Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sayang Salma...


PENDATANG baru ini mengakui bahawa keperitan untuk memuaskan hati semua pihak lebih rumit berbanding kesakitan dek penyakit misteri yang dialaminya sejak hujung tahun lalu. Penyanyi berasal dari Tawau, Sabah ini merujuk kenyataannya itu kepada tindakan segelintir pihak yang melabelnya seorang besar kepala selepas bergelar Juara Mentor Musim Kelima pada Mei 2011.

Salma didakwa menumpang tuah Erra Fazira, penjaganya dalam rancangan realiti itu yang banyak memberi tunjuk ajar sebelum berubah sikap sehingga ada pihak yang kurang senang nekad ‘menjatuhkannya’.

“Bila orang terus cakap saya besar kepala, saya geleng kepala sebab saya tak tahu bila masa saya cari gaduh. Jadi, saya anggap bahawa orang fikir buruk tentang saya itu adalah orang yang salah faham sebenarnya.

“Tak baik cakap saya tumpang populariti Kak Erra sedangkan dia banyak bagi tunjuk ajar, cara nak kukuhkan karier dan macam-macam pertolongan tanpa berkira.

“Tapi bila saya sakit, orang cakap itu disebabkan perangai buruk saya sebelum ini’ sedangkan orang yang cakap tu tak tahu macam mana sakit yang saya alami,” luah Salma.

Kenapa Salma bersikap defensif menguraikan gosip tentang dirinya sedangkan belum satu pun dakwaan tersebut itu benar? Menjawab pertanyaan ini, penyanyi lagu Aku Pertama ini menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab: “Saya kena jawab apa orang cakap tentang saya. Saya tahu bukan mudah nak berada di puncak. Jadi saya perlu buat penjelasan, bersihkan nama supaya orang dah tak salah anggap tentang saya.

“Memang saya tak boleh layan semua gosip, kalau dilayan boleh jadi gila, tapi jangan melampau sangat. Kenapa nak kaitkan penyakit yang saya alami dengan unsur mistik atau balasan dosa lampau?” soalnya kembali.

Mengulas terperinci penyakit misteri yang dialaminya itu membuatkan emosi Salma boleh berubah sekelip mata, peminat jus lobak ini diam seketika.

“Perkara ini terlalu sukar nak disahkan sama ada buatan orang atau tidak. Saya tak boleh cakap sangat,” ringkasnya berhemat tanpa mahu menyalahkan mana-mana individu.

Ditanya adakah Salma menyesal bergelar penyanyi, wanita yang bakal menyambut hari jadi ke-22 tahun pada 9 April ini berkata: “Saya tidak akan mengeluh jadi anak seni. Sekarang waktu fokus kerja, saya berazam nak kerja kuat demi keluarga.”

Rindu anak

PENYANYI berbintang Aries ini turut menyatakan kerinduan mendalam terhadap Puteri Nurul Huda, cahaya mata kesayangan berusia empat tahun yang berada jauh di kampung halamannya.

“Sebab anak saya kena kerja kuat demi masa depannya. Tak apalah walaupun sakit sikit untuk cari rezeki asalkan dia bahagia nanti. Wajah comel dia umpama penyembuh luka paling mujarab dalam situasi apa pun.

“Memang rindu bila anak jauh di mata, sebab itu saya kena balik Sabah sebulan sekali jumpa dia. Nak cium dan peluk dia kuat-kuat,” katanya penuh makna di hujung perbualan.

Shiha tak hina rezeki


GEDIK sungguh! Itu dakwaan yang dilemparkan oleh penonton setia program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) yang bersiaran di saluran TV3 setiap hujung minggu.

Selepas menggunakan khidmat pengacaraan daripada Maria Tunku Sabri dan Qi Razali, program itu kini diambil alih oleh Shiha Mentor yang bergandingan dengan Iqbal Mazlan yang dikenali dari rancangan Pilih Kasih.

Namun, percaturan pihak TV3 meletakkan mereka berdua sebagai pasangan pengacara rancangan itu tidak menjadi yang menyebabkan ramai yang kerja pelapis baru tersebut dengan yang lama.

Ada yang kata cara penyampaian pasangan pengacara itu tak menarik, membosankan dan gedik, cukup berbeza dengan pengacara sebelum ini.

Pun begitu, kritikan itu lebih banyak bertumpu pada bekas protege Datuk Sharifah Aini ini.

Aksi gedik yang dimaksudkan itu dilihat dalam salah satu episod JJCM di mana Shiha dan Iqbal perlu membawa penonton menikmati sajian belut.

Kita faham kalau seseorang itu geli dengan haiwan sebegitu untuk dimakan tetapi ramai yang menyuarakan pandangan tidak puas hati apabila Shiha sebagai pengacara gagal menunjukkan persepsi yang baik terhadap makanan eksotik itu.

Dia didakwa terpekik terlolong kononnya geli sangat untuk menjamah makanan tersebut.

Amboi adik... Satu Malaysia menonton program JJCM ni tahu tak!

Sebagai pengacara sebuah program yang fokusnya adalah keenakan makanan.

Jadi wajarkah Shiha buat perangai sebegitu yang kemudiannya ditonton oleh jutaan rakyat di negara ini?

Penyanyi berusia 25 tahun ini ada pengakuannya untuk pembaca ruangan Apa Cerita kali ini.

Hentikan sandiwara Stacy!


Pada satu petang, Joyah menerima panggilan daripada seorang pembaca setia Pancaindera bernama Lili (bukan nama sebenar) mengadu kecewa sebab penyanyi kesayangannya, Stacy tak datang buat show di sebuah taman tema di Perak baru-baru ini.

Walaupun digantikan Leez Rosli, tapi Lili terkilan bila penganjur beritahu Stacy ada hal saat-saat akhir. Lili cakap, ini bukan kali pertama Stacy buat perangai tapi Joyah tak percaya, kenalah selidik dulu kebenaran cerita orang ni!

Joyah ambil masa seminggu nak kumpul maklumat, Joyah tanya mana-mana sumber yang boleh dipercayai dan akhir sekali pada pihak penganjur. Cukup memeranjatkan bila dapat tahu Stacy memang dah lama buat perangai macam itu.

Mula-mula dia kata okey, tapi bila tiba hari dijanjikan, Stacy cari alasan, cakap makcik sakitlah, mak kena kenduri kahwin saudaralah dan macam-macam lagi sandiwara.

Joyah tepuk dahi sebab Stacy yang dulu tak macam yang digambarkan Lili. Joyah tertanya-tanya, kenapa Stacy buat perangai tak senonoh ni? Stacy dah bosan jadi penyanyi ke?

Kalau dah tak mahu jadi artis, buat sidang akhbar pengunduran diri ye, jangan nak menyusahkan penganjur bila tarik diri saat-saat akhir.

Peristiwa Stacy tarik diri ini juga buat Joyah terus teringat gosip kata Stacy diva akhir tahun lalu. Stacy menafikan, siap minta maaf kalau ada pihak yang terasa, tapi Stacy ulang lagi perangai lama.

Hummm... kalau begini cara awak kan, memang tak lamalah jangka hayat awak. Stacy kena ingatlah, masa orang nak kita inilah kita kena tunjukkan prestasi terbaik, bila dah tak nak, jangan haraplah penganjur nak tengok muka awak!

Melia difitnah blogger


DUNIA seni bukan hanya glamor semata-mata, silap langkah padah pasti menjelma. Pelbagai spekulasi dan gosip terpaksa ditempuh dengan bijak. Ini boleh menjadikan seseorang artis itu matang dan tidak terperap dalam dunia mereka yang kecil.

Macam pelakon ini, baru sahaja menjadi pelakon utama filem Karipap-Karipap Cinta, nama Melia Aimellia sudah menjadi sebutan. Malangnya dia disebut bukan kerana kehebatan lakonan tapi kisah sensasi apabila dia didakwa membuat video bogelnya sendiri.

Video memualkan itu kini tersebar di dunia maya dan mengundang persepsi negatif. Dia dikecam oleh masyarakat kerana kerja yang tidak senonoh itu. Video 30 saat itu yang menampakkan tubuh dengan aksi mengghairahkan kemudian jatuh ke tangan orang lain.

Bermulalah detik hitam Melia yang baru sahaja berumur 18 tahun ini ketika rakan sebaya berhempas pulas dengan pelajaran, dia bersilat menepis kontroversi.

"Saya tidak mahu perkara ini terus berlanjutan lagi, saya malas nak fikir, perkara ini menyebabkan diri saya lemah berbanding sebelum ini, cukuplah memfitnah saya.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang tersebar. Itu bukan saya. Selepas melihat gambar itu, saya cukup benci terhadap orang yang menyebarkan fitnah ini," ungkap Melia ketika ditanya berkenaan isu video bogelnya yang sedang panas diperkatakan ketika ini.

"Saya akan cuba bersihkan nama saya selepas ini. Terserahlah, kalau orang mahu percaya atau tidak. Saya tak paksa orang untuk percaya, hanya ibu yang kenal dan rapat dengan saya sahaja tahu bentuk tubuh saya. Saya hairan kenapa jadi begini.

"Itu memang bukan saya, saya menafikan sekeras-kerasnya. Tuhan itu Maha Adil, semoga Dia memberikan balasan kepada mereka yang cuba mengeksploitasi saya," katanya tanpa berselindung.

Melia percaya kepada undang-undang dan dia menyerahkan urusan tersebut kepada pihak berwajib bagi menguruskannya.

Menjawab beberapa blog yang menyatakan bekas teman lelakinya sendiri bertanggungjawab menyebarkan video bogel tersebut, Melia mencabar mereka menamakan siapa dia?

"Kalau betul orang cakap video ini telah disebarkan oleh bekas teman lelaki saya, cuba nyatakan teman lelaki saya yang mana? Saya akui ada ramai teman lelaki, semua hubungan saya sebelum ini tidak kekal lama, kebanyakan blogger mencanang kisah saya demi menghangatkan cerita sahaja.

"Saya juga ingin menafikansengaja mencari publisiti murahan untuk menjadi popular dengan membuat video itu," tegasnya.

Keluarga pembakar semangat

Selepas tersebarnya video bogel mirip Melia di Internet, tawaran daripada syarikat penerbitan juga semakin kurang.

"Saya akui sejak kebelakangan ini agak sukar untuk saya menerima tawaran berlakon daripada mana-mana produksi, mungkin mereka agak tawar hati selepas mengetahui mengenai video tersebut.

"Selain saya, keluarga juga turut menerima tempias. Ibu dan bapa saya terutamanya begitu malu setelah tersebarnya video ini, maklum sajalah mereka selama ini yang membesarkan saya, mereka begitu faham dengan perangai saya.

"Saya boleh sahaja memaafkan pihak yang memfitnah saya andai kata mereka tampil berjumpa dengan saya. Tapi keluarga saya belum pasti lagi boleh memaafkan mereka," katanya.

Ujar anak jati Kuala Lumpur ini lagi, melangkah kaki ke dunia lakonan adalah kerana minatnya sejak kecil dan niat murninya untuk membantu keluarga.

"Saya cukup minat berlakon, saya mula berlakon pada usia 16 tahun dan memegang watak tambahan sahaja, saya lahir daripada keluarga biasa. Niat saya adalah mahu mengubah nasib keluarga .

"Saya anak sulung dan mempunyai seorang adik yang mengalami masalah kesihatan, jadi saya mempunyai tanggungjawab besar bagi menjaga keluarga saya selepas ini.

"Keluarga saya membuatkan saya menjadi begitu kuat dan bersemangat untuk mengharungi episod duka yang telah menyelubungi saya selama ini," jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan filem Karipap-karipap Cinta lakonannya yang kurang mendapat sambutan, jelasnya mungkin filem itu bukan selera sebenar penonton Malaysia.

"Masih belum rezeki saya dalam filem tersebut, namun banyak ilmu yang saya peroleh melalui filem ini kerana saya telah digandingkan dengan beberapa nama besar antaranya Eman Manan, Gambit dan Sani Sudin.

"Walaupun kurang mendapat sambutan, saya tetap tidak akan mengalah, saya akan terus cuba lagi sehingga betul-betul berjaya dalam bidang lakonan ini," jelasnya.

Anne mengaku ‘suka’ Aliff


BUAT masa sekarang kami masih lagi dalam proses mengenali hati budi.” Mungkin ini adalah antara jawapan yang paling biasa diberikan oleh artis-artis tanah air apabila mereka dikaitkan dengan seseorang.

Sudah menjangka jawapan tersebut daripada empunya badan yang pernah membintangi drama bersiri Cili Padi ini, Naszriah Ngasri atau lebih mesra disapa Anne, jujurnya tidak mahu terburu-buru dalam melakukan sebarang keputusan.

Apatah lagi keputusan yang bakal diputuskan itu melibatkan masa depan serta tiga cahaya matanya, Abdul Warits, 6, Abdul Wafri, 4 dan Naszhara Afroza, 2 tahun.

Ketika ini, hubungan Anne bersama Aliff Aziz dikatakan semakin hangat dan diibaratkan seperti pasangan yang sedang bercinta.

Berpeluang bertemu dengan empunya badan baru-baru ini, Hits sempat mengajukan soalan mengenai sejauh mana hubungan mereka ketika ini.

“Saya akui kami memang serasi dan juga senang untuk dibawa berbincang.

“Lagipun jika Aliff ada sebarang masalah atau ada apa yang ingin dia luahkan, dia akan beritahu saya.

“Kami memang kawan rapat dan buat masa sekarang saya tidak mahu meletakkan apa-apa status dalam hubungan kami.

“Apa yang penting, kami tidak hipokrit dan andainya hubungan ini nanti bakal membawa ke gerbang perkahwinan, kami akan beritahu,” kata Anne sambil mengukir senyuman manis.

Sebagai insan yang terlebih dahulu makan garam, Anne banyak menasihati Aliff dalam setiap perkara yang ingin dilakukannya.

“Saya beritahu dia agar fokus kepada kerjaya dia dan saya pula fokus terhadap kerja saya.

“Kadang-kala jika dia ada masalah, kalau saya boleh tolong, saya tolong,” jelas Anne ketika ditemui di Titiwangsa ketika menghadiri majlis sumbangan wang bantuan kepada Rumah Titian Kasih Titiwangsa, baru-baru ini.

Selain itu, Anne memberitahu buat masa ini, dia masih lagi mampu untuk menguruskan tiga cahaya matanya malah dalam masa yang sama turut mendapat sokongan penuh daripada keluarganya.

Pernikahan Azza (Elite) Ahad Ini Tanpa Majlis Bertunang


PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Azza (Elite) membuat keputusan untuk berkahwin dengan seorang pramugara AirAsia, Azlan Zulaily, pada 1 April ini tanpa sebarang ikatan pertunangan kerana enggan melalui cabaran yang tidak diduga itu.

Azza atau nama sebenarnya Azzarima Zawari berkata, sama ada bertunang atau tidak, ia bukanlah satu persoalan atau isu yang besar, sebaliknya lebih mudah untuk dirinya dan pasangan untuk mendirikan rumah tangga terus.

"Rasanya, perkara baik (berkahwin) tidak perlu dilengah-lengahkan. Dan saya rasa, kami tidak perlu melalui fasa pertunangan.

"Nanti banyak pula cabarannya. Sudahlah kerja penuh dengan cabaran, sebelum kahwin pun nak ada cabaran pula. Saya tidak mahu melalui itu," katanya yang dihubungi mStar Online , di sini, Ahad.

Bercerita mengenai persiapan perkahwinannya, Azza berkata, dia belum merasai debaran untuk menjadi isteri orang tetapi mengakui, semakin dekat tarikh pernikahannya, semakin banyak pula tawaran lakonan yang diterima.

"Mungkin inilah dia dikatakan rezeki nak kahwin agaknya. Memang sejak kebelakangan ini saya terpaksa tolak pelbagai tawaran lakonan, demi membuat persiapan diri pada majlis pernikahan nanti.

"Apa yang saya berlaku sekarang, sama seperti perkahwinan terdahulu saya. Bila nak kahwin saja, tiba-tiba kerja datang selonggok. Alhamdulillah, saya bekerja macam biasa dan mengambil kerja-kerja lakonan mengikut kemampuan diri, sampai badan rasa nak demam dibuatnya.

"Dan setakat sudah 70 peratus persiapan yang dilakukan. Saya bersyukur kerana mempunyai teman-teman yang membantu, terutamanya, teman baik saya bernama Sam," ujarnya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama “Baitulrahmat”, terbitan JS Pictures.

Azza bakal melangsungkan pernikahannya di Masjid Bukit Antarabangsa pada Ahad depan selepas solat Zuhur sementara majlis resepsinya pula akan diadakan di pasar raya Mydin, Ipoh, Perak yang belum ditentukan tarikhnya.

Perkenalan Azza dengan Azlan bermula pada perayaan tahun baru 2011 dan dia telah dilamar pada 1 November lalu dengan menerima mesej yang dilukis pada skrin komputer tablet.

"Pertama kali saya berkenalan dengan Azlan, saya dapat rasakan bahawa dialah lelaki yang sesuai untuk dijadikan suami. Keikhlasan dan kejujurannya membuatkan saya tidak ragu-ragu untuk melangkah ke alam perkahwinan buat kali kedua.

"Lebih bermakna lagi apabila kedua-dua belah pihak keluarga merestui hubungan kami," ujarnya.

Terdahulu, pelakon yang bergelar ibu tunggal selama enam tahun ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce (Ehsan) pada 14 Februari 2001 di Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur dan bercerai pada pertengahan November 2004.

Mereka memiliki seorang anak angkat iaitu Marissa Janna yang kini berusia tujuh tahun.

Membelakangi Ketua, Harun Kesal Sikap Zed Zaidi


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) iaitu Harun Salim Bachik kesal dengan sikap salah seorang ahli jawatankuasanya iaitu Zed Zaidi yang cuba membelakangkannya sebagai ketua.

Harun berkata, Zed yang merupakan Pemangku Presiden Seniman dan Ketua Biro Seniman Muda tidak pernah mengambil inisiatif untuk berbincang dengannya sebagai Presiden dalam melaksanakan apa juga aktiviti.

"Saya tidak pasti mengapa dia enggan bercakap, berbincang atau sekurang-kurangnya memaklumkan kepada saya apa yang sedang dia lakukan bagi pihak persatuan.

"Lihatlah apa terjadi kepada kekecohan yang berlaku mengenai isu cermin kereta gelap? Cadangan itu pun tidak pernah dibawa berbincang dengan saya sebaliknya saya hanya mengetahui daripada pihak lain.

"Apabila saya hubunginya baru dia jelaskan tetapi nampaknya sudah terlambat," katanya kepada mStar Online.

Harun berkata, tiga memorandum yang dihantar kepada pihak kerajaan bersempena Festival BN Youth baru-baru ini juga tidak melibatkan dirinya dan beliau amat kesal kerana diketepikan sedemikian rupa.

"Dalam hal-hal sebegini ketua perlu dimaklumkan dan perbincangan secara serius hendaklah dilakukan tetapi itu tidak berlaku kepada saya. Orang akan nampak seperti saya tidak buat kerja tetapi hakikatnya masyarakat tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," ujarnya.

Harun berkata, sidang media penjelasan mengenai cermin kereta gelap dan isu penyiaran gambar bogel artis oleh sebuah portal hiburan yang berlangsung pada Jumaat lalu juga tidak dimaklumkan kepadanya.

Harun memberitahu dia hanya mengetahui perkara tersebut daripada seorang ahli Seniman lain.

"Apa juga perkara yang dia ingin lakukan, saya sebagai presiden menyokong penuh kerana jelas dia begitu bersungguh-sungguh dalam membantu golongan artis tetapi peranan saya sebagai presiden tidak patut ditolak ke tepi.

"Saya berhak untuk mengetahui tentang apa yang sedang berlaku. Soal saya boleh datahng atau tidak, itu bukan soalnya kerana jika ada pihak media bertanya, sekurang-kurangnya saya tahu apa yang ingin dijawab bagi pihak dia atau persatuan," ujar Harun.

Harun menambah, dia masih tidak memahami mengapa Zed ingin membelakanginya dalam segala hal kerana hubungan mereka langsung tiada masalah sebelum ini.

"Sehingga saat ini saya boleh katakan saya langsung tidak bergaduh atau bermasam muka dengannya. Saya sendiri kurang pasti mengapa dia berbuat demikian.

"Saya tidak kisah jika dia ingin mendapat nama dalam setiap perkara yang dilakukannya tetapi jangan membelakangi persatuan," katanya.

Dia juga bercadang untuk bersemuka dengan Zed dalam masa terdekat bagi meleraikan apa yang dianggap sebagai salah faham supaya selepas ini mereka boleh bersama-sama berganding bahu aktif membantu semua ahli Seniman.

"Tak elok rasanya perkara ini berpanjangan kerana saya tidak pernah mempunyai masalah dengannya dan saya harap dia juga begitu.

"Apa-apa pun ini mungkin salah faham dan perjumpaan secara bersemuka diharap dapat menyelesaikan masalah ini," katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, dia tidak pernah membelakangi Harun setiap kali melakukan apa saja aktiviti di bawah persatuan tersebut.

"Setiap sidang media mahupun aktiviti yang dijalankan Seniman, saya akan memberitahu Harun selaku ketua saya dan setakat ini dia tahu semua perkembangan yang berlaku.

"Lebih-lebih lagi pada ketika ini, dia terlalu sibuk dengan kerja-kerja seninya, takkanlah Seniman akan senyap jika dia sibuk bukan? Jadi saya sebagai timbalannya, perlu melakukan sesuatu untuk menggerakkan persatuan," katanya.

Tambah Zed Zaidi lagi, kekerapannya yang tampil membuat kenyataan tanpa Harun bukan kerana ingin merebut jawatan presiden persatuan itu.

Rumah Dimasuki Perompak, Mawi Diikat


PETALING JAYA: Penyanyi Asmawi Ani atau Mawi menerima nasib malang apabila rumah banglonya di sebuah kelab golf di Bangi dekat sini dimasuki perompak bertopeng awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Mawi,31, serta tiga penghuni rumah iaitu isteri, Nora’Asikin Rahmat (Ekin),33, ibu mertua Mawi, Fatimah Saad,56, dan nenek mereka Salmah Sahar,77, telah diikat oleh empat orang perompak yang memecah masuk melalui pintu dapur rumah.

Anak mereka yang baru lahir pada 28 Februari lalu iaitu, Cahaya Malaika dan orang gaji tidak diapa-apakan.

Kembar kepada Ekin iaitu Nora’Ain Rahmat (Eein) berkata, semasa kejadian semua penghuni rumah sedang tidur sementara Mawi baru pulang dari Johor Baru selepas selesai siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Katanya, perompak pada mulanya mengetuk pintu bilik nenek sebelum bertindak mengikat mereka kecuali orang gaji serta anak kecil sebelum mengarahkan mereka menyerahkan wang dan barang kemas.

“Tiga daripada empat perompak itu memakai topeng dan salah seorang daripada mereka bersenjatakan pedang samurai sambil memaksa semua penghuni rumah menyerahkan barang berharga,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Tambah Eein, perompak turut melarikan dompet milik Mawi dan Fatimah, telefon bimbit serta beberapa barang berharga lain yang dianggarkan bernilai RM10,000.

Een berkata, dia bersyukur kerana dalam kejadian itu tiada sesiapa yang cedera.

Sementara itu Mawi tidak dapat dihubungi kerana telefon bimbitnya dan isteri turut dikebas perompak terbabit.

Amanda Tak Kisah Tak Popular Seperti Haliza Misbun


PETALING JAYA: Pelakon Amanda Misbun, 23 mengakui dia tidak dapat menandingi kehebatan bakat lakonan kakaknya iaitu Haliza Misbun dan tidak kisah jika kurang popular seperti pelakon Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami itu.

Amanda berkata, dia bersyukur kerana memiliki seorang kakak yang berbakat dan pada masa sama dapat mengajar selok belok dunia lakonan daripadanya.

"Jujur saya katakan, sikit pun saya tak kisah tidak meraih populariti seperti kakak dan saya lebih sukakan begitu.

"Ini kerana saya dapat mengembangkan bakat lakonan saya sebaik mungkin sehinggalah masyarakat luar menyedari kehadiran saya dalam sesebuah lakonan itu

"Dan apabila orang mula menyedari kewujudan saya dalam industri seni ini, maka kerja keras yang dilakukan itu berhasil. Alhamdulillah, segala hasil kerja saya kini mula menjadi perhatian dan ini semua berkat doa dan dorongan yang diberi oleh kakak," katanya.

Tambah Amanda, selama empat tahun bergelar pelakon, segala aturan perjalanan kariernya banyak dibantu oleh Haliza yang dianggap sebagai mentornya sendiri.

Dalam pada itu, pelakon drama Apa Celop itu juga bersyukur keranapublisiti yang tidak diberikan secara meluas membuatkan dia bebas daripada kontroversi.

"Alhamdullah, saya dieknali kerana lakonan dan bukannya kontroversi. Justeru itu saya mahu asah lagi bakat yang ada untuk ketengahkan di bidang lakonan yang saya sayangi ini," ujarnya.

Sementara itu, Amanda yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 3 Mac lalu berkata, dia lebih gemar mengambil tawaran berlakon drama supaya jangka masa penggambaran yang lama itu dapat dimanfaatkan dengan mengasah dan mempelajari lakonan dengan orang yang berada di sekelilingnya.

Irma Hasmie Nikah Anak Datuk 1 Julai Ini


SUNGAI BULOH: Pelakon Irma Hasmie bakal melangsungkan pernikahannya dengan seorang anak Datuk, Reza Syah Azmeer Datuk Mohd Redzuan, 31, pada 1 Julai ini di Keramat Hall, Kuala Lumpur.

Tarikh tersebut telah diputuskan selepas dipersetujui dalam majlis pertunangan yang berlangsung di rumah Irma di Desa Coafiled, Sungai Buloh, pada petang Sabtu.

Irma berkata, dia dan Reza yang merupakan seorang ahli perniagaan itu bertemu di kota Mekah ketika menunaikan umrah buat kali ketiga pada Februari lalu dan dirisik oleh pihak keluarga lelaki pada 12 Mac.

"Syukur Alhamdulillah saya menganggap jodoh saya dan Reza adalah satu anugerah Allah S.W.T. Tak sangka pula umrah saya yang ketiga ini menemukan saya dengan Reza yang turut menunaikan umrah bersama keluarganya pada masa itu.

"Perkenalan kami amat singkat tetapi saya cukup senang bersama dengannya. Lebih menguatkan perhubungan kami ialah apabila kami direstui kedua-dua belah pihak keluarga. Moga jodoh ini berpanjangan sehingga akhir hayat," katanya.

Pada majlis yang serba ringkas itu, bekas kekasih pelawak Nabil (Raja Lawak) mengenakan busana rona biru cair rekaan Hatta Dolmat.

Pelakon itu telah menerima sebentuk cincin berlian yang disarungkan oleh ibu Reza, Azizah Osman, serta tujuh buah dulang hantaran daripada pihak lelaki yang beruba set mandian, sepersalian pakaian, sejadah, manisan kurma, kek dan buah-buahan.

Manakala pihak perempuan pula membalas sebanyak sembilan dulang iaitu sireh junjung, buku-buku ilmiah, pencukur, sejadah, kek, manisan, sepersalinan pakaian dan set mandian.

Dalam pada itu, majlis pertunangan itu turut dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak, teman rapat dan beberapa rakan artis.

Dr Ezani Tangguh Jadi Doktor Gigi Kerana Dunia Hiburan


KUALA LUMPUR: Juara MasterChef Malaysia musim pertama Dr Ezani Farhana Md Monoto sanggup mengorbankan cita-citanya sebagai seorang doktor gigi buat sementara waktu demi menceburi dunia hiburan.

Wanita berusia 26 tahun ini berkata keputusan itu diambil kerana dia mahu menimba pengalaman baru dalam bidang seni selepas memenangi program realiti masakan popular itu.

"Saya yakin dengan keputusan untuk tangguhkan perkhidmatan sebagai doktor gigi kerana kerjaya itu tidak akan lari ke mana.

"Kebetulan selepas menjuarai MasterChef Malaysia, saya mengikat kontrak sebagai artis residen Astro untuk tiga tahun, sekali gus membuka peluang untuk menceburi bidang hiburan," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama mStar Online, di sini, baru-baru ini.

Dr Ezani berkata dia tidak berasa terkilan atau ralat dilihat lebih mengutamakan dunia glamor berbanding kerjaya doktor gigi yang lebih terjamin kerana sudah memikirkan segenap aspek sebelum membuat keputusan tersebut.

"Sebenarnya keputusan untuk menangguhkan perkhidmatan sebagai doktor gigi sudah saya putuskan sebaik saya layak menyertai program ini.

"Saya sanggup tangguhkan panggilan daripada Kementerian Kesihatan untuk mula berkhidmat sebanyak dua kali. Pertama ketika saya mula-mula menyertai program ini dan kali kedua selepas saya memenangi MasterChef Malaysia," katanya yang menangguhkan perkhidmatan di sebuah hospital kerajaan di Sabah.

Ditanya tidakkah dia sebagai golongan terpelajar melihat keputusan untuk menceburi dunia hiburan sebagai keputusan dangkal, Dr Ezani berkata dia percaya banyak manfaat yang boleh dikongsi dengan masyarakat menerusi kempen-kempen kesihatan bersama pihak kerajaan kelak.

"Saya percaya sekalipun saya belum dapat berkhidmat sekarang, pembabitan saya dalam bidang hiburan ini mungkin membuka ruang untuk bergerak sebagai duta bagi kempen-kempen pergigian kerajaan.

"Kini, saya difahamkan Kementerian Kesihatan juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Astro bagi melaksanakan beberapa kempen yang menonjolkan saya sebagai jurucakap atau duta," kata graduan dari Universiti Adelaide, Australia ini.

Selepas bergelar juara program tersebut, anak bongsu daripada dua beradik ini terikat di bawah Pengurusan Artis Astro selama tiga tahun.

Dia juga bakal mengacarakan sebuah program bercorak kembara masakan tidak lama lagi.

Dah Cukup Wang, Taiyuddin Mahu Kahwin Tahun Ini


PETALING JAYA: Pelakon Taiyuddin, 29, merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini apabila mendapati kedudukan kewangannya semakin stabil selepas popular menerusi filem Hantu Bonceng selain menerima pelbagai tawaran berlakon.

Taiyuddin atau nama sebenarnya, Sallehuddin Abu Bakar berkata, dia tidak menyangka selepas 10 tahun berada di bidang lakonan, barulah kerjayanya itu mula diberi perhatian sehingga membuatkan dia terpaksa menolak beberapa tawaran kerana jadual yang padat.

"Alhamdulillah, jika sebelum ini saya selalu termenung kerana tidak ada tawaran lakonan, sekarang ini saya termenung lagi, bilalah saya dapat berehat.

"Kerana rezeki yang diperoleh juga, saya bercadang untuk berkahwin pada tahun ini. Usia saya semakin meningkat dan saya mahu menimang anak serta melihatnya membesar di depan mata.

"Kalau saya kahwin ketika umur 30-an, mungkin saya tidak sempat melihat anak sendiri membesar. Semoga perancangan ini menjadi Insya-Allah," tuturnya yang juga berlakon dalam Apa Celop, yang kini disiarkan setiap Isnin sejak 20 Februari di TV3.

Tambah Taiyuddin yang terkenal dengan aksi komedi selamba, dia sebenarnya bukanlah seorang pelawak sebaliknya sekadar berlakon mengikut watak yang diberi.

Dalam pada itu dia juga mengakui berasa pelik dan segan apabila ditegur peminat kerana tidak sangka dirinya akan dikenali ramai.

"Walaupun kerja saya sebagai seorang pelakon, saya merasakan tidak mungkin diri ini akan popular kerana ada yang lebih hebat lakonannya daripada saya. Tambah pula ramai yang mempunyai pakej yang lengkap.

"Cuma, apabila sudah menjadi perhatian, saya perlu berhati-hati daripada segi kelakuan yang mungkin tidak akan menyenangkan masyarakat.

"Nak hisap rokok di depan orang pun saya tak buat kerana menghormati peminat-peminat yang menyokong saya," katanya.

Yusry Terkejut Lisa Tidak Cerewet Semasa Berbulan Madu


PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani mendedahkan suaminya, Yusry Abdul Halim agak terkejut dengan sikapnya yang tidak cerewet semasa mereka berbulan madu di Eropah selama dua minggu baru-baru ini.

Lisa berkata, pada peringkat awal Yusry mungkin beranggapan dia mahukan layanan mewah semasa berkunjung ke sana tetapi sebaliknya perkara itu tidak berlaku.

"Yusry sebenarnya adalah seorang yang ringkas dan tidak cerewet dalam banyak perkara dan dia pula terkejut apabila saya mempunyai sikap sama apabila saya tidak kisah tinggal di hotel biasa semasa di Eropah.

"Kunjungan ke sana bukan untuk tinggal di hotel mewah sebaliknya menerokai negara orang dan merapatkan hubungan kami suami isteri," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Lisa dan Yusry berangkat ke Eropah pada awal Mac selepas selesai majlis resepsi perkahwinan mereka pada 26 Februari dan kembali ke Malaysia pada 17 Mac lalu.

Dalam pada itu, ditanya apakah perkara yang dia belajar mengenai diri suaminya sepanjang berbulan madu, Lisa memberitahu dia menerima Yusry seadanya.

Bagaimanapun, Lisa berkata, sikap tanggungjawab adalah kualiti yang paling menambat hatinya mengenai Yusry sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menerima lelaki itu sebagai suaminya.

"Dia masih Yusry yang saya kenal sebelum kahwin dan sehingga kini dia adalah orang sama yang saya cintai. Rasanya, suami yang lebih banyak belajar mengenai diri saya sepanjang percutian itu," ujarnya.

Sementara itu, bercerita mengenai pengalaman bercuti di luar negara, Lisa berkata percutiannya bersama suami tercinta cukup istimewa.

Walaupun Yusry pernah ke negara itu sebelum ini, mereka mengambil keputusan untuk melawat ke tempat-tempat yang tidak pernah dilawati agar aktiviti berbulan madu itu menjadi lebih bermakna.

"Percutian itu amat menyeronokkan kerana ia telah dirancang dengan baik sebelum kami berangkat," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai aktiviti tersebut, Lisa berkata, mereka mengambil keputusan memandu sendiri kereta yang disewa untuk menjelajah ke Eropah.

Destinasi pertama mereka adalah ke Switzerland dan kemudiannya bergerak ke Perancis dan Itali sambil singgah pelbagai tempat menarik.

"Semua tempat yang dilawati adalah sangat istimewa dan mempunyai memori tersendiri tetapi kunjungan ke Mont Blonc di pergunungan Alps yang terletak di antara negara Perancis dan Itali antara pengalaman menarik.

"Yusry juga sempat ke Bolognia di Itali untuk melawat muzium kereta mewah Lamborghini selain ke Rome dan beberapa lokasi lain," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Lisa berkata, dia akan kembali ke set penggambaran filem “Tingkat Empat” arahan Jason Chong terbitan KRU Studios dan suaminya akan mula sibuk dengan pasca produksi filem “Vingkingdom”.

Yuna Kecewa Dituduh Campuri Kerjaya Qi Razali


KUALA LUMPUR: Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna mengakui terluka apabila dituduh menjadi penyebab penyingkiran Qi Razali daripada program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) terbitan TV3.

Yuna berkata, dakwaan dia mencampuri urusan tugas Qi adalah tidak benar sama sekali kerana pengunduran kekasihnya itu adalah atas kehendak sendiri.

"Qi sebenarnya mengambil keputusan untuk menarik diri kerana ingin memberikan tumpuan kepada bidang lakonan dan bukannya disingkirkan kerana mempunyai masalah disiplin. Itu tidak benar.

"Saya pula tidak ada kena mengena apabila ada pihak mendakwa saya menjadi punca dia menyebabkan penyingkirannya itu," ujarnya kepada mStar Online.

Yuna ditemui ketika menghadiri pelancaran Youtube Malaysia di sini pada Khamis.

Tambah Yuna, tuduhan itu tidak berasas kerana dia jarang berada di Malaysia dan sekiranya kembali ke tanah air, mereka juga sukar untuk berjumpa kerana Qi sibuk dengan penggambaran.

"Saya tiba di Malaysia minggu lalu tetapi hanya dua tiga hari lalu baru dapat bertemu dengannya kerana dia begitu sibuk. Tetapi saya memahami kerana masing-masing pun sibuk dengan pelbagai agenda.

"Bagaimanapun kami sempat berbual mengenai perkara ini dan Qi ada memberitahu saya dia rasa sedih apabila ada pihak menuduhnya sebegitu dan melibatkan saya," ujarnya.

mStar Online sebelum ini melaporkan Qi kononnya disingkirkan menjadi pengacara JJCM kerana menghadapi masalah disiplin apabila terlalu kerap bertemu dengan Yuna sehingga mengabaikan tugasnya.

Dalam pada itu, Yuna memberitahu dia akan kembali ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada 25 Mac ini untuk menyertai rangka promosi album Inggeris pertamanya di sana yang akan dilancarkan pada 24 April depan.

Yuna memberitahu, dia juga akan mengadakan persembahan selama 30 hari berturut-turut di 30 lokasi berbeza bermula bulan Jun ini sebagai rangka promosi albumnya itu.

"Alhamdulilah semua yang dirancang berjalan dengan lancar dan saya juga berdebar-debar untuk menunggu album tersebut keluar dan menanti reaksi peminat di sana," ujarnya.

Tambah penyanyi lagu Terukir Di Bintang itu, dia berharap album itu nanti akan dipasarkan di seluruh dunia terutamanya di Malaysia bagi tatapan peminat di sini.

"Setakat ini album berkenaan hanya akan dikeluarkan di Amerika sahaja tetapi kami masih berbincang dengan beberapa syarikat untuk mengedarkan album yang diberi nama Yuna itu ke seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemunculan Youtube versi Malaysia, Yuna berkata, ia akan memberikan kelebihan kepada rakyat negara ini untuk lebih banyak berkarya sekaligus bakat dan hasil kerja mereka dapat ditonton oleh masyarakat dunia.

Enot Akan Lebih Beradab Selepas Pakai Tudung


PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah mengambil pendekatan untuk lebih beradab dari segi kata-kata selepas membuat keputusan memakai tudung sejak sebulan lalu.

Enot berkata, sebagai seorang wanita bertudung dia perlu menjaga batasan agar tidak mendatangkan persepsi buruk masyarakat terhadap imej barunya itu.

"Saya masih 'gila-gila' seperti dulu tetapi akan lebih menjaga batasan dalam percakapan atau pun perbuatan supaya ia tidak menimbulkan prasangka buruk mengenai perubahan saya kepada orang lain," ujarnya kepada mStar Online di sini Rabu.

Tambah Enot, dia kini berasa lebih tenang dan yakin dengan dirinya semenjak mengenakan tudung dan bersyukur diberi hidayah untuk menutup aurat.

"Saya tidak pernah merancang untuk memakai tudung sebelum ini tetapi ia berlaku secara tiba-tiba ketika bangun pagi, sebulan lalu tanpa berfikir panjang.

"Suami, keluarga dan rakan-rakan juga memberikan sokongan yang baik terhadap perubahan ini," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kerjaya lakonan dan tawaran selepas “berhijrah”, Enot berkata walaupun pernah memikirkan mengenai soal itu sebelum ini, dia meletakkan perkara itu kepada ketentuan Allah.

Baginya, sebagai seorang manusia yang mempunyai kudrat dia perlu berusaha dengan lebih gigih dan tidak hanya berharap rezeki datang bergolek kepadanya.

"Buat masa sekarang masih belum ada tawaran berlakon daripada mana-mana pihak tetapi sebagai saya yakin jika ada rezeki ia pasti milik kita," ujarnya.

Sementara itu, Enot berkata, dia lebih menumpukan perhatian kepada perniagaan keknya iaitu Enotcookies N Cakes yang telah beroperasi sejak beberapa tahun melalui dalam talian

Kata Enot, dia akan mengadakan jualan kek dan biskut di beberapa buah tempat dalam masa terdekat iaitu di Universiti Malaya dan di pasar malam Taman Tun Dr Ismail pada hujung minggu ini.

"Alhamdulillah perniagaan biskut dan kek yang dijalankan bertambah maju dan saya harap ia akan menjadi jenama kegemaran masyarakat selepas ini," katanya.

Dia juga ada menerima tawaran sebagai duta produk makanan kesihatan dan sedang menggunakannya sebelum dilantik secara rasmi.

Untuk menempah kek hasil air tangan Enot boleh layari Facebook miliknya menerusi enotcookiesncakes.

Razali Hussein Difitnah Ternak Lembu Hasil Wang Wanita Kaya


PETALING JAYA: Pelakon Razali Hussein kesal apabila difitnah menjalankan perniagaan penternakan lembu menerusi sumber kewangan yang ditaja oleh seorang wanita kaya.

Razali berkata, wanita yang dimaksudkan itu (enggan nama disiarkan) memang wujud tetapi dia bertindak sebagai individu yang mengajarnya selok-belok bidang perniagaan.

"Diakui, memang wanita itu wujud, tetapi dia sekadar mengajar saya dan rakan-rakan untuk menjalankan perniagaan itu. Adakah itu satu kesalahan?

"Saya kecewa apabila difitnah kononnya perniagaan saya itu ditaja. Jika begitu sudah lama saya beli kereta mewah untuk keselesaan diri sendiri," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Tambah Razali, dia kecewa apabila setiap pergerakannya sering kali menjadi bualan negatif tidak kira sama ada mempunyai hubungan akrab dengan rakan wanita mahupun lelaki.

Bagaimanapun, sebagai seorang selebriti, dia tidak kisah jika dugaan fitnah diterima dan meneruskan perniagaan dalam apa rintangan sekali pun.

"Dahulu, ketika saya membuka syarikat produksi, saya pernah difitnah sehingga syarikat itu ditutup. Kini biarlah orang nak kata apa sekalipun, semangat saya untuk maju dalam perniagaan tidak akan luntur," tegas pelakon drama Serapah Darah Bulan Madu, siaran saluran TV-Al Hijrah.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan karier lakonannya, dia bersyukur kerana masih lagi diberi kepercayaan oleh syarikat produksi.

Malah, Razali turut menghasilkan sebuah lagu tema drama Serapah Darah Bulan Madu berjudul Serapah Bulan Madu nyanyiannya sendiri.

"Alhamdulillah, saya diberi peluang oleh Skop Production untuk menghasilkan lagu tema untuk drama tersebut dan menyanyi secara duet bersama Ida Majid.

"Seterusnya, saya sedang menghasilkan sebuah lagi lagu baru yang berjudul Cinta Ku Kini Tiada Lagi dan sedang mencari penyanyi yang sesuai untuk membawakan lagu tersebut," tuturnya.

Beritahu Razali lagi, dia lebih selesa mencipta lagu tema untuk terbitan drama dan menganggapnya sebagai satu strategi pemasaran andai kata stesen-stesen radio tidak memutarkan lagu-lagu baru yang dihasilkan.

Hanez Suraya Tepis Gosip Bercinta Dengan Syed Ali


PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri 3 Janji, Hanez Suraya menolak dakwaan kononnya dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Syed Ali.

Hanez, 27, berkata, dia tidak pernah mengenali pelakon itu secara peribadi mahupun bekerja dengannya dalam sesebuah produksi.

"Saya akui pernah berjumpa dengannya di majlis-majlis hiburan tetapi tidak mengenalinya secara peribadi. Khabar angin itu adalah mengarut sama sekali," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Tambah Hanez Suraya, dia kini masih solo dan tidak terfikir untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki sebaliknya ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya lakonan yang sedang meningkat.

"Rasanya soal cinta biarlah dulu kerana saya sibuk di lokasi penggambaran beberapa buah drama dan ingin memantapkan dahulu karier saya sebagai pelakon," katanya.

Dalam pada itu, Hanez berkata, dia ingin mempelbagaikan wataknya sebagai pelakon dan tidak hanya terikat dengan peranan antagonis dalam sesebuah drama.

Dia juga tidak mahu dikenali dengan sesuatu watak sahaja sebaliknya ingin memvariasikan kebolehannya sebagai pelakon supaya penonton tidak berasa jemu.

"Rasanya dah terlalu banyak watak 'jahat' yang saya terima dan sudah tiba masanya untuk keluar daripada kepompong itu supaya penonton tidak jemu.

"Kalau boleh saya ingin mencuba watak seperti gadis baik, perempuan malang yang boleh memberikan impak kepada penonton," ujarnya.

Hanez yang pernah popular menerusi drama bersiri Bunga April dan Pelangi Kasih bagaimanapun memberitahu dia teringin untuk berlakon filem tidak mahu terburu-buru mengejar semua tawaran yang datang.

"Saya ada terima tawaran tetapi buat masa ini ingin menumpukan kepada telefilem dan drama bersiri kerana takut tidak dapat beri komitmen kepada jadual penggambaran filem. Insya-Allah suatu hari nanti pasti akan dapat juga berlakon dalam filem," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hanez berkata, selain 3 Janji, dia juga bakal muncul dengan telefilem berjudul Bimbo untuk siaran Astro Ria selain Hidayah Cintaku (RTM) dan Suri (TV3).

Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya dalam drama 3 Janji arahan Heykal Hanifah, dia berasa selesa dan menyifatkan pengarah tersebut sebagai seorang yang sangat cool walaupun baru pertama kali berlakon bawah arahannya.

"Bekerja dengan Heykal sangat seronok dan sudah lama saya memang memasang niat untuk bekerja dibawah arahannya dan 3 Janji adalah kerjasama pertama kami.

"Dia juga banyak membantu para pelakon dalam menghidupkan sesuatu watak selain memberikan pelakon kelonggaran dalam menyumbang idea bagi memperbaiki sesuatu babak itu," ujarnya.

Selain Hanez, 3 Janji turut menampilkan pelakon seperti Liyana Jasmay, Shahrizal Jazsle, Ainina Ahmad B, Roy Azman, Shah Iskandar dan Ana Dahlia.

Drama 13 episod itu sudah pun menemui penonton bermula 21 Mac lalu dalam slot Lestary setiap Selasa pukul 9 malam di TV3.

Hanez Suraya Tepis Gosip Bercinta Dengan Syed Ali


PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri 3 Janji, Hanez Suraya menolak dakwaan kononnya dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Syed Ali.

Hanez, 27, berkata, dia tidak pernah mengenali pelakon itu secara peribadi mahupun bekerja dengannya dalam sesebuah produksi.

"Saya akui pernah berjumpa dengannya di majlis-majlis hiburan tetapi tidak mengenalinya secara peribadi. Khabar angin itu adalah mengarut sama sekali," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Tambah Hanez Suraya, dia kini masih solo dan tidak terfikir untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki sebaliknya ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya lakonan yang sedang meningkat.

"Rasanya soal cinta biarlah dulu kerana saya sibuk di lokasi penggambaran beberapa buah drama dan ingin memantapkan dahulu karier saya sebagai pelakon," katanya.

Dalam pada itu, Hanez berkata, dia ingin mempelbagaikan wataknya sebagai pelakon dan tidak hanya terikat dengan peranan antagonis dalam sesebuah drama.

Dia juga tidak mahu dikenali dengan sesuatu watak sahaja sebaliknya ingin memvariasikan kebolehannya sebagai pelakon supaya penonton tidak berasa jemu.

"Rasanya dah terlalu banyak watak 'jahat' yang saya terima dan sudah tiba masanya untuk keluar daripada kepompong itu supaya penonton tidak jemu.

"Kalau boleh saya ingin mencuba watak seperti gadis baik, perempuan malang yang boleh memberikan impak kepada penonton," ujarnya.

Hanez yang pernah popular menerusi drama bersiri Bunga April dan Pelangi Kasih bagaimanapun memberitahu dia teringin untuk berlakon filem tidak mahu terburu-buru mengejar semua tawaran yang datang.

"Saya ada terima tawaran tetapi buat masa ini ingin menumpukan kepada telefilem dan drama bersiri kerana takut tidak dapat beri komitmen kepada jadual penggambaran filem. Insya-Allah suatu hari nanti pasti akan dapat juga berlakon dalam filem," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hanez berkata, selain 3 Janji, dia juga bakal muncul dengan telefilem berjudul Bimbo untuk siaran Astro Ria selain Hidayah Cintaku (RTM) dan Suri (TV3).

Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya dalam drama 3 Janji arahan Heykal Hanifah, dia berasa selesa dan menyifatkan pengarah tersebut sebagai seorang yang sangat cool walaupun baru pertama kali berlakon bawah arahannya.

"Bekerja dengan Heykal sangat seronok dan sudah lama saya memang memasang niat untuk bekerja dibawah arahannya dan 3 Janji adalah kerjasama pertama kami.

"Dia juga banyak membantu para pelakon dalam menghidupkan sesuatu watak selain memberikan pelakon kelonggaran dalam menyumbang idea bagi memperbaiki sesuatu babak itu," ujarnya.

Selain Hanez, 3 Janji turut menampilkan pelakon seperti Liyana Jasmay, Shahrizal Jazsle, Ainina Ahmad B, Roy Azman, Shah Iskandar dan Ana Dahlia.

Drama 13 episod itu sudah pun menemui penonton bermula 21 Mac lalu dalam slot Lestary setiap Selasa pukul 9 malam di TV3.

Iqbal & Shiha Terluka Dikritik Peminat JJCM


PETALING JAYA: Dua pengacara musim terbaru Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) iaitu Iqbal Mazlan (Pilih Kasih) dan Shiha (Mentor) meminta agar diberikan peluang untuk mereka membuktikan kebolehan mengendalikan program popular di TV3 itu.

Mereka meminta tidak dibandingkan dengan pengacara terdahulu sebaliknya menerima kehadiran mereka dengan terbuka sebagai orang baru sebagai pengacara.

"JJCM musim terbaru ini sebenarnya tampil dengan konsep baru, jadi kami rasa itu adalah penyebab penonton berasa kurang senang dengan kehadiran dua pengacara kerana telah terbiasa dengan konsep terdahulu.

"Ini tidak melemahkan semangat kami, sebaliknya akan terus berusaha untuk memperbaiki kelemahan supaya tidak dibandingkan dengan pengacara lama," ujarnya kepada mStar Online.

Sebelum Iqbal dan Shiha, JJCM diterajui oleh Maria Tunku Sabri, Serena Redzuwan dan Qi Razali.

Ia disiarkan setiap hari Ahad pada pukul 12 tengah hari.

Dalam pada itu, Iqbal berkata, dia mengakui terluka apabila membaca setiap kata-kata yang dilemparkan kepadanya namun tidak terbawa-bawa sehingga ke lokasi penggambaran.

Baginya, perasaan itu adalah biasa bagi setiap manusia dan dia berhak untuk berasa sedih dan marah apabila ada pihak yang mempertikaikan tentang kelemahan dirinya.

"Perasaan kecewa itu tidak lama kerana saya sedar apabila orang bercakap mengenai diri kita ia bererti mereka memberikan tumpuan terhadap apa yang kita lakukan.

"Atas sebab itu saya ambil setiap kata-kata itu sebagai peringatan buat diri saya supaya tidak alpa dan lebih berusaha untuk memberikan terbaik," katanya.

Manakala, Shiha ketika mengulas mengenai kata-kata negatif yang dilemparkan oleh penonton terhadapnya memberitahu dia tidak pernah membaca komen daripada mereka sebaliknya ia dimaklumkan oleh rakan-rakan terdekatnya.

Ujar Shiha, dia tidak mahu merosakkan pemikirannya yang akhirnya akan menyebabkan perhatian terhadap program berkenaan yang masih dalam penggambaran terganggu.

"Satu perkara yang pasti saya tidak boleh menghalang masyarakat untuk berkata apa juga mengenai persembahan saya dalam program itu namun tidak mahu terpengaruh kerana khuatir konsentrasi ketika mengendalikan JJCM terganggu.

"Bagaimanapun saya mengambil kata-kata negatif itu sebagai pemangkin buat diri saya untuk terus lebih maju," ujarnya.

Tambah Shiha, walaupun berasa sedikit sedih dengan perkara itu dia tidak boleh berpatah balik dan perlu terus memberikan persembahan terbaik kepada penonton.

"Alhamdulillahlah setakat ini pihak TV3 dan penerbit JJCM berpuas hati dengan persembahan kami namun itu tidak bermaksud kami boleh duduk selesa.

"Masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam menambat hati penonton," ujarnya.

Sementara itu, penerbit JJCM, Intan Suraya ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kedua-dua pengacara berkenaan kerana pemilihan mereka dibuat menerusi uji bakat.

Intan berkata, Shiha dan Iqbal telah memberikan komitmen yang terbaik namun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam meningkatkan mutu sebagai pengacara.

"Jika diikutkan mereka masih baru dan apa yang mereka lakukan sekarang sudah bagus malah pihak produksi tidak mempunyai sebarang masalah dengan mereka. Beri mereka masa dan peluang," ujarnya.

Tambah Intan, pelbagai kutukan yang diterima kedua-dua pengacara itu juga adalah sebagai peringatan supaya mereka tidak berputus asa dan mengambil peluang untuk membuktikan kepada penonton dan masyarakat terhadap kebolehan mereka.

"Bagus juga sebenarnya dengan segala komen negatif yang diterima itu kerana ia tidak akan membuatkan mereka cepat berpuas hati kerana jika sudah berasa begitu bimbang mereka akan berhenti berusaha memperbaiki diri," katanya.

'Gambar Liar? Aku Tak Kisah' - Mikha Tambayong


KUALA LUMPUR: Gambar aku beraksi liar? Aku tak kisah. Demikianlah reaksi ringkas pelakon dari Indonesia, Mikha Tambayong sebaik sahaja diajukan soalan kononnya aksi tidak senonohnya tersebar di Internet.

Gadis berusia 18 tahun ini berkata, dia tidak pernah rasa bersalah dengan penyebaran gambar-gambar itu kerana apa yang dilihat oleh orang ramai bukanlah aksi sebenar dirinya.

Sebaliknya ia adalah gambar teknik pertindihan yang dihasilkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memalukan Mikha.

“Itu bukan gambar aku. Ada sesetengah gambar aku memegang puntung rokok tapi jujurnya aku tak sukakan rokok. Ada juga gambar yang menampakkan bentuk badan aku gemuk pada hal aku tidak gemuk. Itu semua gambar orang lain yang dicantumkan pada wajah aku,” katanya selepas majlis doa selamat teater muzikal Gerimis Mengundang di istana Budaya di sini, Selasa.

Dalam teater yang akan dipentaskan dari 27 Mac hingga 8 April depan itu, Mikha turut bergandingan dengan Kamal Adli dan memegang watak Cinta.

Jelas Mikha, sebagai seorang anak tunggal, dia sentiasa mendengar cakap ibunya dan tidak pernah melalukan perkara yang kurang baik termasuklah berkunjung ke kelab malam.

Katanya, jadual penggambarannya di Indonesia terlalu padat dan mustahil untuk dia terlibat dengan aktiviti sosial yang akhirnya boleh menjatuhkan namanya sendiri.

“Aku berlakon untuk drama yang panjangnya sehingga 100 siri. Aku keluar penggambaran pada awal pagi dan pulang ke rumah juga awal pagi. Tidak mungkin Aku boleh terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral. Aku juga selalu ditemani ibu ke mana sahaja,” ujarnya.

Pelakon ini menambah, di Indonesia gambar tidak senonoh artis yang dilakukan dengan teknik komputer sering tersebar dan ia bukanlah sesuatu perkara yang mengejutkan buat mereka.

Katanya peminat akan faham jika melihat dengan teliti gambar-gambar berkenaan dan seterusnya membuat andaian sama ada hendak menerimanya ataupun tidak.

Dia memberitahu sentiasa menjaga diri dan mahu kelakuannya menjadi contoh kepada remaja-remaja di negara berkenaan.

“Orang boleh buat tuduhan macam-macam tetapi aku mahu menjadi contoh kepada golongan remaja,” katanya yang turut ditemani ibunya ke negara ini.

Liyana Jasmay Nikah Selepas Pulang Dari AS


PETALING JAYA: Pelakon Liyana Jasmay membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan Fathuddin Mazlan,28, yang juga seorang ahli perniagaan pada Januari tahun depan selepas menamatkan kursus jangka pendeknya di New York, Amerika Syarikat (AS).

Liyana, 24, berkata, dia akan berangkat ke negara itu pada Julai depan untuk mengikuti kursus di New York Film Academy dalam bidang pengarahan dan lakonan.

"Daripada awal perkenalan dengan Fathuddin saya telah melahirkan hasrat untuk mengikuti kursus tersebut kepadanya dan dia tidak membantah mengenai perkara itu kerana pemergian saya adalah untuk menimba ilmu.

"Kelas akan tamat pada awal Januari (2013) dan lepas itu akan terus kembali ke Malaysia untuk berkahwin," ujarnya kepada mStar Online.

Liyana ditemui semasa menghadiri majlis pelancaran drama bersiri 3 Janji di Sri Pentas di sini pada Selasa.

Tambah Liyana, pemergiannya selama enam bulan ke New York turut ditemani oleh ibunya iaitu Habsah Simpon, 53, selepas ayahnya, Jasmay Md Shah, 57 tidak membenarkan dia tinggal bersendirian di AS.

"Pada awalnya saya nak ikuti kursus berkenaan di Australia sahaja kerana lebih dekat tetapi setelah disarankan oleh rakan-rakan pergi ke New York saya bertukar fikiran.

"Tambahan pula peralatan sepanjang proses pembelajaran itu nanti lebih canggih dan boleh digunakan oleh para peserta selain nama-nama besar dalam bidang pengarahan dan lakonan turut dijemput untuk memberikan ceramah kepada kami nanti," katanya.

Liyana memberitahu, dia teruja untuk ke negara itu kerana ingin menimba pengalaman di negara orang dan mempelajari cara mereka menghasilkan filem atau drama supaya dapat diguna pakai apabila kembali ke tanah air.

"Ini semua saya lakukan demi syarikat produksi saya iaitu Mermaids Studios kerana ingin lebih bersungguh-sungguh dalam menghasilkan produk yang baik untuk penonton.

"Malah saya sudah buat beberapa persediaan sebelum berangkat dan Insya-Allah krew produksi saya akan turut ke sana untuk menjalani tiga buah telefilem bagi mendapat senario berbeza di sana," katanya.

Dalam pada itu, Liyana yang bakal bertunang pada 28 Mac ini di rumahnya di Kemensah, Kuala Lumpur memberitahu akan menyelesaikan semua penggambaran yang masih tertangguh selain menyiapkan persiapan perkahwinannya sebelum ke AS.

Ujar Liyana, dia bertuah kerana dua kakaknya iaitu Faradilla Jasmay, 30, dan Adriana Jasmay, 28, yang sudah berkahwin akan membantunya dalam merealisasikan impiannya sebagai raja sehari.

"Sebelum berangkat saya akan selesai mengenai tempahan dewan, katering, baju dan sebagainya. Selebihnya akan diuruskan oleh dua orang kakak saya yang sudah berpengalaman dalam menguruskan kerja kahwin.

"Sejurus lepas balik nanti saya akan terus berkahwin. Bagaimanapun tarikh sebenar masih belum diputuskan,” katanya.

Sementara itu, Liyana berkata, dia mengambil keputusan untuk bertunang bukan kerana akan berangkat ke luar negara tetapi tertarik dengan keikhlasan hati budi bakal tunangnya yang disifatkan sebagai periang dan baik hati.

Tambah Liyana, usaha Fathuddin untuk mengenali kedua ibu bapanya paling menyentuh hati kerana dia begitu rapat dengan mereka.

"Saya sangat rapat dengan kedua ibu bapa saya dan apabila melihat usahanya untuk mengenali mereka sudah cukup menambat hati saya sebagai seorang wanita," ujarnya.

Liyana memberitahu, pengalaman berkawan dengan lelaki sebelum ini telah membuatkan dirinya serik untuk bercinta sebaliknya memilih untuk berbuat demikian dengan ikatan perkahwinan.

"Saya tidak percayakan pada percintaan lagi kerana itu semua palsu. Jika seseorang itu benar-benar ikhlas mencintai saya dia boleh terus masuk meminang dan itu yang telah dilakukan oleh bakal tunang saya," ujarnya.

Bayaran Jozan RM50 Ribu Sejam Satu Fitnah - Ozlyn


PETALING JAYA: Isteri kepada pelawak Johan (Raja Lawak) iaitu Ozlyn Wati menyifatkan tuduhan kononnya kumpulan Jozan yang dianggotai suaminya dan Zizan meletakkan bayaran RM50,000 untuk satu jam persembahan adalah sebagai fitnah dan mengarut.

Ozlyn yang juga pengurus kepada Johan berkata, dia terkejut dengan gosip terbaru melibatkan kedua-dua pelawak tersebut namun tidak mahu mengendahkannya kerana ia tidak benar sama sekali.

"Cerita itu tersebar mungkin disebabkan oleh sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan sebut harga yang kami tetapkan. Lantas mereka mula menyebarkan cerita kononnya Johan atau Zizan mula demand dalam soal bayaran," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Ozlyn berkata, pihaknya tidak pernah meletakkan harga melampau kepada pihak penganjur yang inginkan khidmat Jozan sebaliknya mereka boleh bertolak ansur mengenai perkara itu.

Ozlyn memberitahu, caj yang dikenakan adalah bersesuaian dengan kualiti dan standard persembahan Jozan atas permintaan pengelola sesebuah acara.

"Sebut harga yang kita berikan kepada pihak penganjur adalah berdasarkan kepada permintaan mereka mengenai perkara yang perlu dilakukan oleh Jozan dalam sesebuah persembahan.

"Bagaimanapun harga yang diberikan masih boleh dirunding dan pihak kami selalunya akan bertolak ansur dengan permintaan penganjur," ujarnya.

Sementara itu, Ozlyn berkata, walaupun kadang-kala terpaksa menolak tawaran yang diberikan kepada Johan atau Jozan kerana harga yang tidak bersesuaian, dia selalunya akan cuba memberikan cadangan kepada penganjur untuk menawarkan peluang itu kepada pelawak lain.

Kata Ozlyn, walaupun tidak menerima sesebuah tawaran tetapi sekurang-kurangnya ia telah membuka rezeki kepada pelawak lain.

"Bukan nak menyombong atau besar diri apabila mereka sudah ada nama dalam industri tetapi kadang-kala ada sebab mengapa kita perlu menolak sesuatu tawaran yang datang.

"Bagaimanapun, selalunya saya akan cuba mencadangkan kepada penganjur untuk mengambil pelawak-pelawak lain jika sesuatu tawaran yang datang sesuai dengan majlis yang hendak dikelolakan," katanya.

Dalam perkembangan sama, dia dan suaminya yang juga penyampai Radio Era FM lebih senang untuk berdiam diri apabila timbul cerita-cerita kurang kerana tidak mahu memburukkan keadaan.

Ini kerana kata Ozlyn, apabila timbul sesuatu isu kedua-dua belah pihak sentiasa ingin mempertahankan kenyataan masing-masing yang akhirnya akan merugikan kedua-dua belah pihak.

"Rasanya lebih baik mendiamkan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang akan memburukkan lagi keadaan. Biarlah apa orang nak kata kerana pada akhirnya hanya kami dan Allah sahaja yang tahu," ujarnya.

Shahrizal Timbulkan Masalah Kerana Sukar Tidur


PETALING JAYA: Pelakon Shahrizal Jaszle mengakui menghadapi masalah disiplin apabila sering datang lewat ke lokasi sehingga mengakibatkan penggambaran terganggu.

Pelakon itu berkata, perkara berkenaan timbul bukan disengajakan sebaliknya berpunca daripada masalah kesukaran tidur yang dialaminya selama ini.

"Saya mengakui memang mempunyai masalah disiplin sehingga telah menyebabkan pihak lain turut menerima kesan daripada sikap saya.

"Namun begitu hal berkenaan bukan disengajakan kerana saya memang mempunyai masalah tidur dan sukar untuk bangun pada waktu pagi," ujarnya kepada mStar Online.

Shahrizal ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran drama bersiri “3 Janji” di Sri Pentas, TV3, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia ada meminta bantuan daripada kakaknya yang merupakan seorang doktor dengan memberi ubat bagi membantu membolehkannya tidur tetapi ia tidak mujarab.

"Saya ada cuba untuk merawat masalah saya ini tetapi nampaknya masih belum berhasil. Bagaimanapun saya berjanji akan mengatasi masalah ini supaya tidak menyusahkan pihak lain," katanya.

Ditanya adakah masalah tersebut berpunca daripada hubungannya dengan pelakon Miera Leyana yang sering tidak menentu, Shahrizal bagaimanapun menafikan mengenai dakwaan tersebut.

Ujarnya, Miera tidak menjadi punca kepada masalah tersebut tetapi dia merasakan tertekan dengan bebanan kerja sehingga menyebabkan sukar untuk tidur malam.

"Miera tidak menjadi punca tambahan pula hubungan kami telah berakhir. Masalah ini berlaku mungkin kerana apabila sudah terlalu letih saya tak boleh tidur tepat pada waktunya dan sekali gus menyebabkan saya bangun lewat pada keesokan hari," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Shahrizal berkata dia kini sedang mencari pembantu peribadi bagi menguruskan kerjaya seninya supaya tidak menimbulkan masalah.

Malangny dia bermasalah untuk mencari calon sesuai kerana tidak mempercayai orang selepas pengalaman bersama bekas pembantunya sebelum ini.

"Pembantu peribadi sebelum ini banyak memberikan masalah kepada saya jadi perlu lebih berhati-hati dalam mencari pengganti," katanya.

Sementara itu, pengarah drama bersiri “3 Janji”, Heykal Hanifah berkata, dia tidak mengambil pusing mengenai cakap-cakap orang mengenai Shahrizal kerana pelakon itu tidak pernah membuat sebarang masalah dengannya.

Heykal bagaimanapun berkata, dia tidak menafikan Shahrizal ada kalanya lewat tiba di set penggambaran namun keakraban mereka telah memudahkan dia untuk bercakap dan menasihati pelakon muda itu.

"Ada juga pihak yang memberi amaran kepada saya mengenai sikapnya yang tidak profesional di lokasi tetapi sepanjang bekerjasama dalam beberapa buah drama dia tidak pernah buat masalah besar kepada saya.

"Jika ada saya sentiasa akan menasihati dan menegur dirinya supaya mengubah sikap," ujarnya.

'Jangan Tuduh Saya Anak Emas MIG' - Aeril Zafrel


PETALING JAYA: Pelakon muda Aeril Zafrel berkata tuduhan kononnya dia kini menjadi ‘anak emas’ syarikat produksi MIG berdasarkan tawaran lakonan yang diterimanya secara berterusan adalah tidak adil.

Pemilik nama sebenar Suharil Suhari, 24, ini berkata tuduhan itu adalah tidak berasas kerana beberapa projek filem yang dibintanginya sejak kebelakangan ini mengikut kesesuaian watak dan bukan kerana sikap pilih kasih pengurusan produksi terbabit.

“Kalau hendak diikutkan sebenarnya sudah tiga bulan sejak awal tahun ini lagi saya tidak terlibat dengan sebarang penggambaran filem kerana tiada watak yang bersesuaian.

“Apabila orang tuduh saya ‘anak emas’, itu adalah tidak adil tanpa orang mengetahui asas di sebalik dakwaan berkenaan. Saya akui terkejut dan anggap tuduhan (anak emas) itu sebagai ujian buat saya,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Pelakon yang sudah empat tahun menceburi dunia lakonan itu berkata, ketika dia bersusah-payah cuba meyakinkan penerbit dan pengarah sebelum ini, beberapa pelakon popular lain di bawah pengurusan syarikat itu juga pernah dituduh sedemikian.

“Selama ini pun, saya terpaksa bersusah-payah bertemu dan meyakinkan banyak pihak pada bakat saya. Sebelum ini, ada juga beberapa pelakon lain di bawah MIG yang dituduh sebagai ‘anak emas’.

“Kebetulan pula pada tahun ini, filem-filem yang saya bintangi pada tahun lalu menemui penonton, mungkin sebab itu ada yang tuduh saya menerima satu demi satu tawaran berlakon,” katanya dalam nada kesal.

Aeril menegaskan pemilihannya pada sesebuah karakter filem itu dilakukan mengikut kesesuaian watak dan kualiti lakonan. Ia tiada kaitan dengan sikap berat sebelah penerbit, mengampu atau kronisme.

“Peluang yang saya atau mana-mana pelakon lain terima dalam sesebuah filem atau drama mengikut kesesuaian dan rezeki masing-masing.

“Apabila diberikan kepercayaan, saya menggunakan peluang itu sebaik dan sejujur yang mungkin,” katanya

Menyelak mengenai kerjaya seni, filem lakonannya di samping Diana Amir dan Fizo Omar berjudul 7 Petala Cinta, kini ditayangkan di pawagam sejak 15 Mac lalu.

Dia juga bakal memulakan penggambaran filem 99 Kali Rindu tidak lama lagi.

Awal & Scha Umum Majlis Nikah Selasa Depan


PETALING JAYA: Desas desus mengenai tarikh perkahwinan pasangan pelakon Awal Ashaari dan Scha Al Yahya akan terjawab apabila kedua-dua artis tersebut akan membuat pengumuman rasmi mengenai pernikahan mereka pada Selasa depan.

Majlis berkenaan akan diadakan di Ampwalk, Jalan Ampang dekat sini bermula pukul 3 petang yang akan dihadiri oleh kedua-dua pasangan tersebut.

Jemputan mengenai sidang media majlis itu telah dikirimkan kepada pihak media lewat petang Rabu.

Sementara itu pengurus kepada Awal iaitu Azlina Merican yang dihubungi mStar Online di sini memberitahu, pihak media boleh bertanya apa juga soalan kepada kedua-dua pasangan berkenaan berhubung teka-teki mengenai hubungan mereka selama ini.

“Insya-Allah, Awal dan Scha bersedia untuk berkongsi satu berita gembira buat peminat dan juga pihak media,” katanya yang masih mahu berahsia mengenai inti pati majlis itu.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari,31, sebelum ini menjelaskan terpaksa menangguhkan perkahwinannya dengan Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir,29, kerana tempahan dewan yang dikatakan telah penuh.

Bagaimanapun timbul pula desas desus mengatakan mereka akan mengakhiri zaman bujang masing-masing pada pertengahan tahun ini.

Redha jodoh - Deanna Yusof


DEANNA Yusof antara pelakon wanita yang mula mencuri perhatian ramai peminat dalam dunia perfileman tanah air apabila dia muncul menerusi filem pertama lakonannya berjudul Selubung pada tahun 1991 arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba.

Selain popular menerusi bidang lakonan, model iklan majalah dan televisyen (TV) ini juga sering digosipkan bercinta dengan artis lain sewaktu zaman popularitinya memuncak pada ketika itu. Sayangnya, gosip itu cuma tinggal gosip apabila dia kini masih terus hidup membujang.

Pada usia 45 tahun, selebriti yang dilahirkan pada 3 Januari 1967 ini berkata, sehingga kini dia masih belum bertemu dengan lelaki yang sesuai untuk dijadikan suami.

Sisi romantis pengantin baru - Ana Raffali


HITS berkesempatan menikmati percutian bulan madu di resort mewah Golden Palm Tree Resort & Spa di Sepang Goldcoast baru-baru ini yang memberi satu lagi pengalaman baru buat kedua mempelai ini.

Mana tidaknya dengan layanan kelas pertama serta deruman air laut dapat mengurangkan beban kepenatan setelah mengadakan majlis perkahwinan yang berlangsung meriah pada pada tanggal 25 Februari lalu.

Berkongsi pengalaman kali pertama meraikan bulan madu secara eksklusif yang turut dibawakan Majalah Santai itu, menurut Ana ini merupakan antara percutian romantik yang tidak dapat dilupakan dirinya secara peribadi.

"Kehadiran kami berdua disambut dengan meriah oleh kakitangan hotel di sini, dan ini merupakan antara kejutan yang langsung tidak dijangka.

"Bilik kami yang dihias cantik dengan bunga-bunga segar mewujudkan suasana romantis sewaktu pertama kali melangkah.

"Malah keadaan bilik yang indah serta dengan rekaan yang selesa membuatkan saya dan Naim begitu teruja untuk menikmati percutian ini sepenuhnya," kata Ana Raffali ketika ditanya pengalamannya berbulan madu.

Mengambil cuti selama dua minggu bersempena majlis perkahwinannya ini, menurut Ana dia memperuntukkan waktu percutian tersebut bagi melawat saudara mara dia dan suami yang tidak berkesempatan menyaksikan perkahwinan mereka di Kuala Lumpur.

"Saya berada di Kelantan selama seminggu bagi melawat saudara mara belah suami.

"Dan baki cuti ini pula kami mengambil peluang untuk menghabiskan masa bersama pula. Ternyata percutian mewah di Golden Palm Tree Resort & Spa ini menjadikan bulan madu kami begitu bermakna," katanya.

Menyaksikan matahari terbenam dari tepian pantai merupakan antara kejadian alam yang dapat dikongsikan Ana dari pusat penginapan tersebut.

Malah pasangan ini kelihatan begitu romantis berpegangan tangan sepanjang melalui persisiran pantai.

Menurut Ana percutian bulan madu yang berlangsung dua hari tiga malam ini juga turut dimuatkan dengan acara makan malam bersama di tepian pantai yang menjadi pengalaman kali pertama buat mereka berdua.

"Sambil menghirup udara segar di tepian pantai saya dapat menikmati sajian makanan yang cukup menyelerakan di sini.

"Inilah masa yang paling indah bagi saya untuk berbual sambil bermesra bersama suami.

"Dengan suasana malam yang begitu cantik, makan makan ini menjadi satu pengalaman paling romantis buat kami berdua," katanya yang turut dikejutkan dengan percikan bunga api selepas selesai menikmati hidangan makan malam tersebut.

Bagi menghangatkan lagi percutian bulan madu ini, Ana dan Naim turut tidak ketinggalan memanjakan diri dengan satu sesi rawatan spa di pusat spa di resort ini.

Menurut Ana dapat menjalani sesi tersebut bersama suami tersayang merupakan saat-saat paling tenang untuk mereka berdua.

"Kami berdua di sediakan sebuah bilik khas sepanjang rawatan spa ini dijalankan, bermakna Naim sentiasa bersama sewaktu rawatan itu di jalankan.

"Tentunya selepas rawatan tersebut kami berdua berasa rasa segar dan selesa dan untuk menggambarkan saat-saat bahagia itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sahaja," katanya.

Mencuri masa untuk berdua, pasangan ini juga turut menikmati pelbagai panorama indah yang disediakan di sepanjang pantai tersebut. Selain lautan yang terbentang luas, pelbagai aktiviti di sepanjang pantai tersebut juga turut menarik perhatian mereka.

Tidak hanya dengan aktiviti di pantai Ana dan Naim juga turut mencuba pelbagai aktiviti ekstrem yang disediakan pihak resort ini di Extrem Park, dan antara permainan ekstrem yang dicuba pasangan ini adalah Go Kart, Paintball, memanah dan ATV.

Irma rahsiakan identiti tunang


TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja dunia hiburan dikejutkan dengan berita pelakon cantik manis, Irma Hasmie Ibrahim, 30, bakal mengikat tali pertunangan penghujung bulan ini.

Mana tidaknya, selepas penghijrahan Irma yang kini sopan bertudung, jarang sekali berita peribadinya digembar-gemburkan seperti sebelum ini.

Penghijrahan Irma dilihat bukan sekadar daripada sudut fizikal, tetapi juga mental dan dalamannya yang dilihat lebih banyak mengasingkan diri daripada gemerlap dunia hiburan.

Biarpun gagal dalam percintaan dengan pelakon dan pelawak Ahmad Nabil, ternyata kesabaran Irma rupa-rupanya ada hikmah yang tersembunyi.

Siapa duga, kuasa Allah mampu merubah segala dan atas kehendak-Nya juga, Irma dipertemukan dengan jejaka idaman hati di tanah suci Mekah, tahun lalu.

Mungkin doa Irma di hadapan Kaabah, agar Allah pertemukan dia dengan lelaki budiman dimakbulkan.

“Alhamdulillah, salah satu doa Irma dimakbulkan Allah. Irma minta maaf kerana tidak boleh bercerita lanjut tentang bakal tunang kerana kami belum rasmi mengikat tali pertunangan.

“Tunggulah harinya, nanti Irma akan cerita. Lagipun tidak manis untuk bercerita tentang majlis yang belum berlangsung.

“Setakat majlis bertunang sahaja, cukuplah Irma kata majlis itu akan diadakan hujung bulan ini,” kata Irma yang enggan bercerita lanjut tentang calon tunangannya itu.

Biarpun Irma tidak mahu menyatakan tarikh sebenar, namun Hits difahamkan yang majlis itu akan diadakan pada 24 Mac ini.

Majlis pertunangan akan berlangsung secara sederhana di rumah keluarga Irma sendiri di Sungai Buloh, Selangor.

Jika tiada apa-apa perubahan, majlis tersebut bakal diadakan selepas solat Asar dan semua itu bergantung kepada keputusan keluarga kedua-dua belah pihak disaat-saat akhir.

Pengacara rancangan bual bicara, Assalamualaikum di TV AlHijrah itu juga telah menempah baju untuk majlis pertunangannya.

Keengganan Irma untuk telus bercerita tentang kisah peribadi mungkin disebabkan pengalaman lalu dan sebab itulah dia lebih senang mengambil sikap berdiam.

“Irma harap orang akan faham kenapa tidak mengembar-gemburkan cerita bertunang ini.

“Apa yang penting ialah majlisnya berlangsung dengan selamat dan direstui keluarga, itu doa kami,” katanya.

Meskipun bakal bertunang dan seterusnya mendirikan rumah tangga, Irma yang pernah muncul dalam filem Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Diva dan Dua Hati Satu Jiwa, tidak mungkin meninggalkan bidang seni.

“Setakat ini, Irma tetap dengan kerjaya sedia ada. Masa depan tidak tahu lagi. Kalau berlakon pun, Irma akan ambil watak yang sesuai dengan penampilan.

“Bidang seni ini luas dan Irma percaya rezeki ada di mana-mana. Irma sendiri tidak menduga, bila bertudung terus dapat tawaran jadi pengacara program Assalamualaikum,” katanya yang pernah berlakon drama Lima, Awan Dania, Bella, Rahsia Gambar, Hantu Raya, Segalanya Ku Terima dan Cinta 5 Bintang.

Farawahida dah ada Mr.R?


LELAKI baik, punya ciri-ciri kepimpinan dan penuh tanggungjawab adalah kriteria utama penyanyi wanita ini andai dipertemukan jodoh satu masa nanti. Ciri-ciri bakal suami itu kelihatan ringkas tetapi dia cukup mengambil berat supaya mahligai perkahwinan bertahan kukuh hingga ke hujung nyawa.

Bagi Farawahida pula, impian tersebut sudah lama tersemai dan dia sendiri tercari-cari calon belahan hati kerana tiada yang bersungguh-sungguh setakat ini.

Tambahan pula, sejarah cinta tidak berasas Farawahida dengan seorang penerbit muzik yang dicatatkan sebelum ini juga menyebabkan dia lebih berhati-hati pada setiap langkahnya.

Atas alasan itu, anak kelahiran Taiping, Perak ini mengakui hatinya sudah tertawan dengan seorang lelaki dan bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi.

"Saya tak boleh ulas panjang tentang soal jodoh. Orang perempuan tak eloklah cakap bab ini," ringkasnya berkias mengulas tentang pilihan hati.

Farawahida yang bakal menjejak usia 27 tahun esok, bagaimanapun menafikan bahawa kekasihnya itu berpangkal R sebaliknya ia memberi maksud 'lelaki pilihan' (Mr. Right) dalam bahasa Inggeris.

"Memang ada Mr. R dalam hidup saya tapi masih belum dapat didedahkan siapa. Cuma saya mengaku sedang berkawan dengan seseorang tetapi tak boleh nak cakap lebih-lebih.

"Kalau nak tanya lebih-lebih tentang siapa dia, saya berat nak beritahu. Biarlah kami berkawan dulu, kalau tak jadi, malu. Buat masa ini biarlah ia menjadi rahsia. Apabila semuanya dah jelas, barulah saya kongsi bersama para peminat..

"Saya sedar yang saya bukannya popular sangat. Tak naklah orang cakap saya jual cerita peribadi semata-mata nak tarik perhatian orang. Cara macam tu tak bagus," katanya merendah diri.

Kalau tak nak publisiti murahan, kenapa Farawahida yang mencetuskan dahulu isu perkahwinan dirinya termasuk mengkhabarkan kononnya dia bakal menamatkan zaman bujang pada hujung tahun ini?

"Banyak salah faham sejak saya buka mulut tentang berkahwin, perkara ini saya minta maaf sangat-sangat sebab buat semua orang keliru. Saya cuma nyatakan rancangan perkahwinan tetapi tidak menyatakan secara spesifik fakta yang lainnya.

"Jadi bila orang sudah pergi terlalu jauh, memang kerja berat nak tarik balik kenyataan itu. Saya juga lenguh nak terangkan semula dari A sampai Z sebab orang bertanya setiap masa," katanya jujur.

Finalis Bintang URTV tahun 2002 ini juga sempat berseloroh bahawa dia sering berdoa agar tidak bertemu jodoh dengan lelaki yang bekerja satu bidang dengannya.

Alasan pemilik nama penuh Farawahida Razali yang sedang hits dengan lagu Jangan Tanya Aku Lagi ini, biarlah dia sahaja yang terlibat dalam dunia glamor yang penuh pancaroba.

"Pemikiran kita lebih terbuka kalau jodoh kita bersama individu berlainan bidang, boleh bertukar cerita dan pengalaman. Jadi kita tak terlalu terikat dengan cerita dalaman dan cenderung ke arah gosip semata-mata," katanya di hujung perbualan.

Dayana tak rela dimalukan


SEPANJANG sesi fotografi bersama pelakon muda ini, dia kelihatan cukup ceria, mulutnya berceloteh bak bertih digoreng lantaran terlalu teruja diberi peluang keemasan menjadi gadis penghias muka depan Pancaindera.

Jika selama ini, dia hanya berkesempatan untuk membaca artikel rakan seperjuangan di sisipan Mingguan Malaysia tetapi kali ini, dia menjadi salah seorang daripada bintang yang menjayakan sisipan akhbar paling digemari hujung minggu itu.

Bagaimanapun watak girang Dayana berubah serius tatkala sesi temuramah pada petang Khamis lalu. Anak jati Kuala Lumpur yang berusia 21 tahun ini kelihatan fokus mendengar soalan yang diajukan dan cukup berhati-hati membuat huraian jawapan.

Tambahan pula melibatkan peristiwa memalukan yang terjadi pada dirinya apabila ada seorang lelaki meraba punggungnya sewaktu mengacara rancangan secara langsung di televisyen pada tahun 2009.

Insiden itu berlaku sewaktu dia terikat sebagai peserta program realiti Anak Wayang yang diperkenalkan untuk mencari bakat lakonan dengan melalui cabaran drama televisyen.

"Sebenarnya, Yana terperanjat bila satu Malaysia terlebih dulu tahu cerita memalukan itu sedangkan Yana hanya beritahu orang tertentu dalam produksi saja.

"Walhal, masa gosip itu tersebar, semua peserta Anak Wayang tidak dibenarkan sekali berinteraksi dengan dunia luar sama ada guna telefon atau apa saja.

"Tapi bila kejadian yang berlaku sekelip mata pada Yana itu, Yana tak ada siapa nak mengadu. Yana tak ada pilihan lain dan tak ada kuasa nak ubah semua itu," kesal anak tunggal ini.

Pemilik nama sebenar Nur Dayana Kamsun Baharin ini turut ditanya tentang dakwaan segelintir pihak mengatakan dia sombong tak bertempat sewaktu mula melangkah masuk dalam industri seni sebelum ini.

"Semua itu salah faham sebab Yana tak kenal sesiapa dan tak ada orang yang kenalkan Yana dengan orang-orang penting dalam industri ini. Kalau ada orang yang terasa, Yana minta maaf ye," katanya jujur.

Penjelasan yang dibuat pelakon filem Apokolips dan Hello ini seolah-oleh bersikap terlalu defensif, adakah Yana cuba menyembunyikan sesuatu?

Menjawab persoalan ini kelihatan Yana menarik nafasnya dalam-dalam sebelum berkata: "Sama sekali tidak".

Sambungnya: "Yana bukan jenis yang sengaja cipta kontroversi tanpa sebarang alasan kukuh. Yana mengakui bukan budak baik tapi Yana masih ada prinsip dan ada maruah keluarga yang perlu dijaga.

"Sebab itu Yana rela sunyi tanpa sebarang publisiti ciptaan sendiri. Biarlah Yana guna kudrat yang ada cipta nama sendiri, cari job lakonan, mana tau orang luar boleh kenal rapat lagi dengan Yana," katanya lagi.

Pelakon drama Selipar Jepun Suria yang bersiaran di Astro ini juga menyatakan pendirian tidak mahu mencari 'penyakit' untuk lekas popular.

"Ada artis yang sanggup keluarkan aib sendiri di media, kemudian buat jawapan penjelasan semata-mata nak cari publisiti supaya nama cepat naik.

"Tak malu ke buat macam itu? Yana tak nak cara macam tu sebab jiwa Yana boleh kacau kalau guna cara kotor itu.

"Banyak kesan buruk daripada baik, sebab masyarakat kita ini memang prihatin dengan tingkah laku artis. Mana yang tak elok, cepat benar diingat.

"Yana tak popular tak apa, asalkan tahu sasaran utama dan tempat yang sepatutnya Yana buktikan pada semua satu hari nanti," harap Dayana yang begitu mendambakan anugerah pelakon wanita terbaik satu masa nanti.

Rahsia cerita peribadi

MENGAJUKAN persoalan peribadi pemegang tali pinggang hitam merah bagi seni mempertahankan diri Taekwando ini mengundang rasa kurang selesa yang ditunjukkan menerusi bahasa tubuhnya.

Pelakon drama BFF di TV3 ini mengakui bahawa dia tidak gemar berkongsi cerita peribadi yang disifatkan sebagai satu-satunya ruang buat dirinya untuk bernafas.

"Yana tak ada apa-apa yang boleh dibanggakan setakat ini. Tak naklah kongsi banyak sangat cerita peribadi, nanti lambat laun orang mesti tahu sebab industri kita kecil.

"Macam teman lelaki, ada wartawan yang korek cerita ini, tapi Yana segan nak beritahu. Alah, baru tahap kekasih saja, lainlah kalau dah betul-betul sahih jadi bakal suami ke apa, baru Yana buka cerita," ujarnya penuh berhemah.

Ditanya, siapa lelaki berpangkal K yang menjadi pilihan sehingga Dayana turut memakai rantai berhuruf itu, pelakon yang lahir pada 1 Mei 1991 ini tersenyum lawa sebelum menepis kata: "Tak ada sesiapa. Saja aja".

Radhi OAG kini bebas


Menurut Radhi, dibelenggu masalah penagihan dadah sejak 15 tahun lalu banyak memberi impak kepada perjalanan hidupnya. Bukan tidak pernah mahu berhenti tetapi menurut Radhi ketika mengambil keputusan nekad meninggalkan najis ini, dirinya pula terlalu lemah.

Takut akan kesan yang lebih teruk menimpa diri, akhirnya pada tahun lepas Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali, 34 membuat keputusan untuk berada di Pengasih, bagi mendapatkan bantuan menjalani rawatan pemulihan dadah.

Ternyata untuk bebas dari dadah bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana bagi Radhi pemulihan ini bakal berlangsung sepanjang hayatnya.

Bagaimanapun dalam pertemuan terbaru dengan Hits, dia mengakui berada dalam fasa 'sebenar-benarnya' bebas dari belenggu dadah.

Membawa gelaran seorang penyanyi, dia sedar kesilapan tidak pernah mengenal sesiapa oleh itu di dalam membantu dirinya, dia bukan sahaja nekad untuk menjalani rawatan ketagihan di Pengasih tetapi juga menjalani kehidupan biasa yang diberikan Pengasih kepada mereka yang memerlukan bantuan.

"Saya tidak pernah diberikan apa-apa keistimewaan ketika berada di sini, walaupun saya merupakan seorang penyanyi.

"Bagaimanapun dapat berkenalan dengan mereka yang menghadapi masalah yang sama banyak memberi saya semangat untuk meneruskan rawatan ini, walaupun pada mulanya agak sukar untuk menyesuaikan diri," katanya ketika di temui di Pengasih, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tempoh tiga bulan berada di sana merupakan antara tempoh waktu yang amat memeritkan untuk Radhi, mahu tidak mahu dia terpaksa meneruskan rawatan bagi melenyapkan masalah ketagihan itu.

"Banyak benda yang saya belajar di sini, dari menikmati apa yang saya pernah hilang sehinggalah membantu diri saya untuk keluar dari lubang hitam yang pernah menjadi sebahagian dari hidup saya.

"Malah jika dahulu kegagalan sering mengiringi azam saya, namun kali ini saya berjaya mengatasi masalah putus asa tersebut," katanya bangga.

Merupakan vokalis kumpulan Old Automatic Garbage (OAG), Radhi memberitahu walaupun kini dia bebas untuk keluar masuk dari Pengasih namun hatinya lebih memilih untuk berada di sini selalu. Malah menurut Radhi dia kini akan berada di Pengasih pada setiap malam untuk mengadakan sesi latihan muzik bersama ahli kumpulan OAG yang baru.

"Saya lebih senang untuk berada di sini, malah dengan bantuan yang diberikan Pengasih saya juga bebas untuk berkarya semula.

"Selain itu juga tempoh setahun berada di sini saya banyak belajar untuk merancang semula kehidupan yang pernah diabaikan. Walaupun kini terpaksa bermula dari bawah namun saya gembira kerana lebih jelas dengan arah kehidupan yang baru hendak bermula ini," katanya yakin.

Menurut Radhi, tempoh setahun masih lagi terlalu singkat untuk dirinya untuk benar-benar berani melangkah bebas sendiri diluar sana. Memandangkan Pengasih sentiasa membuka pintu, menurut Radhi setiap kali dia memerlukan bantuan serta pandangan Pengasih merupakan tempat pertama yang akan dituju.

"Kekuatan saya datang dari anak serta keluarga, malah dengan bantuan yang diberikan pihak kakitangan Pengasih sendiri memberi ruang untuk saya kembali seperti dahulu.

"Dengan kelengkapan studio jamming ini juga membolehkan saya meneruskan karier sebagai penyanyi semula," katanya berharap.

Berkongsi pengalamannya ketika menjalani pemulihan di sini menurut Radhi terlalu banyak perkara baru yang berjaya membentuk dirinya kini, dari mendekatkan diri dengan agama dia juga lebih berdisiplin kini.

"Selama setahun di sini saya banyak di beri tugasan yang tidak pernah di lakukan, antaranya memasak dan menyapu sampah.

"Secara jujurnya hati saya lebih tenang kini, malah dengan kehadiran rakan-rakan serta kakitangan di sini yang sudah saya anggap seperti keluarga menjadikan saya lebih bersemangat untuk memulakan sesuatu yang baru untuk masa depan," katanya.

Bukan mudah untuk mengatasi masalah dadah yang dihadapi penyanyi ini, malah menurut Radhi adakalanya dia juga berasa keliru. Bagaimanapun kekuatan sentiasa bersamanya setiap kali berada di Pengasih.

"Saya kini masih lagi belajar untuk menguatkan diri dari terpedaya dengan anasir luar yang tidak baik untuk diri saya.

"Saya percaya perjalanan itu masih jauh, jadi biarlah ia berjalan secara berperingkat-ringkat buat masa ini," katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai kumpulan OAG yang baru menurut Radhi ada kelainan yang akan diberikan kumpulan barunya ini kepada peminat muzik alternatif.

"Kesemua ahli kumpulan OAG yang baru ini merupakan pengikut muzik OAG sejak dari dahulu lagi.

"Melihat kesungguhan mereka untuk membantu saya menghidupkan kembali OAG, memberi peluang kepada saya untuk menubuhkan kumpulan OAG dengan nafas baru," katanya gembira.

Memberi sedikit nasihat kepada remaja di luar sana menurut Radhi, dia percaya remaja kini lebih bijak untuk memilih apa yang terbaik untuk masa depan mereka.

"Dadah tidak pernah memberi kesenangan, malah ia hanya akan terus memberi tekanan kepada kepada kita.

"Saya percaya remaja kini lebih bijak untuk memilih apa yang terbaik untuk diri mereka, dan dadah bukanlah penyelesaian masalah," katanya.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails