Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sudah lama sabar - Elly Mazlein


Akhirnya impian Elly muncul dengan album terbaru tercapai

KARIER seninya bermula sebagai penyanyi. Siapa yang boleh lupa akan suaranya ketika lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan, Bicara Kasih, Merry Go Round, yang bait liriknya cukup menyentuh hati.

Sememangnya, pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi atau lebih dikenali dengan panggilan Elly Mazlein ini dikenali kerana bakat semula jadinya. Namun, sejak kebelakangan ini, namanya seakan-akan sepi dalam bidang nyanyian. Sebaliknya, wajah Elly Mazlein ini sering kelihatan di layar kaca. Bakatnya kini lebih kerap kelihatan melakonkan watak demi watak menerusi drama dan telefilem.

Apakah dia melupakan bidang seni suara yang pernah menaikkan namanya atau sekadar berehat seketika?

Ditemui ketika menghadiri pelancaran drama Seruan Pulau Nami baru-baru ini, Elly mempunyai berita baik untuk dikongsi bersama peminatnya.

Dengan perasaan teruja, dia memberitahu, penantian selama lima tahun bakal berakhir apabila album terbarunya bakal muncul tidak lama lagi dan ia diterbitkan oleh komposer, Julfekar.
“Bukan niat untuk tak nak menyanyi, tapi Elly banyak memenuhi tawaran berlakon membuatkan terpaksa melupakan bidang itu buat seketika. Namun tak nafikan yang Elly memang rindu sangat hendak menyanyi. Alhamdulillah, Elly kini sudah bernaung di bawah syarikat rakaman Millenium Art milik abang Julfekar dan sekarang dalam pembikinan album terbaru.

“Disebabkan bahan-bahannya sudah ada, kali ini memang Elly sudah bertekad meluangkan masa merakamkan lagu untuk album ini. Sekarang Elly baru rakam dua lagu yang berjudul Please Forgive Me dan Kata Saja I Love You. Untuk single pertama Elly, kami memilih lagu Please Forgive Me yang dicipta oleh Julfekar” katanya.

Seakan-akan mengerti apa yang bermain di minda penulis, Elly menjelaskan dua lagu itu sengaja diberi judul sedemikian kerana mahu mencipta kelainan sekali gus mencipta gimik bagi menarik perhatian peminat.

“Kedua-dua buah lagu itu sebenarnya dalam Bahasa Melayu tetapi judulnya memang sengaja diberikan untuk memancing perhatian peminat. Elly sendiri sebenarnya sudah tidak sabar untuk melihat reaksi peminat selepas mereka mendengarkan lagu dalam album ini. Seronok dan teruja rasanya.

“Maklum sajalah, sudah lama tidak bertemu mereka, jadi bila sudah ada lagu baru, barulah bersemangat. Pertama kali bekerjasama dengan Julfekar, Elly menyifatkan gandingan dengan komposer kontroversi itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan walaupun mengakui pernah mendengar cerita kononnya Julfekar memang suka bergaduh dengan penyanyi di bawah pengurusannya.

“Tapi daripada apa yang saya lihat dan lalui, Julfekar sangat profesional ketika bekerja dan setakat ini saya selesa apabila bekerjasama dengannya,” kata Elly.

Tidak rahsiakan perkahwinan

SEPANJANG mengenali penyanyi ini, pelbagai gosip hangat dilemparkan kepadanya sehingga dia pernah menitiskan air mata ketika menjawab segala dakwaan nakal itu.

Terbaru, Elly dikatakan sudah pun bergelar isteri seorang kenamaan dan pernikahan itu dilangsungkan secara senyap-senyap.

Andaian itu tersebar luas apabila Elly dikatakan mengambil cuti selama dua bulan dari bidang lakonan. Apakah cuti rehat yang diambil Elly sebenarnya adalah cuti kahwin yang dirahsiakan dari media?

Menjawab soalan itu, sekali lagi penyanyi ini menegaskan bahawa dia masih solo dan tidak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

“Saya sedar selama ini media banyak membantu saya dalam membina kerjaya sehingga ke tahap ini. Jadi takkanlah saya nak merahsiakan hari bahagia ini dari anda semua. Gosip mengatakan saya sudah berkahwin tidak benar.

“Saya sudah penat menjawab gosip mengenai perkahwinan ini. Bukan sekali dua tetapi sudah banyak kali saya dikatakan sudah berkahwin. Apabila tiba masanya nanti dan sampai jodoh, saya akan menjemput kawan-kawan media untuk sama-sama meraikan hari bahagia saya ini,” katanya sambil mengakui kurang selesa apabila bercakap soal peribadi berlebih-lebihan.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails