Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Maria Tunku Sabri Tak Kisah Berbadan Gempal


PETALING JAYA: Personaliti TV3, Maria Tunku Sabri mengakui tidak kisah dengan persepsi masyarakat yang mengaitkan saiz badannya dengan ketaksuban dia terhadap makanan.

Kata pengacara yang kini bergelar penerbit program Sarapan itu, dia tidak takut atau bimbang jika berat badannya bertambah selepas terbabit dengan program makanan popular, Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) sejak 1999.

"Sejak dulu lagi saya tidak pernah ambil hati atau peduli dengan pandangan orang yang mengaitkan saiz badan saya dengan pemakanan.

"Hakikatnya, saya memang seorang pencinta makanan dan tidak pernah takut untuk mencuba pelbagai makanan kerana ia memberikan kepuasan," katanya kepada mStar Online, Rabu.

Akuinya lagi, walaupun berbadan agak gempal kerana “kuat makan” tetapi perkara itu tidak pernah merunsingkannya kerana tubuh dia masih memiliki potongan dan tidak berdepan masalah untuk berpakaian.

"Walaupun badan saya gempal tapi terus-terang saya masih ada potongan lagi. Ia tidak menyukarkan saya dalam penampilan.

"Hakikatnya, saya tiada masalah untuk menyarung apa juga jenis pakaian di mana kebanyakannya ketat-ketat.

"Tidak pernahlah pula saya memakai pakaian yang longgar hanya kerana berbadan gempal," jelasnya berseloroh.

Dalam perkembangan lain pula, Maria berkata dia bakal mengeluarkan buku terbaru iaitu Jalan Jalan Cari Makan Bersama Maria Tunku Sabri Edisi Ramadan 2011.

Buku yang menghimpunkan pelbagai lokasi kedai makan dan restoran di sekitar Lembah Klang itu akan dipasarkan bermula Ogos depan.

"Proses untuk menghimpunkan lokasi tempat makan di dalam buku ini tidak sukar kerana sebelum ini saya sememangnya sudah terlibat secara langsung dengan program JJCM selama 12 musim.

"Ternyata saya mendapat kerjasama dan sokongan yang baik daripada pelbagai lokasi makan di sekitar Lembah Klang untuk edisi pertama ini.

"Saya merancang untuk mengeluarkan empat lagi edisi yang merangkumi panduan lokasi makan di Selatan, Timur dan Utara tanah air, selain di Sabah dan Sarawak selepas ini," katanya yang mengambil masa selama satu bulan setengah saja untuk menyiapkan buku tersebut.

Selain panduan lokasi makan, Maria turut menyelitkan resipi sendiri dan ulasan peribadi terhadap lokasi makan yang dikunjunginya di dalam buku setebal 80 muka surat itu.

"Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk menerbitkan buku yang menjadi panduan lokasi tempat makan di Malaysia. Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan penerbitan buku ini," katanya.

Bagi pemilik lokasi makan di Lembah Klang yang berminat untuk mengiklankan restoran masing-masing yang berharga dari RM50 – RM4,000 boleh menghubungi OCR di talian 011-1213 5350, 03-6730 5750 atau e-mel jjcmmts@gmail.com

Buku Jalan Jalan Cari Makan Bersama Maria Tunku Sabri Edisi Ramadhan 2011 diterbitkan oleh OCR dan NMPC Global dan akan dilancarkan pada 25 Julai ini.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails