Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Erti Syawal Maya Karin


DIA mengambil cuti selama tiga hari untuk meraikan hari kemenangan ini. Syawal yang masih panjang lagi, kata Maya Karin, dihabiskan bersama ibu dan sanak saudaranya di kampung.

Malah dia masih merasai ‘basah’ nikmat berhari raya di kampung selepas dua tahun tidak menyambut Aidilfitri bersama sanak saudara.

Pelakon cantik bermata galak ini mengaku bahawa raya tahun ini berbeza dengan tahun lalu.

Tahun lalu, kata Maya, sambutan rayanya lebih sederhana berbanding tahun ini yang disambut lebih meriah. Barangkali, kata Maya, kerana sambutan raya dewasa kini tidak sama lagi dengan sambutan raya seperti dahulu. Masa yang cepat berlalu telah membunuh keterujaan beraya kerana bulan berganti pantas dan tiba-tiba raya kembali datang menjelma.

“Boleh dikatakan, raya saya tahun ini lebih 'besar' berbanding tahun lalu. Tahun lalu saya hanya beraya di Kuala Lumpur bersama bekas suami dan kami menyambutnya dengan serba sederhana. Tidak ada yang istimewa.

“Barangkali kerana saya sendiri berasa terlalu cepat masa berlalu sehingga apabila raya datang lagi, saya tidak perasan atau sempat membuat persiapan dan kami beraya dengan serba sederhana,” kata Maya yang menggemari lontong sebagai hidangan pada pagi raya.

Berbanding tahun ini, sejak Ramadan dia sudah membuat sedikit persiapan untuk pulang berhari raya di Pulau Tikus, Pulau Pinang bersama ibunya. Yang membuat dia semakin teruja juga kerana dapat berkumpul dengan sanak saudara yang sudah lama tidak bertemu.

“Bagi saya, signifikan raya adalah tentang kegembiraan dan kebahagiaan berkumpul dengan sanak saudara. Ia cara kita meraikan kemenangan bersama-sama selepas Ramadan. Justeru apabila dapat kembali berkumpul dengan sanak saudara, ia memberi saya kegembiraan yang tidak terhingga.

“Malah saya akui, raya tahun ini juga cukup berbeza. Ia seperti satu perjalanan buat saya. Jika waktu kecil saya pernah menyambut raya di Indonesia sewaktu menetap di sana dan menjalani ragam raya tersendiri, kemudian berkahwin dengan lelaki bukan Melayu dan tidak begitu meraikan raya, raya tahun ini sungguh bermakna bagi saya,” katanya panjang lebar.

Hubungan dengan ibu

Tidak berselindung, Maya sewaktu ditanya bagaimana dia melewati hari-hari barunya tanpa lelaki bernama suami memberitahu, ibu menjadi peneman setia dan penguat semangat buatnya. Bersama ibu, gundah dan gembira dikongsi bersama.

Begitu positif bahawa setiap mendung pasti beranjak pergi jika seseorang manusia menerima musibah yang menimpa dirinya dengan tabah, Maya memberitahu sinar yang diperoleh selepas menjanda adalah silaturrahim yang lebih intim terjalin antara dia dan ibu.

“Saya tidak kata perceraian lalu adalah hal yang buruk dalam hidup saya. Saya juga enggan mengatakan tentang perceraian itu membawa satu hikmah lain. Mungkin sewaktu berkahwin, saya sendiri sibuk menguruskan rumah tangga. Namun saya akui, selepas bercerai dan kembali solo, hubungan saya dengan ibu bertambah intim.

“Malah bukan ibu sahaja, sebaliknya dengan kebanyakan anggota keluarga yang lain. Saya banyak menghabiskan masa bersama mereka. Saya akui, sebagai manusia kita selalu alpa tentang apa yang ada di depan mata seperti ibu kita.

“Saya terleka seketika bahawa saya tidak banyak menghabiskan masa dengan mak selama ini. Saya larut dalam dunia saya, tapi kini saya mempunyai banyak masa dengan mak saya,” katanya.

Sebagai wanita biasa yang kadang kala rapuh hatinya, meledani kehidupan sebagai seorang wanita yang kehilangan cinta adalah hal yang menyakitkan. Sesekali dia akui, ruang hatinya diketuk rasa sunyi. Tetapi pantas dibuang jauh supaya dirinya tidak mati sendiri.

Katanya: “Saya mengaku, sesekali ada rasa sunyi. Tapi perasaan itu perlahan-lahan pergi apabila saya sendiri tidak mempunyai banyak masa untuk bersedih kerana sibuk dengan jadual penggambaran filem dan rakaman program Nona.”

Spiritual

Sedang menjalani fasa yang dianggap olehnya sebagai fasa penuh spiritual, dia tidak sesekali menyalahkan apa yang terjadi dalam kehidupannya sebelum ini. Katanya, setiap manusia tidak akan terlepas daripada melalui kesedihan.

“Sebagai manusia, kita tak boleh 'melompat' fasa kesedihan itu. Suka atau tidak, ia harus dilalui dan daripada situ baru kita boleh menganjak perjalanan baru. Itulah yang sedang saya lalui sekarang,” katanya tanpa selindung.

Ditanya bagaimana dia melihat sosok seorang lelaki selepas rumah tangganya roboh, Maya pantas memberitahu dia tidak pernah menyimpan prasangka atau persepsi negatif terhadap lelaki.

“Setiap manusia itu punya sifat tersendiri. Dan saya percaya setiap lelaki juga mempunyai sikap berbeza,” katanya yang tidak pernah menyimpan dendam terhadap lelaki.

Dengan yakin Maya mengatakan dia tahu cinta pasti akan singgah sekali lagi dalam hidupnya. Katanya: “Saya percaya pada cinta. Saya juga yakin, pada masa akan datang pasti ada jodoh dan cinta baru buat saya. Insya-Allah.”

Terus dijolok tidakkah ada lelaki yang kini cuba mengait cintanya, Maya dalam ketawa perlahan mengangguk, mengaku ada beberapa lelaki dari dalam dan luar industri seni yang cuba mendekatinya. Namun semua godaan tersebut ditepis baik.

“Memang ada yang mendekati, tapi buat masa ini, saya kurang berminat untuk sebarang perhubungan baru. Jadi saya membuat satu garis jelas kepada setiap lelaki yang menghampiri saya dengan menyatakan saya tidak berminat,” katanya.

Serentak itu juga, Maya memberitahu: “Saya masih belum bersedia untuk menjadi isteri buat kali kedua.”

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails