Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dulu guru, kini pelakon - Shah Iskandar

SEPANJANG tiga tahun bertapak di bumi Malaysia, pelakon Shah Iskandar Mahfuz kini boleh berbangga apabila namanya semakin dikenali ramai dan mula mendapat perhatian pengarah. Biarpun namanya masih belum gah atau sehebat nama dua rakan senegaranya iaitu Aaron Aziz dan Adi Putra, namun Shah Iskandar menjadikan kedua-dua pelakon itu sebagai inspirasinya untuk berjaya dalam kerjaya yang diceburi. "Pembabitan saya dalam bidang lakonan serta mengambil langkah berkelana ke Malaysia bukan mahu bersaing dengan dua rakan senegara yang telah berjaya di sini. Saya juga amat menghormati mereka sebagai pelakon yang lebih senior. "Bagaimanapun ia merupakan inisiatif buat saya melebarkan sayap sebagai pelakon. Itu sahaja. Kini saya sangat bersyukur kerana semakin mendapat perhatian ramai serta tawaran berlakon yang semakin banyak. "Malah, keputusan meninggalkan kerjaya sebelum ini sebagai guru merupakan satu tindakan yang tepat," jelasnya ketika majlis pelancaran drama Runtun Qalbu di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Ditanya tentang pembabitan awalnya dalam bidang lakonan, pelakon kacak yang berasal dari Woodlands, Singapura itu memberitahu mula terjebak dengan dunia seni sejak tahun 2006 ketika menuntut dalam bidang perfileman di Politeknik Ngee Ann, Singapura. "Saya telah menyertai sebuah pertandingan realiti Anugerah Skrin Singapura dan muncul pemenang tempat ketiga. Salah seorang juri dalam pertandingan tersebut ialah Datuk Yusuf Haslam dan dia pernah menawarkan saya berlakon selepas berakhirnya pertandingan tersebut, tetapi saya terpaksa tolak kerana masih lagi belajar. "Setelah menamatkan pengajian pada tahun 2007, saya mula berjinak-jinak dengan bidang seni seperti berlakon dan mengacara. Namun, saya lebih banyak mendapat tawaran menjadi pengacara berbanding lakonan," ujarnya. Selain itu menurut Shah, dia juga pernah bergelar seorang pendidik dalam tempoh yang agak singkat apabila bersetuju menjadi seorang guru di Rainbow Centre, iaitu sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak yang menghidap penyakit autisme. Bagaimanapun, khidmatnya sebagai guru cuma setahun apabila dia mengambil keputusan menerima pelawaan Yusof Haslam yang kembali menawarkannya berlakon pada tahun 2009. "Keputusan yang saya buat untuk berkelana ke Malaysia dan memulakan karier sebagai pelakon bukan semata-mata mahu mengejar populariti. Sebaliknya, saya memang minat berlakon sejak dari dahulu lagi. "Sepanjang tiga tahun saya berlakon dan mencari rezeki di negara ini, masih banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari. Apa pun, saya gembira kerana kehadiran saya sekarang sudah diterima ramai," jelasnya teruja. Ujarnya, selain berlakon dia juga pernah mendapat beberapa tawaran menjadi pengacara, tetapi terpaksa menolak kerana mahu lebih memberi fokus kepada dunia lakonan terlebih dahulu. "Ketika di Singapura saya memang banyak terlibat dengan pelbagai program yang memerlukan saya menjadi pengacara kerana ia merupakan salah satu kebolehan yang saya ada. "Cuma buat masa sekarang saya lebih berminat kepada lakonan dan mahu terus berusaha sehingga berjaya," tambahnya.
Terhutang budi Sewaktu awal berkecimpung dalam dunia lakonan di Malaysia tiga tahun yang lalu, nama Shah dikenali apabila dipilih membintangi drama bersiri Gerak Khas. Dalam drama tersebut, pelakon berkenaan membawakan watak seorang inspektor polis bernama Hisyam yang juga merupakan anak kepada Sarjan Misai, watak yang dimainkan oleh pelakon A. Galak. "Sejujurnya saya memang terhutang budi dengan Datuk Yusuf Haslam yang nampak bakat saya dalam lakonan. Malah, beliau merupakan individu yang membuka peluang kepada saya mengembangkan karier di negara ini. "Semasa saya mula-mula datang ke Kuala Lumpur dahulu, beliau telah menyediakan beberapa kemudahan seperti kereta dan rumah buat saya. Sudah tentu saya tidak akan melupakan jasa beliau yang sudah banyak membantu saya," katanya. Walaupun kariernya sebagai pelakon bermula dengan Skop Production menerusi drama bersiri tersebut, pelakon berkenaan menjelaskan dia tetap diberi kebebasan berlakon dengan syarikat produksi yang lain. "Saya juga selalu berpegang kepada pesanan yang telah diberikan oleh beliau. Antaranya, saya perlu sentiasa merendah diri dan selalu tabahkan hati sekiranya berdepan dengan sesuatu masalah," jelasnya. Selepas tampil dengan beberapa buah drama yang mendapat sambutan hangat sebelum ini seperti Nora Elena, Atas Nama Cinta dan Tiga Janji, kini Shah Iskandar tampil pula dengan drama terbaharu berjudul Runtun Qalbu. Ditanya mengenai pembabitannya dalam drama berkenaan, Shah memberitahu dia membawakan watak bernama Kelabu, seorang lelaki hilang ingatan setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya. "Paparan jalan cerita yang cukup menarik antara salah satu sebab saya terima tawaran berlakon dalam drama ini. Memang watak yang saya bawakan ini agak berat, namun tiada masalah besar kerana gandingan bersama pelakon lain seperti Kamal Adli dan Fida Ibrahim memang banyak membantu. "Malah, saya juga berpuas hati dan sangat senang bekerjasama dengan Khalid, biarpun ini merupakan drama kedua arahannya dan masih lagi agak baharu sebagai seorang pengarah," ujarnya. Ditanya sama ada pernah ditawarkan berlakon filem, pelakon berkenaan memberitahu memang ada tawaran tersebut, tetapi terpaksa ditolak kerana mempunyai komitmen lain. "Baru-baru ini ada yang menawarkan saya berlakon filem, cuma bukan rezeki saya kerana ketika itu saya terikat dengan komitmen dalam drama Runtun Qalbu. Namun, keinginan berlakon filem memang ada dan bersedia mempertimbangkan sekiranya ada tawaran yang diterima nanti," jelasnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails