Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Noraniza rancang kahwin lelaki Singapura Jun depan


KUALA LUMPUR 12 Jan. - Selepas dua kali gagal dalam melayari bahtera rumah tangga, penyanyi irama etnik, Noraniza Idris, sebetulnya telah berjanji untuk tidak berkahwin lagi.

Namun manusia hanya boleh merancang dan siapalah dia untuk menolak ketentuan Tuhan yang membuka pintu hatinya untuk menerima lelaki bergelar suami setelah lima tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Jika tiada aral, Noraniza sekali lagi akan mendirikan rumahtangga pada Jun ini.

Lelaki yang berjaya mencuri hatinya ialah seorang ahli perniagaan dari Singapura, Jeffri Iman, 51, yang merupakan bapa tunggal kepada empat orang anak.

Noraniza, 42, yang kini lebih banyak menumpukan perhatian kepada Akademi Tatihseni yang berpusat di Johor Bahru, Johor, memberitahu setelah perkahwinan keduanya gagal, beliau seolah-olah tertutup hati untuk berkahwin.

Ibu kepada Mohd. Aliff Haikal, 22, dan Mohd. Alfeeq Haikal, 17, yang dihubungi hari ini memberitahu;

"Setelah dua rumah tangga yang saya bina musnah terutama yang kedua hanya bertahan 12 hari, saya berjanji pada diri ini tidak mahu berkahwin lagi.

"Namun sebagai manusia kita hanya merancang dan saya tidak pernah menduga kunjungan saya ke sebuah masjid di Johor Bahru dengan niat untuk memberi sumbangan telah mengubah segala-galanya.

"Saya tidak sangka, niat ikhlas saya memberi sumbangan pada bulan Ramadan hasil jualan barangan dari akademi milik saya telah menjadi titik tolak kepada pertemuan kami."

Menurut Noraniza, dalam pertemuan yang tidak disangka itu, Jeffri yang menjadi bilal bebas di Singapura tidak bercakap sekadar menerima kad namanya untuk urusan sumbangan akademi kepada masjid itu.

''Pada pertemuan pertama itu, kami memang tidak bercakap. Tetapi apabila urusan sumbangan akademi akan dihantar barulah kami berhubungan,'' katanya.

Sejak itu, Noraniza dan Jeffri sering berhubungan dan berbicara melalui Internet yang menghubungkan mereka berdua.

Pasangan ini mencuri perhatian ramai ketika menghadiri malam akhir konsert Jamal Abdillah J2011-Lagenda di Istana Budaya, di sini Isnin lalu.

Kata Noraniza, setelah sering berbicara melalui Internet, mereka bertemu buat pertama kalinya pada 25 September sempena hari lahir Jeffri.

"Dalam pertemuan itu Abang (panggilan untuk Jeffri) menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan abang sulung saya, Mohd. Arshad, 56, yang tinggal di Kampung Kongkong, Masai.

"Sikapnya yang jujur dan nilai-nilai lelaki beriman dan berhemah tinggi menarik hati saya apalagi selepas itu pertemuan kami lebih banyak kerana tugas dan kerjaya saya sebagai tuan punya akademi," kata Noraniza.

Jeffri yang memiliki syarikat menguruskan jemaah umrah di Singapura di bawah nama Absolut U International Private Limited, kini turut bekerjasama dan membantu Akademi Tatihseni dalam memberi motivasi bersandarkan nilai-nilai Islam kepada para pelajarnya.

Jeffri yang sudah 11 tahun hidup sebagai bapa tunggal juga tidak pernah menyangka akan berkenalan dengan Noraniza.

"Saya tahu Ani seorang penyanyi tetapi saya tidak mengikuti sangat perkembangannya. Walaupun sebelum ini saya pernah berazam untuk tidak berkahwin lagi namun Allah SWT amat menyayangi saya.

"Selepas kedatangan Ani di masjid dan kemudian kami sering berbincang tentang ajaran Islam dalam kelas yang saya kendalikan di akademi, ia secara tidak langsung telah merapatkan hati kami berdua," akui Jeffri.

Jeffri yang kini rakan niaga Noraniza dan menguruskan Noraniza Idris Group Management Sdn. Bhd., berjanji tidak akan menyekat kerjaya seni bakal isterinya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails