Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Syaleza mati akibat leher dijerut

SHAH ALAM – Polis semalam mengesahkan keputusan bedah siasat mendapati Eksekutif Pentadbiran Berita stesen televisyen TV9, Syaleza Jaffar menemui ajal dengan cara lehernya dijerut hingga mengakibatkan mangsa kekurangan oksigen sebelum mati lemas. Sehubungan itu, polis telah menahan suami wanita itu, Norazman Ba- shah, 31, selepas selesai upacara pengebumian jenazah Syaleza, 31, di kampungnya di Felda Redong 1, Labis, Segamat, Johor pada pukul 10.15 malam kelmarin bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan sebagai bunuh itu. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (gambar kecil) berkata, lelaki berusia 31 tahun tersebut kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dekat sini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. “Laporan siasatan menunjukkan mangsa mati akibat dijerut dan bukannya menggantung diri, namun kita masih menjalankan siasatan terhadap perkara itu. “Selain suaminya, kita juga telah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Syanie bukan merajuk

PELAKON dan pelawak, Syanie Hisham semakin jarang kelihatan di kaca-kaca televisyen mahupun layar perak. Kemudian, baru-baru ini dia dikhabarkan mahu berhijrah ke Melbourne, Australia untuk membuka sebuah restoran sekali gus menetap di sana. Kesan daripada khabar angin itu, ramai yang tertanya-tanya adakah pelakon filem Senario Lagi itu merajuk dengan industri seni tempatan akibat kurang tawaran sejak akhir-akhir ini? Berpeluang bertemu dengan pemilik nama Syaniza Hisham, 38, pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim rumah Amal Baitul Fitrah, Rawang di Hotel Royale Bintang Damansara baru-baru ini, Kosmo! mendapatkan kesahihan daripadanya. Kosmo!: Timbul khabar angin baru-baru ini menyatakan Syanie mahu berhijrah ke Melbourne, Australia tidak lama lagi. Adakah benar dakwaan itu dan kenapa? SYANIE: Itu perancangan tahun lepas lagi tapi oleh kerana nenek saya baru meninggal bulan Jun lalu, saya tidak sanggup meninggalkan ibu saya bersendirian di rumah. Jadi saya menunda dulu hasrat untuk ke Melbourne sehingga keadaan benar-benar stabil. Saya ke sana untuk membuka restoran makanan tempatan Malaysia memandangkan di sana susah mahu mencari kedai masakan Malaysia. Maka benarlah Syanie akan berhijrah ke sana? Adakah Syanie merajuk kerana kurang tawaran berlakon di Malaysia? Ya, saya akan berhijrah ke sana memandangkan kakak saya sudah mendapat taraf penduduk tetap di sana. Jadi, jalan ke arah membuka perniagaan di sana lebih mudah. Saya akui permintaan (berlakon) untuk orang seperti saya semakin kurang. Bukan merajuk sepenuhnya tapi saya ke sana untuk mencuba persekitaran baharu dari segi bisnes. Sejauh mana perancangan Syanie untuk membuka perniagaan di sana setakat ini? Kertas kerja semua sudah siap dan lebih separuh projek itu berjalan lancar. Peluang dan sasaran pelanggan pun sudah dibuat cuma sekarang saya berdepan masalah kos. Kadar matawang di sana pun sekarang masih mahal. Jika ada pelabur yang mahu bekerjasama saya tidak kisah. Harapan Syanie untuk bisnes itu? Saya sangat berharap untuk membuka restoran makanan halal di sana. Cita-cita sudah tentu biar sampai tercapai cuma sekarang keadaan tidak mengizinkan. Saya akan ke sana juga satu hari nanti. Bagaimana rutin Syanie sepanjang bulan Ramadan? Sepanjang bulan Ramadan ini saya membuat dan menjual biskut raya melalui facebook. Kebanyakan tempahan pun dibuat oleh kawan-kawan dan pelanggan tetap dari tahun-tahun lepas. Sebelum ini ada menjual baju plus size tapi tak berjalan sebab terlalu ramai persaingan. Syarikat penerbitan Nizarman Sdn. Bhd. di bawah seliaan Syanie masih beroperasi? Sudah tentu masih berjalan dan tahun ini sudah memasuki 26 tahun syarikat itu beroperasi. Cuma keadaan sekarang terlalu banyak persaingan dan stesen televisyen terlalu pilih kasih. Selagi boleh bernyawa akan boleh hidup lagi dan saya akan teruskan selagi terdaya. Saya sudah tidak berani buat filem memandangkan filem terakhir terbitan Nizarman (lakonan Erra Fazira dan Hans Isaac), Persona Non Grata (yang menelan kos RM1.5 juta) tidak laku (hanya mengumpul kutipan RM420,000).

Kerinduan Fyza

KELIBATNYA jelas dan berjaya mencuri perhatian. Meskipun masih ramai yang berbisik bertanyakan siapa gerangan gadis tinggi lampai yang punya senyuman manis itu, namun Fyza Kader atau nama sebenarnya Norhafezzah A Kadir sudah mampu meletakkan wajah dan dirinya di tempat tersendiri. Walaupun nama dan wajah masih dalam kesamaran, potensi untuknya terus bergerak ke depan sudah mula terpancar.
Bertemu dengannya Khamis lalu, ia satu pertemuan kedua yang memberikan pengalaman berbeza. Jika dulu bibirnya terkunci rapat dan gerak tubuhnya tampak janggal untuk berdepan media, sukar didekati dan sesekali terpacul ekspresi tidak selesa, namun melewati setahun tidak bertemu, Fyza sudah banyak berubah. Bicaranya lancar dan ada saja topik yang ingin disembangkan walaupun ketika itu panas terik menahan lapar berpuasa. Apa saja permintaan jurugambar yang merakamkan wajahnya, lekas diikutkan tanpa banyak rungutan, malah sesekali dia pula yang memberikan idea untuk memberikan posisi terbaik. Fyza pelakon yang ingin belajar dan punya kesungguhan tinggi dengan apa yang ingin dikejarnya.
“Saya banyak belajar dan semuanya adalah pendedahan yang diberikan syarikat pengurusan di MIG. Saya bersyukur kerana kini sudah pandai menyesuaikan diri dan tidak lagi berasa kekok untuk bertemu pihak media. Maklumlah sebelum ini saya masih baru dan tidak mempunyai sebarang latar belakang dalam lapangan seni, pastinya malu dan sentiasa janggal untuk memulakan bicara. “Namun selepas diberikan kepercayaan dan sokongan tidak henti, saya mula nampak arah tuju dan apa yang perlu dilakukan untuk menjadi seorang anak seni yang baik,” katanya tersenyum. Gadis jelita yang kini berusia 27 tahun ini mula muncul memegang watak penting dalam filem Ngongkrong sebelum menjadi watak sampingan dalam filem Senario Opps Pocot dan Pe3.
Pejam celik, pelakon kelahiran Johor Bahru yang tidak lekang mengukir senyuman ini sudahpun setahun lebih bersama MIG. Jelas usaha MIG dalam menggilap bakatnya mula menampakkan hasil. “Alhamdulillah setahun lebih bersama syarikat pengurusan, saya nampak peningkatan dalam kerjaya dan yakin untuk terus mengukuhkan tapak yang sudah disediakan ini. Apa yang penting adalah memberikan tumpuan dan penekanan dalam membaiki lakonan dan tidak menghampakan David (Teo) yang selama ini percaya dengan bakat saya. “Bagaimanapun, tidak saya nafikan, mencipta nama dan cuba membuktikan bakat yang ada bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Memang andaian dan tanggapan orang luar sentiasa positif saja mengenai seseorang pelakon, popular dan sering menjadi perhatian. Namun hakikatnya, ia menuntut banyak kesabaran, komitmen dan kesungguhan. “Setakat ini saya bersyukur kerana tidak lagi terpalit dengan mana-mana kontroversi atau gosip kerana jujurnya saya takut untuk berdepan dengan situasi sebegitu, lebih-lebih lagi masih baru. Biarlah perlahan untuk saya ke depan, namun semuanya atas usaha sendiri kerana akhirnya nanti ia akan memberi kepuasan kepada saya. “Peluang yang diberikan cukup berharga dan saya juga bertuah kerana dikelilingi ramai penggiat seni yang tidak pernah lokek ilmu. Itu lebih menggembirakan dan insya-Allah, saya akan buktikan sesuatu kepada mereka yang menyokong satu hari nanti,” katanya yang tegas mengatakan yang dirinya masih sendiri dan tidak pernah memikirkan soal kekasih buat masa sekarang. Dalam diam tanpa hebahan publisiti yang meluas, gadis peramah ini sudahpun membintangi lapan filem termasuk 1 Lawan 1, Kisah Paling Gangster, Salam Cinta serta Ajiboy dan semuanya masih menunggu tarikh tayangan. Selepas Ngongkrong, Fyza akan muncul dengan filem Seram Sejuk yang akan ditayangkan Aidilfitri ini. Pertama kali nampak bakatnya akan menjadi perhatian, Fyza yang juga graduan jurusan Fesyen dan Rekaan Tekstil dari Institut Seni Malaysia (MIA) mengakui terlalu bimbang dan gementar dengan reaksi penonton. “Saya melakonkan watak Mawar dan kemudian berubah menjadi satu lagi watak hantu dengan nama yang sama. Kiranya saya perlu mendalami dua emosi berbeza dan pembangunan watak yang lain sama sekali. Mujur pengarahnya, Azhari Zain dan pelakon lain seperti Angah, Sabri Yunus dan Wawa Zainal banyak membantu. “Menariknya, saya perlu melakonkan watak hantu lengkap dengan solekan yang saya sendiri kagum. Memang hebat produksi ini dan semuanya bagai sebuah keluarga bagi memastikan keseluruhan produksi berjalan lancar. “Mawar memang penuh drama dan menakutkan, namun filem ini diselitkan dengan elemen komedi untuk menyesuaikannya dengan permintaan peminat wayang. “Saya jujurnya berasa gusar walaupun sudah beberapa kali berlakon. Ini kerana Seram Sejuk meletakkan saya di depan dan filem ini akan ditayangkan pada hari raya ini dan ramai penonton akan mencuri masa menontonnya. Inilah cabaran dan kayu ukur bagi saya untuk melihat sejauh mana kemampuan saya dan saya berjanji akan menerima segala kritikan untuk memperbaikinya pada kemudian hari. “Lebih kelakar lagi, semua keluarga dan sanak-saudara saya sudahpun berjanji untuk beramai-ramai menyaksikan filem ini pada hari raya kedua nanti bagi memberikan sokongan. Itu lebih menakutkan saya,” katanya berseloroh. Pastikan peminat filem tempatan tidak ketinggalan untuk menyaksikan filem Seram Sejuk yang pastinya memberikan sebuah pengalaman baru pada Aidilfitri nanti. Aidilfitri tanpa ayah MENYENTUH persiapan dan cerita hari rayanya pula, ekspresi wajahnya berubah. Senyuman yang tadi meleret terus sedikit terganggu bagai menterjemahkan perasaannya. Selepas terdiam seketika, baru bibirnya merungkai segala-galanya. “Sebenarnya saya tidak langsung membuat persiapan atau sebarang perancangan Aidilfitri tahun ini kerana kami sekeluarga baru saja kehilangan ayah. Kiranya ini adalah Ramadan dan Aidilfitri pertama kami tanpa ayah bersama,” katanya yang kehilangan ayah tersayang, A Kadir Muhamad pada 1 Januari lalu kerana sakit angin ahmar. Bagaimanapun, tambah Fyza, dia bersyukur kerana diberi peluang dan kesempatan untuk menjaga arwah ayahnya ketika terlantar sakit lebih enam bulan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. “Ayah pergi memang mengejut kerana tidak pula kami sangka seawal itu. Kesihatannya makin pulih ketika itu namun sudah ajal dan ketentuan, ayah pergi juga. Tapi saya bersyukur kerana berpeluang menjaganya sepanjang dia terlantar sakit dan sering mencuri masa untuk berulang-alik ke Johor Bahru untuk menjenguk keadaannya ketika itu. “Tahun ini, kami sudah hilang seorang insan yang amat bermakna dan kami sayangi. Selalunya ayah yang paling kecoh mengusik kami adik-beradik dan ibu ketika membuat persiapan raya. Ayah juga yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada saya untuk menceburi bidang lakonan ini dan kini semuanya tinggal kenangan. “Justeru, kami sepakat sekeluarga untuk menyambut Aidilfitri di rumah nenek di Cheras saja. Rasanya semua adik-beradik tidak sanggup untuk terus menyambut hari raya di rumah keluarga kami di Johor Bahru kerana takut sedih nanti. Tapi insya-Allah pada raya ketiga atau keempat, kami semua akan pulang ke sana untuk menziarahi pusara dan sanak-saudara yang lain,” katanya sayu.

Mila tak hilang

AGAK lama nama Mila Jirin tidak menjadi sebutan hingga timbul persoalan apakah gadis genit dari Pulau Pinang itu sudah tidak aktif dalam persada seni. Kemunculan ramai artis baru terutama penyanyi indie dan bintang Youtube seakan menenggelamkan populariti gadis yang popular kira-kira lima tahun lalu penangan program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelima. Yang lepas biarkan ia berlalu, saya mahu pandang ke depan dan memikirkan strategi lain perlu dilakukan” - Mila Jirin, Penyanyi Ketika diaju soalan, Mila menafikan dirinya tidak lagi aktif, malah undangan persembahan masih diterima. Namun, Mila akui graf popularitinya makin merudum. Lima tahun bergelar artis, Mila sudah dapat menerima kesan turun, naik dan jatuh bangun anak seni. Kata gadis ini dalam lontaran suara penuh yakin, dia memang sudah bersedia dengan kenyataan ini sejak mula menjadi artis. Walaupun boleh menerima putaran alam, namun ada sesuatu yang menjentik hati gadis berusia 25 tahun itu. Biarpun kecewa, Mila sebenarnya enggan terlalu memperbesar-besarkan isu dihadapi, sebaliknya nekad mencari jalan penyelesaian selepas bergerak sendiri. Menguatkan lagi semangat penyanyi muda ini apabila memikirkan jika dia terus menyalahkan orang lain, masalah yang dihadapi tidak selesai. Apatah lagi masalah itu dihadapi kebanyakan penyanyi lain apabila lagu mereka tidak mendapat tempat di corong radio. Cari cara baru jual album “Saya harus memikirkan alternatif untuk mengetengahkan lagu baru berikutan lagu saya tidak mendapat tempat di radio. Cara yang saya nampak ialah dengan membeli iklan di portal terkemuka kerana ramai orang gemar melayari internet. “Single terbaru ciptaan saya bersama seorang rakan dijangka menemui peminat selepas Aidilfitri. Kami memilih melodi yang ringkas dan mudah diterima, tiada lagi nada tinggi kerana selera peminat sekarang berbeza. “Walaupun lagu daripada album kedua tidak dimainkan di radio, saya tidak mahu mempromosikannya dengan kaedah baru. Bagi saya, yang lepas biarkan ia berlalu, saya mahu pandang ke depan dan memikirkan strategi lain yang perlu dilakukan,” kata pemilik nama sebenar Norsyarmilla Jirin ini. Dalam enggan terlalu memikirkan masalah itu, terdetik juga di hati Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 ini, apakah piawaian sebenar yang dimahukan stesen radio? Album kedua Mila membabitkan bukan calang-calang komposer. Mereka antara komposer hebat di Malaysia seperti Ajai dan Aidit Alfian, tetapi ternyata itu tidak menjanjikan tiket untuk lagunya diputarkan di radio. “Kadang kala penyanyi jadi keliru, kami tidak tahu apa sebenarnya yang dimahukan stesen radio. Kami cuba menggunakan khidmat komposer terkenal, tetapi lagu tidak juga diputarkan. “Stesen radio sepatutnya menjelaskan dengan lebih terperinci piawaian yang perlu dipatuhi penyanyi,”” katanya yang kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filem Kami Histeria terbitan Red Film sepanjang Ramadan.

Penceroboh E-mel Pelakon Wendy Wong Minta Wang RM11,000

PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit drama Wendy Wong terkejut apabila ada pihak menceroboh e-melnya bagi memperdayakan orang ramai untuk menuntut wang berjumlah Euro$2,850 (RM11,000). Wendy atau nama Islamnya Wani Wendy Wong Abdullah pada Selasa berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ramai kenalan yang mahu menolong selepas mereka menerima e-mel kononnya dia mengalami masalah di Sepanyol. “Pagi ini (Selasa) saya dihujani berpuluh-puluh panggilan telefon daripada kenalan saya selepas mereka menerima e-mel kononnya saya memerlukan bantuan apabila dompet dan kad kredit saya tercicir di Sepanyol. “Sebenarnya, itu adalah helah individu yang berjaya menceroboh akaun e-mel saya untuk memperdayakan orang ramai. Saya berada di Malaysia dan tidak ke luar negara seperti yang dicatat dalam e-mel berkenaan,” katanya kepada mStar Online di sini, Selasa. mStar Online yang turut menerima e-mel itu yang menggunakan alamat wendywong2200@yahoo.com mendapati, penggodam akaun tersebut telah mengirim pesanan dengan mengatakan Wendy memerlukan wang bagi membayar bil hotel serta tambang untuk pulang ke tanah air.
Wendy dikatakan menghadapi masalah ketika mengikuti satu program di Sepanyol apabila dompet yang mengandungi wang dan kad kreditnya telah tercicir menyebabkan pasportnya ditahan oleh pihak hotel kerana gagal membuat pembayaran. Malah mesej dalam e-mel palsu itu turut menyatakan pihak kedutaan Malaysia di Sepanyol tidak dapat mengendalikan kes berkenaan dengan efisien sehinggalah dia memerlukan bantuan rakan-rakan bagi meminjamkannya wang. Bercerita mengenai hal berkenaan Wendy berkata, kira-kira dua minggu lalu dia telah menghantar komputer ribanya ke sebuah pusat servis di Mid Valley dekat sini. Katanya, pemilik kedai berkenaan memberitahu komputer tersebut harus diformatkan semula yang antara lain akan menyebabkan data yang disimpan musnah. “Saya bersetuju untuk format semula dan tinggalkan komputer saya itu selama dua minggu. Apabila saya mahu menuntutnya, saya membawa data yang saya simpan menerusi “external hard disc” untuk dimasukkan dalam komputer itu,” katanya. Menurut Wendy, sebaik pulang ke rumah dan mahu menggunakan komputer berkenaan, dia mendapati akaun e-mel Yahoo miliknya tidak dapat digunakan apabila kata laluan sudah bertukar. Berikutan itu Wendy akan membuat laporan polis dan berhasrat mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab menggunakan namanya bagi memperdayakan orang lain. Pelakon ini juga meminta orang ramai dan mana-mana pihak yang mendapat e-mel berkenaan agar tidak terpedaya kerana ia merupakan taktik pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai seorang artis. “Saya malu jika orang percaya saya mahu meminta wang. Saya harap semua pihak tidak terpedaya selepas penjelasan saya ini,” ujarnya.

Buat Pelaburan Di Internet, Adi Putra Ditipu RM19,000

KUALA LUMPUR: Pelakon Adi Putra, 31, kerugian sebanyak RM19,000 kerana ditipu selepas melabur dalam satu pelaburan di Internet. Pelakon yang berasal dari Singapura itu berkata, dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Sentul, di sini dan enggan mengulas lanjut atas nasihat polis. “Saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat. Kejadian ini bersifat peribadi dan dia dinasihatkan polis supaya tidak menceritakan kejadian itu secara terbuka kepada pihak media mahupun peminat "Saya harap pihak luar dapat hormati pendirian saya. Jika ia bukan kes polis, mungkin saya akan membuat sidang akhbar bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku," katanya, yang dipetik daripada akhbar Harian Metro. Ady yang turut membintangi filem pecah panggung, KL Gangster kini sedang menjalani penggambaran filem Balistik terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd di sekitar ibu kota, mengatakan kejadian itu boleh memberikan kesan pada dirinya secara peribadi termasuk karier seni. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. Menurut Izany, pelakon terbabit menyertai satu pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan menerusi Internet. "Dia memasukkan RM19,000 ke akaun milik suspek tetapi komisen yang dijanjikan belum diterima sehingga kini," katanya. Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan.

'Usah Terlalu Kemaruk Untuk Jadi Pelakon' – Amar Baharin

PETALING JAYA: Aktor Amar Baharin berkata seseorang pendatang baru hendaklah tidak terlalu kemaruk untuk menjadi pelakon filem sehingga sanggup menerima tawaran membintangi karya yang tidak berkualiti. Sebaliknya kata Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin, 27, golongan berkenaan hendaklah bersikap selektif ataupun memilih sebelum menerima sesuatu tawaran. “Pelakon baru sepatutnya bersikap memilih jika hendak berlakon dalam sesebuah filem. Masalahnya, apa yang saya perhatikan majoriti pelakon baru menerima sahaja apa juga tawaran yang diberi kepada mereka walaupun ia berkualiti rendah. “Hanya kerana mereka mahu nama terpahat sebagai pelakon filem, segelintir artis baru ini terima bulat-bulat tawaran itu tanpa memikirkan impaknya pada profil mereka,” katanya ketika ditemui di Menara Star di sini, petang Isnin. Bekas finalis program Anak Wayang ini berkata, demi untuk tidak mencalarkan profil kerjaya dia lebih selesa berlakon untuk siaran televisyen sahaja sehingga menerima tawaran filem yang berlainan dan membanggakan.
“Untuk apa berlakon filem kalau filem yang ditawarkan itu tidak bagus, kurang kualiti dan hasilnya lebih teruk daripada sebuah drama televisyen? “Lebih baik saya berlakon di televisyen sahaja buat masa ini sehingga ada skrip yang tersendiri dan bersesuaian pada masa akan datang,” katanya. Mengenai perkembangan terbaru, Amar memutuskan untuk berehat daripada kerja sepanjang baki bulan Ramadan yang masih tinggal ini. “Pada awal puasa, saya sibuk di lokasi penggambaran telefilem Jambatan Ke Syurga. Sebelum Ramadan, saya sudah sibuk setiap hari selama dua bulan kerana komitmen drama bersiri Naziha untuk TV3 dan Geng Surau musim kedua (RTM). “Kini saya hanya mahu berehat dulu di rumah sebelum mempertimbangkan sebarang tawaran lakonan yang baru,” katanya. Aksi lakonannya boleh ditonton dalam drama Naziha yang kini disiarkan pada setiap Jumaat pukul 9 malam di TV3.

Sofia Jane Punca Sheila Rusly Kembali Berlakon

PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit drama Sheila Rusly berkata keputusan untuk kembali berlakon selepas hampir setahun berehat semata-mata kerana projek istimewanya bersama rakan aktres Datin Sofia Jane. Sheila, 41, berkata, dia terpanggil untuk berlakon semula dalam telefilem berjudul Jane Jamilah itu demi memenuhi keinginan Sofia yang bersetuju untuk membintangi karya genre komedi buat julung kalinya. “Saya bersetuju untuk berlakon semula kerana rakan lama, Sofia Jane yang buat pertama kalinya bersetuju membintangi telefilem komedi berjudul Jane Jamilah. “Telefilem ini adalah projek istimewa kami untuk tayangan selepas Hari Raya nanti dan kini berada dalam proses suntingan,” katanya ketika dihubungi mStar Online. Ditanya mengenai tindakannya berehat daripada lakonan sebelum ini, Sheila berkata, dia selesa memberikan tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir syarikat produksinya dan suami Azman Yahya (Jinggo) iaitu JS Pictures.
“Kalau diikutkan sudah hampir setahun saya tidak berlakon langsung kerana sibuk membantu Jinggo dalam kerja-kerja belakang tabir drama-drama terbitan syarikat kami. “Sebenarnya, saya kasihan pada suami yang sering tidak cukup tangan dengan pelbagai komitmen. Kebetulan pula, saya juga mempunyai ilmu dan kemahiran dalam bidang itu, apa salahnya saya bantu apa yang patut,” katanya. Mengenai sambutan Ramadan pada kali ini, Sheila berkata, syarikat produksinya tidak melakukan sebarang penggambaran sepanjang bulan puasa dan lebih menumpukan pada proses pra-produksi drama bersirinya akan datang. “Macam biasa, syarikat produksi saya akan berhenti berehat daripada penggambaran sepanjang bulan Ramadan. “Selain untuk fokus pada ibadah, saya sibuk dengan kerja-kerja pra-produksi drama bersiri Cinta Adam & Hawa yang akan memulakan penggambaran selepas Hari Raya,” katanya.

Haizi Rani Tak Serik Mahu Jadi Penyanyi

PETALING JAYA: Bekas peserta program Sinaran Pasport Kegemilangan yang popular suatu ketika dahulu iaitu Haizi Rani menganggap masih belum terlambat untuk memulakan kembali karier nyanyiannya selepas hampir sepuluh tahun tidak tampil dengan album baru. Haizi, 33, berkata, dia tidak peduli jika ada pihak yang sudah tidak mengenalinya kerana berpegang kepada keyakinan dan rezeki yang telah ditetapkan. "Saya tidak mahu menjadikan faktor masih dikenali atau tidak sebagai halangan untuk diri saya melakukan sesuatu yang saya cintai. "Malah saya yakin dengan kehadiran single atau album baru itu nanti akan dapat diterima peminat. "Paling penting adalah usaha kita sebagai manusia dalam mengejar sesuatu impian," ujarnya ketika ditemui mStar Online. Tambah Haizi, sepanjang tidak merakamkan album atau membuat persembahan pentas dia sentiasa memasang hasrat untuk kembali ke persada muzik tempatan dan berharap hasrat itu akan tercapai. "Kali terakhir saya muncul dengan album baru adalah pada tahun 2004 yang berjudul 'Terus Melangkah' dan selepas itu saya terus senyap. Bagaimanapun itu bukan bermakna saya sudah berputus asa dengan impian dan cita-cita saya," jelasnya. Dalam pada itu, Haizi memberitahu sedang mengintai beberapa orang komposer terkenal tanah air untuk bekerjasama dengannya dan berhasrat untuk mendapatkan khidmat Edry Abdul Halim dan Adi daripada kumpulan Sixth Sense.
Haizi bagaimanapun berkata, ia masih lagi di peringkat awal dan tidak mahu terlalu terburu-buru tampil dengan karya baru selain memastikan perancangan dibuat berjalan dengan baik. "Setakat ini ia masih pada peringkat perbincangan lagi dan saya tidak mahu terburu-buru kerana ingin melakukan sesuatu yang betul," katanya. Sementara itu, Haizi yang juga bekas penyampai berita TV3 menjelaskan kehilangannya selama beberapa tahun sebelum ini bukan kerana kecewa atau kecil hati dengan industri sebaliknya ingin memberikan tumpuan kepada keluarga. Haizi menjelaskan sepanjang tempoh tersebut dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga selain memberi fokus kepada perniagaan kedai dobi yang diusahakannya. Dalam perkembangan lain, Haizi yang baru muncul sebagai pengacara program terbaru berjudul Resipi Sunnah memberitahu teruja dapat kembali ke dunia pengacaraan dan sedang dalam perancangan untuk mengacarakan sebuah program travelog. Resipi Sunnah disiarkan pada setiap Jumaat pada pukul 6.30 petang di TV9.

lla Sabry Labur Hampir RM100 Ribu Untuk 'Muncul' Semula

PETALING JAYA: Penyanyi Illa Sabry menganggap kemunculan semulanya ke persada muzik tempatan selepas lapan tahun menyepi bukannya sudah ketinggalan meskipun ramai artis seangkatannya sudah jauh ke hadapan. Illa atau nama sebenarnya Fasillah Sabry, 33, berkata, walaupun agak terkebelakang, dia percaya dengan memiliki sebuah album yang bagus, namanya mungkin mampu diangkat semula seperti pada era kegemilangannya sekitar tahun 2004. "Dalam industri muzik kita sekarang ini, agak susah untuk menjangkakan mengenai penerimaan umum terhadap lagu-lagu kita. "Namun saya yakin dengan pelaburan hampir RM100,000 bagi mendapatkan lagu-lagu yang bagus, ia mudah menarik perhatian pendengar dan populariti itu akan muncul dengan sendirinya. "Lagipun saya akan menyanyikan semula lagu Keranamu Kekasih, yang pernah menaikkan nama saya dahulu dengan susunan muziknya lebih segar khas buat peminat yang baru mengenali saya," katanya yang ditemui di studio Menara Star, di sini, Isnin.
Tambah Illa, album baru yang akan dilancarkan pada penghujung tahun ini dihasilkan dengan kerjasama komposer hebat iaitu Ajai, Aidit Alfian dan Adi (6ixth Sence). Penyanyi kelahiran Perlis ini memberitahu, tujuannya untuk menyertai semula dalam bidang nyanyian juga tiada kena mengena untuk bersaing dengan penyanyi yang sedia ada, sebaliknya sekadar ingin memeriahkan industri muzik tanah air. "Saya seorang yang sangat teliti dan bersungguh dalam hal kerja. Kemunculan semula saya ini juga dibuat hasil daripada usaha saya yang terlalu rindu beraksi di atas pentas. "Sebab itu komposer yang dipilih untuk projek album saya ini bukan calang-calang orang. Semoga saya diberi peluang lagi," ujarnya. Walaupun yakin dengan lagu-lagu baru yang bakal muncul tidak lama lagi, graduan bidang pengurusan perniagaan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) ini agak risau dengan tubuh badannya yang sedikit berisi. Dia kini sedang berusaha untuk menurunkan berat badannya mengikut kadar yang sesuai bagi seorang penyanyi. "Di Malaysia, para selebriti perlu menjadi cantik buat tatapan peminat-peminat mereka. Dan apabila saya muncul semula di khalayak, pasti ramai yang akan terkejut dengan perubahan diri saya yang ketara berbanding dahulu. "Bayangkan, lapan tahun dahulu, berat saya hanya 47 kilogram (kg) dan kini saya sudah 63 kg. Ini pun dah turun sedikit selepas saya menjaga rutin pemakanan dan senaman sejak April lalu," katanya yang menyasarkan berat 56 kg sebelum pelancaran album barunya itu.

Rossa Bawa Kekasih Temui Anak, Keluarga

PENYANYI terkenal Indonesia iaitu Rossa mengakui telah membawa kekasihnya berjumpa dengan keluarga dan anaknya bagi merapatkan hubungan. Rossa berkata dia bersyukur apabila keluarga dan anak lelakinya, Rizky Langit Ramadan menerima kehadiran lelaki tersebut dalam hidup mereka. "Semuanya berjalan dengan baik dan hubungan itu lebih penting mendapat restu daripada keluarga. Alhamdulillahlah mereka menerimanya dengan hati terbuka," ujarnya seperti dipetik portal kapanlagi.com. Bagaimanapun Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani enggan mendedahkan identiti lelaki yang berjaya memikat hatinya itu kepada umum. "Belum masanya untuk dia dikenali oleh masyarakat tambahan pula hubungan kami masih baru pada peringat mengenal hati budi masing-masing," ulasnya. Dalam pada itu, Rossa berkata, dia tidak menolak kemungkinan akan berkahwin dengan kekasihnya itu jika jodohnya telah ditetapkan dengannya. Rossa memberitahu, dia bagaimanapun belum terfikir ke arah itu dan mahu memperkukuhkan ikatan kasih antara mereka terlebih dahulu. "Saya tidak menolak akan berkahwin lagi suatu hari nanti tetapi biarlah kami berkenalan dengan lebih rapat sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin," ujarnya. Rossa sebelum ini pernah berkahwin dengan anggota kumpulan Padi iaitu Yoyo pada 2004 sebelum bercerai pada 2009.

Shaheizy Sam Anggap Bercinta Dengan Nora Danish Mengarut

PETALING JAYA: Pelakon Shaheizy Sam menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan dia kini sedang menjalin hubungan cinta dengan aktres Nora Danish secara sembunyi. Aktor yang mesra disapa Sam, 30, itu berkata gosip berkenaan yang diterbitkan dalam sebuah ruangan pojok akhbar mingguan pada Ahad adalah satu laporan yang tidak benar sama sekali. “Benda (gosip) ini mengarut. Saya pun tidak pasti bagaimana cerita begini boleh timbul kerana ia langsung tidak berasas dan tidak logik. “Saya terkejut sebenarnya kerana baru dimaklumkan oleh mummy (ibu) mengenai gosip itu ketika kami bersahur pada pagi ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Isnin. Laporan akhbar tersebut mendakwa cinta di antara Sam dan Nora, 30, mula berputik ketika mereka bergandingan dalam penggambaran filem terbaru berjudul 2 Kalimah arahan Eyra Rahman, baru-baru ini. Sam berkata, gosip terbaru itu mengingatkannya kepada dakwaan yang pernah mengaitkannya dengan aktres Wawa Zainal sebelum ini.
“Apabila timbul pula gosip mengaitkan saya bercinta dengan Nora, ia terus mengingatkan saya kepada gosip lama yang mengaitkan saya Wawa Zainal. “Kedua-dua cerita ini sangat mengarut kerana saya sebenarnya tidak rapat dengan mereka sehingga boleh dituduh mempunyai hubungan,” jelasnya. Ditanya adakah gosip itu timbul bagi tujuan gimik promosi filem berkenaan, Sam berkata, dia tidak pasti mengenai perkara tersebut. “Entahlah, saya pun tidak tahu cerita ini timbul atas tujuan gimik atau ada pihak yang menyampaikan benda tidak betul. “Kami hanya bertemu di set penggambaran dan tidak berhubungan selepas tamat penggambaran, sebab itu saya pelik apabila gosip ini timbul,” jelasnya. Mengenai perkembangan terbaru, aktor yang bakal muncul dengan filem SAM pada 19 Ogos depan berkata, dia hanya mahu berehat di samping keluarga sepanjang Ramadan ini. “Penggambaran filem 2 Kalimah pun sudah tamat, jadi saya hanya berehat di rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga sahaja sepanjang Ramadan ini,” kongsinya.

Kontrak Abby Abadi sebagai model ‘tudung’ tamat selepas menyertai PAS

Selebriti terkenal Arbaiyah Abdul Manan yang dikenali sebagai Abby Abadi hari ini berkata kontraknya selaku duta produk telah dibatalkan lebih awal, menurut portal berita Harakah Daily. Abby (gambar) memberitahu bahawa kontraknya bersama syarikat tudung Al-Humaira Contemporary (AHC) pada 4 Julai yang lalu telah membatalkan beliau sebagai duta produk tersebut. "Saya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan saya mohon maaf kerana menyertai Pakatan Rakyat (PR)," katanya dalam akaun Twitternya. Aktres popular itu sebelum ini telah diberitahu oleh AHC bahawa penglibatan beliau dalam politik telah menjejaskan perniagaan syarikat. AHC bagaimanapun hari ini mempertahankan tindakannya dalam ruangan Facebooknya, berkata mereka mempunyai hak untuk membatalkan kontrak. Syarikat tersebut bagaimanapun tidak menyebut nama Abby tetapi merujuk kepadanya. Abby baru-baru ini berkata sebagai artis Muslim, dia hanya akan bekerja sebagai artis sekiranya ia mengikut undang-undang Islam. Penyanyi itu berkata dia hanya akan aktif apabila PR menguasai Putrajaya dalam pilihan raya akan datang, mengharapkan kepada PAS. PAS kini lebih banyak cuba untuk menarik artis tempatan untuk kempen pilihan raya akan datang. Selain Abby, ramai lagi artis terkemuka termasuk pemuzik Bob Lokman yang telah menulis beberapa buah lagu untuk PR, yang dimuatturun dalam YouTube.

Puteri Mardiana pelakon wanita drift pertama Malaysia

Pelakon yang pernah popular dengan filem "Santau " terbitan MIG Production akui kembali merangkak lebih sebulan selepas keluar dari syarikat milik penerbitan terkemuka, David Teo tidak lama dahulu. Namun ujar Putri Mardiana pada awalnya memang sedikit sukar namun lama-kelamaan produksi luar sudah dapat melihat kehadiran Putri sebagai artis yang bergerak bebas. "Permulaan bergerak sendiri tawaran itu memang kurang, namun lama kelamaan selepas mula bekerja dengan produksi luar mereka mula memanggil saya balik untuk berlakon. Yang terkini, saya sudah dalam perbincangan untuk berlakon di dalam sebuah filem namun tajuk filem masih belum diketahui." "Alhamdullilah, sekarang tawaran berlakon tidak putus – putus dan sentiasa masuk. Akhirnya produksi luar dapat melihat kebolehan saya berlakon. " Tidak mahu dikatakan kecewa dengan percintaan yang tidak kesampaian sebelum ini, Putri Mardiana tekad untuk menceburkan diri di dalam sukan kereta drift untuk menghilangkan rasa sedih di hati. "Permulaan memang saya lakukan hanya untuk melupakan si dia, namun bila sudah mula dalami sukan kereta ini minat itu datang secara tiba-tiba. Jika tiada aral melintang, saya akan beli sebuah kereta khas untuk sukan perlumbaan drift ini." Ujar Putri mardiana yang ditemui di majlis pelancaran produk kereta D'Carbo Sabtu lalu. Dia turut menambah bahawa sepanjang latihan yang dijalani di Speed City , Sungai besi , dia telah mengetahui 2 asas untuk memandu drift. Antaranya adalah asas "Doughnut" dan juga "figure". Antara latihan lain yang dilakukan adalah memandu secara garisan z dengan memakai kon. Putri Mardiana atau nama sebenar, Puteri Mardiana Zainal Abidin memberitahu peluang yang dikecapi ini tidak akan disia-siakan kerana tidak ramai pelakon wanita di Malaysia ini mampu memandu kereta Drift dan melakukan aksi ngeri. "Saya adalah pelakon wanita pertama yang boleh memandu kereta secara Drift ini, dengan latihan dan asas yang saya belajar Insyallah boleh rasanya saya membintangi filem aksi seterusnya menjadi stuntman mereka." Tidak mahu memikirkan soal cinta lagi, Putri Mardiana bertekad untuk memenuhi masanya dengan aktiviti sukan drift dan dia sendiri mengaku masih solo.

Juadah kegemaran Aziz M. Osman di bulan Ramadan

Sungguhpun bulan Ramadan memberi kelonggaran kepada umat Islam dari melakukan kerja lebih, namun pengarah filem "Azura" Aziz M. Osman tetap mahu sibukkan diri dengan penggambaran filem "Penunggu" yang bakal diriliskan pada tahun hadapan. Minat beliau terhadap filem yang tidak pernah pudar sentiasa memberikan beliau inspirasi untuk tidak mengenal penat lelah dalam melakukan apa-apa sahaja projek beliau yang terkini. Kali ini, Aziz M. Osman memberikan tips kesihatan di samping berkongsi perkembangan terbaru beliau sepanjang bula Ramadan dan juga Raya yang bakal menjelang. Abang Aziz ada beberapa tips kekalkan stamina walaupun banyak kerja? Saya tiada amalan tradisional yang boleh saya sarankan. Tetapi, isteri saya (Puteri Lily) banyak berikan saya dorongan untuk berhenti merokok. Selepas saya berhenti merokok, saya rasa lebih sihat, tapi kesan sampingan yang saya dapati adalah selera makan makan saya naik, buatkan berat badan saya naik sedikit. Saya juga lebih suka menaiki tangga dan jarang guna eskalator dan lif. Sekarang ini pun saya banyak kurangkan makan makanan yang sedap sebab bila sedap sangat, selera asyik naik. Saya akan utamakan kesihatan lebih daripada kerja. Apakah pelan Abang Aziz sepanjang bulan Ramadan dan raya? Saya akan sibuk dengan penggambaran filem "Penunggu" pada bulan Ramadan. Kemudian, saya akan bekerjasama dengan syarikat Maficomm Resources dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk membuat drama bersiri yang bertajuk "Rentas Samudera". Untuk Hari Raya pula, saya akan pulang ke kampung isteri di Melaka dan kemudian ke kampung saya di Singapura. Hari Raya memang saya akan gunakan sepenuhnya untuk keluarga sahaja. Abang Aziz sudah ada baju raya? Yang itu, isteri yang uruskan. Tak silap saya, baju saya pada tahun ini berwarna merah jambu dengan jahitan Calvin Thoo. Kainnya diborong dari Bandung. Apakah makanan kegemaran untuk berbuka / raya? Saya suka berbuka puasa dengan roti jala, tapi sekarang roti jala sudah tak istimewa lagi sebab sudah di jual di luar bulan Ramadan. Saya suka hidangan yang nampak cantik sebab naik selera makan. Ada resipi yang abang pandai masak? Dulu memang saya pandai masak. Tapi sekarang dah jarang. Dulu saya pandai masak sambal tumis, pasal saya suka sangat sambal. Kalau belacan tu, saya akan bakar dulu, mengikut amalan tradisi keluarga.

Dingin sejak tahun lalu - Shasha

Tiada bezanya Ramadan kali ini buat Sasha Saidin, 35, selain status dirinya yang kembali solo. Sejak tahun lalu, akui Sasha, nikmat bulan penuh berkat itu tidak lagi dirasai lantaran hubungan bersama Salyo Priyanto Nutosoemarsono, 37, sudah mula dingin. Tahun ini, kedatangan Ramadan hanya dinikmati bersama ibu. Sejak berpisah, Sasha kini menetap di kediaman orang tuanya sementara menanti Salyo menemui tempat tinggal lain. Kami sudah lama renggang, jadi perasaan sunyi dan sayu tidaklah terasa walaupun tahun ini saya meraikan Ramadan sebagai ibu tunggal” - Sasha, Penyanyi “Kami sudah lama renggang, jadi perasaan sunyi dan sayu tidaklah terasa walaupun tahun ini saya meraikan Ramadan sebagai ibu tunggal. “Sewaktu masih bergelar isteri, kebanyakan masa dihabiskan di rumah. Namun, sejak kembali solo, saya mula sibukkan diri dengan kerja. Ada kala saya memenuhi undangan peragaan dan tawaran berlakon. Sesekali saya dan anggota Elite juga diundang membuat persembahan makan malam. “Saya perlu bekerja demi anak, Arya (Adam Aryasenna Notosoemarsono). Tetapi saya tidak mahu terlalu ligat bekerja, kerana bimbang nanti kebajikan Arya terabai. Bagi saya, asalkan pendapatan yang diperoleh cukup untuk membayar bil penting serta yuran persekolahan Arya, ia sudah memadai,” kata Sasha. Salyo tunai tanggungjawab Sasha yang berkahwin dengan Salyo pada 2007 juga berkata, dia tidak kisah hidup bersederhana. Biarpun tanpa barangan berjenama dan dilihat tiada kelas, wanita ini tidak malu kerana keutamaan kini lebih tertumpu kepada keperluan anak. Bagaimanapun, bekas suaminya tidak lupa tanggungjawab sebagai bapa. Setiap bulan Salyo akan menitipkan wang buat Arya. Malah tanggungjawab menjaga anak juga tidak pernah diabai. “Sejak kembali bekerja, tugas menjaga Arya dilakukan bergilir-gilir. Selalunya saya minta emak tolong tengokkan Arya, namun memandangkan emak juga ada kalanya sibuk dengan aktivitinya di Masjid Negara dan bersama ABIM, Salyo akan mengambil alih menjaga Arya. “Selalunya dia yang akan menjemput Arya dari sekolah. Pada hujung minggu pula, saya bagi peluang mereka menghabiskan masa bersama,” kata Sasha yang baru selesai penggambaran program Inilah Kisahku untuk TV9. Beraya dengan bekas suami Bercerita mengenai Syawal pula, Salyo berkemungkinan meraikannya bersama keluarga Sasha kerana dia tidak akan pulang ke Indonesia. Keluarga Salyo dijangka ke sini pada raya ketiga. “Sejak bercerai, saya belum berkesempatan bertemu keluarga mentua. Hubungan saya dengan mereka baik, malah kami kerap berbual di telefon. Jadi pada lebaran nanti, saya akan bertemu mereka buat kali pertama setelah bercerai. Keluarga mentua tidak terkejut dengan berita perceraian ini kerana mereka maklum dengan kedinginan rumah tangga kami,” katanya. Ditanya adakah dia serik untuk berkahwin lagi setelah dua kali menemui kegagalan, wanita ini mengambil masa agak lama untuk menjawabnya. Dengan tenang Sasha mengaku, sedikit sebanyak dia serik. Namun jauh di sudut hati, dia mengimpikan zuriat yang ramai. Begitupun, andai kata hanya Arya cahaya matanya, Sasha reda. Sasha pernah bernikah dengan jejaka Inggeris, Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, tetapi berpisah empat tahun kemudian.

Balik kampung - Stacy

SETIAP kali Ramadan menjelma, pasti aktiviti hiburan juga akan berkurangan. Sebahagian besar artis beragama Islam menggunakan bulan mulia ini untuk menghentikan seketika kerjaya seni mereka, sebaliknya mendekatkan diri dengan Yang Maha Kuasa. Artis bukan Islam juga menggunakan kesempatan sama untuk ‘bersara’ sementara daripada kesibukan kerja. Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam tidak terkecuali apabila menggunakan waktu sebulan ini untuk merehatkan badan, selain menghormati sama bulan puasa. Stacy yang ditemui ketika menjayakan majlis pelancaran prabayar Njoi di Kajang baru-baru ini mengambil peluang itu untuk pulang ke Kota Kinabalu, dan akan kembali ke Kuala Lumpur pada 30 Ogos nanti. Stacy gembira kerana setiap kali bulan puasa, dia mempunyai kesempatan untuk bercuti, meluangkan masa bersama keluarga tercinta dan melupakan sejenak kerjaya seninya. “Sekiranya saya tinggal di ibu kota pada bulan ini pun, tiada aktiviti seni dapat dilakukan. Saya pun bukannya berpuasa. Jadi saya mengambil keputusan untuk merehatkan diri dan meluangkan masa bersama keluarga di kampung. Sememangnya setiap bulan puasa, saya akan pulang ke Sabah,” katanya. Menurut Stacy, biarpun bukan beragama Islam, dia turut berasakan kemeriahan Ramadan dan Hari Raya apabila dia juga dijemput menjayakan rakaman program Aidilfitri di beberapa stesen televisyen. Kurang aktiviti sosial Berkongsi serba sedikit mengenai perubahan dirinya, Stacy akui kini dia sudah banyak mengurangkan aktiviti sosialnya seperti berkunjung ke kelab hiburan. Sebagai selebriti yang sentiasa diperhati tindak tanduknya, Stacy tidak mahu aktiviti tidak sihat seperti itu menjadi ikutan peminat, terutama remaja. “Seboleh-bolehnya saya mahu mengelak daripada mencetuskan sebarang gosip mahupun kontroversi. Sebagai artis, saya juga perlu jaga nama baik sendiri. Tujuan saya ke Kuala Lumpur pun untuk mencari rezeki, bukannya bersuka ria. “Bukannya saya langsung tidak ke kelab hiburan, tapi saya kurangkan aktiviti sosial seperti itu. Saya kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah,” katanya. Menurut penyanyi berbakat ini, tindakannya itu bukanlah atas pengaruh sesiapa sebaliknya dia sendiri yang tergerak hati berbuat demikian. “Dulu pun saya bersosial sebab saya banyak menyanyi di kelab, tapi sekarang tidak lagi. Saya juga perlu menjaga imej dan tidak mahu orang ramai mencontohi perkara tidak sihat.” tambahnya lagi yang bersyukur sehingga kini dia mendapat sokongan tanpa putus dari peminat dan ahli keluarga.

Tak mahu gaduh lagi - Neelofa

"SEBAGAI manusia kita tidak pernah tahu bila pengakhir hidup ini, jadi saya rendahkan diri dengan memohon maaf sebagai jalan penyelesaian terbaik selepas hampir sebulan pertikaian antara saya dan Neelofa berlaku. “Sedangkan nabi ampunkan umat, apatah lagi kita sesama insan. Lumrah hidup pasti ada menang dan tewas tetapi penentuan sebenar adalah di akhirat nanti,” kata Anzalna Nasir, 24, dalam nada sendu yang tertahan, tengah hari Isnin lalu. Bertempat di The Royale Bintang, Damansara, Anzalna membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Neelofa atas kenyataan dalam Berita Harian pada 10 Jun 2012 yang menjejaskan maruah pelakon itu dan keluarganya. Dalam kenyataan permohonan maaf itu juga, Anzalna mengakui, dia tidak mempunyai bukti untuk menyokong segala kenyataan yang diterbitkan akhbar berkenaan pada tarikh itu. “Sudah terlalu banyak andaian dan kesimpulan yang dibuat sebelum ini. Saya tidak mahu lagi perkara ini dipanjangkan kerana ia boleh mengaibkan dan lebih ramai orang yang tidak bersalah diheret sama. Cukuplah di sini, selepas ini saya tidak mahu lagi membuka mulut mengenai hal yang langsung tidak memberi faedah atau membantu meningkatkan karier saya. Saya tak perlu menyesal apa yang berlaku. Setiap manusia diberikan Tuhan ujian dan dugaan, ini yang terpaksa saya hadapi. Alhamdulillah semuanya sudah selesai,” katanya. Selesai memberikan kenyataan permohonan maaf dan menandatangani aku janji yang disediakan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Anzalna dan Neelofa memilih untuk membawa haluan sendiri. Tanpa bersalaman, malah menolak untuk dipotretkan bersama, Anzalna yang menitiskan air mata sebaik sidang media selesai segera berlalu meninggalkan lokasi, manakala Neelofa dikerumuni wartawan. “Saya tidak keberatan bersalaman dan bergambar bersama tetapi Neelofa seperti tidak bersedia. Lagipun, dalam aku janji itu sendiri ada menyatakan beberapa syarat yang perlu kami berdua patuhi, jadi saya memahami. Apa yang saya lakukan bukan hanya untuk hari ini tetapi juga untuk akhirat. Saya tolak ketepi segala kemungkinan kerana saya mahu berdamai supaya perselisihan kami segera selesai. “Terpulang apa penilaian orang tetapi saya bersyukur kerana melalui semua ini pada permulaan karier. Saya belajar daripada kesilapan dan akan lebih berhati-hati memberi kenyataan selepas ini. Banyak pihak lain terganggu disebabkan masalah ini. Saya juga rasa bersalah kerana menyusahkan produksi apabila terpaksa mengambil masa mereka,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran, Aku Janda Belum Kaya. Penjelasan Neelofa Sementara itu, Neelofa menjelaskan, dia bukan bersikap besar kepala atau mempertahan ego seolah-olah memperlihatkan dirinya sukar menerima kekalahan, sebaliknya sebelum ini mahu menggunakan jalan perundangan untuk mempertahankan hak dan maruahnya supaya tidak sewenangnya diperkotak-katik orang lain. Meskipun situasi petang itu mendorong ramai mempertikai keikhlasannya menerima permohonan maaf Anzalna, andaian itu disanggah Neelofa dengan berkata: “Ia datang dari hati yang ikhlas. Sebelum SENIMAN mengemukakan cadangan ini, saya sudah terfikir untuk memaafkan Anzalna. Lagipun isu yang dibangkitkan ini perkara lama yang sudah saya buang daripada hidup.” Ditanya mengapa enggan bersalaman dan bergambar bersama Anzalna, Neelofa berkata, dia cuma memenuhi syarat ditetapkan SENIMAN. “Tiada dendam, tiada benci. Saya tidak minta lebih daripada Anzalna kecuali permohonan maaf secara terbuka selain meletakkan syarat, selepas ini jangan lagi mengaitkan nama saya dalam mana-mana temubual sama ada dalam media cetak atau elektronik serta di laman sosial. Saya juga tidak mahu isu ini dipanjangkan lagi,” kata Neelofa yang berangkat ke Makkah, Khamis lalu untuk menunaikan umrah dan mengikuti penggambaran drama 26 episod arahan Erma Fatima, Kau Yang Terindah.

Ramadan di New York - Liyana Jasmay

Liyana tak kesunyian ditemani ibu bapa sambut ketibaan puasa di rantau orang SEJAK awal Julai lalu, Liyana Jasmay, 24, membawa diri ke New York. Bukan merajuk, tidak juga berjauh hati sebaliknya pemergian Liyana membawa misi penting untuk masa depannya. Seperti diketahui, Liyana ke New York untuk melanjutkan pengajian jangka pendek dalam bidang pengarahan dan lakonan selama enam bulan di New York Film Academy (NYFA). Tidak bersendirian kerana ditemani ibu tersayang, Habsah Simpon, bapa Liyana, Jasmay Md Shah turut bersama pada permulaan untuk memastikan anak bongsu mereka selesa memulakan hidup baru di rantau orang. Ketika artikel ini ditulis anak manja yang mesra disapa Nana masih berdepan masalah mencari rumah untuk didiami mereka selama tempoh berada di sana. “Buat sementara waktu, kami menginap di hotel berdekatan kawasan Gramercy hingga mendapat rumah. Ikutkan Babah menemani Nana dengan Mama tak lama di sini. Memandangkan masalah mencari rumah yang sesuai belum selesai, Babah tangguhkan dulu kepulangannya untuk menguruskan hal ini. “Memikirkan masalah itu, persiapan menyambut Ramadan dilakukan ala kadar. Untuk berbuka lebih mudah jika di luar kerana kebetulan, di kawasan berdekatan banyak pilihan restoran India yang halal. “Ada hikmahnya juga perkara ini berlaku, sekurang-kurangnya dapat juga Nana menyambut Ramadan dengan Babah dan Mama. “Lagipun Nana jenis yang tak pernah hidup berjauhan dengan keluarga, jadi apabila mereka bersama Nana mendapat kekuatan untuk memulakan hidup baru di sini,” kata Liyana menerusi kiriman emelnya baru-baru ini. Pemergiannya itu secara tidak langsung membuatkan Nana berjauhan dengan insan yang paling istimewa dalam hidupnya, Fathuddin Mazlan. Bagaimanapun, kemudahan teknologi seperti Skype dan Facebook menjadi penghubung kasih di antara Nana dengan tunangnya itu. “Dulu sewaktu awal perancangan Nana untuk belajar di sini, teruja juga. Tapi saat beberapa minggu sebelum terbang ke sini, Nana jadi sedih meninggalkan insan paling rapat dan disayangi di Malaysia. Tapi mahu atau tidak Nana perlu kuatkan semangat demi melunaskan pengajian ini. “Kelas Nana di akademi ini pun sudah bermula. Kelas Nana ada empat hari dalam seminggu bermula dari Isnin hingga Khamis. Alhamdulillah Nana sudah mula merasai keseronokan menuntut di sini. Suasana dalam kelas pun bagus. Nana pun sudah banyak berjumpa kawan sekelas baru dari serata dunia. “Ada yang dari India, Rome, Columbia, Sao Paulo Brazil, London dan Ireland. Ada juga di antara mereka itu yang bergelar pelakon seperti Nana. Contohnya dari India itu seorang pelakon baru yang dihantar agensinya ke sini untuk menjadi pelakon yang lebih baik dan dari Columbia pula bergelar pelakon soap opera di sana,” katanya bersemangat sambil memberitahu perjalanan dari hotel ke NYFA hanya sekitar 10 minit menggunakan teksi. Tambah pelakon genit itu lagi, jika tidak terikat dengan jadual kuliah, masanya akan dihabiskan bersama keluarga. Bagaimanapun, pergerakan mereka sedikit terbatas dan peluang menjelajah seluruh pelusuk kota metropolitan itu sedikit terganggu disebabkan belum mempunyai kediaman tetap. “Nana dan keluarga juga tak ketinggalan membeli barang keperluan. Nana juga tak ketinggalan menonton persembahan teater dan filem di Memphis. Nana juga nak memanfaatkan berada di sini untuk menonton semua persembahan broadway di sini,” katanya yang turut ingin mencuri peluang menyaksikan acara berkaitan fesyen dan meluaskan jaringan seninya di sana. Sekembalinya dari New York, Nana akan kembali menghitung hari hari bahagianya bersama Fathuddin. Mereka akan melangsungkan pernikahan pada 24 Januari depan. Keesokannya pula berlangsung majlis persandingan dan pada majlis bertandang pada 9 Februari. Pasangan ini bertunang pada Mac lalu.

Kecoh aksi cium Syahrini

KONTROVERSI seolah-olah begitu sinonim dengan dirinya hingga bintang sensasi Indonesia ini tegar membiasakan dirinya menelan pelbagai khabar kurang enak yang terus diperkatakan. Belum selesai peminat berteka-teki mengenai identiti kekasihnya, malah sempat kedamaian Syahrini digugat dengan isu kekasih bayaran lantaran keengganannya mendedahkan jejaka yang bertakhta di hatinya itu, Isnin lalu dia sekali lagi diuji. Selepas kecoh isu foto mesra kekasihnya, Raja Mohammad Syazni atau Bubu dengan wanita lain tersebar di laman maya, reputasi Syahrini, 29, kembali diperdebatkan apabiladua foto mesranya bersama seorang jejaka tidak dikenali jatuh ke tangan media. Mengulas perkara itu, pengurus Syahrini, Reindhy menyifatkan penyebaran foto berkenaan sebagai cubaan untuk memusnahkan reputasi penyanyi asal Bogor itu. “Kami tiada masalah dengan foto itu, cuma agak keberatan apabila diletakkan dengan tajuk ‘another Bubu’. Ia hanya foto biasa, tiada masalah cuma judulnya seolah-olah mempersendakan Syahrini,” kata Reindhy yang ditemui media di Mampang, Jakarta Selatan, Isnin lalu. Daripada dua foto yang dipercayai dirakamkan di lokasi sama, foto pertama menonjolkan Syahrini yang mengenakan pakaian serba putih bersandar mesra di dada jejaka itu. Lebih menimbulkan persoalan, apabila dada Syahrini menyentuh dada si jejaka yang mengenakan kemeja kelabu, manakala foto kedua memperlihatkan penyanyi lagu Bohong itu mencium mesra pipi lelaki itu sambil memeluk mesra pinggulnya. Enggan perkara itu berlarutan, Syahrini selesa bungkam malah membiarkan hanya pengurusnya yang berurusan dengan pihak media massa yang ingin mendapatkan penjelasannya. Skandal foto mesra Syahrini dengan beberapa jejaka bukan pertama kali muncul kerana sebelum ini bekas pasangan duet Anang Hermansyah ini pernah menggemparkan seluruh peminat muzik Indonesia apabila rakaman aksi panas yang menjadi koleksi peribadinya tersebar. “Ia tidak benar kerana masih banyak lagi foto lain yang diambil pada pertemuan itu. Rasanya pihak media massa sendiri sudah maklum mengenainya, cuma yang menjadi persoalan mengapa hanya foto mereka berdua saja yang disebarkan? “Mengapa foto lain tidak dikeluarkan?,” soal Reindhy, mewakili Syahrini yang ketika isu itu hangat diperkatakan berada di Samarinda, Kalimantan Timur kerana menjayakan persembahan di sana. Reindhy menegaskan jejaka yang dimaksudkan itu ialah Iwan Winarto, sahabat Syahrini yang sudah lama dikenali penyanyi itu dan mempertahankan mereka tiada hubungan istimewa. “Dia mengenali Iwan sejak 2007, malah lelaki itu juga rapat dengan pereka busana Syahrini, Satriyadi. Mereka sudah lama saling bekerjasama dan untuk pengetahuan, foto yang diedarkan itu juga adalah gambar lama. “Tidak silap ia diambil pada 2007. Foto itu sudah dimuat naik di laman Facebook Syahrini sejak 2007. Mengapa baru sekarang ia diperkatakan,” katanya. Iwan yang kebetulan turut berada di situ menegaskan, foto yang dirakamkan adalah untuk simpanan peribadi dan bukan bertujuan diedarkan kepada khalayak. “Ia bukan foto tidak senonoh, sebaliknya diambil untuk suka-suka. Foto itu dirakamkan ketika saya menemani Syahrini ke studio rakaman. “Ada juga gambar yang dipotretkan di Plaza Indonesia, selain beberapa foto ketika sambutan tahun baru,” kata Iwan menjelaskan perkara sebenar. Pada pertemuan itu, Reindhy berkata, dia sempat menghubungi Syahrini bertanyakan reaksinya mengenai gosip yang diperkatakan. “Dia biasa saja. Syahrini sempat bertanya, apakah salah dia dan temannya mengambil gambar begitu? Maaf kerana Syahrini tidak dapat bersama kerana dia ada persembahan di Samarinda. “Kami segera mengambil langkah ini kerana tidak mahu ia menjadi isu panas yang akhirnya tidak dapat dikawal. Kami juga tidak mahu dipersenda dengan isu remeh dan sensasi murahan. “Ada pihak tertentu yang cuba meraih keuntungan daripada foto berkenaan. Mungkin ada hikmahnya supaya Syahrini lebih berhati-hati jika mahu maju,” katanya. Rayu diberi ruang privasi SYAHRINI yang sebelum ini tegas dengan pendirian untuk tidak mengheret kisah peribadi dalam kariernya, baru-baru ini terpaksa mengalah apabila pelbagai fitnah terbit selepas membuat pengakuan menjalin hubungan cinta dengan seorang jejaka Malaysia. “Dari awal saya tidak pernah berniat untuk menggembar-gemburkan hal peribadi. Saya tidak pernah berniat menjaja cerita mengenai kekasih, bukan itu yang saya mahu. “Kalau sudah pasti dan memang benar antara kami ada ikatan yang sah, baru saya sedia memperkenalkan siapa pasangan saya,” kata Syahrini. Memohon supaya ruang privasi dirinya dihormati, Syahrini terkilan apabila dia dilaporkan ‘menyewa’ seorang jejaka untuk dipertontonkan kepada umum pada majlis perkahwinan adiknya, baru-baru ini. “Saya selesai mendiamkan saja perkara ini. Saya tidak mahu takbur, bimbang nanti jika dia bukan jodoh saya impaknya nanti akan berbalik kepada saya dan keluarga. “Disebabkan itu, saya tidak mahu mendedahkan identiti teman lelaki saya. Saya mahukan sedikit privasi, tolong hargai dan hormatinya. Bila sudah pasti, baru saya akan jelaskan,” katanya.

Ramai yang kesiankan Anzalna

Mangga Online sempat menonton program hiburan Melodi Ahad lalu. Antara paparan menarik perhatian penonton ialah pengakuan damai pelakon muda Anzalna Nasir dan Neelofa. Akhirnya kemelut dua pelakon yang sedang berusaha mencari tapak dalam industri hiburan itu bolehlah dianggap selesai dengan bantuan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman). Sama ada mereka benar-benar ikhlas berdamai itu tak perlulah dipertikaikan kerana secara atas kertasnya mereka tak bergaduh lagi. Anzalna juga mengaku salah mengeluarkan kenyataan terhadap Neelofa tanpa dapat mengemukakan bukti.
Mereka juga menandatangani surat akujanji yang diusahakan oleh Seniman dengan dipersetujui oleh Neelofa dan penguamnya serta Anzalna yang hanya diwakili peguam Seniman. Selepas menonton program Melodi, ramai peminat berasa kesian dengan Anzalna. Tanpa mahu membuat keputusan siapa benar dan siapa salah, peminat rasa kesian dengan apa yang dilalui oleh Anzalna. Berjujai air mata Anzalna semasa ditemu bual oleh Melodi. Neelofa pula kelihaan bangga selepas Anzalna membacakan pengakuan tersebut dan mengaku salah. Agaknya pengakuan itu disediakan oleh pihak Neelofa dan Anzalna hanya membacakannya sahaja dalam sidang media yang diadakan minggu lalu itu.
Ringkas sahaja pengakuannya tapi Anzalna kelihatan sayu, perlahan-lahan dan teliti membacakannya. Anzalna dalam temu bual dengan Melodi itu juga mengatakan dia semacam menjadi mangsa. [Anzalna makin laris walaupun ada kontroversi.] "Aku kesian lihat Anzalna... kesian sangat. Aku tak kisahlah siapa yang salah dan siapa benar, tapi aku rasa sebak lihat Anzalna. Macam dia dihina pula dalam majlis itu. "Meja dia pun pada awal-awalnya diletakkan berasingan... kemudian barulah pihak Seniman merapatkannya. Semasa media sibuk menemubual Neelofa, Anzalna kelihatan menginggalkan majlis," kata seorang peminat hiburan yang rapat dengan Wartawan MO, Zaffy yang ceria can cantik bergaya tu. Kepada media, Anzalna mengatakan dia tak kisah kalau ada yang terus-terusan mengatakan dia bersalah kerana membuat pengakuan itu, sebaliknya dia mahu segera menghabiskan kemelut dan memberi tumpuan kepada kerjaya seni yang semakin berkembang. Anzalna semakin banyak tawaran dan mutu lakonannya juga semakin hari semakin baik berbanding rakan seangkatan dengannya. Antara lakonan terbaru Anzalna di kaca TV ialah Indera Joned di TV3 yang sedang mendapat sambutan. Dia juga sibuk di lokasi penggambaran.

Johan doa jodoh di Jabal Rahmah

Pelakon remaja yang berdisiplin dan baik mutu lakonannya, Johan Arif Asaari baru pulang mengerjakan umrah sambil menjalani penggambaran drama Shahadat Cinta di Mekah dan Madinah. Itulah pengalaman pertama Johan mengerjakan umrah dan ziarah. Selain keterujaannya mengerjakan ibadat umrah, Johan juga tidak ketinggalan menziarah; termasuk ke Jabal Rahmah. Apa agaknya doa Johan di Jabal Rahmah?
"Saya berdoa agar Allah mengurniakan jodoh yang baik, memahami, taat dan setia dengan cintanya. Saya juga berdoa agar bertemu dengan bakal isteri yang boleh terima saya seadanya dan sanggup susah senang bersama," kata Johan. Johan ke sana bersama pengarahnya Erma Fatima serta pelakon lain termasuk Neelofa, Aqasha dan Nazim Othman. Foto-foto ini antara yang dimuatturun oleh Erma di dalam akaun Twitter miliknya. Anatara lain Erma menulis pasal Johan yang kurang sihat semasa berada di tanah suci.
Johan kepada majalah Mangga edisi aidilfitri (Ogos) memberitahu yang dia turut bermuhasabah diri. Dia banyak terdiam kerana tidak mahu stres selaian memahami betul-betul asas dalam mengerjakan umrah. Haa... Johan menghiasi majalah Mangga edisi terbaru bersama Aeril Zafrel, Miera Leyana dan Leuniey. Cepat dapatkan di pasaran sebelum kehabisan. Banyak kisah eksklusif dalam majalah Mangga edisi aidilfitri ini. [Bersama Erma dan Aqasha di Jabal Rahmah]

Shiha tunggu lama untuk kepuasan

Penantian Shiha menunggu hampir dua tahun untuk melihat albumnya dipasarkan berbaloi apabila album berjudul Shiha kini sudah dipasarkan. Apatah lagi albumnya mendapat sentuhan komposer terkenal Ajai dan Kuncidemak. Protege kepada Datuk Sharifah Aini itu rela menunggu hampir dua tahun kerana tidak mahu terburu-buru dan inginkan yang terbaik untuk kepuasan peminat dan dirinya sendiri.
"Saya tak mahu ada album baru yang dibuat tergesa-gesa untuk memastikan saya ada album... sebaliknya saya mahukan album yang berkualiti. "Memang ramai peminat tanya pasal album saya selepas selesai Mentor 5. Saya tak mahulah... kerana orang tanya, maka saya kena buat album. Kini masa terbaik untuk saya selepas selesai komitmen saya dengan program Jalan Jalan Cari Makan. "Kini saya boleh memberi sepenuh tumpuan terhadap promosi album ini," kata Shiha semasa pelancaran albumnya di Damansara semalam. Album edaran syarikat Monkey Bone itu memuatkan lagu Dia Bukan Untukmu, Bila Bertemumu, Jangan Lagi Jauh, Dasar Lelaki dan Bilakan Rasa Cinta.

Kahwin tahun 2013 - Misha Omar

SEPANJANG bergelar penyanyi dan pelakon ternyata Samiha @ Aisah Omar, 30, atau lebih sinonim dengan panggilan Misha Omar antara artis yang tidak dapat lari daripada berhadapan dengan beberapa kisah kontroversi. Sewaktu pada awal kemunculannya dalam bidang seni suara dahulu, terdapat spekulasi yang mengatakan dia merupakan penyanyi yang sebenarnya sudah bergelar seorang janda. Selain itu, artis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga didakwa sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki bergelar jutawan dan dikatakan menjadi isteri ketiga. Segala kontroversi yang pernah dikaitkan dengan pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu berakhir sebaik sahaja dia mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya iaitu Firos Ezzwan Rossly, 30, yang merupakan juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada 21 Februari lalu. Berlangsung dalam satu majlis yang serba ringkas di rumah keluarganya yang terletak di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Misha dan Firos telah sepakat untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun ini. Namun begitu, beberapa bulan selepas mengikat tali pertunangan Misha telah mengumumkan terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka lantaran kesibukan jadual masing-masing. Ketika ditanya sama ada dia sudah menetapkan tarikh yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga, Misha yang ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Shiseido di Publika, Solaris Dutamas baru-baru ini menyatakan belum ada sebarang keputusan yang dibuat. "Kalau diikutkan saya memang mahu berumah tangga secepat mungkin. Setelah berbincang dengan Firos, akhirnya kami telah sepakat untuk menangguhkan perkahwinan kami pada satu tarikh yang belum ditentukan lagi. "Buat masa ini tunang saya agak sibuk menjalani kursus penerbangan selama enam bulan. Sebaik sahaja dia tamat menjalani kursus, barulah kami akan mencari tarikh yang sesuai, namun saya tetap berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan," jelasnya. Menurut Misha, keputusan yang telah dibuat itu turut menimbulkan persoalan ramai pihak termasuk kedua-dua ahli keluarga. Selain itu, terdapat juga khabar angin yang mengatakan hubungan mereka sedang bermasalah. Bagaimanapun, dia lantas menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan keputusan yang dibuat itu langsung tidak berkaitan dengan hubungan mereka, sebaliknya ia disebabkan jadual kerjaya masing-masing yang agak padat. "Ketika ini Firos sedang sibuk menjalani kursus penerbangan mengendalikan pesawat Airbus 380 MAS, jadi dia memerlukan komitmen yang tinggi sekarang dan saya mahu dia memberi sepenuh tumpuan kepada kursusnya. "Jadi, kalau ada yang mengatakan hubungan kami bermasalah sudah tentu ia tidak benar sama sekali. Segala kisah yang timbul itu saya abaikan dan sudah lali kerana sebelum ini pun sudah pernah timbul cerita kurang baik mengenai diri saya," ujarnya. Berkenaan dengan majlis yang akan dilangsungkan pula, Misha menceritakan dia lebih gemar dengan majlis yang serba ringkas, namun bersedia mempertimbangkan sekiranya ada pihak yang sudi untuk memberi tajaan. "Sehingga kini persiapan perkahwinan masih belum lagi dilakukan, malah tempahan dewan juga belum dibuat kerana masih tidak mendapat tarikh yang sesuai. Namun, saya akan tetap membuat persiapan sedikit demi sedikit supaya nanti tidak terlalu kelam-kabut sangat," jelasnya. Album baharu
Biarpun ketika ini Misha dilihat lebih kerap tampil di kaca televisyen menerusi drama dan telefilem lakonannya, bidang nyanyian tetap diutamakan dan masih lagi banyak menerima tawaran membuat persembahan. Jelas Misha, pada akhir tahun ini dia akan muncul dengan sebuah album baharu yang kini masih lagi dalam proses pembikinan setelah kali terakhir tampil dengan album berjudul Misha Omar pada tahun 2008. "insya-Allah, kalau segalanya mengikut perancangan para peminat boleh mendapatkan album terbaharu saya pada tahun ini juga. Dalam album tersebut mengandungi tujuh buah lagu dan empat daripadanya sudah selesai dirakamkan. "Sebenarnya saya bertuah kerana Datuk M. Nasir telah bertindak sebagai Penerbit Eksekutif dan berterima kasih kepada Sony Music Entertainment yang masih memberi kepercayaan kepada saya untuk menghasilkan album baharu," ujarnya. Antara lagu-lagu yang sudah siap dirakam seperti Maharani, Yang Indah, Kedatanganmu Tak Ku Sambut dan Angin Syurga yang ketika ini sudah disiarkan di stesen-stesen radio, manakala Datuk M. Nasir dan anaknya iaitu Ilham serta dua orang anggota kumpulan Spider, Tam dan Tony antara yang menyumbangkan lagu untuk albumnya itu. "Memandangkan saya menghasilkan album terakhir kira-kira empat tahun lalu dan sering sibuk dengan kerjaya lakonan, jadi sudah tiba masanya untuk saya muncul dengan produk terbaharu sebagai hadiah istimewa buat peminat," jelasnya. Tetap bekerja Berbanding dengan kebanyakan artis lain yang akan berehat daripada sebarang aktiviti seni sepanjang bulan Ramadan, ternyata Misha tetap memberikan komitmen terhadap kerjayanya. Ketika ini Misha sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul Untung Atas Angin, sebuah program komedi yang akan disiarkan di saluran RTM pada Hari Raya Aidilfitri nanti. Telefilem tersebut yang diarahkan oleh Malek Rahman turut membabitkan beberapa orang pelakon lain seperti Didie Alias, Enot, Roy Azman dan Erin Malek serta menjalani penggambaran selama enam hari. "Beberapa hari selepas selesai menjalani penggambaran telefilem ini, saya akan terlibat pula dengan rakaman program raya Pesona Aidilfitri bersama Alyah dan Dayang Nurfaizah pada 30 Julai ini. "Bagi saya segala tawaran yang diterima merupakan satu rezeki yang tidak harus ditolak, meskipun perlu bekerja pada bulan Ramadan. Lagipun bekerja pada hari biasa dan semasa berpuasa tidak banyak berbeza," jelasnya yang masih aktif dalam kerjaya seni semasa bulan Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya. Mengenai persiapan menjelang sambutan Aidilfitri pula, Misha sekadar membuat persiapan yang sederhana dan lebih mengutamakan persiapan untuk anak angkatnya, Muhammad Adam Emir yang kini sudah berusia enam tahun.

Ustaz ajak Diana Amir 'taaruf'

PELAKON Diana Amir atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim, 26, agak manis selepas berhijrah dengan memakai tudung sejak September tahun lepas. Dia yang pernah berlakon filem seperti V3 Samseng Jalanan, Senario Opocot, Keramat dan 321 Cinta sebelum bertudung, kini hanya akan berlakon filem atau drama yang sesuai dengan keadaan dirinya sahaja. Diana yang bakal muncul dengan filem terbaharu terbitan Metrowealth Movies Production (Metrowealth) bersama pelakon Kamal Adli kini menolak tawaran berlakon di bulan Ramadan supaya lebih banyak masa untuk beribadat. Ketika ditemui di majlis berbuka Metrowealth di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, gadis kelahiran Birmingham, England ini juga turut berkongsi kisah diajak berkenalan oleh beberapa ustaz ketika mengikuti program keadaan di bulan Ramadan ini. Kosmo!: Boleh ceritakan apa aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan ini? DIANA: Sepanjang bulan Ramadan ini saya tidak terlibat dengan sebarang penggambaran filem atau drama, saya banyak tumpukan untuk beribadat seperti pergi tarawih dan memenuhi undangan forum berbentuk keagamaan dengan berkongsi kisah penghijrahan saya dengan remaja. Selepas bertudung, adakah Diana pernah dipikat oleh sesiapa? Saya masih tiada teman lelaki dan tidak terfikir ke arah itu lagi sekarang tetapi ada juga beberapa ustaz yang mengajak saya 'taaruf' (berkenalan) selepas berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS). Apabila mereka buat demikian terus saya tidak balas SMS itu. Saya berkenalan dengan mereka ketika dalam program keagamaan. Kenapa Diana menolak untuk 'taaruf' dengan mereka? Saya masih tidak berani, misi saya sekarang untuk mendalami Islam. Ilmu saya masih tidak cukup dan tidak mahu campur aduk perkara lain dalam usaha saya kenal dengan agama sendiri. Adakah Diana menolak jika bertemu jodoh dengan ustaz? Saya tidak memilih. Saya akan terima sesiapa sahaja jodoh yang ditentukan Allah, kalau ustaz juga tidak mengapa asalkan ustaz yang baik dan boleh membimbing saya kelak. Diana ada sasaran bila akan menamatkan zaman bujang? Saya berdoa dipercepatkan jodoh mudah-mudahan tahun depan. Tahun hadapan? Bukankah itu terlalu cepat untuk anda? Saya mahu cepat-cepat dapat zuriat. Kalau dulu saya mahu kahwin sebab mahu mempunyai suami, tetapi sekarang saya begitu mengimpikan untuk mempunyai cahaya mata sendiri kerana saya terlalu sukakan kanak-kanak. Kriteria suami pilihan Diana? Sudah tentu yang beriman yang penting dia perlu bijak dalam membimbing saya dan keluarga. Bagaimana kerjaya seni Diana, adakah masih menerima tawaran berlakon? Saya kini banyak menerima tawaran berlakon drama dan telemovie, manakala untuk filem tawarannya agak terhad selepas saya bertudung tetapi saya reda. Adakah Diana mengenakan syarat selepas menerima tawaran berkenaan? Saya sebenarnya tidak kisah, asalkan kena dengan imej bertudung saya, jika tawaran itu yang mahu saya lakonkan watak bercinta juga tidak mengapa asalkan tiada adegan peluk dan bersentuhan dengan bukan muhrim. Diana kena begitu supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat apabila berhijrah mesti ada perubahan. Apakah filem terbaharu Diana akan datang? September ini dilancarkan filem saya bersama Kamal Adli berjudul Salam Cinta terbitan Metrowealth.

Antara permata dan hati - Siti Nurhaliza

SETIAP kali 1 Ramadan menjelang tiba, pasti senyuman terukir di wajah sementara fikirannya melayang ke zaman kanak-kanak. Bagaikan layar perak, satu demi satu episod kemeriahan zaman kanak-kanak penyanyi tersohor di Asia Tenggara itu terselak dan mengundang senyuman paling lebar. Ingatan paling kuat di minda biduanita ini tatkala ditugaskan menjual kuih-muih buatan bonda tercinta, Siti Salmah Bachik. Tanggungjawab tersebut dijalankan penuh dedikasi dan tak pernah mengeluh sekali pun. "Siti memang tak boleh lupakan kemeriahan Ramadan masa zaman kanak-kanak Siti. Semua cukup indah sebab pada zaman itu, mana kita fikir tentang apa-apa. Kalau kawan-kawan sebaya Siti sibuk bermain, tapi Siti suka tolong emak jual kuih. "Selalunya emak buat persiapan kuih-muih pada sebelah pagi. Macam-macam emak masak macam kuih bakar, karipap inti sardin, popiah, cucur badak dan kuih bakar. Jadi bila balik sekolah, Siti siap sedia nak jualan. "Kalau nak tahu, Sitilah tukang angkat meja lipat empat segi untuk jual kuih dari tingkat tiga di Berek Polis Kampung Awah (Temerloh, Pahang) terus ke tepi jalan besar. "Penat memang penat bila kena berulang-alik, angkat bekas kuih, nak-nak bila cuaca panas. Tapi Siti puas bila ramai orang tak putus-putus datang membeli kuih mak Siti," cerita Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 33, ini penuh bersemangat. Dalam pada itu, penyanyi Jerat Percintaan ini juga bukan saja menjual kuih di tepi jalan malah dia pernah merasai pengalaman bersama salah seorang bapa saudaranya di bazar Ramadan yang menjual putu piring di bandar Temerloh. "Sebenarnya, Siti memang seronok bila meniaga. Siti belajar berdikari dan menghargai setiap sen yang Siti perolehi hasil titik peluh Siti. Siti bangga bila duit jualan yang diperolehi itu jadi sumber pendapatan sampingan sekeluarga. "Kami sekeluarga sama-sama menjana pendapatan. Bukan Siti seorang yang main peranan, adik beradik yang lain pun ada peranan juga. Macam abang Ayie (Saiful Bahri), dia jual tau foo fah, Kak Saida (Siti Norsaida) pula bahagian kemas dapur sebab dia pemalu. Begitu juga dengan Siti Nursairah (Sairah) dan Mohd. Ali pun ada tugasan tersendiri. "Bahagian paling menarik bila tiba hujung bulan. Emak bagi upah duit hasil jualan kuih sepanjang puasa. Memang seronok masa bila dapat duit," kata Siti yang meniaga kuih selama 10 tahun sejak berusia empat tahun. Sengaja mengusik penyanyi yang lahir pada 11 Januari 1979 ini sama ada dia ingin kembali menjual kuih-muih seperti mana zaman kanak-kanak dahulu? Kedengaran gelak kecil sebelum disusuli dengan jawapan ringkas: "Tak kot..." Pun begitu, Juara Bintang HMI anjuran RTM pada tahun 1995 ini tetap menjadi peminat nombor satu kuih-muih selepas mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa. Biarpun masih belum ada kesempatan untuk menyediakan kuih sendiri, namun kehidupan Siti cukup bertuah pada hari ini apabila ibu mentua, Siti Zainab Hanaffi menyediakan kuih-muih dan juadah istimewa sepanjang Ramadan ini. "Masakan mak mentua Siti sedap-sedap belaka. Siti paling suka pisang goreng Mak Nab, cukup rangup dan sedap. Makan banyak kali pun tak jemu-jemu. "Siti ada cadangkan pada DK (panggilan suami) untuk buka meja di depan rumah untuk jual kuih-muih Mak Nab. Boleh juga jual pada jiran-jiran kan," seloroh Siti yang juga mempunyai seorang tukang masak yang pandai masak kuih-muih di rumahnya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Membuka lembaran cerita Ramadan yang baru seminggu berlalu, penyanyi yang menerima lebih 100 anugerah tempatan dan antarabangsa itu cukup teruja sekali. Katanya, Siti cukup teruja apabila suaminya gemar berkongsi minat dan aktiviti sepanjang Ramadan. "Siti jenis yang bangun sahur dan nasib baik DK pun sama. Jadi Siti sediakan makanan, masak nasi goreng ke, panaskan lauk-pauk sebelum solat Subuh berjemaah sama-sama. "Sehingga hari ini, kami tak pernah terlepas berbuka puasa bersama-sama setiap hari. Kami juga jenis tak cerewet bab makan. Apa saja yang menyelerakan, kami tadah tangan syukur," katanya lagi. Mengajukan persoalan tentang pilihan makanannya sebelum berbuka puasa, ringkasnya: "Semuanya bergantung pada keadaan. Ada kalanya Siti minum air, makan kurma barulah buah atau kuih-muih. Dan selalunya setiap hari bertukar-tukar". Permata pilihankuDALAM pada itu, Ramadan juga memberi satu cerita buat Presiden Simplysiti sebuah jenama kosmetik dan penjagaan kulit bertaraf antarabangsa apabila bergerak laju dalam industri kecantikan. Terbaru, SimplySiti dalam rangka memperkenalkan wangian edisi musim perayaan iaitu Koleksi Bejeweled. Ditanya apa keistimewaan koleksi berkenaan? Siti menjawab Bejeweled diilhamkan dari permata dan terdiri daripada unsur permata berlian, delima dan mutiara yang memberi manfaat kepada kulit yang menjadikan kulit bertambah cerah, berseri dan sekata. "Koleksi Bejeweled didatangkan khas dalam dua koleksi iaitu Koleksi Bejeweled Ruby dan Koleksi Bejeweled Sapphire untuk solekan glamor dan bergaya di pagi Syawal nanti. "Koleksi Bejeweled terdiri daripada Powder Foundation, kombinasi bedak dan bedak asas untuk litupan wajah sempurna yang menjadikan kulit wajah cerah berseri. Selain itu, ada Duo Blusher, pembayang kontur pipi dua fungsi, pemerah pipi dan pembayang bagi membentuk muka lebih langsing," katanya yang sibuk rangka promosi bertemu peminat bermula minggu depan. Hati di MekahKESEMPATAN berbual dengan pemenang Anugerah Planet Muzik 2011 untuk kategori Artis Serantau Paling Popular Selama Sedekad itu turut menyentuh tentang persiapan menjelang Syawal. Begitu juga persoalan sama ada Siti akan menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah seperti mana kebiasaan dilakukan pada setiap tahun. "Terus terang Siti belum buat sebarang persiapan Syawal. Baju raya Siti dan DK pun Siti fikirkan kemudian sebab Siti hanya akan buat padanan warna pada saat-saat akhir. Fokus Siti pada persiapan baju anak-anak saja. "Kalau tanya, Siti raya mana tahun ini pun masih kabur lagi. Siti kena duduk berbincang dengan DK macam mana. Sebab selalunya Siti cuti seminggu beraya, jadi kena rancang betul-betul. "Begitu juga dengan rancangan nak pergi umrah. Hati ini memang teruja nak jadi tetamu Allah sekali lagi. Insya-Allah, kalau jadi Siti akan ke sana, tapi tak tahu minggu bila dan berapa lama," katanya penuh hemah menutup perbualan petang Khamis lalu.

Safura Mimpi Arwah Anak Pada 1 Ramadan

KUALA LUMPUR: Kerinduan penyanyi dan pelakon Safura Ya’cob (Safura) terhadap Allahyarham anak ketiganya Nur Aisyah Mariam terubat apabila anak itu muncul dalam mimpinya pada hari pertama Ramadan. Safura, 39, berkata, emosinya semakin stabil dan pulih dengan kehilangan itu selepas 10 bulan pemergian anaknya yang meninggal dunia pada 12 September tahun lalu. “Alhamdulillah, keadaan emosi saya semakin stabil selepas 10 bulan Mariam meninggalkan kami sekeluarga. Saya mendapat kekuatan itu dengan berfikir bahawa Mariam lebih tenang dan sejahtera di sana. “Namun, kerinduan itu sentiasa ada sehinggakan pada 1 Ramadan lalu, Mariam dan arwah bapa saya muncul dalam mimpi. Saya jadi sedih juga apabila terjaga,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Nur Aisyah Mariam yang meninggal dunia pada usia 3 tahun kerana demam berpanjangan pada 12 September tahun lalu adalah anak pertama penyanyi itu dengan pelakon Sahronizam Noor. Selain Allahyarham, Safura turut mempunyai dua lagi anak bersama Sahronizam iaitu Yusoff Firdaus, setahun setengah, dan Zara Nur Aisyah, tujuh bulan. Mengenai perkembangan terbaru, Safura berkata, kematian anaknya itu membuatkan dia masih tawar hati untuk kembali berlakon pada waktu ini. “Hati saya masih belum terbuka untuk berlakon semula. Minat pada menyanyi itu masih ada kerana ia adalah minat utama sejak dulu. “Saya rasa berat hati hendak berlakon kerana memikirkan sukar untuk tinggalkan anak-anak. Kini, hari-hari saya terisi dengan menguruskan anak-anak selain menziarahi kubur Mariam,” katanya. Ditanya mengenai perniagaan kek lapis yang diusahakannya, penyanyi lagu Sedalam Mana Cintamu ini berkata, dia hanya mensasarkan untuk menerima tempahan kira-kira 200 biji kek sahaja kerana komitmen masa. “Alhamdulillah, tempahan daripada ornag ramai sangat meriah. Saya sampai tidak cukup tangan untuk memenuhi tempahan orang. “Memandangkan saya juga sibuk dengan keluarga dan anak-anak, cukuplah kalau saya terima 200 tempahan sahaja. Itu pun sudah memadai,” katanya. Hasil perkahwinan terdahulu, Safura turut mempunyai dua anak iaitu Nurul Natasha, 17, dan Muhammad Daniel Khaqim, 11.

Shima Tunggu Lagu Sesuai Untuk Aktif Semula

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 90-an, Shima mengakui dia masih menyimpan hasrat untuk kembali aktif di persada muzik tanah air selepas lima tahun menyepi. Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 43, berkata dia masih berharap untuk muncul semula dengan album baru sejak hampir 12 tahun dia menyanyi di lounge hotel dan pusat hiburan. “Saya mula menyanyi di pelbagai hotel dan pusat hiburan sejak 2000 selepas kerjaya nyanyian profesional tidak menentu. “Sekali sudah menjadi penyanyi, adalah mustahil jika saya katakan minat itu sudah pudar. Cuma, sehingga kini saya masih mencari lagu-lagu yang sesuai jika ingin muncul semula dalam industri,” katanya ketika ditemui, di sini. Penyanyi lagu Teringin ini berkata, sejak album terakhirnya berjudul Ke Pangkuanmu (2007) kurang menyerlah di pasaran, dia menjadi lebih berhati-hati dalam pemilihan lagu dan konsep yang bersesuaian dengan selera semasa. “Zaman sudah berubah dan begitu juga dengan selera muzik. Kalau hendak buat lagu, saya kena fikir lagu yang bersesuaian dengan selera muzik generasi hari ini dan juga selera peminat lama. “Saya masih menantikan tawaran dan material yang bagus barulah saya berani muncul semula,” katanya. Ditanya mengenai kehilangannya daripada industri muzik, Shima berkata kesibukannya dengan komitmen nyanyian di luar membuatkan dia tidak mempunyai waktu untuk muncul di majlis hiburan. “Saya menyanyi di hotel atau kelab pada setiap Isnin hingga Sabtu. Hanya pada Ahad baru saya dapat cuti, maka sudah tentu waktu itu saya habiskan dengan berehat dan membuat kerja di rumah. “Bukanlah saya tidak muncul langsung di majlis-majlis hiburan, cuma tidak kerap sahaja,” katanya. Mengenai status dirinya, Shima berkata dia tidak dapat bercerita lanjut berhubung perkara itu demi menjaga hati pihak-pihak tertentu. “Saya tidak solo dan cukuplah saya katakan bahawa saya sudah berpunya. Bagaimanapun, saya tidak boleh cakap banyak sebab keadaannya terlalu rumit untuk diulas,” katanya yang kini menyanyi di lounge Hotel Grand Millennium di sini.

Kontroversi Tak Beri ‘Kudis’ Kepada Ika Nabila

PETALING JAYA: Aktres muda Ika Nabila (Ika) berharap kedatangan bulan Ramadan pada kali ini melahirkan ketenangan buat dirinya yang sebelum ini diasak kontroversi silih berganti. Pemilik nama sebenar Ika Nabila Abdul Rahim, 23, ini berkata, dia tidak mahu merunsingkan fikiran dengan cerita-cerita buruk yang timbul kerana ia tidak menggugat atau mematahkan semangat untuk terus bekerja dalam bidang seni. “Saya bosan sebenarnya kerana orang terus bertanya mengenai kontroversi yang timbul sebelum ini. Bagi saya, semua gosip itu hanya permainan dunia hiburan. “Semoga kehadiran Ramadan pada kali ini menjadikan saya lebih tenang dan melupakan semua kontroversi yang tercetus sebelum ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini. Bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam pernah didakwa kononnya sebagai peminum arak selepas foto dia memegang gelas berisi air seakan minuman beralkohol tersebar luas di Internet pada awal tahun ini. Tidak berakhir di situ, gadis dari Pulau Pinang ini turut didakwa menjalinkan hubungan sejenis dengan pengurusnya Adlin atau Kak Long, selain tuduhan memiliki alat permainan seks yang dikenali sebagai ‘dildo’. Ditanya adakah dia terkesan daripada kontroversi yang timbul, Ika berkata dia enggan melatah dan tenang menyangkal setiap tuduhan kerana mengetahui kebenaran di sebaliknya. “Saya tidak buat benda-benda yang dituduh jadi saya tidak mahu ambil kisah dengan apa pun cerita yang timbul. “Ia tidak menjadi ‘kudis’ kepada saya pun. Yang penting, saya dan orang tua tahu kebenaran di sebalik setiap cerita yang timbul. “Bukan bermaksud saya tidak tertekan atau terkilan dengan gosip-gosip itu, cuma saya tidak mampu untuk tutup mulut orang daripada terus bercakap,” katanya. Mengenai kebimbangannya terhadap kesan cerita-cerita yang timbul ke atas dirinya, Ika berkata peminat pada hari ini sudah bijak menilai antara cerita peribadi dan kerja seseorang selebriti. “Saya sentiasa okey walau seberat mana fitnah ke atas saya. Tiada apa yang perlu saya malu apabila cerita negatif terus dikaitkan dengan saya kerana ia tidak berlaku. “Pesan ibu bapa agar saya berhati-hati selalu saya sematkan dalam diri. Lagipun, peminat pada hari ini tidak semudahnya menghukum kerana mereka bijak menilai bakat dan kerja kita. “Malah, saya sentiasa mendapat sokongan peminat untuk menghadapi kontroversi yang timbul,” katanya yang kini sibuk di lokasi drama bersiri Darjat.

Sheila Rusly & Umie Aida bidas kenyataan Abby Abadi

27 Jul - Pelakon dan juga penerbit drama Sheila Rusly membidas kenyataan Abby Abadi yang mengatakan hanya akan berkarya selepas Barisan Nasional (BN) ditumbangkan kerana menurutnya, adalah tidak wajar dan perlu mengeluh dengan dugaan Allah dalam kerjaya atas perubahan yang baru sahaja dibuat. Dipetik dari MPP, Sheila berkata, jika ada di kalangan artis yang baru sahaja bertudung, sukar untuk mendapat tawaran kerja kerana penghijrahan yang baru saja dibuat itu, artis tersebut harus menerima dugaan Allah dengan hati yang terbuka. "Jangan mempertikai isu tawaran lakonan atau rezeki kerjaya merosot hanya kerana kita baru sahaja beberapa hari bertukar imej bertudung. Artis yang terbabit kena sedar niat kita berhijrah ini kerana Allah." "Namun, percayalah takkan Allah mahu tutup rezeki jika kita berubah ke arah kebaikan? Kalau seseorang artis mengeluh mengenai nasib dan kesan daripada keputusan itu, ia seolah-olah mereka tidak ikhlas berhijrah," ujarnya. Sementara itu, pelakon versatile Umie Aida yang nyata tidak bersetuju dengan kenyataan Abby Abadi ini telah menemplak kenyataan tersebut melalui laman Twitter yang menganggap Abby Abadi berfikiran cetek dan kenyataan itu lebih bermotifkan politik kerana menganggap golongan artis yang berhijrah hanya akan mempunyai kerja jika rakyat tukar kerajaan. Pada masa sama, Umie juga menggesa Abby Abadi agar tidak menggunakan politik dalam meyampaikan dakwahnya. Sebelum ini, Abby mengeluarkan kenyataannya menerusi Malaysian Insider yang mengatakan kerana kerajaan sekarang, dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Malah berkata, bakatnya untuk berkarya sebagai Muslimah yang sudah bertudung juga tidak dapat dikembangkan. "Apabila anda berhijrah, ruang untuk anda berkarya secara kreatif adalah terhad, oleh itu kita perlukan drama dan filem yang Islamik." "Selebriti seperti kami hanya akan bekerja di dalam dunia seni apabila ianya adalah sejajar dengan syariah Islam. Untuk itu, Pakatan Rakyat perlu menang dan membentuk kerajaan untuk merealisasikan dunia hiburan yang berdasarkan syariah," kata Abby.

Lufya bakal dikenali di Dubai

27 Jul –Penyanyi yang mulai popular selepas menyertai pertandingan realiti terbitan Astro, Akademi Fantasia musim ke 6 (AF6), Lufya atau nama sebenar Lutfyah binti Sheikh Omar tidak menyangka akan menerima tawaran berlakon di dalam iklan komersial untuk disiarkan di Dubai namun penggambaran dilakukan di Malaysia. Selepas berehat sementara dari bidang lakonan, tawaran ini adalah yang pertama melibatkan produksi luar negara. Lufya merasakan ini antara strategi dia untuk mula dikenali dan mencari peluang di sana. "Selepas menerima tawaran berlakon di dalam iklan komersial untuk mereka, saya merasakan ini adalah antara langkah awal untuk melebarkan lagi sayap saya ke negara mereka. Walaupun mungkin rezeki saya di Malaysia masih belum nampak, tapi saya bersyukur ada pihak luar yang perasan akan kehadiran saya sebagai artis di sini." Apabila ditanya adakah disebabkan wajah Lufya seakan campuran arab yang menyebabkan dia dipelawa untuk menjayakan iklan tersebut, Lufya langsung tidak membanggakan diri malahan merasakan ini mungkin secara kebetulan sahaja. "Saya tak tahu pula jika itu yang menyebabkan saya ditawarkan, mungkin juga muka saya ini antara kelebihan untuk saya mencuba nasib di negara sana. Apa – apa pun saya lihat ini dari sudut positif, saya berpeluang bekerja dengan tenaga kerja dari sana dan melihat cara mereka bekerja. " "Apa yang boleh dikatakan, cara mereka bekerja amat berlainan dengan produksi kita disini. Saya ambil itu sebagai rujukan dan pengalaman, bukan senangkan nak dapat pengalaman sebegini." Lufya yang kini dalam proses pembikinan single terbarunya berjudul "Sesungguhnya" memberitahu dia tidak sabar mahu memperdengarkan gubahan lagu hasil daripada ideanya sendiri kepada pendengar yang setia menanti. "Ramai yang tidak tahu saya mempunyai 1 lagi keinginan iaitu untuk menjadi komposer, ada banyak di antara lagu saya yang dicipta sendiri, oleh yang demikian lagu berentak balada "Sesungguhnya" ini adalah single kedua selepas lagu "Diam" menerima kritikan positif menerusi laman Youtube." Antara single lain yang bakal dipromosikan selepas lagu "Diam" adalah lagu berunsur ketuhanan "Doaku" seterusnya adalah "Sesungguhnya".
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails