Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tolong jangan fitnah lagi - Linda Jasmine


SUDAH dua minggu berturut-turut pasangan Linda Jasmine dan Que Haidar berasa terganggu dengan rantaian gosip kurang enak tentang syarikat milik mereka, Linda Jasmine Performing Arts Studio yang terletak di Ampang, Selangor dikatakan bangkrap.

Hal 'kain dalam' syarikat itu pun mula terlondeh satu-persatu. Malah paling terbaru, Linda dikatakan hamil tiga bulan.

Sedikit sesak nafas dengan berita-berita yang dianggap satu fitnah oleh mereka, Linda menjelaskan pergeseran fakta tentang gosip yang dianggap Linda tidak seharusnya terjadi.

Ada yang mendakwa Linda Jasmine Performing Arts Studio sudah mahu bangkrap. Tak bayar pekerja dan sebagainya. Mungkin anda boleh jelaskan tentang perkara itu?

Saya menafikan dakwaan bisnes saya bangkrap. Sepanjang tujuh tahun ia ditubuhkan, saya rasa bisnes saya berjalan lancar. Memang benar, sudah nama pun bisnes, jadi memang ada turun naik. Itu saya mengaku.

Tentang tak bayar gaji pekerja, saya mahu orang melihat isu ini dengan minda yang terbuka. Syarikat yang mengikat kontrak kepada kontrak macam syarikat saya, selalunya dibayar lambat oleh klien. Malah ada bayaran yang tidak saya terima sehingga setahun.

Namun, saya adalah orang yang profesional dan berpegang kepada polisi saya untuk tidak menghebohkan hal dalaman syarikat.

Justeru apabila keluar gosip mengatakan saya tidak membayar gaji pekerja dan hanya membayar selepas satu mesyuarat tergempar diadakan, saya rasa ia adalah gosip yang keterlaluan bagi saya. Ia adalah hal syarikat saya dan apabila ia tersebar, saya rasa kami macam duduk dalam mikroskop dan sering diperhatikan.

Benda yang kecil, jangan dibesar-besarkan. Mana ada syarikat yang sempurna tanpa ada waktu gawat misalnya. Saya juga kecewa apabila media tidak bertanya kebenaran kepada saya, tetapi terus menulis.

Saya rasa itu tidak adil bagi syarikat saya. Ia umpama menabur pasir di periuk nasi kami kerana impak jangka panjang yang diterima adalah syarikat kami, bukannya media atau si pengadu.

Bagaimana dengan dakwaan anda memberi tenaga pengajar berusia 19 tahun kepada murid-murid yang baharu mengikuti kelas tarian anda?

Benar. Saya tidak menafikan saya memberi seorang tenaga pengajar berusia 19 tahun untuk mengajar sekumpulan murid-murid baharu. Saya tahu ada yang suka, ada yang tidak suka apabila tenaga pengajar mungkin terlalu muda bagi mereka.

Namun secara jujur, saya tidak faham mengapa faktor usia menjadi satu masalah jika dia mempunyai kredibiliti untuk mengajar? Saya sendiri mula mengajar tarian pada usia 14 tahun dan saya berpendapat usia 19 tahun bukan terlalu muda untuk menjadi tenaga pengajar jika seseorang itu berkemampuan.

Agaknya yang jadi sumber media ini adalah orang dalam syarikat anda?

Saya rasa tak profesional untuk saya bercakap tentang pekerja saya. Saya juga tak mahu tuduh sesiapa. Cuma saya minta, kalau dapat gosip yang belum tentu sahih, apa kata terus tanya saya sendiri.

Saya juga minta tolong jangan buat fitnah lagi. Jangan tabur pasir dalam periuk nasi kami. Kami jalankan bisnes halal, apa salahnya kita saling menyokong satu sama lain.

Lagi satu, dengar cerita anda hamil anak kedua? Khabarnya sudah tiga bulan ya?

Ini satu lagi hal tidak benar. Saya terkejut apabila cerita ini keluar tanpa ada sesiapa yang bertanya tentang kebenarannya. Saya tidak hamil. Belum hamil lagi.

Memang saudara-mara yang telefon dan tanya malah ucap tahniah. Ini salah. Mungkin ada orang nampak saya pakai baju yang longgar, jadi mereka terus anggap saya hamil.

Bayangkan kalau saya tak beritahu saya tak hamil, bila saya tak bersalin, nanti keluar pula cerita kononnya saya keguguran atau sebagainya.

Kalau saya hamil, saya tak akan sembunyi dan saya akan umumkan kepada media. Tapi buat masa ini saya memang belum hamil anak kedua.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails