Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

“Rayu Buangkan Gambar-Gambar” – Shida Harmi Pinta Bersihkan Maruahnya


Shida Harmi, wanita yang dikaitkan mempunyai hubungan skandal bersama penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek telah dihubungi oleh wartawan OHBULAN! bagi mendapatkan keterangan yang lebih jelas, sekitar pukul 1230 tengah hari tadi.

Apabila ditanya mengenai kesahihan mesej-mesej yang terkandung dalam screenshot Blackberry Messenger (BBM), Shida Harmi menegaskan ia bukan datang daripada dirinya.

“Bukan, bukan saya yang tulis macam tu. Mungkin ada pihak ketiga yang cuba menjatuhkan nama Apek, lantas mengaitkan nama saya dalam hal ini. Jujurnya, saya mengenali Apek sekitar akhir Februari. Saya akui kami keluar bersama karaoke, tapi bukan pergi berdua. Sekitar bulan March, saya mula menjarakkan diri daripada Apek apabila tahu dia akan mengikatkan tali pertunangan. Sejak itu, kami lost contact.”

Berkenaan penyebaran gambar-gambar tersebut, Shida Harmi mengesyaki penglibatan orang ketiga dalam usaha menjatuhkan reputasi Apek.

“Saya memang syak penglibatan orang ketiga kerana dia sahaja yang pernah melihat gambar-gambar berkenaan dalam Blackberry saya. Namun, saya tak akan mendedahkan namanya kerana enggan memanjangkan cerita,” tegas Shida Harmi.

Eksekutif muda ini turut merayu kepada orang ramai agar membuang gambar tersebut dan mendoakan kebahagiaan rumahtangga yang bakal dibina dalam masa terdekat.

“Saya minta jasa baik semua pihak agar membuang gambar-gambar berkenaan kerana ia membabitkan maruah keluarga saya dan bakal mertua. Untuk pengetahuan, saya akan melangsungkan perkahwinan sekitar 2 minggu lagi dan cerita sebegini sememangnya mengugat kepercayaan tunang terhadap saya. Bagaimanapun, kami akan tetap meneruskan perkahwinan,” rayu Shida Harmi kepada orang ramai

Jalani Sidek Bersama Kekasih Gelap, Raja Azmi Tahu Hubungan Istimewa


Seakan tidak mahu habis kontroversi yang melanda kehidupan pengarah & juga penerbit Raja Azmi — dalam hal kerja mahu pun peribadi.

Hari ini menerusi Berita Minggu, seorang wanita bernama Zaleha Mohd Khalid tampil membuat pengakuan yang beliau ada hubungan istimewa dengan Jalani Sidek, suami Raja Azmi.

Kisah pendedahan dua muka surat ini agak mengejutkan kami selepas pasangan ini menafikan gossip bahawa mereka bakal bercerai baru baru ini.

Menurut Zaleha Mohd Khalid yang juga merupakan rakan perniagaan Jalani Sidek, Raja Azmi tahu akan hubungan istimewa mereka dan mereka tidak mempunyai masalah untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

Menurut ibu tunggal kepada empat orang anak ini juga, hubungan mereka sudah berlangsung lebih setahun dan mengaku pernah terbang ke Medan, Indonesia bersama Jalani Sidek atas urusan perniagaan.

Wanita ini juga mendakwa beliau merupakan orang yang bertanggungjawab menjamin Raja Azmi keluar lokap berikutan kes polis baru baru ini & hubungan mereka sekarang sudah seperti kakak dan adik.

Chomel Fana Pernah Abaikan Keluarga Dan Kawan


SATU ketika dahulu, pelakon dan penyanyi Chomel Fana pernah mengalami masalah kemurungan yang agak teruk gara-gara cedera parah di bahagian lutut kaki kanannya ketika bermain bola sepak di sebuah perlawanan pada tahun 2005.

Ya, gadis yang nama sebenarnya ialah Noorhanis Farhana Shaharuddin berbakat orangnya.

Selain menyanyi dan berlakon, dia juga hebat dalam sukan yang merupakan seorang pemain bola sepak wanita Malaysia B serta bekas ahli Silat Selangor dan Olahragawati negeri Selangor.

Kecederaan yang dialami membuatkan Chomell tidak boleh lagi beraksi dalam mana-mana acara sukan apatah lagi mahu mewakili negara dalam sukan yang diminati itu.

Hal tersebut membuatkan dia enggan bertemu mahupun bercakap dengan sesiapa pun termasuklah keluarga dan rakan-rakannya sendiri sekaligus Chomel semakin hilang kawan.

Bagaimanapun, semangat baru tiba-tiba muncul dalam diri untuk terus sedar daripada lamunan yang diciptanya sendiri, itu pun selepas setahun ‘terperap’ di rumah.

“Apa yang berlaku sebelum ini memberi pengajaran besar buat saya dan percaya ada hikmah di sebaliknya.

"Dulu, semasa aktif bersukan, memang saya lupa semua perkara termasuklah lupa pada keluarga dan kawan-kawan, yang ada pun hanya kawan pasukan sahaja.

“Mungkin tuhan mahu tunjuk, ligamen lutut saya cedera teruk dan sehingga terpaksa lupakan terus dengan sukan yang paling saya sayangi itu.

"Sepanjang setahun melalui tempoh kemurungan, baru sedar yang selama ini saya terlalu pentingkan diri sampai lupa tanggungjawab sebagai seorang anak, contohnya sering balik lewat malam dan buat tak tahu saja bila mak beri nasihat.

“Alhamdulillah, saya sedar dengan kesilapan sendiri. Terima kasih juga kepada teman, Rina Derina yang menyedarkan saya dan sentiasa berada disisi ketika jiwa bercelaru,” katanya yang juga aktif dengan bola jaring, bola tampar dan hoki ketika itu.

Tidak lama selepas itu, tambah Chomel, dia mula bekerja sebagai pengawal pantai di sebuah pusat rekreasi air selama tiga tahun dan kemudiannya bekerja sementara sebagai penjaga binatang, dan barulah dia menyertai produksi drama bekerja di belakang tabir selama enam bulan.

Ternyata walaupun bertubuh kecil, kecekalan dan semangat Chomel di luar jangkaan.

Kesungguhannya dalam melakukan setiap kerja serta karakter ‘gila-gila’ itu juga memberi rezeki buatnya lebih-lebih lagi apabila pengarah Aziz M. Osman mengesan bakat lakonan yang terpendam dalam dirinya dan terus berlakon watak utama menerusi siri berjudul Comel.

Noh Hujan Kini Berjambang, Terserlah Kemesraan Bersama Mizz Nina Untuk Majalah W&W

Kewujudan jambang memang menampakkan lagi kemachoan dan kekacakan Noh Hujan. Paling penting, Noh nampak lebih matang bersesuaian dengan status seorang suami. Mizz Nina pula semakin hari semakin berseri. Terserlah kebahagiaan yang dikecapi oleh suami isteri ini selepas perkahwinan mereka.


Tak sabar rasanya untuk mendengar berita gembira tentang kehadiran orang ketiga dalam hidup Noh dan Mizz Nina. Semoga tahun 2012 ini membawa khabar gembira untuk mereka berdua.

Kad jemputan kahwin Yusri & Lisa

Zed Zaidi Sedih Tiada Anak Kembar


PETALING JAYA: Pelakon filem Niyang Rapik, Zed Zaidi berasa sedih selepas mengetahui isterinya, Nelly Natalia tidak hamil anak kembar seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 31, berkata, isterinya yang mengandung tiga bulan telah melakukan pemeriksaan kali kedua di sebuah klinik dan diberitahu oleh doktor tentang perkara itu.

"Sebelum ini masa buat pemeriksaan awal, doktor kata mungkin isteri saya mengandung anak kembar tetapi selepas melakukan pemeriksaan semalam, hanya ada seorang bayi sahaja.

"Walaupun sedikit hampa tetapi saya tetap bersyukur dengan rezeki yang telah diberikan kepada saya dan isteri," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Tambah Zed, seperti kebanyakan ibu mengandung lain, isterinya, turut mengalami alahan teruk pada peringkat awal kandungan.

Pada satu tahap katanya, keadaan Nelly agak teruk apabila asyik mengalami muntah-muntah dan tidak berselera untuk menikmati makanan.

"Masa mula-mula mengandung saya agak risau juga kerana alahannya sangat teruk tetapi alhamdulillah, sekarang ia telah berkurangan dan berada di dalam keadaan baik.

"Nelly juga sudah mula mengidam untuk makan buah naga dan nasib baik dia tidak minta benda yang pelik-pelik," ujarnya.

Ditanya mengenai perasaannya bakal bergelar bapa pada Ogos nanti, Zed berkata dia teruja untuk menunggu saat tersebut kerana bayi yang bakal lahir itu nanti akan menjadi cucu pertama keluarga mertuanya.

Zed memberitahu, walaupun tidak kisah dengan jantina anak tetapi dia berharap akan kelahiran bayi lelaki.

"Saya mahukan anak lelaki sebagai anak pertama bukan apa kerana dia nanti boleh memimpin keluarga apabila saya tiada lagi di dunia.

"Bagaimanapun, saya menerima apa juga rezeki yang diberikan oleh Allah kerana anak adalah amanah buat saya dan isteri," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zed berkata, filem sulung terbitan syarikatnya Dzed Resources Sdn Bhd berjudul Taiko sedang dalam proses latihan dan bakal memulakan penggambaran dalam masa terdekat.

Zed memberitahu, dia juga telah membuka profil khas filem itu di Facebook dan terkejut apabila ia sudah pun menerima 1,000 pengikut walaupun belum ditayangkan.

"Ia adalah maklum balas positif apabila lebih daripada 1,000 orang telah mengikut profil berkenaan dan pihak kami sentiasa memuat turun aktiviti terbaru filem tersebut," ujarnya.

Tambahnya, dia juga sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul “Apa Celup” arahan Ahmad Idham untuk siaran TV3 yang turut menandingkannya dengan Kamal Adli, Wan Sharmila dan Amanda Misbun.

Fahrin Dedah Rahsia Elak Wanita Diperdaya Lelaki


PETALING JAYA: Pelakon Fahrin Ahmad ingin “membocorkan” rahsia mengenai lelaki untuk menyelamatkan para wanita agar tidak diperdaya oleh golongan itu.

Fahrin berkata, dia terdorong untuk melakukan perkara tersebut kerana mendapati sejak kebelakangan ini ramai wanita yang sering teraniaya dek kata-kata manis lelaki selain melihat gejala sosial yang semakin merebak.

“Saya merasakan perlu untuk berkongsi rahsia bagaimana seseorang lelaki itu menggunakan kata-kata manisnya untuk memperdayakan wanita. Dengan cara itu golongan berkenaan dapat mengelak daripada termasuk dalam perangkap lelaki yang ingin mengambil kesempatan kepada mereka,” katanya kepada mStar Online.

Jelas Fahrin, maklumat itu akan dikongsi dengan orang ramai menerusi kursus motivasi yang akan dianjurkan bersama rakannya.

Dalam kursus itu nanti selain Fahrin, beberapa pakar motivasi akan di undang untuk mengajar selok-belok 'permainan' lelaki yang cuba memikat dan merosakkan kehidupan seseorang wanita.

"Selepas membuat kajian mengenai pengisian dalam sesebuah kursus motivasi, didapati wanita kurang didedahkan mengenai taktik lelaki yang mempunyai niat jahat terutamanya yang mahu cuba memikat.

"Justeru itu, saya dan rakan kongsi menghasilkan modul berkenaan dan ternyata ia menerima respons positif selepas menganjurkan kursus di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Disember tahun lalu," katanya yang masih merancang untuk mengendalikan aktiviti itu pada tahun ini.

Dalam pada itu, Fahrin turut mengakui bahawa dia kini sedang berjinak-jinak dalam bidang motivasi, sebagai ganti cita-citanya yang mahu menjadi seorang guru sejak kecil lagi.

"Selain berlakon dan mengacara, saya mahu memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.

"Dan pada tahun lalu, saya memulakan langkah demi langkah dengan mengambil ilmu daripada beberapa pakar motivasi yang antaranya seperti Datuk Dr. Fadzillah Kamsah dan Dr. Tengku Ismadi.

"Kebetulan pula, saya juga mengacarakan program realiti terbitan Astro Ria berjudul Misi 12, di mana ia sebuah program yang mahu membimbing dan menyelamatkan golongan remaja bermasalah ," ujarnya.

Misi 12 akan disiarkan pada setiap Selasa, pukul 9 malam bermula 7 Februari menerusi saluran Astro Ria (104).

Tasha Shilla Kesal Tuduhan Menari Ghairah Di Kelab Malam


PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shilla berasa kecewa dengan tuduhan kononnya dia berkelakuan liar dan sanggup menari dengan aksi ghairah di sebuah kelab malam ketika menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada 25 Januari lalu.

Menyifatkan tuduhan itu sebagai melampau, Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak bagaimanapun mengaku berkunjung ke kelab tersebut tetapi tidak berkelakuan seperti yang didakwa.

"Saya bukan bodoh atau tidak sensitif untuk berkelakuan di luar kawalan seperti yang diperkatakan.

"Sebagai selebriti, sudah tentu saya sedar dan peka dalam menjaga tindak-tanduk terutamanya ketika berada di tempat awam.

"Saya kecewa apabila orang menuduh saya begitu sedangkan saya hanya menari biasa dan bukannya menari di tiang dengan aksi ghairah," katanya dalam nada kesal.

Tasha berkata dia tidak mampu untuk menghalang persepsi orang luar yang hanya mengenalinya sebagai artis tetapi apa yang lebih penting adalah kepercayaan dan sokongan ahli keluarga dan teman-teman rapat.

"Saya tidak mahu menjadi hipokrit dan menafikan kononnya saya tidak pergi ke kelab seperti yang diperkatakan.

"Hakikatnya, apa yang saya jelaskan adalah sesuatu yang benar-benar berlaku. Saya harap dengan penjelasan ini, masyarakat akan tahu perkara sebenar," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.

Tasha mula dikenali selepas membintangi drama Gemilang di TV3 pada tahun lalu.

Anne mahu kahwin lagi


SEMAKIN kecil dan nampak muda daripada usianya, itulah ungkapan pertama yang terkeluar daripada mulut penulis saat bertemu dengan aktres Naszriah Ngasri atau nama pentasnya Anne Ngasri pada penggambaran drama muzikal Antara Kita, baru-baru ini.

Anne mengakui dia kini sedang berkawan dengan seseorang dan tidak menolak andai jodohnya untuk menamatkan zaman janda datang dalam masa yang terdekat.

Kosmo!: Mengapa badan semakin mengecil, berdiet atau ada masalah?

Anne: Ya, saya sedang berdiet, bukan makan hati ya. Sebelum ini berat saya bertambah dengan banyak selepas melahirkan anak ketiga, jadi saya tekad untuk kuruskan badan.

Anne bergelar janda pada usia 26 tahun, sudah tiga tahun hidup bersendirian, bila mahu menamatkan zaman janda?

Tipulah kalau saya cakap saya tidak berkawan dengan sesiapa, memang ada tetapi masih dalam peringkat berkawan. Andai, jodoh datang dalam masa terdekat saya terima dengan hati yang terbuka. Saya tidak serik dengan perkahwinan tetapi setakat ini belum ada perancangan ke arah itu (perkahwinan).

Ada sebarang syarat untuk lelaki yang ingin menyunting Anne sebagai isteri?

Saya bukanlah orang cerewet tetapi lelaki itu haruslah seorang bertanggungjawab dan bersedia menerima diri saya seadanya kerana saya datang dengan pakej tiga orang anak. Saya tidak mahu minta lebih-lebih atau berkata saya tidak mahu lelaki seperti itu dan ini kerana selalunya yang tidak mahu itu yang akan kita dapat. Jadi, saya tidak kisah dan tidak meletakkan sebarang sasaran usia untuk menamatkan zaman janda.

Bagaimana dengan kehidupan Anne kini dan hubungan dengan bekas suami?

Alhamdulillah, saya bahagia dengan anak-anak. Walaupun kami sudah bercerai tetapi hubungan kami masih baik kerana anak. Saya yang menghantar anak saya Abdul Warits, 6, dan Abdul Wafri, 4, ke tadika setiap pagi, dan ayah mereka Wafi yang akan mengambil mereka pulang dari tadika setiap hari. Jika saya ada penggambaran drama, saya ada pembantu rumah yang akan menjaga anak, ibu saya dan bekas ibu mertua juga turut membantu untuk menjaga anak bongsu saya, Naszhara Afroza yang kini berusia dua tahun.

Meskipun sudah berusia 28 tahun, Anne sering diberikan watak gadis remaja sama seperti di dalam drama muzikal Antara Kita terbitan kakaknya, Darling Ngasri, NS Star Sdn. Bhd. Tidak bosankah melakonkan watak yang sama berulang kali?

Memang ramai yang cakap saya nampak macam budak-budak tetapi mereka tidak boleh menerimanya kerana saya ibu kepada tiga orang anak. Kelakar juga bila fikir balik tetapi sudah rezeki saya diberi kepercayaan oleh kakak saya sendiri untuk membawa watak gadis remaja, saya cuba lakukan yang terbaik.

Sukar atau tidak berlakon sebagai kekasih kepada penyanyi Alif Aziz yang jauh lebih muda daripada Anne?

Usia saya 28 tahun dan Alif, 21 tahun, memang jarak usia yang jauh tetapi apabila di set penggambaran kami boleh serasi. Saya juga minat dia selaku seorang peminat dan menariknya saya turut menyumbangkan suara untuk

lima buah lagu dalam drama ini.

'Busuk' si Sheila Rusly


Jika Maharaja Lawak Mega yang melabuhkan tirai baru-baru ini mempunyai seorang juri jujur seperti Datuk Chef Wan, kini gelanggang Raja Lawak musim keenam (RL6) turut mempunyai juri yang turut menghangatkan pentas tersebut.

Berdiri bersama produser David Teo dan juga pelawak Sathiya sebagai juri tetap, Sheila Rusly muncul dengan trademark 'busuk' sebaik minggu pertama RL6 bermula.

Antara peserta yang mendapat jolokan busuk daripada pelakon ini pada minggu kedua ialah kumpulan King dan Ketupat.

Bukan sengaja mencipta kontroversi, juri tetap RL6 itu mengakui perkataan tersebut bukanlah bertujuan menyakiti hati mana-mana peserta. Sebaliknya ia sesuatu yang jujur dalam menilai lawak-lawak mereka.

"Sebenarnya perkataan busuk itu saya telah gunakan sejak sesi uji bakat RL lagi.

"Bagi saya peserta RL6 sudah terbiasa dengan perkataan tersebut dan sudah faham dengan maksudnya.

"Saya tidaklah merancang untuk menjadi laser dalam rancangan ini. Saya hanya menjadi diri sendiri dan hanya menjalankan tanggungjawab sebagai juri.

"Apa yang tidak kena, kita betulkan. Bukanlah niat saya untuk menyakiti hati mana-mana pihak," jelasnya ketika ditemui di Studio 1, Astro baru-baru ini.

Dalam pada itu, Sheila juga berharap semua peserta RL6 dapat menerima teguran dan nasihat yang diberikan juri demi memastikan lawak yang mereka hidangkan segar dan bermutu serta dapat diterima penonton.

Tidak peduli cakap sekeliling


APABILA nama Jaclyn Victor atau Jac dipilih oleh pihak KRU Studios untuk menggantikan Anuar Zain menyampaikan lagu Sedetik Lebih, ada pihak seakan-akan tidak puas hati dengan keputusan itu.

Bagi mereka, Sedetik Lebih adalah milik mutlak Anuar. Tiada siapa yang mampu menyanyikan lagu tema filem Hikayat Merong Mahawangsa itu sehebat beliau.

Cukup sedar akan situasi berkenaan, Jac lebih selesa mengambilnya dari sudut positif sambil menyifatkan ia sebagai satu penghargaan buat dirinya.

"Saya berterima kasih kepada KRU yang meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap diri saya untuk menyampaikan lagu ini sewaktu separuh akhir Muzik-Muzik 26 tempoh hari.

"Bagi saya, soal perbandingan itu tetap akan wujud. Ia adalah lumrah dalam mana-mana pertandingan yang membabitkan penyanyi gantian.

"Memang saya tidak menafikan tekanan itu tetap ada kerana ramai yang sudah terbiasa dengan nyanyian Anuar. Untuk Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL 26) nanti, saya tetap dengan gaya tersendiri tanpa perlu mengikut penyanyi asal," ujar Jac kepada Hits.

Jika disingkap kembali sejarah AJL dalam tempoh 26 tahun ini, Jac bukanlah penyanyi pertama yang menggantikan penyanyi asal.

Pernah beberapa kali dalam pertandingan tersebut perkara sedemikian terjadi. Sebagai contoh, Azman Abu Hassan pernah menggantikan Jamal Abdillah menerusi lagu Perjalananku pada AJL yang pertama (1986).

Begitu juga dengan Sahri yang menyanyikan lagu Izinku Pergi (penyanyi asal Kaer Azami) pada AJL 22 (2008) sehingga berjaya memenangi kategori Balada.

Penyanyi berusia 34 tahun itu juga memberitahu dia hanya menjalankan tanggungjawab yang sudah diberikan kepadanya.

Malah kalau diberi pilihan, Jac sendiri mahu melihat Anuar menyampaikan lagu itu di pentas penuh gah itu.

"Ramai yang mempertikaikan dan bertanyakan kepada saya mengapakah saya yang menyanyikan lagu itu dan bukannya Anuar. Saya sendiri sukar untuk menjawab soalan itu kerana saya tidak tahu alasan sebenar.

"Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu soal itu mengganggu tumpuan saya. Apabila tanggungjawab sudah diserahkan, saya hanya mahu melunaskannya dengan baik tanpa mahu menghampakan Edry Abdul Halim selaku komposer dan penulis lirik lagu indah itu.

"Tetapi semua harus sedar bahawa persaingan tahun ini memang cukup hebat dan 12 buah lagu yang bertanding bukan calang-calang. Jadi kalau semua calon sudah memberikan persembahan terbaik, tetap hanya ada tiga tempat sahaja yang disediakan untuk pemenang," kata Jac penuh optimis.

Pada edisi kali ini, Jac harus memikul satu lagi tanggungjawab apabila lagu Beribu Sesalan yang dinyanyikannya bersama Ning Baizura dan Shila Amzah turut mara ke pertandingan tahunan itu.

Atas alasan itu, pemilik nama penuh Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu mengakui debaran yang dirasainya bukan sedikit.

Namun, dia bersyukur kerana jarak giliran persembahan antara Sedetik Lebih dan Beribu Sesalan tidak terlalu meresahkan Jac.

"Sedetik Lebih berada di giliran kedua manakala Beribu Sesalan pula lagu terakhir. Jadi dalam tempoh itu, saya dapat menyiapkan dan menenangkan diri saya untuk fokus kepada persembahan," ujar Jac.

Mengulas tentang Beribu Sesalan, juara Malaysian Idol pertama itu tidak menafikan keindahan lagu tersebut berjaya meletakkannya dalam kedudukan lagu-lagu popular sepanjang tahun lalu.

Malah Jac gembira dengan penerimaan pencinta muzik tempatan yang dapat menerima konsep baru nyanyian secara trio di negara ini.

"Kalau anda bertanya kepada saya lagu manakah yang akan menang AJL 26 nanti, bagi saya itu sesuatu yang subjektif. Semuanya bergantung kepada kriteria yang dicari juri setiap tahun.

"Siapa yang dapat lupa apabila lagu bercorak folk, Tolong Ingatkan Aku nyanyian dan ciptaan Ana Raffali menang tahun lalu. Jadi, juri yang bertanggungjawab untuk menentukan karya terbaik tidak kira dari apa genre sekali pun untuk dijulang sebagai juara," jelasnya.

AJL ubah hidup

Nama Jac bukanlah baru dalam AJL kerana dia sendiri pernah menyertainya bermula tahun 2005 menerusi dua buah lagu, Gemilang dan Wajah.

Kejayaan berpihak kepada Gemilang apabila diangkat sebagai Juara Lagu sekali gus mempopularkan nama Aubrey Suwito dan Asmin Mudin sebagai komposer dan penulis lirik.

Walaupun AJL mengiktiraf penulis lagu dan lirik, namun, tiada siapa dapat menafikan kesan kemenangan kepada penyanyi.

"Selepas menang AJL, ia memang ubah hidup saya. Ia adalah salah satu pertandingan berprestij yang saya sertai sebaik bergelar juara Malaysian Idol.

"Tidak pernah saya sangka lagu itu diangkat sebagai juara. Lebih manis apabila saya menjadi penyanyi bukan Melayu kedua selepas hampir dua dekad Francissca Peter menjadi pemenang pertama pada 1986.

"Saya tidak menafikan ketika itu, memang ada perasaan mahu menang. Tetapi sekarang ini, semuanya berbeza. Saya lebih selesa untuk memikirkan tentang persembahan dan menjadi lebih terbuka dengan pertandingan ini," kata Jac yang pernah memenangi Vokal Terbaik pada AJL 22 (2008) hasil paduan suaranya bersama Lah Ahmad menerusi Ceritera Cinta.

Umie Aida ingin jadi lebih baik


KEBIASAANNYA pada 18 Januari, ahli keluarga Datin Paduka Umie Aida akan merainya sempena sambutan hari lahirnya dan dia sendiri sudah dapat menjangka apa rancangan yang bakal diatur.

Bagaimanapun sempena sambutan hari lahirnya yang ke-39 baru-baru ini, Umie tidak menduga dia akan dirai sehari sebelum tarikh kelahiran.

Justeru, sewaktu melangkah masuk ke Tournament Hall, Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC), dia terkejut besar apabila melihat ramai rakan dan media berkumpul termasuk suami tercinta, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan.

"Ohhh... pandai kau orang semua simpan rahsia ya. Kali ini Umie betul-betul terkejut, sebab tidak dapat jangka langsung. Sebelum ini kalau buat majlis kejutan sambutan ulang tahun pun pada 18 Januari.

"Umie ingat nak keluar makan dengan Bet (adik perempuan) sahaja, sebab petang tadi abang cakap dia ada mesyuarat di Ipoh. Dari duduk di rumah baik Umie keluar makan dengan Bet.

"Rupa-rupanya, Bet dan abang berpakat. Apa pun Umie memang terharu dengan usaha mereka untuk mengadakan majlis ini," katanya terus terang.

Kata Umie, kalau boleh pada masa akan datang, tidak perlulah diadakan majlis kejutan untuknya kerana usia pun semakin meningkat.

Cukuplah katanya, dengan ingatan daripada orang yang tersayang dan keluar meraikannya bersama keluarga.

"Pada usia yang semakin meningkat ini, tiada apa yang Umie impikan pada hari bersejarah ini. Memadailah jika Allah berikan Umie rezeki yang berlimpah dan keluarga bahagia.

"Umie mahu menjadi isteri dan ibu yang lebih baik daripada sebelumnya," jawab Umie yang bakal menjalani penggambaran drama Kekasihku Seru musim kedua.

Pada majlis tersebut ramai rakan-rakan artis yang rapat dengannya hadir antaranya, Vanida Imran, Rashidi Ishak, Sofea Jane, Rebecca Nur Islam, Noniswara dan Nur Aliah Lee.

Majlis yang berlangsung dalam suasana santai itu diserikan dengan dendangan oleh adik Umie sendiri, Betty dan Noniswara.

Umie juga menghiburkan tetamu yang sudi datang bagi membuat kejutan untuk dirinya.

Atilia menanti dalam debar


TATKALA ditanya tentang perancangan yang sudah diatur sepanjang 2012, dengan spontan Atilia memberitahu salah satu agenda dalam diari hidupnya adalah untuk menamatkan zaman janda.

Mendengarkan pengakuan itu, Hits terus mendalami soal perkahwinan itu yang dijawab dengan penuh terbuka oleh penyanyi genit berusia 37 tahun itu.

Namun, syarat yang ditetapkan oleh Atilia adalah untuk tidak mendedahkan nama bakal suaminya dan hanya mahu dikenali sebagai Bot.

Kata Atilia, arjuna hatinya itu seorang yang pemalu.

Tanpa selindung, Atilia menjelaskan pintu hatinya sudah terbuka untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua selepas dia dan Bot sudah mula memperkatakan tentang perkara tersebut.

Mula berpacaran secara serius hampir tiga tahun lalu sebaik sahaja sah bercerai dengan bekas suami, Ariff Johan Abdul Aziz, Atilia mengaku cukup selesa berdampingan dengan Bot.

Walaupun jejaka itu muda tiga tahun, bagi Atilia, jurang usia bukan satu masalah besar. Apa yang penting adalah kematangan lelaki itu dalam perhubungan mereka.

"Ketika saya berhadapan dengan masalah, Bot ada di samping saya. Dia banyak mengambil berat tentang diri saya dan kami juga banyak berkongsi minat dan cita rasa yang sama.

"Tetapi jangan salah faham kalau ada yang beranggapan dia adalah orang ketiga dan menjadi punca saya bercerai dengan Ariff Johan. Itu semua tidak benar.

"Sebetulnya, kami memang sudah lama mengenali. Lebih daripada 10 tahun lalu memandangkan dia terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir dalam bidang muzik," hurai pemilik nama penuh Raja Putri Atilia Raja Haron ini sewaktu sesi fotografi di Damansara Perdana, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Dalam usianya yang sudah dipenghujung 30-an, memang sudah layak untuk Atilia kembali berumah tangga dan menjadi seorang isteri.

Apabila memperkatakan tentang kesediaan untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri, ujar Atilia, dia sememangnya menanti masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Apatah lagi hampir tiga tahun menjalani kehidupan seorang diri, dia menikmati kelebihan itu dengan penuh bebas terutama masa bersama teman-teman wanita rapatnya.

"Sebagai seorang yang solo dan tidak terikat dengan komitmen, saya dapat melakukan banyak perkara yang jarang dilakukan ketika berkahwin dulu.

"Mungkin kerana saya pernah berkahwin di usia yang muda, pergerakan saya sedikit batas dan saya perlu menjaga status sebagai seorang isteri.

"Tetapi ini bukan bermakna saya akan melengahkan soal kahwin. Memang itu dalam perancangan saya untuk tahun ini tetapi bilakah tarikhnya, saya sendiri kurang pasti kerana banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan.

"Daripada perbincangan dengan Bot, kemungkinan besar, perkahwinan akan berlangsung sama ada selepas Aidilfitri atau pun penghujung tahun ini," kata satu-satunya puteri kesayangan penghibur malar segar, Salamiah Hassan ini lagi.

Tuah baru muncul

Menutup soal itu dengan penuh hemah, perbualan kami beralih pula kepada karier seni yang pada hematnya, mula menampakkan perkembangan yang sangat positif.

Semuanya kerana lagu Kekanda Adinda yang dinyanyikan secara duet bersama Monoloque yang telah membuka lembaran baru untuknya.

Mana tidaknya, sebelum ini, peminat hanya mengenali Atilia menerusi lagu-lagu berkonsepkan jazz kontemporari di mana pasarannya terlalu kecil di negara ini.

Biarpun dia sudah menghasilkan dua buah album, Sangkar dan Indah, tetapi pencinta muzik arus perdana masih belum kenal siapakah Atilia sebenarnya.

Lalu, apabila dia muncul dengan Kekanda Adinda, dengan pantas namanya dikenali dan Atilia menganggap lagu itu sebagai rahmat untuknya terus bernafas di dalam industri seni.

"Kekanda Adinda saya anggap sebagai lagu keramat yang membuka jalan lebih luas untuk saya memperkenalkan diri kepada masyarakat.

"Jujurnya, sejak memasuki arus perdana hampir lima tahun lalu, saya memang bekerja keras untuk memasarkan diri kepada khalayak. Saya sedar lagu-lagu saya dianggap tidak cukup bagus untuk dipasarkan di corong radio tempatan.

"Namun, saya tidak berputus asa apabila mencuba cabang seni yang lain seperti pengacaraan dan berlakon. Walaupun kesannya tidak sebesar mana, tetapi setidak-tidaknya orang mula sedar akan kehadiran saya.

"Tetapi, kini secara perlahan-lahan, roda hidup itu mula berputar. Alhamdulillah, saya nampak masyarakat sudah menerima dan mula mencari lagu-lagu saya," kata Atilia yang juga juri tetap Idola Kecil terbitan TV9 selama empat musim (2008-2011) selain memeran watak Junaidah dalam P. Ramlee the Musical selama dua musim (2008-2009).

Penyanyi genit yang diberi jolokan ratu lagu iklan itu juga berkongsi cerita bagaimana penglibatannya untuk lagu Kekanda Adinda.

Jelas Atilia, semuanya bermula ketika vokalis kumpulan Monoloque, Khairil Ridzwan Annuar atau Loque menghubungi untuk menyanyi bersamanya dalam lagu itu.

Kebetulan, Atilia memang bersahabat baik dengan isteri Loque, Dahlia Nadirah Johari, lalu dia menerima pelawaan itu tanpa memikirkan soal bayaran.

Sebaik mendengar lagu itu, dia sudah dapat merasakan aura Kekanda Adinda mampu pergi jauh walaupun ia adalah sebuah lagu tema untuk siri mini, 8 Bulan terbitan Red Communications.

"Apabila ia mendapat permintaan tinggi di corong radio dan masih diminati selepas setahun ke udara, ia adalah satu rahmat yang berpanjangan buat saya.

"Ditambah pula dengan kejayaan lagu ini memasuki Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL 26) pada 29 Januari ini, ia adalah satu bonus.

"Menang atau kalah bukan soal utama buat saya dan Loque kerana kemaraan kami ke pentas berprestij ini merupakan kejayaan besar untuk artis seperti kami yang bukan dari arus perdana.

"Secara tidak langsung, kami sudah diterima dengan baik dan Insya Allah, kami akan meneruskan duet kami menerusi lagu Doa Buat Kekasih pula," kata Atilia sambil mengukir senyuman yang penuh maksud tersirat apabila memperkatakan tentang AJL 26.

Dalam pertandingan yang bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, Kekanda Adinda perlu berhadapan saingan sengit daripada 11 buah lagu iaitu Beribu Sesalan gandingan mantap Ning Baizura, Shila Amzah dan Jaclyn Victor, Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Sungai Lui (Aizat) dan Kisah Hati (Alyah).

Selebihnya adalah Kalau Berpacaran nyanyian Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet, Sedetik Lebih (Jaclyn Victor), Awan Nano (Hafiz), Cinta Muka Buku (Najwa Latif) serta Penakut dan Gadis Semasa (Yuna).

Biarpun namanya sudah menjadi sebutan dan dikenali, tetapi bagi Atilia, perjuangan dalam genre muzik jazz tidak akan sesekali berubah.

Untuk itu, album ketiga yang kini dalam pembikinan akan menyaksikan Atilia kembali ke akar umbinya seperti mana yang dipersembahkan dalam album Sangkar.

Kembali bekerjasama dengan mentornya, Roslan Aziz yang akan bertindak sebagai penasihat album itu, Atilia mahu terus memperbaiki kedudukan agar dia mampu bertahan seperti mana idolanya, Datuk Sheila Majid.

"Walaupun saya sedikit kecewa apabila album kedua, tidak berjalan lancar seperti mana yang diharapkan, namun, saya percaya kekecewaan itu akan dapat diubati nanti.

"Ketika itu, saya meletakkan harapan tinggi untuk mengukuhkan portfolio sebagai seorang penghibur kerana merasakan album itu menepati kehendak pasaran.

"Tetapi, tidak mengapa. Saya sentiasa memandang ke hadapan dan berfikiran positif apabila memperkatakan tentang muzik," katanya yang juga akan memulakan perniagaan fesyen dalam talian, My Hati bersama teman baiknya, Yasmin Hani.

Diam Haiza berisi


PASTI ada yang tertanya-tanya sama ada Haiza yang pernah popular dengan lagu Dag Dig Dug masih aktif menyanyi atau tidak. Ini kerana sudah lama tidak mendengar lagu baru dendangannya diputarkan di corong-corong radio.

Meskipun tanpa produk baru namun Haiza atau Rohaizah Nordin, 32, boleh dikategorikan sebagai penyanyi bertuah kerana terus mendapat banyak undangan persembahan pentas dan makan malam.

Menariknya, Haiza bukan sahaja sering diundang sebagai penyanyi malah dia juga menjadi rebutan untuk mengacara majlis.

Justeru tidak hairanlah, biar sudah hampir dua dekad dalam industri seni, Haiza masih mampu bertahan. Lebih penting, ia melalui usahanya sendiri tanpa tajaan mana-mana pihak.

Malah daripada hasil persembahan pentas dan bidang pengacaraan, Haiza, menerusi syarikatnya, My Own Entertainment bukan sahaja telah menerbitkan single baru malah menghasilkan klip videonya berjudul Semalam.

"Alhamdulillah sejak bergerak sendiri tanpa syarikat rakaman, Haiza telah berjaya menghasilkan single dan klip video ini selain single dan klip video sebelumnya berjudul Marilah Padaku melalui wang titik peluh Haiza sendiri.

"Biasalah... bila semua menggunakan wang sendiri, itulah yang kena buat satu persatu.

"Untuk klip video Semalam, Haiza menggunakan khidmat pengarah Suhaimi Lua Abdullah," katanya yang bertindak sebagai Pengarah Urusan di My Own Entertainment Management.

Untuk klip video Semalam, Haiza turut mengundang Zain Saidin sebagai pasangannya.

Katanya, populariti Zain sedikit sebanyak dapat membantunya mempromosi klip video lagu Semalam.

"Zain seorang profesional. Dia tahu apa yang perlu dilakukan dan itu memudahkan kerja Haiza. Haiza pilih Zain, sebab dia tengah popular sekarang ini. Harap popularitinya itu dapat membantu.

"Haiza buat klip video dan single ini atas permintaan para peminat setia yang tidak henti memberi sokongan untuk perjalanan seni Haiza. Jangan ingat Haiza buat ini semua kerana syok sendiri. Semua ini untuk peminat tersayang," katanya terus terang.

Selain menghiburkan para peminat, Haiza menerusi syarikatnya juga ingin menggunakan kedudukannya sebagai penyanyi untuk melaksanakan tanggungjawab sosial.

Sebagai pembuka tirai, syarikatnya akan menganjurkan majlis Malam Gemer8 Bersama Haiza pada 28 Januari ini di Prime City Hotel, Kluang.

Katanya, hasil daripada penjualan meja makan sempena persembahan itu, sebahagiannya akan disumbangkan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Kluang, Johor.

"Kalau dengan menyanyi boleh membantu orang lain, apa salahnya Haiza menggunakan kelebihan itu untuk berbakti. Biar kita sama-sama mendapat pahala.

"Jika ada korporat yang ingin turut serta membantu, Haiza alu-alukan kerana di masa akan datang, banyak lagi yang ingin Haiza lakukan," katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan sifat peramah itu turut menganjurkan percutian bersama peminat kerana cara itu dapat mengeratkan hubungan.

Katanya, pada tahun lalu, dia bersama sekumpulan peminat bercuti ke Bandung dan dia merancang satu lagi percutian bersama peminatnya pada pertengahan tahun ini.

"Menerusi acara Yok Cuti Yok, Haiza akan memulakan program pada Jun ini. Biar selesaikan satu-satu program dulu," katanya lagi.

Faezah Elai Tolak Aksi Ranjang, Berkemban


PETALING JAYA: Aktres Faezah Elai,30, tidak akan menerima mana-mana tawaran berlakon sekiranya watak yang diberi berkehendakkan dia melakukan aksi ranjang ataupun berkemban.

Faezah berkata, suaminya yang juga pengarah drama Heykal Hanafiah,39, melarang dia berbuat demikian atas kedudukannya sebagai wanita yang sudah berumah tangga.

“Suami saya ada bagi nasihat yang dia tidak mahu saya memegang mana-mana watak yang agak melampau seperti berkemban ataupun aksi-aksi di atas katil.

“Katanya, sebagai wanita yang sudah berkahwin, watak seperti itu tidak sesuai. Takut nanti saudara mara dan sesiapa sahaja akan memberi persepsi negatif,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Khamis.

Menurut Faezah, selain menghormati permintaan suami, hatinya sendiri tidak pernah terbuka untuk melakonkan watak itu kerana memahami kedudukannya yang sudah berumah tangga.

Sebelum ini pun jelasnya, dia tidak pernah menerima watak-watak sedemikian dan memilih untuk mengekalkan prinsip tersebut selepas berkahwin.

“Kalau nak ikutkan, sejak dulu pun saya tak pernah ambil watak yang melampaui batas. Apatah lagi selepas menjadi isteri orang.

"Saya tak nafikan suami saya akan menilai skrip terlebih dahulu sebelum membenarkan saya menerima mana-mana tawaran agar watak yang diberikan itu bersesuaian dengan status saya,” ujarnya.

Ditanya mengenai cahaya mata selepas kira-kira empat bulan mendirikan rumah tangga, Faezah berkata buat masa ini mereka belum dikurniakan rezeki walaupun sudah beberapa kali mendapatkan nasihat daripada doktor.

Bagaimanapun perkara itu tidak memberi apa-apa tekanan kepadanya kerana dia percaya terhadap rezeki daripada Allah.

“Saya tahu, orang yang berkahwin memang memerlukan anak. Tapi kalau masih belum ada, ia bukan masalah sangat. Kita tunggulah dalam masa setahun ni. Kalau tak ada rezeki juga, mungkin saya akan dapatkan rawatan dengan lebih serius,” jelasnya

Mengenai aktiviti selepas kahwin, Faezah banyak menerima tawaran berlakon termasuklah untuk telefilem terbaru berjudul “Bukan Hanya Sedetik” terbitan Global Station Sdn Bhd dengan memegang watak utama.

Dalam drama itu dia bergandingan bersama Aqasha dalam sebuah kisah kekeluargaan.

Sementara itu jelas Faezah, dia mulai risau dengan berat badannya yang bertambah sebanyak lima kilogram berbanding 45 kilogram sebelum ini.

Atas sebab itu dia berusaha untuk mengurangkan berat badan dengan hanya mengambil nasi sekali sehari.

“Saya risau badan saya naik. Bukannya apa, di televisyen, nanti kita akan nampak besar. Sebab itulah saya kena pastikan badan saya normal macam dulu,” katanya.

Putri Mardiana Tangguh Bertunang Bukan Kerana Hubungan Retak


PETALING JAYA: Pelakon Putri Mardiana Zainal Abidin atau Nina, berkata pembatalan majlis pertunangannya dengan Mohd Hasnul Amril (Anol) yang sepatutnya pada Disember tahun lalu bukan berpunca daripada keretakan hubungan mereka.

Sebaliknya, aktres berusia 31 tahun ini berkata keputusan itu diambil selepas ahli keluarga kedua belah pihak memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan tanpa majlis bertunang.

“Selepas berbincang dengan keluarga, kami batalkan perancangan untuk bertunang pada Disember tahun lalu sebaliknya memilih untuk terus kahwin pada tahun ini bagi mengelakkan pembaziran.

“Tempoh di antara tarikh bertunang yang dirancang dan majlis perkahwinan kami pun mungkin tidak jauh mengapa tidak kami batalkan saja pertunangan dan terus berkahwin,” jelasnya kepada mStar Online.

Nina menambah, mereka tetap akan berkahwin pada tahun ini namun masih belum dapat mengesahkan tarikhnya kerana sedang melaksanakan beberapa persiapan untuk majlis itu.

“Anol sudah tetapkan yang dia akan mengahwini saya pada tahun ini juga cuma kami belum boleh umumkan sebarang tarikh.

“Pada peringkat ini, kami sibuk dengan kerja masing-masing dan persiapan perkahwinan sedikit demi sedikit. Insya-Allah kami juga akan menjalani ujian HIV tidak lama lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nina mengakui perjalanan kariernya semakin baik dan stabil sejak bergerak sendiri tanpa pengurusan di bawah MIG Talents.

“Alhamdulillah, tawaran lakonan tidak pernah putus. Walaupun ada pihak yang meragui saya kononnya tidak boleh berdikari selepas keluar daripada pengurusan MIG, tanggapan itu adalah salah.

“Saya akui perlu bekerja keras dan ringan mulut dengan para penerbit dan orang industri. Keadaan itu sebenarnya mematangkan dan membuatkan saya lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya.

Benarkah Ana Raffali Nikah Pada 25 Februari 2012?


PETALING JAYA: Penyanyi Ana Raffali dilaporkan akan bernikah dengan pengurus peribadinya yang dijadualkan pada 25 Februari depan.

mStar Online difahamkan, majlis akad nikah Ana atau nama sebenarnya Nur Hidayah Mohd Raffali, 27, dengan pemuda yang dikenali sebagai Naim Abdullah itu akan berlangsung di Masjid Al Hidayah, Taman Melawati, dekat sini, kira-kira pukul 10 pagi.

Ana yang dihubungi mStar Online bagaimanapun enggan mengesahkan tarikh tersebut sebaliknya memberitahu akan mengadakan sidang media bagi mengumumkan perkara berkenaan selepas Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang akan berlangsung Ahad ini.

“Ada beberapa urusan berkaitan majlis ini yang belum diselesaikan. Sebab itu, saya tidak mahu menghebohkannya terlebih dahulu. Bagi saya, biarlah semuanya selesai, barulah saya akan umumkan kepada semua.

“Apa–apa pun, saya mohon semua pihak bersabar dan tidak tersalah anggap dengan keputusan saya ini. Tunggu sehingga saya adakan sidang media perkahwinan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Kecil hati

Sementara itu Ana menyifatkan tuduhan kononnya dia mahu menyembunyikan majlis pernikahannya seperti yang dilaporkan adalah sesuatu yang tidak adil buat dirinya dan keluarga.

Dia mengakui berkecil hati dengan dakwaan tersebut, berkata pihaknya memang sudah merancang untuk mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan berita gembira itu.

Bagaimanapun, keadaan menjadi sebaliknya apabila berita perkahwinan itu sudah tersebar dalam ruangan gosip sehingga disalah ertikan oleh segelintir pihak.

“Dakwaan (sembunyi perkahwinan) ini adalah tidak adil buat saya dan keluarga. Sudah tentu saya sebagai artis akan berkongsi berita baik ini apabila tiba waktu yang sesuai untuk saya umumkan.

“Masalahnya, saya sedang sibuk membuat persiapan untuk AJL26 pada Ahad ini. Saya dan keluarga sudah rancang untuk buat pengumuman perkahwinan selepas AJL selesai.

“Tidak sangka pula, berita itu sudah tersebar tanpa mendapatkan sebarang penjelasan atau pengesahan daripada saya terlebih dahulu,” katanya.

Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku ini, berkata kesan daripada dakwaan itu memberikan gambaran yang tidak manis kepada dia sekeluarga.

“Apabila timbul cerita saya tidak jemput media dan rahsiakan perkahwinan, ia memberikan impak yang tidak baik kepada kami sekeluarga.

“Sampai hati pihak yang menyebarkan dakwaan itu. Ia seolah-olah menggambarkan yang kami tiada adab dan teruk sangat sehingga menyembunyikan berita baik ini daripada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Ana kini sibuk membuat persiapan terakhir bagi lagu Kalau Berpacaran nyanyiannya bersama Sohaimi Mior Hassan dan Altimet yang akan bertanding dalam AJL26, malam Ahad ini.

Benarkah Ana Raffali Nikah Pada 25 Februari 2012?


PETALING JAYA: Penyanyi Ana Raffali dilaporkan akan bernikah dengan pengurus peribadinya yang dijadualkan pada 25 Februari depan.

mStar Online difahamkan, majlis akad nikah Ana atau nama sebenarnya Nur Hidayah Mohd Raffali, 27, dengan pemuda yang dikenali sebagai Naim Abdullah itu akan berlangsung di Masjid Al Hidayah, Taman Melawati, dekat sini, kira-kira pukul 10 pagi.

Ana yang dihubungi mStar Online bagaimanapun enggan mengesahkan tarikh tersebut sebaliknya memberitahu akan mengadakan sidang media bagi mengumumkan perkara berkenaan selepas Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang akan berlangsung Ahad ini.

“Ada beberapa urusan berkaitan majlis ini yang belum diselesaikan. Sebab itu, saya tidak mahu menghebohkannya terlebih dahulu. Bagi saya, biarlah semuanya selesai, barulah saya akan umumkan kepada semua.

“Apa–apa pun, saya mohon semua pihak bersabar dan tidak tersalah anggap dengan keputusan saya ini. Tunggu sehingga saya adakan sidang media perkahwinan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Kecil hati

Sementara itu Ana menyifatkan tuduhan kononnya dia mahu menyembunyikan majlis pernikahannya seperti yang dilaporkan adalah sesuatu yang tidak adil buat dirinya dan keluarga.

Dia mengakui berkecil hati dengan dakwaan tersebut, berkata pihaknya memang sudah merancang untuk mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan berita gembira itu.

Bagaimanapun, keadaan menjadi sebaliknya apabila berita perkahwinan itu sudah tersebar dalam ruangan gosip sehingga disalah ertikan oleh segelintir pihak.

“Dakwaan (sembunyi perkahwinan) ini adalah tidak adil buat saya dan keluarga. Sudah tentu saya sebagai artis akan berkongsi berita baik ini apabila tiba waktu yang sesuai untuk saya umumkan.

“Masalahnya, saya sedang sibuk membuat persiapan untuk AJL26 pada Ahad ini. Saya dan keluarga sudah rancang untuk buat pengumuman perkahwinan selepas AJL selesai.

“Tidak sangka pula, berita itu sudah tersebar tanpa mendapatkan sebarang penjelasan atau pengesahan daripada saya terlebih dahulu,” katanya.

Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku ini, berkata kesan daripada dakwaan itu memberikan gambaran yang tidak manis kepada dia sekeluarga.

“Apabila timbul cerita saya tidak jemput media dan rahsiakan perkahwinan, ia memberikan impak yang tidak baik kepada kami sekeluarga.

“Sampai hati pihak yang menyebarkan dakwaan itu. Ia seolah-olah menggambarkan yang kami tiada adab dan teruk sangat sehingga menyembunyikan berita baik ini daripada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Ana kini sibuk membuat persiapan terakhir bagi lagu Kalau Berpacaran nyanyiannya bersama Sohaimi Mior Hassan dan Altimet yang akan bertanding dalam AJL26, malam Ahad ini.

Safura, Sharonizam dapat penawar


SUDAH dua tiga hari Diva dapat berita gembira tentang pasangan pelakon, Safura Yaacob dan suaminya, Sharonizam Noor yang baru sahaja menerima kehadiran cahaya mata baharu.

Yelah, dah lama tak dengar cerita mereka berdua selepas tragedi September lalu. Masa itu hidup pasangan itu jadi kelam apabila cahaya mata pertama hasil pernikahan mereka, Nur Aisyah Mariam, 3, meninggal dunia akibat demam panas.

Selang lebih seminggu, bapa Safura pula meninggal dunia. Besar sungguh dugaan yang Allah turunkan kepada Safura dan keluarganya.

Tuhan itu Maha Adil, sebab dalam perut Safura ketika itu ada anugerah yang tidak ternilai. Itu juga punca kepada kekuatan Safura agaknya.

Mungkin untuk tanamkan lagi kasih mereka terhadap Mariam, Safura dan suami namakan bayi baharu mereka sebagai Zara Nur Aisyah, sempena nama Mariam juga.

Diva harapkan kehadiran Zara yang lahir pada 3 Januari di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu boleh pulihkan semangat Safura yang dah banyak mengalirkan air mata sebelum ini.

Hati Anzalna dimiliki pelajar


UKIRAN pesona tentang namanya sudah mesra ditatap banyak mata. Dia Anzalna Nasir, bunga baharu yang sedang menguntumkan kelopak ke sebuah daerah bernama seni lakon ini. Di sini, baru enam bulan langkahnya diatur penuh ritma.

Melihat langkahnya, mahu tidak mahu, seringkali kelibatnya dilihat, dirujuk sebagai artis seangkatan kepada Neelofa, sementelah mereka sama-sama lahir daripada pertandingan bakat yang sama. Untuk Anzalna sendiri, dia sendiri sudah lali dibanding-bandingkan begitu.

Menyedari sedikit terkebelakang barangkali untuk sesaat, namun durasi dan kepantasan yang sedang dilalui, membekalkan Anzalna sebuah energi. Dia sudah bersedia untuk berlari lebih kencang dalam trek popular ini.

"Sungguh, beberapa bulan kebelakangan ini, saya langsung tiada waktu untuk diri sendiri, setiap hari ada sahaja urusan yang harus diselesaikan. Kalau tak ada penggambaran, ada majlis yang harus dihadiri dan ajakan fotografi yang sayang hendak dilepaskan.

"Bukannya saya tamak atau mahu ambil semua peluang, tapi selagi saya mampu lakukan tanpa merosakkan jadual sendiri, saya buat," katanya tiada berselindung saat ditebak tentang kerancakan publisiti yang sedang diraih.

Bukan untuk bertanding siapa popular atau siapa yang lebih lumayan mengait sensasi, Anzalna mampu memekarkan senyuman. Bakatnya yang masih perlu dipahat-pahat itu semakin diterima. Bersilih ganti judul drama lakonannya menghiasi kaca televisyen, Suria Di Cordoba, Ramadan Terakhir, Ajaibnya Cinta dan ketika ini, Gemersik Kalbu, namanya terpahat sebagai heroin untuk dua buah filem, Sepah The Movie dan TyIcKooUns yang baru disempurnakan.

"Saya pun tak sangka. Tapi penonton boleh tengok lakonan saya di kaca televisyen, mula-mula berlakon dahulu memanglah nak hayati watak merupakan satu tugas yang cukup payah. Tapi bila banyak kali bertukar set, jumpa lebih ramai pelakon senior dan bekerja dengan pengarah yang berlainan, saya dapat rasakan perubahan," katanya.

Sudah bersuluh dalam terang, dia sedang memanjat tangga populariti. Popular dalam kaca penglihatannya, bukan sahaja satu bonus bahkan juga satu hukuman. Menjadi popular juga bererti mengizinkan segala kisah dan hidup yang selama ini privasi berubah untuk diratah mentah di ruang terbuka.

Dilambung populariti

Terlanjur muncul sebagai pendatang yang sedang diintai-intai potensi, sengaja anak kedua daripada lima beradik itu diusik-usik tentang bayaran bergelar selebriti. Hadir dalam pakej, jelita bersama bakat yang boleh diasah, Anzalna juga seperti wanita muda sebayanya, jika salah percaturan membawa diri, mudah sahaja dia terjerumus ke lubuk sensasi yang boleh merosakkan diri.

"Sebelum masuk menjadi pelakon, saya ada mengamati corak dan permainan industri hiburan. Dari hari pertama turun ke lokasi juga, saya kutip dan nilai setiap apa yang berlaku depan mata sebagai ilmu. Bila sudah jadi pelakon, saya juga tak perlu takut.

"Banyak yang saya pelajari, termasuk cara bercakap dengan wartawan," katanya bersulam ketawa.

Menambah dalam nada berbunyi serius: "Memanglah bila dalam situasi sekarang, banyak orang mula beri perhatian, sama ada hendak memberi peluang atau mengambil kesempatan, itu Tuhan sahajalah yang tahu.

"Apa yang penting kena kawal diri, selagi pihak yang suka mengambil kesempatan itu tidak diberi ruang, kita akan selamat. Saya sentiasa ingatkan diri, selalu hati-hati dengan lelaki," katanya.

Teman lelaki mahasiswa

Bertukar topik ke topik, anak kepada pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim ini secara terbuka berkongsi kisah hati. Sedang intim bersama seseorang, si cantik yang genap berumur 24 tahun pada tanggal 9 Januari lalu, enggan berselindung atau menyembunyikan hubungan istimewa yang dijalin penuh kasih.

"Mulanya saya keliru juga dalam soal ini (teman lelaki). Sudahlah kami memang selalu ke mana-mana berdua, ada masanya dia yang hantar dan jemput saya dari lokasi. Takkanlah saya hendak cakap dia sebagai pembantu peribadi saya pula.

"Jadi lebih baik saya mengaku sahaja, senang cerita. Dia bukan artis, baru sahaja habis pengajian. Cukuplah saya kenalkan namanya sebagai Hanif," telus sahaja pengakuan itu keluar daripada bibir mongelnya.

Heroin dua filem

Manis bersulam manja yang tidak dibuat-buat, emosinya melonjak saat judul TyIcKooUns disebut semula. Katanya, filem arahan pengarah Khairunazwan Rodzy itu boleh dikira satu pencapaian dan keberuntungan untuknya.

"Saya masih baru, tapi dalam filem berkenaan, saya mungkin antara yang paling junior tapi diberi peluang bergandingan dengan pelakon-pelakon besar seperti Aaron Aziz, Wan Hanafi Su, Bront Palarae serta Remy Ishak.

"Saya diminta buangkan segala sifat asal saya dan masukkan karakter yang diberikan. Jalan ceritanya bagus walaupun saya hanya bawak watak kecil, sebagai Ramona. Apa yang saya faham, walaupun watak itu kecil tetapi, saya antara punca kepada konflik filem itu," katanya puas melakonkan watak primadona bernama Ramona yang menjadi rebutan dalam filem itu.

Masih hijau membentuk kematangan dalam lakonan, wanita yang fasih berbahasa Perancis itu meluahkan, dalam tempoh singkat sejak lakonan menjadi fokus, sudah variasi watak telah dipersembahkan.

"Saya sudah bawa watak perempuan sejahat-jahatnya, perempuan paling baik, tapi paling mendebarkan, watak dalam TyIcKooUns. Saya kena tembak orang guna pistol sebenar. Menggigil-gigil dibuatnya, sampaikan orang yang akan kena tembak juga naik menggigil, mungkin tak yakin dengan lakonan saya atau takut peluru dalam pistol itu belum dikosongkan," ceritanya seronok.

Masih panas dan bersemangat untuk mencuba banyak watak, soalan watak bagaimana yang ingin dicuba mungkin berbunyi klise. Bagi Anzalna, dia masih belum berpeluang terlibat dalam mana-mana naskhah seram, jika ada peluang pasti tidak akan dilepaskan.

Minta dibayangkan hari mukanya, dua atau tahun dari sekarang, jawabnya mudah sahaja.

"Berbaloi jadi pelakon dan saya akan pastikan keputusan masuk ke industri ini satu perkara yang masih berbaloi. Buat masa ini, rasanya saya perlukan kereta sendiri, tapi lesen memandu belum ada," lentur Anzalna menghabiskan sepetang bersama penuh santai.

Zain tiada niat nikahi Rozita


JIKA mahu diukur kebolehan Zain Saidin sebagai pelakon sudah pasti ramai yang mencemuh lakonannya yang didakwa masih hambar. Namun, kekurangan itu diisi dengan cerita cinta dan gosip.

Pelakon yang sedang sibuk dengan penggambaran drama 13 episod, Bermulanya Di Sini itu didakwa sedang hangat bercinta dengan aktres cantik, Rozita Che Wan. Timbul seketika dan kemudian tenggelam, cerita itu tidak pernah ada penyudahnya.

Terbaru, aktor yang drama Gemersik Kalbu ini dikatakan bercuti bersama Rozita di Genting Highlands. Bukan hanya mereka berdua tetapi misi memupuk cinta itu turut disertai anak-anak Rozita, Ammar Effendy, 15, dan Aniq Ezzra, 12.

Pasangan itu semakin mesra sejak sama-sama terlibat dalam drama Kiah Pekasam. Bagi merungkai gosip tersebut, Sensasi Bintang meminta Zain berterus-terang dalam isu ini.

Penat tak asyik dilayangkan berita yang sama?

Penat juga tetapi asyik cerita yang sama sahaja yang keluar, nak buat macam mana? Saya cuma takut pembaca yang penat diberikan cerita yang sama. Bagi saya, pembaca mahu tahu cerita Rozita. Semuanya lebih kepada dia dan bukan saya.

Sebenarnya hubungan itu bagaimana?

Kawan, memang itu yang saya katakan daripada dahulu sampai sekarang. Jawapan saya sama sahaja. Terpulanglah kepada pembaca untuk mentafsir.

Anda melihat ini sebagai sebuah gosip biasa atau promosi diri?

Bagi saya, ini gosip biasa sahaja. Saya tak anggap lebih daripada itu. Memang gosip biasa. Malah saya tidak anggap sebagai sebuah promosi diri pun. Biasa sahajalah.

Tidak rasa digunakan atau menggunakan?

Biasa lah, kerja orang media. Mereka mahu tulis cerita. Saya tidak rasa apa-apa. Malah saya rasa biasa. Tidak rasa digunakan atau menggunakan.

Siapa diri anda sebenarnya dalam dunia hiburan?

Saya hanyalah seorang pelakon.

Sejauh mana keseriusan berlakon itu kerana yang muncul kebanyakannya gosip semata-mata?

Saya serius tapi saya tidak tahulah orang nak anggap apa. Gosip itu normal. Tidak ada artis yang tidak kena gosip. Bagi saya, itu normal.

Sejauh mana anda jujur untuk memperisterikan Rozita?

Tidak pernah terfikir benda itu (mengahwini Rozita). Saya anggap Rozita sebagai kawan. Saya pernah berjumpa dengan anak-anaknya. Anak-anak Rozita peramah macam mak dia juga.

Apa sasaran dalam industri hiburan sebenarnya?

Saya tidak ada target sebenarnya. Cuma berlakon dan lihat apa yang akan berlaku. Kalau ada pencapaian, adalah hasilnya. Inikan kerja, jadi apa yang diberi, saya terima. Itu sahaja.

Dengarnya sedang sibuk menghasilkan single rap?

Tidak siap lagi. Saya akan keluar dengan tiga buah single iaitu Transformasi, Cinta Jelita dan Niat Khalifah. Lagunya dibuat oleh rakan saya, seorang deejay dan saya menulis lirik untuk ketiga-tiga single saya.

Cinta Jelita ditulis untuk siapa?

Bukan untuk siapa-siapa, cuma sebuah lagu sahaja.

Shahz Jaszle tukar nama


DIVA nak bercerita tentang pelakon kacak, si Shahz Jaszle yang kini sedang berada di Australia untuk penggambaran drama bersiri dan telefilem. Selepas ke Perth, dengarnya Shahz akan terbang ke Jakarta untuk penggambaran drama juga. Lebat betul rezeki kekasih Miera Liyana ni.

Hari itu, teman Diva sempat bertemu dengan Shahz sebelum dia ke luar negara. Sempatlah hero filem Azura ini berbisik kepada teman Diva tentang perkembangan terkininya.

"Shahz sudah tukar nama. Sudah tidak pakai nama Shahz Jaszle sebaliknya Shahrizal Jaszle. Saya dinasihati oleh seorang ustaz yang Shah jumpa. Dia memberitahu bahawa nama Shahz tidak elok digunakan oleh saya. Jadi mulai sekarang, saya mahu gunakan nama Shahrizal Jaszle sebagai nama selebriti saya. Harap-harap semua memahami," ujarnya yang akan keluar dengan filem Azura pada 2 Februari ini bergandingan dengan Neelofa.

Mulai sekarang, nama Shahz sudah bertukar menjadi Shahrizal. Ala, sebelum ini ramai juga yang suka tukar-tukar nama ni.

Azean rasa lucu didakwa meninggal dunia


SELEPAS pemergian penyanyi Izwan Pilus, peminat seni tanah air dikejutkan pula dengan berita aktres yang kini sedang terlantar sakit kerana penyakit kanser, Azean Irdawaty meninggal dunia pada malam Sabtu lalu.

Berita Azean meninggal dunia tersebar dengan pantas di laman sosial Twitter dan ramai peminat memberikan ucapan takziah walhal hakikat yang sebenarnya aktres itu masih lagi bernyawa meskipun sedang bertarung dengan penyakit kanser yang telah merebak ke tulang belakangnya.

Kosmo! mendapatkan komen mengenai perkara ini daripada mulut Azean sendiri dan dia nyata terkejut apabila diberitahu mengenai berita kematiannya sendiri.

Kosmo!: Apa reaksi Azean apabila didakwa sudah meninggal dunia?

Azean: Memang terkejut, kelakar pun ada juga sebab berita itu tidak masuk akal langsung kerana saya masih hidup walaupun sedang sakit.

Bagaimana Azean tahu mengenai berita itu?

Mula-mula anak saya , Elza Irdalynna datang ke bilik memberitahu yang rakan-rakannya memberitahu saya sudah meninggal, memang saya terperanjat. Anak saya juga sedih. Tidak lama lepas itu, saya menerima panggilan telefon tanpa henti daripada rakan dan saudara-mara yang menyangka saya sudah meninggal dunia tetapi terkejut besar apabila mendengar suara saya yang menjawab panggilan telefon mereka.

Apakah tindakan yang diambil Azean dan ahli keluarga bagi memperbetulkan berita yang salah itu?

Anak saya menulis di Twitter miliknya, memberitahu yang saya masih lagi hidup dan sihat.

Apa kata-kata Azean kepada penyebar berita tersebut?

Saya rasa orang itu silap, tidak sengaja dan berniat baik untuk menyebarkan kepada orang mengenai berita kematian. Mungkin dia terkeliru daripada apa yang dia dengar di televisyen atau seseorang mengenai pemergian arwah Izwan Pilus dan dia menyangka itu adalah saya. Kalau dia sengaja nak buat cerita itu, saya kasihankan dia. Saya tidak marah, saya maafkan orang itu, semua manusia ada kesilapan, perkara ini tidak memudaratkan kepada saya dan saya doakan agar dia mendapat hidayah daripada Allah.

Apabila orang mengatakan Azean sudah meninggal dunia, ia ibarat satu doa, komen?

Kalau ada orang yang mendoakan saya meninggal, itu antara dia dengan Allah. Jodoh, pertemuan dan kematian semua di tangan Allah. Saya melihat daripada sudut yang positif, menurut kata orang tua-tua, jika kita diberitakan yang kita meninggal dunia bermakna umur kita panjang.

Bagaimana tahap kesihatan Azean kini?

Alhamdulillah, saya semakin sihat, sejak enam bulan lalu saya telah menjalani rawatan untuk merawat kanser yang telah merebak ke tulang belakang yang menyebabkan saya terlantar tidak boleh bergerak. Sejak bulan Januari, saya sudah boleh bertatih dan turun katil sendiri, sebelum ini saya terpaksa didukung dan perlukan bantuan orang lain untuk bergerak.

Sejak sakit sehingga ke hari ini, Azean banyak muncul di media meminta simpati. Apa yang boleh anda jelaskan di sini?

Saya bukan minta simpati, saya hanya minta bantuan jika ada yang ingin membantu kerana kos rawatan saya adalah sebanyak RM10,000 sebulan. Itu hanya untuk kos ubat, belum masuk perbelanjaan harian yang lain dan saya juga harus membayar gaji tiga orang jururawat. Sebelum ini saya pencari nafkah utama, selepas saya terlantar sakit, agak sukar untuk keluarga saya. Saya minta bantuan bukan untuk berjoli, sebaliknya merawat penyakit. Saya harus berusaha mengubat penyakit ini. Doktor kata kalau tidak dirawat saya hanya mampu hidup untuk tempoh dua tahun sahaja.

Hikmah di sebalik berita kematian Azean?

Saya bersyukur kerana daripada apa yang saya lihat, ramai yang sayangkan saya. Telefon tidak putus-putus berdering, rakan-rakan yang telefon ada yang meminta maaf dengan saya dan ramai yang datang melawat juga. Saya berterima kasih kerana ramai sebenarnya yang mengambil berat tentang diri saya.

Scha, Neelofa menanti dalam debar


KECANTIKAN dan populariti dua aktres ini tidak dapat disangkal lagi. Mereka menjadi rebutan ramai. Bukan sahaja untuk dunia lakonan tetapi juga pengacaraan.

Yang nyata tahun 2011 telah memberikan kesan tersendiri buat dua persona ini kerana masing-masing semakin mendaki puncak gemilang.

Pun begitu 2012 juga memberi satu debaran baru buat kedua-duanya. Biarpun nama sudah kukuh di pesada seni namun terselit kebimbangan dalam diri masing-masing.

Ini kerana baik Scha Al-Yahya mahupun Neelofa, tahun ini menjadi penentu kepada masa depan masing-masing. Cuma gelora kebimbangan dan debaran kedua-dua aktres itu tidak sama.

Yang seorang bakal menempuh satu alam baru dalam kehidupan peribadinya manakala seorang lagi dalam kerjaya.

Scha yang bakal menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini bersama si buah hati, Awal Ashaari tentu sahaja sibuk dengan pelbagai persiapan menjelang hari bahagia mereka.

Neelofa pula menanti hasil kerjanya dalam beberapa filem yang ditayangkan tahun ini termasuk antara yang ditunggu-tunggu, Azura, arahan Aziz M. Osman.

Serina Selamat Lahirkan Bayi Perempuan


PETALING JAYA: Pelakon, Serina Redzuawan selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Isabella kira-kira pukul tiga petang pada Isnin.

Menurut bapanya, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dalam satu entri menerusi Facebook miliknya memberitahu cucu keduanya itu dilahirkan secara normal dengan berat 3.3 kilogram.

"Alhamdulillah Serina telah selamat melahirkan Isabella dan kami sekeluarga sangat gembira dengan kehadirannya.

"Walaupun sedikit kecewa tidak dapat bersama mereka tetapi ibu dan anak diberitahu dalam keadaan sihat," ujarnya.

Chef Wan yang kini sedang berada di Bangkok, Thailand atas urusan kerja sempat meninggalkan status dia teruja untuk membeli belah pakaian dan barang keperluan lain untuk cucu keduanya itu.

Terdahulu, Serina telah mempunyai seorang anak lelaki iaitu Tristan, setahun lima bulan hasil perkahwinannya dengan Gavin Edward O'Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.

Cinta tidak menjadi Amanda


PENAMPILANNYA yang sering dilihat seksi sentiasa meletakkan diri penyanyi muda ini dalam kancah kontroversi. Malah tanpa di sedari, namanya mula meniti di bibir peminat, selepas satu-satu kisah peribadinya menghinggapi gosip hiburan tanah air.

Bagaimanapun hadir dengan pakej suara lengkap memberi satu lagi sebab untuk Amanda Imani, 20, berjuang demi kelangsungan karier yang baru sahaja bertatih.

Menurut Amanda jauh dalam sudut hati, dia langsung tidak mahu dikenali menerusi kontroversi dirinya. Ini kerana dia percaya bakat yang dimilikinya mampu membawa namanya ke suatu tahap yang membanggakan.

Baru sahaja reda dengan kisah penampilannya yang dikatakan agak berani, nama Amanda kembali menjadi tumpuan kerana dituduh sebagai wanita perampas, apabila menjalinkan hubungan cinta dengan seorang penyanyi dari negara jiran Syarif Sleeq.

Menyangkal dakwaan itu Amanda memberitahu bahawa dia sebenarnya adalah mangsa kepada hubungan yang tidak jujur.

“Ramai yang tidak tahu perkara sebenar. Saya tidak marah mereka kerana melemparkan pelbagai tuduhan kepada saya.

“Apa yang sebenarnya terjadi adalah saya terpedaya dengan ketidakjujuran seseorang,” katanya ketika hadir ke untuk sesi fotografi bersama Hits baru-baru ini

Terpalit dengan kisah cinta tidak menjadi, Amanda memberitahu tiada sebab untuk dirinya merasa serik bercinta lagi.

Bagi Amanda kegagalan kisah cintanya itu menjadi pengajaran berguna buatnya untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan

“Ia memang pengalaman pahit saya. Namun itu tidak bermakna saya tidak mahu bercinta lagi selepas ini.

“Mungkin selepas ini saya akan lebih berhati-hati untuk memilih pasangan,” jelasnya.

Mengakui dia tiada masalah untuk menjalinkan hubungan cinta jarak jauh, Amanda memberitahu apa yang penting di dalam perhubungan cinta adalah kejujuran.

“Rasanya saya tiada masalah untuk mempunyai kisah cinta jarak jauh, ini kerana dengan bantuan teknologi kita akan sentiasa berasa dekat.

“Bagaimanapun apa yang penting dalam hubungan cinta adalah kejujuran di antara pasangan,” katanya.

Tidak mahu lagi mengingati kisah cinta yang sudah berlalu, menurut Amanda tiada sebab untuk dirinya memaafkan seseorang yang tidak mengakui kesalahan.

“Kalau boleh saya mahu melupakan kisah ini. Dan persoalan sama ada saya sudah memaafkan dirinya bukan satu perkara yang harus dibangkitkan ini kerana dia sendiri tidak mengakui kesalahan dirinya, jadi untuk apa saya beri kemaafan,” katanya.

Baru sahaja melancarkan single terbarunya bertajuk Cemburu menurut Amanda dia sangat bersyukur kerana banyak di beri peluang untuk membuat persembahan di luar negara.

“Peluang membuat persembahan di luar negara memberi kelebihan kepada saya untuk menimba banyak pengalaman.

“Bagaimanapun saya tetap berharap agar suatu hari nanti karier saya sebagai penyanyi juga mampu bersinar di negara ini,” katanya berharap.

Ditanya sama ada dia akan berhijrah menempa nama di negara orang jika nasibnya sebagai penyanyi di negara ini tidak memuaskan, menurut Amanda memang ada niat hatinya untuk mencipta nama di luar negara.

Bagaimanapun buat masa ini dia lebih rela bersusah payah di negara kelahirannya dahulu.

“Kalau diikutkan saya mahu mencuba nasib di Amerika Syarikat, ini kerana pasaran di sana lebih luas.

“Namun untuk berputus asa di negara sendiri bukanlah diri saya kerana saya percaya masih terdapat peluang untuk penyanyi baru seperti saya untuk bertapak,” katanya yang akan mencuba pelbagai genre nyanyian di dalam mencari kelainan

Selesa dengan penampilan

Melayari kehidupan remaja, tiada apa yang dapat membezakan Amanda dari remaja lain di luar sana.

Bagi Amanda penampilan merupakan perkara yang amat dititikberatkan dirinya. Malah sebagai gadis, dia lebih selesa untuk mencipta gaya penampilannya sendiri.

“Mempunyai potongan badan yang berbentuk, menyebabkan saya lebih berhati-hati memilih baju.

“Untuk mengatakan saya sengaja memilih untuk menggayakan pakaian terdedah adalah tidak benar.

“Ini kerana konsep fesyen yang saya amalkan adalah untuk kelihatan selesa,” katanya.

Tidak akan mengubah penampilan dirinya semata-mata takut dengan kontroversi, itu merupakan kata-kata tegas dari gadis manis ini.

Bagi Amanda dia hanya akan menyesuaikan cara pemakaiannya dengan keadaan sekelilingnya, namun untuk menjadi hipokrit tentunya itu bukan dia.

“Saya tidak pernah merasakan apa yang dipakai terlalu seksi, ini kerana ramai lagi diluar sana yang lebih daring daripada saya.

“Bagaimanapun saya tidaklah sebodoh yang disangka. Di dalam menentukan penampilan, saya akan tetap mengambil inisiatif untuk menyesuaikan setiap pakaian saya dengan majlis yang dihadiri,” katanya sebelum menutup perbualan pada petang itu.

Perkahwinan satu tanggungjawab - Ally


NADA suaranya cukup ceria tatkala Hits dapat berbicara dengan personaliti televisyen popular ini.

Sementelah, segala debaran yang bersarang dalam dada sewaktu menunggu detik bersejarah untuk diijabkabul bersama suri hidupnya, terlerai sudah.

Personaliti bernama penuh Ally Iskandar Mohd. Mardzi ini mengakui sudah lapang dada sebaik sahaja dia sah menjadi suami kepada Nurfarahin Romli, 23, atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, pagi Jumaat lalu bersamaan 20 Januari.

"Rasa seperti tidak percaya pula apabila sudah menjadi suami. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti mana yang kami rancang.

"Cuaca juga cukup baik bagaikan mengiringi perkahwinan kami. Ditambah pula dengan kehadiran sanak-saudara menambahkan lagi seri hari bersejarah kami," beritahu Ally.

Dengan dua kali lafaz, Ally dan Farah selamat dinikahkan oleh juru nikah Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu iaitu Mohd. Abu Bakar kira-kira pukul 10 pagi, di Masjid Kristal.

Dalam majlis yang diadakan dalam suasana sederhana itu, Farah telah menerima mas kahwin sebanyak RM250 dan tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada al-Quran, sebentuk cincin, baju kurung, telekung dan sejadah.

Sementara pengantin perempuan pula membalas dengan sembilan dulang termasuk telefon bimbit, baju Melayu, cincin, jubah dan manisan. Namun, kata Ally, kedua-dua belah keluarga sepakat untuk merahsiakan wang hantaran.

Mendirikan rumah tangga dalam usia 36 tahun, sememangnya sesuatu yang tidak pernah dijangka oleh pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) ini.

Kalau diikutkan perancangan sebelum ini, kata Ally, dia berhasrat menamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun sama dengan usia Rasullullah SAW.

Tetapi, sudah tertulis di loh mahfuz bahawa setiap perancangan yang dilakukan, akhirnya ditentukan oleh Yang Maha Esa.

"Benar, sebelum ini puas saya mencari jodoh dan berkenalan dengan wanita yang saya fikir akan menjadi suri hidup.

"Tetapi, saya percaya dengan Qada dan Qadar bahawa Allah SWT telah menetapkan pada usia saya 36 tahun adalah waktu terbaik untuk saya berkahwin.

"Mungkin sebelum ini saya merasakan sudah bersedia untuk menjadi seorang suami. Tetapi Dia lebih tahu akan perjalanan hamba-Nya.

"Dan, kerana itulah Allah SWT menetapkan hari ini (20 Januari) sebagai tarikh yang paling sesuai untuk saya menjalankan tanggungjawab baru dalam hidup," jelas anak kedua daripada tujuh beradik ini lagi.

Sekadar berkongsi cerita, Ally dan Farah bertemu selepas diperkenalkan oleh adik Ally dalam bulan Ramadan tahun lalu.

Walaupun ia berlaku dalam sekelip mata dan singkat, ternyata keterbukaan Farah untuk menerimanya sebagai suami menambahkan keyakinan Ally untuk menyuntingnya.

Lalu, pada hari ketiga Syawal, Ally telah menghantar rombongan ke rumah Farah untuk menyerahkan cincin sebagai tanda.

Apatah lagi, selepas ibu Ally, Nor Ainon Mohamed sendiri mengesyorkan Farah merupakan calon terbaik buat dirinya.

"Saya percaya dalam setiap apa yang kita lakukan terutama perkahwinan amat penting untuk mendapatkan restu daripada ibu bapa.

"Dalam masa yang sama saya mencari calon isteri, saya juga menyerahkan kepada keluarga untuk mengesyorkan pilihan yang mereka rasakan terbaik untuk diri ini.

"Kini, dengan adanya Farah sebagai isteri, ia adalah pelengkap kepada kehidupan saya sekarang," terang anak kelahiran Kuala Lumpur ini lagi.

Ally turut menambah sepanjang membujang, ibunya memang tidak pernah henti bertanyakan soal jodoh.

Katanya, sebagai anak lelaki pertama dalam keluarga, sudah pasti perhatian itu lebih diberikan kepadanya sehingga Ally sering dibebel oleh si ibu yang menanti waktu untuk melihatnya di pelaminan.

"Ditambah pula dengan kakak dan adik-adik saya yang lain juga ada yang sudah berkahwin. Jadi, atas alasan itu, saya memang menjadi mangsa bebel," ceritanya sambil ketawa kecil.

Jika pasangan lain mahu menimang cahaya mata secepat mungkin, tetap tidak bagi Ally yang lebih selesa mengamalkan perancangan keluarga.

Memang pada usianya kini, Ally sebenarnya sudah layak untuk bergelar bapa, tetapi Ally menjelaskan dia perlu menghormati situasi isterinya yang masih lagi menuntut dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Inha, Incheon, Korea Selatan.

"Saya mahu Farah menghabiskan pengajiannya terlebih dahulu yang hanya tinggal setahun. Kemudian, barulah kami memikirkan tentang keluarga.

"Dalam tempoh ini juga, saya akan berulang-alik ke Korea bergantung kepada kelapangan masa untuk bersama-sama Farah," kata Ally yang akan kembali mengacarakan Mentor musim keenam tidak lama lagi.

Memey sudah bersedia


WAJAHNYA nampak begitu polos tanpa secalit solekan tatkala kakinya melangkah masuk ke dalam studio Utusan Melayu yang letaknya di jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur itu.

Masih segar dalam ingatan bagaimana wajah polos ini ditebak dengan bermacam-macam kontroversi yang menduga dirinya sebagai seorang wanita muda ketika namanya sedang memuncak.

Namun itulah harga yang terpaksa dibayar oleh Memey Suhaiza Suhaimi, 24, apabila dia memilih jalan untuk menjadi seorang artis.

Cerita bagaimana dia dituduh menjadi orang ketiga dalam kehancuran rumah tangga Norman Hakim dan Abby Abadi empat tahun lalu merupakan dugaan terbesar dalam hidupnya.

Begitu pun, sejarah hitam itu sudah berlalu.

Kini hari-hari yang dilalui anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini dirasakan lebih bermakna selangkah dia berada di alam rumahtangga.

Genap empat bulan melayari alam rumahtangga, pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama berjudul Pasrah ini mengaku cuma bahagia yang dirasakan sejak berdamping menjadi isteri Norman.

Mungkin benarlah bagai dikata kerana dari air mukanya sahaja seakan sudah boleh dibaca.

Bercerita mengenai bahagia yang dinikmati, akui Memey tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan sebenarnya ketika ini.

“Melalui fasa menjadi isteri orang adalah idaman semua wanita. Selama ini, saya sering tengok kebahagiaan teman-teman yang sudah bersuami.

“Paling tidak pun contoh terbaik adalah ibu saya, bagaimana dia melayari bahtera perkahwinan dengan ayah saya.

“Sekarang giliran saya pula. Kalau nak tahu, sampai sekarang pun saya masih tak percaya yang saya ni sudah jadi isteri orang.

“Sampaikan untuk mengingatkan diri, saya memanggil abang Norman sebagai suami dan dia pula memanggil saya dengan panggilan isteri. Semuanya sebab nak membiasakan diri, ” katanya ketawa.

Tidak dikongkong

Ada orang, kehidupan selepas dengan sebelum berkahwin begitu berbeza.

Sebelum berkahwin, semua nampak indah, semua ya dan semua boleh.

Namun bila sudah berkahwin, lain pula hal yang jadi. Ada isteri yang merasakan dirinya dikongkong si suami dan tanggungjawab yang dipikul membataskan pergerakan untuk melakukan aktiviti yang disukai.

Pun begitu, awal-awal lagi Memey sudah melahirkan kesyukuran kerana setakat ini Norman tidak pernah mengongkongnya walau sudah bergelar isteri.

Baginya, sikap Norman tidak pernah berubah dan dia tetap merupakan lelaki budiman yang sempurna di mata dan hatinya.

“Dia tidak kongkong, cuma saya perlu tahu batasan diri. Kalau hendak ke mana-mana contohnya, saya akan memaklumkan kepada dia setiap masa. Dia mahu rasa lebih dekat dengan saya.

“Bagi saya, Norman memahami kehendak saya, begitu juga saya. Tidak semestinya bila dah jadi isteri orang, baru kita nak jaga perilaku dan budi bahasa.

“Dari dulu lagi ibu bapa saya sudah ajar, jadi apa yang saya lakukan adalah sebahagian daripada diri saya,” katanya.

Selain itu, kongsi Memey lagi, sebelum berkahwin, dia sedari awal sudah menyedari bahawa fokus kehidupannya kini perlu lebih terarah kepada keluarga dan suami berbanding kerjaya.

Maka kerana itu, kata Memey, dia kini meletakkan kerjaya sebagai perkara nombor dua penting dalam hidupnya.

“Bila dah kahwin, tentulah tak sama macam kita bujang-bujang dulu. Keutamaan mestilah pada suami dan keluarga.

“Sekarang saya dah tak boleh ambil banyak tawaran berlakon. Sebelum kahwin pun kami dah bincang pasal hal ini.

“Kalau boleh Norman memang nak saya berhenti berlakon. Tapi jiwa saya masih belum boleh tinggalkan bidang ini lagi. Mungkin belum masanya.

“Jadi, apa yang saya lakukan ialah sehabis upaya membahagikan masa dengan baik,” ujarnya.

Menyifatkan Norman kaya dengan sifat pelindung, kata Memey, dia juga mengaku berasa lebih selamat selepas mendirikan rumah tangga.

Malah, Norman juga tidak banyak kerenah dalam soal makan dan sebagainya.

Untungnya Norman, dia mempunyai isteri yang pandai memasak dan ligat di dapur.

“Dia memang suka makan makanan barat dan jarang makan nasi. Jadi saya akan masak apa yang dia mahu. Paling penting ialah sarapan dan makan malam.

“Waktu tengahari biasanya saya di lokasi penggambaran, jadi dia sudah faham dan saya tak perlu masak.

“Tapi, Norman memang lebih suka masakan di rumah berbanding di luar,” kata Memey sambil menyifatkan suaminya itu seorang yang ringkas, fleksibel namun mementingkan kesempurnaan.

Belum ada ‘isi’

Kebelakangan ini banyak juga spekulasi mengenai Memey yang didakwa sedang berbadan dua.

Sememangnya itu adalah harapan dan keinginan mana-mana wanita yang sudah berkeluarga.

Pun begitu, masa seakan belum tiba buat wanita yang pernah menyarungkan gaun mutiara Rafflesia yang bernilai RM500,000 rekaan Vera Wang pada majlis resepsinya September lalu.

Sama seperti wanita lain, kata Memey, dia juga punya hati untuk menimang cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan lelaki yang dicintai.

Namun dia terpaksa memendam hasrat itu kerana mahu menumpukan perhatian pada kariernya.

“Boleh dikatakan saya sebenarnya merancang untuk mendapatkan anak. Waktu sekarang rasanya tak sesuai lagi sebab saya sibuk berlakon.

“Jauh di sudut hati, memanglah saya pun mahukan anak, tapi nantilah dulu. Saya beri tempoh untuk diri sendiri sampai pertengahan tahun ini.

“Mungkin itu adalah masa yang sesuai untuk saya dan Norman menimang cahayamata. Bagaimanapun itu semua bergantung kepada rezeki. Kalau kami dapat anak cepat, saya akan terima, ” katanya.

Sudah ada nama anak

Nampak ceria wajahnya saat berbicara soal anak.

Maka dilayangkan pula pertanyaan kalau-kalau Norman juga kepingin untuk menambah anak selain tiga buah hatinya hasil perkahwinan pertama iaitu Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 3.

Dalam senyuman, Memey memuji sikap Norman yang amat terbuka dalam soal ini.

Malah, kebelakangan ini kata Memey, Norman kerap menyebut mengenai keinginannya untuk menimang anak lantas membuatkannya tersenyum.

“Norman sebelum ini faham yang saya kalau boleh belum mahu anak lagi. Namun, bila dia dah mula sebut pasal anak, ia seolah-olah merupakan satu isyarat buat saya.

“Dia juga sudah memasang hajat, kalau kami dikurniakan anak perempuan, dia mahu menamakannya dengan nama Marsha Delaila Hakim.

“Untuk nama anak lelaki masih belum ada lagi. Dia mahu kekalkan MDH sebagai pangkal nama anak kami nanti sebab nama anak-anak lain begitu,” katanya.

Memey rasa tersisih

Sengaja menginjak perbualan mengenai hubungannya dengan anak-anak Norman, kata Memey, hubungan erat yang tersemai antara dia dan ketiga-tiga permata hati Abby itu tidak pernah berubah.

Bagi Memey, menjadi ibu segera kepada Danish, Danisha dan Dania merupakan tanggungjawab besar yang bukan semua orang boleh pikul dengan hati yang ikhlas.

Namun, syukur kepada yang Maha Esa kerana Memey begitu sayangkan anak-anak kecil itu selayaknya seperti anak sendiri.

“Kami memang rapat, malah setiap hujung minggu sama ada saya atau Norman mesti akan bawa mereka pulang ke rumah kami di Wangsa Maju.

“Mereka pun seronok bila dapat bersama-sama kami. Pendek kata, memang riuh rumah kami bila ketiga-tiga mereka ada,” katanya.

Dalam pada itu, Memey juga melahirkan pandangan peribadinya mengenai sikap penyayang Norman terhadap anak-anaknya.

Puji Memey, Norman cukup pandai melayan kerenah anak-anak sampaikan terkadang pernah dia merasakan dirinya tersisih kerana suaminya itu lebih memanjakan anaknya.

“Bukanlah nak kata merajuk atau apa, tapi Norman memang sikapnya begitu. Dia sangat sayangkan anak-anak dan suka melayan kerenah mereka.

“Sampaikan kalau anak merajuk, dia akan pujuk seorang demi seorang sampailah si anak kembali ceria,” katanya.

Kerana itu jugalah kata Memey, dia cukup yakin bahawa suaminya itu mampu menjadi seorang bapa yang baik seandainya mereka dikurniakan cahayamata kelak.

“Jangan risau, kalau kami ada anak sendiri pun, kasih sayang saya tak akan berbelah-bahagi kepada ketiga-tiga mereka.

“Jangan kerana saya ni mak tiri maka orang boleh letakkan macam-macam dakwaan yang saya tak boleh sayangkan anak Norman semacam anak sendiri. Itu janji saya,” katanya.

FARAH jawab isu cerai, gambar intim


GAMBAR yang tersebar itu bukan punca kami bercerai. Tetapi saya tidak mahu bercakap mengenai itu. Apa yang ingin saya beritahu antara kami berdua memang tak ada persefahaman dan jalan yang terbaik adalah berpisah,” tegas Farah Ashikin, bekas isteri Hattan dalam satu pertemuan dengan Pancaindera di butik Amir Luqman di Plaza Damas, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Farah dan penyanyi Hattan telah bercerai talak satu pada 12 Januari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Rumahtangga yang dibina oleh pasangan ini pada 11 November tahun lalu cuma bertahan dua bulan selepas pelbagai spekulasi tersebar mengenai perceraian mereka seminggu setelah mereka bernikah.

Bagaimanapun Hattan yang ketika itu masih suami Farah Ashikin menafikan sekeras-kerasnya mengenai berita itu sambil menyifatkan ia sekadar gosip kerana mereka berdua adalah pasangan bahagia.

Sayangnya, rumah tangga yang dibina atas dasar cinta yang diharapkan akan berkekalan sehingga hujung nyawa, akhirnya musnah di pertengahan jalan apabila mereka disahkan bercerai pada minggu kedua 2012.

Sebagai pasangan bahagia, sama ada Farah ataupun Hattan, sememangnya tidak mahu rumah tangga yang dibina atas dasar cinta itu runtuh.

Tetapi sebagai manusia kita hanya bisa merancang namun takdir yang menentukan segala-galanya.

Sayangnya, apa yang kurang enak didengar, selepas perceraian itu pelbagai cerita yang tersebar sehingga mengguris hati dan maruah apabila gambar intim Farah dengan seorang lelaki tersebar dalam pelbagai blog dan portal hiburan tempatan.

Ketika ditanya kesahihan perkara berkenaan, Farah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan gambar tersebut menjadi punca kepada penceraian mereka.

“Memang benar itu gambar saya. Tapi bukan sebab gambar tu saya bercerai dengan Hattan. Saya tahu ramai yang percaya dan sudah tiba masanya untuk saya menjelaskan perkara yang sebenar.

“Itu gambar peribadi saya yang diambil lebih kurang lima tahun lalu. Kenapa setelah saya kahwin ada orang nak sebarkan gambar tu?

“Saya ada maruah dan keluarga. Bila tersebar gambar berkenaan memang saya malu dan reputasi saya jatuh. Orang tak tahu apa yang terjadi. Orang dengar dan orang percaya bulat-bulat.

“Lagi satu saya bukan artis! Saya hanya orang biasa dan tak sepatutnya mereka siarkan gambar berkenaan. Itu cukup mengaibkan saya,” kata Farah, ibu tunggal kepada dua orang anak.

Menurut Farah, walaupun dia redha dengan apa yang berlaku namun dia tetap sedih dengan perceraian itu.

“Saya sangat sedih dengan perceraian kami tetapi saya optimis dengan perjalanan hidup. Saya nak orang tahu yang saya tak menyesal berkahwin dengan Hattan.

“Biarpun banyak dugaan yang datang saya yakin ada hikmah di sebaliknya. Cuma saya kesal bila ada yang menjaja cerita kami bercerai talak tiga di awal perkahwinan dulu.

“Itu memang satu berita yang tak benar dan sangat mengaibkan.

“Tetapi sama ada suka atau tidak saya kena terima penceraian ini. Kini saya hanya mahu memberi tumpuan kepada bisnes saya,” kata Farah.

Mangsa godam

MENGULAS lanjut mengenai penyebaran gambar berkenaan, jelas Farah semuanya berpunca daripada penggodam yang telah membuat onar terhadap e-mel peribadi dan blog peribadinya.

Perkara ini bukan baru berlaku sebaliknya semenjak pertengahan tahun 2010, dia menjadi mangsa digodam yang akhirnya mengaibkan dirinya.

“Saya pernah buat laporan polis pada September 2010. Berita mengenai laporan polis itu pernah tersiar di sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

“Saya tak tahu siapa punya kerja. Tapi mereka godam e-mel saya, tambah kandungan termasuk dalam blog dan hantar pada semua kenalan untuk mengaibkan saya,” kata Farah yang merupakan pemilik Into Equity Sdn. Bhd. ini lagi.

Melalui syarikatnya itu, Farah merupakan ahli perniagaan hartanah dan pendidikan kanak-kanak yang beroperasi di London, Itali dan Hong Kong.

Selain terbabit dengan bisnes luar negara, dia juga merupakan pembekal barangan hotel terkemuka di Kota Kinabalu dan membekal peralatan kepada Kementerian Kesihatan.

Bisnes yang telah diusahakan sejak beberapa tahun lalu cukup membuatkan dirinya terkenal dalam bidang perniagaan dan sudah pasti dia terkesan dengan kemelut tak berkesudahan yang akan menjejaskan perniagaannya.

“Saya orang bisnes dan saya tahu dengan penyebaran gambar itu akan menjejaskan reputasi saya. Kalau dengan pelanggan luar negara tak ada masalah tetapi bagaimana dengan pelanggan dalam negara?

“Mahu atau tidak saya kena membersihkan maruah saya yang tercalar.

“Lepas ni saya akan ke Hong Kong untuk urusan perniagaan. Bila balik nanti saya mahu membersihkan nama saya. Saya sudah berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan terhadap beberapa blog hiburan yang menyiarkan gambar saya,” kata Farah.

Wilma mahu tunai haji


BAGI mereka yang pernah mengikuti perkembangan aktres yang seorang ini, pastinya ramai yang sedar akan penampilannya sewaktu zaman kegemilangannya sekitar lewat tahun 90-an.

Berbekalkan wajah yang cukup manis dipandang selain bakat lakonan tersendiri, Wilma Muhammad sememangnya dikenali sebagai salah seorang artis wanita yang terkenal dengan imej seksi.

Namun itu semua cerita lama yang kini sudah menjadi lipatan sejarah buat Wilma. Sebaik sahaja mendirikan rumah tangga pada 18 November 2000, Wilma mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia seni tatkala namanya di puncak populariti.

Bukan itu sahaja, Wilma telah mengejutkan peminat dunia hiburan apabila mengubah imejnya dengan bertudung yang menyerlahkan lagi keanggunan Wilma sebagai seorang muslimah.

Kata Wilma, keputusan yang dilakukannya ketika itu merupakan naluri yang hadir dengan sendirinya tanpa adanya paksaan daripada mana-mana pihak waima arwah suaminya, Allahyarham Mahir Effendi Mahmud.

“Saya lakukannya dengan ikhlas. Jauh sekali untuk menjadikan imej bertudung sebagai fesyen. Semuanya lahir daripada hati ikhlas saya.

“Bagi saya, kalau hendak bertudung, ia perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan. Benar, arwah suami saya tidak pernah memaksa saya atau mengenakan syarat untuk saya bertudung ketika di awal perkahwinan kami.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kehidupan saya hari ini di samping lima orang anak saya walaupun arwah suami saya sudah tiada lagi,” cerita Wilma tenang ketika dihubungi S3, baru-baru ini.

Tanggal 27 Januari ini, anak kelahiran Sabah yang mula dikenali menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah di samping Jamal Abdillah pada tahun 1997 ini genap setahun bergelar balu.

Hasil perkongsian hidupnya dengan suami tercinta telah dikurniakan dengan lima orang anak iaitu Raida Thaqifa, 9, Athira Inara, 7, Mahira Aqila, 5, Muhammad Yusof, 3, dan Umar Al Faruk, 2.

Menyambung bicara, di awal pemergian suaminya, Wilma mengakui dia begitu sedih dan tidak mampu untuk mengharungi kehidupan seorang diri.

Namun, berbekalkan semangat daripada keluarga tercinta, perlahan-lahan Wilma bangkit dan mengumpul kekuatan untuk meneruskan hidupnya bersama anak-anak.

“Saya banyak mendekatkan diri saya dengan membaca al-Quran dan buku-buku berkaitan dengan agama. Sebenarnya, selepas berkahwin lagi, saya sudah mengubah cara hidup saya.

“Maklumlah, dulu sewaktu menjadi artis, jadual kita tidak menentu dan sudah pasti amalan kita juga terganggu termasuk solat.

“Jadi, apabila menjadi suri rumah sepenuh masa, saya banyak belajar tentang agama dan belajar mengaji serta berusrah dengan seorang ustazah yang sering datang ke rumah kami.

“Tradisi itu diteruskan sehingga ke hari ini dengan anak-anak saya pula sekurang-kurangnya dalam tiga hari seminggu. Semuanya bergantung kepada kelapangan ustazah tersebut memandangkan kesihatannya juga tidak mengizinkan,” jelas Wilma yang juga pernah membintangi filem Pasrah arahan Datuk Yusof Haslam pada tahun 2000.

Terbayang suami

Dalam rancak berbicara, wanita berusia 38 tahun ini sempat meluahkan hasrat untuk menunaikan haji bersama ibu dan adiknya tahun ini.

Keinginannya terus meluap-luap untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas menunaikan umrah untuk pertama kalinya pada penghujung Ramadan lalu.

Ketika itu, Wilma ke sana bersama rakan-rakannya dan sebaik sahaja melihat Kaabah di depan mata, dia terkesima sehinggakan dia seperti tidak percaya melihat kebesaran Allah SWT di depan mata.

“Hanya Dia sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu sehingga saya sendiri tidak mampu untuk menggambarkan dengan kata-kata.

“Selama lebih seminggu di sana, saya begitu tenang dan gembira sekali. Selain fokus kepada ibadat, saya berkesempatan juga untuk menziarah tempat-tempat menarik.

“Sepanjang di sana juga, dengan kuasa Allah SWT, saya terbayang-bayangkan arwah suami saya dan seperti ternampak kelibat dan terbau bau badannya selama dua kali.

“Ketika itu, rindu saya padanya memang tidak dapat dibendung lagi. Sebaik sahaja ia berlaku, saya sedekah al-Fatihah untuk arwah,” kata penyandang gelaran Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-13 (1997) menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah itu lagi.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails