Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Misha belum diserang madu


ANGIN semilir sudah lama menerbangkan berita yang bunga mekar Negeri Cik Siti Wan Kembang ini sudah dipetik orang. Bukan sebulan dua berita itu kedengaran tetapi sudah setahun.

Cuma kebelakangan ini angin itu telah bertukar menjadi taufan. Misha dikatakan sudah menjadi isteri orang.

Lalu, sehari sebelum gadis berusia 28 tahun ini menaiki pentas Istana Budaya untuk pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir, dia dibidik dengan soalan demi soalan.

Bakal sibuk mulai Jumaat lalu hingga ke 4 Oktober untuk pementasan bersama Erra Fazira, Esma Daniel dan Zizan Nin, Misha cuba mengalihkan fokus agar tekanan yang diterimanya tidak berlarutan.

Manakan tidak, soalan perkahwinan bahkan dakwaan dia menjadi isteri kedua buat seorang ahli perniagaan yang berjaya dan terkenal di Kelantan menerpanya setiap hari sewaktu pulang berlebaran di kampung halaman.

Dalam resah yang cuba diredakan, Misha Omar yang bakal keluar dengan album The Best Of Misha hujung tahun ini merungkaikan persoalan bersama Sensasi Bintang.

Sebetulnya, anda sudah bergelar isteri atau belum?

MISHA: Tidak, saya tidak berkahwin seperti yang digembar-gemburkan. Malah, cerita ini sebenarnya sudah lama dibawa orang. Sejak bulan enam tahun lepas. Saya berani cakap sebab saya memang tak buat (kahwin).

Kalau betul saya berkahwin, saya akan berterus-terang. Sekarang, saya seperti didesak untuk menyatakan benda yang saya tidak lakukan.

Saya ubahsuai rumah kerana serangan anak-anai pun orang masih kata sebab saya nak buat majlis perkahwinan.

Anda kenal dengan ahli perniagaan yang dimaksudkan?

Saya memang kenal dengan lelaki yang dikatakan ‘suami’ saya itu. Saya menjual kereta Mercedes milik saya kepadanya. Memang ada berurusan tetapi kerana transaksi penjualan kereta. Persahabatan kami terjalin atas dasar itu.

Ada pihak yang turut mendedahkan nama jurunikah dan tempat anda berkahwin. Boleh komen?

Nama imam yang disebut itu saya kenal kerana saya membayar zakat dengannya. Malah, keluarga saya juga kenal baik dengan ‘tukang nikah’ tersebut.

Saya cabar mereka untuk tunjukkan bukti atau surat yang menyatakan saya sudah bernikah.

Saya sedih kerana orang turut melibatkan keluarga dan ibu. Ibu saya sendiri menangis dan minta penjelasan daripada saya.

Pernah diserang oleh isteri seseorang atau keluarganya?

Tidak pernah walaupun dengan satu panggilan telefon.

Apa pandangan peribadi anda terhadap poligami? Maklumlah anda juga digosipkan menjadi isteri kedua kepda seorang ahli perniagaan.

Selepas melalui pelbagai perkara dalam kehidupan, saya rasa saya berhak memiliki suami. Soal jodoh memang di tangan Tuhan. Pada penghujung hari kelak, semua Tuhan yang tentukan, jadi saya tidak berani cakap.

Pandangan anda tentang lelaki yang berpoligami?

Lelaki yang mahu berpoligami harus berani. Bukan menikus dan bernikah di Siam kemudian diam.

Dia juga harus terbuka dan berani berhadapan dengan keluarganya, keluarga bakal isteri dan juga isterinya sendiri.

Anda tidak akan berkahwin secara senyap-senyap seperti yang diuar-uarkan umum?

Kalau pun nanti berlaku atau siapa pun lelaki itu atau menjadi isteri yang ke berapa, saya janji akan beritahu.

Saya bukan jenis orang yang suka sorokkan perkahwinan. Saya tahu saya keluar dengan berita begini kerana khalayak mahu lihat saya berkahwin.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails