Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Keletah dan pendiam


Scha nafi rancang bertunang dengan Awal Ashaari, akui mula bincang soal perkahwinan

TIDAK sesuai? Mungkin begitulah tanggapan awal apabila menggandingkan aktres dan pengacara, Scha Al-Yahya, 28, bersama penyanyi, Faizal Tahir, 33, sebagai penghias muka depan akhbar sisipan ini buat kali pertama. Dua figura yang diminati ramai, namun berlainan bidang seni. Latar belakang mereka juga berbeza, hati Scha sedang diulit cinta bersama kekasihnya, Awal Ashaari, manakala Faizal bapa tiga anak. Personaliti juga agak ketara, Scha seorang happy go lucky, Faizal pula agak pendiam.

Namun, apabila kedua-duanya dipertemukan di depan lensa, suasana pada awalnya agak 'dingin', mungkin masing-masing menyimpan perasaan segan dan hormat akan status satu sama lain. Sebaliknya, memasuki minit ke-30, suasana bertukar agak bingit, apabila Scha dan Faizal mula menyakat sikap pendiam masing-masing yang mungkin dibuat-buat itu!

Tidak lama kemudian, terlerailah gelak ketawa apabila sikap 'cover line' masing-masing tidak mampu disembunyikan lagi. Sesi fotografi bertambah lancar apabila kedua-duanya 'memberi' pose yang diingini. Scha dan Faizal semakin serasi, sekali gus jurang yang ketara antara mereka berjaya disatukan atas dasar profesional.

Yang pasti, kedua-duanya sekali lagi menjadi pilihan peminat untuk menduduki carta Top 5 dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 yang kini memasuki edisi ke-24 pe­­nganjurannya.

Pun begitu, perbualan dengan Scha yang dise­­naraikan sebagai finalis dua kategori - Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular tiba-tiba sedikit serius apabila dia membicarakan hubungannya dengan Awal, juga seorang finalis ABPBH 2010 bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular.
Sejak kebelakangan ini tersebar desas-desus mendakwa Scha dan Awal merancang untuk bertunang dalam masa terdekat ini apabila kedua-duanya dicanang sudah menempah baju hari istimewa itu. Namun, kedua-duanya dikatakan mengunci mulut kerana tidak mahu dihidu media dan peminat.

"Bagi Scha, apa yang tersebar itu sekadar gosip tidak berasas. Scha pun pelik, macam mana orang luar lebih tahu perihal peribadi kami, sedangkan Scha dan Awal sendiri tak tahu menahu.

"Terus-terung kami tak pernah ada tarikh untuk bertunang, jauh sekali dah tempah baju! Tapi, Scha tak nafikan, kami beberapa kali ada berbincang soal kahwin, namun soal bertunang tak pernah timbul.

"Scha mahupun Awal sedang mencari tarikh yang sesuai, tapi masih tak dapat lagi kerana ma­­sing-masing sentiasa terikat dengan jadual kerja yang padat. Selagi tak bertemu 'tarikh keramat' itu segala perancangan nak bertunang atau bernikah, masih samar-samar.

"Kalau nak diikutkan, selagi celik mata, kerja tak pernah habis, namun kami harus memikirkan masa depan, umur pun semakin meningkat. Perkara yang wajib harus dipercepatkan. Justeru, kami ada sasaran.

"Insya-Allah sekiranya dipermudahkan segala urusan, kami merancang untuk menamatkan zaman bujang ini paling awal penghujung 2011 dan paling lewat pun sebelum akhir 2012. Namun, sekiranya jodoh kami datang lebih awal, Alhamdulillah," kata Scha tanpa berselindung.

Tambahnya lagi, dia dapat rasakan, antara dirinya dan Awal memang ada keserasian yang kuat, sekali gus tiada alasan untuk mereka meninggalkan diri masing-masing.

Namun, Scha mendakwa dia tidak mahu berdepan tekanan berhubung tarikh pertunangan atau pernikahan mereka kerana baginya, sekiranya terlalu terkejar-kejar, beliau khuatir apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan kerana soal hidup berumah tangga ini menuntut komitmen yang tinggi.

Watak kasar dalam Libas, Aku Bukan Tomboy

Pada masa sama, Scha sedang menanti kemunculan filem terbarunya, Libas dan Aku Bukan Tomboy apabila sekali lagi memperlihatkan sisi Scha yang kasar dan perwatakan seperti lelaki.

Tidakkah dia khuatir peminatnya akan melabel Scha semakin hilang sifat femininnya?

"Dalam diri Scha ada dua sisi yang berbeza - loud dan pendiam atau sangat serius. Apa yang Scha lakonkan dalam Libas mahupun Aku Bukan Tomboy sekadar menzahirkan kehendak skrip, tapi secara peribadi Scha sangat serius dan bercakap bila perlu saja. Tapi, Scha sedang berusaha untuk menjadi pelakon versatil. Kalau diberi peluang, Scha nak cuba watak yang pernah dijayakan Nasha Aziz dalam Trauma atau jadi pelakon air mata seperti Azean Irdawaty," kata Wajah Eksklusif Astro ini.

Apabila bercakap peluangnya dalam ABPBH 2010, tanpa berselindung Scha mengakui peluang untuk menang amat tipis sekalipun drama Awan Dania 3 masih bersiaran menerusi Astro Ria.

"Selepas 'dianalisis' secara mendalam, Scha berdepan dengan pesaing yang terlalu hebat. Mereka adalah award winner sebelum ini! Namun, Scha bersyukur kerana masih tercalon dalam Top 5, sekurang-kurangnya Scha sedar, Scha masih ada tempat di hati peminat," katanya merendah diri.

NAMA SEBENAR: Sharifah Norazean Syed Mahadzir
TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983
ASAL: Sungai Petani, Kedah
DARAH CAMPURAN: Arab (bapa) dan Cina (ibu)
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
DRAMA: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu, Awan Dania 2 dan Kita Carefree, Prebet Jamilah, Awan Dania 3, Kita Carefree 2, Mimi Mencari Cinta dan Prebet Jamilah 2
FILEM: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Libas, Awan Dania The Movie, Aku Bukan Tomboy dan Darah Daging
PENGACARAAN: Chopp!, Sehati Sejiwa, Sehati Berdansa 3 dan Kata Kau
KOMERSIAL: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom dan My EG
DUTA: Bio Essence

BAGI Faizal yang tercalon menerusi kategori Penyanyi Lelaki Popular kini sedang sibuk mengumpul bahan untuk penerbitan album terbarunya. Katanya lagi jika sebelum ini dia meng­­hasilkan satu album dalam tempoh dua tahun, namun memasuki 2011, dia sedang berusaha menghasilkan dua album setahun.

Dalam masa sama, dia juga baru selesai pembikinan klip video terba­­runya, Karma yang dipetik daripada album Adrenalin.

Dalam usaha Faizal menghasilkan produk berkualiti dan mempertahankan popularitinya, dia juga pernah 'tersasar' suatu ketika dulu apabila pernah dilabel tidak mesra media dan peminat, sekali gus dicap artis bermasalah kerana cukup sukar memberikan kerjasama.

Tapi, semua itu hanya tinggal ke­­nangan kerana Faizal hari ini sudah semakin pulih dan segar apabila tidak kedengaran lagi komen atau kritikan negatif yang dilemparkan ke atasnya. Dirinya mudah didampingi dan soal komitmen menunjukkan perubahan drastik.

"Saya dah masuk 'sekolah'. Segala teguran dan kritikan yang dilemparkan, membuatkan saya cepat sedar. Bagi saya, jika ditegur, wartawan mengkritik, ia satu perkara positif dalam kerjaya. Apabila ditegur, kita tak boleh merungut, melenting atau melatah tak tentu pasal. Seorang artis patut rasa bersyukur jika dirinya ditegur, ia satu petanda, ada orang ambil berat soal kita yang nak kita jadi lebih baik. Justeru, kita harus merendah diri apabila ditegur.

"Apabila bergelar artis, mereka adalah public figure. Artis perlu menjaga tingkah laku mereka setiap masa. Ingat, di depan wartawan, jangan berpura-pura jadi baik, tapi dalam apa juga keadaan, artis perlu mengawal keperibadian supaya peminat tidak membenci," kata Faizal.

Tambahnya lagi, kebanyakan mereka yang bergelar artis hari ini sebenarnya belum benar-benar bersedia apabila beranggapan kerjaya artis perkara mudah, tapi sebaliknya ia sesuatu yang sukar apabila menuntut banyak pengorbanan.

"Bagi saya, kalau seseorang artis belum bersedia untuk berkorban masa, tenaga, hanya tahu nak glamor saja, tak perlulah jadi artis! Setiap kali bertemu peminat dan bekerjasama dengan media, mereka suka dengan out-put yang kita berikan, bagi saya itu satu kejayaan.

"Moralnya, nak jadi artis, glamor, orang suka kita, jangan jadikan faktor itu sebagai lesen untuk kita berbuat sesuka hati. Lagi besar nama kita dalam industri, lagi besar pengorbanannya dan kita perlu lagi tunduk merendah diri. Ada artis lagi hebat daripada kita di luar sana," terangnya. Faizal menambah, dia merendah diri dengan 'come back' Anuar Zain dalam saingan ABPBH 2010. Baginya, Anuar sudah lama menyepi, tiba-tiba dia muncul semula menyertai 'liga', sekali gus memberi petanda, pengaruh penyanyi kacak itu begitu kuat dan hebat dalam industri.

"Calon Top 5 lain termasuk saya sendiri lahir daripada program realiti, justeru, saya memang teruja apabila Anuar kembali memberi saingan. Semua calon ada kelebihan tersendiri dan update yang terkini. Jadi, masing-masing punyai peluang sama cerah untuk menang.

"Namun, saya tak nafikan, pembabitan Top 5 dalam siri jelajah ABPBH 2010 memberi impak yang cukup besar. Ia adalah satu platform untuk artis mendekati peminat secara langsung biar mereka rasa dihargai seperti mana artis ingin dihargai," kata Faizal yang bakal muncul di Kuantan Parade, Kuantan, Pahang petang ini dalam siri jelajah ABPBH 2010 diikuti Village Mall, Sungai Petani (12 Mac) dan Klang Parade (27 Mac).

Acara kemuncak ABPBH 2010 akan bersiaran secara langsung menerusi TV3 dan HotFM pada 3 April ini dari Arena of Stars, Genting Highlands. Holiday Villa Hotel & Suites Subang adalah hotel rasmi ABPBH 2010 yang menaja lokasi sidang media dan penyampaian hadiah.

NAMA PENUH: Ahmad Faizal Mohd Tahir
TARIKH LAHIR: 26 Oktober 1978
PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam
ALBUM: Aku.Muzik.Kamu dan Adrenalin
ANTARA PENCAPAIAN: Naib juara One In A Million (OIAM) musim pertama (2006); Artis Baru Lelaki Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2008; Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), Album Rock Terbaik dan Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15), tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) dan Persembahan Terbaik pada AJL25
PENGALAMAN SENI: Pengacara Gangstarz musim pertama (2007) dan pernah menganggotai kumpulan Mirwana
ISTERI: Siti Raihanim Noran
ANAK: Ahmad Mikaeel Zidane, 6; Siti Raudhah Nur Iman, 5, dan Ahmad Rifa'ie Zidane, 2.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails