Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Johan As’ari tolak perempuan perasan


ADA kerutan di wajah lelaki ini tatkala mengupas cerita cintanya dengan aktres bernama Izreen Azminda yang dikatakan sudah terjalin sejak sama-sama menjalani penggambaran drama Juvana di TV3 pada Mac lalu.

Topik tersebut juga menyebabkan dia menerawang seketika, gayanya persis jauh berfikir mengenangkan riwayat cinta ‘belum pasti’ sehingga menimbulkan pelbagai versi dan spekulasi.

Apabila dia dipersoalkan oleh Izreen kerana enggan mengaku tentang status sebenar hubungan cinta mereka sedangkan wanita itu sudah ada rancangan masa depan tersendiri dengan dirinya.

“Terus terang, memang tiada cinta antara kami berdua. Saya hanya jatuh cinta pada watak Cikgu Zakiah yang dibawakan Izreen dalam Juvana, seorang wanita baik dan bijak.

“Rapat tidak bermakna cinta dan saya tak rasa cinta itu selepas nampak warna sebenar dia. Saya tahu perkara ini terlalu personal untuk dibicarakan kepada umum.

Persahabatan

“Tapi bila dia dedahkan cerita kami kepada media, saya tak dapat sembunyi rasa kecewa. Kami hanya kawan biasa dan kronologi persahabatan kami tidak ada kaitan tentang soal bertunang atau kahwin.

“Sepatutnya salah faham ini tak berlaku kalau dia kawal emosi dan banyak bersabar. Sesuatu perkara itu akan mendatangkan keburukan kalau kita tak pandai kendali secara bijak,” luah pelakon Johan As’ari atau lebih dikenali Botak dalam drama bersiri itu.

Ditanya adakah pelakon Fasha Sandha sebagai punca hubungan mereka retak? Johan menggelengkan kepala.

“Fasha tak ada kena mengena langsung dalam hubungan ini dan dia hanya kawan biasa saja. Lepas habis berlakon dalam drama Cinta Elysa, kami tak berhubung pun.

“Memang kami tak ada hubungan intim. Sebaliknya saya hormat Fasha kerana dia bagus, kerja berdedikasi walaupun banyak kontroversi,” jelasnya.

Lelaki berusia 25 tahun ini juga mengambil pendekatan optimis terhadap cerita sensasinya dengan Izreen sebagai asam garam hidup sebagai artis yang baru setahun merangkak dalam industri seni.

“Ada orang cakap saya sengaja reka kontroversi cinta dengan Izreen dan Fasha supaya cepat naik. Tolonglah, saya tak pakai cara kotor itu sebab saya yakin dengan bakat anugerah Tuhan kepada saya,” sambungnya.

Dedah wanita pilihan

Ditebak persoalan kepada penuntut tahun pertama Diploma Kaunseling di Kolej Universiti Islam Melaka ini tentang ciri-ciri wanita pilihan mengundang senyum lebar di wajahnya.

Kata lelaki yang lahir pada 3 Disember 1986 ini, dia nekad untuk menstabilkan diri sebelum menamatkan zaman bujangnya.

“Nilai cinta saya terlalu mahal buat perempuan yang tak pandai menghargainya, perasan lebih. Kalau jumpa jenis macam ini, tak payah berfikir panjang lebih baik saya tolak awal-awal.

“Saya tak kisah dengan perwatakan dia sama ada bertudung atau tidak, tapi dia mesti taat kepada suami dan membahagiakan hati ini. Soal jodoh ini saya serahkan kepada Ilahi,” katanya jujur.

Pilihan peribadi sudah ada tapi bila agaknya Johan rancang untuk melangkah ke alam rumah tangga?

“Insya-Allah, mungkin apabila umur saya 28 hingga 32 tahun. Sebelum itu, biarlah saya lunas semua tanggungjawab yang telah diamanahkan, menjadi khalifah dan saling mengingati rakan antara satu sama lain,” katanya dengan senyuman bermakna.

Jangan cepat menghukum saya – Hanez Suraya


PERISTIWA hitam itu masih segar dalam ingatan biarpun sudah tiga tahun berlalu. Semuanya gara-gara kehadirannya di sebuah majlis meraikan hari jadi teman bertukar menjadi malapetaka.

Ditambah pula dengan kehadiran beberapa keping gambar liarnya, menjadi punca pandangan negatif buat dirinya menular.

Biarpun tatkala itu, pemilik nama Hanez Suraya Abdul Aziz,25, sedang dijulang tinggi lantaran persembahan hebat lakonannya dalam drama Ezora yang bersiaran di slot Akasia TV3 sekitar tahun 2009, namun kontroversi tetap menjengah jua.

Situasi memalukan wanita yang mesra disapa Hanez itu juga sekali gus mengundang dirinya dihujani tekanan demi tekanan dan mencetuskan rasa penyesalan lantaran penyebaran gambar sosial dirinya.

“Semua gambar itu adalah saya. Saya tak akan menafikan kerana penafian pasti membuatkan saya berterusan dikejar oleh persoalan yang sama sepanjang masa.

“Tapi apa yang membuatkan saya kecewa adalah tindakan si penyebar gambar yang seolah-olah mahu melihat saya terlungkup dalam industri seni,” sesal Hanez berhubung perkara yang menjatuhkan namanya itu.

Wanita yang masih dalam atmosfera fobia itu bagaimanapun cuba bangkit dari kesilapan walaupun dia tetap dihujani dengan cubaan mencungkil sisi ‘kotor’ dirinya selepas itu.

“Pada mulanya, saya jadi kelam kabut apabila timbul kontroversi gambar saya (berpeluk) dengan seorang lelaki tersebar. Saya cuba kawal perasaan tapi lain pula yang terjadi seminggu selepas itu. Kisah sensasi yang lain pula dicungkil dengan penyebaran gambar tak senonoh di majlis hari jadi kawan saya.

“Kesannya, saya tertekan, tak boleh tidur malam sebab tak boleh terima orang mengata macam-macam tentang saya. Kalau tidur pun, mesti mimpi buruk dan mengigau sebab terlalu malu dengan situasi itu,” sambung pelakon drama Ahmad Albob ini lagi.

Lebih kesal di hati Hanez apabila ada pihak yang menghantar gambar seksinya kepada sebuah majalah hiburan dengan niat untuk memburuk-burukkan dia di mata masyarakat.

“Semua gambar seksi saya itu gambar lama semasa jadi model dahulu. Memang agak keterlaluan, tapi itu adalah kerja seni saya dahulu, masa baru nak kenal dunia.

“Saya akui memang saya seksi dan itu adalah imej yang saya pilih. Tapi selepas bergelar artis, saya tahu ada garisan yang perlu dipatuhi.

“Tapi janganlah sampai melabel saya yang bukan-bukan hanya kerana beberapa keping gambar berkenaan dan cerita lama saya terus diungkit,” katanya minta dimengerti.

Dikhianati kawan sendiri?

Ditanya angkara siapa yang merangkapkan diri Hanez ke kancah permasalahan besar tersebut, anak kelahiran Kuala Lumpur ini, lekas menggelengkan kepala.

“Saya tak tahu siapa yang sebarkan gambar itu sebab banyak kali saya siasat kepada kawan-kawan terdekat siapakah dalang penyebar.

“Akaun Facebook saya dan kawan rapat tak ada pula gambar macam itu. Andaian saya, mungkin ada di antara kawan-kawan saya kehilangan telefon bimbit atau komputer riba yang mengandungi gambar itu dan kemudiannya jatuh pada individu tertentu,” katanya lagi.

Adakah Hanez mengesyaki di antara rakan-rakannya itu melakukan penyebaran gambar tersebut, dia tetap menggelengkan kepala.

“Saya percayakan kawan-kawan saya dan mereka takkan pedajal saya. Berulang kali saya pesan kepada mereka agar tidak meletakkan gambar personal di laman sosial. Sebab saya tak mahu peristiwa lama kembali terjadi dan merencatkan perjalanan seni saya,” tegasnya.

Adakah peristiwa itu menyebabkan pelakon yang sudah bertapak dalam industri sejak lapan tahun ini bertindak memilih kawan?

“Ya, saya terpaksa buat, bukan sebab saya kekwat (berlagak) bila dah jadi artis, tapi untuk kebaikan sendiri. Saya tak ada musuh tapi tak tahulah kalau ada yang tak berkenan dengan saya.

“Saya berkawan dengan semua orang yang sudi berkawan dengan saya asalkan jangan sampai menjatuhkan sesama kita.

“Apa pun, peristiwa tiga tahun itu buat saya lebih berhati-hati untuk segala tindak tanduk. Maafkan saya andai ada yang tak senang dengan gambar itu dan saya nekad untuk ambil langkah berhati-hati pada masa depan,” jujur anak sulung tiga beradik ini.

Ulas tentang gadis sosial

Menebak persoalan bagaimana sebenarnya pelakon drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang di saluran Astro Ria dan Bunga April (TV3) ini mengusir urat tegang di wajahnya.

“Saya adalah seorang periang, suka berkawan dan ceria sentiasa. Mungkin pada permulaan silaturahim itu orang nampak saya sombong, tapi sebenarnya tidak. Saya tak suka bawa masalah kepada orang.

“Ada juga cerita saya kekwat dalam satu fotografi dengan satu majalah hiburan satu ketika dulu, tapi itu cuma salah faham saja. Saya jenis yang profesional dalam kerja dan biarlah orang nak cakap apa.

“Bila orang cakap saya jenis sosial, saya cuma tersenyum saja. Kenal saya dulu jenis yang bagaimana barulah berkata-kata dan saya pinta kepada masyarakat untuk tidak memandang saya sebelah mata,” rayu Hanez.

Adakah Hanez bersedia untuk menerima kritikan lantaran kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, wanita ini mengangguk.

“Setiap manusia ada sejarah masa silam masing-masing. Sebagai manusia biasa, saya terima apa juga pandangan orang ramai terhadap saya, asalkan bersifat adil,” ringkasnya di hujung perbualan.

Aaron Aziz hilang taring?


DAH hilang taring ke bro? Kalau dalam Ombak Rindu bukan main hebat lagi penangan Aaron Aziz, kenapa dalam filem Datin Ghairah sunyi sepi jer?

Ramai yang merungut pada Joyah dan betanya macam-macam sampaikan Joyah naik lemas. Kata mereka, Aaron pegang watak utama. Kenapa tak boleh jual?

Helo, manalah Joyah tahu apa dah jadi. Kalau betul filem tu tak laku sekalipun Joyah pasti bukan sebab Aaron seratus peratus. Kalau dah filem tak ada banyak perhatian, macam mana nak jual.

Joyah menganggap filem Datin Ghairah keluar pada masa yang sesuai tapi tak kena gaya. Masa yang sesuai sebab sekarang musim cuti sekolah. Tak kena pula sebab orang masih lagi bercakap pasal Ombak Rindu yang ada muka Aaron juga.

Jadi perhatian orang lebih tertumpu pada Ombak Rindu dan bukannya Datin Ghairah. Ramai juga yang cakap filem tu taklah hebat sangat! Betul ker?

Joyah harap sangat agar Aaron lebih selektif lagi memilih filem selepas ni. Jangan main tangkap muat bro, esok yang kena awak juga.

Hubungan Erra Fazira & Engku Emran Tidak Stabil, Sering Bergaduh


Minggu ini boleh di’katakan yang beberapa saluran media berjaya membawa kembali gossip yang melibatkan rumahtangga Erra Fazira & Engku Emran.

Mengambil faktor ketidakhadiran Engku Emran menemani aktiviti Erra Fazira sepanjang 2011, si isteri sekali lagi berhadapan dengan soalan panas wartawan.

Erra Fazira bagaimanapun sekali lagi menafikan yang rumahtangga beliau kini sedang mengalami masalah seperti yang di’dakwa.

Seorang teman rapat Erra Fazira yang juga orang kuat industri seni ada menghubungi kami petang semalam membawa sedikit gambaran tentang keadaan sebenar hubungan Erra Fazira dan Engku Emran.

Menurut individu ini, hubungan mereka berdua ketika ini memang tidak stabil tetapi tidak dapat mengesahkan dakwaan yang Engku Emran kini tinggal berasingan daripada Erra Fazira dan anak.

Dakwaan ini turut datang dari beberapa orang penggiat forum hiburan yang berkata mereka beberapa kali terserempak dengan kereta milik Engku Emran di’rumah ibu bapa beliau berhari hari lama’nya.

Engku Emran kini sedang mencari pekerjaan baru selepas kontrak bersama Bernama TV tamat Oktober 2011 yang lalu dan ini juga mungkin salah satu punca Engku Emran enggan kelihatan di’mata umum.

Teman rapat Erra Fazira juga ada menyebut yang beliau pernah menjadi tempat meluah perasaan aktress popular itu sejak kebelakangan ini apabila pertengkaran terjadi antara mereka berdua.

Bohong apa yang di’katakan sumber kami ini, maka bohong juga’lah seluruh entri ini. Tetapi jika benar, apa sebenarnya yang mahu Erra Fazira sorok dari pandangan peminat? Hmm.

Ramlah Ram Bela ‘Anak Ikan’?


Lebih 20 tahun pembabitannya sebagai anak seni belum ada lagi mana-mana cerita kontroversi mahupun gosip panas menghimpitnya. Meski dulu dia dilabel ‘artis kampung’, sedikitpun persepsi ‘sinis’ masyarakat itu tidak dibiarkan menjadi kudis dalam diri.

Namun bila pelantun lagu hits, ‘Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu’ ini dilaporkan menjalin hubungan cinta dengan pengurusnya peribadinya yang berusia 20-an atau lebih senang bela ‘anak ikan’, terjentik juga sedikit amarah Ramlah Ram atau mesra disapa Kak Melah.

Berkesempatan bertemu empat mata dengan Ramlah sewaktu sidang media Mentor musim keenam semalam, penyanyi berusia 46 tahun ini nyata terkejut dengan laporan akhbar baru-baru ini yang menyatakan dia mempunyai hubungan istimewa dengan pengurus peribadinya, Hafiz.

Malah dia turut menyifatkan dakwaan liar ini sebagai gosip ‘busuk’ dan secara tidak langsung telah menjejaskan reputasi bersih sepanjang lebih 20 tahun dia berada dalam industri hiburan.

“Semua itu fitnah. Sebenarnya saya malas nak ulas gosip ini panjang kerana ia telah memalukan diri saya dan keluarga. Saya telah berjumpa dengan penulis artikel tersebut dan menjelaskan situasi yang sebenar,” ujarnya kepada pihak media.

Jelasnya lagi, memang benar Hafiz sudah dua tahun bekerja untuknya sebagai pengurus peribadi dan mereka bekerja secara profesional tidak langsung menjalin hubungan istimewa seperti yang didakwa.

“Lagipun usia saya semakin meningkat, malu dibuatnya apabila gosip mengarut seperti ini disebarkan kepada masyarakat umum.

“Saya tahu siapa dalang yang menyebarkan fitnah ini. Cuma tidak pasti dan bagaimana dan apa puncanya cerita tersebut boleh tiba-tiba muncul. Barangkali orang tersebut tidak berpuas hati dengan saya dari soal kerja. Walaubagaimanapun saya tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadap individu tersebut kerana tidak mahu memperbesar-besarkan hal ini lagi,” jelasnya lagi.

“Perkara ini memang memalukan. Cukup-cukuplah. Tolong hentikan fitnah ini. Penulis itu pun telah meminta maaf. Cuma sebagai manusia kita ini tidak sesempurna mana, memang kita sudah memaafkan tapi dalam hati saya masih rasa geram lagi,” ujarnya yang juga merupakan salah seorang mentor untuk program realiti Mentor musim keenam.

Fida Sudah Temui Pengganti Mamat (Sepah)


KUALA LUMPUR: Selepas putus cinta dengan pelawak Mamat (Sepah), pelakon Rafidah Ibrahim, 25, (Fida) mengakui sudah menemui pengganti dan kini sedang menjalin hubungan dengan seorang usahawan yang dikenali sebagai ‘S’.

Fida berkata walaupun dia sudah mengenali lelaki berusia 30-an itu kira-kira satu tahun setengah yang lalu, mereka hanya mula rapat selepas dia berpisah dengan Mamat pada awal Oktober lepas.

“Kalau diikutkan saya sudah mengenali ‘S’ sebelum berkawan dengan Mamat lagi. Namun, hubungan kami sebelum ini terjalin atas dasar rakan niaga sahaja.

‘S’ muncul dan kami menjadi rapat selepas hubungan saya berakhir dengan Mamat,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Fida berkata dia tertarik kepada ‘S’ kerana kematangan dan cara pemikirannya yang banyak memberikan dorongan tentang dunia perniagaan dan kehidupan pada masa hadapan.

“Apa yang menarik tentang ‘S’ adalah kematangannya dalam membuat keputusan dan dia banyak mengajar saya untuk memikirkan tentang perancangan masa depan dan dunia perniagaan.

“Namun hubungan kami masih terlalu baru, tidak sampai enam bulan pun, jadi berilah ruang dan masa untuk kami lebih saling mengenali,” katanya.

Diusik tentang harapan yang pernah disuarakannya sebelum ini untuk mendirikan rumah tangga pada tahun depan, Fida berkata perkara itu memang menjadi impiannya namun dia hanya mampu berserah kepada Tuhan bagi menentukan jodoh yang terbaik.

“Memang saya pernah bercakap mengenai harapan untuk melangkah ke alam perkahwinan jika bertemu dengan jodoh yang terbaik.

“Pada tahun depan, usia saya pun akan mencecah 26 tahun tapi soal jodoh adalah ketentuan Allah, saya hanya mampu berserah,” katanya.

Ditanya adakah dia masih berkawan dengan Mamat, Fida berkata dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang atau mengenangkan semula insiden yang mencalarkan nama baik dan maruahnya.

“Bagi saya perkara yang lepas, biarlah berlalu. Kami tidak lagi berhubung, lagi pun ketika kami berdepan konflik tersebut, saya tidak melihat kesungguhannya untuk meleraikan kekusutan yang berlaku.

“Biarlah saya jalani hidup hari ini dengan pengalaman baru. Saya doakan yang terbaik untuk apa sahaja perkara yang dilakukannya,” katanya.

Hubungan Mamat dan Fida berakhir selepas pelawak tersebut dengan secara tidak sengaja telah memuat naik gambar Fida yang menampakkan sebahagian rambutnya ke akaun Facebook miliknya, sekali gus mengakibatkan gambar tersebut tersebar luas di Internet.

Mamat dalam satu kenyataannya sebelum ini kesal dengan kesilapan itu kerana telah mencemar nama baik Fida yang tidak pernah mendedahkan rambutnya di khalayak.

Yusry Kenali Hati Budi Lisa Melalui BlackBerry Messenger (BBM)


PUTRAJAYA: Penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim memberitahu menggunakan medium teknologi sebagai salah satu cara mendalami hati budi bakal isterinya, pelakon Lisa Surihani.

Yusry berkata, hampir setahun dia dan Lisa banyak berbual-bual mengenai pelbagai perkara menerusi BlackBerry Messenger (BBM) sebelum benar-benar serius dalam hubungan mereka.

"Sebelum ini kami hanya terserempak di majlis-majlis hiburan sahaja dan benar-benar berbual antara satu sama lain apabila Lisa datang ke pejabat saya untuk berbincang mengenai kerja.

"Dari sejak itu kami mula rapat sehinggalah ke tahap ini," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman tarikh perkahwinan pasangan itu di Putrajaya, Sabtu.

Yusry berkata, dia berasa selesa berkawan dengan Lisa kerana dia seorang yang lemah lembut, peramah dan begitu mengambil berat mengenai dirinya.

Ujarnya, dia bertambah selesa berkawan dengan bakal isterinya itu apabila tujuan dan objektif mereka dalam perhubungan adalah sama.

"Saya tidak mahu main-main apabila menjalinkan hubungan kerana matlamat saya adalah untuk berkahwin dan mempunyai seseorang yang mengambil berat dan akan menjaga saya sehingga akhir hayat.

"Lisa juga begitu dan faktor itu membuatkan saya lebih selesa dan ingin memperisterikannya," ujarnya.

Dalam pada itu, Yusry berkata, sejak awal bertemu dengan Lisa dia sudah terpaut hati dan faktor itu telah menggerakkan dirinya untuk lebih mengenali lisa.

Katanya, dia bukan sahaja terpaut dengan Lisa tetapi juga dengan ahli keluarganya.

"Perkahwinan bukan sahaja melibatkan dua pasangan tetapi seluruh keluarga. Tidak sampai setahun kami bercinta saya sudah berjumpa dengan keluarganya dan begitu juga dia.

"Nyata keserasian kami terhadap keluarga kedua-dua belah pihak cukup baik dan cukup menyenangkan saya," katanya.

Sementara itu, walaupun sedikit fobia untuk menjalinkan hubungan cinta dengan rakan artis, Lisa berkata, kualiti bakal suaminya yang disifatkan sebagai seorang yang baik dan merendah diri telah membuatkan hatinya terpaut pada lelaki berusia 38 tahun itu.

Malah katanya, Yusry pada awal perkenalan mereka bukanlah seorang terburu-buru atau pun 'gatal' yang membuatkan dirinya selesa.

"Pada awal perkenalan dulu abang (Yusry) tidak pernah menggatal dengan saya atau sesuatu perbualan itu menjurus ke arah itu.

"Kami lebih banyak BBM mengenai kerjaya, filem dan sebagainya dan dia sangat menghormati saya sebagai wanita," ujarnya.

Terdahulu, pasangan itu mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan pada 23 Februari depan selepas keluarga Yusry menghantar rombongan merisik kepada Lisa pada Jumaat malam.

Majlis akad nikah akan dilangsungkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya selepas solat Asar manakala resepsi perkahwinan dijadualkan pada 26 Februari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Aqasha Berkorban Masa Demi Anak, Isteri


PETALING JAYA: Sejak bergelar bapa dan ketua keluarga, pelakon dan penyanyi Aqasha akui tanggungjawabnya semakin besar.

Dia akan cuba melunaskan tanggungjawab tersebut sebaiknya sehingga sanggup berkorban masa daripada melakukan rutin sosial selepas kelahiran Alehandra Ahmad lebih tiga bulan lalu.

“Selepas selesai kerja, terus saya akan berkejar pulang ke rumah dan terpaksa melupakan niat untuk pergi berkaraoke dan berbual dengan kawan-kawan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Takkan saya nak biarkan isteri, Baizura menguruskan anak seorang diri. Jadi sebagai suami saya perlu membantunya.

“Bagaimanapun, saya seronok menjadi bapa kerana saya lebih mengenali diri-sendiri dan karakter anak,” katanya ketika ditemui di pelancaran drama Gemersik Kalbu di Sri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini.

Menurut Aqasha, nama Alehandra dipilih memandangkan dia meminati Alexander yang bermaksud ‘pejuang bangsa’ dan nama Ahmad bermaksud ‘yang terpuji’.

“Saya tidak mahu jika saya meletakkan nama Alexander nanti orang ingat saya mengagung-agungkan nama orang barat. Jadi sebab itu saya menukarnya kepada Alehandra.

“Saya berharap anak saya mempunyai budi pekerti yang elok kelak,” katanya lagi.

Bercerita tentang tugasnya sebagai bapa, Aqasha tidak kekok untuk mengendalikan anaknya seperti menukar lampin, membuat susu dan menjaga anak.

“Saya mahu anak membesar depan mata saya. Jadi, sebab itu saya tidak mahu orang lain menjaga anak kami. Tetapi sekiranya saya dan isteri sama-sama sibuk, kami akan menghantar Alehandra ke rumah ibu saya untuk dijaga sementara,” ujarnya yang memegang watak Sufian dalam Gemersik Kalbu di samping Ayu Raudhah.

Drama tersebut merupakan drama adaptasi dari novel Gemersik Kalbu yang ditulis oleh Anis Ayuni.

Bagaimanapun, Aqasha cuba tidak membaca novel tersebut kerana tidak mahu ada bayangan sendiri apabila memasuki set penggambaran drama arahan Heykal Hanafiah itu.

Selain itu, biarpun dalam drama itu Aqasha perlu melakukan babak romantik dengan Ayu, namun mereka saling profesional dan menganggap babak yang dilakonkan tidak keterlaluan.

Aqasha turut menyanyikan lagu Obsesiku yang turut dimuatkan dalam drama ini. Lagu tersebut merupakan lagu ciptaan Aqasha sepenuhnya.

Gemersik Kalbu akan mula bersiaran pada 2 Januari depan, setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3.

Erra Fazira, Suami Tiada Masalah


PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira, 37, menjelaskan, ketiadaan suaminya bersama dalam majlis-majlis tertentu bukanlah bererti mereka sedang menghadapi masalah rumah tangga seperti mana yang diperkatakan sesetengah pihak.

Kata Erra, dia tidak perlu menjadi seperti sesetengah selebriti lain yang sering membawa pasangan masing-masing untuk ke sesebuah acara sebaliknya dia perlu menjaga perasaan suami yang tidak gemar menjadi perhatian umum.

"Ada orang selesa jika kita kerap membawa pasangan ke acara hiburan dan ada kalanya pula mereka tidak suka. Jadi saya tidak boleh nak ikut kehendak semua. Bagi pihak saya pula, terpulang kepada Emran untuk mengikut saya atau tidak.

"Mengenai perhubungan kami pula, tidak perlulah saya hendak hebohkan kepada umum. Biarlah rahsia. Lebih-lebih lagi untuk azam 2012 saya ingin memberi fokus lebih kepada kerjaya," kata ibu kepada Engku Aleesya, 2.

Tambah Erra lagi, tahun 2012 juga bakal memperlihatkan dirinya kembali aktif di pentas nyanyian selepas hampir dua tahun dia tidak beraksi.

Malah pelakon drama Kelas Kau Maria ini berkata dia juga sedang memikirkan tentang beberapa tawaran menjadi duta produk.

Dalam pada itu, Erra juga bersyukur pada usia yang hampir mencecah 40 tahun ini, dia masih lagi menerima pelbagai tawaran lakonan sehingga membuatkan dia terpaksa memilih mengikut kesesuaian watak.

"Saya percaya, jadual kerjaya yang padat ini mesti ada sesuatu yang dirancang Allah S.W.T. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

"Ini kerana apabila saya merancang sesuatu, perkara lain pula yang muncul. Apa-apa pun, saya anggap ia sebagai rezeki buat keluarga," ujarnya.

Zain Saidin Sangkal Rancang Gosip Cinta Untuk Popular


KUALA LUMPUR: Pelakon kacak Zain Saidin, 27, (Zain) menolak pandangan yang mendakwa gosip hubungan cintanya dengan aktres Rozita Che Wan adalah strategi yang sengaja dirancang untuk melonjakkan popularitinya.

Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin berkata persepsi liar itu adalah tidak berasas dan dia tidak pernah terfikir mengenai pendekatan sedemikian untuk meraih publisiti dengan mudah.

“Saya tidak pernah menggunakan sebarang strategi untuk popular dan tidak pernah terfikir untuk mengada-adakan cerita saya mempunyai hubungan dengan Rozita Che Wan untuk meraih publisiti.

“Secara kebetulan sahaja saya dikaitkan dengan dia dan nampaknya gosip itu terus diperkatakan sehingga hari ini,” katanya.

Zain berkata pada hakikatnya dia sudah mula dikenali sebelum gosip hubungannya dengan aktres Kiah Pekasam itu diperkatakan lagi. Justeru, katanya tidak timbul isu kononnya dia sengaja merancang strategi tersebut untuk cepat dikenali.

“Gosip adalah asam garam dunia artis. Walaupun sudah beberapa kali saya jelaskan bahawa kami hanya berkawan biasa, cerita itu terus diperkatakan. Jadi, saya terima sahaja gosip itu dengan hati terbuka,” katanya.

Bagaimanapun, Zain tidak menyangkal sejak gosip itu hangat diperkatakan, rezekinya dalam bidang lakonan semakin bertambah.

Ia sekali gus membuktikan bahawa gosip itu turut membantu dalam mengembangkan jenamanya sebagai pendatang baru.

“Saya tidak nafikan bahawa memang gosip saya dan Rozita turut memainkan peranan dalam perkembangan kerjaya saya.

“Memang benar, sejak gosip itu tersebar rezeki dalam lakonan juga semakin berkembang,” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terbaru, adik kepada penyanyi Sasha Saidin ini berkata dia kini mula berjinak-jinak dalam perniagaan baju-T untuk lelaki dan perempuan secara dalam talian.

Kata Zain, perniagaan baju-T berjenama ZPT Design itu diusahakan sejak dua bulan itu dan kesemua rekaannya diilhamkan olehnya sendiri. Ia dijual pada harga RM39.90 sepasang.

“Selain pilihan rekaan yang ditawarkan, pembeli juga boleh menghasilkan rekaan sendiri pada baju-T mereka. Mereka cuma perlu tambah RM10 sahaja daripada harga baju. Buat masa ini, kaedah penghantaran adalah secara pos atau boleh diambil di tempat-tempat tertentu,” katanya.

Anzalna Enggan Hanyut Kerana Populariti


ASALNYA, bakat baru bernama Anzalna Nasir atau mesra disapa Anzalna ini mengakui tidak pernah terlintas untuk bergelar seorang pelakon.

Apatah lagi untuk dia menceburi dunia lakonan secara profesional, sekali gus menjadikan bidang ini sebagai periuk nasinya sejak enam bulan lalu.

Fakta itu berulang kali diluahkan aktres kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini tika bertandang ke Menara Star bagi menjayakan sesi fotografi untuk keluaran terakhir OopStarz! ini.

Jelas finalis pertandingan Dewi Remaja 2010 ini, hingga ke saat perbualan kami berlangsung, dia masih tercari-cari laluan dan objektif sebenar dirinya melangkah ke dunia hiburan yang penuh ranjau ini.

“Jika majoriti anak seni yang menceburi bidang ini sudah tahu matlamat dan hala tuju mereka daripada hari pertama lagi tetapi itu tidak berlaku kepada saya.

“Terus-terang, saya menyertai bidang ini dengan niat sekadar cuba-cuba dan hanya mengikutkan rentak dan perancangan yang telah terbentang di depan mata,” katanya.

Imbas Anzalna, sejurus berakhir pertandingan itu pada hujung tahun lalu, dia masih mengintai peluang terbaik dalam bidang ini sehinggalah tawaran untuk membintangi drama bersiri Suria Di Cardoba terhidang.

“Pada asalnya, sebaik sahaja program Dewi Remaja 2010 berakhir, saya langsung tidak terfikir untuk menceburi bidang lakonan. “Kebetulan, pada waktu itu saya menerima tawaran berlakon drama Suria Di Cardoba, jadi daripada situ saya terima sahaja tawaran tersebut untuk menguji kebolehan.

“Tidak sangka pula, dalam pada perasaan ragu-ragu dan tidak pasti itu, rupa-rupanya bidang ini menjadi kerjaya utama saya,” katanya.

Cintai dunia lakonan

Biarpun rasa cinta pada lakonan mula meresap jiwa raganya, Anzalna mengakui penerimaan yang berlaku secara perlahan-lahan itu tidak tercetus dengan sewenangnya.

Sambungnya, dalam keseronokannya menimba ilmu dan pengalaman lakonan saban hari, dia tidak menyangkal jauh di lubuk hatinya masih terdetik persoalan sejauh mana dia mahu pergi dalam bidang ini.

“Saya bersyukur atas peluang yang diberikan hingga kini tetapi pelbagai persoalan sering bermain di fikiran, apakah bidang ini akan menjadi karier kekal untuk saya dan jika ini jalan yang telah ditetapkan selama mana saya mampu bertahan?

“Setakat ini saya gembira dengan fasa kehidupan hari ini yang menjanjikan pendapatan lumayan. Malah, saya akui antara sebab saya menceburi bidang hiburan pada awalnya adalah kerana faktor pendapatan,” katanya.

Namun begitu, anak kedua dalam keluarga ini berkata ia bukan alasan untuknya mengambil mudah tanggungjawab yang diberikan setiap kali terlibat dalam sesebuah produksi drama atau filem.

Biarpun dia tidak menyasarkan untuk kekal lama, peluang yang hadir kala ini, ujarnya harus bijak dimanfaatkan demi punca rezeki itu.

Pandangan dangkal

Mendengar pengakuan telus kronologi pembabitannya yang dilihat kurang serius pada awalnya, Anzalna ditanya mengenai pandangan berhubung kemunculan pelapis yang lebih menonjol berbanding hasil kerja masing-masing.

Sempat menguntumkan senyuman, gadis ini berpendapat bahawa banjiran bakat baru dalam dunia hiburan khususnya seni lakon tidak membawa manfaat kepada perkembangan industri seni tempatan jika mereka muncul dengan tujuan yang salah.

“Saya akui ketika menyertai bidang ini matlamat saya adalah untuk memperoleh pendapatan yang lumayan. Malah, saya tidak peduli pun soal populariti kerana apa yang lebih penting adalah mendapat tawaran lakonan yang berterusan sebagai sumber pendapatan.

“Namun, pandangan dangkal itu mula berubah selepas saya mendalami bidang ini. Saya mula sedar bahawa saya perlu komited terhadap setiap ringgit yang dibayar dengan memastikan lakonan saya menepati kehendak pengarah dan skrip sesebuah karya itu.

“Namun, jika ada di kalangan bakat baru yang masuk ke industri ini untuk popular atau menjadikan ia platform untuk tujuan tidak baik, maka tidak ada gunanya industri kita mempunyai 1,000 bakat baru sekalipun.

“Kalau jumlahnya ramai tetapi tidak berkualiti dan mempunyai tujuan yang salah, kuantiti itu tidak akan membantu untuk mengangkat dunia seni tanah air ke tahap yang baik,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Cintai Lelaki Muda, Ramlah Ram Kenal Pasti Penyebar Fitnah


PETALING JAYA: Penyanyi Ramlah Ram, 46, terkejut apabila dikaitkan mempunyai hubungan dengan pengurus perubadinya yang berusia 20-an seperti dilaporkan akhbar baru-baru ini.

Ramlah berkata, gosip yang dianggap 'busuk' itu telah menjejaskan reputasinya sebagai seorang penyanyi yang sentiasa menjaga rekod bersih sepanjang berada dalam industri hiburan tempatan.

"Gosip tersebut adalah tidak benar sama sekali. Saya malas nak ulas gosip ini panjang lebar kerana ia telah memalukan diri saya dan keluarga. Buat masa ini, saya telah berjumpa dengan penulis artikel tersebut dan menjelaskan situasi yang sebenar.

"Memang Hafiz sudah dua tahun bekerja untuk saya tetapi dia bukanlah seperti yang didakwa itu. Malah kami bekerja secara profesional. Dengan usia saya yang sudah meningkat begini, agak malu dibuatnya apabila gosip mengarut seperti ini disebarkan kepada khalayak," katanya yang ditemui pada sidang akhbar Mentor 6 di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, Rabu.

Tambah Ramlah yang baru sahaja muncul dengan single baru, Sesaat Kau Datang (kolaborasi dengan duo Sleeq), dia tahu siapa dalang yang menyebarkan fitnah tersebut.

Bagaimanapun, dia tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap individu tersebut.

"Perkara ini memang telah memalukan saya. Hati ini masih ada rasa geram," ujarnya yang menjadi mentor dalam pertandingan realiti Mentor musim keenam pada tahun hadapan.

Bercerita tentang tanggungjawab barunya sebagai mentor itu, Ramlah sudah bersedia untuk mencari bakat baru yang memiliki kriteria-kriteria yang diingini untuk diasah menjadi seorang penyanyi profesional yang hebat.

"Antara ciri-ciri utama protege yang saya inginkan, mereka mempunyai gaya dan personaliti yang tersendiri dan tidak menjadi klon kepada mana-mana penyanyi yang tersedia ada.

"Apa-apa pun, ia satu tugasan yang besar buat saya untuk mengasah bakat seseorang dengan jangka masa yang pendek dan ia bukan senang, lebih-lebih lagi melibatkan markah daripada undian khidmat pesanan ringkas (SMS)," jelasnya.

Selain Ramlah, antara selebriti yang menggalas tanggungjawab sebagai mentor untuk musim terbaru ini ialah Faizal Tahir, Ferhad, Ella, Ogy Ahmad Daud, dan Adam (AF).

Uji bakat akan berlangsung bermula di negeri Sabah dan Sarawak iaitu pada tarikh 13 Januari depan di Hotel Promenade, Tawau dan 15 Januari (Hotel Promenade, Kota Kinabalu), 20 Januari (Hotel Imperial, Miri) serta 22 Januari di Hotel merdeka Palace , Kuching.

Pada bulan Februari pula, uji bakat bersama setiap mentor akan diadakan di Sri Pentas TV3 iaitu Fauziah Ahmad Daud atau Ogy (4 Februari), Faizal Tahir (5 Februari), Ramlah Ram (11 Februari), Ferhad (12 Februari), Ella (18 Februari) dan Adam AF (19 Februari).

Zain Saidin Temani Rozita & Anak-Anak Bercuti


PETALING JAYA: Pelakon jelita, Rozita Che Wan, 38, mengakui keluar bersama pelakon yang digosipkan mempunyai hubungan cinta dengannya iaitu Zain Saidin di Genting Highlands, Pahang Isnin lalu.

Rozita berkata, percutian sehari itu turut disertai oleh dua orang anaknya iaitu Ammar Effendy,15, dan Aniq Ezzra,12, yang sekarang ini sedang bercuti penggal persekolahan.

"Memang saya pergi ke Genting Highlands bersama Zain tetapi jangan salah anggap pula sebab anak-anak saya pun ikut sama. Kebetulan pula sekarang ini tengah cuti sekolah," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Khamis.

Rozita diminta mengulas mengenai hubungannya dengan Zain selepas pihak mStar Online mendapat panggilan telefon daripada beberapa orang peminat dan juga pekerja di pusat peranginan itu yang melihat mereka.

Tambah pelakon Kiah Pekasam ini, dia tidak mempunyai apa-apa hubungan cinta dengan Zain tetapi disebabkan anak-anaknya begitu rapat dengan pelakon tersebut maka adalah lebih baik dia mengajaknya bersama.

Sebagai bukti mereka rapat kata Rozita, pada malam ini (Khamis) anak-anaknya turut keluar bersama Zain untuk bermain futsal.

Sementara itu Zain yang dihubungi enggan memberi sebarang komen berhubung cerita itu sebaliknya dia mengambil pendekatan untuk menghubungi Rozita terlebih dahulu.

“Saya tengah nak main futsal ni. Saya komen yang sama la (seperti Rozita).

Dalam perkembangan lain, Rozita memberitahu jadual kerjayanya agak padat sehingga Ogos tahun hadapan dengan pelbagai tawaran berlakon telefilem dan drama bersiri.

Rozita berkata, dia juga bakal sibuk dengan perniagaan tudungnya, Padusi yang ingin diusahakan secara lebih serius.

"Alhamdulillahlah rezeki mencurah-curah sehingga jadual kerjaya saya telah pun penuh sehingga Ogos depan selain perniagaan tudung yang bakal saya usahakan secara lebih serius," ujarnya.

Tambahnya, ketika ini dia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Mr. Labuci arahan Murali Abdullah selain sedang giat dengan drama bersiri Mencari Athirah sebanyak 13 episod.

Elly Suriati Menangis Kerana Keguguran


PETALING JAYA: Pelakon, Azri Iskandar memberitahu isterinya, Elly Suriati sering menangis kerana tertekan selepas mengalami keguguran ketika mengarahkan filem Penanggal di Kampung Sayong, Kuala Kangsar, Perak pada Rabu.

Azri berkata, isterinya seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan kerana kehilangan bayi ketika usia kandungan itu telah mencecah empat bulan.

"Saya bimbang Elly tertekan dengan apa yang berlaku dan saya sering menyatakan kepadanya bahawa ia bukan salah sesiapa kerana itu adalah ketentuan Allah SWT. Walaupun sedih saya berusaha untuk menenangkan dia," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Elly dikatakan menyedari mengalami keguguran apabila hendak membuang air kecil dan secara tiba-tiba berlaku pendarahan yang memaksanya di bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Azri berkata, selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan Elly mengalami keguguran dan terpaksa ditahan di Hospital Kuala Kangsar.

Elly ketika kejadian Elly baru sahaja selesai merakamkan adegan pada waktu malam filem itu yang berakhir sehingga lewat pagi.

"Penggambaran filem habis lewat sehingga pukul enam pagi. Keguguran itu berlaku mungkin disebabkan dia terlalu aktif dan lasak ketika di lokasi namun itu adalah suratan daripada-Nya," kata Azri.

Terdahulu sebelum ini, Elly dan Azri berkongsi khabar gembira apabila memberitahu mereka bakal menimang cahaya mata keempat dan pengumuman itu dibuat semasa pelancaran filem Penanggal baru-baru ini.

Elly yang ditemui nyata gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka dan memberitahu yakin dapat melakukan kerja-kerja pengarahan walaupun sedang berbadan dua.

Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan tiga orang anak namun anak keduanya telah meninggal dunia.

Dalam perkembangan lain, Azri berkata, penggambaran filem Penanggal yang turut menampilkannya sebagai pelakon akan dihentikan buat beberapa hari sementara menunggu keadaan kesihatan Elly kembali pulih.

Penanggal adalah filem arahan pertama Elly dan dibarisi oleh pelakon seperti Zul Ariffin, Umi Shazera, Fasha Sandha dan Datuk Sharifah Aini.

SOROTAN 2011: Perkahwinan artis

PETALING JAYA: Tahun 2011 yang akan melabuhkan tirainya dalam masa beberapa hari lagi akan memberi kenangan yang terindah buat artis dan selebriti tempatan apabila mereka melangkah ke alam perkahwinan.

Tentunya kehadiran 2012 akan memberi sinar baru buat mereka agar apa yang diazamkan dalam hidup akan terlaksana.

Kenangan indah sepanjang tahun ini bermula seperti berikut:

1) Ayu Raudhah-Zaquan Adha

Ayu Raudhah,26, sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, pada majlis pernikahan mereka di Masjid Sultanah Bahiyah, di Alor Setar pada 21 Januari tahun ini.

Pada majlis yang serba ringkas itu, Ayu atau nama sebenarnya Raudhah Abu Bakar @ Che Wan yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Man Kajang berwarna krim menerima mas kahwin RM1,888 serta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dan berbalas sembilan dulang.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Difahamkan, wang hantaran itu mempunyai kaitan dengan angka lapan, iaitu nombor jersi Zaquan.

2) Sabrina Ali-Syed Amirul Syed Ahmad

Tiada angin tiada ribut, pelakon Sabrina Ali, 31, mengesahkan sudah berumah tangga dengan jejaka pilihan hatinya pada awal tahun ini.

Bagaimanapun Sabrina yang dikhabarkan bernikah dengan Syed Amirul Syed Ahmad berusia 29 tahun itu enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan tidak diketahui mengapa dia enggan menghebahkan pernikahan berkenaan.

3) Siti Sarah-Shuib (Sepahtu)

Penyanyi Sarah Raisuddin, 27, kini sah bergelar isteri kepada salah seorang ahli kumpulan Sepahtu, Shahmira Muhahamad (Shuib), pada majlis pernikahan mereka yang diadakan di Jeumpa D'Ramo, Bangsar, pada 26 Februari lalu.

Pasangan ini menerima kelahiran anak sulung lelaki, Uwais Alqarni pada 4 Disember lalu.

4) Farish Aziz-Zahrah

Pelakon drama Kau dan Aku, Farish Aziz, 27, yang bernikah dengan isterinya, Zahrah Fowzi, 27, pada 18 Februari lalu di Hotel Shang Ri La Tanjung Aru Beach, Kota Kinabalu, Sabah memulakan alam perkahwinannya tidak seperti pasangan lain apabila terpaksa berpisah buat sementara waktu.

Ini kerana isterinya masih baru berkerja sebagai peguam di sebuah syarikat guaman di Sabah manakala Farish terikat dengan kariernya sebagai pelakon dan pengacara di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Farish dan isteri yang sama-sama berasal dari Kota Kinabalu berkemungkinan akan berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu atau sebaliknya untuk menghabiskan masa bersama-sama.

5) Noh (Hujan)-Mizz Nina

Selepas bertunang selama lapan bulan, penyanyi dari kumpulan Hujan iaitu Noh atau nama sebenarnya Mohammed Noh Salleh, 26, sah bergelar suami kepada penyanyi Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 31, pada 1 Julai lalu.

Majlis pernikahan mereka dilakukan di kediaman keluarga Nina di Ukay Heights, Ampang, Kuala Lumpur.

6) Tomok-Ayu

Penyanyi yang pernah popular dengan kumpulan Newboyz, Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 27, turut berkongsi tarikh pernikahannya dengan Noh dan Nina apabila sah menjadi suami kepada pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Rahayu Abbas, 32, di Dewan Serbaguna AU2 Taman Keramat, Kuala Lumpur, pada 1 Julai lalu.

Menurut Tomok, dia gembira selama lapan tahun bercinta, akhirnya dia menjadi suami kepada Rahayu atau nama panggilannya, Ayu, dan berharap agar cinta mereka akan mekar sehingga akhir hayat.

Pasangan ini sedang menunggu kelahiran cahaya mata sulung.

7) Nabil (Raja Lawak)-Nazirah

Selepas dilanda pelbagai kontroversi termasuk perpisahannya dengan pelakon Irma Hasmie, pelawak dan pelakon, Ahmad Nabil Ahmad, 28, sah bergelar suami kepada bekas pramugari AirAsia, Nazirah Ayub, 23, pada 30 September lalu.

Majlis pernikahan mereka diadakan di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya, di mana Nabil menyerahkan mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin bernilai RM5,000 manakala wang hantaran sebanyak RM15,000 kepada pengantin perempuan.

8) Zed Zaidi-Natalia Mustafa Kamal

Bermula daripada perkenalan di laman social Facebook, pelakon Zed Zaidi, 31, atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil menamatkan zaman bujangnya dengan Natalia Mustafa Kamal, 28, pada 29 April lalu di Restoran Felda Villa, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Pasangan ini juga sedang menunggu kelahiran anak pertama selepas isteri Zed disahkan hamil.

9) Fazren Rafi-Syarifah Marlina

Melangsungkan pernikahan pada 1 Mei di kediaman isterinya di Perak, pelakon Spa Q, Mohd Fazren Rafi atau Fazren begitu teruja mengimamkan isteri, Sharifah Marlina Ashikin Syed Hasan selepas bernikah.

10) Faezah Elai-Heykal Hanafiah

Pelakon Faezah Elai, 29 ,sah bergelar isteri kepada pengarah drama, Heykal Hanafiah, 38, yang diadakan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Gelugor, Pulau Pinang, pada 9 September lalu.

Pasangan ini berharap pernikahan tersebut menutup segala kontroversi tentang hubungan mereka.

11) Fedtri Yahya-Nurul Anati Ismail

Pengacara Malaysia Hari Ini, Fedtri Yahya, 30, bernikah dengan Nurul Anati Ismail, 26, pada 28 Mei lalu di rumah pengantin perempuan di Pengkalan Machang, Pasir Mas, Kelantan.

Bagaimanapun Fedtri dan isteri dikejutkan dengan berita sedih apabila isterinya mengalami keguguran bayi pertama pada 26 Julai lalu.

12) Eira Syazira-Azad Jasmin

Pelakon Syazira Shuhaimi atau Eira Syazira, 27, sah bergelar isteri kepada pelakon Azad Jazmin John Louis Jeffri yang diadakan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Putrajaya pada 16 September lalu. 13) Nurul Syuhada-Raja Amir Raja Azwa

Pengacara Majalah Tiga, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin,27, selamat diijabkabulkan dengan pegawai bank, Raja Amir Shah Raja Azwa,29, di Binjai On The Park, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pada 16 Julai lalu.

14) Ana Dahlia-Chef Riz

Pelakon Ana Dahlia, 28, sah bergelar isteri kepada chef selebriti, Mohd. Nadzri Redzuawan atau Riz, 29 , di rumah pengantin perempuan di Taiping, Perak pada 11 Disember lalu.

15) Memey Suhaiza-Norman Hakim

Pelakon Norman Hakim, 35, telah selamat dinikahkan dengan pasangannya, pelakon Memey Suhaiza, 23, pada 24 September lalu di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

Sebelum berkahwin, pasangan ini dilanda dengan pelbagai kontroversi termasuk Memey dikatakan merampas Norman daripada bekas isteri Norman, pelakon Abby Abadi dan kes khalwat mereka.

16) Dira Abu Zahar-Helmi Yusof

Pelakon Khaidhirah Abu Zahar atau Dira, 27, sah bergelar isteri kepada pengarah fotografi Mohd. Helmi Mohd. Yusof atau Helmi di kampung halaman pengantin perempuan di Merlimau, Melaka, pada 11 November lalu.

17) Zahiril Adzim-Shera Aiyob

Pelakon Zahiril Adzim, 27, sah bergelar suami kepada pengacara Shera Aiyob, 25, di rumah pengantin perempuan di Ipoh, Perak pada 20 November lalu.

18) Ashraf Muslim-Noor Dayana

Pelakon Ashraf Muslim, 30, bernikah dengan Noor Dayana, 24, pada 30 Ogos lalu di Mekah.

19) Nurul (AF2)- Mohd Munzil Muhamad

Pernikahan Nurul (AF2) menjadi kontroversi apabila dia dan suami, Mohd Munzil Muhamad bernikah di Thailand pada 23 April lalu.

Bagaimanapun pasangan itu tidak pernah membelakangi keluarga sehingga mengambil keputusan bernikah di Narathiwat.

Ramlah Ram bercinta lagi?


Yusry & Lisa Umum Tarikh Nikah Sabtu Ini


PETALING JAYA: Selepas sekian lama berteka-teki mengenai tarikh perkahwinan mereka, pasangan artis Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim akan membuat pengumuman istimewa mengenai perkara itu pada Sabtu ini.

Jemputan mengenai pengumuman berkenaan telah dihantar oleh pihak KRU Studios kepada pihak media pada petang Khamis.

Majlis berkenaan akan diadakan pada pukul 10.30 pagi di Hotel Marriott, Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim yang juga abang kepada Yusry ketika dihubungi bagi mengesahkan perkara itu hanya ketawa dan memberitahu akan menjelaskan perkara sebenar kepada pihak media pada hari berkenaan.

"Ia merupakan satu pengumuman istimewa dan pastinya ia akan diberitahu pada majlis nanti. Kalau saya beritahu sekarang tak ada kejutanlah," katanya berseloroh.

Pada pengumuman itu nanti, ibu bapa Yusry iaitu Abdul Halim dan Zarina Fenner serta ibu Lisa, Siti Amira Ahmad juga akan turut serta.

Difahamkan Yusry dan Lisa akan bernikah pada awal tahun depan yang mana majlis berkenaan akan mendapat liputan secara langsung menerusi saluran Astro.

Pasangan tersebut sudah mula rapat sejak Mac lalu dan sering berhubungan menerusi telefon bimbit masing-masing sejak setahun yang lepas.

Kemudian kedua-dua mereka membuat pengakuan pertama pada bulan Jun bahawa mereka sedang menjalinkan hubungan lebih daripada seorang kawan dan menganggap ia sebuah perhubungan yang matang.

PMR: Didie Alias Bangga Anak Dapat 8A


PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Didie Alias menganggap kejayaan anak ketiganya, Nur Dinie Ridzuan, 15, merangkul 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai satu hadiah paling istimewa buat dirinya.

Didie Alias berkata kejayaan anaknya dalam PMR yang diumumkan Khamis itu bagaikan pengubat kepada semua hasil penat lelahnya selama ini.

"Ketika nama Nur Dinie diumumkan di dewan Sekolah Kebangsaan Bukit Indah, Ampang, saya sendiri terkejut dan tidak percaya kerana hanya tiga orang sahaja yang diumumkan mendapat 8A.

"Sebagai seorang ibu sudah tentu ada perasaan bangga dan ini merupakan hadiah paling istimewa buat saya. Biar apa juga orang ingin kata tentang saya namun kejayaan ini membuktikan saya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dengan baik," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Ditanya tentang kunci kejayaan anaknya, Didie berkata dia sentiasa memantau pembelajaran setiap anaknya biarpun sibuk dengan kerjaya.

"Saya tidak nampak dia belajar 24 jam tetapi saya yakin dia menumpukan perhatian sewaktu di sekolah selain mengikuti kelas tambahan di luar waktu sekolah.

"Sebagai ibu sudah tentu saya pantau setiap perkembangan persekolahan dan prestasi akademiknya dari semasa ke semasa," ujarnya.

Sementara itu, jelas Didie dia masih belum merancang sebarang hadiah sebagai ganjaran atas kejayaan tersebut.

"Saya tidak janjikan apa-apa pada dia dan dia juga hanya minta doa dari saya untuk berjaya cemerlang PMR ini," katanya.

Selain Nur Dinie, Didie juga mempunyai empat lagi cahaya mata hasil perkahwinan pertamanya dengan pelakon Ridzuan Hashim iaitu Nur Dania, Muhammad Daniel dan Nur Diyana dan Nur Dayini.

Ain Tidak Serik Dikecam Kerana Gambar Seksi


PETALING JAYA: Gara-gara penyebaran gambar seksinya, pelakon baru, Nurul Ain Nordin (Ain) akui ada pihak yang mengecam dan tidak kurang juga yang menyokong dirinya di laman sosial Facebook.

Biarpun gambar tersebut memberikan kesan kepada Ain, namun dia menerima respons yang menunjukkan ada juga peminatnya yang akan menonton filem yang dikaitkan dengan kontroversi itu yang berjudul Satu Malam Kubur Berasap.

“Semuanya bergantung kepada penonton kerana ada yang ingin menonton filem itu disebabkan ceritanya dan bukan kerana gambar seksi itu semata-mata.

“Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, gambar itu hanya diambil dan disunting untuk dimuatkan pada poster bagi mempromosikan filem tersebut.

"Tetapi ada pihak yang menyalahgunakan gambar itu dengan menyebarkan gambar asal,” katanya yang pernah muncul dalam filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie.

Bagaimanapun, Ain tidak menyalahkan pihak produksi apabila gambar tersebut tersebar.

“Saya tiada masalah dengan pihak produksi dan tidak menuduh mana-mana pihak,” katanya yang pertama kali memegang watak utama melalui filem ini.

Biarpun dikecam, Ain tidak serik untuk tampil dengan imej seksi jika diminta dalam filem atau drama yang ditawarkan kelak.

“Saya akan melihat kepada tawaran dan sejauh mana saya diminta berpenampilan seksi. Jika saya rasa boleh lakukan, saya akan terima. Bagaimanapun, saya tetap akan menjaga sensitiviti masyarakat agar perkara yang sama tidak berulang lagi.

“Saya perlu belajar daripada kesilapan. Tetapi pada saya seksi itu subjektif,” ujarnya.

Ain melakonkan watak seorang wanita bernama Siti yang telah meninggal dunia setelah menjadi mangsa rogol. Roh Siti mula mengganggu ketenteraman penduduk di Kampung Angan Tak Sudah bagi menuntut bela di atas kematiannya.

Suatu Malam Kubur Berasap, turut membariskan lima alumni Raja Lawak iaitu Angah, Along, Azrul, Wira dan Faiz, pelakon Zach Diamond, Ruminah Sidek, Zami Ismail dan Accapan.

Filem arahan Ernie Chen ini akan ditayangkan di pawagam mulai 22 Disember ini di seluruh pawagam di negara ini.

Seksi Faralyna bertempat


FARALYNA IDRIS begitu klasik jika diteliti setiap inci wajahnya. Bagai mengimbas kembali nostalgia pelakon-pelakon Melayu beberapa era terkebelakang.

Sejak mula menghiasi kaca televisyen melalui drama remaja popular, Kisah Kaisara di TV3, bayangan karakter Melati menerusi drama bersiri Asmara masih melekat dari raut pucuk muda itu.

Tempoh tiga tahun perjalanan dalam dunia seni, rekod karier Faralyna, 20, atau lebih mesra disapa Fa bersih daripada sebarang kontroversi atau gosip tidak enak.

Sehinggalah kemunculannya di layar perak menerusi filem Klip 3GP menerusi watak Sandra, seorang gadis yang menjadi mangsa rogol dan bunuh oleh abang kandung sendiri lakonan Iskandar Zulkarnain.

Babak yang menuntutnya 'menepati' kehendak penonton dan pengarah dikatakan sedikit melampau jika dipandang dari sudut aksi dan pemakaian. Faralyna kelihatan sangat seksi dalam melakonkan babak rogol.

Tidak cepat melatah atas dakwaan sesetengah pihak yang menonton filem yang digarap daripada kisah sebenar itu, Faralyna yang senang dipanggil ringkas Fa tampil memberi jawapan.

"Cerita itu dekat dengan kita sebenarnya, semua yang dipaparkan adalah perkara yang berlaku di sekeliling kita yang mungkin kita sendiri tidak sedari.

"Mengenai babak itu, Fa sudah banyak berbincang dengan pengarah yang pada mulanya dicadangkan untuk merakam aksi baju Fa dikoyakkan, tapi Fa menolak takut nanti ada bahagian tak sepatutnya pula nampak.

"Akhirnya, Fa rasa sudah banyak suntingan dibuat mengenai babak itu saja dan kalau nak Fa beraksi separuh bogel selepas disunting memang tidak boleh," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menyejukkan keadaan, Faralyna memohon maaf atas perlakuan yang mungkin tidak disenangi sesetengah pihak. Malah, meletakkan satu tanda aras sejauh mana nilai seksi untuk dia beraksi selepas ini.

"Audiens perlu faham, itu adalah adegan rogol. Kalau difikirkan balik tidak mungkin perogol akan pakaikan balik baju selepas buat perkara itu.

"Mungkin Fa tidak sedar bahawa babak itu mengundang rasa kurang senang penonton, jadi Fa minta maaf dan Fa harap audiens faham dan lebih open minded, itu realiti yang berlaku kepada kita di luar sana," ujarnya lembut.

Dipaksa masuk teater

Tambah Faralyna, seksi dalam erti kata dirinya sendiri sudah diberi semaksimum mungkin menerusi lakonannya dalam filem Klip 3GP dan takat itu dihadkannya.

"Itu sudah sampai tahap Fa, selepas ini kalau ada yang tawarkan watak yang lebih melampau daripada watak Sandra dalam Klip 3GP Fa tak boleh buat! Terus terang Fa cakap, itu dah tahap maksimum yang Fa sudah bagi," tegas anak kedua daripada tiga beradik itu.

Sedar akan usianya dalam dunia lakonan baru setahun jagung, Faralyna tidak menyandarkan harapan tinggi untuk menjadi popular.

"Fa baru tiga tahun dalam bidang ini dan masih banyak lagi yang perlu belajar, Alhamdulillah kerjaya sekarang di tahap senang dan tak susah hati sebab tak ada tawaran berlakon. Semua orang ada sasaran, Fa teringin nak orang kenal siapa Fa terlebih dahulu dan sedar kewujudan Fa dalam industri, masih jauh lagi perjalanan karier seni Fa," tuturnya yang tidak mengejar populariti.

Faralyna suatu ketika dahulu tidak pernah terfikir sebenarnya untuk bergelar seorang selebriti apatah lagi pelakon. Katanya dia langsung tidak berminat untuk berlakon sementelah dia sering dipaksa menyertai persembahan teater di sekolah setiap tahun.

"Fa dipaksa masuk teater setiap akhir tahun ketika belajar, tak boleh lari. Masa itu memang menyampah habis! Tapi tiba-tiba terlanjur dalam bidang lakonan dan selepas berlakon dalam dua tiga drama, Fa rasa seronok sebab boleh menjadi orang lain dan meneroka banyak benda," bicara si cantik manis itu lagi.

Nasha Aziz diangkat sebagai idolanya berlakon, kata Faralyna, pelakon pujaannya itu ada gaya sendiri ketika beraksi.

"Fa tak pernah pergi kelas lakonan, maka banyak rujukan Fa adalah pelakon-pelakon senior termasuk Nasha Aziz. Fa suka melihat dia berlakon, dia relaks, tidak buat-buat dan karakter dia Fa lihat lebih kurang sama dengan Fa," jelas buah hati pelakon Hairul Azreen itu.

Kasut tumit tinggi

Arwah ibunya, Jalaliah Ismail yang pergi meninggalkannya empat tahun lalu banyak berpesan terutama dalam bidang akademik. Cerita Faralyna, sehingga kini masih terngiang-ngiang pesanan arwah ibunya. Katanya: "Nak buat apa-apa kena habis belajar dulu."

Begitu juga bapanya, Mohd. Idris Osman yang katanya tegas berhubung tentang pelajaran. "Dulu pun ayah Fa tidak suka sangat Fa berlakon, dia mahukan Fa jadi juruterbang dan itu pun cita-cita Fa sebenarnya memandangkan Fa seorang yang suka mengembara.

"Tapi banyak benda yang tidak mengizinkan untuk Fa sambung belajar dalam bidang itu, Insya-Allah kalau semua sudah stabil nanti Fa akan sambung belajar. "Buat masa sekarang Fa hanya melihat pelajaran sekadar untuk kepuasan saja," singkap pelakon Siti TV dan Bionik itu.

Begitu juga jawapan ketika diajukan soalan mengenai impiannya memiliki bisnes sendiri. Jawab Faralyna, dia pernah terfikir untuk memiliki jenama kasutnya sendiri suatu hari nanti.

"Fa ada terfikir untuk buka bisnes tapi kena betul-betul serius, biar Fa fokus dalam dunia lakonan dulu takut nanti tidak boleh bagi komitmen. Tapi, andai ada rezeki Fa memang nak ada jenama kasut Fa sendiri memandangkan Fa seorang yang minat bidang fesyen dan kuat berimaginasi. Tabiat pelik Fa juga, suka beli kasut tumit tinggi tapi tak pakai pun, banyaknya buat koleksi di rumah," ujarnya.

Fasha jawab isu kahwin


KECOH di laman-laman sosial, ruangan gosip serta blog-blog tempatan apabila sekeping gambar Fasha Sandha mengenakan sepasang busana pengantin berwarna krim tersebar.

Persoalan timbul, benarkah gaun pengantin itu yang bakal dipakainya untuk resepsi perkahwinan yang dikhabarkan akan berlangsung sekitar bulan Mac tahun depan dengan bekas suami Nora Danish, Rizal Ashram (Jejai)?

Menjawab soalan itu, Fasha, 27, lebih banyak berdalih dan cuba mengelak daripada memberikan sebarang kenyataan.

Katanya: “Insya-Allah kalau ada jodoh akan kahwin, lebih baik jangan cakap terlalu awal.”

Itu jawapan ringkas yang kompleks untuk diterjemah demi kedua-dua soalan mengenai jodoh dan gambarnya mencuba gaun pengantin.

Selebihnya, aktres itu lebih selesa menguntum senyum dan enggan mengeluarkan walau sepatah kata. Lebih banyak jawapannya berbunyi: “No comment.”

Fasha yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran filem seram berjudul Penanggal yang diarahkan oleh pelakon Ellie Suriaty di Restoran Al-Andalus, Kuala Lumpur pada hari Jumaat lalu turut kehilangan kereta mewah BMW 325i pada hari yang sama.

Juga tidak banyak kenyataan yang diberikan kepada Kosmo! ketika itu, sebaliknya hanya mengesahkan kejadian yang berlaku setelah diasak beberapa kali.

“Ya, saya akui kereta saya hilang tapi saya tak boleh komen, saya serahkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya lagi yang hadir sedikit lewat pada sidang akhbar itu.

Demi Penanggal

Sini Ada Hantu merupakan filem terakhir lakonan Fasha yang ditayangkan pada awal tahun ini. Kembali ke layar perak, Fasha tidak menolak untuk berlakon dalam filem bergenre seram melalui filem Penanggal yang baru memulakan penggambaran pada 10 Disember lalu.

Menurut Fasha, sebelum menerima tawaran berlakon filem Penanggal dia sudah menolak tiga tawaran filem sebelum ini.

“Sudah tiga tawaran saya sudah tolak sebelum ini dan rasa ralat juga, tapi watak dalam filem ini sangat bagus dan ini adalah filem pertama saya perlu bercakap bahasa Arab,” ujarnya mengenai keunikan dan cabaran berlakon filem itu.

Tambahnya, ketika pertama kali membaca skrip filem itu dia bimbang berikutan wataknya sangat mencabar dan karakternya memerlukan permainan emosi dalaman.

Dalam filem Penanggal, Fasha akan melakonkan watak Sharifah Zahra, seorang gadis yang baik dan periang. Konflik timbul apabila tunangnya, Syed Yusof (lakonan Azri Iskandar) hilang secara tiba-tiba.

Pengarah hebat

Pertama kali berlakon di bawah arahan pengarah yang juga baru pertama kali mengarahkan sebuah filem, Ellie Suriaty, Fasha akui banyak pengalaman yang dikutipnya walaupun baru beberapa hari penggambaran.

“Kak Ellie juga merupakan seorang pelakon yang bagus, dia tahu kelemahan dan kelebihan saya dan menerusi filem ini dia banyak mencorakkan karakter saya.

“Dia menjadikan saya sempurna dalam filem Penanggal,” luncur kata Fasha jujur.

Ujar Fasha lagi, Ellie Suriaty seorang yang rajin dan tidak tahu duduk diam. Tambahan pula Ellie sekarang sedang mengandung.

Fasha sebelum ini pernah berlakon bersama Ellie Suriaty dalam drama bersiri Suteramaya di TV3.

Filem Penanggal dijangka siap penggambaran sepenuhnya pada 26 Januari 2012 dan bakal disiarkan pada penghujung tahun depan. Selain filem Penanggal, Fasha juga akan tampil bersama buah tangan arahan Melissa Saila berjudul Dari Kerana Mata pada tahun depan.

Pada bulan Februari tahun depan, Fasha akan menjalani penggambaran drama bersiri Seindah Sakura, untuk slot Akasia TV3 di Paris, Perancis bersama Fahrin Ahmad.

Fasha juga sedang dalam proses menambah cawangan salun kecantikannya, Chinta di sekitar Johor Bahru.

Norish, sampai bila nak lari?


SELASA lalu, kecoh Kuala Lumpur dilanda banjir teruk. Jalan Tun Razak yang sentiasa sibuk tenggelam dek hujan yang turun mencurah-curah. Seorang teman baru Joyah ini mengharungi jalan yang penuh sesak itu ke Istana Budaya (IB) untuk buat liputan sidang media Festival Monodrama dan menemuramah pelakon-pelakonnya iaitu Misha Omar, Norish Karman dan Jasmin Hamid.

"Seronok Joyah. Teruja nak tengok persembahan mereka terutama Misha dan Jasmin sebab monodrama ni beza dari pementasan biasa.

"Tapi saya hampa dengan Norish. Sudahlah berlakon pegang skrip dari awal sampai akhir, suara pun tak jelas macam tak berlatih saja, kemudian dia boleh lesap macam itu saja lepas habis persembahan

"Saya dan wartawan lain terkesima bila tahu dia hilang. Alasan dia beri kepada kru, dia tidak sihat," kata teman Joyah yang hampa.

Tak cukup dengan itu, keesokannya teman Joyah yang lurus bendul ni cuba menghubungi Norish untuk memberi dia peluang menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

Ditanya dengan sopan kepada Norish sama ada dia sudi meluangkan sedikit masa untuk ditemuramah berkenaan pementasan itu, kenapa dia menghilangkan diri, kerjaya dan sedikit perihal peribadi.

"Dia cakap dekat saya, "saya dah agak dah, I don't want to talk about that. I'm busy right now, saya ada shooting. Bye"," ajuk teman Joyah siap tiru dengan nada suaranya yang tidak mahu melayan.

Aduhai Norish, orang dah bagi peluang untuk menjelaskan perkara sebenar tetapi mengelak pula. Banyak cerita buruk yang dikaitkan dengan Norish, Tak mahu bersihkan nama ke?

Ramona kunci mulut


RAMBUT panjang ikal mayang disua ke belakang telinganya. Sambil membetulkan kedudukan, dia tersenyum tanda bersedia untuk ditujah dengan segala pertanyaan berkaitan dirinya sama ada buruk atau baik.

Terserlah sisi positif Ramona Zamzam yang komited dengan karier walau tahu dirinya juga tidak terlepas daripada kata cemuhan sesetengah pihak yang sengaja mencari isu tentang dirinya.

Tetapi biasalah, orang baru dalam industri hiburan. Kalau tak 'terkena', macam mana nak rasa rencah asam garam kehidupan.

Apatah lagi sebagai seorang artis yang mempunyai pakej menarik sepertinya. Ramona juga punya rekod kontroversi biarpun kelibatnya dalam industri baru tiga tahun.

Dia dituduh suka membawa mulut, kekwat atau berlagak, suka bersosial, pendek kata telah bermacam-macam tuduhan dilemparkan. Itu belum lagi masuk bab dia dituduh mengamalkan budaya songsang gara-gara gambar mesranya bersama seorang teman sejenis dalam satu majlis.

Reda isu lesbian, pelakon drama bersiri Nilapura ini kemudian dihentam pula dengan tuduhan suka bertukar-tukar pasangan teman lelaki.

Semua itu timbul selepas tersebarnya foto-foto yang memaparkan dia bergambar bersama beberapa lelaki berlainan di laman blog dan forum di Internet.

Kalau perempuan bergambar begini tentu sekali lekas dicemuh dengan pelbagai panggilan. Maka jangan peliklah apabila Ramona dilabel sebagai playgirl.

Namun, umpama kalis dengan peluru, finalis Dewi Remaja 2010 ini tidak termakan dengan cemuhan orang. Malah, apabila diminta memberi komen berhubung isu-isu negatif mengenai dirinya, Ramona tenang memberi jawapan.

"Bukan saya tak tahu yang banyak orang bercakap tentang saya. Saya begitu, saya begini, sampailah orang cakap yang saya ni playgirl.

"Semua sebab gambar-gambar tu? Itu semua bukan teman lelaki sayalah! Ada antara mereka ialah kawan, keluarga dan sepupu saya.

"Paling penting, itu semua gambar-gambar lama dan ibu bapa saya tahu saya bergambar bersama siapa dan mereka kenal.

"Tak akan kerana berlainan lelaki, maka orang cepat tuduh saya ni suka tukar-tukar pasangan?" demikianlah dakwanya menepis tuduhan.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini juga mendakwa dia bingung memikirkan mengapa isu ini ditimbulkan.

Bertambah bingung apabila memikirkan ada pihak yang gigih mengumpul gambar-gambar begitu yang kononnya untuk dijadikan bahan bukti.

"Mereka buat kronologi satu-persatu dengan susunan gambar saya dengan lelaki sekian-sekian. Apa tu? Terus terang, saya kasihan dengan pihak terbabit yang beria-ia cari bahan untuk jatuhkan saya.

"Mereka tak ada kehidupan sendirikah? Tak ada kerjakah? Saya harap mereka dapat kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

"Nak buat macam mana, saya terpaksa cakap macam ni sebab mereka ini tak punya kehidupan sendiri sampai terpaksa menyibuk tentang orang lain.

"Laman-laman blog? jangan haraplah saya nak tengok atau baca. Baik yang tulis dan beri komen-komen negatif tu, mereka tak betul-betul kenali saya.

"Sebab itulah mereka tulis macam-macam isu. Doa sahajalah yang terbaik buat orang-orang macam tu ya," katanya.

Kunci mulutNampaknya, topik cinta bukanlah pembangkit selera buat wanita berusia 21 tahun ini. Klise sungguh bunyinya apabila Ramona memberi alasan bahawa dia mahu fokus sepenuhnya pada bidang karier.

Walhal bukan orang tidak tahu, dia dan pelakon berwajah kacukan Sahee Shamsuddin punya hubungan istimewa.

Dalam mahu mengelak, Ramona bagaimanapun akur memberitahu bahawa dia dan Sahee masih berhubungan dan rapat seperti biasa.

"Kami masih lagi rapat. Lagipun keluarga masing-masing sudah lama saling mengenali. Kalau ikutkan saya tak nak cakap soal cinta. Biarlah orang nak cakap saya ni berlagak eksklusif atau apa sekali pun.

"Hakikatnya saya tak suka. Saya kurang gemar bila orang kenal saya kerana cerita cinta bukan saya sebagai seorang pelakon," katanya.

Mahu berkeras menutup mulut, kata Ramona, dia lebih selesa begitu kerana tidak mahu menjadi seperti sesetengah artis baru yang teruja dengan kisah cinta mereka.

"Ada artis baru yang suka cakap mengenai kisah cinta mereka. Kalau boleh saya tak mahu macam tu. Tak perlulah cakap fasal cinta ya!" pintanya lagi.

Bukan minta lebihSatu keistimewaan pelakon yang turut dikenali menerusi drama Begitukah Cinta ini ialah, dia fasih berbahasa Cina. Namun, tak ramai yang tahu mengenai keistimewaannya itu apalagi dalam bidang seni dan sebagi pelakon, dialog yang diucapkan tentu sekali dalam bahasa Melayu.

Bercerita mengenainya, kata Ramona, dia selagi boleh mahu mengembangkan kemahirannya itu dalam bidang lakonan.

Namun dia terpaksa akur kerana tiada produksi filem atau drama yang mempunyai skop berbilang bahasa dalam satu projek drama dan sebagainya.

"Saya boleh menulis, membaca dan fasih bertutur dalam bahasa Cina namun sayangnya saya tak dapat peluang untuk mencurahkan kemahiran itu dalam bidang ini.

"Kalau ada pun masa zaman kegemilangan Allahyarham Yasmin Ahmad. Tapi selepas dia pergi, siapa pula yang mahu meneruskan legasi dia? Setakat ini, saya lihat tak ada," katanya.

Menurut Ramona lagi, kebolehan berbahasa Cina juga rupanya turut dimiliki oleh beberapa artis lain. Biasanya, kalau berpeluang bertemu muka dengan aktor Shah Jazle dan aktres Yasmin Hani, mereka akan galak bertutur dalam bahasa Cina tanpa mempedulikan orang sekeliling.

"Kalau jumpa mereka ni, mulalah kami masing-masing cakap Cina. Sampai orang tengok kami dengan pandangan yang pelik.

"Alangkah bagusnya kalau hasrat saya ini mampu direalisasikan. Sekurang-kurangnya saya dan artis lain yang berkebolehan berbahasa asing ni mampu berikan kelainan dalam industri.

"Atau mungkin juga kami boleh pergi lebih jauh daripada jangkauan mata. Siapa tahu bukan? Bukan nak minta lebih. Tapi kalau ada peluang tak ada salahnya cuba beri kelainan, " katanya.

Sakit bukan diminta - Chomel Fana


DULU sudah elok-elok jadi pelakon, tiba-tiba nak jadi penyanyi pula.

Tapi bila dah dapat

peluang ukir nama jadi penyanyi, tunjuk perangai macam tidak serius pula.

Kadang-kadang tak faham juga dengan artis-artis baru sekarang.

Mentang-mentanglah peluang nak jadi penyanyi tu mudah. Bukanlah nak kata, tapi sepatutnya kita hargailah peluang yang datang bergolek tu.

Macam kes Chomel Fana ni. Ala...yang ada single berjudul BFF dan bernaung di bawah KRU Studios tu.

Memang jarang dengar nama dia diiringi dengan gosip.

Tapi baru-baru ini, timbul isu Chomel dikatakan kekwat dan sudah mula tunjuk perangai dalam satu persembahan Jom Heboh tempoh hari.

Tarik-tarik muka, tak bertegur sapa, mengasingkan diri dari orang dan asyik menghadap telefon bimbitnya semata. Eh apa ni?

Kita dah masuk tempat orang, nak buat persembahan pula tu, tak akanlah nak tunjuk perangai tak molek macam itu. Betul tak?

Bila Pancaindera mengajukan isu ini pada Chomel, ternyata dia sudah dapat mengagak.

Makna kata, dia tahulah apa yang dia tengah buat tempoh hari tu, ya bukan?

Bersama Pancaindera, Chomel membentangkan alasan mengapa dia bersikap demikian sehingga telah menyebabkan ramai yang tersalah anggap padanya.

Apa cerita ni dik sampai ada yang kata awak buat perangai semasa Jom Heboh tempoh hari?

Bukan saya sengaja buat perangai. Kalau nak tahu masa tu saya sakit. Saya demam dan sakit tekak. Lagipun sepanjang dua hari Jom Heboh berlangsung, saya kerja dari pagi sampai petang, jadi saya penat. Tambahan demam pula. Itu yang tak banyak cakap sangat tu.

Kalau tak bercakap pun, tak akanlah sampai sepatah pun tak boleh. Lepas tu duduk menyendiri macam tak bercampur dengan orang. Itu dakwaan orang yang melihat awak ketika itulah. Komen?

Kalau nak tahu, masa tu, mana ada orang lain pun. Cuma saya dan seorang kenalan yang memang tahu saya sakit. Memang saya tak beritahu siapa-siapa tentang keadaan saya masa tu. Iyalah, tak akanlah nak beritahu semua orang yang saya sakit. Nanti apa pula kata mereka. Jadi sementara tunggu giliran menyanyi, saya duduk sajalah di situ.

Apa pula kes asyik menghadap telefon saja? Ada yang kata masa awak buat begitu, giliran awak buat persembahan dah pun bermula. Lagu pun dah siap terpasang. Tapi awak masih sibuk mengetik telefon. Jelaskan sikit.

Memang saya ada pegang telefon masa tu. Tapi bukanlah sibuk hantar mesej atau apa. Sebenarnya saya sedang hafal lirik. Saya simpan lirik dalam telefon. Masa tu saya bawa lagu orang. Lagu Teruskanlah dari Agnes Monica. Disebabkan saya demam, jadi fikiran pun macam bingung sedikit. Jadi saya risau kalau-kalau tak hafal lirik. Sebab itulah telefon tu sentiasa ada di tangan.

Tak akanlah saya bodoh sangat sengaja nak sibuk buat benda lain.

Apa komen Chomel bila ada yang kata awak sebenarnya tak serius bila masuk dalam bidang nyanyian?

Siapa kata saya tak serius. Cuma keadaan saya masa itu saja yang menyebabkan orang boleh tersalah anggap. Sebelum ini saya tak pernah buat hal. Saya tidak pernah tidak serius dengan apa yang saya buat. Contohnya, saya tengok lirik, semua tu sebab saya taknak buat silap masa menyanyi. Saya nak berikan yang terbaik dan kepuasan kepada penonton.

Komen Chomel kepada mereka yang dah tersalah faham mengenai kelakuan awak tempoh hari?

Pertamanya saya nak minta maaflah. Bukan saya minta untuk jatuh sakit ketika itu. Itu pun saya datang juga memenuhi komitmen dengan pihak penganjur. Tapi tak akanlah saya nak cerita pada semua orang. Kalau ada yang kata saya kurang ajar pun, saya minta maaf. Mulut orang saya tak boleh nak tutup. Jadi saya iyakan saja apa yang mereka cakap. Biar diri diri dan kawan-kawan rapat saya sahaja yang tahu hal sebenar. Lainlah kalau orang datang tanya bukan. Apa pun terima kasih kepada yang membuka cerita. Sekurang-kurangnya saya tahu ada mata yang sedang memerhatikan.

Keluarga Jadi Keutamaan Faizal Tahir



HIBURAN
Isnin Disember 19, 2011
Keluarga Jadi Keutamaan Faizal Tahir

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Faizal Tahir.

AGAK lama juga wajah Faizal Tahir, rockstar kesayangan ramai ini sepi daripada publisiti media, apatah lagi mendengar khabar berita mengenai perkembangan dirinya.

Mengakui sudah lama tidak muncul di mana-mana akhbar mahupun majalah, jelas bapa kepada empat orang anak iaitu Ahmad Mikael Zidane, 6, Siti Raudhah Nur Iman, 4, Ahmad Rifa’ie Zidane, 2, dan Siti Rawdha Nur Jannah, 8 bulan, dia tidak terfikir untuk mencari publisiti jika tiada produk baru yang ingin diketengahkan.

Pelantun lagu Karma ini hanya selesa memenuhi undangan persembahan selain mempersiapkan material untuk album terbarunya yang akan dilancarkan pada tahun depan.

Selebihnya, Faizal banyak menghabiskan masa bersama keluarga dimana selama ini dia rasakan telah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa gara-gara terlalu sibuk dengan aktiviti seni nyanyiannya itu.

“Jujur saya katakan, sejak kelahiran Siti Rawdha pada Mac lalu, banyak perubahan yang berlaku dalam diri ini. Kerana dia, saya telah membuat perkara yang sebelum ini tidak pernah dilakukan.

“Antaranya, masa saya banyak dihabiskan bersama keluarga terutamanya anak-anak dan sempat pergi bercuti bersama ke beberapa lokasi menarik. Malah kami turut jamming bersama di rumah.

“Sebelum kemunculan album baru pada tahun depan, saya akan pastikan isteri (Raihanim Noran) dan anak-anak mendapat perhatian sepenuhnya.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh lagi mengabaikan tanggungjawab terhadap mereka dan akan memastikan sesibuk macam mana sekalipun, masa antara kerja dan keluarga perlu diselaraskan,” katanya.

Tambah bekas ahli kumpulan Mirwana ini, masa yang diluangkan bersama anak-anak membuatkan dia lupa seketika tentang kerjaya seninya dan sekali sekala, karakter Faizal turut berubah seperti kanak-kanak dek kerana melayan telatah anak-anak.

Beli Mainan

Dalam pada itu, menjadi aktiviti tetap pada setiap hujung minggu, Faizal memanjakan anak-anaknya dengan membeli segala jenis permainan yang terbaru di pasaran.

“Diakui, saya telah memanjakan mereka terlebih sedikit dengan membelikan pelbagai mainan dan boleh dikatakan rumah saya penuh dengan barang-barang mainan mereka sahaja.

"Mintalah apa sahaja, pasti keinginan mereka saya tunaikan. Sampaikan isteri marah kerana terlalu mengikut kehendak anak-anak.

“Bagaimanapun, saya turut mengajar mereka untuk bersyukur dengan apa yang dimiliki dan pada masa sama mengingatkan mereka tentang kesusahan orang di luar sana.

“Alhamdulillah, apabila mendapat barang mainan baru, mereka pula yang beri pendapat dengan meminta saya sedekahkan permainan-permainan lama kepada anak-anak yatim atau yang lebih memerlukan.

“Meskipun suka melayan karenah manja mereka, sebagai seorang ayah, saya tetap bertegas dalam bab mendidik dan mereka dengar cakap saya dengan hanya mengeluarkan satu perkataan sahaja,” ujarnya terharu.

Melihat sendiri bakat seni muzik yang telah pun mengalir ke jiwa anak-anaknya, kata penyanyi ini, dia enggan mendedahkan mereka dengan muzik di peringkat awal.

Sebaliknya, Faizal mahu anak-anaknya dibesarkan dengan ilmu akademik dahulu sebelum menjadikan muzik sebagai pilihan utama.

“Saya tak mahu mereka membesar dengan pengaruh muzik yang terlalu kuat. Memang mereka sudah pun menunjukkan minat yang mendalam lebih-lebih lagi apabila sering dikelilingi oleh rakan-rakan baik saya yang juga merupakan ahli pemuzik.

“Tak naklah anak-anak melihat bidang ini sebagai impian masa depan. Bagaimanapun mereka tidak akan dihalang sekiranya ingin mengikut jejak langkah saya. Cuma, biarlah pelajaran dahulu yang diutamakan sebelum memilih muzik sebagai punca rezeki utama,” katanya.

Mahu bikin konsert solo

Bercerita pula tentang perancangan tahun depan, kata Faizal, kerjayanya akan bermula aktif selepas pelancaran album ketiganya (masih lagi belum diberi judul lagi) pada Mac atau April depan.

Katanya, album yang menampilkan sebanyak 20 buah lagu itu akan dipromosikan sehabis baik dan jika segala yang dirancang berjalan lancar, dia memberi sasaran untuk mengadakan konsert solo buat pertama kalinya pada hujung tahun depan.

“Tahun 2012 ternyata memberikan cabaran besar buat saya lebih-lebih lagi pelbagai perancangan telah pun dipersiapkan terutamanya dari segi strategi promosi dan penjualan album.

“Insya-Allah jika ada rezeki, saya akan muncul dengan konsert sulung pada akhir tahun depan dan semua itu terpulang pada respons yang diberikan oleh para peminat,” katanya bersemangat.

Tambah Faizal, dia juga mencabar dirinya untuk melihat sejauh mana kemampuan dia berdiri sebagai seorang penghibur.

Sementara itu, Faizal juga akan muncul pada Konsert Loudspeaker yang bakal berlangsung pada 25 Disember ini, pukul 8.30 malam, di Stadium Merdeka.

Faizal bersama ahli bandnya, Faizal Tahir & The Royale FT Force, akan berkongsi pentas bersama kumpulan Wings, Azlan The Typewriter dan XPDC pada malam itu.

“Tidak sabar rasanya untuk menantikan konsert ini lebih-lebih lagi apabila diberi penghargaan untuk berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi ‘otai’.

“Setiap daripada kumpulan terbabit akan membawakan lagu-lagu hit mereka manakala saya pula akan persembahan lagu popular seperti Karma, Sampai Syurga dan Hanyut,” katanya.

Hubungan Intan Ladyana, Kamal Tiada Masalah


AKTRES jelita Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 29, atau Intan Ladyana menyifatkan khabar angin yang mendakwa hubungan cintanya dengan aktor Kamal Adli berantakan gara-gara aktor itu menjalin hubungan sulit dengan aktres Indonesia, Olivia Jensen sebagai tidak berasas.

Malah, ada juga yang melemparkan tuduhan bahawa perubahan fizikalnya yang semakin kurus dewasa ini adalah berpunca daripada kekecewaan dengan kecurangan kekasihnya itu.

Hakikatnya, pelakon filem Flat 3A ini dengan tenang mengakui hubungannya dengan Intan yang berusia dua tahun itu masih terjalin dengan baik tanpa sebarang masalah.

“Saya tidak faham kenapa orang mendakwa hubungan saya dan Kamal sedang berhadapan masalah walhal saya sangat bahagia dan ceria dengan kehidupan sekarang.

“Hanya kerana orang nampak saya semakin kurus, orang mula menuduh saya makan hati dengan kecurangan Kamal.

“Padahal, saya memang mengamalkan diet untuk mengekalkan bentuk fizikal kerana sebagai aktres saya perlu sentiasa cantik dengan fizikal yang konsisten,” katanya kepada OopStarz!, baru-baru ini.

Tambah Intan, sebagai kekasih, dia mengetahui pergerakan aktor itu sepanjang penggambaran filem Gerimis Mengundang di Indonesia. Malah, rakan-rakannya dan pengarah filem itu sendiri, Ahmad Idham turut memaklumkan cerita yang sebenar, sekali gus menangkis desas-desus yang tersebar.

“Sebenarnya, memang tiada isu pun yang timbul antara kami. Saya tahu dia tidak buat begitu kerana dia sentiasa berkongsi setiap pergerakannya apabila kami berjauhan.

“Lagipun, beberapa rakan saya yang terlibat dalam filem itu dan pengarahnya Ahmad Idham juga sempat memberitahu saya bahawa cerita-cerita yang timbul itu adalah tidak benar.

“Jadi mengapa saya perlu risau tidak tentu pasal kerana tiada apa yang berlaku dalam hubungan kami,” ulasnya sambil mengakui gosip tersebut tidak menjejaskan dirinya secara peribadi.

Sempat diusik adakah dia cuba menyembunyikan masalah yang sebenar, Intan berkata jika hubungan mereka berantakan seperti diperkatakan, dia tidak akan keberatan untuk berkongsi cerita.

“Saya akan cakap apa yang saya tahu saja. Tidak tahulah pula kalau benar Kamal berlaku curang seperti yang didakwa itu.

"Mungkin lebih baik bertanya pada dia sendiri kerana dalam kes ini, saya adalah pihak ketiga dan saya hanya boleh ulas apa yang wajar bagi pihak saya saja.

“Lagi pun saya jenis yang akan mengaku dan berterus-terang saja jika benar hubungan kami bermasalah. Tidak perlu saya terlalu berahsia kerana lambat-laun orang akan tahu juga,” katanya.

Shahz Jaszle Tak Gaduh Dengan Julie Dahlan


PETALING JAYA: Pelakon, Shahz Jaszle menafikan khabar angin bahawa dia mempunyai masalah dengan Julie Dahlan gara-gara gagal menjayakan sebuah drama terbitan penerbit wanita itu baru-baru ini.

Shahz berkata, dia menarik diri daripada membintangi drama berjudul Pemandu MB itu secara baik kerana mengalami masalah kesihatan sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital selama seminggu.

"Benar saya menarik diri daripada drama itu kerana telah dimasukkan ke hospital dan disyaki dijangkiti penyakit batu karang.

"Bagaimanapun pengunduran saya daripada drama tersebut adalah secara baik dan pihak produksi termasuk Kak Julie menerimanya tanpa ada sebarang percakaran antara kami," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Dalam pada itu, Shahz berkata, dia ingin terus berlakon di dalam drama tersebut selepas keluar daripada hospital tetapi pihak produksi tidak dapat menunggu kerana penggambaran telah pun dimulakan.

Ujarnya, dia hanya sempat berada di lokasi selama sehari sebelum dimasukkan ke hospital dan mengakui ada menerima bayaran pendahuluan.

"Pihak produksi tidak dapat menunggu saya kerana penggmabaran telah pun dimulakan dan mereka terpaksa menggantikan peranan saya dengan pelakon lain.

"Walaupun sedikit sedih tetapi saya anggap ia bukan rezeki saya," ujarnya.

Diminta mengulas mengenai dakwaan dia masih belum memulangkan duit pendahuluan yang telah diterima daripada pihak penerbit, Shahz mengakui telah menerima bayaran sebanyak 25 peratus sebelum penggambaran dan memberitahu akan memulangkan wang berkenaan dalam masa terdekat.

"Saya telah memberitahu Kak Julie akan memulangkan duit berkenaan dalam masa terdekat kerana sedikit sibuk di lokasi penggambaran drama Atas Nama Cinta," ujarnya.

Terdahulu, Shahz memberitahu dia telah dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 5 hingga 12 Disember lalu disyaki menghidapi penyakit batu karang.

Shahz berkata, bagaimanapun doktor tidak dapat mengenal pasti penyakit tersebut menyebabkan dia terpaksa ditahan di hospital selama seminggu untuk pemerhatian lanjut.

"Doktor syak saya mempunyai masalah batu karang apabila saya mengalami jangkitan pada air kencing dan sehingga kini saya masih bergantung kepada antibiotik selama tiga minggu untuk memastikan keadaan benar-benar pulih," katanya.

Sementara itu, Julie ketika dihubungi mStar Online menafikan dakwaan dia mempunyai masalah dengan pelakon berusia 23 tahun itu.

"Benar dia menarik diri daripada drama tersebut tetapi tiada sebarang perselisihan faham antara kami.

"Kalau ada sudah tentu saya akan buat sidang akhbar mengenainya," ujarnya.

Julie bagaimanapun mengakui Shah ada menelefonnya memberitahu akan memulangkan duit pendahuluan yang diterima kepadanya dalam masa terdekat.

"Ya dia ada menelefon memberitahu akan memulangkan duit pendahuluan tersebut dalam masa dua ke tiga hari," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahz berkata dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Bunga April dan sedang sibuk di lokasi drama Atas Nama Cinta terbitan Zeel Production sebelum berangkat ke Australia pada Januari depan untuk menyelesaikan beberapa adegan drama itu.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails