Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Makin intim selesa - Maya dan Remy


MAGIS sebuah persembahan mampu membuat khalayak terpedaya, lantas percaya ada perasaan indah yang sedang mengalir dalam diri pasangan pemain utamanya.

Melakonkan ‘cinta’ mereka dalam dua musim pementasan Natrah, keintiman antara Maya Karin dan Remy Ishak kembali bertaut dalam filem romantik komedi arahan Osman Ali, berjudul Cun yang akan menemui penonton mulai 31 Mac ini. Dua nama itu menyusur seiring kontroversi, meledakkan aura hangat industri hiburan tahun lalu dan selepas hampir setahun, masih ramai yang mahu menagih jawapan pasti daripada bibir Maya dan Remy. Dua entiti itu pantas menjadi subjek utama sorotan media selepas Maya mengumumkan perpisahannya dengan Muhammad Ali Abdullah, Julai tahun lalu.

Ceritera ‘cinta’ mereka terus berlegar, bagaikan tiada berkesudahan selagi Maya, 31 dan Remy, 28, belum menemui belahan jiwa masing-masing.

“Cerita ini tidak pernah habis dan akan ada saja yang diperkatakan,” ungkap Remy sedaya mungkin cuba meletakkan noktah daripada terus berbicara soal hati.

Pertemuan petang itu memperlihatkan sikap gentleman dan perasaan hormat yang tinggi dimiliki empunya nama lengkap, Mohd Zalimie Ishak itu terhadap wanita yang sedang didampinginya itu.

Remy tidak kekok memimpin tangan Maya membantu wanita itu mencari posisi selesa untuk mencantikkan sesi fotografi bersama B*POP kali ini. Santai, spontan dan bersahaja, barangkali keserasian yang bertitik tolak daripada pementasan Natrah disusuli Cun mendorong khalayak pantas membuat kesimpulan ada sesuatu antara mereka.
“Seandainya perkara itu berlaku, penonton pula percaya wujud cinta antara kami berdua itu bermakna kami berjaya melunaskan tanggungjawab yang diberikan pengarah,” kata Remy meleraikan segala tanda tanya.

Pertama kali dipertemukan di set Anak Halal, juga arahan Osman, Remy tidak menafikan dirinya berasa kerdil apabila menjadi pilihan untuk membawa watak utama sebagai Atan dalam Cun.

Ketika penggambaran filem itu dilakukan, Remy masih bergelut mencari tapak dalam industri hiburan sedangkan nama Maya sedang meniti di puncak.

“Saya gusar dan kurang yakin tetapi Maya cuba mencipta suasana untuk membuatkan saya selesa dengannya. Alhamdulillah, sebelum ke lokasi Cun kami terlebih dulu dipertemukan dalam Natrah. Hampir seminggu kami berusaha dan cuba mencari semula keserasian yang pernah hadir ketika di pementasan Natrah. Mujur tembok halangan itu akhirnya runtuh dan kerjasama kami dipermudahkan,” katanya.

Memainkan watak Atan, pemuda yang membesar dalam suasana kampung dan dikelilingi sawah padi begitu dekat di hati Remy.

Sementara itu, Maya pula diberikan peranan sebagai Luna Latisha seorang selebriti yang cuba berdamai dengan dirinya selepas dicurangi oleh kekasihnya.

Cun sebenarnya membawa khalayak untuk merujuk persamaan latar dengan realiti hidup yang pernah mereka berdua lalui.

Umum mengetahui Remy ialah seorang pemuda kampung yang menyahut cabaran berhijrah ke ibu kota untuk memenuhi cita-citanya.

Maya pula berdepan detik duka apabila rumah tangga dibina pada Ogos 2008 di Itali musnah ketika namanya sedang meniti puncak.

Bagaimana Maya jika takdir menemukannya dengan jejaka kampung seperti Atan? Sengaja soalan itu diajukan untuk memancing Maya menghuraikan kriteria lelaki idamannya.

“Saya tidak menilai seseorang berdasarkan latar belakang hidupnya. Memadai jika dia seorang lelaki yang bijak dan berwawasan, itu sudah membuat saya tertarik untuk mendekatinya,” jelas Maya.

Finalis Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 juga berharap masyarakat lebih adil menilai siapa dirinya.
Maya selesa masyarakat melihat keintimannya dengan Remy dari sudut profesional kerana menghormati semangat positif jejaka itu untuk membina namanya.

“Saya kagum dengan kebijaksanaan serta kesungguhan Remy. Dia bekerja keras untuk berada pada tahap ini, malah sifat serius Remy turut menyalur aura positif apabila berada di lokasi penggambaran. Berikan ruang kepada Remy untuk bernafas dan mencipta nama tanpa kontroversi kerana dia seorang aktor yang hebat, bahkan turut memacu kami untuk mempunyai semangat sepertinya,” kata Maya.

Berat badan Remy makin susut

MELIHAT susuk tubuhnya yang sedikit cengkung, lantas terdetik soalan apakah kerana terlalu bekerja keras hingga Remy Ishak mengabaikan kesihatan?

Remy yang baru menyempurnakan penggambaran filem Barajiwa menolak tanggapan itu kerana semua yang dilakukannya bersebab.

“Saya menurunkan berat badan atas tuntutan watak. Dulu saya bebas makan hingga berat badan meningkat 73 kilogram. Berat itu membuatkan saya nampak kurang cantik di kaca televisyen. Saya berusaha mengawal pemakanan dan dalam kesibukan, saya mencuri masa untuk bersenam di gimnasium. Alhamdulillah usaha itu berhasil dan saya kini mendapat berat badan ideal iaitu 70 kilogram,” katanya.

Memilih lakonan sebagai karier menuntut Remy supaya serius dan komited dalam setiap apa yang dilakukannya. Paling dielakkan menerima dua tawaran serentak kerana Remy bimbang tidak mampu memberikan tumpuan padu. Dia juga tidak pernah takut menolak tawaran yang datang jika memikirkan peranan diberikan mempunyai persamaan dengan karakter pernah dilakonkannya.

Bagi aktor yang bakal muncul menerusi filem Nur Kasih The Movie pada 19 Mei ini, dia berlakon bukan semata-mata mengejar wang atau populariti sebaliknya minat yang semakin kuat etrhadap kerjaya seni itu.

“Saya mahu penonton melihat kepelbagaian saya dalam kerja lakonan. Untuk apa saya menerima semua tawaran tetapi setiap watak cuma menampakkan saya dengan peranan stereotaip. Penonton membayar untuk menonton lakonan saya, jadi saya tidak boleh cepat berasa puas. Setiap masa saya akan menilai semula persembahan lakonan sendiri dan mencari jalan untuk memperbaiki dan tidak mengulangi kesilapan serupa,” katanya.

Info Remy

•Sebelum bergelar pelakon, pernah melakukan pelbagai kerja seperti menjual ikan dan ayam di pasar pagi, selain menoreh getah dan buruh kasar.

•Pada 2005, Osman Ali merancang menerbitkan filem cereka pertamanya berjudul Akuarium Cinta. Remy terpilih tetapi filem itu gagal disiapkan menyebabkan Remy kecewa.

•Pada 2006, Osman yang diberi peluang mengarahkan filem komersil keduanya, Anak Halal menawarkan Remy watak kecil.

•Pada awal kemunculan Remy sudah terpalit kontroversi apabila membintangi filem pendek eskperimental mengenai homoseksual, Comolot. * Namanya melonjak naik menerusi drama bersiri Nur Kasih yang mendapat sambutan luar biasa.

•Pernah dilaporkan bercinta dengan pelakon, Umi Nazeera bagaimanapun hubungan mereka tidak kekal lama.

•Dilanda kontroversi lantaran sikapnya yang kurang mesra media.

•Remy dilaporkan dipukul sekumpulan tujuh lelaki di Istana Budaya pada 4 Disember 2009, malam pementasan teater Natrah.

Info Maya

•Maya Karin kini sibuk menyempurnakan rakaman album terbarunya, mengingatkan peminat pada bidang seni lain diceburinya iaitu nyanyian.

•Pernah melahirkan dua album, Erti Cinta pada 2002 diikuti Bukan Qalamaya pada 2004.

•Mula dikenali menerusi tugas pengacara program, Wavelength pada 2000.

•Anugerah pertama diraihnya, Artis Baru Wanita Popular pada ABPBH 2001.

•Lakonannya dalam Pontianak Harum Sundal Malam menghadiahkannya trofi Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun.

•Pernah menerima trofi Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2005.

•Selepas Cun, filem terbarunya yang bakal menyusul berjudul Ombak Rindu.

•Pernah berkahwin dengan pemuda Inggeris, Muhammad Ali Abdullah @ Steven David Shorthose pada Ogos 2008 dan bercerai pada Julai 2010.

Fouziah Gous Pernah Mahu Bersara


KALAU diikutkan, pembabitan aktres Fouziah Gous dalam dunia hiburan tanah air bukan baru setahun dua.

Mula menapak sebagai model pada sekitar 2006, wanita berketurunan Pakistan, Melayu dan Cina ini diperkenalkan ke dunia lakonan menerusi pengarah dan pensyarah Prof Madya A. Razak Mohaideen.

Kini selepas hampir enam tahun bergelumang dalam arena glamor ini, jenama Fouziah hakikatnya tidaklah segah mana. Memang dia dikenali tetapi tidak sensasi seperti segelintir aktres lain.

Bahkan, lebih ramai pendatang baru yang jauh lebih popular daripada bekas pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini. Apabila menyentuh isu itu, memang tidak dinafikan antara puncanya adalah kerana Fouziah kurang dicemari kontroversi.

Turut diakui empunya badan, dia memang jarang dikaitkan dengan gosip atau cerita-cerita nakal.

Paling heboh diperkatakan pun setakat ini adalah keintimannya dengan aktor Iqram Dinzly. Itu pun, palitan tersebut tidaklah sehangat mana jika dibandingkan kontroversi yang melanda rakan-rakan artis seangkatannya.

Mengulas perkara itu, Fouziah yang ditemui dalam sesi fotografi bersama OopStarz! baru-baru ini berkata: “Bagi saya, tidak guna kalau kita hanya popular dan glamor tetapi kerjaya tidak kukuh.

“Apa yang lebih penting adalah tawaran lakonan itu berterusan dan sekali gus ia dapat mengukuhkan kewangan dan simpanan masa depan.

“Kalau hendak mengejar populariti pun, biarlah orang nampak dan memperakui kerja kita agar kedua-duanya seiring.”

Berlakon hanya untuk wang

Terang Fouziah, antara faktor penyumbang yang membuatkannya ‘dingin’ daripada palitan kisah sensasi adalah bertitik-tolak daripada keraguannya sendiri terhadap cabang seni yang dipilihnya itu.

“Sebenarnya, jiwa saya mulanya bukan pada lakonan. Saya cintakan bidang peragaan dan suka bergambar. Jujurnya, pada permulaan kerjaya, saya hanya berlakon untuk mendapatkan wang.

“Sebab itu, saya tidak kisah pun soal popular atau kontroversi. Apa yang saya utamakan adalah mendapat pelbagai tawaran berlakon,” katanya.

Dek kepuasan minimum itu, Fouziah pernah terfikir untuk berundur diri.“Pernah sampai satu tahap, saya terfikir untuk tidak mahu berlakon lagi kerana tidak puas dengan apa yang dilakukan.

“Namun, sokongan dan kepercayaan peminat dan pihak-pihak tertentu terhadap potensi saya membuatkan saya semakin mencintai dunia lakonan,” katanya.

Hari ini, Fouziah mengakui semakin obses dengan periuk nasinya itu dan mahu terus memperbaiki dan mendalami bidang yang dipilih.

“Lakonan kini sudah menjadi sebahagian hidup saya. Saya mula merasakan betapa saya sayang pada bidang seni sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Saya sedar terlalu banyak perkara yang perlu diperbaiki dan dalami. Oleh itu, saya teringin untuk bekerja dengan lebih ramai pelakon dan pengarah berkaliber untuk menjadi pelakon berwibawa pada masa akan datang,” katanya.

Iqram bagai adik

Diusik pula tentang lelaki yang dikaitkan dengannya iaitu aktor Iqram Dinzly, Fouziah berkata keakraban dan keserasian mereka menyukarkan rasa cinta untuk bertandang.

“Sebenarnya, lebih dalam kita mengenali seseorang itu lebih sukar untuk perasaan cinta terbit. Dalam kes saya dan Iqram, kami terlalu rapat seperti adik-beradik.

“Kami banyak persamaan dan tahu kelebihan serta kekurangan masing-masing, jadi tidak mungkin boleh bercinta pula.

“Tapi memandangkan ramai sudah melabelkan kami bercinta, jadi tidak mengapalah kami layankan sahaja walaupun itu tidak berlaku,” katanya.

Katanya lagi: “Memang Iqram seorang lelaki yang baik pekerti dan selepas beberapa tahun mengenalinya, saya memang cukup selesa dengan keikhlasannya.

“Namun, ada kalanya dia sangat manja. Malah, saya sudah anggapnya seperti adik sendiri. Tak mungkinlah saya hendak bercinta dengan lelaki yang sudah dianggap seperti saudara sendiri,” katanya.

Sambung Fouziah yang masih solo, jika dia mencari lelaki, sebolehnya biarlah lelaki itu boleh mengawal serta membimbingnya.

“Memang saya berjumpa ramai lelaki tetapi untuk mencari seseorang yang boleh dijadikan teman dan calon suami bukan perkara mudah.

“Sehingga hari ini masih belum ada lelaki yang benar-benar memikat hati saya. Saya percaya ia akan menyusul apabila tiba waktunya.

“Buat masa ini, lebih baik saya tumpukan perhatian pada kerjaya yang kian berkembang,” katanya yang baru menyambung kontrak bersama produk kecantikan Alaisyah.

Menyingkap aktiviti terbarunya, Fouziah kini terikat dengan penggambaran drama bersiri Kala Terbit Cinta untuk saluran TV Al-Hijrah.

Selain menunggu tayangan filem Rasuk menjelang 23 Jun depan, wajah Fouziah kini boleh ditonton dalam drama seram Mantera Anjasmoro pada setiap Khamis pukul 9.30 malam di TV3.

Zul Huzaimy, Isteri Cerai Talak Dua


PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon popular Zul Huzaimy, 33, Nor Dalilah Muhammad, 29 mengesahkan mereka sudah bercerai talak dua dan didaftarkan pada 1 Julai 2010 di Mahkamah Rendah Syariah Kajang.

Menurut Dalilah sebelum itu, mereka pernah mengalami konflik pada hujung tahun 2009 dan masing-masing telah menetapkan syarat untuk berbaik semula selepas kejadian berkenaan.

"Memang selepas itu Zul banyak berubah dan dia tidak seperti dahulu. Malah selepas penceraian tersebut, Zul berhasrat untuk merujuk semula dan merancang ingin melangsungkan perkahwinan secara rasmi.

"Bagaimanapun, mungkin kami tidak ada jodoh, perancangan itu tidak menjadi dan kami berpisah secara baik. Anak kami, Awal Haziq, 5, pun dah faham dengan keadaan yang berlaku," katanya yang dihubungi mStar Online, Ahad.

Tambah Dalilah, walaupun umum tidak tahu tentang hal penceraian mereka, rakan-rakan terdekat serta keluarganya sudah pun mengetahui hal tersebut.

Berikutan penceraian itu kata Dalilah mereka tidak berhasrat membuat sebarang tuntutan hak penjagaan anak mahupun harta sepencarian kerana kedua-dua mereka sudah bersetuju menyelesaikan masalah berkenaan bersama.

"Kami tak mahu membawa isu hak penjagaan anak dan pembahagian harta sehingga ke mahkamah kerana ia akan jadi lebih rumit. Tentang nafkah pula, saya tidak kisah jika Zul mahu beri ataupun tidak.

"Rumah yang diduduki kami sebelum ini pula berkemungkinan akan dijual," tuturnya.

Ditanya adakah kemungkinan mereka akan berbaik semula Dalilah memberitahu tidak akan berbuat demikian kerana mereka mahu membawa haluan sendiri.

"Kami dah tidak ada kaitan suami isteri lagi dan hanya akan bercakap tentang hal anak sahaja.

Lagipun saya ada dengar cerita yang dia sudah pun ada seseorang. Apa pun, saya mendoakan kebahagian diri serta kerjayanya," ujar Dalilah.

Sementara itu, Zul gagal dihubungi mStar untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya tentang penceraiannya itu.

Gosip keretakan rumah tangga Zul Huzaimy sudah kedengaran sejak tahun lalu tapi pelakon itu enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata ia adalah kisah peribadi yang tak perlu dihebohkan.

Saya tidak pernah menangis - Erra


SEPUTAR daripada 360 darjah sudut hidupnya, Erra Fazira barangkali masih berbaki satu pertiga nafas lelah yang harus ditelan. Banyak yang telah dimuntahkan dan diperdagangkan sebagai publisiti mahupun promosi dan ketika bidang seni sudah satu kesinambungan buatnya, dia masih berdepan getir yang cukup hebat.

Mendapat jolokan primadona filem Melayu, bukan lagi soal kredibiliti kerjanya yang mahu diselongkar sebaliknya, wanita berstatus ibu dan isteri berusia 37 tahun harus gagah mempertahankan taufan sensasi yang bergulung tanpa henti ke pintu mahligainya.

Perkahwinan kedua bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin membenihkan Engku Aleesya. Mahligai mereka tidak henti-henti dibidik kontroversi. Pernah dikhabarkan goyah ekoran orang ketiga, baru-baru ini Erra sekali lagi dicucuk selumbar berbisa berikutan timbul pula khabar angin yang lebih dahsyat. Kali ini bukan 'main-main cinta' lagi tetapi suami yang dinikahi pada Oktober 2007 itu didakwa sudah mengahwini seorang lagi wanita.

Sensasi Bintang: Pernah merasa kecewa gara-gara rumah tangga asyik menjadi bahan sensasi?

ERRA FAZIRA: Saya sedikitpun tidak tergugat kerana saya tahu dakwaan itu tidak berasas. Saya rentan kerana terpaksa menjawab pertanyaan semua dan berdepan ucapan tahniah atas salah interpretasi sebuah artikel mengatakan bahawa saya hamil anak kedua. Mana-mana saya pergi soalan itu yang ditanyakan, masing-masing sibuk mengucapkan tahniah padahal saya tidak hamil. Saya cuma bersedia untuk hamil.

Khabar angin mendakwa Emran sudah bernikah lain tetapi kalau tiada angin bagaimana pokok bergoyang?

Dalam mana-mana rumah tangga pun mesti ada salah faham, itu bukan perkara mustahil dan perkara begitu juga berlaku dalam rumah tangga rakan-rakan artis. Mungkin orang boleh kata, saya mungkin tak tahu sebab suami kahwin sembunyi-sembunyi, tapi saya yang hari-hari tengok muka suami dan hari-hari juga dia pulang ke rumah, bila masa dia kahwin. Mungkinlah dia ada bergaul dengan kakitangan wanita di pejabat dan perkara itu disalah erti oleh mata-mata yang memandang.

Pernah menangis akibat isu yang tak sudah-sudah?

Tak pernah, buat apa nak membazirkan tenaga menangis tentang perkara yang tidak betul. Mungkin saya masih kuat berdepan semua ini dan saya belum merasa kesakitan yang digembar-gemburkan itu.

Perlukah Erra meyakinkan umum tentang kebahagiaan yang sedang dikecapi bersama Emran sekarang?

Rasanya tak perlu tapi respons yang saya terima kata, saya perlu berbuat begitu. Saya tetap percaya bahawa suatu hari nanti kebenaran akan disedari semua.

Apa reaksi Emran apabila didakwa sudah bernikah lain?

Sebenarnya, saya yang jadi penyampai berita kepadanya apabila ada gosip-gosip yang ditanyakan kepada saya. Kami tidak pernah ambil serius perkara itu, bercakap pun dalam nada berjenaka dan bergelak ketawa sahaja. Saya pernah usik Emran, 'kalau dia dah kahwin, saya akan dapat madu' dan Emran ketawa.

Merujuk kes fotografi sebuah majalah hiburan membabitkan Ziana Zain dan Ning Baizura yang dikecam hebat oleh editor majalah berkenaan. Kalian dilihat sebagai 'diva' yang tidak boleh menerima pendapat orang. Siapa bersalah dan Erra di pihak mana?

Saya yang berada di tempat kejadian dan situasi itu berlaku depan mata saya. Saya tidak boleh kata siapa betul atau siapa salah tapi moralnya, semua orang sama ada artis atau media, masing-masing kena hormat kerja masing-masing. Mustahil kami nak tabur pasir dalam periuk nasi sendiri dan itu bukan pertama kali kami buat fotografi.

Ada sebab kenapa Ziana tinggalkan studio fotografi tempoh hari, kalau dia tidak setuju dengan konsep fotografi itu, awal-awal lagi dia tolak ajakan itu. Saya dan Ning yang habiskan fotografi itu juga kena kutuk sampa tiga muka surat. Artikel itu sangat berat sebelah dan kami tidak dipanggil atau diajak berbincang. Nampak sangat apa yang tertulis adalah permainan emosi penulis berkenaan.

Tapi, sampai sekarang kami tidak tergugat, buat apa nak buat sidang media atau saman-menyaman, industri ini kecil. Perkara itu harus dilihat secara matang.

Penyakit selebriti dikatakan menyerang artis yang berstatus 'diva', komen Erra?

'Diva' ada dua maksud, 'diva' daripada pencapaian yang positif dan 'diva' yang dilihat dari sudut negatif. Ikut pengalaman saya, semakin tinggi pencapaian seseorang artis itu, semakin dia merendah diri dan semakin dia tahu menyayangi pencapaian yang dibina berbelas tahun yang sudah. Ada masanya artis yang baru melonjak naik yang lebih 'diva' perangainya berbanding artis yang sudah sukses. Artis yang terkena 'penyakit selebriti' mungkin ada tapi jangan cepat pukul rata, bagi saya itu justifikasi yang silap. Dan jangan salah guna perkataan 'diva' itu sesuka hati.

Bagaimana dengan kepanasan persaingan dalam Mentor?

Sekarang baru saya tahu, betapa sengitnya persaingan dalaman dalam program itu, ingatkan secara luaran sahaja.

Lebih baik diam – Jaclyn Victor


SERING ditujah dengan pertanyaan mengenai sejauh manakah benarnya kisah dia dan tunangnya sudah berpisah, penyanyi Jaclyn Victor hakikatnya sudah bosan untuk menjawab semua itu.

Lebih-lebih lagi, kata produk kelahiran program realiti Malaysian Idol musim pertama ini, dia dan tunangnya, Chris Bellamy masih lagi bersama meski yang seorang tinggal di sini dan yang seorang lagi tinggal di United Kingdom (UK).

Entah dari mana munculnya cerita sebegini sehinggakan kata wanita yang mesra disapa Jac ini, dia sendiri merasa hairan kerana dia masih lagi berstatus tunangan orang sejak lima tahun lalu.

Malah, bagaikan tiada noktahnya, isu ini nampak seperti tidak mahu berhenti meski ia dianggap sudah lapuk.

Lebih suka mengambil sikap berdiam diri, kata wanita berusia 33 tahun ini lagi, dia mengaku tidak begitu gemar untuk mencanang kisah peribadinya kepada umum walau tahu kalau sudah menjadi orang popular, ia adalah sebahagian daripada harga yang terpaksa dibayar.

“Hadirnya saya dalam industri hiburan adalah dengan tujuan yang satu, untuk menunjukkan bakat nyanyian saya.

“Ya, saya terima jika ia datangnya dengan pakej glamor, jadual yang padat, waktu kerja yang tak menentu termasuk dicuit dengan gosip-gosip sebegini.

“Tetapi kadang-kadang kita kena tahu tak semua benda harus saya canangkan pada semua. Sebab itu kalau ada perkara yang tak patut saya bagi kenyataan maka saya tak buat.

“Bukan apa, takut juga kalau-kalau tindakan saya itu akan mengeruhkan keadaan,” katanya.

Ditanya mengapa selama ini tidak tampil sendiri memberitahu perkara sebenar, Jac memberi alasan ini kerana dia bukan tergolong dalam kalangan artis yang suka mencari publisiti murahan.

Jelas Jac, selagi tiada wartawan yang datang meminta kenyataan kepadanya maka jangan sesekali mengharapkan dia untuk bertemu dengan pihak media semata-mata mahu menyatakan kebenaran meski tahu di Internet isu perpisahannya dengan Bellamy menjadi bualan hangat.

Malah, dalam spontan, Jac memberitahu, dia akan berasa lebih tenang jika dia tidak ‘menyaksikan’ sendiri perbualan, kutukan atau cercaan yang dikongsi di ruang forum atau blog-blog tertentu agar emosinya tidak terganggu.

“Jujurnya, kalau tanya apa yang saya akan buat, saya lebih suka untuk tidak menghadap benda-benda sebegini. Ya, saya tahu mereka sedang bercakap-cakap pasal saya di Internet.

“Hampir tujuh tahun saya berada dalam industri. Bohonglah jika saya cakap saya tak pernah digosip dan sebagainya.

“Masa saya menang Malaysian Idol dulu pun, ada pihak yang tak berpuas hati dan mengata saya di Internet.

“Itu pengajaran pertama saya dan sekarang saya yakin saya kuat menghadapi dugaan meski jauh di sudut hati tentulah saya kurang senang dengan pelbagai tuduhan negatif yang dilemparkan,” katanya.

Mengaku kecewa

Sejak melangkah keluar dari dunia program realiti, difahamkan Jac pernah menanam hasrat untuk terbit menemui peminat menerusi album Inggeris selain bahasa Melayu.

Pun begitu, setelah hampir tujuh tahun, hasratnya itu seolah-olah cuma tinggal angan-angan sahaja. Apa sudah jadi ni Jac?

Walhal, di kalangan peminat ramai yang masih menanti wanita suara bernada tinggi ini untuk muncul dengan album Inggeris.

Meski pernah muncul dengan Single berjudul Dream, jelas Jac, ia bagaimanapun masih belum memberikan kepuasan total buat dirinya.

“Jujurnya, kecewa itu ada tetapi saya fikir panjang mengenai hal ini. Kenapa saya mahukan album Inggeris? Bukan sebab saya sudah bosan nak menyanyi lagu Melayu. Tidak.

“Ini adalah impian saya. Rasanya tak salah kalau saya tampil buat kelainan dengan menghasilkan album Inggeris. Semasa saya menyanyi di kelab pun saya bawa lagu Inggeris.

“Namun ini bukan kerja mudah dan bukan satu kerja suka-suka. Saya percaya rezeki untuk itu datang lambat kerana ada ‘hadiah’ yang lebih besar Tuhan mahu berikan pada saya.

“Macam yang saya katakan, nak buat muzik dan album yang bagus kenalah bersabar dan ambil masa sebab saya pun tak nak hasilnya nanti ada cacat celanya. Tunggulah kalau ada nanti saya pasti akan beritahu, ” ujar anak sulung daripada tiga beradik ini.

Dalam pada itu, Jac yang bakal terlibat dalam Konsert West End Stars pada 15 dan 16 April ini di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur telah menyatakan kesediaannya untuk persembahan selama dua hari itu.

Menurut Jac, konsert yang diterbitkan oleh Enfiniti Vision Media (EVM) (yang turut menerbitkan filem Puteri Gunung Ledang dan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang serta Teater Muzikal P.Ramlee) akan menyaksikan kemunculan Jac sebagai penyanyi jemputan.

Kata Jac, sebanyak tiga buah lagu akan dipersembahkan pada konsert itu dan ia termasuk All I Asked Of You, Puncak Tertinggi (duet dengan Stephan Rahman) dan Somewhere.

Amat berbangga kerana dipilih oleh Presiden EVM, Tiara Jaquelina, jelas Jac, dia yakin mampu memberikan yang terbaik dalam konsert itu meski menjalani latihan tanpa penglibatan Simon Bailey, Ramin Karimloo dan Stephen.

Kenapa Erma dirai begini?


BERTUAH betul mereka yang bergelar artis popular dan memiliki ramai rakan-rakan baik. Sambutan hari jadi pun dirai secara mengejut sebagai tanda sayang kepada artis tersebut. Contohnya, baru-baru ini majlis hari jadi penuh kejutan diadakan untuk pengarah dan pelakon popular, Erma Fatima.

Majlis itu turut dihadiri oleh tetamu kenamaan seperti Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan dan produser drama bercorak Islam di TV AlHijrah, Kala Terbit Cinta, Zaiton Mohd Jiwa.

Namun apabila gambar-gambar sekitar majlis itu tersebar di Internet, banyak yang tepuk dahi. Masya-allah kata mereka. Macam ada yang tidak kena dengan majlis itu, walaupun suasananya meriah, glamor dan penuh kemilau.

Antara segmen yang dianggap menghina imej Erma Fatimah yang Islamik ialah tarian berunsur lucah oleh golongan maknyah. Penampilan maknyah dengan tarian itu cukup memalukan apabila ada antara mereka hanya memakai G-String, bikini, berseluar dalam selain berpakaian sangat jarang.

Lebih menjengkelkan apabila terdapat seorang maknyah seolah-olah mempersenda agama Islam apabila dia yang bertindak sebagai pengacara majlis memakai tudung tetapi berbaju ketat. Apa perlunya maknyah memakai tudung kalau bukan mempersendakan wanita-wanita Islam?

Siapa yang tidak kenal Erma Fatima? Pelakon dan pengarah yang semakin giat dengan aktiviti yang menjurus ke arah keagamaan menerusi drama dan teater.

Sesuaikah menampilkan persembahan lucah oleh maknyah kepada Erma dan tetamu yang hadir? Selain memakai G-String, tindakan penari maknyah yang menonggeng punggung ke arah tetamu sangat biadap.

Apa yang pasti, penganjuran majlis tersebut bertentangan sama sekali dengan imej Erma yang memperjuangkan karya berunsurkan Islam di negara ini. Tahun lalu, Erma mementaskan muzikal Antara... sempena menyambut Maulidur Rasul. Erma juga pernah tampil dengan teater muzikal Sirah Junjungan dan dia meneruskan dakwahnya menerusi musim kedua Sirah Junjungan yang diberi nama Tahajud Cinta.

Menerusi teater Natrah pula akhir tahun lalu, Erma puas bertungkus lumus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan teater itu mempunyai elemen merosakkan akidah.

Bertentangan

Drama Tersasar Di Jalanmu membuktikan dirinya sebagai Pengarah Terbaik Drama dalam Anugerah Skrin 2009 (ASK2009). Namun majlis hari jadi itu sama sekali bertentangan dengan apa yang Erma perjuangkan selama ini dan ini sepatutnya dilakukan kepada Erma.

Jika ingin juga menampilkan golongan maknyah, kenapa tidak menyaran mereka muncul dengan sopan dengan menerusi tarian berjoget, zapin atau pun setidak-tidaknya berkoir.

Barangkali ada masih menyokong persembahan lucah itu dengan berpendapat diadakan di lokasi tertutup dan dianggap “majlis persendirian”. Namun dengan kehadiran ramai tetamu yang pelbagai umur dan status, apakah persembahan itu perlu “dihalalkan”?

Dalam pada itu timbul persoalan kenapa Erma tidak meninggalkan majlis yang bertentangan dengan “dakwah”nya selama ini? Erma wajar menjauhkan diri daripada disekutukan dengan majlis yang boleh menjatuhkan imejnya.

Adakah Erma tidak berani membuat keputusan yang mengguriskan hati penganjur dan mengorbankan prinsip seperti dalam karya-karyanya? Adakah Erma sanggup meletakkan dirinya setaraf dengan majlis berunsur lucah itu? Rasanya biarlah hati penganjur terguris asalkan masyarakat percaya bahawa Erma benar-benar mengajak orang menuju kebaikan. Erma kena berdakwah terlebih dulu kepada orang-orang yang dekat dengannya seperti penganjur majlis ini sebelum berdakwah kepada masyarakat.

Terima kasihlah tegur saya - Lisa Surihani


NAMA pelakon Lisa Surihani disebut lagi. Kali ini bukan disebabkan kemenangan di mana-mana festival. Tetapi dikaitkan dengan perubahan sikap apabila dilihat seperti melanggar prinsipnya yang “tak mahu seksi” yang dipertahankan selama ini. Beberapa keping gambar Lisa memakai baju mendedahkan bahu dan spaghetti strap yang tersiar menjadi bahan bukti.

Sedikit sebanyak telah menggugat kepercayaan segelintir peminat seni tempatan terhadap diri Lisa yang disangka memiliki personaliti sopan, baik dan beradab.

Luahan rasa tidak puas hati itu juga dilayangkan dan memenuhi peti e-mel Pancaindera baru-baru ini. Masyarakat sekarang cukup sensitif dalam bab-bab berpakaian. Tambahan pula ada segelintir artis wanita yang “berani mati” menayang badan atau berkemban di tempat awam tanpa segan silu. Lisa yang cukup ikonik untuk dijadikan ikutan buat golongan muda turut mendapat tempias yang sama secara tak langsung.

Sungguh pun begitu, wanita yang baru menyambut ulang tahun ke-25 pada 23 Mac lalu ini cukup tenang tatkala persoalan tersebut dibangkitkan.

“Tiada apa-apa yang boleh saya komen tentang perkara tersebut. Saya tak ambil berat sedikit pun soal seksi. Tak sangka pula ada orang lain yang begitu sensitif tentang perkara ini,” reaksi awalnya menyentuh secara dasar isu berkenaan.

Lisa mengakui bahawa gambar yang mendedahkan bahu tersebut dirakam sekitar tahun 2009. Waktu itu dia baru pulang ke tanah air, selepas tamat pengajian undang-undang di University of Aberystwyth Wales, United Kingdom (UK).

Apa yang penting sekarang, dia perlu mengambil langkah teliti. Dia perlu bersikap berhati-hati memilih sebarang pakaian, tak kiralah sama ada untuk fotografi atau acara keramaian.

“Kali ini saya perlu menitik beratkan pakaian, kena jadi pemilih sedikit. Saya tak boleh pakai baju yang terlalu terdedah. Saya tak mahu kembali mengulangi cara pakaian sebegitu sebab tak nak perkara yang sama diperkatakan lagi,” katanya jujur.

Anak kedua dari empat beradik ini juga mengakui bahawa dia rasa lebih selesa dengan cara pemakaiannya sekarang iaitu lebih ringkas dan sederhana.

Dalam pada itu, Lisa menegaskan bahawa dia tidak akan prejudis terhadap wanita lain yang berpakaian seksi.

“Tak semestinya wanita berpakaian singkat dan tipis itu seksi. Ada juga yang litup seluruh badan kelihatan seksi. Pun begitu, ia bergantung kepada cara penerimaan masing-masing.

“Sebab itu kalau ada orang lain berpakaian terdedah, saya tak akan cepat menghukum individu berkenaan dengan tanggapan negatif. Itu tidak adil sebenarnya,” kata Lisa tentang persoalan etika pakaian sesetengah wanita masa kini.

Intim di ranjang

Satu lagi isu hangat melanda pelakon ini apabila kesanggupannya melakonkan adegan ranjang dalam filem Ombak Rindu. Dalam bahasa mudah adegan ranjang adalah adegan seks yang terlindung tetapi membawa konotasi seks.

Berlakon adegan ranjang bersama Aaron Aziz itu menjadi isu besar buat pelakon wanita berstatus bujang sepertinya.

Tatkala persoalan itu dilontarkan, Lisa berkata, dia cukup peka dengan budaya masyarakat tempatan yang sangat sensitif dengan adegan ranjang dan berpelukan dan berciuman.

“Sebenarnya, saya seorang yang cukup mendambakan evolusi dalam memastikan mutu lakonan sendiri. Perlu ada pengembangan dan peningkatan tersendiri. Takkan nak berlakon di takuk yang lama bukan?

“Namun begitu, andai saya menerima watak ‘daring’, tak bermakna saya telah mencemarkan maruah saya dalam bidang lakonan.”

Kenyataan Lisa ini sebenarnya sangat mengejutkan kerana dia mewajarkan apa saja perlakuan demi lakonan. Tetapi hakikatnya itulah kefahaman Lisa mengenai lakonan.

“ Ombak Rindu belum ditayangkan lagi. Tonton dahulu adakah saya keterlaluan atau tidak. Janganlah disebabkan persetujuan saya melakonkan babak ranjang, orang dah mula salah faham terhadap saya,” katanya lagi tanpa rasa bersalah.

Sementara itu dia menafikan menjadi Wajah Eksklusif Astro tidak merimaskan.

“Saya banyak berbincang dengan mummy (Siti Amira Ahmad) dan pengarah tentang apa yang penting atau tidak untuk satu-satu adegan itu.

“Kadang kala ada orang cakap, Lisa itu Lisa ini, tapi percayalah. Saya ada pendirian sendiri. Namun begitu, saya tetap hormati pendapat yang tak gemar dengan lakonan saya.

“Apa juga maklum balas yang saya terima, saya serap agar mudah untuk saya faham gaya pemikiran masyarakat hari ini untuk masa depan,” jelasnya panjang lebar.

Gosip tak jejas impian

Saat diajukan persoalan sama ada hati Lisa tak tersentuh dengan komen negatif sesetengah pihak, dia berkata tidak menjejaskan.

Baginya, perjalanan karier seninya baru bermula. Justeru, Lisa perlu banyak belajar, bergaul dengan penggerak industri seni bagi mengenali kehendak mereka untuk memantapkan karya seni tempatan.

Memang itu bukan satu perkara yang mudah dan Lisa bersedia untuk berkorban “apa sahaja” untuk membina “legasi” sendiri. Biarpun sudah membintangi 13 filem , namun Lisa akui dia masih belum puas dengan mutu lakonannya.

“Saya perlukan lebih banyak pandangan yang dapat memantapkan lakonan saya. Tak kiralah dari mana-mana pihak, asalkan komen tersebut dapat membantu, saya terima. Kalau mana perkara yang kurang baik, saya tolak ke tepi,” jelasnya lagi.

Rancangan masa depan

Menyentuh topik rancangan masa depan, anak kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu tentang program Power yang disertainya baru-baru ini. Program yang ditubuhkan di bawah Bank Negara menerusi Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) itu sememangnya banyak faedah kepada generasi muda sepertinya.

Tujuan ditubuhkan untuk mendedahkan cara pengendalian wang ringgit, pembelian aset termasuk rumah dan kereta serta kad kredit itu amat bermakna buat dirinya setakat ini.

Antara artis yang turut sama terlibat adalah Jaclyn Victor, Sazzy Falak, Aishah Sinclair, Liyana Jasmay, Farish Aziz, Dynas Mokhtar, Aizat Amdan dan Yasmin Hani. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web http://www.lvg.com.my/power/.

Sakit ditikam belakang - Ogy


MENYIFATKAN perjalanannya dalam seni sepanjang 37 tahun banyak membantu dirinya ‘menggali’ hati budi orang di sekelilingnya. Ada yang memuja, mengeji, menghina, bahkan ada juga yang tidak menyokong karier seninya. Bagi pelakon Fauziah Ahmad Daud, di mata kasar dunia seni memang cukup gah dan glamor.

Tapi kalau diselami akan dapat merasai ranjau dan likunya. Justeru pemain seni perlu kuat semangat terutama saat berdepan dengan tohmahan dan kritikan yang membabitkan hasil kerja.

‘‘Saya lalui macam-macam episod suka dan duka. Bohonglah kalau saya cakap, saya tak pernah menangis sepanjang menjadi orang seni. Pada arwah mummy (Saadiah), saya luahkan seluruhnya. Tapi, apabila mummy sudah tiada, saya jadi lumpuh. Sebahagian semangat saya turut terbang sewaktu kehilangannya,’’ bicara awal Fauziah mengimbas kenangan bersama ibunya.

Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia pertama menerusi filem Ceritaku Ceritamu ini juga pantang melihat air mata ibunya.

Masih segar dalam ingatan Fauziah adalah dakwaan kurang bijak oleh rakan seperjuangannya dalam bidang seni.

Mereka mendakwa kebanyakan lakonan Fauziah keterlaluan. Individu yang dilihat cukup berjaya dalam menyampaikan falsafah hidupnya itu kerap kali mengganggu emosi ibu Fauziah.

‘‘Dia antara orang yang menyebabkan air mata ibu saya mengalir. Saya sendiri pun tak pernah berbuat sedemikian. Disebabkan terlalu pilu, saya dah memadamkan terus ingatan saya terhadap individu itu.

‘‘Tiada lagi dia dalam kamus hidup saya. Sebab dia tak pernah menyesal atas perbuatan dia. Saya tak tahu apa masalah dia. Berani dia dakwa saya pelakon berlebih-lebihan.

‘‘Tapi tahukah dia tentang kesan selepas kenyataannya diketahui umum. Saya dikata macam-macam oleh masyarakat. Tapi saya masih boleh bersabar.

‘‘Selepas itu, saya balas balik dakwaannya itu dengan mengatakan dia pelakon stereotaip, kemudiannya meminta maaf. Lepas itu, dia buat balik, cakap benda yang tak baik di belakang saya.

‘‘Perbuatan suka tikam dari belakang itu memang memeritkan. Dia gunakan saya sepenuh untuk kebaikan dia dan kemudiannya memburuk-burukkan saya’’ cerita Fauziah mengenai peristiwa hitam itu.

Arwah ibunya juga menyifatkan bahawa pelakon dan penerbit filem berkenaan tidak jujur menjalinkan persahabatan dengan Fauziah. Jadi, lebih baik Fauziah menjauhkan diri apatah lagi, sifat lahiriahnya tidak gemar bermusuh.

‘‘Saya tak boleh jadi hipokrit sebab itu bukan cara saya. Umpamanya kalau ada sebiji berlian, di dalam lumpur akan tetap bercahaya. Saya sesal kerana dakwaan itu mengaitkan mummy kerana dia paling banyak menggali potensi diri saya dalam bidang seni terutama lakonan,’’ katanya lagi.

Bagaimanapun, ada hikmah di sebalik peristiwa tersebut. Fauziah bersyukur kerana sehingga hari ini masih ada pihak yang menghargai hasil kerjanya.

Semuanya berkat amanah dan wasiat daripada mummy dan arwah ayah, Datuk Ahmad Daud yang kerap mengingatkan tentang perjuangan orang seni yang tidak boleh bersandarkan minat semata-mata. Perlu disertai ilmu dan rajin bergaul dengan tenaga mahir untuk menimba pengetahuan lebih mendalam.

Diva & primadona

Fauziah juga menafikan bersikap diva di atas limpahan populariti dan kemantapan lakonan hasil didik kedua-dua ibu bapanya sejak kecil.

‘‘Sebelum itu, ingin diperjelaskan bahawa diva bermaksud penyanyi drama yang disertai nyanyian dan muzik. Begitu juga dengan perkataan primadona yang lebih kurang maksudnya. Kedua-dua perkataan itu kurang sesuai buat saya yang kerjanya berlakon ini. Saya tak suka orang memandang saya dengan dua panggilan itu.

‘‘Tapi, saya lebih selesa kalau orang menggelar saya pelakon ‘method in character’. Sebab, saya akan mengkaji sesuatu watak yang diberi hingga roh watak itu bersatu dalam diri saya. Bila mana kesakitan dalaman yang saya rasai lebih sakit dari hirisan luka di luaran,’’ jelasnya.

Mengenai dakwaan dia seorang yang garang, Fauziah berkata, bukan garang tapi tegas sebab ramai pelakon sekarang yang main-main di lokasi.

“Saya dengar ada orang seram bekerja dengan saya. Jangan takut sebab saya tak akan keluarkan kata-kata yang kurang enak,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Fauziah, dia pantang kalau pelakon itu datang ke lokasi tanpa membuat persiapan.

“Kepada orang macam ini sudah pasti saya akan bertindak tegas sebab dia telah membuang masa saya,’’ jelasnya.

Suka hati sayalah - David Teo


Isu bonus kepada kakitangan dan artis yang berlakon dalam filem terbitan MIG tak habis-habis orang masih bercakap lagi. Apa komen David?

Saya anggap isu bonus dah habis. Kenapa? Ada orang bercakap lagikah?.

Masih lagi berbunyi kerana ada yang kata bonus yang MIG bagi tak ikhlas. Betulkah?

Saya tidak tahu siapa yang cakap tu. Semua ni tak ada kena mengena dengan orang luar kerana yang dapat bonus orang dalam syarikat saya. Orang luar jangan masuk campur. Yang penting mereka yang dapat bonus berterima kasih dan bersyukur. Cara pembahagian bonus tu ikut suka hati saya. Shaheizy Sam pun dah buat penjelasan. Yang pelik, tuan badan tak bising orang luar yang bising.

Maksud David orang luar yang cemburu terlebih dengan pembahagian bonus oleh MIG?

Memang orang luar yang cemburu. Sepatutnya mereka datang jumpa saya untuk interviu kerja dengan MIG. Nanti saya akan bagi bonus juga kepada mereka. Hal bonus ni memang tak ada isu pun. Saya memang hairan. Orang yang tak dapat bonus cemburu mungkin kerana Shaheizy Sam dapat lebih atau sesiapa yang tak dapat dia untuk berlakon dalam filem mereka.

Jadi, dakwaan mengatakan bonus rumah semi-D dua tingkat tu tak ikhlas kerana Shaheizy sudah beli rumah tu sebenarnya dan MIG hanya langsai baki bayaran bulanan adalah tidak betul?

Itu saya tak pasti. Saya punya hal syarikat, orang luar jangan masuk campur. Cara pembayaran bonus, orang luar tak ada hak nak tanya. Ini yang saya tak faham kerana ia satu gosip aneh dan tak betul langsung.

Satu lagi, dakwaan bonus pemberian kereta rupa-rupanya MIG hanya bayar wang pendahuluan sahaja, macam mana pula?

Saya tak boleh buat apa kalau orang cakap macam tu. Selagi ada manusia di muka bumi, selagi tu fitnah tidak akan pupus. Saya beri bonus ikhlas, orang yang terima pun ikhlas cuma orang luar yang tak ikhlas. Yang penting saya ikhlas dengan Tuhan.

Memang tak betullah semua dakwaan tu?

Betul tak betul, tak penting. Polisi syarikat saya tak boleh dedah kepada orang ramai, pihak wartawan dan termasuk rakan-rakan saya. Saya pun tak akan tanya bonus awak dapat berapa? Malah saya tahu awak pun tak akan bagi tahu berapa gaji awak? Semua benda tu privasi dan saya tak boleh kongsi dengan orang ramai.

Ada juga yang kata David Teo ni kedekut di tahap gaban. Betulkah?

Awak gilakah? Saya tak boleh cakap saya bagus dan pemurah. Orang luar yang menilai saya. Saya kedekut tak penting. Saya tahu apa yang saya buat dengan syarikat saya dan tak perlu nak heboh dan menunjuk-nunjuk.

Ni berkaitan isu anak syarikat, MIG Talent yang menguruskan ramai artis sangat. Sampai 52 artis. Perlukah jumlah ramai macam tu?

Saya pegang prinsip bintang dicipta dan bukan dilahirkan. Ada yang datang dengan ibu bapa penuh ikhlas ke pejabat, saya tidak boleh menolak harapan mereka untuk jadi bintang. Saya bagi peluang setahun lebih kepada mereka, kalau gagal popular juga saya boleh lepaskan mereka.

Tapi ada yang merungut dan sudah menyesal pasal MIG ambil komisyen tinggi sangat iaitu 30: 70. Ada yang kata MIG nak buat duit dengan menjaga artis?

Sebelum sign kontrak dengan MIG Talent, kita dah briefing artis bersama ibu bapa dan peguam. Kita bagi mereka fikir masak-masak sebelum sign kontrak. Ini kerana mereka akan akan jadi rakan kongsi saya dan saya bagi pecahan saham sangat besar kepada mereka. Kalau mereka tak puas hati dengan kandungan kontrak, kita tak akan ambil mereka. Satu lagi saya nak ingat, saya buat duit dengan filem dan drama terbitan saya dan bukannya dengan menjaga artis. Saya hanya bagi peluang sahaja kepada mereka.

Dengar ramai nak keluar?

Bila-bila masa sahaja mereka boleh minta dilepaskan. Saya seorang yang terbuka dan boleh datang ke pejabat saya untuk berbincang. Cuma kalau yang pegang watak hero atau heroin kena tunggu sampai filem keluar di pawagam dulu. Yang pegang watak kecil, saya boleh lepaskan mereka. Tak payah cakap belakang, jumpa wartawan mengadu tak puas hati.

Dengarnya salah seorang yang dah keluar, Azad Jasmin? Ada bergaduhkah atau ada benda tak puas hati dengan MIG?

Kes Azad, dia sendiri yang minta dilepaskan apabila habis tanggung jawab dengan MIG. Saya tak boleh halang dia. Tapi dia belum ambil surat pelepasan lagi. Kita sudah telefon suruh datang ambil surat itu. Kalau dia ada benda yang tak puas hati, saya tak tahulah.

Macam mana dengan hubungan Ahmad Idham? Dengar macam ada masalah juga?

MIG dengan Ahmad Idham bekerjasama by project basis dan dia baru habis penggambaran dengan MIG menerusi filem, 8 Jam. Setakat ini, hati saya very open dengan semua orang dan selesa dengan siapa sahaja.

Soalan akhir, apa nasihat David kepada orang luar yang sibuk ambil tahu hal syarikat David?

Apa yang berlaku baru-baru ini bukan isu besar. Kepada semua orang luar termasuk wartawan boleh datang kerja dengan saya kalau nak bonus. Tak payahlah bersubahat dengan mereka yang tak puas hati dengan saya. Lagi baik bantu saya memajukan industri. Apa pun, saya sentiasa memaafkan orang yang fitnah saya dan datanglah interviu dan kerja di MIG kalau nak bonus.

Tak duduk serumah - Joey


BARU-baru ni ada orang menghubungi Syed bercerita hal pelakon yang cukup banyak dengan kontroversi. Macam-macam cerita kurang elok yang disampaikan oleh orang ni sampaikan hal yang tak patut didengar terkeluar juga.

Pemanggil ini yang beriya-iya menceritakan keburukan Watie mendakwa pelakon itu kini tinggal sebumbung dengan kekasihnya Joey. Biar betul!

Tak mahu mendengar cerita yang tak tentu sahih, Syed yang menghubungi Watie untuk mendapatkan penjelasan. Dia cukup terkejut dengan dakwaan tersebut menafikan hal tersebut.

“Kenapa sampai macam tu sekali orang nak cerita hal buruk pasal saya? Tak kan saya nak duduk serumah dengan Joey sedangkan di rumah saya itu ada adik dan orang gaji saya.

“Tak habis-habis orang nak jaja cerita buruk sedangkan semua yang diceritakan itu tak benar. Saya dah tak hairan dan malas sebenarnya nak dengar. Biarlah mereka nak bercakap,” jawab Watie.

Bila Syed tanya bila Watie nak mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya Joey, dia tidak mahu berselindung lagi.

“Memang kami merancang nak kahwin tahun ini. Tapi kalau boleh saya nak biar kes mahkamah (cerai) dia selesai dahulu barulah kami fikir tarikh yang sesuai.

“Dah jenuh orang berkata saya jadi punca walaupun sebenarnya tidak. Jadi biar buat apa yang patut sebelum kami bersatu. Rasanya itu lebih baik,” jelas Watie lagi.

Syed: Ada artis kena tipu dengan promoter. Apa cerita tu?

Belum giliran AC Mizal


DALAM ramai dok tunggu AC Mizal yang akan dikalungkan Datuk tahun ini, alih-alih M.Nasir dan Ramli MS yang dapat dulu.

Joyah cukup bangga dengan pencapaian mereka berdua. Memang layak pun bergelar Datuk M.Nasir dan Datuk Ramli MS kerana sumbangan mereka yang besar dalam industri muzik tanah air.

Nampaknya jasa anak seni di negara ini tidak pernah dilupakan apabila makin ramai yang mendapat pengiktirafan berbentuk darjah kebesaran daripada kerajaan.

Yang Joyah puji, M.Nasir dan Ramli MS tidak kecoh-kecoh pun nak dapat gelaran Datuk walaupun sudah menerima surat penganugerahan sejak sekian lama.

Mereka cool sa ja dan tak bercerita sangat dengan wartawan, buat macam tak ada apa-apa berlaku. Mungkin kerana tak mahu menunjuk-nunjuk sampailah tiba pada hari majlis istiadat penganugerahan pingat dan darjah kebesaran pada Rabu lalu..

Dalam pada itu, Joyah tercari-cari juga nama AC dalam senarai penganugerahan. Tak ada lagi rupanya walaupun bekas pengacara Akademi Fantasia musim lapan itu pernah kata akan menghadiri majlis penganugerahan pada akhir tahun lalu.

Selepas dirisik, belum tiba lagi giliran AC dan terserah kepada pihak istana untuk menetapkan tarikh majlis penganugerahan pada bila-bila masa.

Tak apa AC, lambat atau cepat kalau sudah dinamakan rezeki tak akan ke mana gelaran Datuk tu. Apa pun, esok-esok bila dah pasti dijemput menghadiri majlis penganugerahan tu, jangan lupa pula bagi tahu Joyah dan rakan-rakan lain.

Cuma yang Joyah dapat tahu, selagi belum dikalungkan gelaran Datuk tu, mana-mana individu tak layak membawa gelaran Datuk.

Soal rujuk, tak mahu komen – Saida


TIDAK ada mana-mana pasangan yang berkahwin dalam dunia ini menginginkan perpisahan, apatah lagi bila usia perkahwinan sudah menjangkau usia belasan tahun.

Namun bagi penyanyi manis yang juga kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Siti Norsaida atau Saida, 35, dia sudah nekad mahu bercerai dengan Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 40, yang telah menjadi suaminya suaminya selama 15 tahun itu.

Namun, tidakkah Saida ingin menjernihkan semula keadaan dengan mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan suaminya kerana khabarnya mereka masih tinggal sebumbung?

Malah, spekulasi bertebaran mengatakan Saida dan suami berkemungkinan rujuk kembali.

Sebelum ini, Mohd. Ghazali telah membuat kenyataan akhbar yang mendakwa dia dan Saida pernah cuba berbincang untuk menyelamatkan rumah tangga mereka itu, tetapi gagal kerana ketika itu masing-masing berada dalam keadaan marah dan emosi.

Dia juga menegaskan sudah cuba berbaik dengan Saida tetapi Saida tetap menyalahkan dirinya.

Dakwa Mohd. Ghazali lagi, pelbagai usaha telah dilakukannya untuk menyelamatkan rumah tangga mereka itu termasuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Namun katanya lagi, hanya dia sahaja yang berusaha ke arah itu, sedangkan Saida tetap keras hati enggan berdamai.

Sehungan itu, semasa bertemu dengan bekas peserta Akademi Fantasia 6 itu di majlis sidang akhbar teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an di Restoran Istana Bambu, Ampang, Selangor Khamis lalu, Saida sempat menjawab beberapa persoalan berhubung masalah yang melanda rumah tangganya.

Kosmo!: Bagaimana situasi rumah tangga Saida setakat ini?

Saida: Memang sudah tidak boleh hendak diselamatkan lagi. Jika lihat pada keadaan sebenar, itulah yang berlaku. Saya sedih dengan apa yang berlaku dan saya percaya setiap pasangan seboleh-bolehnya tidak mahu ini (cerai) berlaku dalam perkahwinan mereka.

Apa sebenarnya punca keretakan rumah tangga Saida?

Biarlah hanya saya dengan suami sahaja yang tahu apa masalah kami. Saya tidak mahu cakap atau komen secara berlebihan.

Mungkinkah disebabkan tempias populariti yang dikecapi oleh Saida?

Populariti bukan punca kepada masalah rumah tangga saya. Kebanyakan orang akan bercakap dalam industri hiburan itulah yang akan berlaku. Orang akan tetap bercakap dan tidak akan menutup mulut. Saya rasa semua orang yang telah berumah tangga akan mengalami masalah. Cuma apa yang penting, dalam setiap pasangan ada persefahaman.

Bagaimana pula dengan kehadiran pihak ketiga?

Tidak wujud orang ketiga antara kami. Baik di pihak dia mahu pun saya. Susah untuk saya komen lebih-lebih.

Betul ke masih tinggal serumah dengan suami? Bagaimana dengan anak-anak?

Ya, kami masih duduk sebumbung dan buat masa ini masih dalam perancangan untuk memberitahu anak-anak apa yang berlaku. Anak-anak pun seakan-akan mengerti dengan perubahan kami.

Mungkinkah akan rujuk semula?

Saya tidak mahu komen, nanti panjang cerita pula. Saya mahu cerai secara baik dan apa juga keadaan selepas ini, saya terima seadanya. Mengenai rujuk, saya tidak mahu kata apa-apa.

Bagaimana dengan jodoh selepas cerai?

Orang kata masa kita berpisah mungkin akan pelajari sesuatu dan kita sendiri tidak tahu. Buat masa ini, terserah dengan apa yang akan terjadi. Sebab itu orang

Ulam santapan wajib Maya


Bukan hanya solekan pada wajah mahupun pakaian yang membaluti tubuh, tetapi masyarakat juga mempunyai sifat ingin tahu apakah rejim serta rutin yang diamalkan oleh artis kesayangan mereka.

Salah seorang yang selalu menjadi perhatian ramai ialah aktres dan penyanyi jelita, Maya Karin yang memiliki kecantikan dan tidak terlepas menjadi mangsa cemburu kaum sejenisnya.

Sebagai seorang artis popular yang perlu kelihatan menawan di mata masyarakat, Maya cukup mengutamakan diet serta amalan pemakanan yang sihat.

Kerana itu, Maya yang berdarah kacukan Jerman-Melayu ini mengamalkan ulam-ulaman serta sayuran organik yang merupakan santapan wajibnya.

"Bagai tidak lengkap juadah harian saya terutama di waktu tengah hari seandainya tidak ada ulam dan sayur-sayuran.

"Begitu juga dengan amaun makanan yang cukup saya makan. Saya akan memastikan sukatan itu tidak melebihi daripada apa yang sepatutnya dan saya juga elakkan makanan bergoreng.

"Sekali-sekali, saya akan menikmati makanan segera mahupun manisan sekadar untuk menghilangkan rasa keinginan itu," kata pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke yang berusia 30 tahun ini lagi.

Bagi memastikan tahap kesihatannya sentiasa berada dalam keadaan terbaik, Maya mengakui dia banyak menghabiskan masa di gimnasium sekurang-kurangnya dua kali seminggu selama satu setengah jam.

Menyertai gimnasium kata Maya, banyak memberi kelebihan untuknya menyertai pelbagai aktiviti dan kelas senaman yang dianjurkan.

"Saya juga ada menyertai kelas yoga dan berbasikal tetapi jika masa mengizinkan. Paling tidak pun, setengah jam dan dalam tempoh itu, saya akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh," ujar Maya yang mula dikenali menerusi filem Seri Dewi Malam pada tahun 2001 ini lagi.

Untuk rutin kecantikan wajah pula, Maya menjelaskan sesibuk mana pun dirinya, dia akan memastikan wajahnya dibersihkan dua kali sehari iaitu pagi dan malam.

Sebagai duta L'Oreal, adalah menjadi keutamaan Maya untuk menggunakan produk kecantikan itu yang merangkumi pencuci, penyegar (toner) dan pelembap (moisturizer).

Wanita kelahiran Beyruth, Jerman ini juga memberitahu dia memang begitu selektif dalam memilih produk kecantikan memandangkan kulit wajahnya yang begitu sensitif.

"Selain itu, sebulan sekali saya akan menjalani rawatan muka selain mengamalkan pemakaian masker sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk mendapatkan kulit yang segar," kata Maya yang juga mengamalkan makanan tambahan, InnerShine Prune Plus.

Robert Pattinson Rimas Dengan Kanta Lekap ‘Twilight’


WASHINGTON: Bintang filem Twilight, Robert Pattinson mendedahkan perasaan bencinya terhadap kanta lekap yang terpaksa dipakai sejak terlibat dalam filem itu.

Dalam satu laporan, aktor itu dikatakan ingin membuang kanta tersebut sejauh yang mungkin sebaik sahaja penggambaran filem francais itu berakhir kelak.

Sejak Pattinson mula menggalas watak pontianak Edward Cullen, dia terpaksa menggunakan kanta lekap yang berwarna itu setiap hari.

Lebih memburukkan keadaan, dia terpaksa menggunakan bantuan jurumekap setiap kali hendak melekatkan kanta tersebut di matanya.

"Setiap kali hendak memulakan penggambaran, setiap orang terlibat dalam proses memasang kanta lekap itu kerana saya tidak boleh melakukannya sendiri.

"Dua orang jurumekap terpaksa memegang saya untuk memasang kanta tersebut. Ia adalah sesuatu yang memalukan kerana proses yang sama berulang setiap hari," katanya.

Farawahida Tidak 'Demand' Selepas Kontroversi


KUALA LUMPUR: Penyanyi Farawahida yang pernah dilanda kontroversi dengan komposer Julfekar dua tahun lalu lebih selesa bergerak secara solo dalam bidang seni dengan bantuan pengurus artis, Sariah Idris.

Malah penyanyi lagu Tanpamu ini mengaku tiada lagi istilah demand dalam kamus hidupnya berbanding ketika bernaung di bawah pengurusan sebelum ini.

“Sebelum saya bergerak sendiri kira-kira setahun setengah dahulu, semua urusan melibatkan bayaran persembahan diuruskan oleh pihak pengurusan dan saya tidak tahu-menahu langsung tentang perkara tersebut.

“Jadi apabila semuanya diuruskan sendiri sekarang, saya tidak meletakkan harga terlalu tinggi dan boleh dirunding.

"Begitu juga dengan persembahan amal, saya tidak kisah dengan bayaran yang pihak penganjur ingin berikan,” katanya yang bakal muncul dengan single terbarunya berjudul Jangan Tanya Aku Lagi.

Menurut Farawahida yang mesra dengan panggilan Fara, single ciptaan sepenuhnya oleh Adi Six Sense itu merupakan lagu pertama yang dihasilkan dengan usaha dan modalnya sendiri bermula pertengahan tahun lalu.

“Peminat selalu bertanya bila saya akan tampil dengan lagu terbaru. Sekarang saya sedang dalam proses suntingan terakhir lagu Jangan Tanya Aku Lagi.

“Walaupun saya mendapat bantuan komposer hebat seperti Adi dan beberapa pihak yang terlibat, tetapi saya masih perlu meneliti dan menjaga semua perkara.

“Saya sentiasa berhati-hati sejak insiden yang berlaku sebelum ini,” ujarnya yang bakal muncul dalam filem Baik Gila yang telah selesai penggambaran pada Julai lalu.

Filem komedi terbitan Layar Dimensi tersebut turut dilakonkan oleh Zizan Raja Lawak, Sharifah Shahira, Awie dan Abon.

Selain itu, Fara juga dijangka akan terlibat dalam pembikinan lagu tema sebuah drama untuk TV3.

Menyentuh tentang kehidupan peribadi, Fara yang semakin kuat melayari kehidupannya kini mengaku berkawan dengan seseorang tetapi masih belum bersedia menganggap lelaki itu sebagai kekasih hati.

“Saya belum mempunyai kekasih tetapi selesa berkawan. Mungkin sebelum usia 30 tahun saya akan memikirkan tentang perkahwinan.

“Tetapi saya agak risau juga apabila kakak-kakak saya sudah berkahwin pada usia 27 tahun sedangkan saya belum bertemu jodoh lagi pada usia sekarang,” beritahunya yang menyambut kelahirannya ke-26 pada 19 Mac lalu.

Peminat boleh menghubungi Fara di laman sesawang Facebook bernama Real Farawahida Razali selepas akaun Facebook lamanya, Farawahida Razali tidak boleh digunakan lagi setelah ia diceroboh.

Keputusan SPM: Miera Leyana Layak Belajar Undang Undang


PETALING JAYA: Walaupun enggan mendedahkan keputusan sebenar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterimanya pada 23 Mac lalu, pelakon muda Miera Leyana yakin keputusan itu membolehkannya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang.

Bagaimanapun, kata pelakon filem Apokalips itu, dia masih mempertimbangkan sama ada untuk terus menyambung pengajian atau menumpukan perhatian dalam bidang lakonan yang kian berkembang.

"Alhamdulillah, keputusan SPM saya memuaskan dan boleh menyambung pengajian dalam bidang undang-undang seperti yang diimpikan.

"Cuma buat masa ini saya masih belum memutuskan untuk sambung belajar atau tangguhkan dulu kerana semakin sibuk dengan kerjaya lakonan," katanya kepada mStar Online, Jumaat.

Tambah gadis berusia 18 tahun ini lagi: "Menurut ibu saya, adalah lebih baik jika menumpukan perhatian pada salah satu bidang saja pada satu-satu masa.

"Jika hendak sambung belajar saya perlu ketepikan lakonan buat sementara waktu dan begitulah sebaliknya. Dia tidak galakkan saya lakukan dua kerja serentak."

Nama Miera Leyana melonjak serta-merta ekoran penampilannya yang seksi ketika menghadiri majlis makan malam anjuran Rafflesia dan Mandalay di Hotel Le Meridien, baru-baru ini.

Hati Marsha sudah dimiliki


MARSHA Londoh merupakan bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) yang paling popular selepas juara program realiti televisyen (TV) musim itu, Mawi mencetuskan fenomena lapan tahun lalu.

Biarpun populariti Mawi dikatakan semakin merudum, tetapi ia sebaliknya buat Marsha yang kini semakin laris dengan tawaran berlakon drama, telemovie mahupun filem.

Pelakon dan penyanyi yang dilahirkan di Berrien Springs, Michigan, Amerika Syarikat pada 6 November 1985 itu bukan setakat menjadi sebutan para peminat kerana bakat seninya.

Malah, Marsha yang dibesarkan di Tamparuli, Sabah ini juga sering mencetuskan banyak gosip panas yang mengaitkannya dengan ramai artis mahupun selebriti terkenal tanah air.

Dalam pada sibuk menafikan semua gosip itu termasuklah pernah dikaitkan bercinta dengan Yusry KRU, Hans Isaac dan Ramli MS, tetapi baru-baru ini dia mengakui hatinya sudah dimiliki.

Menurut penyanyi lagu Untuk Terakhir Kali ini, dia kini sedang menjalani perhubungan intim bersama seorang jejaka Melayu yang dikenali sebagai Z sejak mereka berkenalan setahun lalu.

“Teman lelaki saya itu bukannya artis tetapi dia orang biasa dan bekerja di pejabat sahaja. Adalah EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk bekalan semasa hari tuanya nanti.

“Dia tidak mahu dikenali ramai. Cukuplah saya katakan namanya bermula daripada huruf Z,” katanya selepas sidang akhbar drama Kum Kum The Series lakonannya baru-baru.

Pada majlis yang diadakan di Mutiara Damansara, Selangor itu pihak Astro Ria memperkenalkan para pelakon drama 13 episod itu termasuklah Marsha yang melakonkan watak Mawar.

Kata Marsha, dia sengaja memilih pasangannya bukan dari kalangan artis kerana takut dengan perceraian yang banyak berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Saya dapati perkahwinan sesama pasangan artis ramai yang tidak kekal lama. Itu tidak bermakna saya menolak jodoh kalau ditakdirkan pasangan saya juga adalah golongan artis.

“Kalau boleh saya mahu elakkan perkara itu. Saya kenal Z secara kebetulan setahun lalu sewaktu majlis pelancaran restoran Kopitiam milik komposer Ajai di Kuala Lumpur.

“Sewaktu mula berkenalan, saya tidak tahu latarbelakang Z. Tidak kiralah sama ada dia orang kaya atau miskin. Kebetulan saya pula memang banyak bergaul dengan orang Melayu,” ujarnya.

Marsha yang akan muncul dengan album sulung berjudul Yang Pertama tidak lama lagi menambah, dia sudahpun memperkenalkan Z dengan keluarganya pada 6 Disember tahun lalu.

Disenangi

Pada majlis hari lahirnya yang ke-25 itu, Z telah bertemu dengan ibu bapa penyanyi berketurunan Kadazan Dusun di mana kehadiran jejaka itu turut disenangi sanak keluarganya yang lain.

“Sebelum itu, pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, saya juga telah pergi beraya di rumah keluarga Z di Klang, Selangor. Sekarang ini, keluarga dua belah pihak tahu hubungan kami,” jelasnya.

Sewaktu ditanya perancangan terdekatnya bersama Z, Marsha menjelaskan, dia belum menetapkan tarikh tertentu untuk menamatkan zaman gadisnya dalam waktu terdekat ini.

Sebaliknya, pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh ini menyerahkan kepada jodoh di mana pada masa sama dia akan menjaga hubungannya dengan Z sebaik mungkin.

Gosip yang sering melanda Marsha turut mendapat perhatian teman lelakinya yang sering bertanya kebenaran di sebalik sesuatu gosip itu.

“Biasanya kalau ada keluar gosip saya dengan artis-artis lain, Z akan bertanya kepada saya, sama ada betul atau tidak. Bagaimanapun, dia bukan seorang yang kaki cemburu.

“Dia seorang yang amat mengambil berat tentang perkembangan diri saya. Saya pun tidak pasti sama ada hubungan saya dengan Z akan ke jenjang pelamin ataupun tidak.

“Pada masa sama, setiap kali ke majlis perkahwinan kawan-kawan sama sekolah, hati ini tiba-tiba hendak kahwin,” kata Marsha tanpa berselindung.

Kum Kum The Series akan bersiaran setiap hari Selasa mulai 12 April ini pukul 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104, Astro).

Selain Marsha, turut membintangi drama arahan Michael Ang itu ialah Didie Alias yang melakonkan watak Mak Hitam, Elfira Loy (Shikin), Sharnaaz Ahmad (Yusof) dan Saiful Nizan (Ramli).

Bercerita tentang pengalamannya berlakon Kum Kum The Series, kata penyanyi di bawah naungan syarikat rakaman Alibi Music ini, dia berasa puas dengan watak Mawar yang dilakonkannya itu.

“Selain drama, saya juga ada menerima tawaran berlakon beberapa filem tetapi saya tolak kerana wataknya kurang sesuai dengan saya. Saya asyik diberikan watak gadis yang mengada-ngada.

“Selalunya saya menolak sesuatu tawaran berlakon filem kerana masa yang kurang sesuai,” tutur gadis manis tinggi lampai ini lagi.

Sejak 2005, Marsha telah melakonkan lebih 10 telemovie antaranya berjudul Rumah Terbuka AF3, Gitu-Gitu Raya, Besan vs Madu, 5 Saat, Beautiful Maria dan Cinta Meriam Buluh serta drama rantaian Hotel Mania, K.I.T.A., Dottie dan Awan Dania 3.

Bukan Erra Minta Digelar Primadona


KUALA LUMPUR: Pelakon Erra Fazira yang sering digelar primadona filem Melayu tidak mengambil berat tentang gelaran tersebut kerana bukan dia yang mahu dipanggil seperti itu.

Dia yang tidak pasti dari mana datangnya gelaran primadona tersebut menganggap perkara itu sebagai sesuatu di angin lalu sahaja.

“Saya hanya melakukan kerja saya dan tidak tahu siapa yang memberikan gelaran itu kepada saya.

“Walaupun gelaran itu diberikan, saya menganggap ia sebagai perkara penting.

“Pada saya, primadona merupakan suatu nama yang sudah lama berada dalam persada seni lakonan dan banyak melakar kejayaan.

"Seseorang itu bukan sahaja telah mengharumkan nama sendiri, malah turut membantu kemajuan persada seni,” katanya ketika sidang media memperagakan set mutiara tajaan Rafflesia berjumlah RM180,000 di Pusat Mutiara Rafflesia, di sini, Rabu.

Set mutiara yang diberi nama ‘primadona klasik’ itu bakal dihadiahkan kepada pemenang Artis Paling Popular pada malam Anugerah Bintang Popular (ABP) 2010 di Arena of Stars, Genting Highlands pada 3 April ini.

Tambah pelakon filem Kuliah Cinta dan Cinta Kolestrol ini: “Saya tidak merasakan diri saya sudah lama berlakon kerana gelaran primadona layak untuk seseorang pelakon yang sangat lama bertahan seperti Seniwati Saadiah dan Sarimah.

“Saya melihat kepada sumbangan lakonan mereka sehingga ke akhir hayat. Namun semuanya berbalik kepada rezeki. Jika saya mampu berlakon sampai bila-bila, jadi kenapa tidak.”

Setelah lama tidak muncul dalam filem, Erra masih aktif berlakon drama dan telefilem.

“Saya masih terikat dengan kontrak Astro Megadrama. Minggu depan, saya akan berlakon telefilem Sanggul Beracun untuk Astro Citra.

“Telefilem itu menyentuh tentang kisah benar seorang wanita dari Johor. Ia diarahkan oleh Sabri Yunus dan dilakonkan oleh para pelakon teater seperti Nam Ron,” ujar Erra yang turut sibuk dengan program Mentor musim kelima di TV3.

Jelas Erra lagi, selepas 10 tahun dalam industri hiburan, baru dia merasakan dirinya di terima kerana bakat dan bukan bersandarkan kepada rupa cantik semata-mata.

Norman, Memey enggan tertekan


TIDAK mahu lagi menoleh ke belakang mengenangkan ribut kontroversi yang pernah menggoncang kehidupan mereka, pasangan ini sebaliknya mengakui sedang bahagia dalam meniti episod cinta dengan tenang.

Selepas menamatkan spekulasi dengan mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu, Norman Hakim, 34, dan Suhaiza Suhaimi, 22 atau Memey sudah pasti sedang giat merancang untuk hari bahagia mereka berdua.

“Persediaan betul-betul belum lagi, tetapi (sedang) menuju ke arah itu adalah sikit-sikit. Buat masa ini, kami masih belum tetapkan masa dan tarikh yang sesuai untuk melangsungkan perkahwinan.

“Bila sudah betul-betul bersedia dan semua persiapan sudah lengkap, kami akan beritahu tarikh tersebut,” ujarnya sambil melemparkan senyuman.

Meneruskan bicara, Memey meluahkan ada sebab kenapa dia dan Norman enggan meletakkan sebarang tarikh atau tempoh masa untuk melangsungkan perkahwinan mereka.

“Bila sudah letak tarikh atau tempoh masa untuk ke arah itu (berkahwin) dan akhirnya ia tidak berlaku, orang pasti akan bertanya. Jadi, lebih baik kami tidak berbuat demikian.

“Saya tidak mahu nanti ia akan jadi isu dan buah mulut orang. Kami akan memberi pengesahan tarikh selepas semuanya sudah betul-betul pasti,” ujar pelakon kelahiran Johor itu.

Bukan tidak mahu hari bahagia itu menjelma dengan kadar segera, tetapi Memey mahu membuat persiapan yang kemas dan rapi untuk dirinya sendiri sebelum bergelar isteri.

Tambahnya, dia perlu mempersiapkan diri 100 peratus sebelum bergelar raja sehari.

“Banyak persediaan yang perlu dilakukan. Bukan hanya luaran, tetapi dalaman diri saya untuk bergelar isteri juga perlu diambil kira. Selepas semuanya okey, barulah akan ke tahap itu (berkahwin).

“Secara jujurnya, saya juga belum lagi memikirkan konsep serta tema perkahwinan secara terperinci. Saya tidak mengharapkan perkahwinan kami akan menjadi Wedding of the Year.

“Biarlah ia meriah dan sederhana kerana apa yang paling penting ialah ikatan yang sah itu sendiri,” katanya yang mengenakan busana rekaan Hazwani Osman pada malam gala Rafflesia dan Mandalay di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apabila diajukan soalan mengenai kontroversi lampau, Memey yang pada mulanya hanya tersenyum dan diam seketika ibarat sedang mengumpul semangat untuk memulakan bicara.

“Buat masa ini alhamdulilah. Semua berjalan dengan baik. Saya tidak mahu lagi memandang ke belakang. Saya juga akui karier saya bertambah baik.

“Perjalanan hidup semakin tenang dan apabila sudah termeterai ikatan, saya harap semuanya akan bertambah baik dan sempurna,” luahnya yang akan meletakkan karier di tangga kedua kerana mahu fokus kepada keluarga.

Selepas agak lama berdiam diri dan hanya tersenyum mendengar bicara si jantung hatinya itu, Norman akhirnya bersuara menjelaskan situasi tentang isu persandingan mereka.

“Sebelum-sebelum ini menjelang pertemuan dengan media, daripada 10 soalan, satu soalan akan menjurus kepada benda yang sama (berkahwin) terutama selepas kami telah selamat bertunang.

“Kami pun faham dan reda, malah sudah tetapkan minda kami bahawa soalan sedemikian akan kerap ditanya. Kami tidak mahu terlalu tertekan dengan sentimen bila akan berkahwin.

“Jujurnya kami seperti orang lain juga mahukan privasi, tetapi pada masa yang sama, saya tahu ia sudah menjadi rencah artis. Perkara sudah termaktub dan bila sampai jodoh, kahwinlah kami,” jelasnya tanpa berselindung.

Mengenai karier Memey selepas bergelar isteri, Norman mengakui dia seorang yang fleksibel dan tidak akan menyekat kehendak bakal isterinya itu.

“Dia sudah besar panjang. Semuanya bergantung kepada kesesuaian dan keserasian. Bila sampai masa nanti, dia sendiri boleh fikir dan perkara itu akan lahir secara sendiri,” luahnya yang kelihatan segak mengenakan persalinan rekaan butik terkenal, Lord’s Tailor.

Persandingan ala Jepun - Mizz Nina


SEPERTI raja sehari yang lain, tersirat perasaan gemuruh tatkala mengenangkan cuma tinggal beberapa bulan sahaja lagi dirinya bakal memegang status sah isteri kepada vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh, 27.

Mengikat tali pertunangan pada 6 November tahun lalu dengan mengadakan majlis tertutup di teratak keluarganya di Ampang, Selangor, sudah tiba masanya Mizz Nina mengatur langkah membina sebuah keluarga dengan pilihan hati.

Pasangan itu mula berkenalan pada Disember dua tahun lalu dan hubungan mereka semakin serius apabila Noh turut terlibat dalam pembikinan album Mizz Nina.

Sejak itu, timbul keserasian dan disulami dengan perasaan cinta. Maka, lebih baik masing-masing menjaga hubungan yang terjalin itu dengan mengambil keputusan untuk diijab kabul.

Sudah dapat menyangka akan diajukan soalan mengenai persiapan perkahwinan, anak bongsu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim itu hanya mampu tergelak kecil.

“Sekarang perasaan saya bercampur antara gembira dan panik. Sebab perancangan tahun ini terlalu banyak dan kesemuanya perlu diutamakan.

“Tidak kira soal masa depan kehidupan mahu pun karier seni saya,” katanya ringkas.

Memilih 1 Julai ini sebagai saksi lambang cinta sehingga akhir hayat bersama tunang tersayang, sebenarnya tarikh itu memberi dua erti yang sungguh bermakna kerana dia juga bakal menyambut ulang tahun ke-31.

Tidak keberatan berkongsi kegembiraannya itu terutama bagi susun atur majlis, Mizz Nina mengakui dia tidak melepaskan segala tugasan kepada perancang perkahwinan seratus peratus.

Bukannya tidak yakin dengan hasil kerja individu yang dipilih, sebaliknya wanita itu mahu melihat memori indah yang hadir sekali dalam hidupnya terlaksana dengan penuh kegembiraan seperti yang telah dirancang.

Lebih senang jika dia tidak lepas tangan bagi memastikan ketiga-tiga majlis yang akan berlangsung berjalan lancar. Maklumlah, Mizz Nina harus memahami dirinya bukan sahaja seorang penghibur bahkan merupakan cahaya mata kepada salah seorang jutawan di negara ini.

“Setiap minggu saya dan perancang perkahwinan megadakan perbincangan. Seramai lapan jurufoto dan video daripada produksi Manggis akan turut serta merakamkan memori itu nanti.

“Seterusnya, individu penting untuk menghasilkan potongan busana ialah pereka yang sudah lama bersama keluarga saya iaitu Lady Jane.

Dua ribu tetamu

Sudah tentu kehadirannya di pentas persandingan kelak, menjadi tatapan golongan korporat. Jadi, tidak mustahil Mizz Nina sekeluarga memilih untuk mengadakan tiga majlis berlainan lokasi semata-mata mahu memastikan setiap jemputan berpuas hati dengan detik bersejarahnya.

“Upacara akad nikah akan dilangsungkan di kediaman keluarga saya pada sebelah malam, 1 Julai nanti. Kita buat secara tertutup dan hanya sanak saudara sahaja yang dijemput.

“Dekorasi pada malam itu, pastinya sungguh romantis. Ideanya ialah kita buat jambatan di tengah-tengah kolam renang. Itu sahaja, selebihnya perlu rahsia,” terangnya yang memilih tema klasik berona hitam dan putih.

Berdasarkan perbincangan oleh kedua belah pihak pada majlis pertunangan mereka, Nina bakal menerima mas kahwin sebanyak RM888.88 manakala wang hantaran pula lebih RM11,000.

Sementara itu, majlis resepsi secara tertutup bagi golongan VVIP terutama kenalan keluarganya akan diraikan pada pada 3 Julai di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Setiap majlis turut mengenengahkan konsep berlainan. Keputusan sudah muktamad apabila keluarga Mizz Nina memilih untuk meraikan kedua-dua mempelai dengan mempersiapkan diri mereka menyarung persalinan busana tradisi Melayu.

Bukan itu sahaja, tetamu juga seboleh-bolehnya berhias cantik dengan gaya elegan menggunakan fabrik berwarna ungu.

“Kita mahukan majlis berlangsung dengan tenang dan bukannya tidak mahu menjemput media hadir. Tetapi atas permintaan keluarga kami yang mahu menjadikannya sebagai sebuah majlis penuh privasi.

“Namun, jangan risau kerana kami akan membekalkan gambar-gambar sewaktu pernikahan itu nanti,” ulasnya sambil tersenyum.

Tidak sesekali melupakan hasrat untuk berkongsi kegembiraan, Mizz Nina memilih Hotel Double Tree by Hilton Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebagai ruang meraikannya bersama media dan rakan-rakan.

Tetamu yang dijemput terlalu tidak terikat dengan protokol sebaliknya dapat meluangkan sepenuh masa dengan mempelai.

“Sebuah lagi majlis resepsi khusus buat teman-teman artis dan media akan diadakan pada 6 Julai. Beberapa orang artis akan diundang membuat persembahan.

“Antara yang boleh saya umumkan di sini ialah akan ada kumpulan dari Indonesia bakal membuat persembahan kelak,” jelasnya yang cukup popular dengan lagu What Are You Waiting For.

Bagaikan tidak sabar menanti detik bersejarah itu, majlis resepsi ketiga menetapkan tema ala Jepun. Celahnya, tetamu yang hadir dapat menyaksikan para pengiring wanita memakai kimono manakala pengiring lelaki pula bersut ninja.

“Ini memang idea saya dan Noh kerana kami sungguh meminati stail Jepun. Tidak kira dari segi makanan atau fesyen mereka.

“Majlis kali ini lebih kepada keseronokan yang akan dikongsi bersama tetamu. Sebelum upacara berlangsung, kita turut mengadakan majlis karpet merah. Jadi setiap tetamu jangan lupa untuk melaram,” selorohnya.

Tambah Mizz Nina, sesudah mencapai usia 33 tahun, dia mahukan mahligai yang dibinanya itu hadir dengan keceriaan gelak tawa cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Noh.

Cuma dirinya perlu membahagikan peluang yang ada supaya rumah tangga tidak terabai.

Luhur seni Najwa


SEPATUTNYA hari bersejarah itu diraikan dengan penuh riang dan bahagia sekali. Namun, entah mengapa hati wanitanya terusik dan tanpa disedari air mata mengalir ke pipi gebunya itu.

“Saya mula menyanyi sejak berusia tujuh tahun. Sejak daripada itu, saya menyimpan angan-angan untuk memiliki album sendiri. Lalu, apabila dapat memegang dan melihat album ini berada di tangan saya, serta-merta saya menjadi sebak.

“Alhamdulillah, segala perancangan dan perjalanan yang saya lalui selama ini boleh dikatakan hampir lengkap dengan terhasilnya album ini,” ujar Najwa Mahiaddin atau lebih popular dengan nama pentas, Najwa sambil menyeka air matanya.

Penyanyi dan komposer berbakat besar itu berkata demikian pada majlis pelancaran album sulungnya, Innocent Soul yang berlangsung di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Malah, gadis berusia 24 tahun ini juga tidak mahu masyarakat terus melihat status dan latar belakangnya sebagai anak kepada seorang yang ternama di negara ini sebagai satu halangan untuknya terus berkarya.

Memang benar. Najwa boleh dikategorikan sebagai seorang yang cukup bertuah kerana dia memiliki segala-galanya. Tetapi tuahnya itu berganda kerana dia dikurniakan dengan bakat yang cukup istimewa menerusi vokalnya yang mantap.

Sejak dia muncul dengan lagu Kau Yang Punya hasil kolaborasinya dengan Malique, ramai yang mula mencari empunya suara sakti yang mengalunkan lagu tersebut.

Ternyata, ramai yang kagum dengan kehebatan vokalnya itu lalu meletakkan nama Najwa sebagai antara bakat baru yang wajar diberikan perhatian dan mampu untuk pergi jauh di dalam industri.

Malah, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sendiri pernah meminta lagu daripada Najwa untuk dimuatkan dalam album terbarunya namun, ia ditolak dengan baik oleh Najwa atas alasan masih belum bersedia.

“Saya masih muda dan banyak lagi yang saya mahu belajar dalam industri ini. Insya-Allah, kalau masanya sudah tiba dan saya benar-benar sudah bersedia untuk menulis lagu untuk Siti dan penyanyi lain, saya akan melakukannya,” katanya tanpa selindung.

Najwa menceburi bidang seni kerana kecintaan yang mendalam terhadap muzik yang sudah menjadi darah dagingnya sejak kecil lagi. Atas alasan itu, Innocent Soul mempunyai signifikan tersendiri dalam hidupnya.

Setiap pendapatan yang diterima menerusi persembahan yang dijayakan selama meniti perjalanan seninya, disimpan sebahagiannya untuk melahirkan album dengan hasil titik peluhnya sendiri.

“Saya harus akui bukan mudah untuk melahirkan Innocent Soul kerana saya perlu memantapkan diri dan memperkenalkan nama saya terlebih dahulu.

“Saya bertuah dan terharu kerana masyarakat dapat menerima bakat saya. Apa yang saya harapkan Innocent Soul mampu memberikan gambaran jelas tentang siapa diri saya yang sebenar,” ujar Najwa yang cukup bijak berbicara ini lagi.

Album Innocent Soul yang memuatkan 10 buah lagu berbahasa Inggeris itu diterbitkan oleh Najwa selaku penerbit eksekutif menerusi syarikatnya, Nada Biru Muzik Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Warner Music Malaysia.

Single pertamanya, Sweet October dan terbaru, Got To Go yang merupakan komposisi sepenuhnya oleh empunya diri itu mula meraih perhatian meluas dan sedang mendaki carta lagu-lagu popular di seluruh negara.

Kerja-kerja penerbitan dan rakaman album tersebut mula dijalankan sekitar setahun lalu di Jakarta, Indonesia dan juga Malaysia.

Malah, Najwa mempunyai alasan sendiri mengapa dia sanggup terbang ke Tanah Jawa itu semata-mata hendak memastikan ‘bayi’ sulungnya itu menepati piawaian serta berada di tahap kualiti yang tinggi.

Atas alasan itu juga, dia tekad menggunakan khidmat komposer dan penerbit album, Widi Puradiredja yang juga salah seorang ahli anggota kumpulan popular Indonesia, Maliq & D’Essentials.

“Bukan tidak percaya dengan bakat tempatan dan jauh sekali untuk meminggirkan mereka, tetapi saya mahu memperjuangkan muzik neo-soul yang masih lagi baru dalam pasaran muzik tempatan.

“Saya percaya dengan kredibiliti Widi kerana muzik yang mereka perjuangkan hampir sama dengan genre muzik saya. Jadi, kesefahaman dan keserasian sudah terbentuk di situ lalu memudahkan rakaman serta penerbitan album ini.

“Saya tetap tidak melupakan anak tempatan apabila menggunakan khidmat Jason Voo dan Rozhan Razman untuk dua buah lagu dalam album ini,” katanya yang menulis kesemua lirik lagu di dalam album itu.

Danny sahut cabaran


KALI pertama bertemu sekitar setahun yang lalu, pasangan ini tidak pernah menyangka perkenalan melalui kenalan itu akan membawa mereka ke satu perhubungan yang lebih serius.

Namun, suratan menentukan bahawa kedua-duanya sebenarnya mempunyai misi yang sama iaitu mencari pasangan serasi bagi menempuh alam baru.

Tidak mahu berputih mata melihat si bunga dipetik kumbang lain, sang jejaka mula mengambil langkah berani dengan mendekati dan melamar si gadis.

Walaupun lamaran itu diterima, namun keraguan masih bersarang di minda si gadis sehingga membuatnya mencabar sang jejaka supaya melamarnya sendiri di hadapan ibu bapanya.

Tidak gentar dengan cabaran itu, sang jejaka mula mengatur langkah menyahut cabaran tersebut dan ia membuahkan hasil sebaik si gadis menyatakan kesediaan untuk menerimanya dengan seadanya.

Begitulah antara rentetan percintaan yang dilalui oleh pengacara dan pelakon, Khardanie Anwa, 31, atau lebih dikenali dengan nama pentas Danny X-Factor bersama pilihan hatinya, Zaidatul Norfazlin Zakaria (Lin), 25.

Diikat dengan tali pertunangan dalam satu majlis yang berlangsung di Tronoh Mines, Kampar, 20 Mac lalu, pasangan sama cantik sama padan ini mengakui mereka masih belajar mencintai antara satu sama lain.

"Saya rasa macam tidak percaya sudah menjadi tunangan Lin. Rasa seperti saya sedang berada di set penggambaran dan melakonkan babak pertunangan. Rasa macam mimpi.

"Namun saya bersyukur kerana ini memang hari yang saya nantikan. Lin wanita untuk saya dan saya gembira kerana hubungan kami berjaya sampai ke tahap ini," kata Danny saat ditemui selepas berlangsungnya majlis pertunangannya dengan Lin.

Pada majlis serba ringkas itu, Lin yang anggun mengenakan busana berwarna perak menerima sebentuk cincin pertunangan yang disarungkan ibu Danny, Shamsiah Shiraku.

Danny yang kini merupakan pengacara program dokumentari Agro-Xplorasi bersama Annahita Bakavoli dan Nazrudin Rahman (Naz) turut menerima sebentuk cincin yang disarungkan ibu Lin, Siti Zabedah Samaon.

Pada majlis pertunangan itu, pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran dan dibalas dengan tujuh dulang daripada pihak perempuan.

Kedua-dua pihak juga bersetuju mengikat tali pertunangan dalam tempoh enam bulan manakala wang hantaran dirahsiakan.

Menyambung bicara, Danny yang bakal memegang watak Ahmad Albob dalam drama bersiri Ahmad Albob Yang Punya menerusi slot Lagenda tidak lama lagi berkata, kematangan dan keperibadian pramugari syarikat penerbangan AirAsia itu merupakan perencah utama yang mengikat hatinya terhadap wanita itu.

"Kami berkenalan tidak lama hanya sekitar setahun lalu namun mula rapat tanggal 1.11.11 dan saya yang memulakannya dulu dengan meminta nombor telefon Lin untuk dihubungi.

"Saya masih ingat lokasi dating kami yang pertama adalah di restoran mamak di Sri Petaling. Saya hubungi Lin untuk berjumpa dan rupa-rupanya dia juga menantikan panggilan saya.

"Walaupun dia baru balik bertugas dari penerbangan ke London, kami tetap berjumpa pada malam itu dan disitulah berputiknya percintaan kami," katanya sambil tersenyum memandang Lin yang setia menemani usai majlis itu.

Faezah Elai Bersanding Di Tepi Pantai Disember Ini


PETALING JAYA: Model dan pelakon Faezah Elai,29, memilih bulan Disember depan untuk melangsungkan majlis persandingan tepian pantai di negeri kelahirannya di Pulau Pinang.

Faezah berkata, pada mulanya dia bercadang untuk mengadakan majlis resepsi itu pada 3 Disember tetapi malangnya pada tarikh itu semua dewan dan hotel di Pulau Pinang telah penuh.

"Tak sangka pula pada tarikh itu ramai orang nak kahwin. Maklumlah tengah musim cuti sekolah.

"Jadi saya bercadang untuk menunda tarikh berkenaan tetapi ia tetap akan diadakan pada bulan Disember juga,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Bekas pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini berkata, majlis akad nikah akan diadakan tiga bulan lebih awal iaitu pada bulan September depan yang dijadualkan di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Katanya konsep resepsi perkahwinan tepian pantai itu merupakan satu kelainan yang ingin diketengahkan memandangkan dia merupakan anak sulung yang pertama mendirikan rumah tangga dalam keluarganya.

Faezah turut memberitahu, majlis bertunang akan diadakan serentak dengan majlis akad nikah. Bagaimanapun majlis merisik telah diadakan kira-kira tiga minggu lalu di Kuala Lumpur dengan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Ditanya mengenai bakal suaminya, Faezah berkata dia mahu merahsiakan hal itu buat sementara waktu atas permintaan keluarga pihak lelaki.

“Saya berjanji saya akan memaklumkan bakal suami saya apabila kad jemputan perkahwinan saya sudah siap nanti,” katanya yang turut enggan mengesahkan sama ada lelaki berkenaan adakah individu yang dikaitkan dengannya selama ini ataupun tidak.

Mengenai kontroversi yang melandanya selama ini termasuklah tuduhan merampas rumah tangga orang lain, Faezah tidak mahu memikirkan perkara tersebut sebaliknya menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat andaian.

Katanya, tidak semua orang tahu apa yang sudah berlaku melainkan dirinya sendiri.

“Orang nak kata apa pun, katalah. Depa (mereka) bukan tahu pun apa-apa pun. Saya dah telan semua benda yang orang dok kata pada saya selama ini,” ujarnya dalam loghat Utara.

Erra Fazira Tepis Gosip Suami Kahwin Lain


PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira, 37, menganggap gosip terbaru yang mendakwa suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin, 36, bakal berkahwin lain sebagai sesuatu yang lucu dan tidak benar.

Menjawab desas-desus terbaru mengenai Ketua Pegawai Eksekutif saluran berita Bernama TV itu, Erra mengakui terkejut dan baru pertama kali mendengar gosip tersebut.

"Saya sendiri sebagai isterinya pun tidak pernah pula mendengar cerita ini. Sebelum ini sudah banyak cerita tentang rumah tangga kami diperkatakan.

"Saya menerima dakwaan ini sebagai sesuatu yang lucu dan menganggap ia tidak benar sama sekali," katanya yang ditemui selepas terlibat dalam program TV3, Wanita Hari Ini di Sri Pentas, Bandar Utama, Selasa.

Mengulas lanjut mengenai cerita negatif yang melanda rumah tangganya kebelakangan ini, Erra berkata dia percayakan Emran dan sekiranya perkara itu berlaku, tentulah dia orang pertama yang akan mengetahuinya dahulu.

"Sudah banyak kes yang berlaku apabila rumah tangga artis yang aman damai pun didakwa ada masalah. Jadi saya sudah tidak kisah dengan cerita sebegini," katanya.

Cerita terbaru mengenai rumah tangga pelakon jelita itu kembali diperkatakan baru-baru ini apabila timbul pula kekecohan di kalangan petugas Bernama TV yang mendakwa Engku Emran merancang untuk berkahwin lagi.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails