Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Eira tak lupa peristiwa kena raba


HAMPIR 10 tahun lamanya pelakon Eira Syazira berkecimpung dalam industri seni. Antara sedar atau tidak, sudah puluhan drama telah dijayakan. Hampir 90 peratus daripadanya berwatak sedih. Gelaran Ratu Air Mata cukup sinonim dengannya.

Hakikat sebenar, tidak siapa tahu macam mana pemilik nama Syazira Shuhaimi boleh menitiskan air mata dengan mudah. Pasti ada peristiwa perit menyebabkan Eira sebak tatkala mengenang kembali riwayat hiba itu.

“Saya pernah melalui fasa sedih melibatkan maruah, dua kali. Kejadian memalukan itu tak akan saya lupakan sampai bila-bila,’’ awal bicara Eira menarik nafas tanda bersedia berkongsi kisah lampau.

Peristiwa pertama berlaku sekitar awal tahun 2000. Ketika Eira berada dalam fasa pelakon baru. Masih naif untuk mengetahui sama ada seseorang individu itu punya niat baik atau jahat terhadapnya.

Semuanya kerana percaya kepada seorang pengurus produksi. Eira ingat dia ikhlas mahu menghantar pulang ke rumah usai penggambaran sebuah drama di Sepang, Selangor. Sebab Eira tiada pengangkutan dan hari pula sudah lewat malam.

Eira tiada pilihan dan perlu menumpang kereta pengurus berkenaan. Lagipun dia bukan berduaan dengan lelaki itu. Bersama anak bujang lelaki itu yang menjadi peneman di sebelah pemandu.

“Perjalanan jauh itu buat saya terlena di tempat duduk belakang. Saya dengar pengurus cakap mahu singgah sebentar di stesen minyak. Katanya, mahu tidur sebentar. Saya menurut saja sebab tak ada pilihan. Masing-masing dalam keadaan letih.

“Tak lama kemudian, antara sedar dan tak sedar, tiba-tiba saya rasa ada tangan menyeluk masuk ke dalam baju dan terus saya sedar. Saya tambah terkejut bila tengok pengurus di sebelah saya.

“Saya cuak. Bimbang nampak ketara, saya beri alasan mahu ke bilik air. Padahal, jantung saya berdegup kencang lepas dia buat benda itu. Mata saya pula terus celik sepanjang perjalanan. Takut kalau dia apa-apakan saya lagi selepas itu,’’ cerita Eira panjang lebar.

Kejadian itu juga menyebabkan dia berwaspada. Tidak mahu bergantung kepada orang untuk ke lokasi penggambaran. Terutama ketika di lewat malam.

Jadi ‘bahan permainan’

Kejadian kedua yang mengaibkan dirinya berlaku di Pulau Tioman, Johor. Apabila ada pengarah dan penerbit mengajak Eira untuk berlakon drama di situ.

Bersama kakak angkatnya, Ella yang bertindak sebagai peneman, pelakon teater Lorong 2/90 dan Bangsawan Lela Manja ini ke sana.

Kehadiran mereka berdua bagaimanapun telah menimbulkan tanda tanya di kalangan tenaga produksi di situ. Sebab, Eira datang pada hari terakhir penggambaran.

“Macam-macam benda saya fikir lepas kru produksi beritahu saya ini hanya ‘permainan’ penerbit dan pengarah. Disebabkan terlalu takut, bimbang kejadian lama berulang, saya ajak kakak angkat pulang bersama,’’ katanya yang tak menyangka boleh ditipu bulat-bulat oleh lelaki berhidung belang itu.

Peristiwa hitam itu tetap menghantui diri Eira. Menyebabkan dia perlu lebih berwaspada pada setiap langkahnya. Sebab bidang yang menjadi pilihan itu berisiko besar.

“Saya mendedahkan cerita ini bukan untuk memalukan sesiapa. Sekadar berkongsi sebab orang di luar nampak artis hidup glamor. Sedangkan ada banyak kepayahan menuju ke arah popular itu. Boleh juga dijadikan panduan buat artis baru yang ingin mencipta nama,’’ katanya.

Debaran terbaru

Dugaan berkenaan dijadikan garis panduan berguna pada masa depan. Sebab Eira ada misi mahu mengembangkan potensi diri. Terbaru, Eira kini bergelar penyanyi di bawah label syarikat FG Music (M) Sdn. Bhd. (FGM)

Album berjudul Di Hati ini bakal menampilkan lima buah lagu Melayu termasuk Sememangnya, Nour El Ain, Sisi Duka dan Bukan Mimpi Kesiangan.

“Semuanya bermula secara suka-suka. Masa saya menyanyikan lagu tema drama Ustaz Amirul (lagu Sisi Duka). Tak sangka pula ditawarkan menyanyi di bawah label FGM. Satu peluang yang saya terima penuh kesyukuran,” ceritanya.

Menampilkan konsep pop balada, pelakon drama Kemboja Putih ini menampilkan kelainan tersendiri dalam lenggok suaranya. Menggunakan kepakaran guru vokal Siti Hajar, Eira mengasah suaranya bermula dari peringkat dasar.

Ditanya adakah terlalu lewat bagi seorang pelakon menukar profesion kepada penyanyi, wanita berusia 27 tahun punya alasan sendiri.

“Saya menggunakan sepenuhnya peluang yang datang. Tak salah kalau jadi artis serba boleh bukan? Lagi pun, saya memberi seluruh komitmen dalam hal ini. Soal lambat atau cepat tak perlulah dipertikaikan. Sebab ini melibatkan rezeki,” katanya bersungguh-sungguh.

Bagaimanapun, Eira tetap memberi keutamaan diberikan kepada bidang lakonan. Sebab lapangan itu yang memperkenalkan namanya kepada khalayak umum.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails