Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sheira bahagia lawan Duri

ORANGNYA kecil molek tetapi dalam diam, usia janin dalam kandungan Shera Ayob kini sudah mencecah 12 minggu. Tidak lama lagi, isteri kepada aktor Bunohan, Zahiril Adzim itu bakal bergelar seorang ibu. “Mujurnya saya mengalami banyak alahan, cuma badan sahaja yang cepat rasa penat. Masa mula-mula dapat tahu bahawa saya sedang mengandung pun saya tengah melakukan penggambaran drama Duri. “Watak dalam drama itu pula agak berat. Saya kena tanggung macam-macam perasaan. Semua emosi kena keluarkan. Memang mencabar buat saya sebab setiap hari ada penggambaran. Pergi pagi balik pun pagi tapi saya seronok dan bila ia sudah ditayangkan, saya memang rasa lega,” katanya yang kini berada di Turki, bercuti dan menemani Zahiril yang melakukan penggambaran di sana. Bercerita tentang karakter Sufi, watak isteri yang digalasnya dalam drama bersiri Duri, kata Shera: “Ini kali pertama saya diberi kepercayaan untuk bawa karakter berat. Menjadi Sufi, saya hidup dalam dendam, marah dan sedih. Saya jadi macam psiko kerana maruah yang diperlekehkan. “Tapi, saya anggap itu semua cabaran. Memandangkan Duri drama yang diadaptasi daripada novel, saya juga baca novel karya Fauziah Ashaari itu sampai habis untuk dalami watak Sufi. Saya risau sebab biasanya pengikut novel akan buat perbandingan karakter dalam drama dan novel, mereka. Syukurlah, saya dapat respons positif setakat ini.” Duri yang mula disiarkan di Astro Prima sejak 12 Disember lalu mengisahkan Sufi, gadis malang yang sanggup mengorbankan cinta kepada Hazim dan menjadi galang ganti kepada adiknya apabila rela menutup aib keluarga dengan mengahwini Muzhaffar. Percaturan takdir tidak menyebelahi Sufi kerana Muzhaffar dan Hazim rupa-rupanya bersaudara. Kehadiran Sufi dalam keluarga sebagai menantu juga tidak disukai oleh Durrah, ibu mentuanya. Menanyakan Shera tentang penghayatan karakter dan hubung kait perkara itu dengan kematangan yang dilalui sejak bergelar isteri tahun lepas, Shera ketawa sebelum menjawab: “Hendak dikatakan lakonan saya lebih matang sebab sudah berkahwin, rasanya tak juga sebab saya masih macam dulu. Tapi, mungkin ada betul juga. Apa pun, saya memang bertuah sebab dapat watak Sufi, satu kelainan dalam kerja lakonan saya selama ini.” Selain Shera, Duri yang ke udara setiap Isnin hingga Khamis pukul 5 petang itu turut diperkuatkan oleh Afiq Muiz dan Izzue Islam.

Apek romantik - Leuniey

SELEPAS mengharungi pelbagai dugaan, kontroversi dan gosip, penjaga gol sensasi negara, Khairul Fahmi Che Mat, 23, selamat bergelar suami kepada gadis pilihannya iaitu Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, dalam satu majlis yang diadakan di rumah keluarga Leuniey di Pasir Pekan, Kelantan, Jumaat lalu. Dengan hanya sekali lafaz, pasangan yang menjadi perhatian media kebelakangan ini selamat diijabkabulkan oleh Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib kira-kira pukul 10.25 pagi dengan disaksikan ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa kedua-dua mempelai. Menyifatkan penyatuan mereka sebagai jodoh selepas 10 bulan mengenali isi hati, Khairul Fahmi atau mesra disapa Apek mengatakan Leuniey menjadi pilihan hatinya kerana gadis itu sangat memahami kariernya sebagai pemain bola sepak Negara dan juga pasukan Red Warriors. "Masa saya sangat terhad dengan jadual latihan dan juga perlawanan tetapi Leuniey sangat memahami. "Malah, saya baru sampai semalam (Khamis) ekoran menjalani latihan untuk sama-sama menyiapkan persediaan hari penikahan ini," katanya ketika ditemui. Khairul Fahmi menyerahkan wang hantaran berserta mas kahwin berjumlah RM19,000 sempena nombor jersey Apek bersama tujuh dulang hantaran berbalas tujuh. Kedua-dua mempelai mengenakan busana bertemakan warna kuning cair dan persalinan Leuniey direka khas oleh pereka fesyen Ezuwan Ismail. Menurut Leuniey, sempena persandingannya, dia hanya menggunakan pelamin dan juga khemah daripada butik pengantin miliknya dan selebihnya merupakan tajaan pelbagai pihak. Apek berkata, dia bersyukur majlis tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan menyifatkan gementar akad nikah berbeza berbanding beraksi di padang bola. "Saya akui saya sangat gementar tetapi Alhamdulillah segalanya telah berjalan lancar. Syukur ke hadrat Ilahi di atas jodoh yang diperkenankan. "Saya berharap kami dapat menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri. Selepas ini, kami kembali dengan jadual masing-masing, saya dengan jadual bola dan dia dengan urusan perniagaannya," senyum Apek.
Ujar Apek lagi, perkahwinan bukanlah faktor yang boleh menjejaskan prestasinya sebagai penjaga gawang dan segalanya terletak kepada individu itu sendiri untuk mengharunginya. Lelaki berusia 23 tahun ini menyerahkan kepada Allah tentang kurniaan dan berharap untuk menimang sekurang-kurangnya empat cahaya mata. Leuniey menyuarakan harapannya agar Apek sebagai suami akan menjadi kapten yang baik kepada keluarga mereka biarpun sebelum ini pernah dilanda dengan pelbagai kontroversi. "Saya telah bersedia sepenuhnya daripada awal kami mula-mula rapat untuk berhadapan dengan kontroversi dan juga kerenah peminatnya. Saya amat memahami situasi itu. "Ini jodoh yang ditentukan dalam perjalanan hidup kami, saya bersyukur kerana kami telah disatukan," katanya sambil menyifatkan suaminya seorang yang romantik dan penuh dengan kejutan. Mengenai rancangan untuk berbulan madu, mereka masih belum berbincang mengenai perkara itu kerana kesibukan Apek dengan persediaan untuk beraksi dalam Liga Malaysia. Majlis resepsi pengantin perempuan akan diadakan Ahad ini di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan manakala resepsi pengantin lelaki akan diadakan di rumah keluarga Apek di Cherang, Kelantan pada 5 Januari. Pasangan itu turut mengadakan satu lagi majlis resepsi di Hotel Royale Bintang, Kuala Lumpur pada 13 Januari nanti.

Eja betul-betul - Nassier Wahab

SALAH eja dalam penulisan sama ada di akhbar atau majalah-majalah yang bersepah di pasaran rasanya bukan perkara pelik. Memang setiap media ada editor yang kerjanya jaga ejaan dan tatabahasa tapi sifat wajib manusia itu tidak boleh lari daripada kelalaian. Diva sendiri selalu salah eja dan keliru bila bertembung dengan nama-nama artis atau perkataan yang jarang digunakan, sebab itu selalu buka kamus dan rujuk Dewan Bahasa dan Pustaka. Bukan itu sahaja kadang-kadang nama artis lama-lama macam Nassier Wahab pun masih banyak lagi yang dieja salah. Kalau tidak, tidaklah Nassier Wahab mengadu terkilan dan kecil hati apabila namanya masih dieja salah walaupun sudah berabad lamanya dia wujud dalam industri. "Tajuk salah, dalam artikel pun salah, keterangan gambar pun salah juga, terus saya tak jadi baca surat khabar walaupun ceritanya pasal saya," luah penyanyi lagu Memori Cinta Luka itu terkilan. Kata Nassier juga, bukan ejaan dalam media sahaja bahkan ejaan namanya di poster-poster persembahan nyanyian juga banyak yang salah. Makan hati dibuatnya. Untuk tahun 2013 nanti, Nassier Wahab (eja betul-betul) harap tiada lagi kes salah eja berlaku. Ejalah namanya sebagai Nassier Wahab bukan Nasir atau Nasseer seperti yang selalu benar terpampang selama ini.

Neelofa bawa jurufoto rasmi

KAGUM ada respek pun sama apabila Diva dapat tahu tentang perkembangan karier pengacara Meletop dan pelakon jelita Neelofa sekarang yang semakin meletup-letup popularnya. Kata teman Diva, Neelofa bukan sembarangan artis. Sekarang Neelofa juga sudah ada pasukan khas yang menjadi kepercayaannya termasuklah siap ada jurufoto rasmi. Rasanya, itu satu pencapaian juga untuk Neelofa. Biasanya artis memang bawa jurusolek, pengurus peribadi dan perunding imej sendiri, tapi Neelofa siap bawa jurufoto sendiri untuk sesi fotografi bersama media. Biasanya juga, media yang akan bawa jurufoto untuk tangkap gambar artis. Neelofa tidak begitu. Baru-baru ini ada rakan media yang berlenggang ke sesi fotografi dengannya, cuma bawa buku nota dan pasang telinga sahaja. Mudah dan menyenangkan kerja. Neelofa yakin jurufoto kesayangannya itu mampu rakam imej terbaik untuknya. Mungkin itu juga kontrak terbaharu Neelofa dengan jurufoto 'rasmi'nya itu. Kelas! Tapi dengar ceritanya, payah juga editor nak buat pilihan apabila gambar yang dibekalkan macam tidak seperti yang dimahukan. Cukup-cukup makan sahaja.

Mamat takut wartawan

TERKEKEH-KEKEH Diva ketawa bila seorang wartawan junior yang balik pejabat terus buka cerita pasal Mamat Sepah. Sebelum itu, Diva nak ucap tahniah dulu sebab filem Sepah The Movie tak bersepah tapi menjadi juga lawaknya. Paling best, dapat juga kutipan lebih RM2 juta, kira baguslah sebab payah sungguh filem Melayu sekarang nak masuk edisi pecah panggung. Masuk balik cerita Mamat Sepah tadi, dengarnya dalam diam Mamat sudah ada cinta hati baharu, boleh tahan juga orangnya. Mamat sendiri sudah bawa awek baharunya itu ke majlis-majlis keramaian. Baru-baru ini, Mamat sudah bawa si aweknya itu ke majlis persandingan pelakon Acong Sweet Child dengan Marya Zuraida. Bukan main bahagia pula tengok si Mamat kepit tangan aweknya tapi selepas terserempak dengan wartawan yang ada di majlis berkenaan, Mamat siap lepaskan tangan aweknya dan meluru laju kemudian lesap. Kata wartawan yang ada di tempat kejadian, dia kasihan tengok perempuan yang ditinggalkan tercegak dan terpinga-pinga tanpa nak ke mana di tengah khalayak tetamu yang datang ke majlis itu. Puas juga wartawan tadi intai-intai mana Mamat pergi. Budak perempuan tadi pun dah buat hal sendiri dan alih-alih kelibat Mamat sudah ada di pintu masuk utama dewan persandingan itu. Pelik juga perangai Mamat, nampak wartawan macam nampak hantu. Tahulah takut gambarnya dirakam atau nak elak keluar cerita kekasih baharu agaknya, tapi kalau kawan pun tak perlulah tinggalkan begitu sahaja semata-mata nak mengelak disapa wartawan. Mungkin Mamat sudah fobia dengan cerita sensasi, tapi tetap kelakarlah!

Mahu keluar dari kepompong isu - Neelofa

KONTROVERSI demi kontroversi. Daripada awal pembabitannya dalam industri seni tempatan sejak dua tahun lalu, gadis jelita berusia 23 tahun ini seperti tidak pernah lekang daripada kontroversi yang sentiasa melanda dirinya. Noor Neelofa Mohd. Noor atau nama komersialnya, Neelofa sendiri mengakui akan perkara tersebut ketika ditemuramah. Namun kerana minat terhadap dunia seni, segalanya dianggap cabaran dan lumrah kehidupan menjadi seorang selebriti yang mengharuskan sesiapa juga melalui perkara yang hampir serupa. "Memang tidak dinafikan sejak awal terlibat dalam industri seni hiburan tanah air, kontroversi tentang saya kelihatan seperti tidak putus-putus. Ada sahaja cerita yang akan keluar tentang diri saya dan kebanyakannya cerita daripada pihak ketiga. "Bagaimanapun, kontroversi yang selalu melanda diri saya ini bukannya daripada diri sendiri, namun ia tentang ramai orang yang bercerita tentang itu dan ini. Saya perlu katakan, perkara ini bukan diminta tetapi ia hadir secara tidak disangka," jelas Neelofa yang mesra disapa Lofa ini. Bagaimanapun, di sebalik kontroversi yang berlegar laju dalam ruang industri hiburan tanah air tentang Lofa, dia percaya selagi wujud isu yang ingin diceritakan tentang dirinya, bermakna dia masih lagi berada di depan mata dan belum dilupakan. Jadi, tutur wanita berwajah cantik dan bertubuh genit ini, mahu atau tidak dia perlu terima segalanya. Geram Bercerita tentang tekanan yang dihadapinya, ujar Lofa, mungkin pada mulanya, dia tertekan dengan apa yang diceritakan oleh masyarakat sekeliling tentang dirinya. Namun, lama-kelamaan, dia mula membuat kesimpulan sendiri. "Kini apabila ada terbaca tentang diri sendiri dalam akhbar dan sebagainya, memang geram pada mulanya. Namun setelah itu saya fikir jika mereka suka saya, memuja saya ataupun membenci saya, ia adalah hak mereka.
"Ini kerana jika Allah sudah tetapkan rezeki saya, ia tetap ada dan sama sahaja. Melainkan saya sendiri yang buat perangai, itu memang seperti mencari nahas sendiri. Namun, mungkin dari segi karier tidak begitu memberi kesan. Bagaimanapun dari segi persepsi orang terhadap saya, memang mereka akan punya tanggapan serong terhadap diri," jelas Lofa panjang lebar tentang tempias kontroversi terhadap karier dan diri. Ketika ditanya adakah dia risau peminat akan bosan kerana sering dilanda kontroversi, jawab Lofa, walau apa pun kontroversi yang melanda, jika seseorang artis itu punya produk yang bagus yang mampu menaikkan mereka, maka mereka tetap akan berjaya. "Jadi bagi saya, lagi banyak saya terkena tempias kontroversi seperti ini, lagi kuat saya perlu bekerja untuk keluar dari kepompong isu tersebut. Saya perlu rajin untuk tonjolkan bakat yang saya ada selain dari terlibat dengan kontroversi sahaja. "Jika mengikut andaian yang mudah, memang lumrah manusia pasti akan terasa jika melihat sesiapa yang mereka kenali berada di atas atau mencapai kejayaan. Bagi saya, jika seseorang itu berjaya mahupun gagal dalam apa bidang sekalipun, orang tetap akan kritik kita. Mereka tetap akan lihat keburukan dari kebaikan kita," tutur Lofa memberi pendapat tentang kemungkinan ada yang ingin menjatuhkan namanya. Rezeki Mungkin sepanjang tahun pertama pembabitkan dalam dunia seni, peminat Neelofa sendiri dapat melihat wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini banyak tampil di kaca televisyen dan layar perak. Namun, masuk tahun kedua, Lofa kini dilihat banyak tampil dalam program hiburan dan menjadi pengacara. "Semasa mula-mula terlibat dengan pertandingan Dewi Remaja (pada tahun 2010), saya sememangnya tiada niat untuk ke bidang lakonan. Memang Lofa minat dengan bidang pengacaraan dan menyimpan hasrat untuk terjun ke bidang tersebut.
"Jadi, selepas (menjuarai) Dewi Remaja tersebut, saya terus dapat tawaran lakonan terlebih dahulu. Jadi tidak salah rasanya Lofa mencuba untuk berlakon. Namun kerana saya juga masih lagi hijau (baharu), pengalaman pun baru masuk dua tahun, maka saya tidak mahu mengehadkan diri saya dan ingin cuba pelbagai bidang," ujarnya. Tambah Lofa, walaupun sibuk dengan bidang pengacaraan, namun tawaran lakonan masih akan diterimanya. Bagaimanapun kata Lofa, dia tidak mahu terlalu banyak ambil tawaran drama, ini kerana dia mahu beri fokus terhadap filem dan telemovie. "Buat masa ini, saya masih ada banyak masa terluang sebelum bisnes berkembang. Saya rasa ini masanya saya mencuba untuk bekerjasama dengan ramai pengarah dan membawa karakter yang berlainan dalam lakonan. "Mungkin dalam masa dua tahun, jika bisnes saya telah berkembang, saya perlu berikan tumpuan kepada bisnes pula, jadi inilah masanya untuk saya cuba. Saya juga tidak mahu memilih sangat, jika ada rezeki ke arah lakonan, akan saya pertimbangkan dan ikut sahaja apa yang diberi," jelas Lofa.

Saya tak tumpang populariti Wan Zack - Zzati

PENYANYI muda berusia 19 tahun ini mengakui bahawa banyak cabaran mendatang selepas kisah cintanya dengan teman lelaki yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor, 21, diketahui umum. Biarpun kelihatan hebat pada luarannya kerana berkasih dengan tumpuan utama masyarakat, namun itu masih belum mengubat perasaan gundahnya. Setiap kali memikirkan tentang hubungan cintanya itu, pasti timbul perasaan gundah. Tapi Zzati tak takut ke dengan persepsi liar orang luar tentang hubungan cintanya dengan Wan Zack? “Seboleh-bolehnya, Zzati tak mahu terlalu memikirkan tentang hubungan cinta dengan dia. Masih terlalu awal. Lagi pun tak sampai setahun pun kami berkawan rapat. Zzati cuma ikut saja arus di depan mata. Dah namanya pun kekasih, bukan ada ikatan rasmi apa pun. “Tapi apa pun Zzati tetap berhati-hati dengan tingkah laku Zzati. Takut kalau ada orang terasa hati atau boleh jadi bahan cerita, mana tahu kan. Rasa takut itu lebih kepada soal apa yang orang cakap itu tak terlalu banyak. Sebab Zzati tahu ada batasan dan wajar atau tak sesuatu perkara itu dibuat," katanya dalam perbualan petang Khamis lalu. Penyanyi lagu Bukan Sombong dan Cintaku Hanya Padamu ini turut mengakui rasa cintanya pada Wan Zack bukan kerana dia pemain skuad Harimau Muda tetapi kerana minat terhadap sukan bola sepak. “Zzati memang kaki bola dan penyokong tegar MUFC (Manchester United Football Club). Boleh layan bola sampai pukul 2-3 pagi. Melalui Twitter, Zzati cuba jadi peminat pemain bola sepak sedia ada. Tak malu Zzati nak cakap yang hubungan Zzati dengan Wan Zack juga bermula di Twitter. “Di situ kami berkenalan sebelum meluahkan rasa cinta dan berjumpa. Dia memang seorang lelaki yang tak banyak kerenah. Tak suka memaksa, penyayang dan sangat mengambil berat. Sikapnya yang menyenangkan itu buat hubungan kami berjalan lancar sehingga ke hari ini," dedahnya. Ditanya adakah dia menggunakan hubungan cintanya sebagai cara promosi namanya supaya mudah diingat di kalangan peminat seni tanah air, pantas anak kelahiran Bandar Tun Abdul Razak, Jengka Pahang ini menafikan. “Zzati tak gunakan helah bercinta dengan Wan Zack sebagai cara untuk mempromosikan Zzati. Itu tak benar. Zzati dah sedia bergelar figura awam sejak tahun 2009 sebelum kenal Wan Zack. Jadi tak timbul soal Zzati tumpang populariti dia. “Sekarang ini kami berdua adalah figura awam yang punya bidang tersendiri. Dan sudah pastinya juga kami ada kelompok peminat masing-masing," katanya yang sedang sibuk mempromosi single terbarunya berjudul Malu-Malu Mahu terbitan MVM Production Sdn. Bhd. Rela susah DALAM perkembangan lain, pemilik nama Nur Izzati Mohd. Rashid ini turut menyatakan kesanggupan untuk belajar selok belok dunia rakaman daripada bawah berbanding ambil jalan pintas dengan bergelar artis Youtube. “Zzati tak kisah menyanyi di fun-fair, majlis tak formal sebab semuanya itu beri pengalaman kepada Zzati. Zzati belajar semuanya. Dan pross sekali gus beri kematangan kepada Izzati. Tak apalah, kalau orang cakap kenapa nak bersusah walaupun ada jalan mudah. “Sudah pastinya Zzati percaya pada rezeki seseorang. Kenalah berusaha lebih dan selebihnya Zzati serahkan pada-Nya," kata penuntut Diploma Seni Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Selangor ini di hujung perbualan.

Jual nama Zizan Razak

BARU-baru ini Syed ada mendengar cerita tentang satu sindiket yang menggunakan nama Zizan Razak yang semakin menjadi-jadi. Perkara ini memang serius dan memerlukan perhatian ramai memandangkan ramai orang luar yang terlalu ghairah nak jadi artis. Dikhabarkan ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama Zizan Razak sebagai umpan untuk mereka buat kerja tak baik. Orang-orang ini jaja cerita kononnya ada pencarian bakat baru untuk berlakon bersama Zizan dalam filem baru. Mereka menyasarkan gadis-gadis cantik yang teruja sangat nak jadi artis agar datang sesi uji bakat. Perkara-perkara macam ni bukan baru sebab Syed difahamkan ada yang memang jadi mangsa sindiket baru-baru ini melibatkan gadis belasan tahun yang akhirnya memakan diri. Ini perkara serius dan perlu diambil tahu oleh mereka-mereka yang terlalu ghairah nak popular. Bukan apa, esok berlakon entah ke mana, tergadai pula badan dek penangan orang yang tak bertanggungjawab. Syed rasa memang ramai yang sedia maklum tentang penipuan dengan menjual nama artis-artis popular macam Zizan. Malah sebelum ini pun ada yang sampai kena cabul dek penangan tukang uji bakat sampai buat laporan polis. Jadi berhati-hatilah kalau iya pun kemaruk nak jadi artis. Bukan semua orang boleh dipercayai sebab ramai orang yang terkena jerat yang sama sebab terlalu ghairah nak popular jadi orang terkenal. Ini peringatan untuk semua dan kita kena selalu beringat tentang perkara ini. Pelanduk selalu lupakan jerat tapi jerat tak pernah lupakan pelanduk.

Siapa yang cemburukan Hanis tu?

BARU-baru ini Joyah sempat lepak bersama kawan-kawan. Tiba-tiba muncul satu topik membabitkan penulis blog tanah air yang jadi model, pelakon, pengacara, Hanis Zalikha. Dengarnya, ada orang tak suka hati dengan kejayaan yang diraih Hanis sekarang ni. Maklumlah, dalam tempoh sekelip mata saja Hanis dah popular. Bukan setakat dapat masuk surat khabar, dapat juga masuk TV. “Joyah yang kepoh, ni aku nak beritahu kau yang sekarang ini ada orang dah pangkah Hanis. Ini pangkah yang tak baik. Budak ni dah lama aim Hanis. Dengarnya dia pernah ada hubungan cinta dengan Hanis. Sama ada bekas kekasih atau tidak, aku tak pasti. Aku dengar dia ada pakwe tapi dah putus. Kau koreklah sikit cerita dia Joyah. Aku nak tahu sangat yang Hanis tu jenis propa atau macam mana," tanya teman Joyah penuh teruja baru-baru ini. Joyah tak berapa kenal Hanis. Jadi Joyah tak boleh komen. Lagi pun Joyah tak nak terjebak dengan cerita yang bukan-bukan tentang hal artis ni. Sekarang ni pun dah hujung tahun. Joyah dah pasang tanam azam nak jadi tukang cerita yang berhemah pada tahun depan. Masalah ada orang cemburu, suka atau tidak pada artis itu memang perkara biasa. Alah, namanya pun manusia biasa. Orang yang bercakap itu pun paling kuat pun tulis di Facebook atau Twitter. Tak terjejas pun diri kalau terkena pada sesiapa yang dia dengki itu. Sabar jelah. Lagi satu, artis kalau tak tahan kena kutuk atau sembur dengan orang baik tak payah jadi artis. Nak-nak yang artis baru itu. Tak payahlah nak berlagak sangat. Kalau berjalan pandang dan tegurlah orang yang ada di kiri kanan tu. Mana tahu ada peminat yang nak ambil gambar. Nanti tersentap pula dan cakap artis baru tertentu itu sombong. Kalau dah terkena nanti, jangan cari kawan-kawan Joyah nak mengadu okey.

Lemas diganggu surat lucah - Feeya

SUDAH namanya selebriti, ke mana sahaja pergi pasti ada yang mengekori. Kalau mengekori sahaja tidak menjadi masalah tetapi apabila diganggu, itu mungkin sesuatu yang boleh membuatkan diri seseorang selebriti itu gusar. Tidak tahu dari mana silapnya, Feeya atau nama sebenarnya Nor Shafiza Iskandar Azizan mengakui dia kini diganggu individu misteri semenjak awal tahun lalu. “Gangguan berlaku agak kerap juga, orang misteri terbabit akan mengetuk pintu rumah saya sambil memanggil nama saya, bila saya keluar adalah dia tinggal sepucuk surat yang berbau lucah. “Gangguan ni berlaku bukan setiap hari namun buat masa sekarang masih tidak putus-putus. Saya harap perkara ini akan menemui jalan noktahnya, walaupun saya tidak diapa-apakan tapi saya turut risaukan keselamatan saya," jelas Feeya. Tambahnya lagi, bagi memastikan dirinya berada dalam keadaan selamat, dia telah melaporkan hal ini kepada pengawal keselamatan yang menjaga kawasan perumahannya. Kalau keadaan bertambah buruk tidak mustahil dia akan melaporkan kepada polis. Apabila ditanya adakah gangguan tersebut kerana orang menganggap dirinya sebagai simbol seks, jelasnya perkara tersebut sebenarnya bukan menjadi perkara utama. Ini kerana tanggapan simbol seks itu berbeza-beza. “Tidak timbul soal simbol seks atau tidak, saya sendiri pun bukan jenis yang suka pakai seksi seperti orang lain, saya hanya memakai pakaian seperti apa yang orang pakai sekarang dan tidak pernah lebih-lebih. “Tanggapan seksi dan seks ni berbeza kepada seseorang, walaupun pakai baju kurung ada juga yang menganggap itu seksi, istilah seksi sukar untuk diolah. “Nak halang orang bukan perkara yang mudah, bagi saya biarlah saya baik dengan semua orang dan paling penting tidak sombong dengan sesiapa pun. “Buat masa ni saya perlu menjaga diri saya supaya perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku, pihak Astro sendiri juga ada menasihati saya supaya tidak terlalu memuat turun gambar-gambar yang boleh disalah erti oleh orang lain dalam laman Facebook saya," jelas Feeya atau lebih dikenali Cik Piah ketika ke udara di Sinar FM. Mahu sehebat Kak Engku Menjadikan Kak Engku sebagai idolanya, jelas Feeya tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi seorang penyampai radio, namun kini dirinya begitu selesa di konti. Pernah menyertai program realiti, Anak Wayang pada 2010, Feeya tidak mensia-siakan pakej dan bakat yang ada pada dirinya untuk diketengahkan sebagai seorang penyampai radio. “Selepas tersingkir daripada Anak Wayang, kebetulan masa tu stesen radio Era FM membuka uji bakat mencari penyampai radio separuh masa. “Saya menghadiri uji bakat tersebut untuk mencuba nasib dan Alhamdulillah, nasib menyebelahi saya kerana berjaya melayakkan diri menjadi seorang deejay," katanya. Feeya berkata, kejayaannya itu dianggap sebagai rezeki hasil usahanya sendiri mengetengahkan bakat dan kelebihan yang ada dalam dirinya selama ini. “Setelah berjaya dipilih menjadi penyampai radio separuh masa di Era FM, saya ditawarkan pula berkhidmat di stesen radio XFM selama dua bulan. Akhirnya saya ditawarkan oleh stesen radio Sinar FM untuk menjadi penyampai sepenuh masa sehingga ke hari ini. “Saya sebenarnya cukup meminati Kak Engku (Raja Azura) dan sekiranya boleh saya ingin menjadi sehebatnya. Kak Engku begitu selamber dalam konti, dia dengan dirinya sendiri tanpa kompromi. “Selain menjadi penyampai radio, Kak Engku juga boleh berlakon menjadi pengacara acara-acara besar, kehebatannya bukan hanya terbatas pada penyampai radio sahaja. Saya akui Kak Engku adalah idola saya," jelas Feeya. Berjiwa retro Dikenali dengan panggilan Cik Piah, ia dilihat serasi dengan empunya diri yang suka bercakap. Malah saban hari, gadis manis ini semakin disenangi pendengar tegar Sinar FM. Walaupun baru berusia 23 tahun, anak jati Johor ini dilihat seakan-akan sebati dengan lagu-lagu lama ataupun retro yang kebiasaannya hanya diminati oleh golongan yang lebih berumur. “Bagi saya muda ataupun tua itu tidak menjadi masalah, yang penting adalah hati kita. Saya tidak bermasalah dalam mengendalikan segmen-segmen lagu-lagu retro kerana jiwa saya juga berjiwa retro. “Sebenarnya jiwa retro ni lahir apabila saya dikelilingi oleh orang-orang yang lebih berusia daripada saya antaranya mak dan mak saudara saya, selain itu saya sendiri juga meminati lagu-lagu lama antaranya lagu-lagu rock kapak," jelas graduan diploma Pengurusan Seni dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini. Menurutnya, sebagai penyampai radio, seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan secukupnya untuk memberi informasi berguna kepada pendengar dan bukannya sekadar bercakap kosong. “Saya perlu banyak membaca supaya tidak ketinggalan dengan isu-isu semasa yang berlaku untuk dikongsi bersama pendengar dan juga perlu memastikan sumber yang diperoleh adalah benar. “Selain itu, saya juga perlu sentiasa berhati-hati sebelum bercakap terutama dari segi sensitiviti kerana ianya bakal menimbulkan masalah sekiranya berlaku sebarang kesilapan," katanya. Feeya juga turut berkongsi tip bagi memastikan pendengar mengikuti segmen yang dikendalikannya. “Saya sentiasa menjadi diri sendiri sepanjang ke udara di corong radio dan keadaan ini membuatkan saya berasa lebih selesa dan tidak kekok menjalankan tugasan ini," katanya. Tumpu pada karier Apabila ditanya soal percintaan, wajah gadis manis ini tiba-tiba menjadi merah padam, ternyata persoalan itu membuatkan Feeya malu untuk berkongsi kisah peribadinya. Ujar Feeya, buat masa ini kisah percintaan perlu diletak ketepi kerana usianya yang masih muda dan ingin tumpukan kepada kariernya sekarang. “Bukan tak nak bercinta, tapi bagi saya itu semua masih tidak penting lagi buat masa ini. berkawan memang ada tapi saya tidak fikir untuk pergi lebih jauh daripada itu. “Biarlah masa yang menentukan segalanya, buat masa ini paling istimewa dalam diri saya adalah keluarga saya sendiri saya selesa dan gembira dengan karier saya sekarang. Saya mahu lebih berusaha sehingga ke peringkat lebih tinggi sebaris dengan penyampai berpengalaman yang lain. “Banyak pengalaman saya peroleh sepanjang bergelar penyampai radio dan ianya sedikit sebanyak telah memberi pengajaran berguna kepada saya," katanya. Menurut Feeya, sebelum ini ramai juga yang tanya adakah dia ingin tinggalkan terus bidang lakonan yang menjadi titik mula kariernya sekarang, jelas Feeya perkara itu perlu difikir sedalam-dalamnya terlebih dahulu. “Minat untuk berlakon tu masih ada namun, saya perlu memikirnya terlebih dahulu. Saya ada juga menerima tawaran tapi saya terpaksa tolak dengan baik kerana tidak mahu tugas saya sebagai penyampai radio ini terganggu. “Saya berpegang pada pepatah jangan menjadi yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Saya tak mahu apabila saya kejar dunia lakonan kerjaya saya sekarang pula yang terlepas.

Adrea benci lelaki miang

SEMALAM filem Kahwin 5 terbitan Showbiz Productions mula menemui peminat di sekitar 70 buah pawagam seluruh tanah air. Filem arahan Nizam Zakaria itu dibintangi oleh Shy8 atau Usop Wilcha, Fizz Fairuz, Dian P.Ramlee, Adrea Abdullah, Norish Karman, Marsha Milan, Anzalna Nasir dan Soffi Jikan. Antara watak yang menonjol dalam Kahwin 5 adalah Sahara lakonan Adrea yang merupakan isteri kedua kepada Dr. K, yang dilakonkan oleh Shy8. Menariknya, Sahara bukan sahaja garang tetapi pekat dengan dialek Kelantan kerana wanita itu ditemui Dr. K sewaktu menjual tupperware di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Pembawa watak Sahara adalah Adrea dan dia tidak mempunyai masalah untuk bertutur dialek Kelantan kerana dia memang berasal dari negeri itu. Menurut Adrea atau nama sebenarnya Nik Adrea Nik Abdullah, dia memilih untuk berlakon Kahwin 5 kerana jalan ceritanya yang menarik, lucu dan berkisarkan tentang realiti. Bagaimanapun kata Adrea, dia amat malu ketika melakonkan adegan atas katil dengan Usop Wilcha walaupun ini adalah filem ke lima lakonannya. “Sumpah Adrea malu! Segan sangat! Tapi nasib baik Adrea dapat padamkan rasa malu ketika rakaman adegan itu, kalau tidak pasti tak menjadi babak itu. “Apa pun Adrea bernasib baik sebab abang Usop profesional orangnya. Dia tak menganggu fokus Adrea untuk menghidupkan karakter Sahara dan menggambarkan keadaan mereka sebagai suami isteri ketika itu," katanya mengulas adegan yang tampak menggoda itu. Kata Adrea, dia bukanlah jenis yang berani untuk melakonkan adegan daring namun bersetuju untuk filem Kahwin 5 kerana watak Sahara yang pelbagai. “Realitinya Adrea memang takut untuk melakonkan adegan berani kerana Adrea tidak mahu dianggap sebagai pelakon yang bukan-bukan pula. “Selalunya Adrea akan tapis dulu sebelum buat keputusan untuk memilih watak yang ada unsur-unsur panas, tapi kalau boleh elak mesti elak. “Lagipun Adrea ini pelakon serius. Adrea tidak mahu mencari glamor murahan dengan menerima watak yang tak mencabar dan tidak membantu Adrea untuk membina nama sebagai pelakon. Untuk watak Sahara itu ada sebabnya kenapa Adrea terima," jelasnya. Tambah Adrea, dia bersetuju untuk berlakon Kahwin 5 bukan kerana ia filem komedi semata-mata tapi kerana filem itu sarat dengan mesej. “Kahwin 5 bukan sekadar komedi tetapi memaparkan masalah yang logik dan sering berlaku dalam kehidupan seharian. Banyak mesej positif yang dapat diambil biarpun cara penyampaian dalam bentuk lawak. “Saya suka bekerja dengan Nizam kerana dia seorang pengarah yang senang untuk diajak berbincang dan sering memberi kebebasan kepada pelakon untuk melakonkan watak mengikut pendekatan masing-masing," katanya. Menyentuh mengenai watak Sahara yang ada ketikanya garang macam harimau itu katanya, tidak ada kena mengena dengan peribadi dan semua itu hanyalah lakonan. Lagipun watak Sahara yang digambarkan dalam Kahwin 5 adalah isteri kedua yang suka cakap kuat-kuat apabila marah pada Dr. K. “Adrea bukan jenis yang suka cari gaduh kerana saya seorang yang tenang. Kalau Sahara marah, dia terus sembur tapi Adrea pula lebih senang mendiamkan diri kalau sedang marah. “Sahara mencabar Adrea kerana perlu melakonkan watak itu melucukan walaupun dalam keadaan manja atau garang. “Kalau zaman sekolah dulu, mungkin watak Sahara itu ada pada diri Adrea. Cepat panas baran kerana Adrea dulu tomboy, tapi bukan pengkid ya kerana Adrea ada teman lelaki. Tapi cabaran Adrea ialah untuk membuat watak itu melucukan walaupun dlm keadaan manja atau garang," ceritanya. Sebelum ini Adrea pernah berlakon filem Sh3, Dua Alam, CE1, Abuya dan Hantu Tok Mudim yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan. Selain itu dia juga muncul dalam filem Sifu dan Tongga serta Omni versus Ponti. “Setakat ini alhamdulillah, tawaran berlakon tidak henti-henti baik filem atau drama. Antara drama yang orang ingat kemunculan Adrea adalah Elly dan Epit serta 7 Gerhana," katanya yang idamkan watak seperti Jennifer Garner dalam drama Alias. Sudah ada teman Baru-baru ini di laman sosial tersebar cerita kononnya Adrea berkawan dengan pengkid dan apabila soalan itu diaju, dia hanya ketawa mendengarnya. “Kelakarnya... Adrea ada teman lelaki lah. Alhamdulillah. Tapi boyfriend Adrea selalu sibuk. Dia yang nak Adrea ada pembantu peribadi (PA) sebenarnya untuk jaga Adrea. “Teman lelaki Adrea risau melihat Adrea yang kadang-kadang balik sendiri pada waktu malam dan memandu dalam keadaan penat. “Apabila ada pembantu peribadi, orang tak mengatal dengan Adrea sangat, sebab ada body guard katanya," tangkis Adrea tentang dakwaan dia berkasih dengan pengkid. Tambah Adrea, yang dimaksudkan itu adalah PA dan sekali gus kawan rapatnya yang sudah dikenali sejak lapan tahun lalu dan sudah dianggap seperti adik sendiri. “Dari zaman sekolah Adrea ramai kawan. Macam-macam jenis ada. Adrea tak kisah siapa mereka, jadi mereka ikhlas dan jujur sebagai kawan dan tak mengambil kesempatan sudah. “Adrea bukan jenis yang suka menilai orang. Asal mereka baik dan sudi berkawan itu sudah memadai. Kebanyakan kawan-kawan Adrea dikenali keluarga," katanya. Ibu tunggal Berkenaan dengan status diri, sejujurnya Adrea memilih untuk lebih terbuka. Malah, dia mengakui sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga tetapi jodohnya tidak lama. Hari ini, dia sedang mengayam cinta dengan seorang jejaka yang diharap mampu membawanya ke jinjang pelamin sekali lagi. “Memang saya pernah berkahwin, namun sayangnya jodoh tak lama. “Dugaan Allah Adrea terima dengan penuh reda dan tabah melaluinya. Adrea juga bersyukur kerana ada seorang anak lelaki yang menjadi kekuatan dan penyeri hidup Adrea. “Kini hati Adrea sudah dimiliki. Dia cuma orang biasa bukan dari kalangan artis. Doalah dia yang terakhir untuk Adrea. Insya-Allah. Kita mampu merancang hanya tuhan menentukan," ujarnya.

Emma Maembong terus melukis

SENI merupakan bidang yang sungguh luas. Ia terbahagi kepada beberapa bahagian dan sering memberi gelaran untuk mereka yang berada di dalam industri yang sama. Meneliti perjalanan seni lakonan gadis ini, ternyata tiada apa yang perlu dibanggakan lagi. Namun, jika kita mengenali siapa sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, pasti terdetik rasa kagum dengan bakat luar biasa yang dimilikinya. Mula melukis sejak usia yang kecil, Fatimah atau lebih dikenali sebagai Emma Maembong, berkata, seni lukisan sentiasa menjadi cinta abadinya. Mewarisi bakat melukis daripada bapanya yang juga pelukis tersohor negara, Ismail Embong, bagi Emma bakat yang diwarisi itu merupakan harta tidak ternilai buat dirinya. “Saya tidak ingat bila saya mula melukis, tetapi memang dari kecil lagi, saya sudah pandai menggunakan berus. “Apabila meningkat dewasa, gaya lukisan saya semakin baik. Seingat saya, lukisan pertama saya dijual ketika saya berumur 14 tahun. Disebabkan itu, semangat untuk terus melukis semakin membuak-buak," katanya tersenyum. Menurut Emma, walaupun dia merupakan anak kepada pelukis terkenal, namun pendedahan melukis itu bukanlah hadir secara langsung. Mengakui ayahnya mahu melihat usaha itu hadir dari dirinya sendiri, Emma pada mulanya hanya berlajar melukis secara sendirian. “Minat ini sebenarnya hadir dengan sendiri, tiada paksaan daripada ayah untuk saya mengikut jejak langkahnya. “Bila sudah sampai satu tahap, baru ayah mempercayai kemampuan saya dan dari situ, dia mula mengajar saya," katanya bersungguh. Terus bercerita mengenai minat nombor satunya itu, bagi Emma walaupun dia kini sudah bergelar seorang pelakon, itu tidak bermakna dia mahu melupakan dunia seni lukisan yang sehingga kini mewarnai hidupnya. “Apabila ayah membenarkan saya bekerja, saya langsung tidak terfikir mahu bergelar seorang pelakon. “Sehinggalah salah seorang kakak mencadangkan saya untuk berlakon. Pada mulanya memang agak kekok, namun kelebihan bidang ini adalah pada waktu yang sama saya juga masih mampu meneruskan kerjaya sebagai pelukis," katanya. Mengakui kesibukannya kini membantutkan niatnya untuk mencipta karya terbaharu, Emma berkata, selalunya jika bercuti panjang, lokasi utama yang akan ditujunya adalah kampungnya yang terletak di Terengganu. “Buat masa ini, saya masih sibuk, jadi tak sempat nak menyiapkan apa-apa lukisan. Namun, saya akan teruskan bila ada kelapangan," ujarnya. Baharu sahaja selesai penggambaran drama bersiri Cinta Itu Milikku, Emma mengambil keputusan untuk bercuti panjang dan selalunya dia akan pulang ke Terengganu. Penulis yang menemubual Emma di Balai Seni Visual Negara, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada mulanya berasa agak hairan melihat gadis itu begitu ramah bertegur sapa dengan para pekerja di situ. Setelah dijelaskan, rupa-rupanya Emma pernah ‘membesar’ di bangunan tersebut. “Saya kenal dengan sebahagian besar pekerja di sini. “Dahulu, ayah mempunyai pejabatnya di sini, setiap kali ayah ke sini, dia akan membawa saya. Jadi, kebanyakan masa saya dihabiskan di sini bagi menemani ayah. Sebab itulah, saya biasa dengan persekitaran di bangunan ini," katanya. Anak ayah Meneruskan perbualan, Emma mengakui dia merupakan seorang anak yang sangat rapat dengan ayahnya. Tidak pernah hadir ke sekolah seperti biasa, bagi Emma perjalanan kehidupan remajanya agak berbeza dengan remaja di luar sana. “Saya dibesarkan oleh ayah, manakala adik beradik saya yang lain dibesarkan oleh ibu. “Ayah memang seorang yang penyayang, ada suatu masa dia akan menyediakan segala-galanya untuk saya. Bagaimanapun, apabila usia meningkat dewasa, sedikit demi sedikit dia mula memberi ruang untuk saya mengatur perjalanan hidup saya sendiri. Saya akui pada mulanya agak takut, namun selepas beberapa ketika kini saya mulai belajar erti kehidupan," katanya yang kini sudah tujuh bulan bergelar pelakon. Berkongsi pengalaman sebagai pelakon, menurut Emma pada mulanya, dia agak terkejut dengan ‘penangan’ gelaran seorang pelakon. “Dahulu, saya hanya orang biasa, seorang anak yang akan mengikut ayahnya menyertai pameran lukisan, selain seorang pelukis biasa. “Justeru, tidak dinafikan hanya ada golongan tertentu mengenali saya. Namun, apabila bergelar pelakon kini, baharu saya tahu erti privasi. Memang banyak bezanya dan saya mula belajar untuk selesakan diri dengan keadaan ini," katanya. Tidak mahu terburu-buru, bagi Emma tempoh tujuh bulan berada di dalam dunia lakonan banyak mengajarnya erti kesabaran. Walaupun bakat lakonannya masih lagi diragui, Emma tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk mengundurkan diri. “Saya akui ramai lagi di luar sana yang mempersoalkan bakat lakonan saya. “Ingin saya tekanan di sini bahawa saya masih lagi belajar, dan saya yakin masa itu masih lagi panjang untuk saya. Apa yang saya harapkan cuma peluang dan sokongan daripada mereka di luar sana," katanya.

Berita Kelahiran Anak Shakira Hanya Gurauan Tunang

LONDON: Tunang kepada penyanyi Shakira iaitu Gerard Pique mengakui pengumuman mengenai kelahiran anak mereka pada 28 Disember lalu (waktu tempatan) hanya satu gurauan. Terdahulu, bintang bola sepak Barcelona itu berkata menerusi Twitter: “Anak lelaki kami sudah dilahirkan! Kami sangat gembira! Terima kasih atas semua ucapan!” Bagaimanapun, tidak lama selepas itu Pique, 25, mengemas kini mesej terbaharu di laman sosial itu dan berkata: “Dia (bayi) mempunyai nama! Dia dipanggil ‘Naif’! Selamat ‘Hari Naif’ kepada anda semua!” Difahamkan, tarikh 28 Disember merupakan hari sambutan April’s Fool bagi penduduk Sepanyol. Pasangan itu menjalinkan hubungan sejak dua tahun lalu. Shakira, 35, mengumumkan mengenai kehamilannya pada September lalu. Dia juga dijangka menyertai musim terbaharu program The Voice sebagai juri pada Mac depan.

Raja Azmi Semakin Sunyi Selepas 6 Bulan Jadi Janda

KUALA LUMPUR: Penerbit dan penulis skrip kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman mengakui kehidupannya semakin sunyi selepas enam bulan bergelar janda. Raja Azmi, 53, berkata perasaan itu membelenggu terutamanya pada waktu malam apabila dia terpaksa tidur bersendirian tanpa suami di sisi. “Sebelum ini, tidak rasa sangat tetapi sejak akhir-akhir ini rasa sunyi semakin menebal pula terutamanya apabila saya hendak tidur. “Pada 27 Disember lalu, genap enam bulan saya dan suami (Jalani Sidek) berpisah. Saya semakin sunyi apabila tidur seorang diri di katil,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Raja Azmi dan bekas jaguh badminton negara itu bercerai talak satu pada 27 Jun lalu di Mahkmah Syariah Rendah Gombak Timur selepas 28 tahun berumah tangga. Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain konflik yang berpanjangan. Ditanya mengenai hubungan dengan bekas suami, Raja Azmi berkata, mereka masih berkawan dan saling menghubungi seperti dahulu cuma dia menghormati batas-batas antara mereka. “Hubungan saya dan bekas suami masih baik dan kami kekal bersahabat seperti sebelum ini. “Saya belum terfikir soal pengganti dan berasa selesa dengan keadaan sekarang. “Saya tidak boleh cari (pengganti), kalau ada biarlah ia datang sendiri,” kongsinya yang masih dalam proses pra-produksi filem terbaharu berjudul Anak Ikan.

Zul Ariffin Harap Kisah Cinta Dengan Gayatri Tidak Jejaskan Kerjaya

PETALING JAYA: Pelakon Zul Ariffin berharap keterbukaannya mendedahkan kisah hubungan cinta dengan Naib Presiden Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai tidak akan menjejaskan kerjaya mereka. Pelakon berusia 26 tahun itu berkata, dia mengambil keputusan berkongsi perkara itu dengan khalayak kerana tidak mahu timbul sebarang salah faham atau kekeliruan jika mereka dilihat bersama pada masa akan datang. “Bagi saya, tidak jadi isu pun selepas dedahkan hubungan kami. Malah, lagi awal buka cerita, lagi bagus. “Tiada faedah pun kalau saya hendak sorok (hubungan). Perkara ini sudah kami bincangkan banyak kali sebelum saya membuka mulut mengenai kami. “Cuma, saya harap cerita ini (hubungan) tidak akan jejaskan kerjaya kami pula,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Dalam artikel bertarikh 24 Disember lalu, aktor bertubuh sasa ini mengakui bercinta dengan Gayatri sejak tujuh bulan lalu selepas mereka bekerjasama dalam penggambaran filem Penanggal.
Mengenai perkembangan hubungan itu, Zul berkata, keselesaannya dengan wanita itu membuatkan dia tidak teragak-agak memperkenalkannya kepada keluarga. “Saya selesa dengan dia (Gayatri). Malah, saya sudah perkenalkan kepada keluarga pun. “Buat masa ini, ia adalah hubungan yang serius cuma kami belum letak sebarang sasaran dalam waktu terdekat,” jelasnya. Zul berkata, dia juga berharap agar tiada pihak cuba membangkitkan isu jarak umur antara mereka kerana keputusan untuk menjalin hubungan dengan Gayatri tiada kena mengena dengan status atau usia wanita itu. “Sejak dahulu lagi, saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau had umur dalam menjalinkan sesebuah hubungan. Begitu juga sekarang, cinta saya terhadap Gayatri ikhlas,” katanya yang pernah bercinta dengan Abby Abadi sselama dua tahun sebelum ini. Terbaru, Zul bakal muncul dalam drama bersiri Debunga Lalang bermula 2 Januari depan menerusi slot Azalea pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 4 petang di TV3. Dia juga menantikan tayangan tiga filem lakonannya iaitu Penanggal, Balistik dan Bikers Kental pada tahun hadapan.

KENANGAN 2012: Kematian Tinggalkan Seribu Kenangan

PETALING JAYA: Bak kata pepatah, harimau pergi meninggalkan belangnya, manusia pergi meninggalkan nama yang akan dikenang sehingga ke akhir hayat. Kematian lapan anak seni tanah air pada 2012 meninggalkan karya yang akan menjadi tatapan kita dan generasi akan datang. Jumlah kematian itu mungkin tidak seramai tahun lalu tetapi kehilangan mereka begitu dirasai dan meninggalkan seribu kenangan yang tidak akan luput sampai bila-bila. Apa yang diharapkan, segala kebaikan dan jasa baik insan-insan terpilih ini akan mengiringi mereka di alam sana. Al-Fatihah. Kita imbas kematian artis pada tahun ini.
Izwan Pilus Meninggan dunia : 20 Januari 2012 (32 tahun) Kematian penyanyi lagu Kembali Senyum ini amat mengejutkan industri hiburan. Ketika 2012 baru membuka tirainya, kita dikejutkan dengan berita kematian Izwan pada 20 Januari lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan terkena virus kencing tikus yang serius. Sebulan sebelum pemergiannya, Allahyarham bersama adiknya, penyanyi Aril (Akademi Fantasia 7) pernah dimasukkan ke Hospital Pusrawi dekat sini akibat demam panas yang berpanjangan. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampungnya di Jalan Taman Nyalas 2, Taman Nyalas Permai, Jasin, Melaka dan dikebumikan di sana pada pagi 21 Januari lalu. Latif Ibrahim Meninggal: 20 Februari 2012 (60 tahun) Penyanyi dan pelakon veteran Abdul Latif Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Latif Ibrahim meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk penyakit jantung. Penyakit jantung yang dihadapi sejak 12 tahun lalu semakin serius pada tahun lepas sehingga memaksa Allahyarham dikejarkan ke IJN sebanyak tiga kali akibat serangan yang sama. Allahyarham yang juga abang kepada penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim cukup disayangi kerana keletah dan sikap yang lucu dan menggemari makanan. Kematian penyanyi lagu Nora itu menimbulkan perasaan terkilan kepada keluarga kerana beliau menghembuskan nafas terakhir tiga hari sebelum sambutan hari lahir ke-60, selain tidak sempat mengerjakan umrah bersama seluruh keluarga. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat dekat sini pada 21 Februari lalu.
smail Haron Meninggal: 9 April 2012 (66 tahun) Penyanyi veteran yang mendapat jolokan Tom Jones Singapura ini meninggal dunia dalam tidur di rumah kakaknya di Jurong West, Singapura kira-kira pukul 2 petang, 9 April lalu. Allahyarham tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama adik-beradiknya sejak pulang dari Brisbane, Australia pada tahun 2003 selepas 28 tahun berada di negara itu. Beliau merupakan anak keempat daripada 12 beradik. Jenazah penyanyi lagu Delailah ini dikebumikan di Pusara Abadi 2, Jalan Bahar, Jurong, Singapura pada pukul 10 pagi 10 April lalu. Bob Kuman Meninggal: 3 Mei 2012 (41 tahun) Pemilik nama sebenar Husni Mohd Rawi ini disahkan meninggal dunia pada petang 3 Mei lalu akibat komplikasi jantung, darah tinggi dan paru-paru berair di kediamannya di Kota Damansara, di sini. Pelawak ini menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Norma Ibrahim dan beberapa kenalan rapat. Kesihatan Allahyarham dilaporkan mula terganggu selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama pada 2010. Terdahulu, Bob pada 21 April lalu kesal apabila ada pihak menyebarkan fitnah mengatakan dia telah meninggal dunia sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat. Sam D’lloyd Meninggal: 9 Jun 2012 (64 tahun) Vokalis kumpulan terkenal era tahun 70-an iaitu D’lloyd, Syamsuar Hasyim atau lebih dikenali sebagai Sam menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 pagi, 9 Jun lalu akibat penyakit jantung dan kanser paru-paru yang dihadapinya sebelum ini. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Kusir, Jakarta. Ketika hayatnya, Allahyarham dan D’lloyd begitu ‘digilai’ bukan sahaja di Indonesia malah Malaysia, Singapura dan Brunei. Alunan suara mendayu Allahyarham dalam lagu-lagu antaranya Keagungan Tuhan, Tak Mungkin, Oh Di Mana dan Semalam di Malaysia akan terus dikenang selamanya.
Osman Kering Meninggal: 29 Jun 2012 (58 tahun) Pelakon dan pelawak veteran ini meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, dekat sini kira-kira pukul 3.45 petang, 29 Jun lalu akibat kegagalan fungsi otak. Terdahulu, Allahyarham mengalami batuk berdarah di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 11 Jun lalu. Terdahulu, terdapat khabar angin berita kematian Allahyarham tetapi pelakon itu hanya dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana berada dalam keadaan kritikal dan bergantung pada alat bantuan pernafasan di hospital berkenaan. Allahyarham yang berasal dari Bachok, Kelantan mula menceburi bidang lakonan secara serius selepas dinobatkan naib juara pertandingan Bakat TV di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1979. Pada awal pembabitannya, Allahyarham menggunakan nama Osman Kassim tetapi kurang dikenali ramai. Nama jolokan Osman Kering yang diberikan secara spontan oleh pelawak Mek Habsah ketika mereka mengadakan persembahan pentas pada pertengahan 1980-an, terus melekat dan membawa tuah kepadanya sehingga kekal digunakan ke akhir hayatnya.
Datuk Ismail Hutson Meninggal: 21 Julai 2012 (73 tahun) Datuk Ismail Hutson atau nama sebenarnya Ismail Omar menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.13 pagi 21 Julai lalu akibat komplikasi penyakit jantung di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya. Ismail dimasukkan ke Unit Rawatan Kritikal (CCU) pusat perubatan itu sejak Selasa lalu selepas 10 hari mengalami demam panas yang teruk. Allahyarham yang juga Presiden Persatuan Artis Veteran meninggalkan dua balu, Hafidzah Khasbullah dan Zaiton Osman serta tujuh orang anak. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, Seksyen 9 dekat sini pada hari yang sama. Berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang lakonan, filem terakhirnya adalah Mr Cinderella pada 2003. Raja Hamidah Meninggal: 12 September 2012 (80 tahun) Seniwati veteran ini menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Klang Gate Baru, dekat sini pada pukul 7.05 malam 12 September lalu, selepas tidak sedarkan diri dipercayai akibat kesan penyakit kanser dihidapinya. Anak seni yang mesra disapa Mak Lenggang ini disemadikan di Tanah Perkuburan Klang Gate Hulu Kelang pada 13 September lalu. Balu kepada seniman serta pengarah filem 1940-an hingga 1980-an, Allahyarham Salleh Ghani itu menceburi bidang lakonan pada 1948 melalui filem Kampung Sentosa arahan B Reaves E Elliot terbitan Sound Master Of New York Ins. Selain berlakon, Raja Hamidah juga pernah menjadi penari dan penyanyi latar di Shaw Brothers serta pemimpin kumpulan muzik Seni Wanita. Hasil perkahwinannya dengan Salleh Ghani pada 1955, pasangan itu dikurniakan 12 anak termasuklah pengarang di akhbar Harian Metro, Adam Salleh serta 24 cucu.
J. Kamisah Meninggal: 21 November 2012 (64 tahun) Penyanyi era 60-an ini meninggal dunia kira-kira pada pukul 1.20 pagi, 21 November lalu kerana komplikasi pelbagai penyakit termasuk jantung. Menurut anak angkatnya Rahimah Rahim, 41, Allahyarham yang juga bekas anggota kugiran The Wisma, menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya di Bukit Panjang, Singapura. Allahyarham yang popular menerusi lagu Jelingan Manja meninggalkan suami, Mohd Kadar Sultan dan tiga anak yang berusia di antara 36 hingga 43 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Pusara Aman Tanah Perkuburan Islam, Choa Chu Kang, Singapura sebelum solat Zuhur pada hari yang sama.

Shakira Selamat Lahirkan Anak Lelaki

PASANGAN selebriti Shakira dan Gerard Pique sekali lagi mengumumkan khabar bahagia apabila mereka mengesahkan dikurniakan seorang anak lelaki. Menerusi laporan Dailymail, Shakira telah selamat melahirkan anaknya itu pada Khamis lalu dan ia diumumkan menerusi Twitter milik Gerard.
"Anak lelaki kami dah lahir dan kami sangat bahagia! Terima Kasih semua!" kata Gerard di twitter dalam bahasa Sepanyol. Bagaimanapun pemain bola sepak Sepanyol itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai perihal anaknya itu. Pada September lalu, Shakira telah mengumumkan kehamilannya yang telah pun mengandung lima bulan dengan memuatkan fotonya di Twitter.

KENANGAN 2012: Pencapaian Merosot Wajar Diperbaiki

PETALING JAYA: Saban tahun, dunia seni tempatan sering diwarnai dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang mampu menjadi kebanggaan. Namun sepanjang 2012, tidak banyak pencapaian yang benar-benar memberi impak terhadap dunia seni selain daripada penyanyi Shila Amzah yang berjaya meraih pelbagai trofi tidak kira di dalam mahupun luar negara. Walaupun pencapaian agak merosot, ia haruslah dijadikan panduan agar 2013 mampu memberi sinar baru bagi memulihkan semula segala kelemahan yang telah berlaku. Berikut adalah antara pencapaian yang harus dibanggakan.
1. Shila Amzah harumkan nama di luar negara Kejayaan anak kepada penyanyi ND Lala ini sangat luar biasa. Penyanyi berusia 22 tahun itu telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan Asian Wave Berlangsung di Shanghai, China, sekali gus menjadi juara menewaskan penyanyi-penyanyi hebat dari pelbagai negara lain yang berlangsung pada 20 September 2012 lalu. Kemudian, lagu ciptaannya Patah Seribu turut diangkat sebagai Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) yang berlangsung pada 17 November lalu. Shila mencipta sejarah untuk dirinya sendiri apabila kali pertama menerima pengiktirafan di negara sendiri selepas menjadi juara dalam Asian Wave 2012. Selain itu, Shila turut disenaraikan sebagai calon di kategori Artis Wanita Terbaik Dunia (World's Best Female Artist) dan Penghibur Terbaik Dunia untuk Tahun 2012 (World's Best Entertainer Of The Year) di World Music Awards. Anugerah berprestij yang akan diadakan di Miami, Florida, Amerika Syarikat turut mencalonkan nama-nama besar dunia seperti Adele, Taylor Swift, Madonna, Rihanna dan Kelly Clarkson.
2. M.Nasir ungguli kutipan royalti Sejak mula diadakan pada tahun 1995, penulis lirik, komposer, dan penyanyi tersohor dalam industri muzik tempatan, Datuk M. Nasir masih lagi mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak, Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) buat kali ke-13 berturut-turut. Ini memperlihatkan sepanjang 2012, M.Nasir mendapat kutipan royalti tertinggi menerusi karya-karya ciptaannya. Ternyata lagu-lagu penyanyi yang dipanggil 'Sifu' ini masih lagi menyengat halwa telinga pendengar.
3. Bunohan dicalonkan dalam Academy Awards Filem arahan Dain Said yang diterajui Faizal Hussein dan Zahiril Adzim ini telah dicalonkan untuk kategori “Best Foreign Language Film” dalam Academy Awards ke 85 yang akan berlangsung pada tahun hadapan. Bunohan tersenarai bersama 70 buah filem lain dari pelbagai negara seluruh dunia untuk merebut anugerah berprestij tersebut Februari 2013 nanti. Biarpun belum pasti tentang nasibnya, tetapi pencalonan ini adalah satu kebanggaan terhadap negara. Filem ini turut meraih kemenangan sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Skrin 2012 (ASK2012).
4. Yuna muncul di stesen TV Amerika Syarikat Bukan senang untuk artis Malaysia dijemput untuk membuat persembahan di salah satu rancangan paling popular di Amerika Syarikat (AS). Yuna, penyanyi kelahiran Perak ini telah membuat persembahan pertamanya di stesen televisyen nasional negara itu dalam rancangan Conan O’Brien dengan membawakan lagu single pertamanya Live Your Life pada 2 April lalu. Antara selebriti yang pernah muncul dalam rancangan kendalian Conan O’Brien ini termasuklah Jeniffer Garner, Shaquille O’Neal, Marisa Miller, Lindsay Lohan dan juga Tom Hanks. Selain itu, penyanyi itu turut membuat persembahan di rancangan popular AS CBS This Morning: Saturday menerusi lagu Lullabies.
5. Kemenangan berganda Khabir Bhatia Drama terbitan Filmscape Sdn Bhd berjudul Di Telapak Kaki Bonda, diangkat sebagai Drama Terbaik ASK 2012 pada 9 November lalu. Diterajui oleh pelakon hebat seperti Diana Danielle, Sherry Merlis, Munif Isa dan Izreen Azmindar, karya arahan Khabir Bhatia itu menewaskan drama lain seperti Ku Petik Dosa, Parut Ashikin, Parit Jawa, Pelarian dan Maharku Untukmu. Kemenangan berganda turut diraih drama ini apabila Kabir turut menerima trofi Pengarah Terbaik Drama dan dua kategori lain iaitu Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama menerusi oleh Sherry Merlis dan Lakon TV Terbaik.
6. Salam Muzik buat kejutan AIM19 Penyanyi berkumpulan Salam Musik membuatkan ramai yang terkejut apabila mereka meraih kemenangan bagi Album Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM19). Terpaksa akur apabila lagu-lagu mereka lebih dikenali berbanding anggota kumpulan itu sendiri, kumpulan yang dianggotai seramai sembilan orang itu sebenarnya popular dengan lagu Alamak, Cerita Kedai Kopi dan Alamak. Kumpulan itu terdiri daripada Tahlal Sahnan, Eyza Bahra, M.Irhas (Payung), Bulya, Firdaus Aziz (Djambul), Ferdaus Nadzir (Ferdy). Ammmar Habir dan Kamal Razali.

Pelakon Iklan Fahd Rafael Disuruh Berbogel

PETALING JAYA: Pendatang baru yang juga pelakon iklan, Fahd Rafael (gambar) melalui detik cemas kerana ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadapnya apabila disuruh beraksi bogel untuk sebuah sesi fotografi. Fahd Rafael atau nama sebenarnya Fadhlan Izham, 21, berkata, peristiwa itu terjadi beberapa tahun lalu ketika dia sibuk melalui uji bakat untuk berlakon iklan televisyen tempatan. “Saya terkejut apabila beberapa pihak meminta saya melakukan aksi pelik iaitu berbogel untuk sesi fotografi dengan alasan untuk karya hasil seni bagi dipertandingkan di sebuah acara,” katanya kepada mStar Online di sini. Tambahnya, selepas meneliti permintaan itu, dia mendapati acara yang dimaksudkan tidak wujud menyebabkan dia mula mencurigai tawaran berkenaan.
Kata Fahd, dia sudah banyak kali menerima tawaran sedemikian apatah selepas dia berjaya membina otot-otot badannya agar kelihatan sasa. Ditanya adakah sebelum ini dia pernah berkasi keterlaluan sehingga tawaran sedemikian sering diberikan kepadanya, pelakon iklan minuman berkarbonat Coca Cola ini berkata, dia hanya memenuhi undangan pelajar fotografi sebelum ini untuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bagi tujuan pendidikan. “Saya mengaku, saya pernah beraksi sedemikian untuk projek fotografi seorang pelajar Aswara, apabila badan saya yang seperti tidak berbaju itu di simbah dengan cecair coklat. “Sebenarnya saya tidak berbogel tetapi memakai seluar pendek. Cuma gayanya sahaja menampakkan saya seperti tidak memakai apa-apa. Ia adalah bagi tujuan pendidikan pelajar itu,” katanya. Jelas pemuda ini lagi, dia tidak berhasrat mengulangi perkara itu lagi kerana bimbang ada pihak yang mahu menjatuhkan kerjayanya pada masa akan datang. Ditanya mengenai arah tujunya dalam bidang seni Fahd berhasrat untuk menjadi pelakon drama dan sedang berjinak-jinak dalam bidang berkenaan. “Saya perlu memberi tumpuan pada bidang lain juga untuk perkembangan bakat saya. Tidak hanya menjadi model iklan semata-mata kerana setiap hari ada saja model-model baru yang akan muncul dengan kelebihan masing-masing,” katanya. Selain Coca Cola, Fahd turut terlibat dalam beberapa iklan lain dengan memegang peranan utama seperti iklan Suzuki (2010), Mcdonald’s (2010), Digi (2011), Suzuki Nex (2012) dan Shieldtox Watercolour (2012). Dia juga pernah berlakon dalam sebuah telefilem untuk siaran Astro iaitu Arca Cinta terbitan PTV Film Production.

KENANGAN 2012: 27 Selebriti Nikah Penuh Kontroversi & Meriah

PETALING JAYA: 2012 mencatat sejarah tersendiri dalam dunia hiburan tanah air apabila 27 majlis perkahwinan selebriti berlangsung sepanjang tahun ini. Bermula dengan acara ijab kabul pelakon Sherry Merlis dengan penyanyi dan komposer Ash (Gabba Gabba) pada 1 Januari lalu, kemeriahan perkahwinan artis dan selebriti sukan tanah air berlangsung hampir pada setiap bulan pada tahun ini. Bintang bola sepak kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek menoktahkan kalender perkahwinan selebriti 2012 pada majlis pernikahannya bersama usahawan Leuniey pada tarikh 28 Disember 2012 di Tumpat, Kelantan. Majlis perkahwinan 2012 dilalui oleh para selebriti dalam keadaan meriah dan ada juga penuh dengan kontroversi. Contohnya ketika akad nikah hendak dilakukan, pasangan Ella dan Azhar Ghazali mengalami detik cemas apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus. Mari kita imbas perjalanan perkahwinan selebriti sepanjang 2012. Sherry Merlis & Ash (Gabba Gabba) Nikah: 1 Januari 2012 Pasangan yang dinikahkan di Madrasah Islahiyah Addiniyah, Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur ini mula berkenalan apabila sama-sama terlibat dalam produksi drama Cita dan Cinta arahan Azma Aizal Yusoof. Sebelum ini Ash pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Dira Abu Zahar dan dikurniakan anak perempuan bernama Tengku Anggun Deandra, 3. Begitu juga dengan Sherry, 40, yang pernah berumah tangga dengan Esma Daniel dan memiliki dua orang anak iaitu Habib Daniel, 18, dan Harith Daniel, 17. Hasil perkahwinan terbaru itu, Sherry dan Ash dikurniakan anak perempuan Tengku Kaseh Anaqah, lima bulan. Ally Iskandar & Nurfarahin Romli Nikah: 20 Januari 2012 Pengacara popular ini berkenalan dengan isterinya, Nurfarahin Romli atau Farah, 23, menerusi pertemuan yang diaturkan ahli keluarga mereka pada hujung Ogos 2011. Pasangan itu belum dikurniakan anak kerana Farah masih belajar di Universiti In Ha, Korea Selatan dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Namun, ujar lelaki berusia 36 tahun itu dia sudah tidak sabar menimang cahaya mata apabila Farah tamat pengajian pada hujung tahun ini. Lisa Surihani & Yusry Abdul Halim Nikah: 23 Februari 2012 Pelakon Lisa Surihani dan pengarah filem Yusry mengambil masa hampir setahun untuk mengenali hati budi masing-masing sebelum bercinta secara serius. Yusry mengakui Lisa telah membuka kembali pintu hatinya terhadap wanita selepas kegagalan perkahwinan lalu bersama Erra Fazira. Hampir setahun mendirikan rumah tangga, pasangan itu bagaimanapun belum dikurniakan cahaya mata.
Ana Raffali & Ahmad Aznaim Nikah: 25 Februari 2012 Penyanyi dan komposer berusia 26 tahun ini mengadakan majlis perkahwinan dengan pengurus peribadi Ahmad Aznaim Abdullah, 30, dalam keadaan yang cukup ringkas. Bermula dengan majlis pertunangan mereka pada pukul 11 pagi pada 25 Februari lalu di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, dekat sini, pasangan itu seterusnya bernikah kira-kira satu jam kemudian dengan sekali lafaz. Majlis resepsi penyanyi Tolong Ingatkan Aku itu diadakan di lokasi yang sama selepas pernikahan mereka. Amanda Misbun & Hairulzain Fauzi Nikah: 3 Mac 2012 Pendatang baru dunia lakonan yang juga adik kepada aktres Haliza Misbun ini bernikah di rumah keluarganya di Pantai Hill Park, dekat sini tanpa publisiti meluas. Hasil perkahwinan dengan lelaki berusia 28 tahun itu, Amanda baru sahaja dikurniakan anak perempuan pada 20 Disember lalu. Osman Ali & Aishah Sanai Nikah: 11 Mac 2012 Pengarah filem Ombak Rindu ini memilih jurutera dari Bintulu, Sarawak sebagai isteri selepas tiga tahun berkawan. Pernikahan ‘low profile’ itu berlangsung di kampung halaman pengantin perempuan manakala majlis resepsi sebelah keluarga Osman pula diadakan di Pulau Langkawi, Kedah pada 2 Jun lalu.
Datuk Malek Noor & Dr Wan Asma Wan Ismail Nikah: 12 Mac 2012 Bekas jaguh bina badan negara dan pelakon yang berusia 56 tahun ini mengahwini pakar pediatrik, Dr Wan Asma, 52, selepas sekian lama hidup membujang. Pasangan tersebut berkenalan selepas berhubung atas urusan perniagaan pada November 2011 sehingga Malek membuat keputusan merisik pada Februari lepas. Wan Asma yang bergelar ibu tunggal sejak tiga tahun lalu mempunyai tujuh anak dan empat cucu manakala Malek memiliki seorang anak angkat. Majlis nikah diadakan di kampung sebelah perempuan di Kota Bharu, Kelantan. Azza (Elite) & Azlan Zulaily Nikah: 1 April 2012 Jarak usia sembilan tahun tidak menghalang pelakon dan penyanyi Nor Azzarima Zawari, 34, untuk bersuamikan Azlan yang dikenali sejak dua tahun lalu.
Ekoran kegagalan rumah tangganya sebelum ini, Azza berharap perkahwinan kali kedua ini berkekalan ke akhir hayat. Pasangan ini diuji apabila kandungan Azza yang baru berusia enam minggu mengalami keguguran dipercayai berpunca daripada kesibukan jadual kerja wanita itu. Natasha Hudson & Carleed Khaza Nikah: 15 April 2012 Natasha yang berhijrah dengan imej bertudung secara tiba-tiba pada April lalu membuat kejutan berganda apabila mengumumkan majlis pernikahannya dengan komposer Carleed Khaza. Mereka yang bercinta sejak dua tahun lalu selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Perkahwinan ini merupakan kali ketiga buat Tasha dan kini aktres kacukan itu sedang hamil kira-kira lima bulan setengah.
Fasha Sandha & Rizal Ashram (Jejai) Nikah: 27 April 2012 Hubungan aktres Fasha Sandha dengan ahli perniagaan Rizal Ashram dihempas badai kontroversi yang tidak berkesudahan sebelum mereka mendirikan rumah tangga. Ironinya, segala kekecohan mengenai pasangan ini lenyap selepas mereka sah bergelar suami isteri. Kini, Fasha sedang sarat mengandung tujuh bulan dan semakin mengurangkan aktiviti seninya buat masa ini demi memberikan tumpuan kepada kandungan dan keluarga. Scha Al Yahya & Awal Ashaari Nikah: 4 Mei 2012 Merpati dua sejoli ini disatukan sebagai suami isteri Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya selepas tiga tahun bercinta. Pasangan yang diijabkabulkan sendiri oleh bapa Scha iaitu Syed Mahadzir Al-Yahya itu berbulan madu ke New York selama 10 hari selepas majlis resepsi mereka selesai. Bagaimanapun, mereka masih belum dikurniakan rezeki cahaya mata kerana kesibukan jadual seni masing-masing.
Nurul Wahab & Eric Depp Nikah: 6 Jun 2012 Perkahwinan kedua buat penyanyi berkulit hitam manis ini berlangsung dengan meriah di Duchess Place, Jalan Ampang dekat sini pada tengah hari 6 Jun lalu. Pasangan itu berkenalan pada September 2010 di sebuah majlis menerusi rakan pelakon Zahida Rafik. Bagaimanapun, selepas pernikahan mereka, timbul tuduhan yang mempertikaikan kemampuan Nurul untuk membimbing lelaki berbangsa Perancis itu mendalami agama Islam ekoran penampilan seksi wanita tersebut. Irma Hasmie & Redza Syah Nikah: 29 Jun 2012 Aktres dan pengacara ini bertemu Redza Syah yang juga ahli perniagaan ketika mengerjakan umrah di Mekah pada Mac lalu. Tempoh perkenalan yang singkat bukan penghalang buat kedua-dua mempelai ini bergelar suami isteri pada satu majlis di Dewan Persidangan, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada 29 Jun lalu. Irma menerima tiga dinar emas sebagai mas kahwin tetapi merahsiakan jumlah wang hantaran. Akma (AF) & Farih Hamshi Nikah: 30 Jun 2012 Bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga ini memilih eksekutif Petronas, Farih Hamshi Mohamad Fatmi, 28, sebagai suami selepas mengenalinya sejak lima tahun lalu. Akma yang pernah putus tunang sebelum ini dinikahkan bapanya Abdullah Abdul Rahim di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur dengan sekali lafaz.
Ella & Azhar Ghazali Nikah: 7 Julai 2012 Pernikahan ratu rock ini mendapat perhatian seluruh peminat hiburan tanah air kerana ia adalah perkahwinan pertama buat Ella yang kini berusia 46 tahun. Majlis yang diadakan di rumah keluarga Ella di Teluk Gadung, Klang itu diserbu kira-kira 1,000 wakil media dan peminat. Walaupun diuji dengan insiden bekalan elektrik terputus beberapa jam pada malam pernikahan, Ella sah bergelar isteri kepada juruterbang Firefly, Azhar Ghazali, 32, dengan sekali lafaz. Izreen Azminda & Muhd Riza Baharudin Nikah: 30 Ogos 2012 Pernikahan Izreen dengan jurukamera Mohd Riza berlangsung di kampung halaman aktres ini di Jitra, Kedah. Aktres yang dinikahkan sendiri oleh bapanya itu menerima wang hantaran RM19,001. Izreen kini hamil hampir tiga bulan. Qazem Nor & Nur Azuriana Amiruddin (Embun) Nikah: 20 Oktober 2012 Perkahwinan pelakon Qazem Nor turut mengundang kontroversi apabila penajaan majlis resepsi yang sepatutnya berlangsung pada 3 November lalu ditarik pada saat-saat akhir. Bagaimanapun, upacara pernikahan aktor yang menduda selama lapan tahun ini berjalan lancar pada 20 Oktober lalu. Bertempat di Masjid As-Sobirin Lembah Keramat, dekat sini, Qazem sah bergelar suami kepada Embun dengan sekali lafaz.
Diana Danielle & Farid Kamil Nikah: 3 November 2012 Pernikahan pasangan ini berlangsung pada awal iaitu kira-kira 9 pada 3 November lalu di kawasan terbuka berhampiran tasik Hotel Flamingo by the Lake, Ampang. Majlis perkahwinan menjadi bualan dan perhatian dengan pelbagai kontroversi. Ia termasuklah pengumuman mengejut tarikh pernikahan kurang dua bulan selepas bertunang dan kegagalan Diana menemui bapanya Danny Beeson untuk dijadikan wali pernikahan. Malah lebih daripada itu kedua-dua pasangan tersebut berdiam diri selepas mengumumkan kehamilan Diana dan isu uniform pegawai tentera yang dipakai Farid pada majlis resepsi mereka pada 1 Disember lalu di Taman Ekuestrian Putrajaya. Betty Benafe & Bruce Dargus Nikah: 8 Disember 2012 Perkahwinan aktres ini hampir tidak berlaku kerana beberapa konflik sebelum itu. Bagaimanapun, pada petang 8 Disember lalu, Betty sah bergelar isteri Bruce Dargus dengan sekali lafaz di sebuah villa di Kempas, Johor. Betty menerima 5 dulang hantaran berbalas tujuh dan sebentuk cincin sebagai mas kahwin. Zakiah Anas & Raja Shahrul Azmi Nikah: 12 Disember 2012 Personaliti televisyen berusia 46 tahun ini selamat dinikahkan dengan suaminya, Raja Shahrul Azmi Raja Sahar, 42, di Masjid Kota Damansara, dekat sini sekitar jam 11.35 pagi. Menurut Zakiah, dia mula mengenali Azmi ketika mereka menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) 21 tahun lalu tetapi tidak sempat bercinta pada waktu itu kerana Azmi menyambung pengajian ke Jepun. Sudah jodoh namanya, duda dan janda ini bertemu kembali pada tahun lalu dan memilih 12 Disember sebagai tarikh penyatuan mereka. Suki Low & Jeremy Chong Low Kahwin: 12 Disember 2012 Juara One In A Million musim pertama ini memilih ahli perniagaan dan eksekutif muzik, Jeremy Chong sebagai suami selepas lima tahun bercinta. Menurut Suki Low atau nama sebenarnya Low Sook Yee, tarikh 12 Disember menjadi pilihan kerana ia merupakan simbolik kepada sambutan ulang tahun kelahirannya ke-23 tahun Pada majlis yang berlangsung di Upper Penang Road, Georgetown, Pulau Pinang itu, 120 belon dilepaskan sebagai simbolik meraikan percintaan mereka.
Acong (Sweet Child) & Marya Zuraida Nikah: 15 Disember 2012 Pernikahan duda dan janda ini berlangsung dalam suasana meriah di Masjid Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah. Menariknya, Marya merupakan peminat Acong dan kumpulannya Sweet Child ketika usia remajanya. Mereka kembali bertemu di Facebook pada 2010 selepas 14 tahun terpisah. Siti Fazurina & Hykal Zulkifli Nikah: 20 Disember 2012 Majlis pernikahan pelakon ini mencetuskan kontroversi apabila pemilik nama sebenar Siti Fazurina Mohd Famir, 30, didakwa tidak direstui ibu dan keluarganya. Difahamkan, Siti Fazurina sudah menghilangkan diri daripada keluarga sebulan sebelum majlis berlangsung. Pada majlis pernikahannya pada 20 Disember lalu di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang, pengantin diwalikan bapa saudaranya.
Anne Ngasri & Mohd Sumali Reduan Nikah: 22 Disember 2012 Kurang dua bulan hubungan aktres ini dengan penyanyi Singapura, Aliff Aziz berakhir, Anne mengejutkan dunia hiburan apabila melangsungkan pertunangan dengan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno Mohd Sumali Reduan pada 11 November lalu di rumah keluarganya di Jalan Ipoh, dekat sini. Anne selamat diijabkabulkan dengan duda berusia 40 tahun itu pada kira-kira pukul 11 pagi 22 Disember lalu, di rumah keluarga pengantin lelaki di Kampung Sungai Pinang, Pontian, Johor. Pada perkahwinan kedua pelakon itu, Anne menerima mas kahwin RM22.50 dan wang hantaran RM11,111.11. Datuk Lee Chong Wei & Wong Mew Choo Kahwin: 9 November 2012 Majlis perkahwinan dua pemain badminton negara yang mendapat jolokan “Wedding of the Year” ini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, barisan menteri kabinet, Presiden Persatuan Badminton Malaysia Datuk Seri Nadzmi Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong. Majlis gilang-gemilang itu dihadiri kira-kira 1,500 tetamu.
Khairul Fahmi Che Mat (Apek) & Leuniey Natasha Nikah: 28 Disember 2012 Akad nikah penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan ini dengan pasangannya menutup tirai majlis perkahwinan selebriti sukan pada tahun ini. Ia diadakan di rumah kediaman keluarga Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan dan diikuti majlis persandingan sebelah perempuan di Hotel Renaissance, Kota Bharu dua hari selepas itu dengan konsep Melayu kontemporari. Manakala resepsi sebelah Apek pula akan berlangsung di kediaman keluarganya di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Januari 2013. Pasangan tersebut turut memilih 13 Januari 2013 untuk mengadakan majlis resepsi ketiga di Hotel Royale Bintang, Mutiara Damansara, di sini.

Britney Spears Dituduh Curang Dengan Bekas Adik Ipar

PENYANYI Britney Spears didakwa pernah berlaku curang dan menjalinkan hubungan dengan bekas adik iparnya iaitu Kevin Federline sehingga hamil dan melahirkan anak sulungnya. Perkara itu ditimbulkan Christopher Federline yang mengakui dia pernah meniduri Spears ketika masih bergelar isteri Kevin. Christopher mendakwa anak pertama penyanyi tersebut iaitu Sean Preston bukan anak Kevin tetapi hasil hubungan sulit mereka. “Saya akui pernah meniduri Britney dan saya adalah ayah kepada Sean Preston tapi orang tak perlu tahu,” katanya.

Justin Bieber Mula Berani Hisap Ganja

AKHIR-AKHIR ini, tingkah laku Justin Bieber semakin tidak terkawal apabila dia mula berani mengambil dadah jenis ganja sehingga membuatkan orang di sekelilingnya tidak senang duduk. Menurut laporan Contactmusic, Justin dikatakan enggan mengambil peduli dengan nasihat orang sekeliling yang berusaha menjaga nama bersihnya. "Justin seolah-olah tidak peduli bahawa tabiatnya itu dapat mengancam karier nyanyiannya. "Dia melakukan apa yang diinginkan dan tidak mahu mendengar nasihat sesiapapun," kata sumber. Tambah sumber itu, Justin sering dikelilingi oleh orang yang suka memanjakannya dan sentiasa memenuhi apa sahaja kehendak penyanyi berusia 18 tahun itu. Perkara tersebut membuatkan tingkah laku Justin menjadi rosak gara-gara terlalu diberi muka.

Faezah Elai Bimbang Dugaan Sakit Ketika Bersalin

PETALING JAYA: Pelakon Faezah Elai mengakui berasa takut untuk berdepan dengan proses kelahiran anak sulungnya yang dijangka pada awal Februari tahun depan. Faezah atau nama sebenarnya Noor Faezahh Elai berkata, dia risau dengan kesakitan yang bakal dialami lebih-lebih lagi selepas bertanya kepada rakan-rakannya yang berpengalaman melahirkan anak. "Saya tak boleh bayangkan bagaimana nak bersalin nanti. Hampir setiap hari saya tanya kepada rakan-rakan yang dah berpengalaman melahirkan anak dan ia membuatkan saya lebih takut dan tak senang duduk. "Malah saya membaca pelbagai buku untuk ibu mengandung sebagai persediaan proses kelahiran nanti. "Selain itu saya turut menghadiri ceramah-ceramah anjuran rakan saya sendiri untuk bakal-bakal ibu. Harap-harap tiada kesulitan yang akan berlaku nanti, Insya-Allah," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis. Dalam pada itu Faezah turut mengakui dia sudah mula rasa rindu untuk kembali berlakon dan tidak sabar untuk kembali beraksi pada April ini. Selain itu, isteri kepada pengarah drama Heykal Hanafiah itu bersyukur 'kehilangannya' buat sementara waktu tidak menjejaskan popularitinya lebih-lebih lagi dia bakal muncul dengan filem Tanda Putera dan KL Zombie pada tahun depan. Sementara itu, Faezah bakal membuka sebuah kafe di sekitar Sungai Buloh, dekat sini pada 2013 hasil daripada wang simpanannya sepanjang bergelar pelakon dengan menghabiskan modal lebih kurang RM50,000. "Sebenarnya, kafe itu dibuka khas buat ibu dan ayah di mana mereka akan menguruskannya. "Sebelum ini mereka pernah ada restoran di Pulau Pinang tetapi telah pun ditutup selepas berpindah ke sini (Kuala Lumpur). "Ini juga adalah salah satu cara saya menghargai jasa-jasa mereka," ujar pelakon berusia 30 tahun itu.

KENANGAN 2012: Runtuhnya Bahtera Dalam Rumah Tangga

PETALING JAYA: Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tahun 2012 yang akan melabuhkan tirainya beberapa hari sahaja lagi menyaksikan pelbagai kisah suka dan duka di alam rumah tangga. Rumah tangga yang dibina oleh sebahagian selebriti kita tidak mampu bertahan lama. Ada di antaranya belum sampai setahun melayari bahtera itu. Itulah dinamakan takdir. Jodoh, ajal dan maut tiada siapa yang dapat menolaknya. Bahagia Hattan hanya dua bulan Penyanyi yang popular dengan lagu Bisa Bonar, Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 48, melafazkan talak satu terhadap isterinya Farah Asyikin Othman di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 12 Januari 2012. Mereka bernikah pada 11 November 2011. Sepanjang dua bulan berkahwin, terdapat masalah yang akhirnya menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk berpisah secara baik. Hattan sebelum ini pernah berkahwin tetapi jodohnya tidak panjang selepas dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman yang berusia 13 tahun. Beliau menduda selama enam tahun sebelum berkahwin dengan Farah Asyikin. Sharifah Aleya & Ashraf punyai zuriat kembar Sesuatu yang amat bermakna terhadap perkahwinan Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, 29, dengan Muhammad Ashraf Aasimidin, 32, apabila rumah tangga yang dibina pada 8 Disember 2007 membawa nikmat dengan zuriat kurniaan Allah. Hasil perkahwinan itu mereka memperoleh bayi perempuan kembar iaitu Aza Ameena dan Asha Ameena yang kini berusia tiga tahun. Tapi sayang, hubungan suami isteri itu tidak kekal lama apabila kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk berpisah pada 29 Februari 2012. Ashraf melafazkan talak satu terhadap Aleeya di Mahkamah Rendah Syariah, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.
Bahtera Adda (Butterfly) roboh tidak sampai sebulan Hasrat untuk kekal bahagia tidak terlaksana. Vokalis kumpulan Butterfly, Adda atau nama sebenarnya Nur Syuhada Baharuddin, 24, bercerai talak satu dengan Ridzuan Mohammad. Mereka bernikah pada 30 Mac 2012 tetapi sayangnya selepas 17 hari, rumah tangga mereka roboh. Ridzuan melafazkan talak satu terhadap Adda pada 17 April 2012 melalui satu panggilan telefon. Raja Azmi & Jalani Sidek berpisah selepas 28 tahun Angka 28 tahun bukannya satu jumlah yang singkat. Tapi apakan daya jika setakat itu sahaja jodoh di antara Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, dengan bekas jaguh badminton negara Jalani Sidek, 49. Pasangan itu bernikah pada 22 Disember 1984 dan mengambil keputusan bercerai pada 27 Jun 2012. Lafaz cerai dilakukan Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur dengan talak satu. Tarikh 27 Jun itu juga merupakan tarikh ulang tahun kelahiran Raja Azmi yang ke 53 tahun. Hasil perkahwinan mereka, kedua-dua pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18.
Sasha Saidin & Salyo sembunyi kisah rumah tangga Bekas penyanyi Elite iaitu Sasha Saidin, 36, berjaya menyembunyikan kemelut rumah tangganya dengan Salyo Priyanto, 37, yang dibina selama lima tahun. Pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 10 Julai 2012 dengan talak satu. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna yang kini berusia tiga tahun. Ia merupakan perkahwinan pertama buat Salyo dan kedua untuk Sasha. Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau Johan Abdullah Skinner pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Park, London. Sham (Kamikaze) & Farazila lakukan “muasyarah” Bekas anggota kumpulan Kamikaze iaitu Shamri Mohd Salleh, 36, atau Sham tidak lagi bergelar suami kepada Fazila Abdul Jabar, 31, sejak 1 September 2011. Pada akhir bulan Ogos lalu, Farazila telah memfailkan cerai terhadap Sham kerana sudah tiada persefahaman. Bagaimanapun Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam yang mendengar permohonan itu menjelaskan rujuk perbuatan yang dilakukan pasangan tersebut selepas lafaz cerai dibuat adalah tidak sah mengikut mazhab Syafie. Mereka juga telah melakukan “muasyarah” iaitu yakin hidup sebagai suami isteri tetapi pernikahan berkenaan sebenarnya sudah terbatal. Mereka juga ditegur kerana tidak melaporkan kepada mahkamah ketika lafaz cerai dibuat sebelum ini. Pasangan berkenaan bernikah pada 17 Ogos 2008 dan pada 30 Ogos 2012, mereka sudah tinggal secara berasingan.
Jimmy Shanley tebus talak RM1 Perkahwinan yang penuh dengan kontroversi. Itulah rentetan hidup pelakon Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 33, dengan anak jutawan kosmetik produk Natasya iaitu Nursuhaila Eliani Suhaimy, 26. Jimmy melakukan lafaz cerai secara khuluk iaitu tebus talak sebanyak RM1 di hadapan Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, pada 10 Oktober 2012. Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986 Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Zahrah Shanley yang berusia lebih setahun. Punca Dirahsiakan antara Ana Dahlia & Chef Riz Pelakon Ana Dahlia dan Chef Riz mempunyai sebab tersendiri untuk merahsiakan kemelut rumah tangga mereka. Kedua-dua pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2011 tetapi pada 10 Disember 2012, Chef Riz atau Mohd Nadzri Redzuawan, 31, secara rasmi menceraikan Ana Dahlia dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Kajang. Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar , 29, dan Riz telah diijabkabulkan di Taiping, Perak, pada 11 Disember 2011 Ia merupakan perkahwinan kedua buat Ana.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails