Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Yana Shamsudin tunggu keputusan


NAMANYA mungkin baru dalam dunia lakonan. Namun tiada siapa yang dapat menyangkal aura yang dibawa gadis ini.

Sementelah namanya juga kian melonjak sebaris dengan pelakon wanita popular lain tanah air.

Memiliki wajah comel dan ilmu lakonan yang mantap, Yana Shamsudin kini bukan calang-calang pelakon apabila sering menjadi dambaan peminat filem Melayu.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini keupayaan pelakon muda itu mula menimbulkan kesangsian apabila bakat lakonannya dikatakan kurang menyerlah.

Isu itu timbul apabila watak dalam filem atau drama lakonannya dikatakan tidak menonjolkan bakat sebenarnya.

Bagi Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 28, dia langsung tidak terkilan dengan tanggapan itu yang baginya hanya pendapat sesetengah pihak.

Menurut Yana, biarpun pengalamannya dalam industri itu sudah menjangkau sembilan tahun, namun dunia lakonannya hanya bermula sejak tiga tahun lalu.

“Umur pengalaman saya di dalam dunia lakonan baru sahaja mencecah tiga tahun. Manakala lagi lima tahun itu saya banyak bekerja di sebalik tabir.

“Untuk itu rasanya masih terlalu jauh untuk saya mengatakan saya sudah puas dengan tahap lakonan saya.

“Sebenarnya 2012, merupakan tahun penting buat saya kerana kebanyakan filem-filem lakonan saya akan muncul pada tahun ini.

“Malah mungkin ia juga bakal menjadi penentu kepada kerjaya lakonan saya,” katanya ketika di temui di majlis pratonton Adnan Sempit 2 di Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.

Mula dikenali sebagai pengarah sebelum bergelar pelakon, Yana mengakui ada kalanya dia berasa sangat rindu untuk kembali mengarah.

Namun kekangan jadual sebagai pelakon memaksanya lebih menumpukan kepada lakonan sahaja.

“Saya memang suka bekerja di belakang tabir. Malah saya sudah melakukannya sejak dari belajar lagi.

“Bagaimanapun saya jenis yang suka kesempurnaan. Oleh itu amat sukar untuk saya menumpukan banyak perkara dalam satu-satu masa. Buat masa ini saya hanya mahu menumpukan perhatian dalam bidang lakonan sahaja,” ujarnya.

Malah Yana juga menegaskan, dia mahu melihat sejauh mana bidang lakonan akan membawa namanya sebelum membuat keputusan sama ada menumpukan perhatian kepada dunia lakonan semata-mata

atau kembali dalam dunia pengarahan.

“Saya masih lagi berada dalam program Skim Pengarah Muda. Setakat ini saya baru mengarah sebuah filem iaitu Selamat Pagi Cinta.

“Saya masih berhutang sembilan filem lagi dan mungkin pada bila-bila masa sahaja saya akan kembali mengarah.

“Bagaimanapun buat masa ini saya mahu memantapkan dahulu lakonan saya.

“Tetapi jika suatu hari nanti dunia lakonan lebih cerah dari dunia pengarahan, mungkin saya akan membuat keputusan untuk hanya meneruskan karier sebagai pelakon sahaja,” jelasnya.

Ditanya antara watak idaman yang mahu dicubanya, menurut Yana, setelah tiga tahun meneroka diri sebagai pelakon, dia bertuah kerana banyak diberi peluang untuk mencuba pelbagai watak.

“Rasanya sudah pelbagai watak yang berbeza saya bawakan dalam setiap filem yang saya terlibat.

“Namun mungkin suatu hari nanti saya mahu melakonkan watak superhero dengan kostum tersendiri,” katanya.

Jehan Miskin rahsiakan hubungan cinta


BUKAN niatnya untuk berahsia, namun jejaka bertubuh sasa ini lebih selesa tidak menggembar-gemburkan kisah percintaannya.

Menurut empunya diri, ini kerana episod cinta lalu banyak mengajarnya untuk lebih menghargai hubungan istimewanya kini dengan cara yang lebih berbeza.

Walaupun tidak banyak yang mahu diceritakan Jehan Miskin kepada Hits pada pertemuan di Skybar, Traders Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, aktor itu tidak lokek berkongsi kenapa dia lebih senang merahsiakan hubungannya kali ini.

Tidak mengelak untuk berbicara soal hati malah berterus terang mengakui sudah mempunyai pilihan, namun tegas Jehan, dia dan pasangannya lebih selesa untuk menjalinkan hubungan tanpa sebarang publisiti.

Malah pelakon kacak itu turut menyifatkan hubungan tanpa pengetahuan umum lebih mudah dan selesa untuk diri dan pasangannya.

"Saya akui dahulu saya agak terbuka untuk bercerita tentang kisah cinta saya lebih-lebih lagi kerana bekas kekasih saya dahulu juga seorang artis.

"Oleh itu adalah tidak mungkin untuk kami berdua merahsiakan hubungan tersebut.

"Namun kekasih saya kini bukan lagi seseorang yang terlibat dalam industri dan bagi menghormati hubungan ini kami berdua juga mengambil keputusan untuk tidak menceritakan hubungan ini secara terbuka kepada umum.

"Secara jujurnya ia lebih mudah untuk menguruskan hubungan ini," jelasnya.

Ditanya sama ada dia tidak berasa bersalah kerana merahsiakan hubungan cintanya daripada pengetahuan para peminatnya, Jehan atau nama sebenarnya Mohd. Jehan Miskin, 32, percaya peminat hari ini lebih terbuka dan memahami keputusannya itu.

"Tiada apa yang mahu diceritakan kepada mereka kerana saya hanya menjalinkan hubungan sahaja dan saya percaya peminat saya faham.

"Tetapi saya berjanji jika ada berita baik daripada kami berdua, tentunya kami tidak akan membelakangi peminat serta pihak media," katanya sambil tersenyum.

Siapa yang tak jujur? - Zarina Anjoulie


APA sebenarnya status hubungan antara Zarina Anjoulie dengan Alif Aziz? Banyak sangat Syed dengar cerita yang kurang enak pasal mereka sampaikan satu tahap dah tak tahu cerita apa pula yang berlaku.

Betul ke mereka tu berhubungan? Sebab banyak sangat cerita yang bertebaran mengatakan Zarina yang syok sendiri. Betul ke macam tu?

Bila Syed hubungi Zarina pagi Rabu lalu, dia memang dah jangka cerita tu akan keluar. Sambil menafikan berita tersebut, Zarina cukup kecewa dengan apa yang telah berlaku.

“Siapa yang tak jujur? Dalam isu ini memang teruk saya kena hentam. Orang media pun banyak sangat tanya saya pasal hal ini sampai saya naik lemas.

“Saya tak mahu dedah apa hubungan saya dengan dia. Cuma saya tak mahu keruhkan lagi keadaan yang dah memang kusut ni. Cukup-cukuplah nak hentam saya.

“Cuma kalau orang nak kata saya yang syok sendiri atau tergila-gilakan dia tu memang tak benar. Dia yang datang pada saya dan cakap tak ada teman wanita.

“Kalau dia jujur kenapa dia cakap masih single? Itu belum lagi kisah dia yang saya tak ingin dedahkan. Gambar yang dia peluk saya tu apa pula? Adakah saya jer syok dekat dia sorang-sorang?

“Kalau ada yang perasan gelang tangan dan rantai yang dia selalu pakai dah tak ada. Sebab saya simpan. Habis nak saya dedah semua sekali? Saya pun tak mahu buka aib orang sampai terlondeh semua,” kata Zarina.

Bersabarlah. Itu sahaja yang Syed mampu katakan. Tak ada masalah yang tak dapat diselesaikan. Jangan sampai ‘terlondeh’ kain sendiri sudahlah.

Lisa, kenapa media dilayan begini?


JOYAH kasihan tengok kawan-kawan seperjuangan Joyah yang beriya-iya nak buat liputan perkahwinan Lisa dan Yusry petang Khamis lalu. Nampak kecewa, tak puas hati sebab ‘undang-undang’ pihak penganjur kepada semua petugas media.

Ada empat syarat yang dikenakan tapi syarat pertama iaitu pelepasan mengambil gambar atau visual dari tempat yang disediakan memang menyusahkan semua media!

Mana tidaknya, Joyah diberitahu bahawa tempat yang dimaksudkan penganjur cukup jauh dengan upacara pernikahan. Macam mana nak rakam gambar dan dapatkan sudut menarik, paling bersejarah untuk diabadikan kalau sekadar mampu merakam belakang kepala pengantin.

Ambil gambar menikah Yusry, tapi tak nampak muka Yusry, hanya nampak songkok saja. Aduhai... apa benda ni?

Joyah bukan nak berleter, tapi berfikir panjanglah sebelum menjemput media kalau nak tempatkan media di tempat macam itu. Kita kan sama-sama nak kongsi momen bahagia pengantin, tapi janganlah buat sekatan sampai begitu sekali? Buat liputan majlis menteri pun tak macam itu.

Joyah tahulah yang majlis pernikahan itu hak milik penerbitan sepenuhnya pihak Astro. Dengar kata, Lisa bagi kebenaran itu pada Astro sebab salah seorang saudaranya orang ‘top’ Astro. Tak apalah Lisa, kalau macam ini layanan awak kat kami.

Tapi, apa yang Joyah coretkan ini bukan fitnah tau. Joyah cuma nak penjelasan, kenapa boleh jadi macam ini. Harap Lisa atau suami tercinta, Yusry dapat terangkan kepada kami semua. Supaya tiada lagi hati yang terluka selepas ini.

‘Cukuplah fitnah saya’ - Ramona


ATMOSFERA hiburan tanah air sekali lagi hangat dengan kisah peribadi pelakon baru yang selesa dikenali dengan nama Ramona Zamzam ini.

Satu ketika, dia pernah dituduh suka bersosial selain mengamalkan cinta songsang termasuk suka bertukar-tuar teman lelaki.

Reda kontroversi itu, kali ini wanita dengan nama sebenar Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 22, ini tercalit pula dengan gosip liar yang mendakwa dia mempunyai hubungan istimewa dengan seorang lelaki berstatus Datuk.

Khabar angin mengenai hal ini sudah pun tersebar meluas termasuk disiarkan dalam akhbar ini.

Lumrah kehidupan artis, apa sahaja yang dilakukan sudah tentulah menjadi perhatian dan sentiasa sahaja ada yang mahu mengambil tahu.

Maka, kerana itu jangan terkejut sebenarnya sudah ramai mata-mata nakal yang cuba meneka-neka nama lelaki yang dimaksudkan.

Mengikut dakwaan, lelaki yang dikenali dengan nama Datuk S itu merupakan seorang individu yang berpengaruh dalam bidang kosmetik dan kecantikan.

Spekulasi kian memburuk apabila Ramona juga dituduh kononnya sering kelihatan berulang-alik ke rumah Datuk S tanpa sebab yang diketahui.

Tidak cukup dengan itu, pelakon drama bersiri Nilapura ini juga dituduh telah pergi bercuti dan menghabiskan masa bersama Datuk berkenaan di sebuah resort di Pulau Pinang baru-baru ini.

Persoalannya sekarang, semurah itukah diri Ramona?

Ketika pertanyaan diaju, riak wajahnya seakan tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa yang terbeban di hati lantaran dirinya difitnah sebegitu rupa.

“Saya ingatkan dah habislah orang nak mengata tentang diri saya. Rupanya ada lagi,” ringkas tutur anak sulung daripada dua beradik ini usai sesi penggambaran dijalankan.

Pancaindera juga mahu gosip ini diuraikan dengan penjelasan yang telus terutama dalam membongkar siapakah sebenarnya Datuk S yang dikaitkan dengan Ramona.

“Terus-terang saya sendiri tidak tahu siapa Datuk S yang dikatakan itu. Sumpah! Saya tidak kenal dan tidak tahu.

“Saya pun terkejut macam mana boleh timbul isu saya keluar dengan Datuk S dan sebagainya. Padahal saya ni tak ada hubungan istimewa dengan sesiapa pun.

“Tak kiralah dengan lelaki bujangkah, yang dah kahwinkah, ada gelaran Datuk atau Tan Sri sekali pun, memang tak ada. Apa yang dihebohkan itu adalah satu tuduhan palsu!” katanya tegas.

Penafian berulang-ulang kali dibuat. Namun satu perkara yang benar mengenai gosip yang ditimbulkan adalah mengenai percutiannya di Pulau Pinang tempoh hari.

Dalam tenang, Ramona menjelaskan bahawa kunjungannya tempoh hari ke Pulau Pinang sememangnya atas tujuan bercuti.

Namun kebenarannya adalah, kunjungannya ke situ bukanlah bersama Datuk S sebagaimana yang didakwa.

“Sebetulnya, saya ke sana atas ajakan seorang Datin. Biarlah saya rahsiakan siapa Datin tersebut.

“Tetapi dia bukan ajak saya seorang, kerana tiga finalis satu pertandingan gadis jelita sebuah majalah juga turut serta.

“Paling utama, ibu dan adik turut menemani saya. Jadi tak ada istilah saya ke sana bersama lelaki atau Datuk S seperti yang didakwa tu. Main jet ski? Oh itu sudah lebih, ” katanya.

Kongsi pelakon yang berasal dari Ipoh, Perak ini lagi, dia menerima pelawaan percutian itu semasa menghadiri sebuah majlis pelancaran produk kecantikan awal tahun ini.

“Tak akan orang ajak kita nak tolak pula? Lagipun Datin tu sangat baik orangnya. Pelawaan itu bukan datang daripada orang yang saya tak kenal.

“Tak sangka pula ada orang sengaja nak reka cerita ni sampai jadi isu. Lagi satu, saya tak duduk resort. Percutian itu adalah di sebuah kapal mewah. Jadi jangan main tuduh-tuduh,” katanya.

Diva sangatkah?

Selain isu Datuk S, Ramona juga turut dihimpit dengan isu dimana dia didakwa berlagak diva.

Isunya bukan sekadar itu. Ramona juga dikatakan meminta bayaran untuk sesi fotografi sebuah majalah selain tidak mengaku dia lahir daripada sebuah majalah kanak-kanak satu ketika dahulu.

Pantas menepis segala tohmahan itu, kata Ramona, dia tidak pernah dididik untuk bersikap sombong dengan orang apatah lagi untuk berbohong sedemikian rupa.

“Tak pernah sekali pun saya minta duit untuk fotografi dengan media dan tak pernah sekali pun saya berbohong menafikan tentang asal saya.

“Jujurnya saya sedih bila orang cakap saya begitu. Padahal saya kenal siapa diri saya. Mereka yang kenal saya akan tahu saya macam mana orangnya.

“Apa hasilnya kalau saya berlagak diva? Kalau sekali pun tak ada benda nak gosip, janganlah sampai menuduh saya begitu.

“Walhal saya tahu, kalau saya bersikap diva, jawabnya tak lamalah saya dalam industri,” katanya.

Mahu jaga peribadi

Meskipun sudah tampil memberi penjelasan, wanita ini tahu, dirinya tidak mungkin akan terlepas dengan sebarang kontroversi lain yang mungkin akan mendatang selepas ini.

Maka, kerana itu dia mengaku sudah bersiap sedia dari segi mental untuk menepis apa sahaja dugaan selepas ini.

Kata Ramona, dia tidak takut untuk berdepan dengan kontroversi yang datang selagi dia berada di pihak yang benar.

“Macam saya katakan tadi, saya tahu siapa saya. Malah keluarga terutama ibu selalu mengikut saya ke mana sahaja.

“Jangan ingat saya artis, maka orang boleh tabur fitnah macam-macam pada saya

“Selagi boleh, saya juga berjanji dalam apa pun yang dilakukan, saya akan jaga peribadi dan mengelak daripada hal yang boleh menconteng arang ke muka ibu bapa saya.

“Biarlah orang nak kata dan tuduh saya macam-macam sebab di akhirnya, saya tahu keluarga sentiasa berada di belakang saya,” ujarnya.

Riadah cara Salih Yaacob


JIKA difikirkan, bukan mudah bagi lelaki ini untuk membahagikan masa bersama isteri-isterinya apatah lagi dengan anak-anak. Namun bagi salah seorang tunggak utama segmen Sinar Pagi di Sinar FM bersama Kak Engku dan Khairil Rashid ini, keluarga adalah keutamaannya.

Tidak mahu menjadikan ‘tidak cukup masa’ sebagai alasan, Salih tetap memastikan mempunyai kelapangan untuk bersama-sama anak-anak mahupun empat isteri.

Baru-baru ini, S3 berpeluang mengikuti Salih Yaacob bersama dua orang isteri dan lima orang anaknya beriadah di Tasik Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut penghibur yang sudah menceburi bidang seni seawal tahun 80-an ini, meluangkan masa bersama keluarga adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi dirinya.

“Tidak dinafikan, kadang-kadang saya memang sibuk tetapi kalau ada masa terluang, memang saya akan ajak anak-anak dan isteri untuk keluar bersama.

“Bukan apa, walau sesibuk mana pun kita bekerja, dalam masa yang sama juga kita harus memberi perhatian dan tumpuan kepada keluarga.

“Lebih-lebih lagi keluarga saya pun memang jenis yang suka keluar berjalan-jalan, jadi memang meriahlah kalau keluar ramai-ramai,” katanya lagi.

Selain itu, Salih juga mengakui aktiviti riadah bersama keluarga yang selalu dilakukannya itu dapat membantu untuk mengurangkan tekanan.

Meskipun sekadar berjalan-jalan untuk mengambil angin, ia dapat melegakan perasaan, terutamanya selepas aktiviti seni yang padat.

“Apabila bersama keluarga, hilang jugalah segala masalah yang ada di kepala.

“Malah dalam masa yang sama, ia sebenarnya turut memberi peluang kepada anak-anak saya untuk lebih mengenali antara satu sama lain kerana mereka berlainan ibu.

“Aktiviti riadah sebegini turut dapat merapatkan hubungan mereka adik beradik.

“Contohnya hari ini, saya bawa empat orang anak saya dengan isteri kedua iaitu Effa Madiha, 19, Effa Nageeha, 15, Effa Fateha, 9 tahun dan Mohd Ehsan, 11 tahun.

“Sementara Farah Aqeesya, 3 tahun adalah anak bersama isteri saya yang ketiga. Jadi memang perkara sebegini dapat membuatkan mereka lebih bersatu,” ujar bapa kepada 11 orang anak ini lagi.

Selain bersiar-siar di lokasi berdekatan kediaman, Salih juga meletakkan hasrat untuk membawa keluarga besarnya melancong ke luar negara apabila berkesempatan.

Jika tahun lalu, dia telah membawa seluruh isi keluarganya melancong ke China, tahun ini dia merancang untuk mengadakan rombongan ke Singapura pula.

“Percutian di luar negara juga adalah salah satu cara saya meraikan ahli keluarga yang sangat memahami kesibukan saya selama ini.

“Walaupun hanya sesekali apabila ada peluang, kesempatan itu menjadi sangat bermakna kerana seluruh keluarga akan turut serta dan di sinilah peluang untuk lebih mesra dan berkasih sayang antara isteri-isteri dan anak-anak yang lain,” katanya sambil tersenyum lebar.

Penyampai perlu menonjol

Setelah lima tahun berada bersama stesen radio nombor satu Malaysia, Sinar FM, tidak dinafikan Salih sememangnya mempunyai rangkaian peminat sendiri.

Merungkai sedikit persoalan mengenai bagaimana untuk menjadi penyampai radio yang dihormati, Salih mengakui perkara tersebut datang daripada kedudukan dan juga reputasi penyampai itu sendiri.

“Penyampai tidak boleh stereotype dan selalu memikirkan apa yang terbaru mahu diberikan kepada pendengar. Apa yang lebih penting adalah kebolehan penyampai radio itu dalam menghidupkan suasana.

“Penyampai yang berjaya ialah yang boleh memberi kesan kepada pendengar dan dapat menghiburkan mereka melalui corong radio,” ujarnya seraya memberikan tips berguna kepada penyampai generasi baru hari ini.

Diana kaya kerana emas


RAMAI yang menyangka sejak melahirkan anak sulung, Kashfi Haiqal, pada 29 Oktober 2010, pelakon Diana Rafar sudah tidak aktif berlakon.

Sebenarnya, pelakon utama filem Susuk itu masih meneruskan kerjaya sebagai pelakon yang diladeni sejak 1988.

Kata Diana atau Adiana Abdul Rafar, 30, sejak ada anak, kegiatannya sebagai pelakon agak terbatas kerana dia perlu mengutamakan keluarga.

“Diana tidak boleh tinggalkan anak lama sebab masih menyusu badan. Kalau ada tawaran berlakon yang waktu penggambarannya singkat, pasti Diana terima.

“Lainlah kalau ada produksi yang boleh bertolak ansur, sudah pasti Diana terima tawaran itu. Bagi Diana, sekarang ini keluarga lebih utama. Kalau tidak berlakon, Diana tetap sibuk menguruskan spa dan memenuhi undangan persembahan nyanyian bersama kakak, Linda Rafar,” katanya ketika ditemui di D'Lugano Spa, Seksyen 13, Shah Alam baru-baru ini.

Menurut anak bongsu dari enam beradik itu, dia tidak menyesal menolak banyak tawaran kerana telah menemui satu bidang baru yang lebih menguntungkan, iaitu menjadi ejen menjual kepingan emas.

Sebagai ejen menjual kepingan emas 999.9 dengan syarikat pembekal Serambi Emas, Diana memberitahu, dia tidak memerlukan masa yang lama di sesuatu tempat memandangkan pekerjaan itu mampu mendatangkan hasil yang lumayan.

“Kalau berlakon, Diana kena tinggalkan anak di rumah. Bila buat jualan emas begini, boleh bawa anak bersama. Adalah menjadi hasrat Diana untuk berkongsi rezeki ini dengan orang lain kerana perniagaan ini sudah lama beroperasi, cuma orang kita sahaja yang tidak sedar,” katanya bersungguh-sungguh.

Menurut Diana, sudah dua tahun dia menjadi ejen menjual kepingan emas dan pulangan yang diperoleh amat lumayan sehinggakan sekarang ini menjadi terlalu memilih untuk berlakon.

“Sekarang Diana sudah temui satu bidang baru yang memberi pendapatan berlipat ganda daripada berlakon. Jadi buat masa sekarang, Diana tumpukan perhatian pada perniagaan emas ini.

“Dulu memang Diana kena cari pelanggan dan menerangkan apa kelebihan kalau kita membeli emas. Alhamdulillah, sekarang ini ramai yang mencari Diana pula untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Menurut Diana, dia ingin mengubah pendirian masyarakat Melayu agar tidak menjadikan emas sekadar hiasan diri semata-mata tetapi sebagai pelaburan jangka masa panjang.

Harga emas sentiasa naik mengikut pasaran semasa dan emas yang dibeli itu boleh disimpan sendiri atau di bank melalui sistem Ar-Rahnu.

“Kalau emas itu disimpan di rumah, pembeli tidak akan mendapat sebarang keuntungan melainkan kena jual emas itu.

“Di Serambi Emas pelanggan boleh membeli melalui sistem Ar-Rahnu di mana mereka boleh membayar 35 peratus daripada nilai sebenar dan bakinya akan dibiayai Ar-Rahnu,” terangnya lancar.

Tambah Diana, selepas membayar secara ansuran kepada Ar-Rahnu, emas berkenaan akan menjadi hak milik pembeli dan mereka yang terbabit dengan perniagaan emas dengan Serambi Emas pada masa sama dapat menjana pendapatan sampingan.

Katanya, perniagaan emas yang dilakukannya bukanlah sistem jualan langsung tapi sebagai persediaan masa depan dan sesiapa yang berminat boleh menghubunginya di talian 014-7104039 atau 014-7104029.

Malah, dia sanggup turun padang untuk memberi penerangan pada sesiapa yang ingin menambah pendapatan dengan cara ini.

Lantaran seronok mengendalikan perniagaan jual beli emas itu, kini Diana menjadi seorang pemilih dalam bidang lakonan.

“Bukan Diana nak berhenti berlakon, cuma kurangkan sedikit. Lagipun sudah lama Diana berlakon, sekarang ini masanya untuk tumpu pada keluarga.

“Disebabkan anak masih menyusu badan, Diana tidak boleh terima tawaran berlakon yang lama sebab kasihan pada anak. Lainlah kalau watak yang diberi benar-benar menarik perhatian, Diana akan fikir dua kali,” katanya tersenyum.

Tidak mampu tutup mulut orang


USIA pembabitannya dalam bidang lakonan baru mencecah dua tahun. Tetapi populariti yang dikecapi mengalahkan artis mampan negara.

Berbekalkan wajah manis yang bisa mencairkan hati lelaki dan menjadi mangsa cemburu kaum sejenis, Tasha Shilla dilihat kini sebagai pelakon generasi baru yang meningkat naik dan menjadi perhatian ramai pihak.

Entah mengapa, sedang enak diulit populariti dan menuju ke puncak kemasyhuran, nama Tasha terus dihambat dengan cerita kurang enak sehingga membayangi kariernya.

Pelbagai cerita yang sering dikaitkan dengan anak jati Kuala Lumpur ini daripada ditaja oleh orang kenamaan sehinggalah dia dikatakan mengamalkan cara hidup songsang dengan kaum sejenisnya.

Satu yang harus dipuji tentang Tasha, dia sedikit pun tidak melenting mahupun meradang dengan cerita-cerita yang bertebaran.

Bagi Tasha, tiada sebab untuknya berbuat demikian kerana tahu dia di pihak yang benar. Apa yang mampu dilakukannya hanyalah memberikan penjelasan sebaik mungkin bagi menjernihkan keadaan.

“Saya sendiri tidak faham kenapa ada sahaja dusta dan fitnah yang sering dilemparkan kepada saya. Walhal, saya menjadi pelakon kerana mahu mencari rezeki selain berkongsi bakat yang ada kepada masyarakat.

“Namun, saya sedar sebagai seorang yang sering menjadi perhatian masyarakat, saya tidak mampu mengelak daripada diperkatakan orang. Asalkan tidak tersasar daripada landasan dan tidak memalukan keluarga, saya tidak ambil peduli apa yang diperkatakan tentang saya,” kata Tasha tanpa selindung.

Baru-baru ini, nama Tasha menjadi sebutan apabila dia dikatakan beraksi ghairah dengan membuat tarian tiang dalam satu majlis yang diadakan di sebuah kelab malam terkemuka.

Sebelum itu, dia didakwa meminum arak secara terbuka di sebuah restoran dan terbaru, Tasha dikatakan menjalani kehidupan sebagai seorang lesbian.

Lebih menghairankan Tasha apabila dia dikatakan suka mencuri pakaian di lokasi, sedangkan sebahagian besar koleksi pakaian untuk setiap drama adalah miliknya.

Sambil menghela nafas panjang, Tasha yang mula dikenali menerusi drama rantaian Gemilang arahan Kabir Bhatia berasa hairan dan pelik bagaimana orang luar lebih tahu akan cerita peribadinya berbanding dirinya sendiri.

“Ingin saya katakan di sini, apa yang diperkatakan tentang saya sebelum ini semuanya tidak benar. Saya hanya mampu ketawa apabila ada yang berkata saya membuat aksi ghairah dan tarian tiang itu sedangkan saya hanya menyambut majlis hari jadi.

“Begitu juga dengan dakwaan meminum arak itu di mana ketika itu saya menemani kawan atas satu urusan perniagaan. Kebetulan mereka yang hadir pada majlis itu adalah berketurunan Inggeris.

“Sudah pasti, mereka memesan arak dan saya sebagai tetamu di situ, adalah tidak manis seandainya saya menghalang mereka untuk meminumnya. Adakah hanya kerana perkara itu saya terus dikatakan meminum arak sehingga mabuk? Sungguh tidak masuk akal,” ujar Tasha atau nama sebenarnya, Natashasheila Abd. Razak.

Begitu juga dengan cerita kononnya dia ditaja oleh orang kaya berpangkat Datuk yang telah memberikan kemewahan kepadanya sejak dia mula menjadi artis lagi.

Jelas Tasha, dia menganggap perkara itu sangat melucukan kerana bagaimana dia hidup dalam kemewahan dan ditaja pada ketika dia masih tinggal bersama keluarganya.

Biarpun memiliki kunci kebebasan untuk membuat apa sahaja, bagi Tasha dia lebih selesa untuk berada di bawah lindungan keluarganya.

Sebagai seorang figura awam, dia berkawan dengan sesiapa sahaja tidak mengira status mahupun latar belakang. Jika soal itu dipandang serong oleh masyarakat, kata Tasha, dia tidak mampu menutup mulut orang.

Sekadar bertanyakan kepada Tasha apabila dia mempunyai musuh sehingga ada yang cuba menjatuhkannya lantaran nama semakin harum dan mekar ketika ini, Tasha menggelengkan kepala.

“Saya sendiri tidak tahu jika ada yang mahu berbuat demikian. Sejak dari awal lagi, saya memang sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kerana saya cukup sedar bahawa rambut sama hitam, tetapi hati berbeza-beza.

“Sampaikan ibu bapa saya sendiri bertanyakan mengapa banyak cerita yang kurang enak selalu datang?

“Apa yang saya mampu katakan kepada mereka ini adalah dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi sebagai seorang anak seni. Barulah saya sedar untuk berjaya bukannya mudah dan apa yang dilalui sekarang ini hanyalah cebisan.

“Alhamdulillah, biarpun diuji rezeki saya terus mencurah dengan pelbagai tawaran drama. Saya menceburi bidang seni untuk mencari rezeki yang halal dan tidak mahu dikenali dengan cerita kontroversi. Saya mahu elakkan kerana tidak mahu peminat bosan dan jelik,” jelas Tasha yang pernah membintangi filem Ratu the Movie arahan Profesor Abd. Razak Mohaideen tahun lalu.

Mahu Kejutan, Azura (Hot FM) Tidak Tahu Jantina Anak


KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio Hot FM, Azura, 31, enggan mengetahui jantina anak sulung yang dikandungkannya sehinggalah bayi itu lahir.

Azura atau nama sebenarnya, Nik Nur Azura Nik Mahmood berkata, dia yang dijangka bersalin pada April depan sengaja berbuat demikian kerana ingin memberi kejutan kepada dirinya sendiri.

Bagaimanapun suaminya, Shaffique Ahmad Zehnun yang merupakan petugas di TV3 sudah mengetahui jantina anak tersebut.

"Saya sudah berpesan kepada suami supaya jangan beritahu jantina anak kepada saya kerana mahu beri kejutan kepada diri sendiri. Paling penting anak itu nanti sihat dan selamat," ujarnya kepada mStar Online.

Azura yang kini bertugas sebagai Ketua Program Rancangan Hot FM memberitahu, dia juga tidak mempunyai sebarang masalah ketika membeli barangan keperluan untuk bayinya nanti kerana memilih pakaian daripada rona yang boleh dipakai oleh kedua-dua jantina.

Tambahnya, persiapan juga telah dibuat memandangkan kandungannya sudah mencecah usia tujuh bulan.

"Saya beli sikit-sikit supaya tidak kelam kabut dan sehingga kini kelengkapan bayi kami telah pun sedia," ujarnya.

Dalam pada itu, Azura berkata, dia teruja dengan kehadiran orang baru dalam keluarganya selepas tiga tahun berkahwin dan telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.

"Sebelum ini saya dan suami memang merancang kehamilan kerana ingin menghabiskan masa bersama-sama terlebih dahulu kerana sebelum kahwin kami jarang dapat berjumpa.

"Namun selepas tiga tahun, kami berdua merasakan sudah tiba masanya untuk memiliki anak dan teruja menanti kelahiran bayi pertama," katanya.

Sementara itu, Azura berkata, dia akan bersalin di Kuala Lumpur sebelum kembali ke kampung halamannya di Kuala Terengganu untuk menjalani proses berpantang selama dua bulan.

Katanya, dia juga mungkin akan mengambil seorang pembantu rumah untuk menjaga anaknya nanti kerana bakal berpindah ke rumah sendiri selepas habis berpantang.

"Sebelum ini saya dan suami duduk di rumah mertua di Danau Kota, Setapak dan selepas habis berpantang kami akan berpindah ke Damansara Damai kerana lebih dekat dengan pejabat.

"Ia bakal memudahkan saya untuk berulang alik dari pejabat ke rumah untuk menjenguk anak nanti," ujarnya.

Abby Fana Bukan 'Dibuang' TV3 Kerana Bertudung


KUALA LUMPUR: Penyampai Radio Sinar FM, Abby Fana menolak tuduhan kononnya khidmat beliau sebagai perantara Malaysia Hari Ini (MHI), TV3 ditamatkan apabila beliau membuat keputusan memakai tudung selepas mengerjakan Haji pada November tahun lalu.

Abby atau nama sebenarnya Habsah Omar,46, memberitahu mStar Online, keinginannya untuk bersara sebagai penyampai sambilan rancangan itu telah dipendamnya pada tahun lalu dan secara kebetulan telah terlaksana selepas pulang dari Mekah.

“Sebenarnya sebelum pergi Haji lagi saya dah rasa nak berhenti sebab dah lama sangat saya jadi pengacara MHI. Bila pulang dari Mekah, tak sangka pula ia macam sudah tersurat.

“Pada 27 Disember lalu adalah penampilan terakhir saya sebagai pengacara MHI,” katanya yang telah sembilan tahun berkhidmat di stesen televisyen itu.

Abby memberitahu, hasrat untuk meninggalkan MHI dipendamnya kerana merasakan khidmatnya sudah terlalu lama dan bimbang penonton mula bosan dengan penampilan barunya itu.

Kata Abby, kalau di congak tugasnya sebagai pengacara segmen pagi di stesen televisyen sebenarnya telah mencecah 14 tahun iaitu sembilan tahun di TV3 manakala lima tahun bergelar pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM1.

“Kita ni bukan macam di Amerika Syarikat. Di negara itu, usia pengacara bukan ukuran. Tetapi di negara kita, kalau terlalu lama sangat nanti orang cepat jelak,” katanya.

Menurut Abby, selepas meninggalkan MHI, dia kini mahu memberi tumpuan sepenuhnya sebagai Penyampai Radio Sinar FM yang dikendalikannya sejak lima tahun lalu.

Jelas Abby, tugas sebagai deejay memberi keseronokan yang luar biasa buatnya kerana dengan cara itu sahajalah dia dapat “bersosial” dengan peminat.

“Saya ni tak pernah nak melepak mana-mana tempat pun. Hanya di radio sahajalah saya bersosial. Saya dapat rasakan tekanan dalam diri saya hilang,” katanya.

Mengulas mengenai penampilannya bertudung yang dilihat kelihatan lebih manis kata Abby, jiwanya menjadi lebih tenang dan merasakan satu perubahan baru.

Bagaimanapun beliau mahu terus aktif melibatkan diri dalam bidang seni dan akan mempertimbangkan tawaran bergelar pengacara mana-mana program yang berkehendakkan personaliti bertudung.

Menyentuh mengenai calon suami selepas bergelar ibu tunggal sejak sembilan tahun lalu, Abby yang memiliki dua orang anak iaitu Afiq Nazrin,21, dan Adli,20, serta seorang anak angkat Azra, 19 bulan, memberitahu tidak terfikir ke arah itu.

Beliau lebih selesa dengan kehidupannya sekarang dan menyerahkan jodoh kepada Allah untuk menentukannya.

Dalam perkembangan lain calon Penyampai Radio Wanita Terbaik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPH2011) ini turut aktif dalam perniagaannya sebagai pembekal kelengkapan seperti perabot, zink dan plastik anak benih untuk, Felda Zon Tengah.

Perniagaan yang diusahakan bersama rakan kongsi itu tekah dikendalikannya sejak tiga tahun lalu dan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Pelakon Lydiawati Kerugian Diperdaya Promoter Singapura


PUTRAJAYA: Pelakon Lydiawati telah diperdaya seorang individu yang menyamar sebagai promoter dengan menawarkannya untuk menjadi pengacara di sebuah majlis Singapura.

Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Saimon mendakwa, individu yang dikenali sebagai Abdul Malek Ramli itu telah menawarkannya sebanyak RM6,000 untuk tugasan itu pada Jumaat lalu dengan syarat perlu membayar dahulu “cukai pertukaran mata wang asing” sebanyak RM1,400.

"Pada awalnya, saya menerima tawaran tersebut dan apabila diminta untuk membayar cukai seperti yang diperkatakan sebanyak RM700, saya masukkan ke akaun bank miliknya. Saya membayar tanpa banyak soal atas dasar kepercayaan terhadap lelaki tersebut.

"Kemudian, tidak lama kemudian dia meminta saya lagi wang cukai berkenaan. Dan saya mula persoalkan, kenapa saya pula yang perlu membayar wang tersebut sedangkan saya dijemput untuk mengendalikan majlis?

"Bagaimanapun, saya terus terpedaya dan membayar RM700 seperti yang diminta. Apa yang membuatkan saya lebih musykil, dia kata dirinya tidak akan berada pada hari majlis tersebut berlangsung," katanya.

Tambah Lydiawati, apabila berasa seperti diperdayakan oleh lelaki tersebut, dia terpanggil untuk memeriksa sendiri lokasi tempat majlis itu dan ternyata tiada aktiviti seperti yang diperkatakan.

Justeru, pelakon tersebut nekad membatalkan tawaran berkenaan kerana bimbang dia akan diperdaya lagi ketika berada di Singapura nanti.

"Ternyata lelaki itu sangat mencurigakan kerana dia mendakwa dirinya berada di Batam, Indonesia tetapi nombor telefon bimbit yang digunakan adalah nombor di Malaysia.

"Lantas saya membuat keputusan untuk membatalkan tawaran tersebut kerana risau akan ditipu lagi ketika berada di sana. Bagaimanapun, sehingga kini wang saya belum dikembalikan," tuturnya.

Beritahu ibu tunggal kepada dua orang anak ini lagi, dia tidak menyangka lelaki tersebut boleh menipu dirinya yang merupakan seorang anak yatim piatu dan berharap perkara seperti itu tidak akan berlaku kepada artis-artis lain.

"Kalau terdesak mahukan duit sekalipun, janganlah menipu anak yatim piatu seperti saya. Apa-apa pun, saya percaya ada hikmah di sebaliknya kerana apa yang dapat saya lihat, tawaran kerja semakin banyak selepas kejadian itu," tuturnya.

Bagaimanapun, pelakon ini belum terfikir untuk mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki tersebut.

Liyana Jasmay Bakal Bertunang Dengan Jiran


PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay, 23, telah membuat pengakuan akan bertunang dengan jirannya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan bernama Fathuddin Mazlan pada bulan depan.

Menurut laporan akhbar Berita Harian, Liyana berkata dia sudah pun menerima cincin merisik daripada bakal tunangnya yang berusia 28 tahun itu.

"Dia menghantar rombongan merisik pada minggu lalu dan jika tiada aral melintang, kami akan bertunangan pada bulan depan.

"Tarikhnya terpaksa dirahsiakan. Insya-Allah tahun depan kami akan berkahwin," katanya.

Sebelum ini, Liyana yang popular dengan lagu Aku Tak Percaya Cinta itu pernah digosipkan bercinta dengan pengarah muda, Shamsul Yusof dan penyanyi Aizat Amdan.

"Selama ini pun saya tidak pernah mengatakan yang saya bercinta dengan orang itu atau ini. Semuanya berlaku dengan cukup pantas, itulah yang dinamakan kuasa jodoh.

"Saya sendiri tidak tahu bila masanya rasa cinta itu datang? Cuma apa yang saya sedar, perasaan itu tiba-tiba hadir dalam diri. Kita hanya boleh tahu perasaan itu apabila kita sendiri mengalaminya," tuturnya.

Tambah Liyana, dia sendiri tidak menyangka bahawa lelaki yang dicari-cari selama ini rupa-rupanya tinggal berdekatan dengannya.

Dia juga bersyukur kerana walaupun lelaki pilihannya itu buka daripada kalangan orang seni, dia faham dengan alunan cara kerja Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM) ini.

Solat Hajat Azean Irdawaty Di Tiga Masjid


PETALING JAYA: Solat hajat untuk memohon agar Allah memulihkan kesakitan penyakit pelakon Azean Irdawaty akan diadakan di tiga buah masjid sekitar Ampang, dekat sini pada Khamis malam (malam esok).

Penganjur majlis berkenaan yang enggan disebutkan namanya berkata, solat berkenaan akan dibuat secara serentak selepas solat Maghrib melibatkan Masjid Al-Ridzuan, Hulu Kelang, Masjid Taman Dagang Avenue, Ampang dan Masjid Bukit Antarabangsa.

Kata penganjur tersebut, majlis berkenaan akan turut disertai oleh beberapa selebriti tempatan antaranya Datuk Rahim Razali, Datuk Yusof Haslam, Datuk Sarimah Ahmad, Memey Suhaiza, Farhan, Den Wahab, Razali Hussein, Sharifah Sahora, Lisdawati, Fauzi Nawawi dan Ziela Jalil.

“Artis-artis berkenaan akan berada di salah satu daripada tiga masjid tersebut,” katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.

Tambahnya, selain para artis, orang ramai juga dijemput untuk menyertai solat hajat tersebut selain digalakkan memberi sumbangan ikhlas masing-masing untuk majlis berkenaan.

Katanya, selain solat hajat, majlis bacaan tahlil akan turut diadakan untuk para artis dan umat Islam yang telah meninggal dunia.

“Apa yang kami buat ini adalah sebagai satu sokongan kami kepada Azean Irdawaty selain untuk para artis yang telah meninggal dunia,” katanya.

Isnin lalu Azean Irdawaty yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-62 tahun memohon orang ramai dan sahabat handai supaya memberikan “hadiah” hari jadinya dengan mengadakan solat hajat bagi memohon supaya keadaan kesakitan yang dihadapinya pulih.

Azean mendakwa badannya berasa panas, belakang badan sakit dan juga kakinya menjadi kebas kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payu dara sebelum ini.

Marion Caunter Bahagia Bergelar Ibu


Marion berkata, walaupun terpaksa berkorban beberapa perkara terutamanya daripada segi mengurangkan aktiviti pengacaraan, dia tidak kisah tentang itu, sebaliknya memberikan sepenuh perhatian kepada Leia ada perkara nombor satu untuknya.

"Kehadiran Leia dalam hidup saya dan suami amatlah bermakna sekali. Jika dahulu kami terlalu mementingkan karier, sekarang ini setiap perkara yang dilakukan perlu fikirkan dia dahulu.

"Dan biasalah, apabila dah ada anak, kita tak boleh nak keluar sesuka hati. Bayangkan, dia tidur dia tengah-tengah antara kami. Rasanya, sudah tiba masanya untuk saya dan suami bercuti berdua seketika," selorohnya yang ditemui di majlis perkahwinan Yusry KRU dan Lisa Surihani di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) malam Ahad.

Tambah Marion, apabila dia berasa marah, hatinya akan terus lembut setelah melihat anaknya itu.

Bagaimanapun, dua bulan berehat dari persada seni membuatkan Marion 'gian' untuk berceloteh di depan kamera.

"Mula-mula ingatkan nak berehat seketika bagi memberi fokus pada anak. Maklumlah, dia menyusu setiap satu atau dua jam sekali. Jadi, macam mana saya nak keluar untuk bekerja?

"Cuma bagi melepaskan kerinduan mengacara, saya akan kembali mengacara E! Online dan pengambarannya akan bermula pada minggu hadapan. Nampaknya saya kene bersiap sedia untuk meninggalkan si kecil itu.

"Apa-apa pun, saya akan berulang alik Malaysia-Singapura setiap kali penggambaran," ujarnya tersenyum.

Dalam pada itu, ditanya adakah Marion dan suami merancang untuk mendapatkan anak kedua pula, katanya, dia ingin berehat dan melangsingkan dahulu tubuh badannya.

"Diakui, saya seronok melalui proses mengandung, tetapi saya juga merindui untuk memiliki tubuh badan seperti dahulu," selorohnya.

Farina (AF8) Tolak Tuduhan Bakal Kahwini Suami Orang


PETALING JAYA: Penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Farina menolak dakwaan kononnya dia bakal berkahwin dengan ahli perniagaan berstatus suami orang dalam masa terdekat seperti yang dilaporkan pihak media, baru-baru ini.

Sebaliknya, menurut Farina atau nama sebenarnya Zafarina Jamhari, 29, dakwaan tersebut hanya fitnah kerana hubungannya dengan lelaki bernama Mohd Irwan Iryani Suhaimy (Irwan) itu berlandaskan persahabatan biasa sahaja.

“Saya akui berkawan dengan dia (Irwan) tetapi kami hanya kawan biasa. Terus-terang, saya tidak terfikir pun untuk membawa hubungan kami ke peringkat seterusnya (berkahwin).

“Ia adalah fitnah kerana tiada apa-apa yang serius antara kami pada waktu ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, petang Isnin.

Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Hujung Minggu ini, berkata walaupun dia sudah mengenali anak lelaki kepada pengasas produk kosmetik Natasya itu sejak lebih setahun yang lalu, dia tidak pernah merancang untuk mengahwini lelaki itu dalam masa terdekat.

“Saya tahu latar belakang dan statusnya ketika mula-mula kami berkawan. Memandangkan hubungan kami tidak serius sehingga ke tahap hendak bernikah, jadi tidak ada apa yang perlu digusarkan.

“Sebagai wanita yang menghormati dan memahami perasaan isterinya apabila tersebar fitnah sebegini, saya tidak mahu komen lebih-lebih, cukuplah saya katakan tuduhan itu tidak betul,” katanya.

Menjelaskan dakwaan kepulangannya ke Bintulu, Sarawak pada hujung minggu lalu kononnya atas urusan majlis pertunangan dengan lelaki itu, Farina berkata kepulangannya ke kampung halaman kerana memenuhi undangan nyanyian di sana.

“Saya bukan balik ke kampung kerana majlis bertunang. Ia adalah dakwaan palsu. Takkanlah saya dan keluarga hendak sorok perkara baik macam ini daripada jiran-jiran dan khalayak umum.

“Saya pulang ke Sarawak kerana ada undangan nyanyian, selain beberapa urusan keluarga,” kata ibu tunggal yang mempunyai anak perempuan Dayang Hasya Yasmin, 9, ini.

Sakit Semakin Kritikal, Azean Irdawaty Mohon Adakan Solat Hajat


PETALING JAYA: Pelakon Azean Irdawaty merayu kepada orang ramai untuk memberikannya “hadiah” sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-62 tahun pada Isnin (semalam) dengan mengadakan solat sunat hajat untuknya.

Azean yang lahir pada 27 Februari 1950 berkata, keadaan kesihatannya menjadi semakin kritikal akibat penyakit Lymphedema iaitu kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payu dara sebelum ini.

“Syukur Alhamdulillah, hari ini (Isnin) saya sudah 62 tahun. Saya nak minta “hadiah” sempena hari lahir saya. Boleh tak panggil orang-orang masjid buat solat hajat minta saya sembuh,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Dalam SMS itu Azean memberitahu, keadaan kesihatannya bertambah teruk apabila dia merasakan tulang pada bahagian belakang badannya bertambah sakit manakala kakinya juga menjadi kebas.

Selain itu, badannya juga berasa panas dan dia amat tertekan dengan situasi yang dihadapinya itu menyebabkan dia terpaksa memohon orang ramai agar mendoakan kesejahteraan kesihatannya.

“Saya rasa panasnya macam api dalam daging. Azab rasanya. Tolonglah saya (menunaikan solat hajat),” pintanya.

Sementara itu mStar Online dimaklumkan beberapa rakan artis sedang berusaha untuk menguruskan solat hajat di beberapa buah masjid sebagai memenuhi keinginan seniwati tersebut selain berharap kesakitan yang dialaminya itu berkurangan.

Mawi & Ekin Dapat Anak Perempuan


PETALING JAYA: Penyanyi Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, kini sudah bergelar ayah selepas isterinya, Ekin, selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada pukul 4 pagi Selasa.

Bayi sulung seberat 2.8 kilogram (kg) itu dilahirkan secara normal di Hospital Pakar An-Nur Hasanah, Bangi dekat sini dan belum diberikan nama.

Menurut pengurus peribadi Mawi, Mohd Nasir Ismail, yang mengesahkan berita tersebut, Ekin atau nama sebenarnya Nora’Asikin Rahmat, diberikan suntikan ubat pelali kerana mempunyai sedikit komplikasi untuk bersalin.

"Alhamdulillah, akhirnya pasangan itu mendapat anak perempuan. Ekin telah dimasukkan ke hospital pada pukul 7.30 malam semalam (Isnin).

"Melihatkan keadaan Ekin yang masih lagi belum boleh bersalin mengikut masa yang ditetapkan, dia diberikan ubat pelali oleh doktor. Syukur, kedua-duanya selamat," kata Nasir yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Sementara itu, Nasir berkata, pasangan itu enggan mendedahkan wajah anak sulung mereka buat masa ini.

Tetapi sebuah majlis kesyukuran akan diadakan dalam masa terdekat ini bagi meraikan kelahiran anak pasangan selebriti tersebut.

Terdahulu, Ekin pernah keguguran sebanyak dua kali pada tiga tahun yang lalu.

Pasangan yang bernikah pada 21 Disember 2008 itu dikatakan tidak menyedari tentang kehadiran 'orang ketiga' tersebut sebelum Ekin mengalami keguguran.

Gambit Saifullah Nekad Berehat


PETALING JAYA: Pelakon Gambit Saifullah nekad membuat keputusan untuk berehat seketika daripada bidang lakonan gara-gara berasa kecewa dengan cara kerja industri tempatan.

Gambit berkata, selepas filem lakonannya yang terakhir, Karipap-Karipap Cinta pada tahun lalu, dia menolak banyak tawaran yang diterimanya.

"Diakui, banyak tawaran lakonan yang saya tolak sejak kebelakangan ini. Bukannya apa, saya kecewa dengan cara kerja sesetengah produksi yang dilihat seperti kurang berminat untuk berkarya.

"Yelah, apabila kita bersungguh-sungguh dalam kerja, daln orang lain tidak, ia membuatkan hasil kerja akan kurang memuaskan.

"Selain itu, saya juga mula memilih skrip. Cukuplah dengan apa yang saya buat selama ini, kini saya lebih selektif," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Bagaimanapun tambah Gambit, ini tidak bermakna dia berhenti terus daripada dunia lakonan dan berharap penerbit-penerbit tidak menganggap dirinya terus hilang dari persada seni tanah air.

Memandangkan pelakon ini berehat seketika, dia sedang sibuk dengan penerbitan rancangan pelancongan bersama penjaga gol bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Sementara itu, ditanya adakah dirinya masih lagi meletakkan harga yang tinggi jika ditawarkan berlakon memandangkan dia sering dikontroversikan dengan masalah harga, Gambit masih lagi dengan pendiriannya yang mempunyai harga yang tersendiri.

"Saya mempunyai prinsip yang tersendiri dan rasanya tidak salah untuk seorang pelakon 'demand'.

"Tetapi biarlah ia berbaloi dengan hasil kerja yang diberikan. Saya faham ada sesetengah artis yang tidak kisah dengan tawaran yang diterima.

"Bagi saya, biarlah seorang pelakon mempunyai standard harga, sesuai dengan kerja yang dilakukan," ujarnya.

Majlis Resepsi Yusry KRU & Lisa Surihani Meriah


PUTRAJAYA: Selepas selamat dinikahkan pada 23 Februari lalu, aktres jelita Lisa Surihani dan Yusry KRU atau Yusri Abdul Halim mengadakan majlis persandingan mereka di dalam suasana yang cukup meriah di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), di sini, malam Ahad.

Majlis dihadiri kira-kira 2000 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara kedua-dua belah pihak, kenalan artis dan rakan media.

Bertemakan konsep ala 'French Vintage', yang diinspirasikan daripada Marie Antoinette (Ratu Perancis) oleh KS Entourage, Lisa kelihatan anggun dengan busana putih rekaan Putra Aziz dari butik Cosry manakala Yusry pula segak dengan baju Melayu warna sedondon yang juga rekaan Putra.

Suasana dewan yang dihiasi dengan paduan bunga berwarna tampak sederhana tetapi cukup elegan.

Acara bermula pada pukul 9 malam dengan ketibaan pengantin perempuan, diiringi pula dengan pengantin lelaki.

Turut disertakan acara berbalas pantun sebelum pengantin lelaki duduk di atas pelamin.

Antara selebriti yang kelihatan pada majlis tersebut adalah, Jaclyn Victor, Marion Counter dan suami, Sein (Ruffedge) dan isteri, Dephne Iking, Aizat, Stephen Rahman, Atilia, Sazzy Falak dan suami, Rabbani dan ramai lagi.

Ini merupakan perkahwinan kedua Yusry manakala yang pertama untuk Lisa.

Yusry sebelum ini pernah mendirikan rumahtangga dengan penyanyi dan pelakon Erra Fazira pada Jun 2003, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama tiga tahun.

Roslan Shah Sudah Serik Pinjam Baju Penaja


PETALING JAYA: Pengacara Roslan Shah mengakui sudah serik untuk mendapatkan mana-mana pihak bagi menaja pakaian untuk dipakainya kerana bimbang dituduh dengan sengaja “menyimpan” baju penaja.

Roslan berkata, insiden tuduhan itu itu adalah peristiwa terakhir yang tidak mungkin berulang kembali.

“Saya sudah serik nak pinjam mana-aman baju lagi lepas ni. Masa majlis hari lahir saya tahun lalu itu pun bukan saya yang cari penaja sebaliknya penaja yang cari saya. Saya terima sajalah. Apa-apa pun selepas ini saya lebih berhati-hati kerana serik kejadian serupa berulang lagi," ujarnya.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan pemilik butik Roy Busana Anggun iaitu Datuk Roy terkilan dengan sikap Roslan yang belum memulangkan baju tajaan semasa majlis sambutan ulang tahun hari lahirnya yang ke 41 pada 17 November tahun lalu.

Perbuatan Roslan itu menyukarkan penyewa lain untuk mendapatkan baju tersebut dari butik berkenaan.

Bagaimanapun Roslan berkata ia sekadar salah faham kerana beliau suda memaklumkan kepada pemilik butik tersebut akan kelewatan memulangkan pakaian bertema Arab itu kerana kesibukan jadual kerjayanya.

Roslan bagaimanapun berkata, dia sudah meminta maaf mengenai kejadian itu dan berjanji akan memulangkan baju berkenaan dalam masa terdekat.

"Saya dengan rendah hati mengaku bersalah kerana gagal memulangkan baju tersebut seperti yang diminta kerana terlalu sibuk dengan pelbagai tugasan sebelum ini.

"Bagaimanapun saya tidak mahu memanjangkan lagi isu ini kerana ia boleh menyebabkan hubungan baik saya dan Roy sebelum ini rosak gara-gara campur tangan orang lain dalam isu ini," ujarnya.

Tambahnya dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk bermasam muka dengan Roy kerana telah meminta maaf kepada pemilik butik itu dan penjelasan telah pun dibuat kepadanya.

“Isu ini menjadi kecoh apabila ada batu api yang cuba melaga-lagakan kami namun penjelasan telah pun dibuat dan semuanya dalam keadaan baik," ujarnya.

Melawat Keluarga Hadiah Bulan Madu Ana Raffali & Naim


KUALA LUMPUR: Pasangan pengantin baru, Ana Raffali, 26, dan suaminya, Ahmad Aznaim Abdullah, 30, berhasrat meluangkan masa dengan menziarahi kaum keluarga masing-masing sebagai meraikan bulan madu perkahwinan mereka.

Ana berkata, mereka akan bercuti ke negeri Pantai Timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang untuk melawat ahli keluarga yang tidak sempat hadir ke majlis perkahwinan yang diadakan pada Sabtu.

"Bulan madu kami hanya destinasi 'cuti-cuti Malaysia' kerana ingin mengambil kesempatan itu untuk menziarahi ahli keluarga kedua-dua belah pihak yang banyak menetap di Pantai Timur.

"Ini juga adalah peluang terbaik buat kami bagi mengenali saudara mara yang tidak pernah berjumpa sebelum ini," ujarnya kepada mStar Online.

Pasangan itu ditemui selepas selesai upacara akad yang diadakan di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati di sini.

Ana dan Naim sebelum itu dinikahkan dalam sebuah majlis sederhana oleh bapa Ana sendiri iaitu Mohd Raffali Mohd Nor dengan disaksikan oleh Jurunikah Masjid Al-Hidayah, Abdullah Mat.

Ana menerima RM 11,412 sebagai mas kahwin pada majlis tersebut yang dihadiri lebih 500 orang tetamu.

Dalam pada itu, Naim berkata, dia akan terus menguruskan kerjaya seni isterinya secara sepenuh masa seperti biasa dan memberitahu akan lebih memudahkan pergerakan mereka berdua.

Ujarnya, dia yakin dapat bekerjasama baik dengan isterinya itu kerana sebelum ini pun kedua-dua mereka serasi bersama jika berkaitan hal kerja.

"Kami tidak gemar mencampuradukkan hal peribadi dan kerja malah ketika berkawan dengannya sebelum ini pun konsep itu dipegang dengan baik. Jadi rasanya tidak akan ada masalah selepas ini," katanya.

Ditanya mengenai keistimewaan Ana, Naim berkata, tiada kata-kata yang dapat digambarkan untuk menggambarkan rasa cintanya terhadap isterinya itu.

Baginya, Ana adalah seorang wanita yang cukup sempurna di mata dan hatinya.

"Orang kata kalau kita cintakan seseorang adalah sukar untuk menggambarkan keistimewaannya itu dan itulah perasaan saya terhadapnya.

"Namun begitu, dia adalah seorang wanita yang cukup sempurna di mata saya dan itu adalah memadai," katanya.

Sementara itu, Ana memberitahu dia tidak menolak jika dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat dan berserah kepada Allah mengenai perkara itu.

Ana juga menjelaskan dia dan suaminya tidak meletakkan sebarang bilangan anak yang dimahukan namun sukakan kepada keluarga yang besar.

"Saya dan suami datang daripada keluarga yang mempunyai ramai adik-beradik, jika dikurniakan dengan ramai zuriat lebih seronok," ujarnya.

Rehat Tidak Cukup Punca Kesihatan Diana Danielle Terganggu


PETALING JAYA: Pelakon jelita Diana Danielle (Diana) berkata keadaan kesihatannya yang tidak begitu stabil kebelakangan ini bukan disebabkan oleh dakwaan kononnya dia sedang sakit.

Sebaliknya Diana berkata ia berpunca daripada waktu rehat tidak menentu yang dilaluinya sejak kebelakangan ini.

"Saya akui tahap kesihatan saya tidak menentu kebelakangan ini. Ia berpunca daripada waktu tidur yang tidak tentu masa.

"Saya sangat sibuk dengan pelbagai komitmen kerja menyebabkan rehat dan tidur juga tidak cukup," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Jumaat.

Kekasih kepada aktor Farid Kamil ini berkata, apa yang lebih memburukkan keadaan ialah sikapnya yang tidak suka mendapatkan rawatan doktor atau mengambil ubat.

"Masalahnya ialah sikap saya yang tidak mengambil berat kesihatan sendiri. Saya tidak suka berjumpa doktor atau ambil ubat melainkan apabila keadaan bertambah teruk.

"Sekarang pun saya sedang demam selesema sejak dua hari lalu dan masih keberatan untuk jumpa doktor, walaupun sudah didesak beberapa kali oleh Farid," katanya.

Dalam perkembangan lain, Diana berkata dia bakal terlibat dalam filem animasi tempatan terbaru berjudul Supertots The Movie bermula minggu hadapan.

"Saya akan memainkan salah satu watak utama bernama Elly dalam animasi itu. Proses memasukkan suara akan bermula pada minggu depan bersama pelakon-pelakon lain seperti Aaron Aziz, Dafi dan Radhi Khalid," katanya.

Filem animasi futuristik arahan Naa Murad itu berkisar tentang lima kanak-kanak yang cuba menyelamatkan bumi daripada serangan makhluk asing. Ia dijangka ditayangkan di pawagam pada 2013.

Brenda Terima Hakikat Dikecam Kerana 'Mulut Longkang'


KUALA LUMPUR: Penyanyi baru iaitu Brenda menjelaskan dia tidak berasa kecewa apabila ada pihak mengutuk lagunya yang berjudul Mulut Longkang hanya kerana tajuknya yang kedengaran agak kelakar.

Brenda, 18, berkata, dia optimis dengan kata-kata negatif masyarakat terhadapnya dan tidak akan berputus asa dalam mengejar impian menjadi seorang penyanyi terkenal.

"Pada mulanya saya sedikit kecewa apabila ada pihak yang mengecam tajuk lagu itu tanpa mendengar dahulu apa sebenarnya di sebalik tajuk Mulut Longkang. Ia sebenarnya mempunyai elemen nasihat kepada individu yang suka menyebarkan fitnah kepada orang lain.

"Saya tetap optimis dengan pandangan negatif masyarakat dan tidak akan berputus asa," ujarnya kepada mStar Online.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana lagu tersebut telah membuatkan masyarakat ingin mengetahui mengenai dirinya dan seterusnya mendengar lagu tersebut.

Dalam pada itu, Brenda memberitahu gembira apabila dipilih untuk merakamkan semula lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Slam iaitu Gerimis Mengundang untuk filem dan teater muzikal dari tajuk sama.

Brenda berkata, dia berharap lagu itu dapat melonjakkan lagi namanya di kalangan peminat muzik tempatan namun enggan dibandingkan cara nyanyiannya dengan penyanyi asal.

"Hampir setahun saya dalam industri dan masih ramai yang belum mengenali saya. Jadi saya berharap dengan kemunculan lagu baru ini dapat melonjakkan nama saya di kalangan penggemar muzik tempatan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Brenda memberitahu selain Gerimis Mengundang, dia turut muncul dengan single terbaru berjudul Manusia Biasa dan akan turun padang bagi mempromosikan lagu itu.

Ana Raffali, Naim Selamat Diijabkabulkan


KUALA LUMPUR: Penyanyi Ana Raffali, 26, akhirnya sah bergelar isteri kepada Ahmad Aznaim Abdullah, 30, selepas sekali lafaz dalam majlis pernikahan mereka yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini, Sabtu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa Ana, Mohd Raffali Mohd Nor kira-kira pukul 12 tengah hari dengan disaksikan oleh Jurunikah Masjid Al-Hidayah, Abdullah Mat.

Acara sebelum itu dimulakan dengan majlis pertunangan antara Ana dan Naim pada pukul 11 pagi.

Majlis dihadiri kira-kira 500 jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga kedua-dua pasangan pengantin dan wakil media.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM11,412 daripada pihak lelaki.

Dalam pada itu, pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang.

Antara barang hantaran yang diberikan oleh pihak perempuan seperti bunga rampai, buah, kek, dompet, kamera, iPad, jam tangan, minyak wangi, sebentuk cincin dan sirih junjung.

Manakala pihak lelaki membalas dengan sirih junjung, coklat, telekung, minyak wangi, manisan dan gelang tangan perak. Kesemua hantaran itu direka dan digubah sendiri oleh Ana.

Ana tampak anggun dengan mengenakan busana baju kurung moden rekaan pereka fesyen, Ezuwan Ismail dari rona kelabu manakala Naim segak dengan baju Melayu lengkap bersamping dengan warna sedondon dari pereka sama.

Sementara itu, majlis resepsi perkahwinan mereka turut diadakan di tempat sama sejurus selepas majlis pernikahan.

Zahid (AF) Tepis Dakwaan Bakal Kahwin Kerabat Pahang


PETALING JAYA: Juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Zahid menafikan khabar angin kononnya dia bakal menamatkan zaman bujang dengan seorang kerabat diraja Pahang dalam masa terdekat.

Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin, 31, berkata hubungannya dengan gadis yang dijalinkan atas dasar persahabatan itu sering disalah ertikan oleh orang ramai sehingga menganggap mereka akan mendirikan rumah tangga.

“Kadang-kadang apabila kita berkawan rapat dengan seseorang, orang sangka kita pasti akan berkahwin. Walhal, tiada apa-apa yang serius di antara kami.

“Memang saya berkawan dengan dia tetapi tiada perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, pada Khamis.

Zahid berkata pada waktu ini dia selesa untuk berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengehadkan pilihannya pada seorang wanita semata-mata.

“Saya suka berkawan dengan ramai wanita pada waktu ini tetapi itu tidak bermakna saya jenis kasanova.

“Dalam saya berkawan dengan ramai wanita, saya masih belum temui yang istimewa. Sukar sebenarnya mencari calon terbaik untuk disunting sebagai isteri,” katanya.

Ketika didesak adakah dia cuba menyembunyikan perancangan untuk berkahwin, Zahid berkata sebagai selebriti dia tidak ada sebab untuk menyembunyikan perkara baik itu daripada khalayak.

“Dakwaan kononnya saya rancang untuk berkahwin pada hujung tahun lalu hanyalah gosip.

“Kalau diikutkan, memanglah saya terdetik untuk berkahwin tetapi saya belum temui pasangan yang sesuai. Kalau betul ada perancangan ke arah itu, saya tidak akan sorok,” katanya.

Selain aktif menyanyi, Zahid kini bertugas sebagai penyampai di radio Era FM bagi slot Petang Era pada pukul 4 hingga 8 malam pada setiap Isnin hingga Jumaat.

Terbaru, penyanyi ini bakal terlibat dalam pementasan teater KL Energetik anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2 hingga 4 Mac depan.

Ana Raffali Tidak Hirau Dipersendakan Gara-Gara Bertudung


PETALING JAYA: Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku, Ana Raffali tidak mahu menghiraukan cakap-cakap orang yang cuba mempersendakan penampilannya selepas tampil dengan imej bertudung.

Ana, 27, berkata, niatnya untuk melakukan perubahan dalam hidup dengan bertudung bukan untuk berfesyen tetapi melunaskan apa yang wajib untuknya sebagai seorang wanita Muslim.

"Segelintir pihak yang mempertikaikan gaya saya bertudung adalah berfikiran cetek dan berharap mereka hentikan kata-kata buruk terhadap orang lain.

"Bagaimanapun terpulang kepada mereka yang melihat kerana saya bertudung bukan untuk berfesyen tetapi berbalik kepada asas saya sebagai wanita Islam," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Ana diminta mengulas mengenai komen sesetengah pihak menerusi Internet yang mengatakan penyanyi itu gagal tampil menarik apabila memakai tudung.

Tambahnya, dia berasa selesa dengan imejnya kini dan apa yang dilakukannya adalah atas kesedaran sendiri dan bukannya paksaan sesiapa.

Ana mula bertudung pada sambutan Maulidur Rasul yang lalu dan memberitahu keputusan untuk berbuat demikian datang dengan sendiri pada hari tersebut.

Bersedia ke alam perkahwinan

Dalam perkembangan lain, Ana bakal melangsungkan perkahwinan dengan Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim, 30, pada Sabtu ini memberitahu dia telah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.

Ana berkata, dia tidak perlu berasa debar atau takut kerana perkahwinan itu sendiri adalah sesuatu yang dituntut dalam agama dan berharap akan menemui kebahagiaan sehingga ke akhir hayat.

"Sejujurnya saya langsung tidak rasa takut atau berdebar untuk bergelar isteri kepada Naim kerana perkahwinan bukanlah sesuatu yang menakutkan. Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan lancar pada majlis itu nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Ana berkata, persiapan untuk majlis itu telah hampir siap berkat daripada pertolongan daripada ahli keluarga dan rakan terdekat.

Acara pada Sabtu ini akan dimulakan dengan majlis pertunangan terlebih dahulu sekitar pukul 10.30 pagi dan upacara akad nikah sejam kemudian.

Kedua-dua pasangan itu akan dinikahkan sendiri oleh bapa Ana iaitu Mohd Raffali Mohd Nor.

'Saya Tidak Pandang Rendah Najwa Latif' - Jaclyn Victor


KUALA LUMPUR: Penyanyi Jaclyn Victor (Jac) menolak dakwaan kononnya dia telah memperlekehkan penyanyi Najwa Latif bertujuan untuk mematahkan semangatnya sebelum beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26), pada 29 Januari lalu.

Dalam pertandingan itu, Jac bertanding menerusi Sedetik Lebih dan Beribu Sesalan, sementara Najwa Latif muncul dengan lagu keramatnya, Cinta Muka Buku.

Menurut Jac atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 34, tuduhan yang pertama kali didengarnya itu adalah sesuatu yang melampau dan tidak logik.

“Bagaimana boleh timbul tuduhan kononnya saya merendahkan Najwa untuk menjatuhkan semangatnya sebelum beraksi di AJL sedangkan saya tidak bertembung dengannya langsung di belakang pentas.

“Selepas persembahan lagu Sedetik Lebih, saya hanya mengurung diri di dalam bilik menunggu kerana mahu membuat persiapan untuk lagu Beribu Sesalan pula.

“Secara logiknya bagaimana saya hendak bertembung dengan dia kerana giliran persembahan kami jauh. Untuk apa saya berperangai sebegitu kerana saya sibuk menumpukan perhatian untuk persembahan sendiri,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Jac berkata dakwaan itu adalah terlalu kejam dan memalukan kerana sebagai penyanyi yang baru beberapa tahun dalam bidang nyanyian, dia sentiasa sedar akan kedudukan dan statusnya.

“Tak perlu saya merendah-rendah atau mempersendakan orang lain walaupun dia penyanyi baru. Saya sedar kedudukan dan status saya dalam bidang muzik.

“Saya bukannya penyanyi yang hebat atau berpengalaman sehingga merasakan diri ini terlalu gah atau besar seperti dakwaan itu.

“Kalau hendak tahu, saya pernah bercakap bahawa kita tidak boleh memandang rendah pada keupayaan lagu budak ini (Najwa), jika tidak mana mungkin ia diminati ramai dan melangkah ke AJL,” katanya.

Bercerita tentang pembabitannya selaku peserta program realiti nyanyian terbaru, Mania, Jac berkata dia enggan terlalu memikirkan mengenai peluang dalam pertandingan yang rata-ratanya disertai oleh penyanyi lebih muda dan popular.

“Saya tidak mahu fikirkan soal menang, kalah, mahupun sejauh mana saya dapat bertahan dalam program itu.

“Ia bergantung kepada undian peminat dan rezeki. Apa yang lebih bernilai adalah peluang untuk bekerja dan menimba pengalaman daripada tiga komposer hebat Datuk M. Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito,” katanya.

'Lisa Buat Saya Kembali Percayakan Cinta' - Yusry


PUTRAJAYA: Anggota kumpulan KRU iaitu, Yusry Abdul Halim mendedahkan dia sebenarnya tidak lagi percaya kepada cinta selepas gagal dalam perkahwinan pertamanya dengan pelakon Erra Fazira enam tahun lalu.

Yusry, 39, bagaimanapun berkata, perasaan itu berubah selepas bertemu dengan pelakon Lisa Surihani yang telah berjaya membuka semula hatinya untuk menerima kehadiran seorang wanita dalam hidupnya.

"Jujur saya katakan bahawa saya tidak lagi percaya kepada cinta lagi selepas kegagalan pekahwinan saya dulu. Tetapi Lisa telah mengubah pendirian saya itu sehingga membawa kami kepada ikatan perkahwinan.

"Dia adalah insan yang telah berjaya membuka pintu hati saya dan saya amat bersyukur dengan anugerah itu," ujarnya selepas selesai upacara akad nikah di Hotel Marriot di sini pada malam Khamis.

Dengan sekali lafaz, pasangan itu sah menjadi suami isteri selepas diijabkabulkan oleh abang sulung Lisa, Mohamed Azan Mohamed.

Lisa menerima seutas rantai plantinum sebagai mas kahwin manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Hampir 250 tetamu dikalangan ahli keluarga terdekat kedua mempelai dan wakil media hadir pada majlis itu.

Tambah Yusry, dia jatuh cinta dengan Lisa kerana kebolehan wanita berusia 26 tahun itu bergaul dengan orang tua, pandai melayan karenah kanak-kanak dan kesempurnaan Lisa pada pandangan matanya.

Dalam pada itu, Lisa ketika ditemui memberitahu Yusry telah melengkapkan kehidupan beliau sebagai seorang wanita dan selesa bersamanya.

Ujarnya, Yusry telah mengajarnya untuk menjadi seorang insan yang lebih baik dan sempurna selain tertawan dengan sifat rendah diri lelaki tersebut.

"Daripada awal hubungan kami bukan main-main dan pada ketika itu juga saya tahu dia adalah lelaki yang tepat untuk saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, pasangan pengantin baru ini bakal menjelajah ke benua Eropah untuk berbulan madu.

Yusry berkata, mereka akan berangkat ke sejurus selepas selesai majlis resepsi perkahwinan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad ini.

"Kami berdua akan berlepas ke Switzerland terlebih dahulu sebelum menjelajah ke tempat lain dengan menaiki kereta," ujarnya.

Tambahnya, mereka memilih negara Eropah kerana sukakan cuaca sejuk dan akan berbulan madu selama dua minggu.

Ditanya mengenai soal anak, kedua-dua mereka berharap akan dikurniakan anak secepat mungkin.

"Jika boleh saya mahu empat orang cahaya mata," ujar Lisa.

Lisa juga memberitahu selepas kembali daripada bercuti, kedua-dua mereka akan kembali sibuk dengan tugas masing-masing.

Zaleha Hamid Sangkal Dakwaan Artis Veteran Boros Masa Muda


KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut popular 80-an, Zaleha Hamid menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh kononnya artis veteran pada ketika ini hidup susah kerana terlalu boros semasa mereka muda.

Sebaliknya, Zaleha berkata, kehidupan artis pada zaman dahulu tidaklah mewah seperti yang disangka, malah bayaran yang diterima hanyalah sekadar cukup makan.

"Ramai yang anggap kami (artis-artis veteran) hidup dalam kemewahan, walhal pada zaman saya iaitu tahun 1970-an penyanyi yang mendapat bayaran paling tinggi adalah Allahyarham Datuk Ahmad Jais sebanyak RM80.

"Manakala bagi penyanyi yang sederhana macam saya hanya mendapat RM40 sahaja setiap persembahan. Bayangkan dengan wang tersebut, kami perlu bijak membahagikan kepada wang saku dan perbelanjaan pakaian untuk persembahan pentas," katanya.

Tambah Zaleha yang popular dengan lagu Gadis Zaman Sekarang dan Hidup Miskin, dia juga menghadapi kesulitan yang sama apabila bayaran yang diterima akan diserahkan kepada ibunya bagi membuat perbelanjaan rumah.

"Memang diakui, agak sukar untuk artis seperti kami membuat simpanan wang masa depan. Itu pun kami bernasib baik kerana sudah disediakan tempat tinggal oleh syarikat naungan masing-masing," ujarnya.

Bagaimanapun, penyanyi ini bersyukur kerana sehingga kini dia masih lagi mampu bekerja demi menampung kehidupan diri dan keluarga menerusi perniagaan menganjurkan pertandingan karaoke di Mersing, Johor.

Selain itu Zaleha menyarankan kepada artis-artis muda sekarang supaya belajar menyimpan wang hasil daripada titik peluh mereka dalam kerjaya seni masing-masing.

"Mereka patut bersyukur kerana wang yang diterima beribu-ribu, lebih-lebih lagi yang memiliki pakej yang cukup.

"Saya ingin menasihati mereka supaya belajarlah menyimpan (wang) kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa akan datang," tuturnya.

Ary bangga dipanggil 'chef'


LIMA tahun menyepi daripada dunia seni, tiba-tiba dia muncul. Tetapi kali ini bukan seperti lazimnya sebagai personaliti televisyen sebaliknya menjadi peserta francais program realiti masakan terkenal, MasterChef versi Malaysia.

Ya, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa si kecil molek ini pandai memasak dan Ary Malik mengakui penyertaan dalam program kulinari popular itu turut mengubah pendirian dan hala hidupnya ketika ini.

Bukan mahu melupakan bidang seni, kerjaya yang dicintai dan telah diceburinya lebih dua dekad itu tetapi sejak terlibat dalam MasterChef Malaysia, ada keinginan lain yang bersarang dimindanya.

"Saya mahu menerbitkan buku masakan dan merancang untuk membuka sebuah restoran," katanya membuka rahsia.

"Perancangannya dalam tahun ini. Buat masa ini, saya sedang mencari penerbit untuk mengedarkan buku resipi saya dan untuk restoran pula, saya masih merencana persediaan dan sedang meninjau lokasi yang sesuai," tambahnya.

Bersama-sama suami, seorang pengarah kreatif yang dikenali sebagai Sha Bromo serta tiga anak perempuan, Nuhr Zoe Iman, 14, serta Dinda Pelangi Timor, lapan dan Ratu Chinta Mecca, enam, Ary yang ditemui baru-baru ini bagaimanapun memberitahu, keluarga tetap menjadi keutamaannya.

"Menjadi isteri dan mommy tetap nombor satu dan sepenuh masa. Dunia seni pula sudah menjadi sebahagian darah daging saya sejak melangkah masuk dalam bidang pengiklanan pada usia remaja.

"Saya amat mencintai dunia seni kerana ia luas. Bukan sahaja sebagai pelakon dan penerbit, saya juga suka melukis bersama suami dan anak-anak," katanya.

Sudah terlibat selama 23 tahun dalam bidang seni, antara iklan yang pernah disertainya termasuk Coca-Cola, Maxwell House, Lipton Tea, Colgate, Pantene dan juga Peter Stuyvesant Travel.

Kata pemilik nama sebenar, Nurita Maliha Aryanee Malik itu lagi, sebagai seorang seni, dia juga amat menghargai adat dan budaya dan kini baginya, sudut seni yang paling digemari adalah berada di dapur menghasilkan suatu hidangan.

"Jika ada yang bertanya, saya selalu mengatakan bahawa tugas pertama saya adalah sebagai isteri/mommy, kedua sebagai seorang artis dan penerbit dan jika diizinkan-Nya serta murah rezeki, insya-Allah tahun ini ada tugas ketiga iaitu sebagai seorang chef dan sekali gus menceburi bidang kulinari," katanya sambil tersenyum manis.

Menghilang diri

Ditanya mengenai 'kehilangannya' dalam industri seni tempatan, Ary memberitahu, dia berada di Singapura mengikut suaminya yang mempunyai tugas di republik tersebut.

Sepanjang di sana, kata Ary, dia dan suaminya berkesempatan menerbitkan beberapa produksi dari pelbagai genre seperti rancangan realiti, rancangan muzik, drama dan filem.

Bertindak sebagai penerbit bersama suaminya, Ary juga berlakon dalam beberapa terbitan yang diarahkan oleh Sha.

"Sempat juga kami memenangi beberapa anugerah pada Anugerah Pesta Perdana untuk terbitan Drama Bersiri berjudul Mandai United meliputi Videografi/Sinematografi Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Reka Imej Terbaik.

"Bagaimanapun, selepas beberapa lama di sana, saya dan suami berbincang dan bersetuju untuk kembali menetap di Kuala Lumpur," cerita Ary.

Menurut aktres itu yang juga merupakan kakak kepada penyanyi Flora Cinta, Min Malik, keputusannya kembali ke tanah air telah memberinya peluang menyertai MasterChef Malaysia.

Malah anak-anaknya merupakan insan yang beria-ia menggalakkan dia untuk terlibat dalam program kulinari popular itu dan anak sulungnya jugalah mencari dan mengisi borang penyertaan secara online.

"Saya sememangnya seorang yang suka berada di dapur. Saya boleh menghabiskan masa berjam-jam di ruang itu dan biar sibuk mana sekalipun, saya akan tetap cuba menyediakan masakan untuk keluarga.

"Dan satu keluarga juga tahu bahawa saya amat menggemari rancangan masakan di televisyen. Saya selalu berseloroh dengan anak-anak tiap kali menonton rancangan Masterchef dan berkata 'Oh, Mommy knows how to do that...maybe one day I will enter the show'.

"Tidak sangka, franchise Masterchef dikembangkan sehingga ke Malaysia dan apabila saya dan keluarga pulang ke tanahair, anak sulung saya (Zoe Iman) memberitahu bahawa ada uji bakat untuk Masterchef Malaysia.

"Zoe jugalah yang begitu bersungguh membuka Internet dan mencari secara online borang penyertaannya. Anak saya yang bongsu, Ratu Chinta juga mencadangkan kepada saya supaya tukar kerjaya yang menjadi pilihannya, menjadi Famous Chef!

"Anak kedua saya, Pelangi Timor juga menyokong cuma dia seorang yang hatinya agak lembut, jadi pada dua tiga minggu yang pertama (sewaktu Masterchef Malaysia bermula), hari-hari Pelangi menangis kerana merindui saya.

"Kata Zoe, setiap hari dia tidur memakai baju saya sehinggakan dia tidak mahu menukar baju tidur dan keluar bersama Dadanya untuk ke kedai dengan mengenakan pakaian itu," katanya.

Azean masih tegar mencari rezeki


KEPERITAN hidup yang dilalui primadona ini tidak pernah meragut semangatnya untuk terus berkhidmat kepada keluarga. Walaupun masa seharian kini banyak dihabiskan di atas katil, tanggungjawab sebagai pencari rezeki masih digalas pada bahunya demi menampung keperluan hidup sehari-hari.

Menurut Azean Irdawaty, 61, kini dengan kudrat kecil yang dimiliki dia masih menjalankan perniagaan jualan langsung seperti biasa. Walaupun tidak seaktif dulu, Azean atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yan akan tetap meneruskan perniagaan ini selagi termampu.

"Sekarang lebih mudah sebab Kak Yan hanya perlu menjalankan perniagaan jualan langsung ini melalui telefon.Tidak perlu selalu bergerak pun boleh buat bisnes.

"Namun itu juga bergantung kepada kemampuan. Kadang-kala sampai hari tak sihat tu, untuk bercakap juga Kak Yan tak larat," katanya ketika di temui di kediamannya di Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.

Kekuatan yang dimiliki wanita ini sentiasa menjadi inspirasi mereka di luar sana. Walaupun menjalani rutin harian penuh kepayahan sebagai pesakit barah, ia sedikit pun tidak pernah melunturkan hati wanita ini untuk terus membanting tulang demi eringan beban kewangan yang ditanggung keluarganya.

"Sebenarnya apa yang Kak Yan dapat ini hanya cukup untuk menampung perbelanjaan di rumah sahaja.

"Bagi perbelanjaan perubatan pula Kak Yan akui terpaksa bergantung kepada belas ehsan orang luar. Ini kerana jumlahnya bil perubatan yang terlalu tinggi tidak memungkinkan Kak Yan untuk menjelaskannya. Mana hendak cari duit seorang diri dalam keadaan macam ni," jelasnya.

Bercerita tentang perkembangan penyakitnya kini, menurut Azean walaupun ada tanda-tanda positif ketumbuhan di tulang belakangnya kini sudah mengecut, namun dia kini terpaksa menanggung satu lagi berita sedih apabila tidak akan dapat meneruskan rawatan kimoterapi yang berjumlah RM9,874 sebulan.

"Memanglah doktor tidak bagi saya berhenti dari meneruskan rawatan ini, namun memandangkan bayaran untuk meneruskan rawatan ini terlalu tinggi Kak Yan terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti menerima rawatan tersebut.

"Malah jika diikutkan juga, bekalan ubat-ubatan seharian juga hanya akan bertahan sehingga hujung bulan ini sahaja. Untuk bulan depan, Kak Yan masih lagi tidak tahu bagaimana untuk mendapatkannya lagi," jelasnya.

Reda dengan ketentuan yang sudah ditakdirkan ini, menurut wanita besi ini dia tidak pernah membelakangi kuasa Allah. Ini kerana Azean tahu hidup mati bukan bergantung kepada ubat-ubatan yang diambilnya, sebaliknya pada ketentuan Allah semata-mata.

"Kak Yan pernah cakap kepada anak-anak, jika Allah nak panjangkan usia dengan ubat-ubatnya ini maka panjanglah umur Kak Yan.

"Dan sebab itu walaupun tidak mampu meneruskan rawatan dan hanya berserah sahaja kepada takdir, sekurang-kurangnya Kak Yan sudah berpuas hati kerana telah berusaha sebaik boleh untuk mengubati penyakit ini," katanya.

Tidak terpinggir

Kehadiran ramai rakan artis di dalam memberikan sokongan buat dirinya sentiasa menjadi inspirasi buat wanita ini di dalam meneruskan kehidupannya. Malah bagi anak seni ini, dia juga sebenarnya tidak pernah merasai dipinggirkan dari dunia seni walaupun sudah lama tidak muncul di dalam di kaca televisyen.

"Ada di antara rakan-rakan artis yang sering melawat Kak Yan , kadangkala terubat rasa pilu di hati melihat kepada keprihatinan mereka.

"Walaupun begitu, Kak Yan tidak pernah kecil hati dengan mana-mana rakan artis lain yang tidak sempat menjenguk. Sebagai seorang artis Kak Yan sendiri tahu jadual anak seni itu macam mana kadang kala kesibukan membataskan mereka dan rasanya bukan niat mereka untuk meminggirkan Kak Yan," katanya.

Walaupun menghadapai waktu sukar, pelakon ini tidak pernah merasakan ia sebagai penyebab untuk terus meratapi perjalanan takdirnya. Malah bagi pelakon hebat ini dia tahu hanya kekuatan semangat yang mampu menyembuhkan kesedihan yang di tanggung.

"Kak Yan reda dan terima segala yang telah ditentukan. Apa yang penting Kak Yan perlu kuat untuk meneruskan perjuangan selama ini," katanya.

Cabaran cinta Shila dan Sharnaaz


TIDAK seperti sesetengah artis yang suka mengelak atau lebih senang mendiamkan diri daripada mengulas mengenai cinta mereka, pasangan ini nyata sebaliknya.

Mereka kelihatan begitu romantis dan tidak menyembunyikan perasaan indah yang dirasai itu daripada mata umum. Malah kedua-duanya amat terbuka memperkatakan tentang hati dan perasaan masing-masing.

Tidak mahu berselindung dan amat memahami diri masing-masing sebagai seorang artis yang menjadi tumpuan, mereka mengakui lebih senang berterus terang mengenai hubungan masing-masing.

Kini mereka ibarat belangkas yang tidak boleh dipisahkan. Ke mana sahaja bersama andai ada masa terluang.

Namun bukan mudah bercinta atas tiket seorang artis. Cabaran itu kini dirasai oleh pasangan Shila Amzah, 22, dan Sharnaaz Ahmad, 27.

Masakan tidak, tatkala mereka berdua sedang enak diulik cinta, timbul isu hangat yang mengaitkan gaya romantis yang ditunjukkan pasangan ini.

Ada mendakwa cara mereka di hadapan kamera terlalu berani malah kemesraan Shila dan Sharnaaz di khalayak ramai juga mula dipersoalkan.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah tenang sahaja ketika diminta menjawab mengenai perkara tersebut.

Tidak mahu cepat melatah, tegas Shila, bukan niatnya untuk memulakan sebarang kegusaran di hati peminat.

Bagi anak kepada penyanyi popular tahun 1980-an, N.D. Lala itu, dia hanya mahu menjadi dirinya sendiri.

“Secara jujurnya kami berdua tahu akan batas yang perlu kami patuhi sebagai anak serta artis.

“Jadi, sepatutnya tidak timbul isu ini kerana peminat Shila sendiri sebenarnya tidak pernah menyuarakan rasa tidak senang mereka di atas kemesraan yang kami pamerkan,” katanya ketika ditemui pada majlis santai telefilem Patah Seribu lakonannya bersama Sharnaaz.

Bagaimanapun kata Shila, dalam mendapatkan kepercayaan keluarga dan peminat terhadap hubungannya dengan pelakon tersebut, dia bersedia untuk menerima sebarang teguran dan nasihat.

Ini kerana, bagi penyanyi muda itu, tiada lain yang dimahukan selain yang terbaik untuk sebuah hubungan yang masih mentah ini.

“Jika ada yang tidak senang dengan hubungan kami, saya minta maaf.

“Mungkin dengan teguran serta nasihat yang diberikan kami berdua akan mendapat hubungan yang direstui,” tambahnya.

Mengharungi kehidupan sebagai seorang penyanyi sejak berumur 10 tahun, bagi Shila, pengalaman selama 12 tahun berada dalam dunia hiburan banyak mengajarnya untuk menjadi seorang yang jujur.

“Bukan mudah sebenarnya untuk menjalinkan hubungan ini, tambahan pula dengan gelaran yang dipegang kami berdua.

“Bagaimanapun membawa gelaran sebagai seorang artis tidak bermakna hubungan ini harus dirahsiakan.

“Saya percaya saya juga milik peminat dan mereka mempunyai hak untuk mengetahui mengenai hubungan ini,” katanya.

Keluarga jadi landasan

Menurut Shila, seperti lazim seorang insan, dia juga ingin merasai kehangatan sebuah percintaan seperti orang lain biarpun dirinya bergelar artis dan dikenali ramai.

Namun cara dia menghargai cinta pertamanya ini sedikit berbeza seperti orang lain apabila keluarga sentiasa menjadi landasan untuk memastikan kesucian hubungan tersebut.

“Kami tidak pernah keluar berdua bersama. Selalunya saya akan ditemani sama ada oleh ibu atau adik saya.

“Mungkin agak janggal pada yang tidak biasa. Namun bagi saya sendiri, ia merupakan cara terbaik untuk kami berdua malah Sharnaaz sendiri selesa dengan permintaan ini,” jelasnya.

Ditanya keistimewaan yang terdapat pada lelaki pilihannya itu, Shila memberitahu, walaupun masing-masing mengenali di antara satu sama lain sejak dua tahun lalu namun dia dan Sharnaaz hanya mula bercinta sejak lima bulan lepas.

“Satu sikapnya yang membuatkan saya tertarik kepada Sharnaaz adalah cara dia menghormati keluarga saya.

“Selain itu Sharnaaz juga melalui pandangan saya adalah seorang yang bertanggungjawab bukan sahaja terhadap dirinya tetapi juga cara dia menghargai hubungan kami berdua,” jelasnya.

Bukan cari populariti

Mempunyai impian untuk bergelar pelakon sejak kecil, kata Sharnaaz, dia sebenarnya diminta oleh ayahnya untuk menghabiskan pengajian terlebih dahulu sebelum boleh mengejar cita-citanya itu.

“Bagi menghormati permintaan ayah hanya selepas mendapat ijazah dalam bidang Logistik dari Kolej Olympia, Kuala Lumpur baru saya berjinak-jinak dengan dunia lakonan.

“Walaupun bermula agak lewat saya bersyukur dengan peluang yang diberikan kepada saya malah sehingga kini saya sebenarnya masih di dalam proses pembelajaran bagi memantapkan teknik lakonan saya,” katanya yang sering menimba ilmu daripada rakan pelakon yang lebih senior.

Mempunyai pengalaman berkerja dalam dunia perbankan, cari gali minyak dan hartanah, menurut Sharnaaz dia sebenarnya amat tertarik dengan bidang professional sebelum memilih untuk terjun ke dalam dunia lakonan.

“Saya sebenarnya suka mencari pengalaman dan sebab itu saya tertarik untuk berada di dalam dunia professional, walaupun tidak lama ia banyak membantu saya.

“Sebenarnya tujuan saya berada di dalam dunia lakonan bukanlah untuk mencari populariti semata-mata ini kerana apa yang paling penting untuk saya adalah untuk mengetengahkan bakat yang dimiliki saya,” katanya.

Bergelar pelakon

Sementara itu Shila pula yang julung kali melangkah ke dunia lakonan melalui telefilem Patah Seribu arahan Michael Ang memberitahu agak gementar dan gusar dengan kemampuan dirinya.

Namun sokongan oleh para pelakon yang menjayakan telefilem tersebut serta Michael telah memudahkan percubaan kali pertamanya itu.

"Selama 12 tahun berada dalam industri, ini kali pertama saya bergelar seorang pelakon.

"Pada mulanya saya agak takut. Itulah pertama kali memegang skrip. Namun lama kelamaan ia menjadi mudah apabila mendapat bantuan dari Michael sendiri," katanya.

Masih tidak pasti apakah akan terus aktif dalam dunia lakonan, menurut Shila, buat masa ini dia lebih senang memberi tumpuan kepada bidang nyanyian.

Malah dia percaya, tahun ini bakal menjanjikan sesuatu yang lebih manis untuk dirinya sebagai seorang penyanyi.

"Tahun ini kalau boleh saya mahu menumpukan perhatian kepada bidang nyanyian dahulu. Namun saya juga tidak akan meminggirkan dunia lakonan yang baru saya ceburi ini.

“Semuanya terpulang kepada kemampuan saya kerana saya tidak mahu hilang fokus. Dan antara impian utama saya untuk tahun ini adalah untuk muncul dengan album baru.

“Tentu sahaja album ini sesuatu yang amat istimewa kerana saya yang akan menulis semua lagu-lagu yang terkandung dalam album ini nanti," katanya yang baru menjulang trofi Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) bersama trio 3Suara menerusi lagu Beribu Sesalan yang didendangkan bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails