Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Yuna tak melatah


BIARPUN sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, pelantun lagu Dan Sebenarnya, Yuna tidak melatah apabila namanya tidak tersenarai untuk pencalonan Anugerah Planet Muzik (APM) yang bakal berlangsung pada 15 Julai ini di Singapura.

Bagi Yuna atau Yunalis Zarai, semua itu adalah suratan yang sudah tertulis yang perlu diterimanya dengan hati terbuka.

Tidak mahu fokusnya terganggu kerana sedang menyiapkan album sulung yang masih belum ditentukan judulnya, Yuna yang berada jauh di perantauan menganggap mungkin tahun ini, APM bukan rezekinya.

“Apabila nama tidak tercalon, saya tidak berkecil hati sebaliknya mungkin bukan rezeki saya untuk tercalon dalam APM tahun ini.

“Terus terang saya katakan kepada Hits, walaupun timbul rasa kurang senang dengan cara penganjur membuka pencalonan, saya tidak boleh berbuat apa-apa.

“Saya kenalah terima dan hormat dengan keputusan mereka. Dan saya percaya, Allah itu maha adil.

“Insya-Allah, mungkin rezeki saya ditempat lain. Apa yang penting, saya harus terus berusaha dan jangan mengalah,” ujar Yuna yang album terbarunya akan dilancarkan September ini.

Tambah anak kelahiran negeri Jalapang Padi itu lagi, dia mempunyai sebab yang kukuh mengapa tidak menghantar nama untuk pencalonan APM.

Jelasnya, dalam kesibukan berulang alik ke Amerika Syarikat, dia tidak sedar bahawa borang pencalonan APM perlu sampai ke tangan penganjur dalam tempoh waktu tertentu.

“Mungkin sebab saya banyak berulang ke Amerika membuatkan saya terlepas pandang tempoh pencalonan yang dibuka.

“Lagi pun, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, pencalonan APM kali ini agak senyap dan tidak diuar-uarkan.

“Jadi, saya sendiri tidak tahu akan had waktu pencalonan. Sedar-sedar sudah ada senarai calon,” luah Duta Canon itu.

Katanya, dia tetap mendoakan yang terbaik untuk rakan-rakan artis seangkatannya yang tersenarai dalam APM tahun ini.

“Saya doakan yang terbaik untuk mereka dan berharap kejayaan menggondol trofi APM menyebelahi mereka,” jelasnya.

Belum bersedia

DItinggalkan seketika topik pencalonan APM, Yuna tidak dapat lari daripada menjawab soalan tentang percintaannya dengan Qushairi Mohammed Razali atau Qi.

“Buat masa ini saya masih belum lagi memikirkan soal jodoh atau perkahwinan. Rasanya masih terlalu awal untuk saya memikirkan soal itu.

“Tumpuan saya adalah kepada kerjaya dan andai sampai jodoh yang telah ditentukan untuk saya kelak, saya mahu menjadi seorang isteri yang baik.

“Sebab itu saya perlu betul-betul bersedia sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin,” ujar Yuna yang akan tampil dengan single terbarunya Ketakutan.

Katanya lagi, dia tidak pula meletakkan usia sasaran untuk menamatkan zaman solonya sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada takdir.

Justeru, katanya, apabila sampai waktunya nanti, berkahwinlah dia seperti mana insan-insan lain di luar sana.

“Hubungan saya dengan dia masih lagi terlalu awal. Kami melalui proses berkawan untuk mengenali hati budi masing-masing.

“Banyak lagi perkara yang perlu diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan.

“Lagi pun, bukan senang untuk melalui asam garam hidup berumah tangga, sebab itulah saya ingin betul-betul bersedia sebelum menerima kehadiran seorang suami dalam hidup saya,” jelas Yuna yang telah menjelajah enam negeri di Amerika Syarikat bagi mempromosikan bakatnya di negara Uncle Sam itu.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails