Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mahu kembali berlakon - Aishah Sinclair


PEMILIK nama Aishah Jennifer Mohamed Sinclair ini adalah antara segelintir pelakon wajah Pan-Asia yang telah mewarnai industri hiburan tanah air. Selain dikenali sebagai model dan pengacara, wanita kacukan Melayu-Inggeris ini juga pernah berlakon dalam beberapa buah drama dan telemovie.

Malah, personaliti ntv7 yang lebih dikenali sebagai Aishah Sinclair ini juga mengikut jejak langkah abangnya iaitu Ashraf Sinclair yang terlebih dahulu bergelar sebagai seorang pelakon dan sedang mengecapi populariti di Indonesia.

Setelah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan iaitu Shaikh Abdul Shahnaz pada tahun 2006, rezekinya dalam bidang peragaan, pengacara dan pelakon semakin bertambah sehingga semakin dikenali ramai.

Bagaimanapun, setelah mengandung dan melahirkan anak sulung iaitu Soraya Ann pada 15 Ogos, tahun lalu, tiada lagi kelibatnya dalam lakonan. Kali terakhir wajahnya sebagai pelakon muncul di kaca televisyen adalah menerusi telefilem Sos Cili Sos Tiram pada tahun 2009.

Berkesempatan bertemu Aishah baru-baru ini, si empunya diri terus sahaja ditebak dengan soalan sama ada dia masih lagi berminat untuk berlakon atau mahu melupakan terus dunia lakonan dan sekadar memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan sahaja.

“Buat masa ini memang saya tidak nafikan begitu selesa untuk menjadi pengacara dan boleh dikatakan sepanjang karier saya lebih banyak mengacara pelbagai program berbanding dengan berlakon.

“Namun jauh di sudut hati saya ini, sebenarnya saya masih lagi berhasrat untuk berlakon dan sejak daripada dahulu lagi memang lakonan adalah satu bidang yang sangat saya minat dan gemari,” luahnya.

Selain berlakon drama dan telefilem, Aishah juga pernah tampil dalam beberapa buah filem seperti Gol dan Gincu The Movie, Bujang Senang dan Kapoww, tetapi sekadar membawa watak kecil sahaja.

Jelas Aishah, sebelum ini dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon yang diterima memandangkan anaknya yang masih kecil, tetapi kini dia bersedia menerima apa sahaja tawaran asalkan bersesuaian dengan watak dan skrip.

Malah, sekarang ini dia juga tidak mempunyai masalah untuk kembali terjun semula ke dunia lakonan memandangkan anaknya itu kini dijaga bergilir-gilir oleh ibu dan ibu mertuanya yang tinggal berhampiran.

“Memang saya sudah sasarkan sekiranya mahu kembali berlakon, saya mahu tunggu anak saya besar terlebih dahulu. Lagipun memang sukar sekiranya hendak berpisah dengan anak yang masih kecil dalam tempoh yang lama,” tegasnya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah suaminya akan membenarkannya berlakon semula, Aishah memberitahu suaminya itu tidak keberatan untuk memberi kebenaran asalkan dia tidak mengabaikan rumah tangga.


Ujar Aishah, dia sangat beruntung kerana memiliki seorang suami yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk dia melebarkan lagi sayap sama ada menjadi seorang model, pengacara atau pelakon.

“Saya gembira kerana suami saya seorang yang begitu berfikiran terbuka dan bukan jenis yang mahukan isteri hanya terperap di rumah sepanjang masa. Apa sahaja yang saya lakukan, dia tidak pernah untuk menghalang,” ujarnya.

Di samping itu, dia juga turut mengakui kehidupan rumah tangganya bersama suami tercinta semakin bahagia dan bersinar dengan kelahiran Soraya Ann setelah empat tahun menunggu untuk memiliki cahaya mata.


Syarikat

Selain padat dengan jadual sebagai pengacara dan menguruskan rumah tangga, pada masa yang sama Aishah juga turut memiliki dan mengurus sebuah syarikat iaitu Sinclair Falak Sdn. Bhd.

Menurutnya, syarikat yang telah ditubuhkan sejak tiga tahun yang lalu itu menjalankan perniagaan pengurusan dan penjenamaan artis dan dia berkongsi bersama seorang lagi rakannya yang juga seorang pelakon iaitu Sazzy Falak.

“Setakat ini saya dan Sazzy sama-sama menguruskan syarikat ini. Selain Sazzy dan saya sendiri, antara artis yang berada di bawah Sinclair Falak Sdn. Bhd. adalah suami Sazzy iaitu Nazril Idrus dan Farish Aziz.

“Dalam masa terdekat ini juga, ada tiga orang lagi artis yang akan menyertai kami. Salah seorangnya adalah artis yang kini sudah mempunyai nama kukuh dalam industri hiburan dan dua orang lagi adalah artis baru,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selain menjalankan urusan pengurusan dan penjenamaan artis, syarikatnya itu juga turut menganjurkan beberapa buah bengkel lakonan yang khusus kepada mereka yang minat untuk mendalami ilmu lakonan.

Jelasnya, mereka telah mengundang pelakon seperti Zahiril Adzim dan Que Haidar untuk menjadi tenaga pengajar dan boleh dikatakan bengkel lakonan yang dianjurkan mereka mendapat sambutan yang cukup baik.

“Apa yang saya lihat memang ramai yang minat untuk menceburi bidang lakonan dan tujuan kami menganjurkan bengkel sebegini adalah untuk memberi lebih banyak pendedahan kepada mereka menerusi pengalaman yang dimiliki oleh pelakon yang menjadi tenaga pengajar,” ujarnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails