Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ada ``hantu'' mahu takutkan saya... - Ellie Suriaty


PELAKON Ellie Suriaty menyatakan rasa kecewa apabila langkah awalnya untuk bergelar penulis lakon layar dan skrip filem sulungnya bergenre seram klasik, Penanggal disabotaj. Lebih buruk lagi, individu yang ‘kejam’ itu ialah seseorang yang cukup berpengaruh dalam industri perfileman tanah air.

Perbuatan tersebut dipercayai angkara penerbit dan pengarah filem serta drama tanah air yang cukup sensasi dengan kisah-kisah kontroversi menerusi hasil kerjanya. Lelaki yang berasal dari negeri utara itu dikatakan berniat jahat untuk menjejaskan kredibilitinya, dengan cubaan mempengaruhi pihak pembiaya lain agar tidak terlibat dalam projek filem pertamanya itu.

‘‘Saya cukup terasa dengan perbuatan keji dia dengan memburukkan niat dan naskah yang dihasilkan sejak tiga tahun lalu. Rupa-rupanya dia adalah ‘hantu besar’ di luar sana.

‘‘Tindakan tidak berhemah itu secara tidak langsung telah menjejaskan maruah saya di mata pembiaya filem yang sudi membiayai filem saya itu,” reaksi awal wanita ini ketika meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Pelakon Wanita Terbaik di Cinefan International Film Festival New Delhi India 2002 menerusi filem Spinning Gasing itu hanya menyedari perbuatan buruk individu berkenaan setelah dimaklumkan oleh rakan terdekat yang turut mengetahui perkara berkenaan.

Menceritakan semula kejadian tersebut, ibu kepada Azrell Omar Iskandar, 6, dan Nur Azreen Omar Iskandar, setahun ini memberitahu bahawa penerbit dan pengarah filem itu tiba-tiba telah menyertai perjumpaan dengan pembiaya berpotensi untuk Penanggal baru-baru ini.

Bagaimanapun, di belakang pengetahuan Ellie, dia telah menyatakan keburukan dan kekurangan naskah skrip Penanggal kepada pembiaya berpotensi berkenaan.

‘‘Saya akan lebih menghargai kalau individu itu bersemuka secara empat mata dengan saya bukan dengan cara menikam dari belakang. Wakil pihak pembiaya juga pernah menyarankan supaya dia bertemu dengan saya sendiri tetapi dia mengatakan, ‘tak apalah, artis ini kan sensitif’. Apa maksud dia sebenarnya? Rupa-rupanya dia dah ada niat tersirat di sebalik sikapnya itu.

‘‘Saya tak pernah meminta dia menilai naskah saya sebab dia bukan pembiaya projek ini. Malahan, naskah ini sudah dinilai oleh golongan cendekiawan dan profesional termasuklah Prof. Dr. Asiah Sarji dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Johari Shaarani.

‘‘Perlu ditekankan di sini bahawa skrip itu bukan untuk dia dan saya sendiri tak minta dia untuk menilai. Saya diberitahu dia hanya penjaga studio milik pembiaya berpotensi itu. Paling menyakitkan hati, ada pula tuduhan yang mengatakan saya ini seolah-olah ada niat nak ‘songlap’ duit pembiaya daripada bajet projek tersebut,” katanya penuh berapi.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) menerusi filem Soalnya Siapa ini menjelaskan bahawa Penanggal sudah ada penerbit dan pasukan sendiri ketika ini. Apa yang dilakukan Ellie hanya mencari rakan kongsi di pihaknya untuk turut menjadi rakan kongsi projek tersebut.

Bagaimanapun pelakon filem Paloh ini belum bersedia untuk mendedahkannya kepada umum. Apa yang boleh dikongsi filem tersebut mempunyai gabungan unsur Melayu Arab dan Jawa yang diadun mengikut versi mitos asal Penanggal.

Tak perlu mengutuk

Anak kelahiran Selangor ini turut menjelaskan bahawa dia punya pengalaman cukup bagi melakonkan watak utama filem Penanggal. Biarpun dicemuh kerana dilihat tidak layak melakonkan watak utama sedemikian, Ellie punya alasan.

‘‘Jangan risaulah, saya hanya berlakon watak penanggal saja, bukan puteri mana-mana hikayat. Lagi pun, watak yang saya bawa ini kena dengan jalan cerita. Tak payahlah nak ‘kondem’ saya macam-macam dengan cakap saya tak cukup komersial untuk bawa watak berat sebegitu.

‘‘Sebelum ini pun, saya ada beralah apabila diminta oleh seorang pengarah untuk memberi laluan kepada adiknya untuk melakonkan watak utama. Tak apalah, saya anggap itu bukan rezeki saya. Cukup-cukuplah saya mengalah dalam hal melibatkan periuk nasi saya ini.

‘‘Jujurnya, saya tak kisah dikritik. Saya terbuka menerima pandangan orang ramai, tapi biarlah dengan kritikan yang membina, bukan dengan cara sabotaj,” tambah Ellie lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Ellie pernah membawa watak penanggal sebelum ini dalam satu persembahan teater di Jepun yang dijalankan secara kerjasama di antara pihak Setagaya Public Theater dengan Five Arts Center di bawah pengarah teater Inggeris Jo Kukatas. Teater tersebut dibiayai oleh Japan Foundation yang dipentaskan tahun 2006 lalu.

Projek tersebut juga mengetengakan kolaborasi pelakon-pelakon dari Malaysia, Singapura dan Jepun.

Perlu peka

Ditanya pandangan Ellie tentang kewujudan penyakit hasad dengki dalam industri perfileman tanah air, wanita ini dilihat cukup tenang sekali.

Baginya, industri ini memerlukan orang-orang yang telus dalam industri seni kreatif dan penyelewengan seperti itu tidak berlaku.

‘‘Kita harus ke peringkat lebih tinggi bagi memastikan pengeluaran yang berkualiti daripada insan-insan seni kreatif negara. Barulah kita boleh jadi masyarakat seni atau tulang belakang yang bijak menilai seni dan peka kepada sensitiviti.

‘‘Masyarakat seni juga perlu akrab dan saling mendokong antara satu sama lain. Bantu orang-orang baru buat filem ke atas. Bukan cuba menenggelamkan saya dengan cara begini. Kalau ada sikap ‘hantu’ sebegini, susahlah industri nak berjaya.

“Contohi orang-orang filem seperti di Thailand yang cukup menjaga pasaran seni mereka. Tidak membenarkan ada pihak lain yang cuba membolosi jaringan pasaran industri mereka melainkan jika ada kerjasama, mahu pun ada pelakon mereka yang terlibat dalam sesuatu projek itu,” hujah pelakon Syukur 21 ini panjang lebar.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails