Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Raudhah buka pintu hati


PERWATAKAN dan karakter wanita mulut murai ini berubah sama sekali apabila dia membawakan watak isteri alim dan taat pada suami bernama Raudhah dalam drama berepisod, Ular Emas.

Demi menghayati watak Raudhah, Haryati Hamzah atau Yatt, 30, terpaksa menukarkan percakapannya yang bagaikan kereta api ekpress kepada wanita yang berhemah tinggi.

Apabila pengarah drama itu, Murali Abdullah menghulurkan skrip kepada Yatt, walaupun dia mendapati tawaran itu sangat menarik, tetapi dia tidak yakin sama ada wanita seperti karakter Raudhah itu wujud lagi pada zaman sekarang.

“Saya pernah melakonkan watak perempuan baik, tetapi Raudhah itu terlalu baik orangnya.

“Macam tiada cacat cela langsung dan saya kata pada Abang Murali, mustahil ada lagi orang seperti itu dalam dunia ini. Apatah lagi karakter saya yang sebenar dengan Raudhah bagaikan langit dengan bumi.

“Dek kerana itu pada mulanya saya tidak yakin untuk membawakan watak Raudhah, tetapi Abang Murali percaya saya boleh melakukannya. Abang Murali nampak benda yang saya sendiri tidak nampak ada dalam diri saya.

“Pada permulaan penggambaran, saya belajar dengan Abang Murali cara untuk membawakan watak Raudhah. Sebenarnya saya bimbang membawakan watak Raudhah kerana penonton sering beranggapan watak ‘baik-baik’ selalunya nampak bodoh dan kelihatan lemah. Jadi saya takut sekali penonton juga berfikiran sama terhadap Raudhah.

“Tetapi Abang Murali seorang yang tegas dan minta saya terus menjadi Raudhah dan katanya lagi, dalam setiap diri wanita mesti ada yang bersikap dan berperasaan seperti Raudhah.

“Cuma mereka tidak mahu ‘menunjukkannya’ atau tidak sedar adanya kebaikan dalam diri masing-masiang. Justeru, dia paksa saya ‘keluarkan’ karakter Raudhah yang terperangkap dalam diri saya itu.

“Tegasnya lagi, kalau ada yang berkata Raudhah itu wanita bodoh maknanya dia yang bodoh kerana tidak mahu menjadi sebaik Raudhah. Abang Murali juga marah apabila saya protes, mustahil orang macam Raudhah masih ada. Malah katanya, saya sepatutnya bersyukur kerana dapat watak itu.

“Dia sangat yakin orang macam Raudhah masih ada dalam dunia ini cuma barang?kali kita belum berkesempatan dipertemukan dengannya. Maka katanya, sayalah sebenarnya Raudhah itu,” katanya.

Yatt menambah, dari mula dia berlakon sehingga tamat peng?gambaran selama dua bulan tujuh hari, dia berterima kasih kepada Murali kerana terlalu banyak memberinya tunjuk ajar.

“Selain bantuan Abang Murali, untuk memasukkan roh Raudhah dalam diri, saya banyak membaca bismillah dan bersalawat. Alhamdulillah, selepas itu segalanya jadi senang.

“Dia yakin apabila saya membawakan watak ini, kerjaya seni saya akan lebih berkembang. Luahan pendapatnya itu membuatkan saya terdiam dan tersenyum sendiri. Semakin lama saya mendalami watak Raudhah, saya juga semakin percaya memang sifat Raudhah ada dalam diri setiap wanita.

“Bagaimanapun, kebaikan dan keluhuran budi itu seakan tenggelam kerana kita membenarkan kejahatan menguasai diri kita. Lantaran itu, kena melawan kejahatan itu supaya ia tidak terus bermaharajalela.

“Watak Raudhah sangat mengesankan dan memberi impak kepada saya sekarang untuk menjadi wanita solehah, isteri, ibu dan anak yang baik kepada orang tua saya. Juga mula terikut-ikut cara Raudhah yang apabila hendak melakukan apa saja, mesti dimulakan dengan bismillah. Sangat besar keberkatannya,” katanya.

Sambung Yatt, sepanjang drama itu disiarkan menerusi slot Lagenda TV3, baru-baru ini, setiap hari penonton memberikan komen yang baik.

Malah, ada yang beritahu, mereka sudah terikut-ikut dengan karakter Raudhah dan membaca bismillah dalam melakukan apa saja.

“Alhamdulillah, mesej yang ingin disampaikan Abang Murali sampai juga kepada penonton dan saya sendiri lega mendengarnya. Inilah saja yang saya dapat lakukan untuk mendidik jiwa penonton supaya beramal dengan perkara yang baik.

“Khabarnya ramai lelaki mula mengidam untuk mendapatkan isteri seperti Raudhah dan kepada mereka yang sudah beristeri pula mahukan isteri mereka menjadi wanita solehah dan patuh pada suami,” katanya.

Kesannya kepada kerjaya Yatt sekarang, dapat banyak tawaran berlakon, tetapi dia mahu berehat dulu untuk membesarkan anak sulungnya, Suci Hanania Malika yang baru berusia lapan bulan hasil perkahwinannya dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor, 30.

“Saya sanggup ke lokasi Ular Emas kerana watak yang sangat menarik. Waktu itu saya baru empat bulan melahirkan Nia. Selama dua bulan di lokasi drama itu saya jarang dapat bersama Nia yang ditinggalkan bersama emak (Sufiah Junaini, 53) di Seremban.

“Membawakan watak Raudhah juga meletihkan.

“Selesai saja penggambaran, saya tengok Nia sudah belajar banyak benda dan saya sangat merinduinya ketika dia masih bayi.

“Saya suka pegang dan mendokong bayi yang masih lembik. Pengalaman itu membuatkan saya tidak mahu meninggalkan Nia lama-lama kerana saya akan kehilangan momen yang indah bersamanya.

“Saya mahu melihatnya ?membesar, belajar merangkak dan berjalan. Menjadi ibu ?mengundang keinsafan dan teringatkan tingkah saya terhadap emak. Baru kini saya tahu macam mana kasih sayang seorang ibu yang sanggup berkorban apa saja untuk buah hatinya itu. Nia juga masih menyusu badan, jadi buat masa ini saya mahu meluangkan lebih banyak masa bersamanya.

“Insya-Allah saya akan bekerja semula Disember ini. Ada beberapa tawaran yang sedang saya pertimbangkan. Saya juga sedang giat bersenam dengan bermain badminton untuk menurunkan berat badan,” katanya yang bercadang menambah ahli keluarga secepat mungkin.

Namun begitu, hasrat itu terpaksa dipendamkan dulu kerana dia melahirkan Nia menerusi pembedahan.

“Saya dan suami sudah berusia 30 tahun dan tidak boleh terlalu menjarakkan kelahiran, tetapi dengan keadaan saya sekarang, terpaksalah bersabar,” katanya.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Haryati Hamzah
NAMA KOMERSIAL: Yatt Hamzah
TARIKH LAHIR: 13 April 1980
TEMPAT LAHIR: Muar, Johor
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Abdul Mutalib Abdul Shukor, 30
ANAK: Suci Hanania Malika, lapan bulan
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Massa & Pengajian Media
KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon.
ANTARA DRAMA: Nasi Lemak Kukus, Rencong, Kaber Hero Kaber Zero, Hidayah, Bella dan Ritma Kolej, Rendang Raya Mak Tijah, Ular Emas
FILEM: Impak Maksima dan Kecoh Betul

Badan Berisi, Raja Farah Salahkan Baju


PETALING JAYA: Pelakon Raja Farah23, yang dikatakan semakin “comel” ketika muncul dalam Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) Ahad lalu menyalahkan pakaian yang dipakai apabila susuk tubuhnya yang semakin berisi diperkatakan orang.

Katanya, pakaian rekaan Ezuwan Ismail yang berwarna merah jambu itu tidak begitu sesuai dengannya sehingga perkara tersebut menjadi perbualan ramai.

“Pakaian yang dibuat untuk saya itu menampakkan saya lebih berisi. Ramai yang jumpa saya secara realiti memberitahu badan saya tidak seperti yang mereka lihat di televisyen,” katanya kepada mStar Online, Khamis.

Bagaimanapun kata wanita berusia 23 tahun ini, dia menyedari badannya semakin naik sejak kebelakangan ini tetapi imejnya di dalam televisyen ketika memakai pakaian tersebut bukanlah dirinya yang sebenar.

“Saya juga sedih dengan perkara ini tetapi saya malas nak fikir tentang pandangan orang tentang saya itu. Saya sedang untuk berada di depan kamera televisyen memerlukan saya lebih kecil daripada apa yang penonton lihat,” ujarnya.

Tidak menyalahkan pereka fesyen berkenaan, katanya, pakaian tersebut mungkin dibuat secara tergesa-gesa.

Tambah Raja Farah lagi, perkembangan itu turut membuatkan pihak produksi Kau Dan Aku turut menasihatkannya agar menurunkan berat badan.

Sehubungan itu kata Raja Farah dia sedang berusaha ke arah itu sebelum melangsungkan perkahwinannya pada 12 November depan dengan Megat Andika,25.

"Jika diikutkan badan saya dulu lebih berisi dari sekarang. Tapi saya tidak pernah timbang berapa beratnya. Saya mengukur keadaan badan saya dari pakaian yang saya pakai,” katanya.

Dalam pada itu, Farah memberitahu dia kini terlalu sibuk dengan persiapan perkahwinannya.

Selepas selesai drama Kau dan Aku Raja Farah akan berehat sebentar dan tumpukan pada persiapan untuk hari bahagia itu.

Sementara itu, Ezuwan Ismail ketika dihubungi memberitahu mengambil masa sehari untuk menyiapkan pakaiahn itu.

Katanya, tempoh masa yang diberikan itu menjadikan pakaian berkenaan agak kurang sesuai digayakan oleh Raja Farah.

"Saya tidak salahkan dia jika dia menyalahkan baju tersebut. Kami hanya berkesempatan untuk berjumpa dan saya mengambil ukurannya semasa malam latihan FFM23 iaitu sehari sebelum berlangsungnya majlis tersebut.

"Sebagai pereka fesyen saya juga mahu dia nampak cantik ketika mengayakan baju itu, tapi malangnya kami tidak ada masa untuk mencuba dan baikinya," katanya.

Ezuwan bagaimanapun menganggap perkara tersebut sebagai salah satu pengajaran baginya agar lebih berhati-hati selepas ini.

Zizan nafi cintai Diana


KERJAYANYA baru hendak menampakkan hasilnya setelah empat tahun bergelumang dalam dunia seni. Sama naik dengan kerjanya sudah pasti sahamnya sebagai lelaki bujang yang diburu wanita. Terbaru selepas berpisah secara rasmi dengan kekasihnya, penyanyi dan pelakon Leez, Zizan kini dikatakan berkawan rapat dengan pelakon baru Diana Amir.

Malah, hubungan antara mereka juga dikatakan luar biasa seperti orang yang sedang bercinta. Ada saksi yang melihat mereka berdua pernah keluar makan bersama. Menjawab persoalan cinta dan hatinya, Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abul Razak yang ditemui pada majlis anjuran Butik Lord's Tailor di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak menafikan yang dia pernah keluar bersama dengan Diana Amir.

Dalam tawa Zizan berkata: "Memang saya ada keluar dengan dia tetapi hubungan kami tidak lebih daripada seorang teman dalam bidang hiburan.

"Dia seorang pelakon baru dan banyak bertanya kepada saya tentang kerja. Lagipun sebelum ini saya memang berkawan dengan abang Diana. Jadi, saya rasa bukan satu kesalahan untuk saya keluar dengan dia. Kalau ikutkan saya ada juga keluar dengan teman-teman artis yang lain tetapi tidak pula dikata bercinta."

Menurut jejaka berusia 26 tahun itu lagi, buat masa ini fokusnya hanya untuk kerja kerana fikirannya tidak mengizinkan dia melakukan dua kerja secara serentak.

"Saya memang tidak mahu bercinta dan mempunyai komitmen buat masa sekarang kerana tidak mahu mengganggu perjalanan kerja saya. Otak saya tidak boleh fokus jika saya lakukan dua perkara secara serentak. Jadi fokus saya hanya kerja bukannya untuk mencari kekasih," luahnya.

Sungguhpun begitu, menurut Zizan lagi, andai sudah sampai waktunya untuk berumahtangga, dia akan mula serius untuk memilih calon isteri kelak.

"Saya jenis lelaki yang mahu isteri saya cuci kaki sahaja bila berkahwin dengan saya. Maknanya saya ingin sediakan segala kelengkapan seperti rumah dan kewangan yang stabil sebelum berkahwin.

"Itu hasrat saya. Untuk mencapainya saya rasa bukan dalam masa terdekat, maknanya dalam masa terdekat ini saya tidak akan bercinta kerana mahu bekerja keras," tuturnya.

Bercerita lanjut mengenai wanita pilihannya, riak wajah Zizan terus bertukar serius dan berkata dia tidak memandang rupa paras sebaliknya mahukan wanita yang mampu menjaga anak-anak dan keluarganya dengan baik selain wanita itu haruslah mampu membimbingnya untuk menjadi insan yang lebih baik.

Seumur hidup

"Saya tidak kata saya baik, memang lelaki harus membimbing wanita bila berkahwin tetapi untuk mencari pasangan untuk seumur hidup wanita itu juga harus membimbing saya andai saya tersasar dari landasan," ucapnya jujur.

Zizan juga tidak menolak andai jodohnya kelak adalah wanita yang bekerja dalam bidang yang sama dengannya. Baginya, artis itu hanya satu kerjaya. Apa yang penting adalah hati.

"Siapa kata orang bukan artis itu baik dan artis itu semuanya jahat. Ada juga orang biasa yang perangainya teruk. Begitu juga dengan artis, ada yang baik.

"Kalau sudah jodoh saya dengan artis juga, kahwin sahajalah. Kalau susah sangat nanti saya suruh emak saya carikan," katanya sambil ketawa besar.

Meskipun usia penglibatan Zizan dalam bidang seni masih baru, anak kelahiran negeri Terengganu itu bagaimanapun sudah mula berfikir panjang untuk masa depannya.

Merancang untuk memiliki sebuah syarikat sendiri suatu hari nanti, Zizan menjelaskan, syarikat itu akan menjadi periuk nasinya apabila dia sudah tidak lagi popular seperti hari ini.

"Saya jadikan ahli perniagaan Datuk Sani Salleh sebagai idola kerana dia mempunyai sebuah syarikat bas yang besar. Kalau boleh saya pun mahu jadi sepertinya, cuma bidang perniagaan apa yang mahu saya ceburi belum tahu lagi.

"Setakat hari ini saya sudah mula dengan menjual pakaian. Untuk buka syarikat, ia masih lagi dalam perancangan, mungkin saya akan buka sebuah syarikat produksi," balasnya.

Mencari kesempurnaan-Vanidah


BENARLAH kata orang menuntut ilmu tidak mengira usia. Apa yang penting adalah kemahuan. Kalau sudah ada kemahuan, usia tua atau muda tidaklah menjadi halangan.

Mungkin itulah yang difikirkan oleh Vanidah Imran. Memang sekali pandang, kehidupannya sudah dianggap sempurna. Dia juga boleh dikatakan sebagai seorang yang berjaya dalam dunia seni. Mempunyai keluarga bahagia dan kerjaya seni yang boleh dibanggakan apabila membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20), namun Vanidah atau mesra di sapa Vee saja sebenarnya masih belum puas kerana merasakan sesuatu ruang kosong dalam kehidupannya belum terisi.

Bukan mendamba harta menggunung atau kemasyhuran memuncak, sebaliknya ibu kepada dua cahaya mata itu mahu menggenggam segulung ijazah sekali gus menjadi pembakar semangat kepada anak-anaknya bahawa tiada yang mustahil di dalam dunia ini asalkan mempunyai keazaman.

Dalam kesibukan menguruskan rumah tangga dan memenuhi jadual penggambaran, diam-diam pelakon yang mesra disapa Vee sudah memulakan pengajian di sebuah kolej swasta sejak setahun lalu dengan memasuki kuliah pada setiap hujung minggu.

“Dalam hidup kita perlu punya perancangan dan inilah impian saya. Walaupun pengajian mengambil masa empat tahun, saya bertuah kerana punya suami yang memberikan sokongan selain pensyarah serta rakan kuliah yang sentiasa sudi membantu,” katanya yang awalnya enggan berkongsi cerita mengenai rutin baru hidupnya.
Barangkali tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk, Vee lebih selesa berbual hal lakonan namun selepas beberapa kali diasak, barulah terkeluar sedikit demi sedikit kisah pengajian yang katanya, memberi pengalaman baru apatah lagi dikelilingi rakan kuliah yang lebih muda.

Begitupun, isteri Rashidi Ishak ini masih merahsiakan kolej pengajian atau jurusan diambil tetapi semakin rancak mengatur butir bicara apabila diaju suka duka sepanjang setahun bergelut dengan buku, tugasan mingguan dan kertas peperiksaan.

“Selepas bertahun meninggalkan alam persekolahan, berkeluarga dan sibuk bekerja, tentu janggal masuk sekolah semula. Memang awalnya sukar mahu mengadaptasi dunia baru, namun apabila kita sudah bertekad perkara sukar boleh menjadi mudah.

“Cuma saya masih ingat ketika mengambil peperiksaan, dek kurang tidur dan terkejar-kejar dengan masa, saya muntah di dewan peperiksaan. Apa pun pengalaman itu membuatkan saya sentiasa beringat supaya tidak lagi menelaah pada saat akhir,” kata aktres berusia 37 tahun itu.

Mengimbas semula keputusan menyambung pengajian, semuanya hasil perbincangan sejak dulu dengan mengamalkan giliran apabila Rashidi lebih dulu mengambil jurusan Pengajian Komunikasi Massa di sebuah universiti tempatan dan selepas tamat tahun lalu, kini tiba pula peluang Vee.

Katanya, demi anak-anak masing-masing sentiasa mengamalkan tolak ansur dalam segala hal bagi membolehkan urusan rumah tangga, kerjaya dan pelajaran bergerak seiring malah kaedah terbabit mengeratkan lagi hubungan mereka.

“Syukur suami saya sudah menamatkan pengajian dan selepas dia tamat, saya pula menyambung pengajian. Disebabkan kuliah pada hujung minggu, saya masih dapat memenuhi undangan berlakon, cuma kadang kala di lokasi saya mencuri masa menyiapkan tugasan apabila tiba waktu rehat hingga membuatkan ramai rakan pelik.

“Sekarang mereka semua sudah faham malah memberi sokongan moral. Ada juga yang merisik-risik bagaimana mahu menyambung pengajian seperti saya. Sekurang-kurangnya usaha saya ini turut merangsang teman lain sambung belajar,” katanya lagi.

Ditanya perancangan masa depan, akuinya jika punya peluang dan beroleh ijazah sarjana muda seperti diimpikan dia ingin melanjutkan pengajian peringkat sarjana di sekolah lakonan terkemuka di luar negara sebagai bekalan mempersiapkan diri menjadi tenaga pengajar.

Hasrat itu tertunas di dalam diri selepas mendapat peluang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengendalikan kem motivasi membabitkan penyertaan 150 ahli kelab pencinta filem dari beberapa sekolah di Pantai Timur bersama pensyarah Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Aminah Raphor.

“Walaupun hanya bersama mereka dalam tempoh tiga hari satu malam, banyak ilmu kami kongsi bersama. Awalnya memang kekok kerana saya tidak pernah mengajar tetapi hasil bantuan Aminah, segala-galanya berjalan lancar hingga saya turut mendapat gelaran cikgu.

“Bagi saya ilmu lakonan bukan sekadar belajar beraksi sebaliknya ia lebih kepada mendidik kita supaya lebih berdisiplin dalam hidup. Secara tidak langsung pengalaman itu membakar semangat saya untuk berkongsi ilmu lakonan,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama di bawah arahan Bade, Dendam Maya.

INFO: Vanida Imran


•Membabitkan diri dalam arena seni sejak 17 tahun lalu.


•Pernah mengendalikan RIM Chart Show pada 1997 selain You Asked For It, Kuiz Siapa Boleh dan Kenali Pasangan Anda.


•Meraih gelaran Miss Selangor/Malaysia 1993/94, Miss Selangor Photogenic 1993/94, Miss Malaysia/World Photogenic 1993/94 dan 1st Runner Up Miss Malaysia/World 1993/94


•Tiga kali dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi FFM dan meraih anugerah itu pada FFM 2007.


•Berkahwin dengan bekas anggota Deadmushroom, Rashidi Ishak pada 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mikhail Imran, 8 dan Maryam Rashika, 5.


•Filem: KL Menjerit, Mami Jarum, Perempuan Melayu Terakhir, Hingga Hujung Nyawa, Mami Jarum Junior, Tujuh Perhentian, The Red Kebaya, Cinta, Sepi, Setem, Akhirat, Histeria, Magika, Hikayat Merong Mahawangsa


•Teater: Megat Terawis, Anak Tanjung, Selendang Umi, Laila Majnun, Keris Sang Puteri, Tun Perak, Lantai T.Pinkie, Anugerah, Merdeka, Merdeka, Merdeka, Visits, Moh Ho Huan, Wangi Jadi Saksi, Mahsuri, Cuci The Muzikal 2

AC Mizal Terselamat Hukuman Penjara 25 Hari


KAJANG: Pengacara popular, AC Mizal menarik nafas lega selepas tidak perlu bermalam di penjara selama 25 hari bermula Khamis, selepas berjaya menjelaskan tunggakan nafkah anak bersama bekas isteri, Shafnie Zainudin,35, yang tertunggak RM9,800 seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Bekas pengacara Konsert Akademi Fantasia itu juga menjelaskan denda RM1,500 bagi kesalahan menghina mahkamah yang mana, jika gagal Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah memerintahkan dia dipenjarakan selama 10 hari.

AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 39, menjelaskan denda tersebut beberapa minit selepas keputusan dibuat.

“Alhamdulillah, lega tidak di penjara. Saya sangat berpuas hati dengan keputusan hari ini kerana menunjukkan saya tidak bersalah 100 peratus. Saya bayar nafkah cuma ada masanya saya tidak mampu kerana kontrak kerja tamat.

“Saya sudah bayar apabila boleh dan saya harap selepas ini tidak ada orang yang akan memfitnah atau menyebarkan cerita saya tidak bayar nafkah anak,” katanya yang menambah telah memaafkan individu tersebut.

Abdul Halim membuat keputusan itu pada prosiding komital yang dimulakan oleh Shafnie bagi mendapatkan perintah untuk menghantar AC Mizal ke penjara atas dakwaan menghina mahkamah kerana gagal menjelaskan tunggakan nafkah anak yang secara keseluruhan berjumlah RM50,000.

Berdasarkan perintah yang direkodkan hasil persetujuan bersama dalam perbincangan secara sulh, tunggakan itu perlu dilangsaikan secara ansuran RM200 setiap bulan sebelum anak kedua pasangan itu, Muhammad Shabil Iman berusia 18 tahun.

Selain Muhammad Shabil Iman, 11, mereka mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Shafiq Iman, 14, hasil perkahwinan yang dibina pada 24 Jun 1995 sebelum berpisah pada 17 Oktober 2001.

Bagaimanapun, Abdul Halim pada penghakimannya berpendapat, tindakan AC Mizal mendepositkan RM9,800 yang merupakan tunggakan untuk 49 bulan daripada Januari 2005 hingga 19 Disember 2009 ke dalam akaun bersama dia dan Muhammad Shabil Iman bukan bersifat penghinaan kepada mahkamah.

Sebaliknya, tindakan itu adalah merupakan pelanggaran atau terpesong daripada perintah memandangkan cara pembayaran yang sepatutnya ialah secara ansuran dengan dimasukkan bersama RM300 sebagai nafkah semasa di akaun bersama Shafnie dan Muhammad Shafiq Iman di bank RHB.Beliau juga menolak dakwaan Shafnie bahawa AC Mizal telah melanggar perintah untuk menyediakan perbelanjaan bagi awal persekolahan memandangkan perintah itu sendiri kabur dan tidak diperincikan.

Abdul Halim juga hanya menyifatkan tindakan AC Mizal yang tidak membantu dalam persekolahan anak walaupun berkemampuan sebagai malang, namun perkara itu masih tidak menghina ekoran perintah jelas menyatakan bantuan adalah untuk anak dihantar ke sekolah bantuan kerajaan.

Shafnie menghantar anak sulung mereka ke sekolah swasta aliran agama di Bangi, dekat sini.

Bagaimanapun, AC Mizal disabitkan dengan kesalahan menghina mahkamah bagi kegagalannya menyerahkan laporan kewangan tahunan syarikatnya, Best Line Entertainment (M) Sdn Bhd kepada Shafnie dalam tempoh 60 hari bermula 31 Disember setiap tahun.

“Pada mahkamah, responden gagal meyakinkan bahawa kegagalan itu disebabkan syarikat tidak berfungsi adalah mustahil kerana syarikat tersebut adalah berdaftar dan diselia oleh badan suruhanjaya.

“Persoalannya, mengapa responden tidak menunjukkan perjalanan syarikat untuk dinilai oleh mahkamah?” tambah Abdul Halim.

Justeru itu, beliau berkata, hukuman atau ‘ubat’ perlu diberikan kepada AC Mizal untuk membangkitkan kesedaran kepadanya dalam melaksanakan perintah yang telah dipersetujuinya pada 22 Disember 2004.

Abdul Halim juga menyelitkan nasihat kepada AC Mizal dan Shafnie supaya memastikan anak tidak menjadi mangsa dalam perceraian mereka.

“Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa dan akan dihisab kelak. Anak bukan hak eksklusif kepada satu pihak. Biarlah anak merasai mereka masih mempunyai ibu dan bapa walaupun telah berpisah.

“Amat malang jika ibu bapa yang bercerai memisahkan anak dari ibu atau bapa. Jika itu terjadi, tunggulah seksaan daripada Allah dan api neraka,” katanya yang mengambil masa selama 45 minit untuk membacakan penghakiman setebal 36 halaman.

Semasa ini, Shafnie yang hadir di mahkamah bersama kakak dan diwakili peguam syarie Mohd Ridhawan Husin dilihat mengesat air mata manakala AC Mizal tekun mendengar di sisi peguamnya, Siti Aishah Din.

AC Mizal kini sudah berkahwin semula dengan pelakon Emylia Rosnaida pada 10 Oktober 2002 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohd Reeve Damien dan Fea Eryssa.

Aidil Zafuan Tidak Tuntut Anak, Hanya Tangguh "Sulh"


PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak,23, menafikan mahu menuntut hak penjagaan anak daripada isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar,34, sebaliknya kunjungan dia ke Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban, Selasa, adalah untuk menangguhkan permohonan sulh (perbincangan) yang dibuat sebelum ini.

Aidil berkata, laporan sebuah akhbar tabloid, Rabu mengenai tuntutan itu dipetik daripada sumber yang salah kerana dia tidak mempunyai apa-apa masalah mengenai hak penjagaan anak, Airit Rayyan Rizqin yang sekarang berusia setahun tiga bulan.

“Saya mengaku bersama peguam saya ke Mahkamah Tingi Syariah di Seremban, semalam (Selasa) tetapi untuk menguruskan permohonan penangguhan sulh yang saya buat sebelum ini. Bukan untuk tuntut hak penjagaan anak seperti yang dilaporkan,” katanya, Rabu.

Aidil berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya dia menuntut hak penjagaan anak daripada Rita melalui proses mahkamah selepas segala kemelut yang berlaku menhenai rumah tangga mereka selama ini tidak dapat diselesaikan.

Sulh adalah proses perbincangan di antara dua pihak yang ingin mencari perdamaian melalui proses mahkamah.

Kata Aidil, penangguhan itu dibuat kerana masalah rumah tangga mereka semakin baik berbanding ketika permohonan dibuat semasa Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Semasa Hari Raya Aidilfitri lepas saya ada buat permohonan ini (sulh) kerana tiada jalan lain untuk saya mendapat nasihat tetapi sekarang hubungan saya dengan Rita semakin baik.

“Disebabkan itulah saya perlu membuat penangguhan tersebut melalui peguam saya agar tidak menyusahkan pihak mahkamah nanti,” katanya.

Aidil yang sedang berlatih untuk mewakili Negeri Sembilan bagi menentang Kelantan dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia Sabtu ini mengakui sayangkan Rita apatah lagi selepas memikirkan isterinya itu mengandung tiga bulan, anak kedua mereka.

Ditanya kenapa dia tidak membatalkan penangguhan sulh itu, katanya jika ditakdirkan timbul masalah dalam rumah tangga mereka kelak, dia tidak perlu membuat permohonan tersebut semula.

Sementara itu Rita Rudaini pula berkata dia tidak membantah tindakan Aidil itu jika langkah tersebut dapat menyelesaikan masalah mengenai rumah tangga mereka.

Katanya selama ini jika mempunyai masalah sekalipun dia tidak pernah keluar dari rumah sebaliknya mendapatkan kebenaran suami terlebih dahulu untuk melakukan sesuatu tindakan.

“Saya sayangkan Aidil sepenuh hati dan tiada sedikit pun perasaan benci terhadapnya. Jika tindakan Aidil itu baik, saya turutkan kehendak dia,” ujarnya.

Tambah Rita, dugaan yang berlaku dalam rumah tangganya membuatkan dia semakin tabah apatah lagi selepas mengetahui dirinya kini berbadan dua.

Pasangan tersebut berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008tanpa pengetahuan keluarga lelaki yang pada mulanya tidak merestui perkahwinan itu.

Jangan pandang serong - Alyah


KINI dia sudah boleh tersenyum puas. Namanya sudah semakin dikenali ramai dan sering meniti di bibir peminat. Hasil usaha kerasnya telah menampakkan hasil dan keputusan untuk tidak meneruskan hasratnya untuk meninggalkan bidang nyanyian beberapa tahun lalu ternyata satu pilihan yang tepat.

Alyah yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang mengakui bukan senang untuk mencapai tahap seperti yang digapainya pada hari ini. Biarpun sudah menyanyi sejak 10 tahun yang lalu, namun masih ramai yang tidak mengenali dirinya sebagai seorang artis.

Pernah menjuarai program Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) pada tahun 2000 dan melahirkan album selepas itu sehinggalah menyertai program realiti TV, One In A Million, namun namanya masih tidak mampu melekat di hati peminat.

"Bayangkan perjalanan karier saya cukup panjang iaitu hampir 10 tahun lamanya tetapi masih lagi tidak dikenali, sudah tentu saya kecewa. Pelbagai cara telah saya lakukan, namun tidak menampakkan hasil hingga menyebabkan saya pernah terfikir untuk terus berhenti menyanyi sahaja.

"Sehinggalah saya telah dinasihatkan oleh penyanyi, Nora, dan suaminya Johan Nawawi supaya terus bertahan. Kata mereka, saya memang memiliki bakat dan ada potensi untuk pergi lebih jauh lagi. Cuma masa dan keadaan sahaja yang menentukan dan mereka meminta agar saya bersabar," ujar Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hassan.

Atas nasihat yang telah diberikan, ujar Alyah, dia amat berterima kasih kepada pasangan suami isteri itu dan nasihat tersebut tidak akan dilupakan sehingga bila-bila. Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan yang ditujukan kepada ahli keluarganya yang banyak mendoakan kejayaannya selama ini.

Menurutnya lagi, tahun 2009 adalah tahun yang mula memberi sinar apabila namanya mula meniti di bibir peminat. Dia tidak menafikan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Habsah Hassan itu telah mengubah landskap kariernya sebagai penyanyi dan terus bertapak kukuh sehingga sekarang.

Bagaimanapun, memandangkan kini dia semakin dikenali dalam industri muzik tanah air, tidak dinafikan Alyah juga turut berhadapan dengan beberapa kontroversi yang dilihat boleh menjejaskan reputasinya. Daripada kritikan terhadap penampilannya sehinggalah permasalahan dengan beberapa individu yang turut menjadi tumpuan peminat.

Antaranya, tindakan pihak-pihak tertentu yang mengkritik mengenai penampilannya sekarang ini dan menganggapnya sebagai mangsa fesyen apabila tampil dengan pakaian yang agak pelik ketika menghadiri beberapa acara atau semasa membuat persembahan.

"Memang saya ada membaca pelbagai kritikan yang disiarkan di dalam blog atau forum terutamanya mengenai imej yang saya tampilkan. Malah, ada juga yang menuduh saya cuba untuk meniru gaya fesyen artis-artis Barat.

"Pada mulanya memang agak terasa juga, tetapi lama-kelamaan saya sudah lali dengan kritikan yang dilemparkan itu. Biarpun ada yang mengutuk, namun apa yang lebih penting adalah ramai juga peminat yang suka dan dapat menerima perubahan saya ini," ujarnya.

Tutur Alyah lagi, tindakannya yang tampil dengan gaya pelik adalah semata-mata untuk mencari kelainan dan mencipta identiti tersendiri. Menurutnya, dia seorang individu yang suka mencuba sesuatu yang baru dan berbeza daripada yang lain termasuklah dari segi fesyen.

Tambahnya lagi, sebagai seorang penyanyi adakalanya kelainan itu juga penting dan turut memainkan peranan untuk seseorang itu lebih dikenali bukan kerana nyanyian sahaja, malah dengan gaya penampilan diri yang ditonjolkan.

Kontrak tamat

Selain tampil dengan gaya yang tersendiri, pastinya ramai yang telah mengetahui beberapa kisah kontroversi yang dialami penyanyi yang berasal dari Gelang Patah, Johor itu.

Antaranya, perbalahan yang berlaku di antara dia dengan Riz AF6 berhubung lagu Ku Pinjam Satu Bintang yang dinyanyikan secara duet oleh kedua-dua penyanyi berkenaan. Difahamkan, Alyah tidak berpuas hati dengan tindakan Riz yang mengambil lagu tersebut untuk dinyanyikan semula secara solo.

Begitu juga dengan kisah dirinya yang telah difitnah oleh seorang jurusolek melalui laman sosial Facebook pada awal tahun ini. Dia dikatakan menjual diri serta mempunyai anak hasil hubungan sulit dengan seseorang yang tidak diketahui sehingga terpaksa membuat laporan polis.

Kini, yang terbaru adalah tindakannya menamatkan perkhidmatan Sam Kassim sebagai pengurus secara tiba-tiba yang menimbulkan persoalan ramai pihak. Ada juga desas-desus yang mengatakan Alyah seorang penyanyi yang tidak berdisiplin sehingga pengurus tersebut tidak mahu lagi bekerjasama dengannya.

"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu ramai pihak yang salah sangka dengan perkara tersebut. Sebenarnya tidak timbul persoalan mengenai kami berdua bergaduh ataupun saya dikatakan penyanyi yang tidak berdisiplin.

"Saya ingin menegaskan bahawa kontrak Sam menjadi pengurus kini sudahpun tamat. Ketika hendak mengambilnya menjadi pengurus dahulu, memang saya menawarkan kontrak perjanjian selama tiga bulan sahaja," ujarnya.

Pada masa yang sama, Alyah memberitahu dia berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan oleh Sam. Namun kontrak pengurus tersebut tidak terus disambung kerana dia sendiri tidak mampu untuk membayar gaji pengurus.

Tambah Alyah, memandangkan dia tidak bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman ketika ini menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mengembangkan lagi kariernya dan ia sudah tentu melibatkan kos yang besar.

"Memang tiada langsung masalah antara saya dan Sam Kassim dan tidak benar jika ada yang kata kami berdua bergaduh. Walaupun tidak lagi menjadi pengurus, namun sesekali dia juga ada memberi peluang show kepada saya," ujarnya.

Pada masa yang sama, Alyah juga berharap agar tiada pihak yang terus memandang serong terhadap dirinya dan apa yang berlaku selama ini akan dijadikan pengajaran berguna untuk terus bertahan sebagai seorang penyanyi.

Rozita nafi kahwin 2011


ARTIS jelita bernama Rozita Che Wan sudah seringkali dikaitkan kontroversi bercinta, baik dengan kerabat diraja mahupun orang kenamaan. Mengungkap kisah lalu, Rozita atau lebih mesra dipanggil Ita, 37, kononnya ingin berkahwin dan menamatkan perjalanan seninya.

Dia dikatakan bakal bersara daripada dunia lakonan pada tahun depan selepas mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang kini mendampingi dirinya.

Peluang berdepan dengan seraut wajah manis itu pada majlis acara Peek-A-Boo Restyled Party di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak dilepaskan begitu sahaja.

Terus sahaja persoalan tentang perkara itu ditebak sebaik mungkin, andai kalau-kalau jelitawan itu mahu mengkhabarkan pula tentang tarikh perkahwinannya itu.

Melebarkan senyuman pada bibirnya sambil disusuli ketawa kecil, figura yang tampak anggun menggayakan gaun ungu pada petang itu menyatakan dia sememangnya masih belum mempunyai perancangan untuk mendirikan rumahtangga buat masa ini.

Sibuk dengan jadual lakonan hariannya, bekas peragawati itu menegaskan dia tidak mempunyai banyak masa untuk memikirkan soal untuk berkahwin semula.

Rozita mengakui tentang kisah dirinya yang dikatakan mempunyai teman istimewa selama ini namun, dia menjelaskan sememangnya dia masih berkawan baik dengan lelaki tersebut.

“Jika saya kahwin, pastinya saya akan menjemput anda semua ke majlis saya,” ujarnya ramah.

Tambah Rozita dalam nada tegas: “Saya memang ingin berhenti berlakon pada tahun hadapan, tetapi bukan kerana mahu berkahwin tetapi kerana mahu menceburi bisnes.”

Menurutnya, bermula pada Januari, 2011 dia tidak lagi akan meneruskan kerjaya lakonannya. Bagi dirinya, sudah cukup empat tahun dia berkecimpung dan memerah tenaga dalam bidang yang penuh dengan pancaroba itu.

“Kerjaya lakonan saya akan berakhir pada bulan Januari tahun depan dan saya ingin berehat serta memberi konsentrasi terhadap perniagaan yang ingin saya mulakan itu,” tutur Rozita dalam nada yang lembut.

Cara Curi Jodoh

Pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah ini turut mengakui pengalaman daripada perkahwinannya yang terdahulu banyak memberi pengajaran buat dirinya untuk lebih berhati-hati pada masa depan.

Sebagai seorang ibu tunggal yang mempunyai dua cahaya mata, Rozita menegaskan dia harus berhati-hati dalam memilih pasangan baru dalam alam rumah tangga. Anak-anak diutamakan dalam segala keputusan yang dibuat Rozita.

“Saya harus pilih bakal suami yang dapat menerima dan menyayangi anak-anak saya. Mereka adalah keutamaan saya walau apa pun keputusan yang dibuat,” jelas Rozita agak serius apabila berbicara mengenai permata hatinya itu.

Walaupun masih lagi menerima jemputan berlakon untuk filem dan drama, pelawaan itu ditolak kerana dia sememangnya sudah nekad dengan keputusan yang dibuatnya.

Dalam tempoh sebelum Januari, 2011 menjelma, jelitawan bermata bundar itu kini sedang sibuk menghabiskan sisa penggambaran produksi lakonannya.

Pertama kali namanya dijulang adalah menerusi drama Sesuci Cinta Sofea yang disiarkan di saluran TV3 beberapa tahun dahulu. Sejak itu, tidak putus rezeki yang diterimanya dalam bidang ini. Boleh dikatakan hampir kesemua watak pernah dibawa oleh Rozita.

Rozita bagaimanapun mengakui watak komedi lebih senang dilakonkan berbanding watak serius.

“Saya lebih gemar melakonkan watak komedi sekarang kerana ia lebih menampilkan diri saya yang sebenar. Saya rasa lebih bebas mengekspresikan diri berbanding watak yang lebih serius,” kata Rozita yang gemar menggunakan loghat utara ketika berbicara.

Selepas filem komedi 4 Madu, Rozita dilamar sekali lagi untuk melakonkan watak komedi oleh Prof. Hatta Hazad Khan untuk drama berjudul Cari Curi Jodoh.

Bercerita mengenai tawaran watak komedi yang diterima, ujar Rozita: “Sejak akhir-akhir ini, genre komedi mempunyai permintaan yang tinggi daripada stesen-stesen TV.”

16 tahun yang membahagiakan -Amy Mastura


SAAT diajukan pertanyaan tentang resipi kejayaannya selama 16 tahun dalam dunia seni, wanita genit bernama Amy Mastura Suhaimi ini, dia hanya mampu ketawa kecil.

Kata Amy Mastura atau lebih mesra disapa sebagai Amy, sukar sekali untuk dia memberikan jawapannya.

Namun, sebagai anak seni yang mula enempa nama sebaik sahaja bergelar juara Asia Bagus 1993 itu, dia sendiri tidak pernah menyangka dia mampu bertahan begitu lama di dalam industri.

Di kala ramai artis seusianya memilih untuk fokus kepada keluarga mahupun mengundurkan diri daripada dunia seni, Amy masih lagi utuh dan kekal berdiri di pentas seni.

“Saya sendiri tidak percaya yang sudah 16 tahun saya dalam bidang ini. Apa yang saya miliki hari ini saya berasa puas dan bersyukur. Saya menganggap semuanya sebagai rezeki daripada Allah SWT.

“Jujur saya katakan, tidak pernah terbit sedikit pun rasa bosan dalam diri saya sepanjang saya bergelar anak seni.

“Malah, setiap detik yang saya lalui dalam hidup saya semuanya menggembirakan dan membahagiakan diri saya,” luahnya penuh jujur dalam satu sesi fotografi yang berlangsung di Restoran Rebung Chef Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kalau diperhatikan kedudukan Amy di dalam industri, graf posisinya tidak pernah mencanak naik mahupun merudum jatuh. Popularitinya kekal statik dari hari pertama dia melibatkan diri dalam bidang seni sehinggalah ke hari ini.

Barangkali kejayaan Amy mengukuhkan kedudukannya di persada seni tempatan ada kaitannya dengan juga dengan personalitinya yang ramah dan mudah mesra itu.

Jauh sekali sepanjang dia menjadi artis, nama Amy dipalit dengan sebarang cerita panas dan gosip liar yang mampu meranapkan nama baiknya itu.

“Dalam soal itu, saya memang benar-benar bersyukur kerana sepanjang hidup saya, belum pernah lagi saya dihimpit kontroversi mahupun cerita kurang enak sehingga boleh membuatkan saya malu untuk keluar rumah,” katanya berseloroh sambil diperhatikan sepupu merangkap pengurus peribadinya, Nana Ahmad.

Kerana itu jugalah, rezeki Amy memang cukup murah apabila berterusan menjadi pilihan produk dan syarikat untuk menjadi duta serta jurucakap mereka. Antaranya Quaker, Lifebouy, Omega dan terbaru, alat senaman berjenama Takasima.

Jangan Tuduh, Scha Bukan Bodoh - Awal


SEJAK kontroversi melibatkan pasangan selebriti popular pengacara Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya panas diperkatakan gara-gara ditahan dalam satu operasi pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada hujung tahun lalu, timbul pula cerita baru.

Kali ini timbul pula cerita kononnya keluarga Awal dikatakan mula kurang senang dengan Scha.

Puncanya apabila Scha dikatakan tidak menyambut salam secara berjabat tangan dengan sempurna.

Dalam satu laporan akhbar, Scha dikatakan telah menoleh wajahnya ke belakang ketika bersalaman dengan salah seorang ahli keluarga Awal menyebabkan keluarga tersebut mempunyai persepsi negatif terhadap pelakon wanita itu.

Selain kisah negatif itu, Scha dilaporkan semakin menyombong serta sering memberi komen-komen yang pedas sedangkan dia tidak terfikir perbuatan itu boleh memberi kesan buruk terhadapnya.

Terbaru dia dikatakan membalas satu mesej menerusi Twiter yang dihantar oleh rakan artisnya dengan menyamakan seseorang dengan haiwan.

Mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kisah-kisah itu, Mingguan mStar menghubungi Awal yang kini popular dengan single lagu pertamanya, berjudul Memori.

Scha pula tidak dapat dihubungi kerana sedang berada di Seoul, Korea, untuk penggambaran drama Awan Dania 3.

Macam mana hubungan Awal dan Scha sekarang?

Alhamdulillah, kami masih lagi berkawan.

Khabarnya Awal dan Scha akan berkahwin tahun depan. Benar?

Niat untuk kahwin memang sudah ada. Yelah, kalau kawan lama-lama, macam-macam pula jadinya. Kahwin adalah satu benda yang serius. Ramai yang salah faham yang ingat kami nak kahwin tahun depan. Tapi sebenarnya kenyataan saya ialah kalau boleh, saya mahu tamatkan zaman bujang saya sebelum umur 30 tahun. Sekarang umur saya 29 tahun. Tapi kalau tak ada rezeki, nak buat macam mana? tunggu sajalah bila tiba masanya nanti. Bukan kami mahu melambat-lambatkan. Sekarang ini pun masing-masing sibuk dengan kerja.

Difahamkan keluarga Awal kurang senang dengan Scha kononnya ketika Awal bawa Scha bertemu mereka, Scha menoleh ke belakang semasa bersalaman. Benar?

Dari mana cerita itu timbul? Setahu saya, mereka terima Scha dengan baik. Malah adik-adik saya begitu rapat dengan Scha. Alhamdulillah, keluarga terdekat juga menyukai Scha. Tambahan pula mereka minat lakonannya. Saya harap, isu sebegini tidak timbul lagi. Saya risau jika keluarga Scha terasa dengan isu ini kerana mereka begitu menyayangi saya. Masa isu ini keluar di sebuah akhbar, ibu Scha terus hubungi saya untuk bertanya hal sebenar. Bila kisah-kisah yang tak elok mengenai kami keluar, saya takut ia boleh merenggangkan kedua belah keluarga kami. Keluarga Scha sayang saya, begitu juga keluarga saya, mereka sayang pada Scha.

Terkejut bila cerita macam ni timbul?

Scha agak sedih bila isu ini timbul tanpa sebab. Mungkin orang yang tak suka kami bersama yang menyumbangkan cerita-cerita negatif ini. Keluarga saya jenis yang suka berterus terang. Kalau tak suka, mereka akan beritahu.

Awal boleh komen sikit kenapa tak mahu digandingkan bersama dalam mana-mana sesi fotografi? Kalau ditemu bual dalam program televisyen tak tolak pula?

Sejujurnya kami tak mahu hubungan kami terlalu didedahkan. Sebelum ini, bila orang bercakap tentang kami, orang sampai lupa tentang karier kami sebab asyik cerita tentang cinta. Jadi, bila kami disatukan dalam sesi fotografi ia membuatkan lebih banyak kisah cinta ditulis. Pihak televisyen pun banyak nak buat sesi temu bual khas tapi kami tolak dengan cara baik. Cuma bila kami bersama-sama hadir ke sesebuah majlis, kami tidak menolak untuk ditemu bual mahupun diambil gambar bersama.

Benarkah Scha yang jadi “kepala”. Segala keputusan dia yang buat bukannya Awal?

Itu tidak benar. Kalau saya tak suka sesuatu, saya akan cakap tidak suka. Tapi saya jenis yang tidak cerewet dan tidak kisah dalam segala hal. Kalau hal makan pun saya malas nak fikir. Saya seorang yang tidak suka merancang. Lain pula Scha, dia jenis yang bersemangat dalam bab merancang. Kalau keluar bersama Scha, dia dah rancang apa yang nak buat pada hari itu dan semua perancangan itu berjaya kami lakukan bersama.

Ada gosip mengatakan Scha membalas satu mesej di Twiter yang dihantar oleh rakan artisnya dengan berkata ada-pihak-pihak tertentu macam haiwan. Tahu tentang hal itu?

Selagi saya tak baca Twiter itu, saya tak boleh nak komen. Bagi saya, dia seorang yang menghormati orang. Dia tak sebodoh itu untuk menulis kata-kata sebegitu dalam Twiternya kerana ramai yang membaca. Kalau nak tuduh dia macam itu ia agak melampau. Kalau benar dia tulis pasti ada buktinya. Benda yang berkaitan dengan media, dia jaga. Malah dia juga memastikan apa yang ditulis dalam Twitter, tidak akan mengecilkan hati sesiapa. Setelah saya lihat kembali Twitter Scha, dia sebenarnya tidak mengikuti pun akaun artis yang dimaksudkan itu, apatah lagi mahu membalas Twitter kepada artis itu.

Pandangan Awal tentang Scha?

Dia adalah pelengkap saya. Apa yang dia ada, saya tak ada. Contohnya seperti ciri-ciri yang saya tak pernah rasa ada dalam diri saya seperti seorang pelindung, romantik dan macam-macam lagi. Sampaikan saya sendiri berkata pada diri sendiri, “eh, romantik juga aku ni”. Sebelum ini perangai saya agak kebudak-budakan.

Anne Ngasri Pilih Nama Anak Selepas Tujuh Hari


PETALING JAYA: Pelakon Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, selamat melahirkan bayi perempuan pada 21 Oktober lalu di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur.

Pelakon popular untuk drama bersiri Dunia Baru itu melahirkan bayi seberat 2.8 kilogram itu secara normal.

Anne melahirkan anaknya 17 hari lebih awal yang sepatutnya pada 7 November depan. Dia bagaimanapun masih belum mempunyai nama untuk anak ketiganya itu.

“Saya belum mempunyai nama bayi ini lagi. Selepas tujuh hari baru saya akan memilih namanya. Alhamdulillah, saya dan anak berada dalam keadaan selamat.

“Sekarang ini saya sedang berpantang di rumah sendiri di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Saya juga akan memberikan gambar bayi kepada pihak media selepas berpantang 44 hari nanti,” kata Anne kepada mStar Online.

Difahamkan, bekas suami Anne iaitu Abdul Wafi Hassan turut menemani Anne ke hospital dan mengiqamatkan bayi tersebut. Malah, emak Wafi juga turut hadir bersama-sama untuk melawat Anne di hospital.

Anne sedang melalui tempoh edah setelah suaminya disahkan melafazkan cerai talak tiga di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu.

Pasangan itu bernikah pada 26 Mei 2006 dan turut dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Abdul Warits, 2, dan Abdul Wafri yang berusia empat bulan.

Elyana Nikah 19 November 2010


PETALING JAYA: Penyanyi Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal bakal menamatkan zaman bujangnya bersama Khairul Anuar, pada 19 November ini.

Pasangan itu akan melangsungkan pernikahan dan persandingan sehari selepas itu (20 November) di Duchess Place, Ampang, selangor.

Menurut Elyana, perasaannya sedikit berdebar menantikan detik bergelar isteri dan berharap segala perancangan yang diaturkan bersama perunding perkahwinannya, Zulhery, berjalan dengan lancar.

"Insya-Allah, saya bersedia untuk menggalas tanggung jawab sebagai seorang isteri. Cuma sebelum kahwin ini, saya tak nak terlalu berfikir sangat, takut terlebih berdebar pula.

"Saya juga bersyukur dan bertuah kerana majlis pernikahan serta persandingan dibantu oleh rakan-rakan saya. Ada yang memberi pakej persandingan dengan harga istimewa dan ada juga yang mahu menaja.

"Pada hari persandingan nanti, saya akan membuat majlis pada waktu siang yang akan dihadiri oleh saudara mara.

"Pada sebelah malam pula untuk rakan-rakan artis dan media," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Tambah Elyana, majlis persandingan di pihak lelaki pula akan diadakan di Mentakab, Pahang, seminggu selepas pernikahan mereka.

Walaupun bergelar isteri nanti, Elyana tetap meneruskan kariernya sebagai seorang pelakon dan penyanyi.

"Setakat ini, bakal suami saya memberi keizinan untuk menyanyi dan berlakon seperti biasa.

"Tambah pula, single lagu terbaru saya yang berjudul, Waktu Dulu-Dulu, bakal dikeluarkan tidak lama lagi," tuturnya yang melangsungkan perkahwinannya berkonsepkan Melayu Tradisional (siang) dan Inggeris Vintaj pada sebelah malam.

Pakaian Seksi FFM23 : Farah Asyikin Bukan Langgar Prinsip


PETALING JAYA: Penyanyi, Farah Asyikin memberitahu pakaian yang digayakan dalam persembahannya pada acara kemuncak Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) tidak melanggar pendiriannya untuk tidak berpakaian seksi seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini.

Katanya, dia masih teguh dengan pendirian tersebut namun ia perlu mengikut kesesuaian sesebuah majlis.

"Ya, memang sebelum ini saya pernah memberitahu untuk tidak lagi seksi. Tapi ia bergantung kepada sesebuah majlis, saya perlu tampil bersesuaian dengan persembahan saya pada malam itu.

"Bukan saya melanggar pendirian yang telah saya buat, pada saya pakaian tersebut tidak seksi. Sebelum persembahan lagi saya sudah beritahu kepada pereka fesyen baju tersebut iaitu Arif Shukur agar bawa baju yang sopan dan tidak menampakkan kulit," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam pada itu, Farah juga menafikan bahawa dia telah mengubah pendiriannya akibat putus tunang baru-baru ini.

"Ia tiada kena mengena dengan putus tunang, semasa saya buat kenyataan tersebut juga saya sudah fikir masak-masak. Kalau boleh memang saya tidak mahu berpakaian seksi lagi.

"Saya lebih selesa dan selamat bila tidak seksi. Cuma untuk persembahan sahaja saya berpakaian bersesuaian. Itu pun seboleh-bolehnya tidak mahu seksi," katanya yang pernah berhasrat untuk tampil dengan imej berbaju kurung.

Menurut Farah, persembahan tersebut juga memerlukan dia membawa perwatakan seperti dalam filem Pisau Cukur.

"Lagu tersebut merupakan lagu tema kepada filem Pisau Cukur, jadi saya perlu bawa watak nakal sedikit. Apa pun saya sangat menjaga batasan agar tidak terlalu berlebihan.

"Saya hanya buat yang terbaik, malam itu saya bukan sahaja membawa lagu tersebut tetapi mewakili filem tersebut," katanya.

Tuntutan Fasakh Isteri Adnan Abu Hassan 22 November


KUALA LUMPUR: Permohonan isteri komposer terkenal tanah air, Adnan Abu Hassan untuk bercerai secara fasakh ditetapkan untuk sebutan semula di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada 22 November ini.

Tarikh itu ditetapkan selepas Adnan, 51, dan Siti Aminah Datu Bachtiyal, 39, menghadiri prosiding yang diadakan secara tertutup selama 20 minit di hadapan Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi pada Selasa.

Pada prosiding itu, Adnan yang dinamakan sebagai defendan diwakili peguam syarie Muhyieddin Murad manakala peguam syarie Ishak Syaaban mewakili Siti Aminah selaku plaintif.

Adnan yang berasal dari Kedah dan merupakan guru vokal bagi rancangan realiti Akademi Fantasia dilihat berada di mahkamah seawal pukul 8.30 pagi disusuli isterinya pada pukul 10 pagi.

Mereka kemudiannya masuk ke kamar hakim pada pukul 12 tengah hari dan bergegas meninggalkan mahkamah tanpa mahu ditemubual oleh media.

Peguam-peguam yang mewakili pasangan itu juga enggan memberikan sebarang komen kerana dimaklumkan telah menerima arahan daripada anak guam untuk tidak memberikan sebarang kenyataan.

Bagaimanapun, sumber menyatakan pasangan itu hadir untuk prosiding fasakh yang difailkan Siti Aminah mengikut Seksyen 52, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984.

Pasangan itu difahamkan berkahwin pada 1994 dan dikurniakan tiga orang anak.

Adnan merupakan salah seorang komposer terkenal dan antara artis yang pernah berkerjasama dengannya termasuklah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Misha Omar, Fauziah Latiff dan Nora.

Saida Fail Cerai Cara Baik


KUALA LUMPUR: Setelah 14 tahun melayari hidup bersama dan dikurniakan empat orang anak, penyanyi Saida memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik daripada suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri.

Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza memfailkan permohonan itu pada 6 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, dengan menamakan Mohd Ghazali sebagai defendan. Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Perekutuan 1984 dan kes disebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd Suhaily Rosdi pada Selasa.

Bagaimanapun, prosiding tersebut hanya dihadiri oleh peguam syarie, Noor Azlina Che Hasan sebagai wakil kepada bekas peserta Akademi Fantasia Musim Keenam itu manakala Mohd Ghazali tidak diwakili peguam.

Mohd Suhaily menetapkan 20 Disember depan sebagai sebutan semula kes bagi membolehkan pasangan tersebut berbincang bagi mengetahui sekiranya ikatan perkahwinan masih boleh diselamatkan ataupun mereka masih mengekalkan keputusan mahu berpisah.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Saida, 34, dan Mohd Ghazali, 40, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 13, Anas, 11, Khalid, 7, dan Siti Nurul Mashitah, 4 tahun.

Saida atau nama sebenarnnya Siti Norsaida Tarudin mendakwa dia dan suami sudah lama tidak bersefahaman dan sehaluan serta perkahwinan itu telah mengalami masalah yang berpanjangan dan tidak boleh didamaikan lagi.

Dia yang bernaung di bawah syarikat milik Siti Nurhaliza juga yakin bahawa matlamat perkahwinan tidak akan tercapai.

Turut dinyatakan, mereka yang beralamat di Alam Damai, Cheras, di sini juga tidak pernah bercerai sebelum ini.

Adeline Terima Jika Fahrin Jodohnya


PETALING JAYA: Pelakon Hotel Mania, Adeline Tsen,24, mengakui sedang berkawan rapat dengan pelakon kacak Fahrin Ahmad, malah memberitahu dia tidak takut untuk mendekati jejaka yang pernah dihimpit pelbagai kontroversi cinta itu.

Menurut Adeline, semenjak perkenalan mereka awal tahun lalu, dia mendapati dakwaan negatif yang dilemparkan kepada pelakon lelaki itu adalah tidak benar.

"Kami memang sedang berkawan dan setakat ini tiada apa pun membuatkan saya berasa takut untuk terus mendekatinya. Bagi saya Fahrin seorang yang matang dan penuh dengan nasihat. Dia banyak memberi pandangan tentang lakonan dan dunia artis," ujar wanita berketurunan Cina-Kadazan ini.

Sambil menyifatkan Fahrin seorang lelaki yang mengambil berat, Adeline tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan jejaka tersebut.

"Sebagai lelaki dia seorang yang sempurna, ambil berat dan suka bertanya khabar. Tidak mungkin saya menghindari dia kerana kontroversi-kontrovesi yang pernah dilalui sebelum ini.

"Kita tidak tahu perkara sebenar jadi tak elok jika menilai dia tanpa mengenalinya terlebih dahulu," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam pada itu, Adeline yang sedang menjalani praktikal di sebuah syarikat perakaunan terpaksa mengurangkan kegiatan seninya.

"Selepas Hotel Mania, saya dapat beberapa tawaran berlakon drama dan filem tetapi terpaksa ditolak kerana menjalani latihan praktikal.

"Selama enam bulan ini saya memang tidak ambil sebarang tawaran berlakon. Perasaan memang sedih tapi terpaksa juga bersabar demi menghabiskan pegajian yang tinggal setahun sahaja lagi," ujar penuntut tahun akhir Jurusan Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini.

Menurutnya, dia pernah terfikir untuk berhenti belajar dan menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang seni, namun hasrat tersebut dibantah oleh keluarga.

"Tahun lepas saya tangguh pengajian satu semester kerana ingin fokus pada lakonan. Tapi keluarga membantah dan ingin saya habiskan juga pengajian demi masa depan," ujarnya.

Pegang Tangan: Tiz Kata Tidak, Remy Kata Ya


PETALING JAYA: Pelakon Tiz Zaqyah mencipta satu lagi kontroversi baru apabila dia tidak mengaku memegang tangan aktor Remy Ishak sedangkan pelakon lelaki itu mengesahkan mereka ada berbuat demikian.

Mereka dilihat berpegangan tangan pada acara Motor GP di Sepang, Selangopr pada 10 Oktober lalu.

Beritahu Remy, walaupun dia dan Tiz berpegangan tangan, ia tidak bermaksud kedua-dua mereka sedang bercinta sebaliknya mereka hanyalah kawan biasa sahaja.

"Saya akui yang kami berpegangan tangan pada waktu itu. Tetapi bukan sebagai sepasang kekasih. Tiz sekadar seorang kawan.

"Lagipun kami ke acara itu beramai-ramai di mana pada waktu itu keadaannya agak sesak dan masing-masing memegang tangan sesama sendiri.

"Pada pandangan saya, ia adalah satu gosip yang cuba menjatuhkan karier saya dan ditokok tambah," tegasnya.

Sebuah akhbar baru-baru ini melaporkan penafian Tiz kononnya dia berpegangan tangan dengan Remy Ishak.

Tambah Remy, dia tidak sangka selepas gosip mengenai hubungannya dengan pelakon Maya Karin semakin senyap, muncul pula cerita baru mengenainya dengan wanita lain.

"Bagi saya, orang suka gosipkan dengan macam-macam wanita itu dan ini," ujarnya dengan nada sedih.

Tidak cukup dengan itu, Remy turut dikatakan semakin sombong termasuklah menuntut bayaran puluhan ribu ringgit bagi sesebuah tawaran drama.

Menurut pelakon yang popular menerusi drama Nur Kasih itu, dia tidak mungkin meletakkan harga tinggi kepada pihak produksi dan hanya terima berdasarkan harga yang ditawarkan.

"Saya tidak pernah menuntut harga yang tidak relevan kepada pihak produksi yang menawarkan saya berlakon drama mereka.

"Sebaliknya saya terima apa yang ditawarkan dan sebelum itu mestilah ada sedikit rundingan harga. Itu perkara biasa untuk mana-mana pelakon.

"Alhamdulillah, setakat ini tiada pihak yang merungut. Cuma masalah saya ialah bila mereka terpaksa menyusun jadual saya yang padat.

"Saya pelik, kenapa ada pihak yang suka bercakap negatif tentang diri saya. Kadang kala perkara itu membuatkan saya tertekan.

"Walau apa pun, saya hanya berserah pada takdir dan cuba menguruskan karier saya sebaik mungkin," katanya yang sibuk dengan latihan teater Natrah 2.

Dalam pada itu, Remy melahirkan rasa kesal dan sedih dengan pelbagai kontroversi timbul kerana tempias turut terkena kepada keluarganya.

Kata pelakon berusia 28 tahun itu, kehadirannya dalam industri hiburan bukan kerana mahu mencipta kontroversi atau pun mencari populariti, sebaliknya dia mahu melakar nama sebagai seorang pelakon berkaliber.

"Sebenarnya perasaan saya bercampur baur. Saya sedih, kelakar pun ada kerana benda-benda yang tidak wujud diceritakan. Cuma setiap khabar angin yang timbul, melibatkan ramai hati di luar sana.

"Kalau saya tidak berkeluarga, saya memang tidak hairan dengan gosip-gosip yang timbul. Tapi bila orang bertanya saudara mara saya tentang gosip-gosip itu, sedikit sebanyak, ia mencalar nama mereka juga.

"Apa pun, kehadiran saya dalam bidang ini adalah untuk menjadi seorang lagenda. Saya mahu dikenali melalui pencapaian karier, memberikan komitmen kerja 100 peratus dan menunjukkan persembahan lakonan yang bagus," tegasnya yang akan memulakan penggambaran filem arahan Osman Ali, berjudul Bera Jiwa, selepas pementasan teater Natrah 2 yang bermula pada 25 November ini.

Aleeza Kasim Dan Suami Sah Bercerai


KUALA LUMPUR: Peragawati terkenal, Aleeza Kasim (gambar) dan suami, Mohd Fauzi Che Rus sah bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, Rabu.

Lafaz cerai dibuat di hadapan Hakim Syarie, Mohd Suhaily Rosli pada prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Kedua pasangan itu memasuki kamar hakim pada 9.15 pagi.

Si darah manis Raja Farah


JUDUL-JUDUL filem seperti Salon, Apa Kata Hati, Anak Halal, serta Haq The Movie yang bakal ke pawagam tidak lama lagi memberi warna kepada pemilik nama Raja Farah Raja Aziz, 22.

Tiba-tiba sahaja, pelakon yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama muzikal Kau Dan Aku itu membuat kenyataan bakal berkahwin bulan depan. Pertunangan dengan kekasihnya yang baru dikenali sekitar awal tahun ini dilangsungkan pada 9 Oktober lalu.

Dalam tempoh 'darah manis' ini, perasaannya bercampur-campur. Antara teruja mahupun debaran, kata hatinya, dia sudah cukup bersedia untuk bergelar permaisuri kepada Megat Andika, 25.

HANTARAN KAHWIN

Barang pertama yang saya terfikir untuk diletakkan atas dulang hantaran ialah sebentuk cincin. Cincin perkahwinan bukan sekadar perhiasan tetapi ia tanda cinta daripada suami tersayang.

BUNGA TELUR

Walaupun orang Melayu semakin moden, tetapi bunga telur merupakan sesuatu yang akan mengekalkan tradisi kemelayuan dalam sesebuah perkahwinan. Bunga telur sudah menjadi kemestian yang sesuai dengan konsep tradisional perkahwinan saya nanti.

BULAN MADU

Memandangkan bulan madu akan menjadi kenangan terindah kepada setiap pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan, saya memilih tempat yang mampu memberikan keseronokan untuk kami berdua nanti. Saya suka Pulau Sipadan, Sabah. Saya berharap kami boleh sama-sama menyelam ke dasar laut. Itu hobi saya dan Megat.

AIR SIRAP

Air berwarna merah yang masih sedap walaupun saya minum sejak kecil terutama semasa majlis kenduri kahwin. Ia penghilang dahaga tanpa mengira waktu.

AKTRES TERBAIK

Bila bercakap tentang aktres terbaik, saya tetap terfikirkan pelakon wanita terkenal Hollywood, Kate Winslet. Saya memuja Kate terutama setelah menonton filem The Readers, keberanian dan nilai kewanitaan Kate sungguh menyerlah ketika melakonkan babak yang mencabar dan panas.

Teruja diiktiraf-Shamsul


MALAM ini menjadi penentuan kepada kejayaan terbesar sepanjang karier pengarah dan pelakon muda, Syamsul Yusof, 26, sekiranya dia dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23). Menerusi tiga kali FFM, FFM23 barulah mencatat pencapaian terbaik bagi anak teruna Datuk Yusof Haslam ini. Namun, segala-galanya akan menjadi kenyataan apabila keputusannya bakal diumumkan beberapa jam saja lagi.

Menerusi filem ketiga arahan Syamsul, Evolusi KL Drift 2 (EKLD2), ia memasuki finalis sebanyak tujuh pencalonan kategori termasuk Pelakon Lelaki Terbaik. Filem itu telobah menobahkan pelakonnya, Shaheizy Sam untuk menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada malam perasmian FFM23 sempena Anugerah Cipta, Rabu lalu.

Malam kemuncak FFM23 akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan Astro Prima mulai jam 8 malam ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam.

Syamsul, 26, mengakui, EKLD2 boleh dianggap pencapaian luar biasa dirinya selama dia terbabit dalam industri seni, manakala filem berkenaan adalah satu-satunya filem terbitan Skop Productions yang mendapat pencalonan terbanyak dalam sejarah penganjuran FFM! Malah, sebelum ini, filem itu juiga membuat kejutan apabila ditayangkan tempoh hari, ia berjaya mencecah kutipan RM6 juta.

“Inilah yang dinamakan evolusi seni karier saya dan pencapaian terbaik daripada Skop Productions. Saya benar-benar teruja dan dihargai. Rasa tersentuh apabila penilaian juri profesional memberi pengiktirafan kepada EKLD2. Bagi saya, menerusi tujuh kategori yang dipertandingkan, biarlah EKLD2 bakal membawa pulang sekurang-kurangnya satu atau dua trofi.

“Secara peribadi, saya memang mengimpikan kemenangan besar sekiranya dapat merangkul gelaran Pelakon Lelaki Terbaik. Tipulah kalau saya kata tak mengharapkan kemenangan itu. Cuma, saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana perlu bersaing dengan nama-nama besar yang lain. Jujurnya, saya sudah pun merasai kemenangannya apabila EKLD2 berjaya mencapai kutipan RM6 juta dan diiktiraf menerusi tujuh kategori.

“Saya serahkan kepada kebijaksanaan barisan juri menilai kemampuan EKLD2. Selain terlalu gembira apabila tercalon menerusi kategori utama pada FFM23 ini, malam ini juga saya akan muncul menerusi segmen persembahan apabila berkoloborasi dengan Radhi OAG dan kumpulan Burn & Soul mendendangkan lagu tema EKLD2 versi baru.
“Menerusi FFM23, saya turut mencipta sejarah peribadi apabila buat kali pertama saya akan muncul sebagai penyanyi, sekali gus membuat persembahan secara live di depan ribuan penonton pada majlis berprestij!,” kata Syamsul yang kini semakin berjinak-jinak dalam bidang nyanyian selepas menempa nama sebagai pelakon dan pengarah sebelum ini.

Katanya lagi, dia bercita-cita menjejaki langkah Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang berjaya sebagai pelakon, pengarah dan penyanyi sekali gus. Jelasnya lagi, P Ramlee adalah antara idola kejayaan beliau hari ini, selain menjadikan bapanya sendiri, Yusof Haslam sebagai contoh paling hampir.

“Bagi saya, tiada yang mudah dalam hidup ini, kita perlu bekerja keras dan mendisiplinkan diri sekiranya mahu karya kita sentiasa dinilai dan diterima baik oleh peminat,” kata Syamsul yang turut memaklumkan, trailer filem terbaru arahannya, Khurafat: Perjanjian Syaitan akan dipertontonkan buat kali pertama kepada peminat pada Malam Anugerah FFM23 sebelum menjengah pawagam mulai 13 Januari 2011.

Tidak lengkap temubual bersama Syamsul sekiranya tidak diajukan soalan peribadi kepadanya. Namun, sesuatu yang menarik mengenai Syamsul, dia tidak pernah mengelak apabila diajak berbicara soal cinta dan teman hidup kerana bagi dirinya yang kini dikenali sebagai selebriti, peminat pasti ingin mengetahui sedikit sebanyak perihal kehidupan peribadi beliau asal saja tidak keterlaluan.

Umum sedia maklum, dia pernah putus cinta dengan aktres jelita, Diana Danielle, selain digosip menjalin hubungan cinta dengan beberapa artis popular seperti Julia Ziegler, Stacy Akademi Fantasia 6 (AF6), Scha Al-Yahya dan gadis kebanyakan yang dikenali sebagai Nabila. Namun, semuanya tiada kesudahan.

“Saya bukannya remaja lagi, tapi sudah awal kedewasaan. Seharusnya saya sudah memiliki teman hidup istimewa, bukan masa untuk main-main lagi. Namun, terus-terang, buat masa ini, saya belum terikat dengan sesiapa pun lagi. Saya masih mencari untuk menamatkan zaman bujang. Pada masa sama, ramai calon yang dicadangkan oleh ibu (Datin Fatimah Ismail), tapi kebanyakannya saya tak berminat, pintu hati belum terbuka lagi.

“Rata-rata gadis yang saya kenali mempunyai masalah dengan masa kerja saya yang begitu padat. Saya tak boleh selalu dating dan 24 jam nak report duty atau punch card!,” terang Syamsul.

Bagaimana dengan Norliana atau Yana yang kali pertama bergandingan dengannya dalam fotografi ini, adakah dia boleh memenuhi kriteria yang diidamkan Syamsul, dengan pantas beliau mencelah: “Saya senang dengan karakter Yana. Dia gemar berjenaka. Tapi sayang, Yana tak boleh get along dengan saya.”

“Sebabnya Yana bukan bermata biru! Hanya gadis bermata biru saja, bukan pakai kanta lekap ya yang dapat mencairkan, seterusnya membuka pintu hati saya untuk bercinta lagi,” kata Syamsul berseloroh diikuti ketawa besar.

Sementara itu, pasangan Syamsul dalam fotografi sempena FFM23, Yana, 26, akui terharu apabila trofi berprestij sudah berada dalam genggamannya apabila beliau sudah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Adnan Sempit. Yana menerima trofi berkenaan pada Majlis Perasmian FFM23 di Centre Atrium e@Curve, Mutiara Damansara pada Rabu lalu.

Yana memegang watak sebagai Wawa menerusi filem Adnan Sempit yang berjaya mencecah kutipan RM7.8 juta apabila memasuki pawagam awal tahun ini. Pun begitu, Yana baru saja serius bergelar pelakon pada awal 2009 kerana sebelum ini dia hanya menerima tawaran berlakon pada cuti semester saja. Justeru, Yana mengecapi kemenangan pada majlis berprestij pada usia setahun jagung. Adil ke?

“Saya tak nafikan, saya memperoleh kemenangan dalam masa singkat. Baru setahun sembilan bulan saya berada dalam industri lakonan, bakat saya sudah diiktiraf pada FFM23. Namun, diam tak diam, sebenarnya sudah tujuh tahun saya menceburi bidang seni, tapi secara sambilan saja bermula sebagai penyanyi. Dari situ, saya mendalami ilmu lakonan dan alhamdulillah, kerja keras saya selama ini berbaloi!

“Terus-terang saya katakan, saya bertanding dengan nama-nama besar yang mempunyai pengalaman lebih luas dalam bidang lakonan. Tapi, sebagai orang baru, saya tetap mempunyai cita-cita dan hasrat memberi saingan menerusi kategori berkenaan. Sekalipun diri ini terlalu kerdil dalam industri, namun saya bersyukur kerana bakat dan kerja keras saya mendapat pengiktirafan juri.

“Sekarang baru saya sedar, orang menilai kerja kita apabila kita melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Saya memberikan 100 peratus komitmen dalam Adnan Sempit. Seperkara lagi, tarikh 20.10.2010 benar-benar membawa tuah dalam diri saya apabila trofi kemenangan diterima pada hari berkenaan.

“Kini, saya mengidam pula trofi Pelakon Wanita Terbaik. Namun, syarat menyertai kategori berkenaan, aktres itu perlu diberi peranan utama dalam filem. Saya pula belum diberi peluang secara total,” kata bekas kekasih Pierre Andre ini.

Kembali arah filem tahun depan

HAMPIR tujuh tahun, Yana Samsudin memperjudikan nasibnya dalam dunia seni. Selama itu juga, untung nasib mempertaruhkan bakatnya diserahkan untuk diadili peminat dan pemerhati seni. Bermula sebagai penyanyi runut bunyi bagi filem terbitan Metrowealth (MIG) milik David Teo, Yana sudah mencuba banyak cabang kerja.

Gadis kelahiran Yong Peng, Johor ini pernah bekerja di belakang tabir termasuk menyunting hasil kerja MIG. Pada awal pembabitannya, dia pernah menjadi pelakon tambahan dalam filem termasuk Mami Jarum Junior, Tujuh Perhatian, Potret Mistik dan Main-Main Cinta.

Bukan itu saja, beberapa kali juga Yana yang genap berusia 26 tahun pada 25 September lalu, melakukan penjenamaan baru dengan menukar namanya. Sebelum Yana, nama Reanna dan nama asalnya Norliana Shamsudin pernah diguna pakai.

“Selepas berbincang dengan David Teo, akhirnya saya sepakat menggunakan kembali nama Yana Samsudin untuk tujuan berlakon dan komersial. Tapi untuk kerja pengarahan, saya memilih kekalkan nama asal, Norliana Samsudin,” katanya yang turut menyertai Skim 10 Pengarah Muda di bawah MIG.

Berkat tidak pernah mengenal erti putus asa, Yana kini boleh berbangga dengan pencapaiannya. Berlakon dalam filem Adnan Sempit dan memegang watak Wawa seorang setiausaha yang tiba-tiba berubah ke dunia ‘mat rempit’ ternyata memberi tuah yang meledakkan namanya hingga dinobatkan pemenang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM23.

“Watak itu sedikit sebanyak memberi tempias hingga kadang-kadang ada orang yang tidak mengenali siapa itu Yana berbanding Wawa. Saya tak ralat, tetapi perlu berterima kasih dengan watak itu yang memberi impak pada kerjaya lakonan saya,” kata gadis berlesung pipit itu. dia turut beraksi dalam filem Kongsi arahan Farid Kamil.

“Tahun depan, saya akan kembali mengarah. Ikutkan skim pengarahan itu, saya kena hasilkan 10 filem untuk MIG. Tapi setakat ini, saya baru saja mengarah satu filem, Selamat Pagi Cinta. Kalau berpeluang mengarah filem genre cinta dan thriller pun sudah cukup bagus," katanya.

Salah saya ke?


SATU persatu kontroversi menimpa pelakon 'berani mati' ini sehingga ada yang melabelkan dirinya sebagai 'ratu kontroversi tegar'.

Kalau dulu dia dihentam teruk gara-gara gambar separuh bogel dan kes dadah yang sudah selesai itu, kini nama Zarina Anjoulie Lavocah kembali panas apabila dikatakan cuba menyebar pengaruh dikalangan budak-budak sekolah dengan imej seksinya di laman sosial facebook.

Baru-baru ini, ada yang melayangkan e-mel khas kepada Pancaindera minta menasihatkan pelakon itu supaya segera merobah imej ke arah yang lebih positif.

Kata pembaca itu, dalam laman sosial milik Zarina terdapat gambar yang tak senonoh, nampak tergedik-gedik dan seksi habis.

"Pancaindera tolong nasihatkan dia. Berubahlah sikit, jangan berlebih-lebih sangat. Kita perempuan, tak manis," kata pengadu berkenaan.

Apa yang kurang manisnya, dengan imej yang dipaparkan di facebook itu, Zarina dikatakan cuba mempengaruhi budak-budak sekolah dengan mengajak mereka berada dalam senarai temannya.

Benarkah begitu? Apahal pula Zarina nak menjadikan budak sekolah sebagai teman bersosial di alam maya? Ada apa-apa yang tersirat ke?

Tidak mahu mendengar cerita sebelah pihak sahaja, Pancaindera menjejaki Zarina untuk mendapatkan komennya berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya.

Terkejut dengan tuduhan yang bertubi-tubi menimpa dirinya, Zarina akur inilah harga yang perlu dibayar olehnya untuk bergelar anak seni.

"Apahal pula nak kata saya sebagai pembawa pengaruh negatif kepada anak orang?

"Kalau nak tuduh tu jangan main hentam sahaja. Pergi buka Facebook milik saya dan tengok gambar apa yang terkandung kat dalamnya.

"Jangan hanya cakap sembarangan okey. Kalau awak tengok satu persatu gambar yang ada, tak ada satu pun gambar yang teruk," katanya, mempertahankan diri.

Sedaya mungkin Zarina berhujah bahawa semua gambar di facebook itu adalah hasil kerjanya sebagai anak seni. Gambar sedang buat fotografi, berlakon, pertunjukan fesyen dan sebagainya menjadi penghias, itu saja.

"Habis macam mana nak kata saya simpan gambar yang tak senonoh? Saya buat facebook itu untuk berkongsi dengan peminat aktiviti saya. Album yang ada bukannya saya guna untuk simpan gambar peribadi yang tak senonoh seperti mana yang didakwa," luah Zarina yang cukup mesra dipanggil Anju ini lagi.

Hebat sangatkah saya?"Hebat sangatkah saya sampai boleh memberikan pengaruh negatif kepada seluruh rakyat Malaysia? Wow, kalau begitu, sungguh saya tak sangka," kata Zarina tertawa bersahaja.

Melihatkan dirinya yang begitu selamba, ternyata gadis yang menginjak usia 23 tahun ini tidak mudah melatah. Katanya orang boleh berkata apa sahaja tentang imej seksinya tetapi janganlah terus menuduh sembarangan.

"Kalau ikut pemerhatian saya, bukan saya seorang sahaja yang berpakaian seksi di Malaysia ini. Ada poster filem yang terlebih panas, ada gambar perempuan separuh bogel lagi.

"Ada artis lain yang seksi juga, terbonjol sana-sini, tak ada siapa yang bising pun? Adakah mereka tak membawa pengaruh yang buruk?

"Kalau fikir secara logik kenapa nama mereka tak naik pula? Walaupun saya pakai baju yang sama dengan sesetengah artis lain, tapi orang hanya nampak saya yang salah! Ini dah jadi double standard okey! Memang tak adil bukan?"

Menyifatkan dirinya sering kali dijadikan tempat meletakkan kesalahan, pelakon berdarah campuran itu tetap mahu tampil dengan imej seksi seperti hari ini.

Katanya untuk apa dia berubah hanya kerana mendengar cakap-cakap orang?

"Mereka kena ingat sama ada Zarina Anjoulie Lavocah ada atau tidak dalam industri ini, orang lain tetap pakai seksi okey. Kalau tanya seorang demi seorang pasti diaorang akan cakap terpengaruh dengan cara hidup Barat.

"Jadi jangan nak letak kesalahan sendiri atas bahu orang lain. Jangan nak heret saya dalam cerita kontroversi sekali lagi," luah Zarina tanpa berselindung.

Biarpun masih tersentak dengan tuduhan tersebut, pelakon filem Chantek yang akan disiarkan pada tahun hadapan ini tetap optimis dengan cabaran yang dilaluinya.

"Terima kasih kerana menyebarkan e-mel sebegini tentang saya. Saya maafkan dosa-dosanya dan kalau boleh biarlah anaknya jadi orang yang berguna sedikit masa lagi," kata Zarina penuh makna.

Hmm, itu kata empunya diri. Tetapi bagi Pancaindera,tidak salah kalau masyarakat membuat teguran kalau ia ke arah kebaikan.Zarina dan mereka yang popular ni kena ingatlah juga, jadi artis bukan tiket atau lesen untuk boleh buat apa saja ikut yang kita suka. Ingat tu!

Erin Malek kalis kontroversi


MERENUNG kembali apa yang telah terjadi, hatinya cukup luka. Bukan luka kerana keterlanjuran kata-kata yang keluar dari mulutnya tapi luka kerana mencetuskan kontroversi sebelum ini.

Jika rakan-rakan seusia yang lain sedang sibuk menghabiskan usia remaja dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan, pelakon Erin Malek pula terjerat dalam kontroversi yang diciptakan oleh keadaan.

Enggan terus diburu pelbagai emosi yang bersarang dalam hati kecilnya itu, dia bertekad tidak mahu terus diburu perasaan bersalah sedangkan sepatutnya orang lain bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan.

Satu Malaysia tahu apa yang telah terjadi antara dirinya dan pelakon Fiza Elite. Cerita kononnya Fiza ‘melarikan’ bapanya, Abdul Malik Marwi dan menjalinkan skandal cukup hangat diperkatakan. Gara-gara kisah peribadi mencengkam, dia seringkali berbalas kenyataan tentang kisah hitam yang melanda bapanya sendiri.

Bukan apa, sebagai manusia biasa yang cukup kerdil, dia juga berhak memberi pandangan dan mengeluarkan kenyataan memandangkan isu tersebut melibatkan maruah keluarganya.

Bagi Erin, tidak ada apa yang lebih berharga selain mempunyai keluarga yang bahagia seperti mana yang pernah dikecapi satu ketika dahulu. Cukup serba serbi untuk meneruskan kelangsungan hidup seperti orang lain.

Gadis yang baru sahaja menginjak usia 16 tahun cukup kuat mengharung ombak tak bertepi. Bagi dirinya segala yang berlaku itu memberikan pengajaran yang cukup berguna sebagai bekalan pada masa hadapan.

Ada yang memandang sinis kelantangan anak sulung daripada tiga beradik ini mempertahankan maruah keluarga dari terus dipijak-pijak. Baginya tindakan yang dilakukan sebelum ini relevan untuk mengembalikan keadaan kepada sediakala.

“Orang hanya boleh cakap apa yang mereka nak cakap. Yang melaluinya Erin sendirian. Erin hanya buat apa yang difikirkan betul dan jangan terus bertanyakan hal itu kepada Erin.

“Alhamdulillah semuanya dah selesai. Keluarga Erin pun sudah kembali macam biasa. Kadangkala berdiam diri itu lebih baik daripada terus berkata-kata. Andai kata-kata yang keluar itu tak kena pada tempatnya.

“Saya rasa keadaan sudah menjadi sedia kala dan tak ada apa-apa lagi yang harus dikecohkan. Bapa Erin pun dah pulang ke rumah dan kami bahagia seperti dahulu,” tutur Erin dalam pertemuan Khamis lalu.

Makin matang

Mengenali gadis yang sedang meningkat naik di persada seni tempatan ini bagaikan mengenali ‘gadis besi’. Sikapnya yang tak mudah tunduk pada keadaan menyebabkan dia berani menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

Sumbatlah dengan apa sahaja cerita dia tahu untuk menangkis. Bagilah apa sahaja cabaran, dia tak anak lari sebelum sampai ke destinasi yang hendak dituju.

Inilah yang membuatkan Erin begitu istimewa. Soal maruah bukan perkara yang boleh dipandang enteng. Kalau boleh dia mahu berhabis-habisan demi mempertahankan maruah keluarga yang dijunjung atas kepalanya.

Namun sebagai manusia biasa Erin juga tidak boleh lari dicengkam rasa sedih. Sedih dengan apa yang telah berlaku menyebabkan dia cukup berhati-hati dengan setiap langkah diatur.

Tidak pernah terfikir untuk menarik diri dari lapangan seni, Erin yakin semakin hari dirinya semakin matang akibat pelbagai perkara yang melanda.

“Kalau dulu Erin hanya membaca surat khabar membaca kontroversi orang lain, kali ini Erin sendiri yang lalui. Nak kata perit tidak juga tapi ia memang mendewasakan Erin.

“Banyak pelajaran yang Erin dapat sementelah semuanya hampir selesai. Bukan Erin berdoa untuk dihimpit dengan kontroversi, tapi kalau ia datang lagi menghimpit Erin sudah tahu apa yang hendak dilakukan.

“Bagi Erin berfikir itu penting daripada terus mengikut emosi. Tak salah untuk Erin berfikir apa yang patut dilakukan sebelum semuanya terlambat. Peristiwa itu benar-benar mengajar Erin untuk berhati-hati selepas ini,” luah pelakon utama drama bersiri Durja Ningsun ini lagi.

Merenung kembali laluan yang pernah dilalui oleh pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah kerajaan di Ampang, Selangor ini, dia teringatkan kata-kata yang pernah diucapkan oleh ayahnya, satu ketika dahulu.

Ayahnya kurang senang apabila dirinya mahu meneruskan minat menjadi pelakon memandangkan banyak cabaran yang perlu dilalui sebelum benar-benar berjaya.

Kata Malek lagi, sekali dia masuk ke lapangan seni, sukar untuk dirinya menarik diri. Sampai bila-bila orang tetap akan menulis dan memperkatakan dirinya sama ada perkara baik mahupun buruk.

“Tapi ini minat Erin. Erin suka apa yang Erin lakukan biarpun dalam usia yang masih muda. Tak salah untuk Erin mengembangkan bakat asalkan tidak menjejaskan pelajaran,” betah Erin lagi.

Mungkin ada yang tidak sedar, wajah manis Erin bukan muka baru dalam industri seni tanah air. Sudah banyak filem dan drama yang dibintanginya menjadikan dirinya cukup ‘laku’ ketika ini.

Memasuki arena ini dengan filem Bilut, Erin mendedahkan itu merupakan kemunculan pertamanya ke layar perak biarpun masih kosong dalam ilmu lakonan.

Selain Bilut antara filem yang pernah dibintangi oleh Erin termasuklah Tentang Bulan, Brainscan, Congkak dan Senjakala yang masih belum ditayangkan.

Tak abai pelajaran

BERCERITA mengenai hal pelajaran, bagai ada tenaga baru yang masuk ke dalam tubuh mulus gadis ini. Rancak sekali dia berbicara tentang aktiviti yang dilakukan sesekali terlepas kisahnya ‘ponteng’ sekolah.

Adat sebagai orang yang tengah naik daun, banyak sekali tawaran yang datang ketika ini.

Tidak mahu terus menjadi hipokrit dengan keadaan yang berlaku, akui Erin ada kalanya dia terpaksa ponteng sekolah semata-mata mahu menerima tawaran berlakon.

“Pernah juga Erin tak hadir ke sekolah dalam satu tempoh masa yang panjang. Erin hantar surat ke sekolah dah menerangkan apa yang berlaku. Alhamdulillah tak ada masalah yang wujud antara Erin dan pihak sekolah.

“Tipulah kalau Erin cakap Erin tak tertinggal dalam pelajaran. Ini memang cabaran yang paling besar untuk membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya.

“Kalau ada pelajaran yang tertinggal pasti Erin kena cepat-cepat ulang kaji. Bila Erin masuk kelas tak lah tertinggal jauh dengan kawan-kawan yang lain. Tapi dekat rumah ada personal tutor yang datang mengajar.

“Pelajaran penting untuk masa depan yang gemilang. Cuma Erin kena berusaha dua kali ganda daripada orang lain. Semua ada, cuma yang tinggal kuat atau tidak sahaja untuk mengecapi apa yang diimpikan,” kata Erin atau nama sebenarnya Nur Ariana Abdul Malek.

Ketika sesi fotografi ini dilangsungkan, kulitnya sedikit gelap. Cerita Erin dia baru sahaja pulang dari Pulau Tioman, Pahang dan melakukan aktiviti skuba di sana.

Memiliki lesen menyelam, ia merupakan satu aktiviti mencabar yang cukup diminatinya. Bagaikan satu kepuasan yang tak terhingga apabila dapat menikmati pemandangan dasar laut yang cukup mendamaikan.

“Erin memang sukakan sukan lasak seperti skuba. Kalau boleh Erin memang nak jadi jurulatih skuba pada masa hadapan. Pulau Tioman memang destinasi yang cukup indah. Sebelum ini Erin pernah lakukan skuba di Phuket, Thailand.

“Sebelum terlibat dengan skuba, Erin pernah belajar pandu bot laju Formula 1. Tapi tak lama mana sangat. Rugi pula rasanya bila berhenti belajar.

“Inilah masa untuk Erin buat apa yang Erin mahu. Kadangkala Erin nak sangat buat satu perkara itu, tapi kekangan waktu yang membatasi segala,” katanya lagi.

Akhirnya bertunang juga-Ayu Raudhah


SETELAH beberapa bulan berteka-teki tentang tarikh lamaran, akhirnya dramatis Ayu Raudhah mengikat tali pertunangan dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak pada malam 17 Oktober lalu, di USJ Subang Jaya, Selangor. Cuma dihadiri oleh adik-beradik dan sanak saudara terdekat, tiada acara besar-besaran.

Upacara merisik dilakukan terlebih dahulu oleh wakil keluarga Abdul Razak Salleh dan isterinya, Azizah Arshad yang membawa rombongan tiga kereta dari Seremban, Negeri Sembilan. Turut dibawa tiga dulang hantaran berisi dua bentuk cincin dan buah-buahan.

''Kami disambut baik oleh keluarga Ayu. Perbincangan tidak lama untuk mendapatkan kata persetujuan mengenai tarikh perkahwinan dan belanja wang hantaran," kata salah seorang keluarga Abdul Razak kepada Pancaindera.

Demi menghormati permintaan kedua-dua belah pihak, jumlah belanja mas kahwin dirahsiakan.

Alasannya, bimbang sekiranya pendedahan itu boleh dianggap riak oleh sesetengah pihak.

Kenduri sebelah Ayu di Alor Star, Kedah bakal diadakan pada 21 atau 22 Januari tahun depan diikuti dengan Seremban pada 29 Januari 2011 di Pusat Dakwah Islam di Paroi, Negeri Sembilan.

Bercerita tentang hal pertunangan, Ayu sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mengadakan majlis bertunang sama pada hari perkahwinan. Namun, ia tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor.

Tak mengapalah Ayu, itu cuma rancangan awal sahaja. Tidak perlu kecewa kerana apa yang penting sekarang, Ayu sudah selamat menjadi tunang orang.

Kesempatan untuk mengorek rahsia hatinya, ternyata Ayu benar-benar gembira dengan status yang baru seminggu disandangnya itu.

''Hati berbunga-bunga kerana gembira sangat. Dan Ayu berharap akan sabar, reda dan kuat menempuh segala dugaan. Insya Allah, Ayu percaya untuk mengecapi impian, kita terpaksa mengorbankan sesuatu," soalnya sambil menyatakan kesyukuran apabila majlis merisik bertukar terus kepada upacara pertunangan.

Pelakon drama Dilema Wanita dan Dari Mata Arisa turut menyatakan bahawa pertunangan tersebut cukup bermakna. Bagi keluarga Abdul Razak, ini adalah kenduri perkahwinan yang terakhir dalam keluarganya. Sebab Zaquan anak paling bongsu dan sedikit sebanyak, mahu kesempurnaan agar majlis tersebut dapat dikenang sepanjang hayat.

Begitu juga dengan keluarga Zabedah Saat, ibu Ayu yang turut berdoa agar upacara meraikan anak bongsu perempuannya itu berjalan lancar dan meriah tanpa sebarang masalah.

Ayu-Zaquan Nikah 20 Januari 2011


PETALING JAYA: Akhirnya teka-teki tentang perkahwinan aktres Ayu Raudhah, 25, dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, terjawab apabila pasangan ini memilih tarikh 20 Januari 2011 untuk diijabkabulkan.

Majlis pernikahan akan berlangsung di rumah pengantin perempuan di Taman PKNK, Alor Setarm Kedah manakala majlis resepsi akan menyusul pada 21 Januari 2011 di lokasi yang sama.

Sementara majlis resepsi sebelah pengantin lelaki dijangka berlangsung pada 29 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan.

Pasangan ini dilaporkan telah rasmi bertunang pada 17 Oktober lalu dalam satu majlis merisik di rumah keluarga Ayu di Subang Jaya.

Menurut laporan sebuah akhbar, Ahad, pasangan itu bukan sengaja merahsiakan tentang majlis tersebut sebaliknya menghormati keputusan keluarga Zaquan ekoran kontroversi yang baru sahaja terjadi melibatkan aktres Rita Rudaini dan suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, kembar Zaquan.

Ayu dan Zaquan telah menghadiri kursus perkahwinan pada awal Ramadan lalu.

Teka-teki tentang tarikh perkahwinan Ayu dan Zaquan mula tersebar sejak September lalu.

Penyampai Nona, Maya Karin Diganti


KUALA LUMPUR: Pengacara rancangan Nona, Maya Karin akan digantikan bagi memberi nafas baru untuk program berbentuk majalah tersebut bagi musim terbaru.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Media Prima, Datuk Farid Ridzuan berkata, keputusan diambil setelah dijalankan kajian kumpulan fokus baru-baru ini.

"Sebelum membuat sesuatu keputusan kami akan berbincang melalui kumpulan fokus terlebih dahulu. Jadi keputusan telah diambil untuk menggantikan Maya dengan seorang pengacara barui rancangan itu.

"Lagi pula ketika kami mengambil Maya, dia mempunyai masa dan ruang. Tetapi kini komitmen dia semakin tinggi dan banyak tawaran lain," ujarnya pada sidang media Media Prima Screening 2011, di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Farid memberitahu setiap penyampai diberi tempoh percubaan bagi mengendalikan sesebuah rancangan.

"Bukan kita tidak melakukan kumpulan fokus terlebih dahulu sebelum mengambil Maya, tapi kami membuat percubaan," katanya.

Farid berkata, perbincangan masih dilakukan bagi menentukan calon yang sesuai sebagai penyampai Nona musim 2011.

"Setakat ini ada beberapa nama yang tersenarai sebagai penyampai yang baru. Ia tidak semestinya seorang artis tetapi kami berfokus kepada wanita," ujarnya yang tidak menolak nama pelakon Vanida Imran yang turut tersenarai sebagai calon pengacara baru program tersebut.

Walau Diperlekeh Aaron Aziz Tetap Puas


Filem kontroversi, Dua Alam telahpun ditayangkan pada malam Perasmian Festival Filem Malaysia ke-23 baru-baru ini. Pastinya panggung penuh sesak dengan hadirin yang ingin melihat kehebatan filem yang dikatakan mampu mengutip RM40 juta itu.

Namun yang kedengaran hanya sorakan dan sindiran sepanjang filem ditayangkan. Lebih-lebih lagi apabila mata asyik dihidangkan dengan adegan ranjang dan flashback yang mengganggu konsentrasi. Sorakan makin galak apabila tiba-tiba dihidangkan dengan klip video dipertengahan filem.


Bukan menidakkan kehebatan filem terbitan Datuk Dr Che Rozmey Che Din (DDR), namun rata-rata yang menonton hanya memperlekehkannya. Nama besar seperti Aaron Aziz dilihat tidak membantu menjadikannya lebih baik. Filem ini dilihat hanya mencalarkan karier yang dibina.

Hanya mampu mengukir senyuman, nyata sukar sekali bagi Aaron meluahkan perasaannya. Menghela nafas panjang dan menyambung kembali pertanyaan pihak media.

"Pada permulaan dapat skrip, saya terima sebab jalan ceritanya menarik dan pertama kali saya ditawarkan watak uztaz. Tak kisah jika orang perlekehkan Dua Alam kerana apa yang penting saya sudah melakukan yang terbaik untuk watak yang diberi. Dan jujur saya puas hati dengan watak yang dibawa.

"Watak saya tak banyak dialog dan hanya ekspresi muka diperlukan. Dr Rozmey ingin membuat perubahan dalam industri menerusi filemnya, sebab itu Dua Alam banyak bermain dengan muzik dan efek sebagai elemen utama," komen Aaron ketika ditemui pada sidang media Teater Natrah di Istana Budaya.

Tak Perlu Menyanyi Sebab Terima Natrah

Antara muka baru yang ditampilkan dalam Teater Natrah, Aaron tidak dapat menyembunyikan keterujaannya untuk bekerja di bawah pengarah tersohor, Eirma Fatima. Pertama kali didedahkan dengan dunia teater bukanlah masalah baginya, Aaron tahu apa yang dilakukannya.

"Walaupun ini kali pertama saya berlakon teater namun saya yakin mampu sampaikannya dengan berkesan. Saya pernah bekerjasama dengan Eirma dan tahu apa yang dimahukannya.

"Saya pernah ditawarkan untuk Muzikal Tun Mahathir sebelum ini tapi saya tak cukup bersedia melakukannya. Namun tawaran untuk Natrah memang sukar untuk dilepaskan. Sudah ramai yang sarankan saya cuba masuk dunia teater dan inilah masanya.

"Apa yang penting saya tak perlu menyanyi dan menari, sebab itu saya terima,"katanya melakonkan watak sebagai Burhanudin Helmi.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails