Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Isteri Tidak Cemburu Hubungan Ari Wibowo-Haliza Misbun


ISTERI mana tidak betah apabila suaminya, pelakon kacak dari Indonesia Ari Wibowo, 39, apabila digosipkan dengan artis wanita dari seberang.

Namun bila mengetahui wanita itu adalah pelakon dan penerbit Haliza Misbun, terus perkara itu tidak menjadi masalah.

Menurut Ari, dia agak bertuah kerana isterinya bernama Inge Anugrah, 28, itu tidak terlalu menghiraukan dan percaya tentang gosip cintanya dengan Haliza.

Malah dia juga sudah lali dan hanya tertawa apabila mendengar cerita-cerita yang dirasakan tidak masuk akal itu. Masakan dia akan bercinta dengan Haliza memandangkan dia sudah mempunyai seorang isteri yang cantik jelita.

“Isteri dan keluarga saya mengetahui tentang hubungan saya dan Haliza tidak lebih daripada seorang kawan. Saya dan isteri juga amat terbuka dalam soal ini.

“Setiap pertanyaan isteri saya akan dijawab dengan jujur. Saya juga bersyukur kerana mempunyai isteri yang sangat memahami diri saya sepanjang tiga setengah tahun kami mendirikan rumah tangga ini,” katanya dalam satu temubual semasa majlis pratonton filem Andartu Terlampau…21 Hari Mencari Suami! di Cathay Cineleisure Damansara awal minggu ini.

Menyentuh tentang lakonannya dalam filem itu, dia berpuas hati setelah menonton dari awal hingga ke penghujung ceritanya.

“Walaupun kemunculan saya dalam filem Andartu Terlampau…21 Hari Mencari Suami! hanya sekejap, saya berpuas hati setelah menonton hasil keseluruhannya. Saya menerima tawaran untuk berlakon filem ini atas dasar kawan dan tiada terfikir untuk melebarkan sayap di Malaysia.

“Secara peribadi, saya melihat filem ini mempunyai kaitan dengan Haliza. Saya berkawan baik dengannya, jadi saya nampak seolah-olah watak Nikki itu adalah dia,” ujarnya yang tidak akan menolak untuk bekerjasama dengan Haliza lagi selepas ini jika ada kelapangan waktu.

Katanya, dia juga sentiasa mengalu-alukan tawaran berlakon watak komedi seperti yang dilakonkan dalam filem itu. Ari melakonkan watak pakar psikiatri yang nerd bernama Dr. Ryan Diprojo.

Pada mulanya, Nikki jatuh cinta dengan ketampanan Dr. Ryan namun akhirnya dia menolak setelah melihat lelaki itu memakai seluar singkat.

“Walaupun filem ini merupakan filem komedi pertama lakonan saya, namun saya pernah berlakon dalam siri komedi berjudul Keluarga Fandanoa tidak lama dulu.

“Sekarang, saya sedang sibuk dengan penggambaran drama 50 episod Mawar Melati di Jakarta,” beritahunya yang telah melakonkan 30 drama bersiri di Indonesia serta drama Rohaya Roy bersama Haliza di Malaysia.

Selain itu, bapa kepada dua anak lelaki iaitu Kenzo, 2, dan Marco, 9 bulan, itu sibuk menguruskan syarikatnya dalam bidang perunding imej iaitu Virtue Enhancement Center sejak ditubuhkan lapan bulan lalu.

Ari menyertai bidang seni setelah menceburkan diri dalam bidang peragaan sejak berusia 16 tahun.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails