Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cinta hatiku-Dynas


Kehadiran Khyra menambahkan 1001 kebahagiaan kepada Dynas dan Hafizy

JANJI ditepati lantas pertemuan diatur baru-baru ini mengabadikan gambar anak kedua, Dynas Mokhtar yang dinamakan Khyra Khalyssa. Bukan hanya berpeluang mendekati Khyra, malah kehadiran Hip juga sekali gus menjejaki kediaman yang baru diduduki Dynas dan suaminya, Mohd Hafizy Hafiz di Bandar Sri Damansara.

Bagaimanapun rumah tiga tingkat yang baru didiami itu belum siap sepenuhnya tetapi sudah dihias rapi. Setibanya di sana, Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar sedang menyusukan badan kepada anaknya di dalam bilik. Selang beberapa minit kemudian Dynas turun meniti anak tangga rumahnya dengan senyuman manja.

Jelas kelihatan penyandang Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008 ini semakin bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya kini. Hasratnya bergelar ibu sekali lagi mendapat rahmat tak terhingga biarpun pernah diuji dengan kehilangan anak sulungnya, Emma Malissa.

Khyra yang dilahirkan pada 24 April lalu ternyata memberi sinar dalam hidup Dynas dan suaminya. Perjalanan sesi bergambar ini juga bagaikan dirahmati kerana si kecil berambut lebat dan comel itu begitu cepat mesra dengan kamera. Pendek kata, senang saja merakamkan pos menarik Khyra dan ibunya.

“Kalau dulu sewaktu dalam kandungan, dia (Khyra) memang tak mesra kamera. Nak tengok mukanya pun bukan main susah, asyik berselindung di sebalik tangannya.
“Tapi sekarang, alhamdulillah. Sesi bergambar ini nampak ok saja, mungkin moodnya agak bagus. Kalau tidak, boleh tahan juga meragam, dia merengek,” kata Dynas yang semakin berseri selepas selesai berpantang.

Perbualan tengah hari itu memang lebih banyak berkisar kepada permata hati kesayangannya itu. Tambah Dynas, anaknya itu juga memang manja dan cerdik. Bayangkan saat mula keluar melihat dunia, Khyra sudah pandai menoleh kanan dan kiri untuk mencari susu ibunya.
“Sampai sekarang, kalau ada orang datang melawatnya, dia cepat memberi maklum balas. Malah ada yang mengatakan saiz badannya kini sudah menyamai bayi berusia empat bulan. Kalau bapanya mengusik, dia banyak ragam, menangis. Sensitif sangat agaknya.

“Tapi sebenarnya tak susah menjaga dia. Kalau letak di pangkuan pembantu rumah, sekejap saja dia terlelap. Tapi dengan orang lain termasuk saya, dia lambat sikit nak tidur. Siap merengek lagi menunjukkan perangainya. Selain dimanjakan bapanya, dia juga manja dengan ibu dan ibu mentua saya,” kata Dynas yang bersifat kontra daripada suaminya dan lebih tegas mendidik Khyra.

Ketika ini, selain menyusukan badan, Dynas turut mengajar anaknya untuk minum susu menggunakan botol. Demi memastikan kesihatan anaknya, Dynas baru-baru ini membawa anaknya mendapatkan suntikan vaksin. Suaminya turut memasang angan-angan untuk menyekolahkannya di sekolah Cina apabila Khyra besar nanti.

“Keutamaan kini memang untuk anak. Tak saya nafikan pada peringkat awal menjaga anak ini satu perkara mencabar. Tapi seiring dengan masa yang berlalu pergi, bila kita tengok wajah anak rasa, tenang di hati.

“Malahan kalau keluar rumah dalam tempoh dua jam sekali pun sudah tak sabar balik rumah nak melihat wajahnya,” kata Dynas yang merancang untuk mengadakan majlis cukur jambul tapi bukan dalam masa terdekat.

Baru saja habis berpantang, penampilan terbaru Dynas wajar dipuji. Bentuk badannya sudah kembali langsing. Berat badannya kini ialah 60 kilogram dan Dynas mahu bekerja keras untuk kembali menurunkannya hingga mencecah 55 kilogram.

“Selain memikirkan soal anak, perkara lain yang sering bermain di fikiran adalah mengenai hal berat badan. Saya memang mahu kembali ke bentuk asal. Pengalaman menyusu badan dan berjaga lewat malam antara faktor mengapa berat badan saya cepat turun.

“Selain itu, saya turut mengamalkan pantang serta mendapatkan urutan tradisional menguruskan badan secara tradisional dan moden. Menariknya, saya tak perlu keluar rumah dan menerima semua rawatan ini di rumah,” katanya yang turut menerima kunjungan teman-teman baiknya seperti Sazzy Falak, Yasmin Hani, Atilia, Aishah Sinclair dan Farahdhiya.

Dalam pada itu, Dynas juga tak menafikan betapa rindu untuk kembali berlakon. Sehari sebelum pertemuan dengannya, Dynas menolak tawaran drama yang bakal memulakan penggambaran bulan depan.

Bukan sengaja menolak dan menghampakan permintaan orang, hakikatnya Dynas ada alasan berbuat demikian.

“Buat ini belum bersedia lagi. Memang saya rindu untuk berlakon, tetapi tidaklah secara tergesa-gesa hendak ke lokasi.

“Berkemungkinan besar saya hanya akan kembali berlakon selepas raya nanti. Saya tak mahu berlakon buat sementara waktu kerana masih menyusu badan. Daripada saya menyusahkan orang lain, lebih baik saya tolak secara baik,” katanya.

Bertudung atas kesedaran-Liza Hanim


TIDAK lama dahulu apabila penyanyi kelahiran Klang, Liza Hanim menerima tawaran melakonkan watak biduanita Saloma dalam teater P. Ramlee The Musical… The Life, The Love And The Inspiration yang dipentaskan sekitar Oktober 2007, ramai yang mengatakan dia sudah berani tampil seksi.

Apa tidaknya, melakonkan watak tersebut Liza harus mengenakan gaun merah pendek paras lutut malah dan dia juga tidak kekok beraksi dengan gaun berleher V tanpa lengan itu.

Dek kerana keberanian itu, ramai di kalangan peminat mula membuat andaian sendiri dan tertanya-tanya apakah itu transisi terbaru dirinya setelah bergelar ibu kepada seorang anak ketika itu.

Masa berlalu, segalanya mempengaruhi pemikiran, hati dan kehendak individu.

Begitu juga dengan pemilik nama Haliza Hanim Abdul Halim, isteri kepada Shah bekas anggota kumpulan Indigo itu. Dia kini memilih untuk bertudung.

Perubahan itu sedikit sebanyak mengejutkan peminat seni hiburan tanah air.

Apa yang pasti, keputusan yang dibuat oleh ibu kepada dua anak perempuan iaitu Marsya Qistina, 7, dan Marissa Qaireen yang berusia setahun lebih itu mendapat keizinan daripada suaminya.

"Tiada paksaan untuk saya bertudung. Saya ikhlas mengenakannya dan Insya-Allah ia akan berterusan," ringkas jawapan yang diberikan penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Getaran Cinta Di Jiwa itu.

Bertudung sejak dua bulan lalu, kata Liza, dia sebenarnya telah lama merancang untuk membawa perubahan dari segi penampilan diri seiring peningkatan usia yang kini telah mencecah 31 tahun.

Dua tahun lamanya dia menanam azam namun, baru dua bulan lalu hasrat tersebut dimakbulkan Tuhan.

"Pada April lalu fikiran saya kuat ingin bertudung dan tiba-tiba suatu hari apabila bangun daripada tidur terus hati saya berkata ingin memakai tudung.

"Untuk itu, saya terus berjumpa suami dan meminta keizinan daripadanya. Alhamdulillah, suami saya menyokong dan menyuruh agar saya tetapkan hati untuk terus bertudung selepas ini.

"Saya tidak bercerita tentang hasrat memakai tudung kepada sesiapapun kecuali suami. Emak saya pun hanya sekadar pandang dan senyum saja sebaik melihat saya bertudung.

"Adik beradik juga tidak bertanya kerana mungkin mereka faham itu hak saya," jelas Liza yang ternyata semakin gembira dengan perubahan imejnya itu.

Katanya, tiada sebab lain dia bertudung seperti yang diperkatakan ramai bahawa dia mendapat mimpi dan sebagainya kerana keputusan itu lahir daripada ketulusan hatinya sendiri.

Ada pandangan nakal yang menyebut, apabila seseorang penyanyi wanita yang selama ini dikenali sebagai penyanyi pop, rezeki mereka akan terbatas apabila memilih untuk bertudung.

Kelaziman yang terjadi dalam gelanggang muzik ialah, perubahan imej sedemikian selalunya akan turut membawa seseorang penyanyi itu menukar genre nyanyiannya.

Apakah Liza juga akan tersenarai sebagai penyanyi yang akan mengubah genre lagu nyanyiannya?

Dalam hal ini, Liza sangat terbuka. Dia masih ingin meneruskan kerjaya nyanyian menerusi lagu-lagu berelemen pop dan balada yang merupakan kemampuan utama vokalnya.

Baginya tidak semestinya dengan perubahan imej yang dibawa kini maka dia perlu menukar genre nyanyiannya pula.

"Ketika tidak bertudung dahulu saya memang tidak menolak jika ada apa-apa tawaran yang melibatkan persembahan berkonsep ketuhanan, begitu juga kini.

"Cuma dari segi konsep saya masih mahu menyanyikan lagu-lagu pop dan saya memang tidak dapat lari daripada itu.

"Alhamdulillah, sepanjang tempoh bertudung tawaran nyanyian tidak pernah lekang saya terima," katanya yang mengakui berdebar membuat penampilan pertama bertudung di khalayak pada separuh akhir pertama Mentor minggu lalu.

Zahrafeena ceriakan hidup


GELAGATNYA yang bersahaja dan menuruti apa sahaja permintaan ibunya yang dipanggil mummy membuatkan sesi penggambaran pada petang itu meriah.

Walaupun baru berusia tiga tahun, nyata Zahrafeena Zackry tidak kekok beraksi di hadapan kamera apatah lagi dengan kepetahan mulutnya ibarat bertih jagung menyuruh itu dan ini.

Keletah tersebut jugalah yang membuatkan ibunya, model dan selebriti terkenal, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, tidak betah meninggalkan rumah terlalu lama biarpun untuk sesi peragaan fesyen atau penggambaran iklan.

Rindunya pada 'buah hati pengarang jantungnya' itu membuatkan dia berusaha memastikan setiap tugasan yang diambil tidak memerlukan dia berjauhan dari rumah berhari-hari.

Ibarat pepatah Melayu, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi - sudah ada tanda-tanda jejak Zahnita sebagai model bakal diikuti anak kesayangan hasil perkongsian hidup bersama suami, Zackry Ghous Abdul Jafoor, 32.

Di hadapan kamera, Zahrafeena langsung tidak gentar. Kadangkala dia bergaya tanpa perlu diarah dalam apa jua posisi.

Menurut Zahnita, 25, puteri sulungnya itu dilahirkan pada tanggal 16 Januari 2007 secara normal.

Ketika dilahirkan, berat Zahrafeena hanya 3.2 kilogram (kg) dan tidak mengalami sebarang masalah.

Cuma menurut Zahnita yang membahasa diri sebagai Zani, ketika tempoh kehamilan, berat badannya bertambah sebanyak 30 kg.

''Anda bayangkan ketika itu barat badan Zani cecah sehingga lebih 80 kg sedangkan ketika bujang dahulu berat Zani cuma 50 kg.

''Bagaimanapun selepas habis tempoh berpantang Zani berusaha mengembalikan berat badan ke berat asal dengan mengamalkan pantang secara tradisional selain menyusukan badan.

''Saya juga mengamalkan urutan dan mengambil pelbagai jenis herba untuk mengembalikan bentuk badan asal serta mampu menyegarkan semula badan,'' ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bercerita pengalamannya ketika hamil, kata Zahnita, dia mengalami alahan pada peringkat awal.

Seminggu pertama dia muntah-muntah waktu pagi tetapi ia semakin reda dan bertambah baik dari sehari ke sehari.

Berbicara lanjut mengenai tanggungjawabnya sebagai ibu muda, menurut wanita kacukan Melayu dan New Zealand itu, ia tidaklah seteruk yang disangkakan.

Malah hidupnya kini tambah bermakna dan seronok, lebih-lebih lagi apabila dapat bersama melayani kerenah Zahrafeena.

"Saya sengaja tidak mengambil pembantu kerana mahu melihat dia membesar di depan mata sendiri.

''Bila tiada kerja, inilah masanya Zani mengambil peluang untuk berdua-duaan dengan anak. Tugas tersebut diambil-alih suami bila Zani ada kerja luar,'' tambahnya.

Ditanya saat paling digemari ketika berzama Zahrafeena ialah apabila tiba waktu untuk mandi.

Jika sebelum ini dia terpaksa membuat pelbagai cara untuk memujuknya mandi tetapi dengan adanya rangkaian produk Carrie Junior, Zahrafeena kini suka mandi dan tidak lagi perlu disuruh atau dipujuk.

Gemar dengan bau mandian Carrie Junior Cheeky Cherry, Zahnita memilih rangkaian produk tersebut kerana baunya yang tahan lama.

Awie suka ramai anak


KEHADIRAN puteri bongsu dalam kehidupan keluarga penyanyi rock terkemuka ini ternyata memberikan seribu satu cahaya.

Puteri Qasseh Antasha yang dilahirkan pada 19 April lalu di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor, menambah seri dalam kehidupan Awie dan isterinya, Rozana Misbun, 31, serta kepada anak-anak mereka.

Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 42, merupakan insan yang paling gembira dengan kehadiran anak kelimanya yang dilahirkan dengan berat 3.88 kilogram pada pukul 3.19 petang.

Cerita Awie, kehadiran Qasseh melengkapkan hidupnya kerana dia memang suka mempunyai anak yang ramai.

"Alhamdulillah kelahiran Qasseh menggembirakan semua orang. Saya memang suka mempunyai ramai anak, riuh-rendah rumah kami.

"Saya tidak ada kuota untuk berapa orang bilangan anak. Selagi diberikan rezeki selagi itulah kami menerimanya.

"Anak-anak saya yang paling gembira apabila mereka mendapat adik baru. Mereka asyik hendak mencium pipi Qasseh yang gebu itu.

"Kami tidak ada masalah menjaga anak-anak kami ini. Nakal tu biasalah tetapi Alhamdulillah semuanya mendengar kata," cerita Awie ketika ditemui pada majlis cukur jambul yang diadakan di salah sebuah restoran terkemuka di sini.

Puteri Qasseh Antasha merupakan hasil perkongsian hidup Awie dan Rozana.

Dua orang anak lelaki mereka sebelum Qasseh bernama Putra Ahmad Merrah, 3, dan Putra Ahmad Rezzki, 2.

Menariknya, bayi comel itu berkongsi tarikh kelahiran dengan Rozana.

Sebelum ini, menerusi perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Arni Nazira, Awie mempunyai dua orang anak perempuan, Puteri Aleeya Antasha, 10, dan Puteri Aleefa Antasha, 8.

Majlis yang dihadiri lebih 100 tetamu itu turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan artis dan sutradara terkenal, Mamat Khalid.

Pada majlis itu, Kumpulan Marhaban Nurul Ain, Cheras Baru turut mendendangkan marhaban sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ceritanya, walaupun dia sentiasa sibuk dengan kerjayanya sebagai penyanyi dan pelakon, namun Awie sentiasa mencuri masa untuk berhibur bersama keluarganya.

Baru-baru ini, ujar Awie, dia dan keluarganya serta keluarga ahli kumpulan Wings menghabiskan masa bersama keluarga masing-masing dengan bercuti ke Pulau Perhentian.

Ketika percutian itulah Awie akan menggunakan sepenuh masannya untuk berseronok dan menghabiskan masa bersama isteri anak-anak dan keluarga ahli kumpulan Wings untuk mengeratkan silaturrahim.

Hubungan Almy & Fizz Fairuz Terganggu Gara-Gara Fasha Sandha


PELAKON Almy Nadia mengaku hubungannya dengan aktor Fizz Fairuz agak terganggu apabila timbul desas desus kekasihnya itu turut menjalinkan hubungan dengan pelakon Tizz Zaqyah.

Almy berkata, dia juga terkejut apabila mendapat tahu Tizz dikatakan turut mengganggu hubungan Fasha dengan Rizal Ashram Ramli, bekas suami Nora Danish.

Bagaimanapun kata Almy, sebelum berita tersebut tersebar, dia dan Fizz telah terlebih dahulu menyelesaikan perkara tersebut dengan sebaik mungkin.

“Sewaktu mendengar berita ini, saya telah menghubungi Fizz dan pada mulanya dia agak berang dengan apa yang berlaku tetapi akhirnya masalah yang terjadi itu dapat diselesaikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Fizz Fairuz memberi amaran kepada pelakon Fasha Sandha agar tidak mengaitkan dirinya dengan Tizz Zaqyah semata-mata untuk mendapatkan publisiti murahan.

Fasha dalam sebuah akhbar dikatakan membuat kenyataan menuduh Tizz sebagai individu yang bertanggungjawab mengganggu hubungannya dengan Rizal Ashram selain cuba menggoda Fizz Fairuz. Perbuatan Tiz itu dikatakan turut menyebabkan kemarahan Almy Nadia.

Kata Almy, dia tidak menafikan sebelum ini Fasha pernah bertemunya dengan Fizz untuk mengetahui konflik hubungan melibatkan Tizz Zaqyah itu tetapi mereka enggan masuk campur.

Bagaimanapun, ketika ditanya tentang hubungannya dengan Tizz itu, Almy enggan mengulas mengenainya.

"Saya tidak kenal Tizz dan tidak pernah berjumpa dengannya. Saya kenal dia pun sebab kontroversi ini tapi saya tidak mahu komen tentang dia.

"Pada saya buat apa mencampuri urusan mereka. Mereka bergaduh berebut lelaki, kenapa nak mengaitkan saya dan Fizz dalam hal ini?" soalnya yang terkilan dengan kontroversi tersebut.

Jodoh "Ekspres" - Aishah Mahu Dibimbing Faizal


PERKENALAN penyanyi Aishah dengan suami, Faizal Sazali Zulkifli (gambar) hanya berlangsung dalam tempoh seminggu.

Tetapi dek kerana jodoh, ia tidak menghalang duda beranak enam itu untuk memperisterikan Aishah pada 30 April lalu dalam tempoh perkenalan yang singkat.

Bak kata Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin,45, dia menerima jodoh secara ‘ekspres’ itu kerana ia sudah menjadi ketentuan Allah.

“Saya baru kenal dia (Faizal) seminggu, terus dia ajak kahwin. Allah beri ‘ekspress’. Itulah namanya jodoh,” kata Aishah.

Pasangan tersebut bernikah di Narathiwat, Thailand.

Menurutnya, tidak ramai yang mengetahui tentang perkahwinan mereka melainkan orang terdekat sahaja.

“Kami mahu cepatkan pernikahan supaya terhindar daripada fitnah kerana kami selalu bersama-sama ke mana-mana. Lebih baik bernikah, jauh dari melakukan maksiat,” jelasnya mengenai perkahwinan ketiganya itu.

Menerusi sebuah akhbar, penyanyi lagu popular Janji Manismu itu menafikan perkahwinan mereka berlangsung di Thailand kerana hendak berpoligami sebaliknya suaminya sedang menunggu surat cerai yang dijangka keluar pertengahan Julai ini.

Aishah juga menafikan dia menjadi punca penceraian suaminya itu.

Katanya, mereka berkenalan semasa suaminya sedang membuat permohonan cerai.

Aishah juga memberitahu tentang perancangan mereka untuk mendaftarkan perkahwinan mereka secepat mungkin.

Selepas lebih 10 tahun menjanda, Aishah akur dengan jodoh yang datang lantas tidak mengambil masa yang lama untuk mengikat kasih dengan suaminya yang berusia setahun lebih muda darinya.

“Sebelum ini, hati saya belum terbuka untuk menerima sesiapa tetapi selepas mengenalinya, saya dapat rasa dialah pilihan terbaik.

“Saya mencari lelaki yang boleh membimbing saya dan anak-anak ke jalan Allah. Insya-Allah,” ujarnya yang sedang menyiapkan album yang memuatkan sebuah lagu, koleksi zikir dan doa untuk anak-anak bertajuk Anak.

Berita tentang perkahwinan Aishah itu tercetus setelah tersebarnya gambar dirinya bersama seorang lelaki dalam Internet baru-baru ini.

Aishah mengakui sengaja meletakkan gambar bersama suami barunya itu dalam laman Facebook untuk tatapan peminat-peminatnya.

Anne Ngasri Sah Cerai Talak Tiga


KUALA LUMPUR: Aktres Anne Ngasri disahkan bercerai talak tiga dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin.

Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, sedang hamil lima bulan dan Wafi, 28, pernah bercerai dan rujuk sebanyak dua kali pada Julai tahun lalu tanpa pengetahuan mahkamah.

Menurut Shaiful, Wafi melafazkan taklik kepada Anne pada waktu tengahari awal Julai tahun lalu di Sungai Jawi, Pulau Pinang dengan lafaz 'kalau engkau keluar rumah, aku ceraikan engkau'.

Kali kedua Wafi melafazkan cerai 'aku ceraikan engkau' kepada Anne pada waktu petang pertengahan bulan yang sama tahun lalu.

Kedua-duanya rujuk semula dan selepas Isyak pada pertengahan Julai tahun lalu dengan kedua-duanya melafazkan 'saya kembali kepada awak'.

Sementara lafaz cerai ketiga iaitu 'aku ceraikan kau Anne' berlaku pada 25 Mac tahun ini, pukul 11.20 pagi di rumah mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam. Waktu itu Anne hamil dua bulan.

Wafi mengaku di hadapan Shaiful di kamar hakim sebelum ini bahawa dia pernah melafazkan cerai di tempat kejadian tanpa mempunyai saksi dan mempunyai niat semasa melafazkan ketiga-tiga lafaz cerai itu.

Mereka Anne dan Wafi secara rasminya bercerai pada 25 Mac tahun ini dan Anne menjalani tempoh edah sehingga bayi ketiganya dilahirkan.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan bersedia menerimanya. Saya percaya mesti ada hikmah selepas ini," luah Anne di luar mahkamah.

Terdahulu, sebelum mendengar keputusan Hakim di dewan perbicaraan, Anne hampir pitam di tandas. Khabarnya,dia tidak sempat menjamah makanan tambahan pula dia sedang berbadan dua.

Bagaimanapun, Wafi dilihat masih sempat membelikan minuman untuk Anne.

Wafi hadir ke mahkamah bersama dua rakannya serta peguam syarie Mohd. Hamidullah Che Hassan manakala Anne ditemani ibunya, Habibah Jaafar.

Pasangan itu bernikah pada 26 Mei 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Abdul Warits, 2, dan Abdul Wafri yang berusia empat bulan.

Lisa Tidak Bimbang Orang Jemu


KEMUNCULANNYA di layar perak dan drama tempatan membuatkan nama pelakon baru Lisa Surihani kini semakin setanding dengan bintang ternama, Erra Fazira.

Biarpun belum pernah memenangi sebarang anugerah, Lisa bersyukur dengan rezeki yang tidak putus-putus dan kepercayaan pengarah terhadapnya.

Namun begitu disebalik reaksi positif peminat yang gemar melihatnya beraksi di layar perak dan kaca televisyen, ada juga yang sudah mula berasa bosan.

Lisa yang ditemui pada sidang media perlancaran drama berjudul Tudung Ekspres kelmrin memberitahu perkara tersebut adalah diluar kawalan dan menganggap tahun ini merupakan rezeki yang diberi kepadanya.

"Saya serahkan kepada peminat sendiri perkara itu, sebab saya tidak boleh mengawalnya sekiranya mereka berasa bosan. Saya berpegang kuat pada rezeki Tuhan.

"Namun begitu setiap tawaran yang saya dapat kebiasaanya saya berbincang dulu dengan keluarga. Saya tidak ambil banyak tawaran dalam satu masa kerana tidak mahu terkejar-kejar.

"Mungkin kerana tarikh ditayangkan hampir sama setiap filem dan drama membuatkan orang sering melihat saya," jelasnya.

Dalam pada itu, Lisa yang memegang watak Erin dalam drama tersebut mengakui tidak berasa janggal mengenakan tudung sepanjang sesi penggambaran.

"Saya selesa mengenakan tudung, sebelum ini juga saya pernah berlakon watak bertudung malah tidak berasa kekok untuk mengenakan tudung di majlis-majlis agama.

"Lagi pula masyarakat kini lebih mudah menerima cerita-cerita seperti ini. Tapi untuk mengenakan terus, saya masih belum bersedia lagi. Mungkin satu hari nanti bila sudah sampai serunya saya akan bertudung.

Menceritakan watak dalam drama tersebut, Lisa memberitahu wataknya menjadi seorang wanita muslimah yang datang dari kampung demi mengejar cita-cita. Namun kerana sifat yang kelam kabut dia sering ditimpa masalah.

"Tidak susah untuk bawa watak ini sebab saya juga sedikit sebanyak begitu tapi cabaran utama ketika penggambaran adalah di stesen komuter.

"Kami terpaksa berlari keluar masuk dalam komuter semasa ia sedang berhenti seketika untuk mengambil penumpang," jelasnya ketika menceritakan pengalaman sepanjang penggambaran.

Drama bersiri 13 episod ini berkisarkan kehidupan empat orang wanita bertudung yang memiliki watak dan kisah tersendiri.

Drama yang turut dibintangi oleh Julia Ziegler, Linda Hashim dan Chermaine Poo ini bakal ditayangkan pada setiap hari Khamis, pukul 9.30 malam bermula 8 Julai ini menerusi Astro Prima.

Gembira tak terkira-Nana


Impian Nana dikurniakan zuriat termakbul

SAAT bergelar isteri kepada Mohamed Raqeem Brian Abdullah atau Brian, bermula 6 Jun 2009, Nana mengakui hati kecilnya terdetik rasa ingin menjadi ibu. Rasa itu normal dan bukan dibuat-buat. Malahan puas juga dia mahu menjawab pertanyaan orang yang asyik bertanyakan pasal dirinya, bila lagi hendak mempunyai anak sendiri.

Pertanyaan seperti ini seolah-olah satu lumrah kepada mereka yang sudah berkahwin, termasuk artis dan selebriti seperti Nana. Sama seperti mereka yang sudah berumahtangga, Nana juga memang menyimpan impian untuk mengandung dan melahirkan anak. Nampaknya, berkat doa dan dengan izin daripada Yang Maha Kuasa, penyampai radio XFM itu kini memaklumkan dirinya sudah berbadan dua.

Ia sudah tentu menjadi berita amat menggembirakan kepada si suami. Nana atau Nurul Hana Che Mahazan mengakui betapa dia hampir saja tidak dapat mengawal perasaan gembiranya. Kalau boleh dia mahu menjerit dan melompat keriangan untuk mengumumkan berita itu ‘kepada satu dunia’.

Bagaimanapun, yang penting ialah dia sangat bersyukur dengan kurniaan Illahi ini. Nana yang genap berusia 27 tahun pada 1 Julai nanti turut berkongsi khabar gembira ini kepada peminatnya menerusi blog XFM.

“Sebagai manusia, Nana dan suami tak terlepas daripada mencuba dan terus mencuba. Kami pun bukan masih muda. Nana sendiri setiap bulan akan membeli alat penguji kehamilan.

“Tetapi yang membezakan bulan sebelumnya ialah Februari lalu. Masa itu badan pun rasa semacam. Tanpa disangka keputusan yang ditunjukkan alat itu sangat positif. Nana kejutkan Brian. Kami tergamam dan memandang sesama sendiri. Apabila hari cerah, kami ke klinik mendapatkan pengesahan lanjut daripada doktor,” katanya yang ketika dihubungi usia kandungannya menjangkau 15 minggu.
Nana yang menyertai XFM sejak 16 November 2009 menegaskan, dia dan suami tidak kisah apa sekalipun jantinanya.
“Nana berasakan macam lelaki. Tapi Nana tidak kisah pun lelaki atau perempuan. Tapi kalau dapat anak perempuan pun ok. Bolehlah Nana ajar dia melawa.

“Lagipun baju budak perempuan ini cantik rekaannya. Boleh jadi rabun kalau membeli baju budak perempuan. Cuma buat masa sekarang, Nana dan Brian banyak berhabis duit untuk mengubah suai rumah kami di Puchong,” katanya.

Nana menjelaskan dia bernasib baik kerana tidak mengalami alahan yang teruk kecuali selera makan semakin bertambah kebelakangan ini. “Nana rasa perkataan ‘melantak’ paling sesuai digambarkan terhadap selera makan ini. Semua yang Nana jamah seolah-olah perlu ‘ditambah’ untuk dua orang makan. Malah, Nana sanggup keluar dari Kuala Lumpur untuk memuaskan nafsu makan ini.

“Nak kata mengidam tak juga. Mungkin juga Nana sudah bosan dengan makanan yang dijual di Kuala Lumpur. Nana sanggup ke Seremban biarpun bekerja pada hari terbabit. Nana hampir nak ke Kelantan tapi selepas dinasihatkan suami, Nana batalkan niat itu,” kata Nana yang berat badannya kini sudah mencecah 50 kilogram.

Dalam tempoh hamil ini seolah-olah menjadi masa yang terbaik kepada Nana ‘membuli’ suami. Katanya, inilah kesempatan untuk dia mendapat lebih kemanjaan suami daripada biasa.

“Tidak selalu pun. Biasalah ibu mengandung ini mungkin mengada-ngada sedikit. Dia (Brian) pun tak nak Nana buat kerja berat dan dia sanggup mengambil tugas kerja itu. Banyak kerja rumah yang Brian buat,” katanya.

Menurutnya, Brian juga gemar merapatkan kepalanya ke atas perut Nana seolah-olah dapat bercakap dengan bayi. Perihal yang sama turut dilakukan seorang rakan sekerjanya di Astro.

“Kak Nila Kurnia (penyampai radio Sinar FM) tak menyangka yang saya sudah berbadan dua. Malah ada rakan sekerja yang memberi petua dan kata semangat untuk Nana,” katanya yang kini mengacarakan program Wazzup Bolly dan menyampaikan promo slot saluran Mustika.

Suka duka Shara Eqkhnor


OLEH kerana namanya begitu unik menyebabkan Shara Eqkhnor dengan pantas dikenali ramai.

Popularitinya tambah berganda apabila dia dengan bijak menarik perhatian masyarakat menerusi imejnya yang tersendiri iaitu imej Tina Tuner.

Shara Eqkhnor pernah digelar sebagai Tina Tuner Malaysia hampir dua dekad lalu.

Sebetulnya, artis yang kini memanjat usia 47 tahun dilahirkan dengan nama Shara Nor Azar Othman.

Dek kerana tuntutan pentas komersial, namanya menjadi Shara Eqkhnor.

Biar apa nama sekalipun, suatu hal yang pasti, sejak dari awal perkenalan penulis dengan penyanyi ini, tidak banyak yang berubah padanya.

Walaupun sudah 18 tahun, penulis dan Shara tidak bersua, dia masih mesra seperti dulu. Kalau berubah sekalipun sosok tubuhnya yang sedikit berisi.

Bagi ibu tunggal beranak lima ini, iklim kehidupan yang dilaluinya selama ini penuh dengan pelbagai musim.

Ada masa dia melalui musim-musim yang indah, namun ada ketika pula dia diuji dengan pelbagai dugaan.

Paling meninggalkan bekas di hati Shara tentu sekali keruntuhan perkahwinan yang dibina selama 17 tahun dengan penyanyi Zamree yang pernah popular dengan lagu Tugu Cinta.

Sebagai manusia, baik Shara dan Zamree, masing-masing tidak mampu menolak ketentutan takdir apabila mahligai itu musnah.

Namun, apa yang membuatkan dia ralat dan sangat sedih ialah kemusnahan itu berlaku kerana kesusahan hidup mereka sekeluarga.

"Siapa yang tidak sayangkan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta, sebagai isteri saya cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya tetapi saya tidak mampu.

"Pelbagai usaha yang saya lakukan untuk memelihara mahligai bahagia kami tetapi sudah ditakdirkan jodoh kami hanya setakat itu dan akhirnya kami bercerai pada tahun 2009," cerita Shara sambil memandang sayu anak bongsunya, Putri Qistina Bilqish, 10, yang menemaninya pada pertemuan di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Shara, sebagai wanita, dia meletakkan kebahagiaan rumah tangga di senarai teratas dalam keutamaan hidupnya.

Kerana itu, dia tekad meninggalkan dunia seni setelah berkahwin kerana enggan pisang berbuah dua kali.

Sebelum berkahwin dengan Zamree, Shara pernah berkahwin namun rumah tangganya runtuh setelah dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 24 tahun iaitu Wan Eqbal.

Perkahwinannya dengan Zamree yang berakhir dengan perceraian tahun lalu selain Putri Qistina Balqish, mereka juga dikurniakan Putri Balqish, 17, Al-Raqfel Adam, 16 dan Al-Rafiqi Adam, 15.

Menurut Shara, setelah dia dan Zamree berkahwin, mereka sepakat meninggalkan dunia seni dan mengusahakan gerai makan turun temurun milik keluarganya yang terletak di Pulapol, Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Selain menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam, gerai yang terletak berhampiran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu juga menyediakan perkhidmatan fotostat untuk penuntut universiti itu.

Shara bukan setakat menjadi tauke di gerai itu, malah dia juga kadangkala bertindak sebagai tukang masak apabila chef yang digajikannya bercuti.

"Jika jadi penyanyi kita mesti mempunyai suara yang lunak didengar, untuk menjadi tauke kedai makan kita mesti pandai memasak.

"Alhamdulillah kerana sejak kecil saya sudah didedahkan oleh emak dengan pelbagai masakan, apabila mengendalikan gerai itu saya boleh memasak untuk pelanggan.

"Itulah sebab utama gerai yang diusahakan sejak 30 tahun itu sentiasa menjadi tumpuan para pelanggan menjamu selera dengan pendapatan RM1,500 sehari," cerita Shara mengimbau kejayaannya dan Zamree ketika mengendalikan gerai makan itu.

Bisnes musnah

Tahun demi tahun, pendapatan yang lumayan hasil usaha daripada meniaga bukan sahaja membuatkan mereka mampu menyara keluarga malah mampu membeli harta.

Hasil daripada perniagaan itu, pasangan suami isteri itu mampu membeli sebuah kondominium, kereta, motosikal berkuasa tinggi selain menikmati kehidupan mewah.

Meskipun, sebilangan besar daripada masa dihabiskan di gerai, baik Shara mahupun Zamree tidak pernah malu atau menyesal membuat keputusan meninggalkan dunia seni kerana pendapatannya memang lumayan.

Namun, panas yang disangka berpanjangan mengundang hujan di tengah hari.

Akibat hasad dengki segelintir pihak yang kurang senang dengan perniagaan mereka menyebabkan gerai yang diwarisi oleh keluarga sejak 34 tahun itu dirobohkan.

"Apabila gerai kami dirobohkan, terkuburlah semua punca pendapatan dan rezeki kami sekeluarga. Kami hilang punca untuk hidup seperti dulu," cerita Shara penuh sedih.

Sejak gerai itu dirobohkan, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan tapak lain namun semuanya gagal.

Bayangkan selama 11 tahun Shara dan Zamree berniaga dan hidup mewah dengan cara begitu, tiba-tiba rezeki ditarik oleh orang yang tidak senang melihat orang lain hidup senang.

Kerana itu, Shara tiada pilihan selain daripada kembali menyanyi sementara Zamree memilih untuk menjaga anak-anak.

Namun, pendapatan hasil menyanyi kata Shara tidak semewah berniaga apalagi ketika itu mereka sudah mempunyai empat orang anak.

Kesempitan hidup menyebabkan duit simpanan mereka semakin susut sehinggakan kondominium dan kereta terpaksa dijual.

Kesukaran hidup selama enam tahun menyebabkan mereka merana dan Zamree orang yang paling kecewa kerana dia kehilangan punca rezeki.

"Sebagai isteri saya memberi semangat kepadanya untuk berdepan dengan dugaan Allah tetapi bukan sahaja kami kehilangan punca pendapatan malah yang sedih ia menjadi punca kebahagiaan rumah tangga kami goyah," kata Shara berkongsi kemelut rumah tangganya.

Zamree kini di Perak

Menurut Shara, keretakan rumah tangga mereka sukar diselamatkan kerana keperitan hidup.

"Saya tidak pernah salahkan Zamree dengan apa yang terjadi. Dia seorang suami yang baik. Namun takdir Tuhan menentukan segala-galanya.

"Walaupun cuba menyelamatkan rumah tangga kami, namun takdir sudah menentukan jodoh kami tidak kekal dan pada 2009 kami bercerai dan membawa haluan masing-masing.

"Setelah bercerai, Zamree tinggal bersama ibunya di Perak dan saya tinggal bersama anak-anak di Kuala Lumpur," jelasnya dengan linangan air mata.

Sebagai manusia yang waras akal fikirannya, Shara tidak pernah kesal apabila rumah tangga dia dan Zamree musnah.

Cuma apa yang paling menyedihkannya ialah sejak bercerai dia dan anak-anak kehilangan seorang imam.

"Sejak berkahwin dan mempunyai anak, Zamree tidak pernah abaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Dia bukan sahaja mengajar anak-anak mengaji malah setiap waktu kami solat berjemaah.

"Kini saya dan anak-anak jarang solat berjemaah sejak kami 'kehilangan' imam. Itulah yang saya paling sedih, sejak itu saya rasakan hidup saya anak beranak begitu kosong dan tidak bermakna," cerita Shara sambil mengesat air matanya apabila menyentuh mengenai perpisahan dengan suaminya itu.

Menurut Shara, walaupun selepas bercerai hatinya kosong, namun sebagai ibu tunggal dia harus bekerja mencari nafkah untuk anak-anak.

Walaupun pendapatannya sebagai penyanyi di lounge tidak lumayan namun dia tetap bersyukur kerana masih mampu memberi anak-anak makan dan pelajaran.

Apabila ditanya apakah kemungkinan dia akan berkahwin lagi atau kembali ke pangkuan bekas suaminya Zamree, sambil membelai rambut anak bongsunya, Shara berkata:

"Dalam keadaan sekarang saya tidak pernah memikirkan soal kahwin lagi. Apa yang saya fikirkan adalah mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak dan memberi mereka ilmu yang tinggi.

"Saya tidak mahu mereka menjadi anak terbiar tanpa kasih sayang dan pelajaran. Insya-Allah jika ada rezeki, saya mahu membuat single agar ia memudahkan saya mencari rezeki dipentas nyanyian," katanya lagi.

Manisnya Liza bertudung


BARANGKALI ramai yang menonton rancangan Mentor semalam sudah pun melihat penampilan terbaru penyanyi Liza Hanim.

Liza dahulu dan sekarang sudah jauh berubah. Pada usia 31 tahun, dia memilih untuk menutup aurat.

Dengan imej bertudung, Papa dapat lihat Liza semakin anggun dan manis sekali.

Ketika berbual dengannya beberapa hari lalu, Liza memberitahu, penghijrahan imejnya itu bertitik tolak daripada keinginannya yang tulus tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.

"Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Suatu pagi, sebaik bangun tidur saya terfikir sudah sampai masanya untuk saya berubah dan menutup aurat.

"Dan apabila saya memaklumkan hal ini kepada suami, dia juga merestui serta mendoakan yang terbaik untuk saya," kata Liza yang juga ibu kepada dua orang anak.

Biar sudah bertudung, Liza memberitahu, dia akan tetap meneruskan kerjaya seninya tetapi semuanya harus mempunyai batasan.

Kepada Liza, Papa doakan semoga hidupnya akan lebih tenang serta dikurniakan rezeki yang lebih murah.

Adibah Noor & Shahir (AF8) Bau-Bau Bacang


RUPA-RUPANYA juara Akademi Fantasia AF8, Shahir, mempunyai pertalian keluarga dengan pelakon dan penyanyi terkenal, Adibah Noor.

Adibah berkata, dia hanya menyedari perhubungan keluarga itu apabila keluarga Shahir menghubungi ibunya selepas konsert AF8 berakhir.

"Datuk saya adalah adik beradik dengan moyang dia. Jadi lebih kurangnya dia macam pangkat anak saudara saya," katanya.

Adibah menegaskan, dia bukan ingin menumpang populariti Shahir dengan pendedahan itu.

Cuma dia sekadar mahu memaklumkan Shahir adalah saudara bau-bau bacang.

Mengenai perkembangan terbarunya, Adibah memberitahu, album keduanya berjudul Teman mulai dijual pada 30 Mac lalu.

Katanya, sebanyak 5,000 unit album dihasilkan tetapi dia tidak tahu sejauhmana respons terhadap album tersebut.

Setakat ini, lagu dalam album tersebut yang telah memasuki carta Muzik-Muzik ialah Sejujur Hatimu ciptaan komposer Adnan Abu Hassan dan lirik oleh Adibah Noor sendiri.

Adibah berkata juga turut berlakon dalam filem Crayon The Movie yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Aizat Tetap Tidak Mengaku Berkasih Dengan Liyana Jasmay


PENYANYI Aizat menyifatkan segala gosip yang mengatakan dia berpisah dengan aktres remaja, Liyana Jasmay sejak kebelakangan ini sebagai salah faham semata-mata.

Aizat juga menafikan mereka pernah bercinta dan menolak kononnya hubungan mereka sudah putus disebabkan Liyana mempunyai kekasih lain.

"Kami tidak pernah bersama, saya rasa orang salah anggap yang kami bercinta. Ia adalah gosip yang tak benar sebaliknya kami masih berhubung sehingga hari ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Konsert Inspirasi Muzik-Muzik TV3, Sabtu lalu.

Aizat menegaskan, dia dan Liyana adalah kawan baik sejak dahulu sewaktu Liyana menghasilkan album pertamanya.

"Kawan dia adalah kawan saya juga. Kita pun duduk dekat. Dari situ terpupuklah persahabatan yang rapat," katanya.

Mengulas mengenai insiden dia menolak tawaran sesi fotografi bersama Liyana sebanyak dua kali, Aizat berkata, tidak wujud apa-apa masalah pun antara mereka berdua pada masa itu.

"Saya sibuk pada hari tersebut. Hakikatnya saya tidak ada masalah dengannya. Kalau buat fotografi dengan dia dan saya pula ada kelapangan, kenapa tidak?"

Sejujurnya Aizat rasa selesa tentang perhubungannya dengan Aktres Terbaik di Anugerah Skrin (ASK) 2009 dan Festival Filem Malaysia ke-22 Itu.

Sementara itu, Aizat bakal melancarkan album barunya, 'Urusan Aizat' di Wisma Bentley, Damansara Utama pada 7 Julai ini.

Ia mempunyai tujuh buah lagu dan antara lagunya termasuk Mana Oh Mana, Years From Now, dan Sungai Lui.

Keputusan Kes Cerai Anne, Wafi 25 Jun


KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menetapkan 25 Jun ini sebagai tarikh keputusan mengenai pengesahan lafaz cerai pelakon Anne Ngasri dan suaminya Abdul Wafi Hassan.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin menetapkan keputusan ditangguhkan bagi menyiapkan alasan penghakiman selepas berpuas hati dengan perbicaraan tertutup yang berlangsung selama 30 minit tadi.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam syarie Mohd. Hamidullah Che Hassan, yang mewakili Abdul Wafi, memberitahu bahawa mahkamah berpuas hati dengan perbicaraan yang dijalankan dan membenarkan permohonan tersebut.

"Sebentar tadi berlaku perbicaraan penuh dan tiada saksi lain dipanggil melainkan defendan dan plaintif. Mahkamah telah berpuas hati dan membenarkan permohonan tersebut.

"Ini turut membabitkan tiga lafaz yang dibuat. Lafaz pertama tidak jelas dan perlu diteliti manakala lafaz kedua dan ketiga jelas 'aku ceraikan Anne'.

"Mahkamah juga menangguhkan keputusan tersebut pada 25 Jun ini bagi menyiapkan alasan penghakiman," katanya.

Selebum itu, Saiful Azli memerintahkan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai pasangan Anne Ngasri dan Abdul Wafi dijalankan secara tertutup di kamar hakim pada pukul 12.30 tengah hari tadi atas permohonan kedua-dua belah pihak.

Cinta Marsha


Marsha ulas soal cinta: Bintang Akademi Fantasia 3 akui kini terpaut hati jejaka Melayu

LIMA tahun berlalu tanpa ada satu pun pencapaian yang mampu membanggakan Marsha Milan Londoh. Yang bertebaran selama tempoh itu cuma cerita peribadi, gosip yang cuma mengaitkan dirinya dengan lelaki itu dan ini.

Cuma itu! Tiada lain yang diperkatakan mengenai gadis ini, kecuali episod cintanya yang tidak pernah berkesudahan. Lalu apa yang tinggal untuk dibanggakan gadis kelahiran Michigan, Amerika Syarikat ini?

Profil kerjaya seninya sehingga hari ini masih belum diisi catatan yang mampu membuat dia tersenyum. Lantas, apa sebenarnya cuba dicari gadis lincah berperwatakan periang ini? Apa mungkin Marsha cuma bergantung kepada publisiti kosong yang akhirnya cuma menenggelamkan bakat? Atau memang dia serius memegang cita-citanya tetapi belum diberi kesempatan untuk membuktikan kemampuan sebenar?

Serius menyusun bicara tatkala wajah mulusnya leka disolek, Marsha mengakui, dia pernah berkecil hati dengan industri hiburan.

Memasuki tahun keenam sebagai anak seni, siang dan malam Marsha bertungkus lumus untuk mencipta nama sebagai penyanyi dan pelakon. Malangnya, segala kerja kerasnya seakan tersembunyi di balik tabir limpahan publisiti yang cuma memfokus kisah peribadinya.

Bukan menyalahkan takdir atau kesal apabila episod cinta dengan teman sealiran diberi publisiti berlebihan. Marsha akur realiti industri hiburan. Atas sebab itu dia tetap berterima kasih kerana media tidak pernah melupakannya dan Marsha percaya, hari untuknya akan tiba juga nanti.
“Apabila tiba masanya, saya juga mahu kerja dan karier diberi perhatian. Saya percaya, jika ikhlas lambat laun peminat akan menyedari dan nampak kesungguhan itu,” kata Marsha.

Gadis berusia 25 tahun ini akur, untuk diterima dia cuma perlu menjadi dirinya sendiri. Terpulang apa juga tafsiran masyarakat, Marsha tidak pernah menjadikan semua itu sebagai beban kepada dirinya.

Bukan sekali dia dibelenggu oleh tafsiran negatif masyarakat. Kata Marsha, dia tidak mahu menjadi manusia hipokrit yang menyembunyikan kebenaran kerana dirinya juga berhak memilih cara hidup sendiri.

Disebabkan itu, gadis yang bernaung di bawah zodiak Sagittarius ini tidak mengelak ketika ditanya mengenai soal hati.

Marsha tulus mengaku, kekosongan hatinya kembali diisi sejak akhir tahun lalu. Berbeza cinta pertama, kali ini hatinya terpaut kepada lelaki Melayu yang berada di luar kelompok industri hiburan.

Marsha berkata, dia tidak mampu menolak untuk kembali jatuh cinta selepas beberapa tahun bersendirian.

“Sama seperti orang lain, saya juga ingin dicintai dan menyintai. Saya juga mendambakan kegembiraan dan kebahagiaan daripada insan yang sudi mengambil berat serta memberi perhatian.

“Untuk apa mengelak daripada menyatakan kebenaran kerana lambat laun, orang akan tahu juga. Cuma saya perlu berhati-hati untuk mengimbanginya supaya masyarakat tidak terus disajikan dengan cerita peribadi saya,” akui Marsha tidak berselindung.

Masih terlalu awal untuk menentukan hala tuju hubungan yang hampir setengah tahun berputik, Marsha berkata, dia menyerahkan masa depan kepada Tuhan.

Baginya, apa juga pengorbanan yang perlu dilakukan nanti biar dia yang menentukan. Ketika ini, dia cuma ingin membajai cinta itu dengan benih kebahagiaan tanpa perlu memikir terlalu jauh.

“Tolong jangan bawa topik ini terlalu jauh kerana saya sendiri belum berfikir sedalam itu. Saya melalui hari mendatang seperti yang diaturkan Tuhan.

“Andai dia lelaki yang ditakdirkan untuk menjadi jodoh saya, bagaimana saya mahu menolak? Tetapi jujurnya, hubungan kami masih belum ke tahap itu lagi,” pintas Marsha, memohon supaya topik perbualan segera dialihkan.

Siapa Julian di hati Marsha?

LEWAT ini kelibat Marsha lebih dilihat sebagai pelakon. Dua drama bersiri, Hotel Mania dan K.I.T.A menjadi bukti serius Marsha untuk membina kerjaya seni yang kukuh.

Lantaran lebih kerap dilihat sebagai pelakon, ada beranggapan Marsha cuba memilih haluan baru selepas karier nyanyian belum memberikan hasil selesa.

Diaju pertanyaan mengenai hal itu, Marsha berkata, dia masih belum mengalah untuk terus mencuba nasib sebagai penyanyi.

“Saya tidak pernah terfikir untuk berlakon. Tetapi apabila mencuba saya menemui keseronokan dan akan meneruskan karier itu kerana minat. Jujurnya, saya agak sukar untuk mencari keseimbangan antara nyanyian dan lakonan tetapi saya percaya kepada rezeki. Apa yang saya cari adalah kepuasan dan saya tidak melakukan sesuatu hanya untuk suka-suka.

“Disebabkan itu, walaupun sulit saya masih bersemangat untuk menyanyi kerana jiwa dan cinta saya masih di situ,” katanya.

Marsha juga berkata, dia gembira kerana impiannya dalam nyanyian kini direalisasikan Alibi Music menerusi single terbarunya, Ruang Kedua.

Lebih menggembirakannya, Ruang Kedua juga akan membuka langkahnya ke pasaran antarabangsa jika segala perancangan menjadi kenyataan.

Ruang Kedua menemukan Marsha dengan jejaka Perancis, Julian Cenly menerusi kolaborasi yang dialihbahasakan ke bahasa Melayu ilhamnya bersama Adeep.

“Saya tidak menolak apabila diminta merakamkan lagu ini. Mana mungkin saya menafikan ruang yang akan mendekatkan saya ke pasaran antarabangsa. Beberapa perancangan sedang disusun dan paling mengujakan, label turut mengusahakan pembikinan klip video yang akan diadakan di Perancis.

“Andai ada rezeki, dapat saya ke sana kerana lagu ini akan turut dirakam dalam bahasa Inggeris dan Perancis,” kata Marsha mengenai lagu ciptaan Jean-Philippe Bernie dan Abdelkrim El Habchi Virginie De Winter.

Julian ialah anak didik penyanyi antarabangsa, Anggun C Sasmi yang kebetulan albumnya diedar oleh Alibi Music, lantas memudahkan lagi kerjasama itu.

Penyanyi bertubuh sasa berusia 27 tahun itu juga dijangka akan bertandang ke Malaysia tidak lama lagi untuk mempromosikan albumnya.

“Saya cuma mampu mendoakan semua perancangan itu menjadi kenyataan. Saya berharap impak Ruang Kedua akan memberikan hasil positif kepada karier nyanyian saya,” kata Marsha yang terlebih dulu dikenali dengan lagu Sayang dan Yang Terbaik.

Fiza, suami tidak tinggal sebumbung lagi?


Bekas anggota Elite dikatakan sudah hampir dua bulan ditinggalkan sendirian

KONTROVERSI tidak pernah sunyi daripada melanda hidup bekas anggota Elite, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 29. Sejak zaman dara sehinggalah meniti alam perkahwinan, dirinya tidak pernah sunyi daripada cerita panas, lebih-lebih lagi kisah yang membabitkan dirinya dengan beberapa aktor popular seperti Awie Wings, Fahrin Ahmad dan Aqasha.

Fiza, akhirnya memilih ahli perniagaan, Ahmed Farriq Zainul Abidin sebagai pasangan hidupnya apabila mereka dinikahkan pada 8 September 2006. Namun, tidak sampai setahun mereka bergelar suami isteri, heboh orang bercerita, Fiza-Farriq berada di ambang perceraian, kononnya kemelut rumah tangga mereka turut mendapat campur tangan daripada keluarga mentua Fiza, namun mereka masih utuh mempertahankan perkahwinan. Hasil daripada perkahwinan itu, pasangan suami isteri berkenaan dikurniakan dua puteri iaitu Ferra Aryanna, dua tahun enam bulan dan Feeya, setahun dua bulan.

Pun begitu, ketika menghadiri Konsert Melodi Cinta Rossa di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini, seseorang sudah membisikkan ke telinga Zubir, memberitahu kononnya rumah tangga Fiza-Farriq sekali lagi bergolak sebaik saja kami terpandang kelibat Fiza yang turut sama menyaksikan konsert bintang dari Indonesia itu.

Zubir difahamkan, Fiza sudah hampir dua bulan tinggal sendirian di rumahnya di Sunway Damansara, Selangor apabila Farriq mengambil keputusan meninggalkan rumah yang mereka diami bersama.

Sumber sama memberitahu Zubir, dia pernah terpandang kelibat Fizza dan Farriq hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, baru-baru ini untuk menerima khidmat kaunseling daripada seorang ustaz di sana.
Sumber yang sama turut menambah, kini Fiza dan Farriq secara bergilir-gilir menjaga dua puteri mereka.

“Aku dapat tahu krisis rumah tangga mereka semakin meruncing dan kemuncaknya apabila Farriq mengambil keputusan meninggalkan Fiza. Mereka bergilir-gilir jaga anak. Tapi, aku dapat tahu, selepas menerima kaunseling daripada pejabat agama tempoh hari, kedua-duanya masih cuba menyelamatkan perkahwinan, namun apabila terlalu banyak rintangan, Fiza-Farriq memilih perceraian sebagai jalan terbaik jika terpaksa.

“Pun begitu, sehingga saat ini mereka masih bergelar suami isteri, cuma tak tinggal sebumbung saja, ala macam kes Maya Karin dengan suaminya, Steven la tu! Dengar cerita, Farriq keluar rumah tanpa meninggalkan satu sen untuk Fiza meneruskan kehidupan, cuma belanja anak-anak saja yang ada,” kata sumber berkenaan.

Sumber tadi turut menambah, punca pergolakan rumah tangga Fiza, Farriq tercetus gara-gara salah faham yang akhirnya membawa kepada pertikaian dan salah sangka. Bagi Zubir, sekiranya benar apa yang disampaikan ke telinga ini, Zubir harap pasangan suami isteri itu berfikir masak-masak sebelum membuat sebarang keputusan, jangan fikir diri sendiri, sebaliknya masa depan dua puteri yang sedang membesar itu.

Pun begitu, usaha Zubir menghubungi Fiza sehingga cerita ini ditulis petang Khamis lalu menemui kegagalan apabila kiriman SMS tiada balasan, panggilan telefon pun tiada jawapan. Justeru, sekiranya Fiza membaca gosip ini, dia sedia menghubungi Zubir untuk membuat penjelasan. Begitu juga Farriq, Zubir sedia mendengar penjelasan anda berdua, apa sebenarnya yang berlaku dalam rumah tangga kalian.

Johan buka mulut


AKHIRNYA insiden 'gelas terbang' Johan Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz, 26, bakal berlanjutan di mahkamah apabila dia mengambil tindakan membuat tuntutan ganti rugi RM1 juta ke atas pengarah drama, Mohd Javed Nizar dan syarikat produksi, Juara Filem Production Sdn Bhd. Kejadian berdarah itu berlaku di sebuah restoran di Taman Sri Pulai 2, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan pada 11 Mei lalu, kira-kira jam 6 petang.

Johan yang diwakili peguamnya, Zahrin Ishak dari Zahrin Emrad & Sujaihah membuat tuntutan berupa ganti rugi am, ganti rugi khas untuk perbelanjaan perubatan dan segala perbelanjaan sampingan, ganti rugi bertambah, pengeluaran suatu kenyataan maaf menerusi akhbar dan TV, penarikan balik semua surat dan e-mel fitnah kepada semua persatuan industri yang terbabit dan mana-mana pegawai bahagian berkuasa dan sejumlah RM200 untuk kos pengeluaran notis peguam. Surat tuntutan dihantar kepada Javed dan Juara Filem Production pada 10 Jun lalu.

Mereka diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab tuntutan berkenaan dan jika gagal berbuat demikian, surat saman akan dikeluarkan. Terdahulu, Johan mendakwa dia difahamkan tujuan pertemuan di restoran berkenaan adalah untuk perbincangan soal skrip drama, Bisikan Arwah yang sedang dalam penggambaran, namun bertukar kepada perbalahan sehingga mendatangkan kecederaan kepada Johan, manakala isterinya, Ozlynn Wati Ismail atau Ozlynn yang mempertahankan suaminya daripada terus menjadi mangsa pukul, turut ditendang di beberapa bahagian badan!

Penggambaran Bisikan Arwah dijadualkan bermula 7 Mei hingga 31 Mei lalu untuk siaran Astro Prima.

Akibat balingan gelas yang tepat mengenai dahi Johan, mukanya berlumuran darah dan dia membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2 kira-kira jam 7.58 malam pada hari kejadian. Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Johan seterusnya menerima rawatan dan beberapa jahitan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Selepas sebulan kejadian berkenaan, Johan yang selama ini keberatan berterus terang dengan rakan wartawan, akhirnya bersedia menceritakan apa saja ingin diketahui pihak media massa menerusi sidang akhbar yang diatur Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) pada 11 Jun lalu di Taman Melawati, Selangor.
Ketika ditemui Johan yang ditemani Ozlynn, dia bertekad tidak akan menarik semula keputusan membawa kes berkenaan ke mahkamah sekiranya segala tuntutannya gagal dipenuhi.

“Orang ramai pasti tertanya-tanya, mengapa saya berdiam diri selama sebulan. Namun, dalam tempoh berkenaan, saya menunggu kesan luka di dahi saya pulih sepenuhnya. Hari ini saya bersemangat bertemu pihak wartawan bersama bukti bergambar kecederaan tempoh hari atas nasihat SENIMAN dan peguam saya. Saya sedia menceritakan apa yang wartawan ingin tahu seperti dijanjikan sebelum ini,” kata Johan.

Sehari sebelum kejadian 11 Mei, ibu Johan, Salwa Mat Dani, 55, meninggal dunia di Ampang, Selangor akibat ketumbuhan dalam kepala. Justeru, apa rentetan yang berlaku sebelum kejadian ‘gelas terbang’ berkenaan?

Ziarah jenazah ibu

“Pada 10 Mei lalu kira-kira jam 7.30 malam, saya dapat panggilan telefon memaklumkan ibu saya sudah meninggal dunia. Saya minta habiskan dulu babak pada malam itu sebelum saya pulang ke Kuala Lumpur. Namun, Javed buat keputusan menamatkan penggambaran pada malam itu dan sambung semula keesokan hari.

“Alhamdulillah, saya sempat menyempurnakan jenazah arwah ibu dan semalaman saya tidak berpeluang melelapkan mata. Javed memaklumkan kepada saya, apabila saya dalam perjalanan ke Seremban keesokan hari, telefon dia, namun panggilan yang dibuat tiada jawapan. Saya dan Ozlynn dah sampai ke lokasi, babak malam yang dibuat di sebuah rumah. Tapi, tak ada siapa pun di situ.

“Sementara menunggu kru lain yang masih on-call, saya dan isteri tidur dulu dalam kereta, maklum sajalah kepenatan, semalaman tak tidur. Namun, anak pemilik rumah berkenaan, ketuk cermin kereta dan meminta kami supaya tidur saja dalam rumah mereka. Akhirnya seorang kru mengejutkan kami, memaklumkan pengarah nak jumpa bincang pasal skrip.

“Namun, saya dan Ozlynn tertidur semula dan sekali lagi kru berkenaan mengejutkan kami 30 minit kemudian, memaklumkan pengarah dah tunggu lama. Saya yang dalam keadaan ‘mamai’ terus ke restoran yang terletak tidak jauh dari rumah berkenaan. Saya terus duduk depan Javed. Namun, saya diarahkan bertukar tempat secara kasar.

'Dua tumbukan ke muka saya'

"Seorang kru yang mendakwa dirinya Pengurus Produksi mengetuk tangan saya, dia terus tanya ‘kau nak lama ke sekejap dalam industri ni?’ Tak ada langsung bincang pasal skrip. Jawapan saya, ‘apa hal ni?’ Dia tanya lagi, ‘aku tanya, jawablah...’ saya pun balas ‘apa pasal?’ Ketika itulah Javed memaki hamun saya, dia ambil gelas dah terus baling ke muka saya!

Namun, menerusi laporan Harian Metro terbitan 26 Mei lalu, Javed mendakwa kecederaan di muka Johan bukan disebabkan terkena balingan gelas sebaliknya serpihan kaca yang terpelanting akibat dihempas pengarah berkenaan yang berang dengan sikap pelawak dan pengacara itu.

“Kalau sekadar terkena serpihan kaca yang terpelanting, takkan dalam lukanya... Saya bertemu wartawan hari ini lengkap bersama bukti bergambar. Luka ini bukan disebabkan serpihan kaca. Javed membaling gelas tepat mengenai muka saya. Ketika itu darah dah memancut keluar. Dalam masa sama, Ozlynn menekup luka di dahi saya. Javed pula dah baling meja, manakala Ozlynn cuba menghalang diri saya daripada terus dikasari.

“Ketika itulah isteri saya ditendang! Saya cuba mempertahankannya, manakala dua tumbukan pula singgah di muka saya. Kami akhirnya sempat menyelamatkan diri dengan bantuan orang ramai,” kata Johan menceritakan kedudukan perkara sebenar.

Nafi cium isteri di set

Berdasarkan e-mel yang dikirim Javed kepada wakil SENIMAN, selain mendakwa Johan tidak berdisiplin gara-gara kelewatan yang melampau sehingga mengganggu penggambaran, dia juga menyelar sikap pelawak berkenaan kerana tidak ada kesedaran sivik apabila tidak menghormati persekitaran lokasi dengan aksi berpelukan dan bercium dengan isterinya di set penggambaran iaitu di rumah orang Islam!

“Memang isteri memeluk saya apabila saya menerima perkhabaran ibu sudah meninggal dunia. Tapi, saya tak nafikan, saya sering memeluk dan mencium isteri saya, namun bukannya di set penggambaran.

“Apa yang didakwanya tidak pernah berlaku di lokasi! Mengenai dakwaan saya lewat melampau, ingin saya jelaskan, saya baru saja memulakan penggambaran bersama produksi berkenaan selama dua hari.

Hari pertama, babak malam, saya sampai 7.30 malam, hari belum gelap. Hari kedua, saya tiba pagi, set tak siap lagi. Saya pula bukan untuk babak pertama, dia perlu buat penggambaran babak orang lain dulu. Justeru, bagaimana pula Javed mendakwa saya lewat?,” soal Johan kembali.

Pada masa sama, Johan turut menafikan segala isi kandungan e-mel dikirim Javed kepada wakil SENIMAN yang mendakwanya dengan pelbagai tuduhan.

Nasib Apek


BERITA penangkapan Saiful Apek mencetuskan kejutan di kalangan peminat dan teman-teman artis sendiri. Saiful Apek ditahan Ahad lalu bersama lima rakannya kerana memiliki 40 gram dadah dipercayai ganja.

Diva mendapat banyak respons terutamanya daripada rakan-rakan artis yang termenung dan terkedu mendengar berita tersebut.

Sebahagian mereka malah mengenangkan bagaimana dengan nasib Saiful Apek selepas dia dibebaskan kelak. Rupa-rupanya memang ramai yang sayangkan Saiful Apek dan bakat semula jadinya. Selain respons yang diterima daripada teman-teman artis, dapat juga info yang Diva sendiri korek daripada sumber pihak berkuasa.

Ingat wartawan jenayah sahaja yang ada perisik khas, Diva pun ada, jangan cemburu!

Kontroversi mengaitkan penyalahgunaan dadah membabitkan Saiful Apek mendapat liputan meluas media setelah satu klip video membabitkannya tersebar di Internet beberapa tahun lalu.

Saiful Apek ketika itu menjelaskan video itu hanyalah rokok biasa dan tidak ada kaitan dengan bahan lain. Tambahnya, klip itu berniat jahat dan mahu mencemarkan reputasinya.

Sambut orang ketiga-Diana Rafar


USIA perkahwinan yang baru masuk setahun semakin bermakna dengan kehadiran orang baru. Sukar menggambarkan perasaan Diana Rafar, 28, tetapi kuntuman senyum di bibir nipisnya sudah jeals menerangkan perasaannya.

Sinar kepuasan sebagai isteri dan bakal ibu yang mengambur dari wajahnya seperti tidak dapat ditahan-tahan. Kini zuriat pertama hasil perkongsian hidup dengan Zamarul Hisham sudah menginjak bulan yang kelima.

Anak bongsu daripada enam beradik ini menikahi pelakon lelaki tersebut di Masjid Shah Alam pada

16 Mei tahun lalu.

“Saya sendiri tidak menyangka kini saya berbadan dua. Manakan tidak, ada kawan yang mengalami alahan teruk terutama dalam tiga bulan pertama (hamil) tetapi saya tidak mengalami sebarang alahan.

“Kandungan kini sudah masuk bulan kelima tetapi saya masih tidak muntah-muntah... pening lalat seperti kebanyakan ibu yang lain pun tidak,” ujarnya yang membawa perut ke lokasi penggambaran Ilusi.

Drama tersebut bakal disiarkan menerusi slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis, pukul 6.30 petang.

Diana yang memegang nama asal Adiana Rafar sebelum ini sudah lali dengan pelbagai soalan berhubung sekehadiran orang ketiga dalam hidupnya dan Zamarul.

Bayi merupakan soalan lazim yang ditanya kepada pasangan suami isteri terutama jika mereka berjalan dengan perut kempis. Alah dengan soalan-soalan wajib tersebut, kini Diana mempunyai jawapan untuk setiap pertanyaan terhadap soalan seperti itu.

“Dulu jawapan saya macam biasa, tiada rezeki. Tapi orang banyak bertanyakan pada Zamarul kerana saya jarang keluar sejak akhir-akhir ini. Kini adalah masa yang sesuai untuk saya umumkan bahawa diri saya sudah pun berbadan dua. InsyaAllah kami akan menyambut orang ketiga tidak lama lagi,” ujarnya.

Kata Diana, Zamarul merupakan insan yang paling gembira apabila mendapat tahu dia hamil. Zamarul turut memliki dua anak lelaki hasil perkahwinan pertamanya yang kini menghampiri usia remaja.

Wanita bermata bundar ini turut galak bercerita tentang watak dalam drama terbarunya yang terselit unsur misteri dan mistik.

Membawakan watak Liza dalam drama 24 episod arahan Liza Ismail, Diana berkongsi keterujaannya membawakan watak wanita yang mampu melihat masa hadapan. Ilusi yang membariskan pelakon hebat seperti Ashraff Muslim, Ryzal Jaafar dan Azhar Sulaiman nyata memberikan dirinya sedikit suntikan ilusi di luar lokasi.

“Secara kebetulan, setelah menjalani penggambaran drama Ilusi, saya mendapat beberapa ilusi dalam kehidupan seharian saya. Tetapi saya anggap itu semua adalah kebetulan,” ujar Diana yang mengalami pertambahan berat badan daripada 46 kilogram ke 55 kilogram semenjak hamil.

Ujarnya jujur, sebenarnya dirinya lebih diselubungi rasa takut berbanding gembira ketika dalam proses kehamilan. Sedikit demi sedikit dia menukar rasa rakut itu setelah melihatkan emosi gembira terpancar di wajah orang di sekelilingnya.

“Entahlah... tetapi rasa gembira itu agak lambat hadir sebaliknya saya lebih rasa takut dahulu. Kini saya banyak baca al-Quran dan makan makanan berkhasiat serta minum susu untuk kesihatan bayi dalam kandungan,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Aaron 'hot' papa


DALAM erti kata yang mudah, dia tidak menyimpan memori dipeluk kasih bapa. Tiada erti ciuman di dahi oleh sang ayah atau melompat kegirangan menyambut pulang lelaki berstatus pemimpin rumah tangga itu sambil di tangannya tergenggam mainan baru.

Kenangan itu tiada dan tidak pernah muncul dalam jalur ingatan Aaron Aziz, 34, aktor dari Kota Singa yang semakin subur bakatnya ke daerah seni Malaysia.

Kematian lelaki berstatus ayah ketika tulang-temulangnya masih belum gagah berdiri, berlari apatah lagi, Aaron pernah membesar dalam bungkam perasaan yang kabur. Dia hanya kenal nilai kasih ibu sedangkan panggilan ayah yang laju melantun daripada bibir rakan-rakan seusia, langsung tidak memihak ke batang tubuhnya.

"Saya tiada perasaan dan langsung tidak tahu apa rasa mempunyai ayah. Saya tidak tahu apa itu kebapaan. Cuma dalam usia lewat 20-an, setelah saya mempunyai anak sendiri, barulah saya faham apa yang cuba dilakukan oleh seorang bapa.

"Saya menjadi yatim ketika umur saya belum sampai setahun. Ibu saya berkahwin sekali lagi ketika usia saya 13 tahun. Pernah juga saya persoalkan apa yang cuba dilakukan oleh bapa tiri saya tapi lama-kelamaan dan hari ini saya sangat menghormatinya, dia, Abdullah Daud, 55, seorang lelaki budiman yang mengajar saya bagaimana menjadi lelaki sebenar," terjemahan optimis terzahir oleh Aaron saat menumbuhkan ingatannya terhadap insan bergelar bapa.

Hari ini, 20 Jun atau lebih tepat lagi, Ahad ketiga dalam Jun diisytihar sebagai Hari Bapa bagi kebanyakan negara termasuk Malaysia. Searas dengan statusnya bapa kepada tiga cahaya mata, Aaron menjadi pilihan Sensasi Bintang untuk mengisi portfolio istimewa untuk semua.

Jika ada gelaran 'hot papa', Aaron antara bapa yang mampu menggalas gelaran itu saat ini. Dia bergelar bapa seawal usia 28 tahun saat menyambut kelahiran anak pertama Danish Anaqi, 6, dan selang dua tahun kemudian, muncul Dwi Ariana, 4.

"Itu cuma satu kelebihan sebab saya selebriti. Harapnya, gelaran itu satu doa yang baik, boleh juga jadi satu peringatan kepada saya supaya kekal menjadi diri sendiri, tidak lupa diri dan tahu mana bumi di pijak," cetusnya yang baru menimang anak ketiga, Dahlia Arissa, 23 Mei lalu.

Kasih tidak pernah luak untuk dibahagi-bahagikan. Ada anggota baru dalam keluarga dan dalam masa yang sama, dua lagi sedang membesar, memacu semangat bekerja serta misi kebapaannya semakin jelas.

"Jadi, sambutan Hari Bapa bukanlah semata-mata untuk anak mengucapkan selamat Hari Bapa kepada bapa masing-masing. Untuk saya, memandangkan anak-anak masih kecil, Hari Bapa yang datang ini lebih kepada satu peringatan," tuturnya lancar.

Tersenyum sambil ralit menceritakan kerenah tiga anak yang masih kecil, dia mengaku tidak pernah mengekang keinginan sang anak. Bahkan dalam banyak hal, dia yang terlampau memanjakan anak sehingga mampu memdatangkan risiko.

"Sekarang anak-anak sudah pandai membuat permintaan, isteri saya (Diyana) kerap menyalahkan saya kerana terlalu mengikut kata anak dan memanjakan mereka.

"Saya cuma mahu memenuhi setiap kekosongan kerana ketika zaman kanak-kanak saya tidak merasainya. Saya tidak mahu mereka rasa apa yang pernah saya rasa. Tapi sekarang saya sedar, saya perlu beransur-ansur kurangkan 'keistimewaan' putera puteri saya itu," katanya.

Mahu tunjuk kejantanan

Masuk ke kancah populariti yang memungkin hidup tanpa had privasi, Aaron melonjak naik tanpa cerita panas. Mengakui banyak diselamatkan oleh status bapa, pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Haryati 2 oleh Erma Fatima (2004) itu bagaimanapun harus akur - menjadi artis tidak akan terlepas daripada gosip.

Seperti beberapa aktor sasa yang lain, status suami kepada Diyana Halik, 29, ini juga tidak mampu melindungi Aaron daripada terjebak dengan khabar yang digeruni oleh golongan wanita.

Ketika populariti sudah digenggam, baru-baru ini, ada angin panas meniupkan bicara, kononnya dia termasuk dalam senarai lelaki gay. Pernah disangkalnya dalam artikel terdahulu, sekali lagi Aaron bertegas.

"Saya tidak perlu naik marah atau melatah dengan gosip sebegitu. Bagi saya itu fitnah. Bila orang tengok rumah tangga saya aman dan tidak bergoncang, isu lain pula yang timbul. Agaknya sudah lumrah, apabila menjadi artis, pasti ada pihak sengaja mahu mencari kesilapan saya.

"Macam mana lagi hendak saya buktikan 'kejantanan' saya. Saya tak perlu buat apa-apa. Sebab mulut orang susah hendak ditutup," katanya selamba.

Riak wajahnya biasa, tenang dan jauh berbeza dengan sifat agresif seperti yang ditonjolkan dalam lakonannya.

Adat menjadi lelaki, sifat 'nakal' itu tidak dapat dipisahkan. Menanyakan Aaron, apakah dalam dirinya sudah dibuangkan jauh-jauh segala kenakalan seorang lelaki, ini jawabnya:

"Saya masih nakal, tetapi kenakalan itu akan keluar apabila saya berada bersama orang-orang tertentu. Apabila bersama rakan-rakan yang 'kepala merepek', saya pun sama merepek. Bila bersama anak-anak, saya harus nakal setaraf dengan penerimaan anak-anak. Jika bersama isteri, saya suka mengusik-usik dan mengejek Diyana," luahnya.

Menelaah personaliti bapa popular itu, Aaron juga ditebak tentang kenakalan yang dicuba disingkirkannya.

"Saya cuba buangkan sifat panas baran saya, cuba tapis kata-kata dan pandangan tidak baik terhadap orang lain. Jika sebelum ini pantang disentuh, mula rasa ingin berdepan dengan pihak yang bertentangan, sekarang kena banyak sabar memikirkan saya ada keluarga yang kena dipertahankan.

"Jika di lokasi, ada ramai wanita cantik dan seksi, jadi saya kena tapis pandangan mata saya. Boleh tengok tapi tak boleh tengok lebih-lebih," ulas Aaron dengan senyum nakal.

Gengster dan banduan

Bukan lagi Bintang Eksklusif Astro sejak Mac 2010, Aaron kini bebas bekerja dengan mana-mana rumah produksi tanpa had siaran di mana-mana saluran.

Baru sudah selesai penggambaran drama bersiri Qabil Dan Habil, dia kini menyerap karakter baru. Bukan sekadar gengster seperti yang pernah terpamer menerusi Evolusi KL Drift 1, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Evolusi KL Drift 2. Menerusi filem KL Gangster, filem terbaru terbitan Skop Production Sdn. Bhd. yang memulakan penggambaran sejak 9 Jun lalu, Aaron melengkapkan siri watak jahatnya.

Kali ini dia menjadi kepala gengster yang digeruni. Dia menggalas watak bekas banduan yang harus berdepan realiti hitam.

"Melakonkan watak Malik, walaupun masih bawa watak gengster, saya cuba asingkan diri dengan karakter yang pernah disaksikan dalam Evolusi KL Drift 1 dan 2.

"Ada perubahan daripada segi rambut, karakter yang lebih baik kerana saya menjadi banduan yang telah insaf, solat dan mahu bina hidup baru. Tapi tidak semudah itu, kawan baik saya dibunuh dan ada pihak yang sengaja cari pasal dengan keluarga saya, adik-adik saya mula terlibat dengan dadah dan kongsi gelap.

"Itu yang kena saya pertahankan dalam filem terbaru ini. Sebab itu di hujung cerita, penonton akan lihat banyak aksi dan pergaduhan," katanya yang kali pertama diberi peranan hero dalam filem arahan Syamsul Yusuf.

'Malang' selepas bercerai-Daphne


DAPHNE Eleanor Iking tidak menyesal dengan takdir yang menimpanya. Tidak kira sama ada tentang kegagalan rumah tangga, kes saman antara bekas suami dengan pengarah urusan yang masih berlangsung di mahkamah, dia masih mampu bersabar. Juga tidak ketinggalan cerita ‘busuk’ mengatakan dia mengurat bekas suami aktres Natasha Hudson dan yang terbaru, pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang merakam wajahnya sewaktu di tandas dan menyiarkan foto itu di sebuah laman blog hiburan.

Semuanya ditelan satu demi satu meski pun terlalu pahit untuk dilalui. Sebagai wanita dewasa yang berpegang dengan takdir hidup, dia percaya tentang cabaran yang mendatang mematangkan corak pemikirannya.

Mengingati nasihat ibunya, Naili Ganahang di Sabah yang mahu dia kuat dan tabah, ibu beranak satu ini tabah meski pun dikecam dengan pelbagai masalah.

‘‘Saya tidak menyangka dikala kita gembira, ada pihak yang mencemburui kita. Saya kelihatan seperti tidak mempunyai maruah apabila kepala dipijak. Seolah-olah, saya ini terlalu mudah untuk dijadikan bahan kutukan,’’ katanya lemah.

Tanpa diduga, dia mengakui bahawa kesemua cerita sedih yang semakin berantai itu disebabkan oleh perceraian dengan bekas suaminya, Ryan Chong Yiing Yih.

Bukan menyalahkan sesiapa, tetapi selepas diamati dalam-dalam, jelas bahawa titik dukacita bermula di situ. Selepas berpisah dengan suami, dia ditimpa dengan pelbagai dugaan tidak terhitung yang seakan-akan menembak diri sendiri.

Mengahwininya satu kesilapan


Nikmat hidup berumah tangga bersama Ryan dalam majlis yang penuh gemilang di Bali pada 7 Julai 2007 tidak lama. Dia menerima hakikat bahawa jodohnya dengan lelaki yang berasal dari negara China itu tidak kekal. Jujurnya, kata model yang juga pengacara popular ini, selepas Isobel Daniella Iking-Chong lahir pada 26 November 2008, rumahtangganya dilanda musibah. Pada ketika itu Daphne memutuskan untuk mengunci mulut seketika tentang status perkahwinannya, sehingga dia membuka mulut dengan membuat kenyataan rasmi pada satu majlis prebiu filem My Spy pada hujung 2009.

“Saya memilih untuk berpisah kerana akhirnya saya akur bahawa cinta kami tidak boleh bersama lagi,” katanya, membongkar sisi kesedihan diri.

Menurut Daphne, dia akhirnya sedar cinta terhadap Ryan tidak seutuh dan sekuat kasihnya buat Isobel. Anak kecil itu adalah simbol kekuatan diri yang memberi inspirasi setiap kali berdepan dengan masalah.

‘‘Jatuh bangun saya kini hanya untuk Isobel. Ryan pula umpama angin yang hanya boleh dirasa tetapi tidak boleh dipegang, manakala Isobel adalah segala-galanya,’’ bicaranya.

Malahan, hubungan antara dia dan Ryan juga agak renggang selepas lelaki itu menyatakan pendirian untuk berpindah terus ke China pada hujung tahun lalu. Sekali gus memisahkan hak kasih sayang seorang bapa terhadap darah dagingnya sendiri. Kata hati kecilnya, tidak mengapalah, asalkan lelaki tersebut tidak meminta hak penjagaan pengarang jantungnya itu.

Diasak dengan persoalan isu saman bekas suaminya dengan pengarah urusan sebuah syarikat, Daphne lantas meminta agar perkara itu tidak disentuh kerana kes berkenaan masih dalam bicara mahkamah.

Mulutnya bagaikan terkunci erat agar soal yang sama tidak ditanya lagi.

Bukan Perampas

Sementara itu, merujuk kepada gosip yang mengatakan dia memadu kasih bersama dengan bekas suami Natasha Hudson iaitu Datuk Shahrin Zahari di sebuah hotel di Petaling Jaya selepas lelaki itu bercerai, bagi Daphne, ia sememangnya tidak berasas sama sekali.

Jelitawan ini memberitahu bahawa dia tidak sesekali pernah menanam impian untuk menjadi perosak rumah tangga. Tambahan dengan pengalaman yang dilaluinya itu, dia mengerti bagaimana terseksa dan merana jiwa seorang perempuan itu tatkala cinta hati dirampas orang lain.

‘‘Lebih teruk apabila saya membaca di sebuah blog mengatakan ada pihak secara senyap membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas Isobel dan mendakwa anak itu membawa gen Shahrin. Gila ke apa? Saya bukan wanita terdesak yang menagih cinta dengan banyak lelaki. Saya juga tidak mahu kacau rumah tangga dia (Natasha). Saya bukan jenis sebegitu dan hidup saya penuh dengan prinsip,’’ getus Daphne.

Anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini memberitahu bahawa hubungan persahabatan yang tercipta antaranya dengan Natasha sangat baik sekali sehingga kehari ini. Tidak pernah timbul rasa cemburu seperti yang didakwa. Malah mereka juga berbaik setiap kali bertemu dan saling bertanya khabar.

Saat diajukan soalan tentang pengganti Ryan, pantas Daphne menarik nafas panjang. Katanya, biarlah dia seorang sahaja yang mengetahui insan yang bertakhta di hatinya dan tidak perlu menghebahkan kepada semua.

Graduan lulusan komunikasi di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2004 ini juga kini lebih bersikap hati-hati dengan apa sahaja perbuatan dan percakapan agar tidak disalahertikan oleh sesetengah pihak pada masa akan datang.

Mengenai penampilannya yang sering tampil dengan gambar-gambar yang mendedahkan, kata Daphne, dia tidak pernah berniat untuk menarik perhatian lelaki.Ini termasuklah beberapa gambar seksinya ketika menyaksikan Formula 1 di Sepang, Selangor, beberapa bulan lalu yang menonjolkan sebahagian besar dadanya di khalayak awam.

‘‘Maaflah sekiranya saya telah melakukan sesuatu yang tidak elok pada pandangan orang Islam. Saya tahu, pasti ada pihak yang tidak senang dengan cara pakaian ketika itu, tidak bermakna saya begitu mudah dimaafkan kerana saya bukan Muslim.

“Namun, jauh di sudut hati saya ini wujud kekesalan yang tebal dan harapan agar kesilapan saya itu diampuni,’’ kata pemilik syarikat Lebosi Sdn. Bhd.

Mengenai kehidupannya dimasa depan, Daphne cukup yakin bahawa suratan takdir yang ditetapkan Tuhan tidak berakhir dengan kesedihan selama-lamanya.

Pasti wujud taman kebahagiaan sama ada dalam kehidupan terdekat atau masa akan datang. Apa yang perlu dilakukannya adalah banyakkan bersabar dan lalui kehidupan seperti biasa bersama ratu hatinya, Isobel.

Kami sudah bercerai Mei lalu - Kamal (bekas suami Ramlah Ram)


DIA bukan lagi isteri saya lagi. Kami tiada jodoh,’’ katanya lelaki bernama Kamal Roslim itu dalam

bicara kami Khamis

lalu. Satu kenyataan yang cukup mengejutkan kerana dua hari sebelumnya, Ramlah Ram mengumumkan tentang tuntutan cerai yang dibuatnya di Mahkamah Shah Alam pada Mei lalu. Sebaliknya pendedahan Kamal kepada Pancaindera berbeza sama sekali apabila lelaki itu mendakwa bahawa mereka bukan lagi suami isteri semenjak Mei lalu. Meminta Kamal untuk mengulas perkara itu, awalnya dia berkeras tidak mahu. Kata Kamal, dia menolak untuk bercerita kerana semuanya telah diperjelaskan oleh Ramlah sendiri.

‘‘Sungguh, saya tidak pernah mengharapkan kisah rumah tangga saya dijaja atau menjadi bahan bualan dari saat awal perkahwinan sehingga ke hari ini. Tambahan pula, saya sedar asal usul diri ini, hanya orang biasa sahaja. Cuma bertuah kerana beristerikan penyanyi wanita yang cukup terkenal pada tahun 80-an,’’ katanya yang hanya mahu berkongsi cerita ini melalui talian telefon.

Diminta untuk merakamkan gambar terbarunya, penerbit Rancangan Unit Sukan TV di Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu berkeras enggan kerana merasakan tidak perlu berbuat sedemikian.

Katanya, cukuplah publisiti dari media kepadanya sebelum ini dan ia tidak diteruskan lagi.

“Jujurnya saya amat bencikan perpisahan. Acap kali saya berdoa agar rumah tangga kami berkekalan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, tetapi takdir membawa kami kepada perpisahan.

‘‘Bohonglah kalau saya tidak sedih dengan penceraian itu. Ia umpama mimpi ngeri dan berulang kali saya mengatakan pada diri bahawa saya bukan lagi milik dia.

Kamal dan Ramlah bernikah pada 3 November 2000 pada ketika Ramlah berada di singgahsana populariti sebagai artis ternama.

Kenapa bercerai?

Sebenarnya bukan mudah mengajak Kamal membuka mulut bercerita tentang perceraian dirinya dan Ramlah. Justeru lelaki yang cukup dikenali dengan imej pendiam, tidak banyak cakap dan ‘penyimpan’ ini sama sekali tidak akan menjelaskan secara terperinci kenapa dan mengapa mereka berpisah.

Apa yang hanya dijelaskan lelaki berusia 41 tahun ini bahawa dia tidak sesekali menuding jari kepada Ramlah berkaitan hal perceraian itu.

“Saya meletakkan semua kesalahan di atas bahu sendiri, tentang apa sahaja tanggungjawab yang telah terabai buat dia atau apa sahaja.

“Biarlah hanya saya dan dia saja yang tahu kerana sebab musabab itu adalah rahsia rumah tangga kami. Terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum,” beritahunya lagi.

Bagi Kamal, adalah lebih baik sekiranya berfikir untuk mencari kehidupan yang lebih baik selepas kembali solo.

Telan derita sendiri

Diterjah dengan macam-macam spekulasi yang kurang enak didengar termasuklah keupayaannya sebagai suami, Kamal juga tidak peduli dengan kata-kata kejian atau pandangan serong diberikan masyarakat. Bisik hatinya, tanggungan penderitaan di jiwa, biarlah dia seorang yang mengetahui, tidak perlu dikecohkan.

Maka seboleh-bolehnya, dia mahu tunjukkan kepada semua orang keceriaan meskipun terpaksa berbuat sedemikian. Kehidupan mesti diteruskan dan dia tidak boleh terus mengenang kisah lampau.

Pengubat terbaik untuk melupakan seketika permasalahan tersebut adalah menyibukkan diri dengan tugasan harian. Apatah lagi dengan suhu darjah Piala Dunia 2010 yang semakin meningkat memaksanya untuk bekerja lebih masa. Macam-macam program yang diterbitkan untuk unit sukan sejak April lalu setelah diamanahkan sebagai penyelaras program. Kamal perlu memastikan penonton RTM merasai Sorakan 1Malaysia 1Dunia. Apatah lagi selepas RTM menjadi penyiar berlesen untuk acara sukan berprestij tersebut.

‘‘Kini, hidup saya hanya untuk kerja sahaja. Tidak ada yang lain. Kerja adalah kaedah paling berkesan untuk memastikan diri saya tidak berfikir bukan-bukan. Kerja seminggu tujuh hari pun saya rela kerana ini adalah bidang yang paling diminati. Fokus kini tertumpu kepada program Fiesta Sokker Koors yang disiarkan setiap 12.30 malam hingga 1.30 pagi. Ia seperti rancangan hiburan melibatkan artis tempatan tetapi penuh dengan kuiz berkaitan Piala Dunia 2010.

‘‘Saya bertuah kerana mempunyai teman rapat yang banyak memberi sokongan dan semangat kepada saya. Boleh usir sedikit memori sedih saya bukan seketika,’’ katanya.

Ditanya apakah rancangan Kamal selepas ini, dengan nada gembira dia memberitahu tentang tugasan ke Johannesburg, Afrika Selatan pada 29 Jun hingga 14 Julai nanti. Ia merupakan lokasi impian buat peminat tegar Piala Dunia 2010 untuk melawat ke situ.

Apa yang diharapkan Kamal agar dia mendapat ketenangan dan menghidupkan semangat baru sekembali pulang ke tanah air.

Pun dalam masa yang sama, ada doa dihantar untuk wanita bernama Ramlah Ram. Pengharapannya, biarlah wanita yang pernah menghuni hatinya itu terus sukses, dimurahkan rezeki dan dalam keredaan Illahi sentiasa.

Akim lari dari rumah?


AKIM dah makin besar kepala? Biar betul? Bukankah selama ini remaja yang digilai ramai gadis itu sebelum ini tidak banyak kerenah. Malah hampir tidak ada cerita buruk mengenai Akim yang menjadi perhatian media selain daripada gosip cintanya.

Rupa-rupanya, selepas semakin popular, imej bersih Akim tidak bertahan lama. Walaupun gosip yang mengatakan dia menjalinkan cinta dengan salah seorang penyanyi wanita sudah tak kedengaran tetapi cerita lain pula timbul.

Apa yang mengejutkan Pancaindera apabila mendapat tahu yang Akim sudah hidup sendirian selepas hampir tujuh bulan menumpang tinggal di rumah bapa saudaranya yang juga ahli muzik terkenal, Mat Mega. Akim 'menumpang' di rumah Mat Mega sebaik sahaja tamat Akademi Fantasia musim ketujuh.

Di sebalik semua itu, kononnya ada cerita yang mengatakan hubungannya dengan Mat Mega sudah semakin renggang kerana Akim mula bersikap besar kepala.

Malah, jasa dan pengorbanan Mat Mega bagi membantunya memulakan hidup di ibu kota juga bagaikan hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh penyanyi yang cukup popular dengan lagu Bengang itu.

Kononnya juga kehadiran Akim di rumah Mat Mega telah menimbulkan masalah kepada keluarga pemuzik berkenaan apabila menjadikan rumah bapa saudaranya itu ibarat hotel semata-mata.

Ada juga dakwaan yang mengatakan dia tidak berdisiplin dan keluar masuk rumah sesuka hati sehingga menjadikan orang dalam rumah tersebut kurang selesa dengan sikapnya termasuklah membawa adiknya untuk tinggal sekali di situ.

Gara-gara tiada persefahaman itulah, Akim kini dikatakan keluar dari rumah bapa saudaranya di Kajang, Selangor untuk hidup sendirian bersama dengan adiknya dengan alasan tak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Benarkah Akim bergaduh dengan bapa saudara sendiri?

Ketika ditemui baru-baru ini, Akim ternyata terkejut dengan cerita tersebut dan menyangkal dakwaan yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu kepadanya.

"Teruk sangat dakwaan itu. Mana ada jadi sampai macam tu sekali? Siapa yang buat cerita?," tanyanya.

Pun selepas diajak berbicara lebih panjang, Akim mengakui dia kini tidak lagi menumpang di rumah Mat Mega.

"Saya memang sudah tinggal sendiri, tetapi bukan kerana bermasalah dengan keluarga bapa saudara saya. Tak timbul soal keluar masuk rumah sesuka hati dan menjadikan rumah tersebut macam hotel, tak ada langsung masalah dengan mereka sebenarnya.

"Sebab itu Akim terkejut bila keluar cerita ini. Akim tertanya-tanya adakah Akim memang ada buat silap sebelum ini tanpa disedari? Tapi rasanya semua yang didakwa itu tak benar," jelasnya tanpa berselindung.

Mahu hidup berdikari

Berpindah ke tempat baru tidak mengubah segala-galanya. Bagi anak muda kelahiran Johor Bahru, Johor ini, tidak ada yang perlu dikesalkan melainkan hanya mahu hidup berdikari.

Keputusan untuk meninggalkan keluarga Mat Mega bukan satu keputusan terburu-buru tetapi adat sebagai manusia biasa, dia juga mahukan kebebasan.

Namun kebebasan yang dicari bukanlah disebabkan dia tidak bebas sebelum ini sebaliknya Akim sudahpun bersedia untuk hidup sendirian bersama dengan adiknya.

"Akim keluar dari situ cara baik tanpa melibatkan apa-apa rasa tak puas hati mana-mana pihak. Mereka faham Akim mahu berdikari dan menghormati keputusan itu.

"Selama ini saya banyak belajar dengan pakcik saya tentang menguruskan rumah dan sebagainya. Jadi apabila ada sedikit ilmu apa salahnya Akim gunakan untuk hidup berdikari.

"Lagipun bila hidup sendirian ini memudahkan pergerakan Akim. Maksud saya kalau keluarga saya dari Johor nak datang pun mudah. Dah ada tempat nak tinggal.

"Adik saya pun tak akan tinggal lama dengan saya sebab dia akan melanjutkan pelajaran di Perak. Selepas ini mungkin Akim akan membawa ibu untuk tinggal di sini bersama-sama," kata penyanyi lagu Inilah Cinta ini lagi.

Selama dua bulan hidup bersendirian banyak perkara baru yang dipelajarinya dalam tempoh masa itu. Walaupun usianya 'hijau' untuk dilepaskan bersendirian, Akim tak kisah dengan apa juga tafsiran dan pandangan orang.

"Akim tahu apa yang Akim buat. Akim juga mahu yang terbaik buat diri sendiri. Terima kasih kerana tak pernah putus-putus mengambil berat tentang diri saya," tambahnya.

Hidup semakin senang

Adat sebagai artis yang tengah naik daun, segala-galanya begitu indah buat anak muda yang mencecah usia 19 tahun ini.

Dia sudah mengecapi apa sahaja yang diimpikannya termasuklah memiliki sebuah kereta mewah walaupun baru setahun jagung menjadi anak seni. Inilah yang dinamakan rezeki.

Malah muka manisnya juga banyak terpampang di kebanyakan papan-papan iklan bersaiz gergasi yang sedikit sebanyak menjadikan dirinya cukup laku pada waktu ini selain terlibat sebagai duta produk kepada beberapa jenama popular.

"Alhamdulillah, semuanya lancar buat Akim. Sepanjang perjalanan menjadi anak seni, segala-galanya bagaikan tak ada masalah dan Akim cukup bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya.

"Tapi tak bermakna itu akan menjadikan Akim lupa diri dan besar kepala. Perjalanan yang masih baru dan terlalu awal untuk ditelah. Harap-harap semuanya akan baik seperti yang diharapkan," tambah pelakon drama Kau dan Aku ini lagi.

Berbangga dengan sambutan peminat terhadap dirinya, Akim yang cukup berbakat menghasilkan lagu cukup berbangga dengan sambutan peminat terhadap lagu Inilah Cinta.

Dalam masa yang sama turut berdebar menantikan sigle ketiganya, Janji yang akan menemui peminat pada bukan Julai nanti.

Perceraian Azrinaz mengejutkan


PERCERAIAN antara bekas personaliti TV3, Azrinaz Mahzar Hakim Mahzar dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah merupakan berita yang cukup panas yang berlaku sepanjang minggu lalu.

Joyah sendiri tak pasti apa yang berlaku kepada pasangan diraja ini tetapi Azrinaz diceraikan pada 16 Jun lalu yang disiarkan di kaca televisyen negara tersebut. Selain itu, Joyah difahamkan segala pingat dan gelaran yang diterima oleh Azrinaz juga ditarik balik berkuat kuasa dari tarikh yang sama.

Tempoh lima tahun perkahwinan, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata, Pangiran Muda ‘Abdul Wakeel, 4 dan Pangiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 2
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails