Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Balu Loloq Belum Sedia Berkahwin Lain


KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga tahun penulis lirik prolifik, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis meninggal dunia, balunya, Hariah Yaacob, 39, akui masih belum bersedia atau terfikir untuk berkahwin lain.

Sehingga kini, dia masih mengingati arwah dan pada setiap Jumaat, pasti Hariah dan anak-anaknya akan melawat kubur arwah Loloq di Tanah Perkuburan Bandar Baru Sungai Buloh dan mensedekahkan ayat-ayat suci al-Quran.

Lebih mengharukan, ulang tahun perkahwinan Hariah dan Loloq yang jatuh pada 27 Februari pada setiap tahun akan dikenang bersendirian tanpa ditemani sang suami di sisi.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga orang anak ini setia menyokong setiap sumbangan peninggalan arwah suaminya dalam industri seni muzik tempatan.

Terbaru, Hariah membenarkan syarikat produksi Global Network Entertainment Sdn Bhd, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Badan Kesenian Kementerian Pertahanan dan Istana Budaya untuk menganjurkan Konsert Untukmu Loloq.

Konsert tersebut bakal berlangsung pada 22 hingga 24 April ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

“Saya sangat menyokong konsert yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang sudi mengangkat karya arwah Loloq sebagai tanda penghargaan mereka kepada sumbangan penulis lirik sepertinya yang dirasakan pertama kali dilakukan.

“Sebelum ini, pihak penganjur konsert lebih memberikan penghargaan kepada penyanyi,” kata Hariah dalam satu sidang media.

Pengarah konsert, Lokman Ghani memaklumkan Hariah dan anak-anak Loloq mungkin akan terlibat dalam konsert tersebut.

Bagaimanapun, Hariah menafikan perkara tersebut sebaliknya mengakui kemungkinan anak bongsunya bernama Yasha Nur, 10, akan mendeklamasikan sajak berjudul ‘Papa Jangan Kau Pergi’.

“Yasha menulis sendiri sajak ‘Papa Jangan Kau Pergi’ sewaktu berusia 7 tahun iaitu beberapa bulan selepas arwah suami saya meninggal.

“Mungkin dia akan membaca sajak tersebut,” katanya.

Hasil perkahwinan dengan Loloq, Hariah turut dikurniakan anak bernama Krsty Nur, 15, dan Jaevn Nur, 12.

Konsert Untukmu Loloq terbahagi kepada empat segmen iaitu berkisar latar belakang arwah, nyanyian lagu-lagu popular karya Loloq oleh kumpulan Spider, Ella dan Ramli Sarip, sketsa pendek tentang Loloq dan penampilan khas M.Nasir.

Loloq aktif menulis lirik sejak berusia 20 tahun dan terkenal dengan beberapa nama pena lain seperti Nurbisa.

Selain itu dia juga dikenali sebagai pelakon filem dan drama televisyen seperti Pari-Pari, Lang Buana, Zombi Kampung Pisang dan Man Laksa.

Antara lirik lagu ciptaannya adalah Andalusia, Ghazal Untuk Rabiah, Mentera Semerah Padi, Apokalips, Bonda dan Aladin.

Harga tiket Untukmu Loloq dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM295 dan RM450.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails