Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hati Erra berkocak menjelang Raya

Memasuki minggu kedua Ramadan, hati Erra Fazira berkocak lebih kencang. Bukan kerana beliau bimbang memikirkan tentang sambutan Aidilfitri yang menjelang tiba, tetapi, risau memikirkan persiapan Teater Tun Siti Hasmah yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 31 Ogos ini masih berada dalam peringkat awal. Mengaku bukan pemilik darah asli pemain teater, beliau bimbang gagal untuk memberi impak yang besar terhadap teater itu. “Risau, sebab pada saat akhir produksi bertukar pengarah dan kami sedang dalam rangka latihan sepanjang Ramadan ini. Bagaimanapun, saya berjanji untuk memberi yang terbaik,” ujarnya. Ramadan tahun ini juga menjadi padat buat Erra kerana beliau masih terlibat dalam penggambaran drama bersiri Mana Hilangnya Juwita? serta sibuk menyiapkan hamper raya yang sudah bertahun-tahun diusahakannya. Bercakap mengenai hamper raya, ujar Erra, sama seperti tahun lalu, beliau sudah mempunyai pembeli tetap. “Saya tak buat hamper dalam amount yang banyak. Dalam ratusan hamper, sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Ini memang bisnes sempena raya yang saya tak mahu lepaskan kerana menghias dan melakukan kreja kreatif seperti ini memberi saya kepuasan,” ujarnya yang juga menerima tempahan untuk majlis-majlis kecil jika punya waktu terluang. Menyentuh tentang sambutan Aidilfitri, Erra memaklumkan belum membuat keputusan untuk berhari raya di mana. Namun hal yang pasti kata penyanyi dan pelakon yang berasal dari Sungai Choh, Selangor itu, beliau memang meraikan Lebaran bersama keluarga tercinta. Malah segala persiapan raya telah dilakukan sejak awal. Ujarnya, sejak dulu, beliau bertanggungjawab untuk memastikan segala kelengkapan raya keluarga seperti pakaian dan sebagainya lengkap. Ditanya apa yang memberi erti terhadap sambutan Aidilfitrinya, Erra menjawab: “Bila dapat berkumpul dengan semua ahli keluarga. Pada saya, itu adalah momen yang sempurna buat saya, dan tentunya ritual balik kampung membuat raya kita jadi sempurna.” Sementara juadah wajib yang menjadi buruannya pada pagi raya, ibu kepada seorang cahaya mata itu dengan lekas memberitahu, nasi impit dan kuah kacang merupakan menu tanpa jemu yang ingin dinikmatinya setiap kali Aidilfitri. Mengalih topik tentang program raya atau drama lakonannya yang bakal ditayangkan pada bulan mulia tersebut, Erra memberitahu beliau bakal muncul dengan beberapa buah program raya seperti Eh Eh Raya Erra selain muncul dengan dua buah telefilem sambungan termasuk Pontianak Kampung Batu.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails