Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Scrambler jadi teman Atie AF


MINAT terhadap sukan permotoran telah lama berputik di hati, namun kesempatan untuk terjun ke arena berkenaan tidak kesampaian disebabkan teman sejiwa untuk bersama menghabiskan masa mengemudi kuda besi yang diidamkan.

Bagaimanapun, keinginan untuk mencuba dunia scrambler tidak pernah luntur dari hati Suriati Abu Bakar atau lebih dikenali dengan nama seninya Atie AF.

Hajatnya untuk menunggang motosikal jenis scrambler itu akhirnya tercapai apabila suami yang dikahwininya empat tahun lalu membeli sebuah motosikal Kawasaki KLX 150 setahun lalu.

Bermula dengan jelingan - jelingan manja melihat cara dan skill suaminya, Saiful Ibrahim menunggang motosikal berkenaan, Atie memberanikan diri mencuba menunggang Kawasaki hijau milik suaminya itu.

“Suami pada awalnya tidak benarkan Atie menunggang motor ini, tetapi sebab teringin sangat Atie senyap-senyap bawa tanpa pengetahuan suami.

“Apabila suami pergi kerja, Atie pun ambil kunci dan mula memberanikan diri membawa motor pusing-pusing kawasan rumah,” cerita Atie membuka bicara ketika ditemui di rumahnya di Hulu Klang, baru-baru ini.

Tambah Atie, dia sebenarnya baru lagi belajar menunggang motosikal berkenaan dan belum berani untuk menunggang jauh dari kawasan rumah.

“Mula-mula dulu memang suami tidak mahu ajar Atie kerana risau kalau Atie sudah tahu menunggang, nanti Atie akan menunggang motor pergi ke set penggambaran.

“Tetapi kini, setelah Atie bersungguh-sungguh mahu belajar, hatinya jadi lembut dan mula mengajar perkara-perkara asas dahulu,” akui Atie yang turut minat melukis lukisan abstrak.

Cerita bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia itu lagi, minatnya terhadap sukan berkenaan bermula sejak kecil tatkala bersama dengan rakan-rakannya menunggang basikal jenis BMX di kampung.

Selain itu jelasnya minatnya semakin meluap-luap apabila melihat peminat-peminat sukan berkenaan yang sering berulang-alik melalui kawasan rumahnya di Janda Baik, Bentong, Pahang.

“Apabila melihat ‘geng-geng’ scrambler itu lalu depan mata Atie terutamanya ‘geng’ wanita, Atie rasa tercabar dan kalau boleh ingin bersama menyertai mereka.

“Tapi itulah Atie tidak jumpa dan tidak tahu bagaimana untuk menyertai mereka,” jelas Atie jujur kepada S3.

Dalam pertemuan kira-kira tiga jam petang itu, semangat Atie untuk menyelami dunia scrambler jelas kelihatan apabila Atie diperkenalkan dengan beberapa orang ahli kumpulan UK The Bike Racing Team.

Lantas Atie tidak melepaskan peluang untuk bermesra-mesra dengan trek yang menjadi port lepak kumpulan berkenaan di Kemensah yang tidak berapa jauh dari rumahnya.

“Atie selalu nampak mereka di hujung simpang jalan hendak masuk ke rumah Atie tetapi tidak berani hendak bertegur sapa.

“Sekarang ini sudah berkenalan insya-Allah lepas ini akan selalulah Atie turun ke sini untuk berguru dengan mereka,” ujar Atie bersungguh.

Kesempatan turun ke trek petang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Atie apabila bersama dengan dua ahli wanita kumpulan berkenaan iaitu Suzana Shamsudin, 35, dan Juliana Kamaruddin,24, untuk mendalami selok-belok dunia scrambler.

“Seronok sangat dapat masuk trek. Walaupun ini kali pertama Atie bawa motor jauh dari rumah namun Atie rasa lebih yakin untuk menunggang.

“Selepas ini, Atie ingin membeli kelengkapan pula seperti jaket, seluar dan kasut yang sesuai untuk scrambler.

“Mungkin selepas itu nanti boleh berlumba dengan suami pulak,” seloroh Atie.

Selain Suzana dan Juliana, Atie petang itu turut diberikan penerangan berkenaan dengan dunia scrambler oleh orang-orang kuat UK Dirt Bike Racing Team terutamanya Ahmad Nizam Mansjur.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails