Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Gelora rumah tangga - Salleh Yaakob


SETELAH berkahwin buat kali keempat dengan gadis pilihannya, Samihah Sheik Amy, 26, pada 30 Mei lalu, deejay popular Sinar FM, Salih Yaccob, 50, mengimpikan kebahagiaan hidup yang abadi bersama isteri-isterinya.

Namun siapa sangka, setelah rumah tangga keempat dibina, badai melanda hidupnya hingga menggugat kebahagiaan yang terbina sekian lama.

Semuanya gara-gara individu tertentu yang cemburu melihat kebahagiaan rumah tangga yang berjaya dilayari dengan aman damai selama ini.

“Bukan mahu mendabik dada tetapi sebagai seorang lelaki yang mengamalkan poligami, saya tidak berbohong kepada isteri-isteri saya apabila mahu berkahwin buat kali keempat.

“Saya bersyukur dikurniakan isteri yang memahami. Tapi...sayangnya ketika saya baru melayari bahtera keempat, rumah tangga saya dengan isteri kedua hampir musnah!

“Sebenarnya setiap perkahwinan baru memang ada dugaannya. Namun perkahwinan keempat dugaannya amat besar kerana saya hampir bercerai dengan Raha disebabkan hasutan seseorang yang di luar daripada hidup kami,” dedah Salih dalam satu pertemuan di kediaman isteri keduanya, Norraha Hamad,44, di Desa Pandan, Khamis lalu.

Bagi Salih, dia tidak pernah terfikir kebahagiaannya tergugat gara-gara individu yang datang dalam kehidupan mereka rupa-rupanya mempunyai niat jahat.

“Sebagai suami kepada empat orang isteri dan ayah kepada 11 orang anak, hidup saya hanya untuk membahagiakan mereka.

“Saya tidak pernah mengharapkan bantuan orang lain kerana urusan kerjaya dan seni saya diuruskan oleh isteri kedua dan keempat.

“Sayangnya, kemunculan individu berkenaan yang datang bagaikan sahabat sehingga bermalam di rumah isteri-isteri saya sanggup menabur fitnah dan menghasut mereka.

“Jika sekali dua mungkin ia tidak berjaya, tetapi hati seorang wanita memang rapuh. Walaupun pada mulanya ia keras tetapi akhirnya, Raha kalah dan kami hampir bercerai,” cerita Salih sambil memandang Raha yang berada di sisinya dengan penuh kasih.

Pelbagai usaha dilakukan Salih dan hampir luluh hatinya apabila mendekati Raha yang bagaikan tidak pernah dikenali walaupun hampir 20 tahun hidup bersama.

“Sedih hati saya kerana jiwa Raha kosong. Dalam hatinya tidak ada setitik pun kasih sayang terhadap saya kerana yang ada hanyalah kebencian yang membara.

“Ketika itu, saya hampir putus asa namun saya berbalik kepada takdir Tuhan dan sebagai suami yang masih sayangkannya saya tidak mahu mengaku kalah dan sentiasa berdoa.

“Alhamdulillah, akhirnya Raha tersedar dan kasih sayang kami bertaut semula, Kini saya sedang berusaha membeli empat unit kondo untuk keempat-empat isteri saya.

“Kondo dua tingkat itu terletak di kawasan eksklusif dan mereka akan duduk bersebelahan,” cerita Salih sambil mendedahkan itulah sebab mengapa dia menolak apabila penulis mahu mengambil gambarnya bersama isteri- isterinya di awal perkahwinan keempatnya.

Raha yang sejak awal mendiamkan diri sepanjang perbualan kami itu, tiba-tiba berkata;

“Kesian Abang, banyak dugaan yang dihadapinya. Raha sendiri tak tahu kenapa Raha boleh termakan hasutan individu berkenaan. Pada waktu itu, Raha benci sangat tengok Abang yang didakwa individu itu tidak adil pada Raha.

“Setelah kejadian itu, Raha jadi takut bukan sahaja untuk bercakap dengan kawan-kawan, malah dengan madu-madu pun Raha takut.

“Sedangkan sebelum ini kami seperti adik beradik. Tidak ada perasaan cemburu atau dengki kerana kami redha dengan takdir.”

Kini kata Raha, dia bersyukur kerana dapat hidup damai dan bahagia bersama madu-madunya iaitu Norlizah Mamat,48, (isteri pertama), Norfara Wahida Sulaiman,34, (isteri kedua) dan Samihah.

Tauke kopi

BERKAHWIN empat bukanlah setakat nafsu semata-mata sebaliknya tanggungjawab sebagai suami dan ayah tidak pernah diabaikan oleh Salih Yaccob.

Menyedari betapa perlunya dia memberikan kemewahan kepada setiap isteri dan anak-anaknya, Salih sejak tiga bulan lalu mengorak langkah dalam bidang perniagaan.

Jika sebelum ini dia pernah dilantik sebagai duta sebuah produk kesihatan, kini bermodal RM200,000 bersama rakan kongsi, Salih membuka sebuah kilang memproses kopi di Johor.

Kopi kesihatan yang dikenali SY Cafe kini dikendalikan oleh anaknya, Irfan Azwan.

“Syukur alhamdulillah walaupun baru beroperasi dua bulan, jualan di Johor sahaja sudah mencecah RM30,000 sebulan.

“Saya yakin jualan ini akan mencapai lebih daripada itu apabila kami memulakan pemasarannya di seluruh Malaysia,” kata Salih.

Selain SY Cafe, Salih juga menjadi duta SY Food dengan diberi saham 30 peratus oleh syarikat yang terletak di Pulau Pinang.

SY Food mengeluarkan lapan produk makanan antaranya kicap, sos dan rempah kari.

Mek disingkir dari

SY Show?

SAMA ada diterima atau tidak, rancangan talk shaw Salih yang dikenali SY Show memang mendapat sambutan ramai.

Kejayaan program itu bukan sahaja disebabkan populariti Salih Yaccob malah kehadiran Nik Sayaidih Fatihah yang lebih dikenali sebagai Mek turut membantu melonjakkan populariti program berkenaan.

Khabarnya, program musim kedua yang akan memulakan penggambaran pada Mac ini akan muncul tanpa Mek.

Program yang dulunya bersiaran di Astro Warna selama sejam sebanyak 12 episod dijangka akan muncul hanya 30 minit sahaja.

Salih yang ditanya tentang `ketiadaan’ regunya dalam program yang diminati itu hanya mampu berkata;

“Saya sendiri tidak tahu mengapa Mek digugurkan kerana semuanya diatas budi bicara penerbit. Bagaimanapun saya tidak nafikan kehadiran Mek dalam program itu memang dinanti-nantikan.”

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails