mahupun Juliana, sehingga hari ini masih keberatan menjayakan fotografi yang diatur khusus bersama pasangan masing-masing. Pun begitu, sekiranya menemui Scha bersama Awal dan Juliana di sisi Sam pada sebarang majlis hiburan atau terserempak di mana-mana, mereka tiada halangan bergambar sama.

Setiap kali diajukan soalan adakah Scha dan Awal pasangan kekasih, kedua-duanya tidak pernah menafikan. Malah terus selesa melabel hubungan mereka semakin intim dan dalam masa sama masih mengenali hati budi masing-masing sebelum membuat keputusan mengubah status diri daripada solo kepada berkahwin.

“Jujurnya saya tidak mahu bercerita mengenai kisah peribadi lebih-lebih lagi soal cinta secara sangat terbuka. Saya dan Awal juga tak mahu dikatakan terlalu menunjuk-nunjuk hubungan kami. Justeru, memang saya akui, keberatan untuk bergambar bersama Awal menerusi fotografi yang diatur khusus buat kami.
Belum sedia diganding sebagai pengacara

“Memang banyak pelawaan daripada rakan wartawan, namun saya minta maaf sebab terpaksa menolak permintaan mereka untuk menggandingkan kami. Begitu juga pelawaan daripada beberapa produksi yang ingin menggandingkan saya dan Awal sebagai pasangan pengacara rancangan hiburan TV, berlakon drama dan filem, namun buat masa ini kami belum bersedia, tapi tidak pernah berniat menolak rezeki.

“Saya tak mahu terlalu kerap dilihat bersama Awal menerusi pelbagai media massa, lama kelamaan orang jemu! Sekiranya saya dan Awal sering bergandingan, peminat tentunya lebih memperkatakan perihal hubungan kami, manakala soal kerja bukan lagi agenda utama. Saya tak mahu soal peribadi over shadow kerjaya kami berdua.

“Cukup-cukuplah pengalaman lalu apabila ia banyak meninggalkan pengajaran berharga kepada saya. Sekalipun peminat melabel saya dan Awal sebagai pasangan kekasih, namun saya sentiasa berhati-hati dalam menjalin perhubungan. Saya tidak mahu lagi beriya-iya menggembar-gemburkan rasa cinta di hati masing-masing, namun akhirnya tidak ke mana-mana, hanya penyesalan semata-mata,” bicara Scha penuh makna.

Adakah Scha dan bekas kekasihnya, aktor Fahrin Ahmad masih berhubungan atas dasar teman sesama artis? Scha mengakui, segala bentuk perhubungan terputus sama sekali, tiada ‘audio’ antara mereka! Justeru, apa kekurangan Fahrin dan kelebihan Awal?

“Saya bukan bermusuh dengannya, tapi hakikatnya dia tidak lagi penting dalam kehidupan saya, justeru buat apa saya nak fikir lagi. Cukup-cukuplah. Saya juga tak pernah membandingkan antara dirinya dan Awal kerana kedua-duanya dibesarkan menerusi latar belakang keluarga yang berbeza,” kata Scha yang menyerahkan masa depan hubungannya bersama Awal kepada jodoh dan sentiasa bersedia berdepan kemungkinan.

Juliana enggan kisah cinta ‘dipromosi’

SEMENTARA itu, Juliana lebih bersikap terbuka apabila berbicara hubungannya bersama Sam apabila secara terang-terangan mengakui mereka adalah pasangan remaja yang sedang bercinta, namun dia juga sama seperti Scha, pasti menolak setiap pelawaan daripada media massa yang ingin menggandingkan mereka secara eksklusif untuk tatapan peminat.

“Saya tidak pernah menafikan, ya saya adalah kekasih Sam, kami sedang bahagia bercinta, Tapi, tidak perlulah ‘diadaptasikan’ kepada satu sesi fotografi khas yang diatur untuk kami semata-mata. Cukuplah kalau orang tahu, saya dan Sam bercinta menerusi pengakuan kami sebelum ini. Bagi saya, pengakuan itu tidak perlulah disokong dengan fotografi, saya khuatir nanti orang bosan membaca kisah cinta kami.

“Sebaliknya saya dan Sam tidak pernah menolak untuk bergambar sama sekiranya menemui kami pada sebarang acara hiburan. Contohnya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 di Genting Highlands, baru-baru ini, kami tidak pernah mengelak apabila lensa kamera dihalakan kepada kami.

“Cuma saya tidak mahu all-out ‘mempromosikan’ hubungan cinta kami atau bercerita secara terperinci mengenainya. Sekalipun kami mengaku pasangan kekasih, tapi bagi saya perhubungan saya dan Sam perlu ada ruang peribadi.

Pasangan artis lain pun bercinta, justeru kami tak mahu orang mula bercakap, asyik-asyik muka saya dan Sam dalam surat khabar atau majalah hiburan. Asyik bercerita kisah cinta, karier seni tak sentuh pun!,” kata Juliana.

Sam yang asalnya memulakan kerjaya sebagai artis menerusi band indie, beberapa kali pernah terpalit cerita kurang enak, justeru tidakkah Juliana terkena tempias gara-gara menjalin hubungan cinta dengan pemuda berkenaan?

Kata Juliana, dunia seninya sebagai pelakon dan pengacara, jauh berbeza berbanding Sam yang menumpukan tumpuan 100 peratus kepada industri muzik, justeru, dia tidak pernah mencampuri urusan yang membabitkan Sam mahupun Bunkface.

“Saya sedar, macam-macam kritikan negatif dilemparkan kepada band indie, namun saya tidak pernah membabitkan soal peribadi dengan kerjaya Sam. Namun, sebagai orang yang rapat dengannya, saya sering menasihatinya jika berasakan dia berada dalam keadaan tekanan. Selagi masalahnya tidak menyusahkan hidup kita, saya lebih selesa bertindak sebagai pendengar yang setia daripada membebel sehingga mengeruhkan lagi keadaan,” kata Juliana yang kini namanya semakin melonjak menerusi drama bersiri, Sayang Cendana di TV3.

Info Scha

NAMA SEBENAR: Sharifah Norazean Syed Mahadzir
TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983
ASAL: Sungai Petani, Kedah
DARAH CAMPURAN: Arab (bapa) dan Cina (ibu)
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
DRAMA: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu, Awan Dania 2 dan Kita Carefree (setiap Isnin, jam 10 malam di Astro Ria)
FILEM: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Libas (belum tayang), Awan Dania The Movie (bakal menjalani penggambaran) dan Aku Bukan Tomboy (bakal menjalani penggambaran)
PENGACARAAN: Chopp!, Sehati Sejiwa, Sehati Berdansa 3 dan Kata Kau (mulai 19 Jun, setiap Sabtu, jam 10 malam di Astro Ria)
KOMERSIAL: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom dan My EG
DUTA: Bio Essence

Info Juliana

NAMA PENUH: Juliana Sophie Johari Evans
TARIKH LAHIR: 5 Julai 1989
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
DARAH CAMPURAN: Inggeris (bapa) dan Melayu (ibu)
KELUARGA: Bongsu daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Pelajar tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College, Bandar Sunway, Petaling Jaya
DRAMA: Kami The Series, Ghost, Kasut Tumit Tinggi, Sayang Cendana (setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di TV3) dan Cheritera (belum disiarkan)
FILEM: Kami The Movie, Hooperz, Adik Manja Returns (belum tayang) dan Halilintar (bakal menjalani penggambaran)
PENGACARAAN: E-Zone, Majalah Moral, Bintang Kecil Raya, Remaja dan Era TV (setiap Khamis, jam 11 malam di Astro Ria)
KOMERSIAL: Tracia Eternal, Fair & Lovely, Nokia 2600 dan Clean & Clear

Amy kerugian berjuta ringgit


Ini saat yang cukup tragik dalam kehidupan saya. Sepanjang menjadi orang seni inilah saat yang tidak boleh saya lupakan. Ia meragut kebahagiaan saya serta membuat saya rasa kehilangan besar."

Itulah luahan jujur penyanyi rock tersohor tanah air, Amy Search berhubung kekecewaannya akibat ditipu.

Penipuan itu membabitkan beberapa skim pelaburan yang menyebabkan dia kerugian melebihi RM2 juta sepanjang tahun 2008.

Malah sebidang tanah seluas tiga ekar yang dirancangnya untuk dibangunkan dengan yayasan tahfiz juga hampir lebur.

Kehampaan jelas terpancar di wajah pelantun lagu Isabella itu lebih-lebih lagi apabila terkenangkan nasib malangnya itu.

Sepanjang tahun berkenaan akui Amy, mula-mula dia ditipu oleh seorang agen pelaburan mengaitkan British American Tobacco (BAT) melibatkan pelaburan hampir RM1 juta.

Tidak cukup dengan itu Amy sekali lagi menerima nasib serupa apabila ditipu oleh sebuah kumpulan pelaburan mengaitkan Bank Instrument bernilai RM500,000.

Penipuan tersebut memalit arang pada nama baiknya apabila jumlah sebenar kerugian yang turut melibatkan penyertaan rakan-rakannya melebihi RM4 juta.

Entah di mana silapnya, Amy sekali lagi terduduk kecewa apabila seorang agen pelaburan meyakinkan untuk memulihkan keadaan tetapi akhirnya dia mengalami kerugian RM780,000.

Bagaikan tiada kesudahan, nasib malang terus menimpa bapa pelakon Nabila Huda ini apabila sekali lagi dia ditipu rakan kepada seorang kenalannya yang merayu untuk meminjam wang RM240,000 dan berjanji memulangkan dalam tempoh empat hari.

Namun, sehingga kini lenyap begitu sahaja.

Dengan nada perlahan, Amy meluahkan rasa kesalnya apabila ada pihak yang sanggup menipunya sedangkan wang tersebut dilaburkan demi menampung perbelanjaan yayasan tahfiz yang telah lama dirancangnya sebelum ini.

Katanya, pelan lantai dan lukisan tentang projek tersebut yang telah sempurna terpaksa diperap kerana lokasi tapak impiannya di Johor hampir tergadai.

"Inilah yang membuatkan ada ketika saya menitiskan air mata mengenangkan tanah tersebut yang saya rasa cukup cantik sebab kawasannya sedikit berbukit dan mempunyai pelbagai tanaman.

"Saya mengenali mereka yang menipu saya dalam waktu singkat. Saya sendiri tak tahu bagaimana boleh terpedaya sehingga sanggup mengeluarkan wang berpuluh-puluh ribu ringgit untuk diberikan kepada mereka.

"Bila difikirkan, saya rasa seperti dipukau kerana mudah mempercayai mereka," katanya dalam nada kesal dan kecewa.

Tragedi hitam tersebut bermula apabila dia diperkenalkan kepada agen-agen tersebut untuk membuat pelaburan menyokong pembiayaan RM3 juta untuk projek terbabit.

Jelas Amy, segalanya serba tidak kena apabila selama dua tahun menunggu hasilnya cukup mengecewakan.

Mujur kata Amy, tanah tiga ekar miliknya itu kini telah dijelaskan separuh pembayarannya namun, itu belum cukup untuk Amy menarik nafas lega kerana separuh lagi pembayaran masih belum dijelaskan.

Enggan meleburkan hasrat membina tahfiz, janji Amy, biar sesusah manapun dia akan tetap berusaha untuk melaksanakan hasrat tersebut memandangkan itulah niatnya sedari dulu.

"Saya memang serik dan tidak akan terlibat dengan mana-mana pelaburan. Mereka datang dengan 'watak-watak' yang kita tidak akan sangka akan menipu.

"Ada yang datang menjanjikan macam-macam harapan tetapi akhirnya lebur begitu sahaja.

"Bila orang tahu kita ada duit, banyak pihak yang akan cuba mendekati dan menipu.

"Biarpun banyak kali ditipu, saya tetap bersyukur kerana setakat ini Allah beri secukupnya kepada saya dan keluarga. Ada sahaja rezeki dan jalan yang dipermudahkan oleh Allah," kata Amy yang telah membuat laporan polis terhadap kes penipuan yang dialaminya.

Rancang cipta lagu buat cucu

Ucapan tahniah tidak lupa dihulurkan kepada Amy sementelah dia kini telah bergelar datuk.

Anak sulungnya, Nabila Huda selamat melahirkan bayi sulungnya yang diberi nama Kheisya Laila pada tanggal 12 Mei lalu.

"Alhamdulillah saya dapat cucu perempuan. Menanti Nabila melahirkan anak sulungnya cukup membuatkan saya berdebar.

"Kheisya bukan sahaja cucu sulung untuk saya sahaja tetapi cucu sulung buat anggota Search yang lain.

"Lagu untuk Kheisya Insya-Allah akan ada. Nantikan sahaja," kata Amy mengakhiri perbualan.

Camelia dah kahwin?


MARILYN tak tahulah cerita ini betul atau tak. Baru-baru ini kawan baik Marilyn, Nene Missteekam sibuk bercerita kononnya selebriti terkenal, Camelia dah mendirikan rumah tangga senyap-senyap dengan seorang duda tampan. Malah, berita itu dah tersebar luas sebenarnya di kalangan sosialis popular di ibu negara dan beberapa teman artis rapat dengannya.

Khabarnya, lelaki itu merupakan bekas suami kepada pengusaha butik terkenal di pusat beli-belah di tengah Kuala Lumpur. Kalau Marilyn sebut nama wanita itu, rasanya hampir seluruh Malaysia tahu kehebatan dan kredibilitinya sebagai orang kuat di sebalik tabir fesyen industri dalam dan luar negara.

Bukan itu saja, Camelia dikaitkan mahu terus mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni yang diceburinya sejak bertahun-tahun lalu selepas sah bergelar isteri orang. Lebih menguatkan lagi cakap-cakap itu apabila pengurusnya, Maggie Abang Saufi dilaporkan tak lagi menguruskan kerjaya seni anak kelahiran Kuching, Sarawak itu. Ish, biar betul?

Setelah difikir semula, barulah Marilyn terperasan, sudah lama rasanya tak dengar perkhabaran terkini pemilik nama penuh Dayang Nur Camelia Abang Khalid. Kali terakhir ada gosip menyiarkan pasal hubungan erat Camelia dengan seorang jejaka tampan, putih melepak dan berketurunan Tionghua yang bertugas sebagai deejay di sebuah kelab.

Kalau benarlah apa yang dikatakan itu, Marilyn nak ucapkan tahniah kepada Camelia kerana akhirnya dia menamatkan zaman ‘solo’ selepas hampir sedekad hidup bersendirian. Iyalah, selama ini sering terdengar kisah dia bercinta dengan orang itu dan inilah. Namun, tak juga sampai ke penghujungnya.

Cuma sayang sekalilah kalau Camelia dah kahwin lalu ambil keputusan bersara terus daripada bidang ini. Dia punya bakat besar yang sah-sah artis lain tak boleh nak sainginya. Datanglah muka baru berbondong-bondong, Camelia tetap diangkat pada kelas tersendiri. Menjadi fashionista pulak!

Tapi kalau cerita ini tak benar, Marilyn awal-awal lagi mohon maaf kepada Camelia dan seisi keluarga. Telefon bimbit Camelia berkali-kali dah Marilyn cuba hubungi untuk dapatkan penjelasan. Malangnya, tetap tak berangkat. Tak tahulah pula kalau dia dah tak guna lagi nombor itu.

Kalau dia terbaca atau ada orang lain tolong sampaikan, Marilyn harap Camelia dapat tampil ke depan sambil kongsikan kisah sebenar. Bukannya, daripada pihak media dan peminat asyik berteka-teki, lebih bagus dia sendiri buka mulut agar tak lagi jadi fitnah atau bahan bualan. Tapi kalau Camelia tetap mahu berahsia, Marilyn hormati pendiriannya.

Serik mengandung!-Inul


SELEPAS 13 tahun berkahwin tanpa zuriat, penyanyi dangdut Indonesia yang popular dengan goyang gerudinya, Inul Daratista, membuat keputusan akhir dengan mencuba kaedah bayi tabung uji setelah pelbagai cara dan usaha untuk memiliki zuriat tidak menjadi.

Justeru, Inul disahkan mengandung pada pertengahan tahun 2008 dan pada 19 Mei 2009, lahirlah zuriat sulung yang diimpi-impikan selama ini yang diberi nama, Yusof Ivander Damares.

Waktu itu, kegembiraannya dan suami, Adam Suseno tidak terungkap dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana membenarkan mereka merasai menjadi seorang ibu dan ayah setelah sekian lama menanti.

Namun, biarpun gembira kerana berjaya memiliki anak dengan proses bayi tabung uji, akui Inul, dia tidak sanggup untuk bergelut dengan rasa sakit sepanjang sembilan bulan mengandungkan Yusof.

"Bayangkan, ketika proses persenyawaan dibuat, saya diberi suntikan hormon setiap pagi dan tubuh saya semakin hari semakin gemuk.

"Masalah gemuk saya tidak kisah sangat. Cuma saya tak sangka melalui proses ini, ia agak merumitkan. Manakan tidak, selepas menjadi benih, doktor memasukkan gunting di tempat peranakan untuk proses persenyawaan dan saya tidak boleh bergerak selama lapan jam.

"Nak ikutkan saya boleh dapat kembar, tapi sebab tidak tahan dengan kesakitan, saya bergerak sana sini. Memang ia satu proses yang sangat menyiksakan. Sebab itu bila orang tanya tentang penambahan zuriat, saya kata tidak buat masa ini. Saya rasa serik," akui Inul selepas sidang akhbar Konsert 1 Inul Darastita di Sunway Hotel Resort & Spa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, ketika dalam proses hamil, dia agak kecewa bila ada beberapa pihak yang mempersoalkan proses kehamilan yang dilakukan yang kononnya ia dihasilkan menggunakan benih lelaki lain.

Bagaimanapun, Inul mengambil pendapat-pendapat negatif tersebut secara positif kerana menganggap proses bayi tabung uji agak baru dan jarang didengar di Indonesia.

"Tak mungkin saya pakai benih orang lain tetapi ia dari benih suami saya. Saya membuat proses ini kerana saya dan Adam tidak mandul. Cuma rahim saya mempunyai ketumbuhan yang membuatkan saya tidak boleh melalui proses mengandung secara normal.

"Pada awalnya, memang pelbagai persoalan yang dibangkitkan tentang proses yang saya lakukan ini, sehingga ia menjadi perbahasan ulama di program temu bual di Indonesia.

"Alhamdulillah, selepas ia dibahas, respons daripada kebanyakan ulama serta masyarakat lain sangat positif. Malah, ulama itu sendiri memberitahu, proses bayi tabung uji sah jika ia datang daripada benih suami dan isteri.

Bercerita mengenai pengalamannya bergelar status ibu, Inul ternyata mahu memberi perhatian terhadap anaknya sebaik yang mungkin.

Malah, penyanyi kelahiran Pasuruan, Jawa Timur itu telah mula mengurangkan aktiviti seninya dengan mengambil hanya tiga undangan persembahan dalam seminggu.

Bagaimanapun, jelas Inul, seboleh-bolehnya, dia enggan Yusof mengikut jejak langkahnya menjadi seorang penyanyi bila dewasa kelak.

"Selepas 13 tahun menunggu, terasa kini hidup kami lebih lengkap dan saya rasa lebih tenang kerana terasa segala hasil kerja daripada titik peluh saya selama ini dapat diberikan kepada Yusof.

"Kini saya banyak menghabiskan masa di rumah. Apapun, seboleh-bolehnya saya tidak mahu Yusof menjadi penyanyi bila dewasa nanti. Cukuplah saya seorang sahaja yang merasai pahit getir sebagai penyanyi dan saya tak mahu dia menangis.

"Cuma, saya berdoa agar Yusof dapat menjadi seorang anak yang berguna terhadap dirinya sendiri, keluarga dan negara.

"Dulu saya hanya dapat merasai pelajaran sampai tingkatan satu sahaja dan terus bekerja mencari rezeki untuk keluarga. Jadi saya mahu Yusof mempunyai pendidikan yang bagus dan pintar," bicaranya dalam senyuman.

Konsert 1 Inul Daratista

Dua tahun lalu, iaitu pada Julai 2008, Inul telah dikejutkan dengan berita konsertnya yang terpaksa dibatalkan di saatsaat akhir gara-gara tidak mendapat permit.

Tidak serik dengan insiden yang telah berlaku, Inul menganggap ia sebuah rencah kehidupan pahit yang terpaksa diterima bagi seorang penyanyi.

Bagiamanapun, kali ini, Inul mahu menebus rasa kekecewaannya yang gagal menghiburkan peminat-peminatnya pada dua tahun lalu dipentas dan bakal beraksi semula di Malaysia.

"Insiden pembatalan konsert tersebut tidak langsung membuatkan saya serik. Sebaliknya saya bersabar dengan dugaan yang diberi. Lagipun, saya bukan seorang yang cepat berputus asa.

"Cuma apa yang menariknya kali ini, saya bukan sahaja membuat satu konsert sahaja, tetapi tiga konsert sekali gus dan ia dianggap sebagai penebus kekecewaan saya yang lepas. Lagipun, hal sebegini kerap kali terjadi bagi seseorang yang bergelar penyanyi.

"Sebelum terjadinya apa-apa, saya sudah melihat permit konsert yang akan diadakan dan saya yakin, Insya-Allah, ia akan menjadi. Apapun, saya mahu berterima kasih kerana member kesempatan untuk menunjukkan persembahan yang 'spectacular'.

Konsert 1 Inul Daratista 2010 anjuran Apex Event Network itu bakal dilangsungkan di tiga buah lokasi di Sabah iaitu Stadium Terbuka Tawau pada 29 Mei dan Padang Kompleks Sukan Keningau pada 31 Mei. Tiket bagi kedua-dua buah lokasi ini dijual pada harga RM30 dan RM50 (tempat duduk berbumbung).

Bagi konsert ketiga, ia akan diadakan secara eksklusif di Grand Ballroom Sunway Hotel Resort & Spa pada 4 Jun ini dimana ia lebih kepada konsert amal bagi mengumpul dana mengisi tabung Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia serta Anak Yatim Islam Tawau.

Konsert eksklusif itu akan dijual kepada syarikat korporat di mana meja Platinum yang berharga RM20,000, Emas (RM10,000), Perak (RM5,000) dan Gangsa (RM3,000 dan setiap meja memuatkan 10 tempat duduk.

Muncul dengan single lagu terbaru berkonsepkan balada yang berjudul Kasih Tak Termiliki dan pastinya, bergelar seorang ibu, Inul masih lagi mampu beraksi lincah seperti biasa.

"Selepas berpantang, memang saya agak tidak selesa dengan tubuh badan saya bila bergoyang gerudi memandangkan saya agak berisi pada waktu itu. Tapi sekarang saya sudah turun 10 kilogram (kg) dan sedang kembali dengan berat ideal saya iaitu 57 kg. Sudah pasti saya masih boleh bergoyang gerudi," selorohnya.

Sherry kembali jadi pramugari


GADIS bernama Syarizad Ibrahim ini nekad meninggalkan tanah air. Bertukar profesion dengan kembali menjadi pramugari setelah merasa asam garam dunia selebriti, gadis yang mesra disapa Sherry ini bakal meninggalkan Malaysia selama tiga tahun.

Malah gadis berusia 27 tahun ini sedang menjalani latihan sebagai pramugari Qatar Airways selama 60 hari. Sherry sebelum ini pernah bergelar krew kabin Penerbangan Malaysia (MAS).

"Saya mahu hidup berdikari. Lagipun tawaran yang saya dapat sangat menarik dari segi gaji dan faedah.

"Saya juga gemar melancong, jadi dengan bergelar pramugari, saya dapat melawat banyak tempat di dunia," ujarnya yang terbuka hati untuk mencuba temu duga jawatan pramugari setelah berehat selama dua minggu di London tahun lalu.

Cita-cita awalnya adalah untuk bergelar penyanyi atau peguam, namun tawaran menjadi pramugari pada usia 18 tahun telah membuatkan mindanya mengarahkan tumpuan bekerja ke arah itu.

Sempat juga dia merasa tanggungjawab bergelar pelakon dan diterjah gosip atas tiket kerjaya tersebut.

"Saya sukakan Paris. Dah pergi banyak kali pun belum puas. Tapi dalam hati saya, saya menyimpan hasrat untuk ke Mekah kelak. Amin," doanya seraya menceritakan impian hati terdalamnya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang menyokong saya selama ini. Merekalah yang menonton lakonan saya dan memberi kata-kata perangsang.

"Saya juga mahu menyusun sepuluh jari atas kesalahan saya selama ini," ujarnya yang pernah muncul melalui drama Dunia Baru, Elly, Renjis, Jelatang, Cinta Untuk Ain, Lara Rindu Mahsuri, Dira & Nina, Cik Ah Cik Nin, Chapalrela dan Kapoww!.

Angin cinta Fasha-Rizal


PANAS yang tercipta oleh aktres bernama Fasha Sandha pernah mencapai suhu kemuncak dan pada tahap itu dia pernah tidak dihiraukan media arus perdana buat seketika. Enggan menoleh dan nekad membaiki diri, tahun 2010 menjadi titik untuk Fasha bangkit fokus, katanya kepada karier yang dicintai.

Selagi ada permintaan ramai dan kudrat seni, dia mahu menongkah arus untuk mengembangkan bakat yang ada. Namun, bernama Fasha, aktres kelahiran Johor Bahru itu bagaimanapun sukar meloloskan diri daripada disapa bayu panas.

Biarpun jarang tertulis di media utama, kisah intimnya bersama duda pelakon Nora Danish, Toh Muda Rizal Ashram Ramli sering dibicarakan di forum Internet. Awal minggu ini, Fasha mencipta satu lagi perhatian.

Ketika itu, aktres berusia 26 tahun itu sedang menghabiskan penggambaran drama bersiri terbarunya, Duyung Aridinata terbitan Zeel Productions di Pulau Lang Tengah, Terengganu.

Kedatangan sebuah helikopter peribadi milik Rizal yang mendarat berhampiran calet yang didiami Fasha bersama krew drama berkenaan menghangatkan semula kisah mereka. Ramai yang menyangka benarlah bagai dikata, Fasha-Rizal memang berhubungan secara istimewa.

Sedangkan selama ini juga, Fasha berperang dingin Nora dan Rizal antara yang menjadi isu. Masih menafikan sedang dilamun cinta bagaimanapun sejauh mana hubungannya dengan Rizal, 40, pantas menyelinap.

Adakah kedatangan Rizal ke pulau berkenaan yang juga pusat peranginan itu memang dirancang dan niatnya sudah anda maklum?

FASHA: Sungguh saya langsung tidak mengetahui rancangan Rizal untuk datang bersama teman-temannya bertemu saya. Dia datang secara tiba-tiba semata-mata untuk memberikan kejutan kepada saya.

Apa tujuannya yang sebenar?

Itu hanya kejutan. Dia (Rizal) cuma singgah sebentar dan kerana tiba kebetulan pada waktu tengah hari, kami sempat makan tengah hari bersama krew penerbitan di sana.

Tidakkah kedatangan Rizal itu mengundang khabar lain seolah-olah kalian berdua memang ada hubungan cinta?

Minta maaf saya tak mahu bercerita panjang, takut nanti macam-macam cerita yang timbul.

Jadi siapa Rizal dalam hidup Fasha?

Dia ialah teman yang sentiasa menyokong kerja seni saya selain menjadi pendengar setia saya. Saya akui ramai pihak akan mula membuat spekulasi terhadap isu ini, namun saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan. Bagi saya tanggungjawab saya terhadap drama berkenaan lebih penting.

Hubungan kami masih pada fasa mengenali antara satu sama lain. Terlalu awal untuk saya berbicara soal jodoh kerana 2010 adalah zaman kebangkitan saya. Jadi, mustahil untuk saya memusnahkan misi itu hanya kerana isu seperti ini.

Buah hati Marsha


SUDAH selalu sangat Diva dihubungi sumber yang rata-ratanya terdiri daripada peminat yang rajin berjalan-jalan di pusat-pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Mereka itu teman merangkap mata dan telinga atau dengan perkataan lain, mereka juga kamera litar tertutup Diva.

Terbaru, Diva dapat kiriman visual Marsha, penyanyi cantik dengan tubuh menggiurkan itu dengan buah hatinya yang baru.

Visual aksi berpelukan manja mereka dirakamkan dengan kanta mata seorang teman Diva yang kebetulan mencuci mata di KLCC. Khabarnya memang dalam keadaan mesra dan riak pasangan kekasih sangat. Diva tanyakan juga tentang lelaki yang memeluk erat Marsha itu.

Kata teman Diva: "Mamat itu tinggi, putih dan berambut pacak. Mereka seperti asyik bercinta dan tidak endahkan orang sekeliling."

Teringin juga Diva nak tengok lelaki pujaan hati Marsha itu, maklumlah setelah pelantun single Yang Terbaik itu putus cinta dengan Keifli AF, belum pernah lagi keluar cerita tentang siapa jejaka pengubat hati laranya.

Sesuai sangat dengan judul Yang Terbaik, yang terbaik itu sudah erat di sisi. Apa lagi, kenal-kenalkanlah pada Diva.

Inul bersolek hanya di pentas


MELIHAT kelincahan persembahan goyang gerudi penyanyi dangdut popular, Inul Daratista di atas pentas dengan pakaian yang penuh kilauan, pastinya ramai yang menganggap penyanyi ini seorang yang mewah dengan pakaian-pakaian yang mahal.

Namun, tidak seperti disangka, penyanyi kelahiran Jawa Timur, Indonesia itu sebenarnya seorang yang sangat sederhana dalam berfesyen.

Malah, dari hujung rambut hingga ke kaki, Inul tidak mementingkan label mewah atau berjenama. Cukup jika dia memastikan dirinya sihat dan segar tanpa perlu memikirkan pakaian yang mewah seperti selebriti yang lain.

Kata penyanyi berusia 31 tahun itu, dia tidak terlalu mengikut perkembangan fesyen dan lebih selesa bergaya sederhana bila bukan waktu bekerja.

"Orang selalu melabel saya seorang yang seksi tapi sebenarnya bukan. Saya tidak selesa berpakaian seksi dan pakaian sopan membuatkan saya lebih aktif.

"Tambahan menyarung pakaian yang penuh dengan perincian manik membuatkan saya kurang yakin diri melainkan beraksi di atas pentas. Terasa seperti orang sedang mengata tentang saya.

"Apapun, pakaian yang sederhana cukup membuatkan saya selesa dengan diri sendiri," tuturnya.

Tambah isteri kepada Adam Susilo itu, dia tidak akan bersolek ketika beriadah kerana ingin memastikan wajahnya sentiasa segar.

"Pernah kawan saya memuji solekan saya dan meminta saya jangan menanggalkan solekan itu agar boleh ditunjukkan kepada suami.

"Namun, suami yang kebetulan berada di situ meminta saya mencuci solekan selepas selesai persembahan kerana dia lebih suka wajah saya bersih tanpa mekap.

"Jadi, sebagai isteri, saya mengikut katanya dengan tidak bersolek terlalu tebal. Sebenarnya bagus juga kerana ia membuktikan suami lebih selesa saya tampil dalam keadaan diri saya yang sebenar, malah ia dapat mengurangjan masalah jerawat di wajah jika terlalu lama dengan solekan," katanya.

Syarini Bukan Bayang-bayang KD


MEMPUNYAI keistimewaan tersendiri, pemilihan Syahrini bukan kerana mahu menggantikan tempat bekas isterinya, Krisdayanti (KD), malah jauh sekali menjadikan Syarini sebagai bayang-bayang KD.

Tetapi bagi Anang Hermansyah, 42, Syarini dipilih semata-mata untuk menjadi pasangan duet untuk album terbarunya itu.

"Saya tidak memilih Syarini kerana ingin mengantikan tempat KD, atau menjadikan Syarini sebagai bayang-bayang KD, tetapimahu dia menjadi pasangan untuk lagu baru saya.

"Sukar untuk mencari rakan duet yang serasi dan mempunyai nada suara yang boleh berduet bersama, tapi itu semua ada pada Syahrini.

"Proses kami untuk bekerjasama dipermudahkan Allah, lamaran pertama saya kepada Syarini diterima," jelas Anang.

Ketika ditanya tentang lagu-lagu baru Anang yang lebih menjurus kepada kisah peribadinya, Anang memberitahu ia bukan sahaja pada dirinya namun menyentuh kehidupan orang lain.

"Saya tidak dibayangi kisah-kisah sedih saya, sekarang saya teruskan hidup dan selalu berjalan kehadapan.

"Saya tidak pernah berdendam dengan KD. Saya percaya semua yang berlaku adalah kehendak Allah," jelasnya tenang.

Dalam pada itu, apabila diminta mengulas tentang hubungan KD dan kekasihnya yang dikatakan putus di pertengahan jalan, dia hanya mendoakan yang terbaik buat bekas isterinya itu.

"Saya sentiasa mendoakan KD bahagia dengan siapa pun pilihannya," jawabnya ringkas.

Sesi promosi petang semalam Anang dan Syahrini kelihatan mesra dan mereka telah mendendangkan lagu Jangan Memilih Aku khas buat rakan media di Malaysia.

"Kami hanya rakan duet sahaja. Saya mahu lagu-lagu Anang mendukung kerjaya nyanyian saya dan tidak lebih dari itu.

"Jika ditanya bila kami mahu bernikah, saya tidak ada jawapannya sekarang, namun jika sudah jodoh saya dengan Anang saya tidak menolaknya," jelas Syahrini yang memanggil Anang dengan gelaran Mas Anang.

Album mini Anang yang memuatkan dua buah lagu duet berjudul Jangan Memilih Aku dan Cinta Terakhir telah dikeluarkan oleh Tropic Jaya Entertainment Sdn Bhd dan diedarkan secara eksklusif oleh PMP Entertainment (M) Sdn Bhd mulai semalam.

Shikin Dangdut Hampir Maut Dalam Kemalangan


PETALING JAYA: Shikin Dahalan atau lebih dikenali sebagai Shikin Dangdut hampir maut dalam satu kemalangan jalan raya yang membabitkan lapan buah kenderaan di Kilometer 44, Lebuh Raya Karak, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari, Shikin yang memandu kereta Honda City miliknya sedang dalam perjalanan menuju ke Gambang, Kuantan untuk membuat persembahan dalam program anjuran Telekom Malaysia pada sebelah malam.

"Saya ada sound check pada pukul 2 petang. Saya dan kawan yang juga penolong saya dalam perjalanan ke sana dari Kuala Lumpur. Tiba-tiba sebuah kereta Proton Persona melanggar kereta saya dari sisi sebelah saya menyebabkan kereta saya berpusing-pusing empat atau lima kali.

"Kemudian, kereta saya pula dilanggar beberapa oleh kenderaan dari belakang yang tidak dapat mengelak. Saya rasa macam dah mati ketika itu," katanya kepada mStar Online di sini.

Menurut Shikin, dia memandu agak perlahan ketika itu berikutan keadaan yang basah sementara kereta Persona itu berada di lorong laju.

Katanya, kemalangan yang melibatkan dua buah kereta Kancil, sebuah Proton Iswara, Proton Wira, Proton Persona dan sebuah bas itu berlaku di satu selekoh.

"Bila kereta berhenti, asap putih kelihatan berkepul-kepul. Kawan saya suruh saya keluar cepat. Bila saya berjaya merangkak keluar, saya terkejut melihat kereta dah remuk.

"Jika bukan kerana beg udara yang terbuka, kami dah tercampak keluar. Sambil berjalan terhuyung-hayang, saya terkejut apabila melihat sebuah kereta Kancil terbabas menuju ke arah saya lalu saya terus melompat ke dalam longkang," katanya.

Sehingga hari ini, Shikin memberitahu, dia masih tidak percaya dia boleh terselamat dalam kemalangan ngeri itu dan bersyukur kepada Tuhan.

Katanya, hanya leher, tangan dan kakinya luka terkena serpihan cermin yang pecah sementara terdapat benjol besar di kepalanya.

Mengimbau keadaan kemalangan pada ketika itu, Shikin berkata, dia melihat seorang bayi tiga atau empat bulan mengalami pendarahan serius, selain ada penumpang yang tersepit manakala seorang wanita mengalami serangan jantung.

"Saya rasa nak muntah melihat keadaan ngeri yang itu dan saya difahamkan tiada yang mati dalam kemalangan tersebut," katanya.

Sementara itu, Shikin berkata, pemandu kereta Persona itu datang meminta maaf dan memberitahunya dia hilang kawalan ketika memandu.

"Wanita itu beritahu saya dia dah pusing stereng tetapi kereta masih bergerak lurus lalu merempuh kereta saya. Dia turut mengalami kecederaan di kepalanya," ujar penyanyi dangdut ini.

Shikin memberitahu, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Bentong pada hari yang sama.

Katanya, dia juga turut mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta sebelum dirujuk ke hospital.

"Bila balik ikut kereta suami kawan saya, saya rasa fobia naik kereta dan asyik memintanya memandu perlahan-lahan," katanya yang kehilangan telefon, rantai dan kasut dalam kemalangan itu.

Shahir Juara Akademi Fantasia 8


KUALA LUMPUR: Peserta pilihan Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir dinobatkan sebagai juara pada konsert akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Shahir, 22, membawa pulang kereta Peugeot 207 tajaan Nasim Sdn Bhd, percutian hebat ke Hong Kong Disneyland dan bekalan BRAND's Innershine selama setahun tajaan Cerebos, dua tiket pelancongan ke New York tajaan Maybelline New York dan set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo.

Dia turut memperolehi jam tangan lelaki dan wanita jenis Hugo Boss tajaan AD Time, Coway Air Purifier - Lombok tajaan Coway, percutian tiga hari dan dua malam di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG Electronics dan trofi juara Akademi Fantasia.

Peserta yang berasal dari Kampar, Perak ini pernah tersingkir pada Debaran AF8 minggu ketujuh tetapi diundi masuk ke akademi menerusi AFundi Masuk pada minggu berikutnya.

Semalam, Shahir mendapat peratusan undian tertinggi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu 43.19 peratus.

Ini diikuti Adira dengan meraih 25.13 peratus, Daus (12.47 peratus), Maulana (10.2 peratus) dan Iwan (9.01 peratus).

Dalam persembahan akhir itu, Shahir membawakan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan (komposer dan lirik oleh Edry KRU) dan Biru Mata Hitamku (Wings) sehingga menambat hati para penonton untuk mengundinya.

Stadium gamat dengan sorakan, siulan dan tepukan gemuruh para penonton. Terdapat penyokong yang tidak segan silu berdansa mengikut rentak lagu penyanyi bersuara jantan ini.

Tanda-tanda Shahir dinobatkan sebagai juara sudah kelihatan ketika itu. Ini kerana sorakan penonton tetap berterusan walaupun pengkritik tetap, Aznil Nawawi dan Adlin Aman Ramlie serta pengkritik undangan, Ning Baizura sedang memberikan komen.

Pada sidang akhbar sejurus persembahan berakhir, Shahir memberitahu, kemenangan itu adalah di luar dugaannya.

"Sejujurnya dia tidak menjangkakan akan diumumkan menjadi juara. Saya sebenarnya berasa bersalah kerana di atas pentas, saya tidak sempat atau bersedia langsung dari segi ucapan.

"Dan saya hampir terlupa mengucapkan terima kasih kepada cikgu-cikgu yang sebenarnya berada di belakang saya memberikan tunjuk ajar. Tanpa mereka,saya rasa kami 12 peserta AF8 tidak akan berada di kedudukan kami hari ini," katanya dengan penuh rendah diri.

Peserta bersuara jantan itu turut berterima kasih kepada para pengundi yang memberi peluang kedua kepadanya untuk terus bersaing di AF8 sekali gus menjadi juara.

"Saya rasa mungkin AF Masuk sedikit sebanyak memberi tuah kepada saya dan saya ucapkan terima kasih banyak kepada pengundi yang percaya dan tak putus mengundi saya," ujar Shahir.

Mengenai pendapat Adlin bahawa persembahan Adira itulah adalah persembahan juara semasa konsert berlangsung, Shahir menyifatkan persembahan keempat-empat rakan seperjuangannya selayak-layaknya berupa persembahan seorang juara.

"Bagi saya, keempat-empat rakan saya pun memberikan persembahan seorang juara. Mungkin tuah dan rezeki saya pada malam ini," katanya yang masih tidak tahu bagaimana untuk menguruskan hadiah-hadiahnya.

Sementara itu, Adira yang menjadi naib juara AF8 memperolehi kereta Satria Neo 1.6 CPS tajaan Proton, voucher percutian tajaan Maybelline New York, set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo, jam tangan lelaki dan wanita jenis Hugo Boss tajaan HD Time.

Dia turut membawa pulang Coway Air Purifier - Lombok tajaan Coway, percutian tiga hari dan dua malam di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG Electronics dan trofi Naib Juara Akademi Fantasia.

Satu-satunya finalis wanita dalam AF8 ini mendendangkan lagu Ku Ada Kamu (komposer dan lirik oleh Edry KRU) serta Tiru Macam Saya (Sheila Majid).

Sebagai pemenang tempat ketiga, Daus meraih set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo, voucher percutian tajaan Maybelline New York, jam tangan lelaki dan wanita jenis Hugo Boss tajaan HD Time, Coway Air Purifier - Lombok tajaan Coway.

Selain itu, dia juga memenangi percutian tiga hari dan dua malam di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG Electronics dan trofi Akademi Fantasia.

Daus yang berasal dari Kuching, Sarawak melantunkan lagu Kenapa? (komposer dan lirik oleh Edry KRU) serta Doktor Pakar Cinta (Yusry).

Bagi Maulana dan Iwan pula, mereka mendapat hadiah sagu hati berupa beg Kipling Luggage tajaan Kipling dan trofi Akademi Fantasia.

Maulana menyanyikan lagu RSVP (komposer dan lirik oleh Edry KRU) serta Susun Silang Kata (Aizat)

Manakala Iwan menghiburkan penonton dengan lagu VIP (komposer dan lirik oleh Edry KRU) dan Relaku Pujuk (Spider).
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails