Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kahwin muda - Khairul Fahmi

DULU nafi, kini bakal bergelar suami isteri. Itu suratan takdir yang ditentukan Yang Maha Kuasa kepada penjaga gol sensasi negara, Khairul Fahmi Che Mat dan Nur Eilunie Natasha Nazri. Siapa sangka, bertentang mata ketika menjadi model wangian SimplySiti beberapa bulan lalu telah menyatukan dua hati anak muda ini. Biar ketika itu kedua-duanya menafikan mengenali antara satu sama lain, ternyata jodoh kedua-duanya amat kuat. Dan hanya dalam tempoh tujuh bulan berkenalan, kini mereka sudah bersedia untuk menempuh alam baru sebagai suami isteri. Yakin dengan keputusannya untuk menyunting Nur Eilunie Natasha yang mesra dipanggil Leuniey, Khairul Fahmi mengakui, dia tidak pernah menyembunyikan percintaannya kepada umum. "Dulu saya nafi mempunyai hubungan sebab memang saya tak kenal dia. Tetapi ketika kami berkawan dan kemudian bercinta, saya tidak sorok malah sentiasa berterus terang," katanya pada sidang akhbar pengumuman perkahwinannya Rabu lalu. Malah Khairul Fahmi yang lebih terkenal dengan panggilan Apex itu turut menyangkal kata-kata pedas kononnya dia berkahwin bagi menutup kisah-kisah kontroversi yang melanda dirinya. Keputusan menyunting suri hatinya, tegas penjaga gol yang digilai ramai itu adalah datang daripada hatinya yang paling dalam; yang paling jujur dan yang paling ikhlas. Leuniey juga ketika dihubungi Hits mengakui bahawa dia tidak menyangka hubungan yang terjalin sejak Mac lalu itu berjalan lancar tanpa halangan. Dan dia amat bersyukur kerana hubungannya dengan Apex direstui oleh kedua-dua belah keluarga. Namun dia menafikan cerita yang bertebaran kononnya sengaja merahsiakan hubungan cinta dengan Apex daripada tumpuan awam kerana masing-masing masih tunangan orang. Tegas Leuniey, mereka sudah kembali solo lama sebelum gosip hubungan cinta kedua-duanya timbul. "Memang sebelum menjadi model untuk wangian itu, saya pernah bertembung dengan Apex di depan rumah saya. Tapi setakat itu sahaja. "Saya pun tak kenal dia (ketika itu)... tak tahu langsung fasal bola sepak dan sebagainya. Tapi saya bertanya kepada pakcik siapa dia. Kerana masa itu dia berurusan dengan pakcik saya untuk jual beli rumah. "Akhir Mac lalu kami sama-sama terlibat dengan iklan SimplySiti. Dia tegur saya, kami berbual dan bertukar nombor BBM (Blackberry Massenger). Dari situ saya kenal dia. "Balik ke Kelantan, pakcik saya pula adakan majlis makan-makan dan menjemput Apex sebagai tanda terima kasih kerana urusan jual beli rumah telah selesai. "Sejak itu kami mula rapat... mula berBBM dan baru mengambil tahu tentang dia dan dia sendiri pun banyak bercerita tentang diri dan kariernya. "Selepas sebulan dua kami sudah rasa selesa, dia pun memberitahu mahu kenal lebih rapat dan akhirnya jatuh cinta. "Kami pun single dan family juga merestuinya," cerita Leuniey yang tidak dapat hadir ke sidang akhbar pengumuman perkahwinannya dengan Khairul Fahmi kerana terikat dengan kursus perkahwinan di Kelantan. Sampai seru Kini sibuk menguruskan persiapan perkahwinan tanpa Apex yang perlu melunaskan tanggungjawab membantu negara pada Piala Suzuki AFF 2012 yang sedang berlangsung ketika ini, Leuniey bersyukur kerana segala-galanya berjalan seperti yang dirancang. Dilamar Oktober lalu, biar tanpa majlis merisik dan bertunang malah tidak juga ditandai dengan sebentuk cincin di jari manis, bakal mempelai ini mengakui hanya berkumpul bersama kedua-dua belah keluarga untuk memberitahu tentang perancangan mereka untuk mendirikan rumah tangga. "Alhamdulillah... semuanya berjalan lancar. Tak sangka jodoh kami sampai awal..." kata Leuniey dalam tawa manjanya. Berbeza usia dua tahun - Leuniey, 21 dan Apex, 23 - kedua-duanya mengakui sudah bersedia memikul tanggungjawab dan komitmen besar mengurus perihal rumah tangga. Sudah sampai seru, begitulah kata kedua-duanya dan paling penting, masing-masing juga amat bersyukur kerana perjalanan cinta mereka berlangsung tanpa banyak masalah. Malah dalam guraunya terhadap keputusan yang diambil untuk mendirikan rumah tangga pada penghujung Disember ini, kata Khairul Fahmi. "ini desakan hati saya." "Jodoh itu rahsia Allah dan kita tidak tahu bila Dia nak bongkar. Bila rahsia dah dibongkarkan (yang) saya akan tamatkan zaman bujang tahun ini, saya sudah bersedia. "Saya yakin dengan hati dan keputusan saya. Keluarga juga sudah merestui. Bila jodoh sudah sampai. Kita nak mendirikan masjid, tak salah kalau cepat," tambahnya. Khairul Fahmi dan Leuniey bakal diijabkabulkan pada 28 Disember ini selain mengadakan tiga majlis resepsi masing-masing pada 30 Disember di sebelah perempuan; 5 Januari (sebelah lelaki) dan 13 Januari (resepsi di Kuala Lumpur). Leuniey juga memberitahu bahawa dia sudah bersedia bergelar isteri dan mengikut jejak langkah ibunya berkahwin muda. "Mama banyak memberi nasihat. Lagipun masa saya banyak dihabiskan di rumah. Saya bukan jenis suka keluar atau pergi bersuka ria, bercuti dan sebagainya. "Sepanjang masa saya bersama keluarga dan bila dah sampai seru... saya terima," katanya yang tetap akan menguruskan perniagaan butik pengantin selepas mendirikan rumah tangga kelak. Bakal tinggal bersama keluarga Apex yang hanya 30 minit dari rumah keluarganya selepas berkahwin, Leuniey juga mengakui ingin berbulan madu ke Switzerland. Namun perancangan itu hanya akan dibuat selepas bakal suaminya itu selesai menghadapi Piala Liga Super tahun depan. "Sekarang dia sibuk dengan Piala Suzuki AFF. Selepas kami berkahwin pula, dengan Liga Super. Mungkin selepas itu baru kami akan merancang bulan madu," katanya yang tidak terburu-buru untuk menimang cahaya mata. Sibuk tetapi matang Mengahwini seorang bintang bola sepak yang terkenal dan selalu sibuk di padang, itu harga yang terpaksa dibayar oleh Leuniey. Namun tegasnya, perkara itu bukan satu masalah kerana dia amat memahami kerjaya bakal suaminya itu. "Kami ini dah biasa berjauhan. Kadang-kadang dekat dua bulan baru berjumpa. Bukan tak rindu... rindu... Tapi Alhamdulillah saya boleh menahan rasa itu. "Bukan juga tidak cemburu... adat bercinta tapi tidaklah keterlaluan. Hubungan ini terjalin atas kepercayaan. Dan lebih penting, saya memahami kariernya. Ini kerja dia. Dia cari rezeki dan itu periuk nasi dia. "Dia juga faham dengan kerja saya yang adakalanya sibuk menguruskan butik pengantin," katanya yang menganggap Khairul Fahmi kerana seorang yang matang, penyayang, menghormati orang dan sangat memahami. "Dia juga cool orangnya dan lucu. Saya senang bersamanya," tambah Leuniey. Khairul Fahmi sendiri memberitahu kematangan kekasihnya itu menyebabkan hatinya terpikat dengan gadis ini selain seorang yang amat memahami. Malah kedua-duanya mengakui bahawa persefahaman antara mereka terhadap kerjaya dan kehidupan banyak 'mengikat' dan memikat hati antara kedua-duanya. Leuniey juga mengakui dia sudah bersedia mengahwini 'orang popular' seperti Khairul Fahmi sejak pertama kali kenal dan menerima penjaga gol kebangsaan tersebut sebagai teman hidup malah akan sentiasa menyokong cinta hatinya itu. "Saya sematkan dalam hati, kena kuat untuk tempuh cabaran bersama. Insya-Allah... tiada masalah. Lagipun hubungan kami juga berasaskan restu orang tua. "Saya pun dah biasa sangat dengar orang cakap macam-macam... yang bukan-bukan. Tapi bila saya mengenali diri Apex, dia tidak pula seperti yang digembar-gemburkan," kata Leuniey yakin dan amat menyenangi sikap pandai mengambil hati yang dimiliki kekasihnya itu.

Rindu pentas nyanyian - Syura

REALITI dunia hiburan, kemunculan semula seseorang artis wanita yang lama menyepi selepas berkahwin bagi mewarnai kaca televisyen mahupun dada akhbar pastinya akan mengundang madah-madah sinis yang kurang enak didengar. Pelbagai spekulasi dilemparkan oleh para 'juri' tidak berkaliber yakni para peminat terhadap rumah tangga yang telah dibina artis terbabit. Ia termasuklah tohmahan mengatakan mahligai yang dibina telah berantakan sehingga menyebabkan berlakunya penceraian, sekali gus memberi kebebasan kepada artis yang dimaksudkan untuk kembali aktif di persada seni. Andaian yang diserkap jarang oleh peminat itu kadangkala ada benarnya. Sebagai contoh, dramatis Wan Nor Azlin, Kuza, Siti Nordiana serta beberapa penyanyi era 80-an seperti Khadijah Ibrahim, Siti Fairuz dan Raja Ema membuktikan status janda itu memberi peluang kedua untuk mereka terus giat melebarkan semula sayap seni masing-masing. Bagaimanapun, bagi penyanyi yang popular menerusi lagu etnik, Zuraidah Badron atau dikenali sebagai Syura, 26, dia sangat tidak bersetuju dengan pandangan skeptikal tersebut dan menyifatkan individu yang berfikiran begitu sebagai kolot. Syura yang sah bergelar isteri kepada Mohd. Fadhly Md. Yassin, 31 pada April 2006 berkata, keputusannya menyepikan diri daripada dunia nyanyian hanyalah untuk memberi fokus terhadap tanggungjawab barunya sebagai isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata, Nurul Dania Irdani, 5, Nurul Qaisara Sofea, 3 dan Muhammad Irfan Aryan, setahun. Kini, setelah lebih enam tahun menempuh alam rumah tangga dan telah mula memahami sedikit sebanyak mengenai selok belok alam perkahwinan, kehidupan berkeluarga telah sebati dengan dirinya. "Rumah tangga saya OK! tiada sebarang masalah dan bahagia. Maka, sebab itulah saya bersedia untuk aktif kembali untuk masuk studio merakam lagu, seterusnya muncul dengan produk terbaru. Tidak semua artis wanita yang berkahwin dan kembali mewarnai pentas hiburan menghadapi masalah rumah tangga. "Kalau dah nama pun artis, tidak salah sekiranya dia mahu kembali aktif berkarya setelah rumahtangga yang dibina berada di tahap yang selesa. Jadi, janganlah kolot sangat dengan menghamburkan tuduhan membabi buta," tegas penyanyi yang mula mencipta nama seawal usia 14 tahun itu. Malah, dengan nada keras, Syura sangat tidak suka dengan pemikiran individu yang mempunyai stigma seperti itu. Pada hematnya, kalau sudah minat, terima sahajalah artis wanita itu tanpa pandangan prejudis dan biarlah dia melepaskan kerinduannya untuk menyanyi mahupun berlakon. Suami sokong pindah MENJANGKAKAN dirinya akan mulai sibuk, Syura yang menetap di Johor Bahru, Johor memohon izin daripada suaminya untuk berpindah ke Kuala Lumpur (KL) bagi memudahkan dan melancarkan pergerakkannya untuk menyertai pelbagai aktiviti seni. Tidak mengambil masa yang lama, Mohd. Fadhly bersetuju dengan permintaan cinta hatinya itu, malah merestui dan menyokong penuh langkah Syura untuk kembali aktif. Bahkan, menurut penyanyi lagu Bakawali itu, keluarga kedua-dua belah pihak juga tidak mempunyai masalah dengan hasratnya untuk menempuhi semula dunia glamor dan kontroversi itu. "Suami amat memahami kehendak saya. Dia juga percaya dan yakin dengan saya, sekali gus memberi dorongan yang cukup kuat supaya saya kembali menyanyi. "Justeru, pada tahun hadapan, kami sekeluarga akan berpindah ke Cheras, Kuala Lumpur demi kemudahan saya untuk berulang-alik ke studio rakaman mahupun lokasi persembahan yang selalunya banyak berpusat di KL," ujarnya. Dalam pada itu, Syura yang pernah bernaung di bawah Fantasia Music City (FMC) menjelaskan, dia belum lagi menandatangani kontrak dengan mana-mana syarikat rakaman. Terdapat beberapa tawaran yang perlu ditelitinya sebelum menyatakan persetujuan. "Saya tidak mahu demand. tetapi tawaran tersebut perlulah sesuai dengan status saya sebagai wanita yang sudah berkeluarga. "Saya juga mahukan lagu yang dihasilkan nanti masih mengekalkan genre etnik yang diselitkan unsur pop moden supaya ia nampak segar dan mengikuti trend muzik semasa. "Saya sangat sedih melihat irama etnik diketepikan sedangkan banyak cara untuk mengetengahkannya supaya ia diterima ramai," ujar Syura yang mengagumi semangat Noraniza Idris yang tetap kekal bersama irama aslinya. Pada masa yang sama, Syura memberitahu, sekembalinya ke KL kelak, dia amat teringin untuk keluar bersama rakan-rakan artis yang seangkatan dengannya seperti Siti Nordiana, Elyana, Zarina Zainoordin, Bob Yusof dan ramai lagi. "Saya amat rindukan kawan-kawan artis dan teringin untuk bersama mereka dalam majlis-majlis anugerah mahupun mengadakan persembahan bersama-sama. "Ketika melihat artis-artis baru dan lama beraksi di Anugerah Juara Lagu (AJL), saya akui agak cemburu kerana amat merindui debaran pertandingan berprestij itu. "Saya berharap, come back saya kali ini dapat memberikan peluang untuk sama-sama bersaing di AJL akan datang ," katanya.

Sasar genggam sebuah trofi - Anzalna

TAHUN 2012 sememangnya memberikan satu pengalaman yang cukup bermakna buat pelakon muda, Nur Anzalna Md. Nasir atau Anzalna, seorang pelakon baharu yang semakin mendapat perhatian ramai. Di sebalik populariti dan namanya yang sedang meningkat naik, ternyata populariti yang diraihnya itu berjalan seiring dengan kontroversi yang pernah melanda dirinya dengan seorang rakan pelakon sebelum ini. Tidak mahu lagi mengungkit sebarang kisah hitam yang pernah dilaluinya, pelakon yang sudah mencecah usia 24 tahun itu kini mahu lebih serius dalam kerjaya lakonannya sekarang. "Ternyata tahun ini telah memberikan pengalaman yang cukup bermakna buat diri saya sebagai pelakon. Tidak dinafikan ia merupakan sebahagian asam garam yang terpaksa saya lalui apabila menceburi bidang ini. "Sekarang ini apa yang mampu saya lakukan adalah menjadikan semua peristiwa yang berlaku sebagai pengajaran paling berguna supaya tidak berlaku lagi kesilapan yang sama pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran filem Kahwin 5 baru-baru ini. Tegas Anzalna, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menjadi popular disebabkan kontroversi, sebaliknya dia ingin dikenali ramai sebagai seorang pelakon yang berkaliber. Menurutnya, pada tahun hadapan dia berharap kerjayanya akan semakin berkembang, malah sudah bercita-cita untuk merangkul sekurang-kurangnya sebuah trofi. "Mungkin cita-cita saya ini nampak terlalu tinggi untuk dicapai, tetapi sekiranya saya terus berusaha dan memberikan sepenuh komitmen, tidak mustahil apa yang saya impikan akan tercapai. "Setelah melalui banyak pengalaman pahit dan manis sepanjang bergelar pelakon, apabila berjaya meraih sebuah trofi yang mengiktiraf bakat lakonan saya sudah tentu ia dapat memberikan kepuasan," ujarnya. Ditanya tentang perkembangan kariernya sekarang ini, Anzalna memberitahu dia kini sedang sibuk menyertai promosi filem Sepah The Movie yang akan ditayangkan pada 29 November ini. Selain itu, dia juga bakal menjalani penggambaran sebuah drama bersiri yang bertajuk Maskara sebanyak 13 episod arahan Nizam Zakaria yang akan bermula pada 7 Disember ini. "Saya mengaku memang agak gementar kerana bakal bergandingan dengan beberapa pelakon hebat lain seperti Lisa Surihani dan Nasha Aziz, namun saya anggap ia merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna apabila berlakon bersama mereka," ujarnya tentang drama tersebut. Tolak watak antagonis Mempunyai seraut wajah yang cantik serta tubuh yang menggoda, tidak hairanlah Anzalna sudah acap kali diberikan watak sebagai seorang gadis penggoda atau antagonis. Menariknya, watak yang dibawakan oleh pelakon tersebut sebagai Dee dalam drama bersiri Adam Dan Hawa turut memberi impak yang tersendiri sehingga dia dikecam oleh segelintir peminat. "Sejujurnya saya tidak kisah kalau orang mahu mengecam saya kerana watak yang dibawakan dalam sesebuah drama atau filem. Ia membuktikan saya berjaya menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan. "Cuma, saya agak terkilan apabila ada yang menyamakan diri saya seperti watak yang saya lakonkan. Sedangkan karakter saya dalam lakonan dan di luar memang jauh berbeza," tegasnya. Biarpun mengakui dirinya berasa sangat seronok membawakan watak-watak sebegitu, Anzalna tanpa berselindung menyatakan dia kini sudah mula menolak tawaran yang memerlukan dia membawakan watak yang sama. Bukan berniat untuk mula selektif terhadap tawaran yang diterima, pelakon itu menjelaskan dia mahu membawakan pelbagai watak yang berlainan supaya tahap lakonannya dapat dipertingkatkan lagi.
"Sebagai pelakon yang masih lagi baharu, sudah tentu saya tidak mahu terikat dengan satu-satu karakter sahaja. Saya tidak kisah untuk membawakan apa sahaja watak, asalkan bukan watak yang sudah selalu saya pegang sebelum ini," jelasnya. Bukan merisik Menyingkap mengenai perkara peribadi pelakon berkenaan, baru-baru ini sudah tersebar cerita Anzalna bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Mohamad Hanif Mohamad Zaki dalam tempoh terdekat ini. Cerita berkenaan tersebar apabila dikatakan keluarganya dan keluarga kekasihnya itu telah bertemu untuk membincangkan dengan lebih serius berkenaan hal perkahwinan mereka berdua. "Sebenarnya tiada pun pertemuan yang membabitkan kedua-dua belah keluarga kami, sebaliknya cuma saya yang bertemu dengan keluarga Hanif dan tidak dinafikan soal perkahwinan turut dibincangkan. "Pada mulanya saya agak gementar juga terutama melihatkan ibu Hanif yang kelihatan serius, namun saya sudah menerangkan buat masa terdekat ini saya belum bersedia berumah tangga," jelasnya ketika menceritakan tentang pertemuannya dengan keluarga kekasihnya itu. Ditanya kenapa masih lagi belum bersedia untuk berkahwin sedangkan mereka sudah lebih setahun bercinta, Anzalna menyatakan dia ingin lebih fokus kepada kerjaya sekarang. Ujarnya, kekasihnya itu juga baru sahaja mendapat pekerjaan tetap, manakala dia sendiri mahu terus bergiat aktif dalam lakonan memandangkan namanya yang sedang meningkat naik sekarang. "Saya bernasib baik kerana Hanif dan keluarganya dapat memahami kerjaya saya ini. Apa pun saya tetap sasar untuk berkahwin sebelum usia saya mencecah 26 tahun, namun ia juga bergantung kepada jodoh kami," ujarnya mengakhiri bicara.

Tidak hilang jati diri - Zee Avi

BERTEMU buat pertama kalinya dengan penyanyi Zee Avi dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! pada hujung minggu lalu, dia nyata cukup peramah. Bahkan sepanjang sesi temu bual berlangsung, Zee atau nama sebenarnya Izyan Alirahman tidak kekok berbahasa Melayu dan sesekali terselit dialek Sarawak yang menjadi darah dagingnya. Luahnya, satu perkara yang mungkin ramai orang tidak tahu tentang dirinya adalah dia merupakan warganegara Malaysia dan anak kelahiran Miri, Sarawak. "Ramai peminat yang terkejut apabila saya memberitahu mereka, saya rakyat Malaysia. Saya bangga saya rakyat Malaysia dan lahir di Miri, Sarawak. Tidak ada apa yang perlu saya malu kerana saya sayangkan Malaysia. Bahkan, pada setiap persembahan saya di luar, pasti saya akan selitkan cerita mengenai Malaysia," katanya yang merupakan duta pelancongan negeri Sarawak. Kata gadis berusia 27 tahun itu, dia telah diajar hidup di rantau orang sejak berusia 17 tahun. Ketika itu, Zee meninggalkan Malaysia demi menuntut ilmu fesyen di Universiti American InterContinental di London, England. Selepas lagunya dimuatnaik di laman perkongsian video YouTube, Zee telah dilamar oleh syarikat rakaman Brushfire Monotone/Universal Records, sebelum album pertamanya diterbitkan pada tahun 2009. Sejak album pertamanya yang berjudul Zee Avi dilancarkan di pasaran, jadual hariannya mula padat dan New York menjadi destinasi tempat tinggalnya. "Saya sudah terbiasa berdikari sejak berusia 17 tahun. Ibu bapa saya hanya membayar yuran pengajian, manakala duit poket saya cari sendiri. Jadi, kini pada usia 27 tahun tinggal sendirian bukan satu masalah besar buat saya. Ibu bapa juga tidak putus memberi nasihat dan kata-kata semangat setiap kali menghubungi saya. "Walaupun hidup di negara orang, saya tetap mengamalkan budaya tempatan. Bagi saya, jati diri itu penting untuk membentuk siapa saya pada hari ini. Saya juga tidak pernah letih atau bosan bercerita tentang keindahan Malaysia setiap kali rakan dan peminat di Amerika bertanya tentangnya," tutur Zee yang kini berpindah ke Los Angeles beberapa minggu sebelum taufan Sandy melanda bandar New York. Album Melayu Zee yang telah melahirkan dua buah album, Zee Avi dan Ghost Bird kini dalam peringkat awal proses membikin album ketiganya.
Mengakui terdorong untuk mencipta lagu buat pertama kali kerana tiada lagu yang sesuai dengan jiwanya ketika itu, dia tidak menyangka akan bergelar penyanyi dan berada di bawah syarikat rakaman antarabangsa. "Mula-mula saya cipta lagu ketika belajar di London. Saya bosan, jadi saya menulis lirik dan mencipta lagu kerana tiada lagu di radio ketika itu sesuai dengan jiwa saya. Ia sekadar untuk suka-suka dan mengisi masa lapang, tidak sangka sekarang saya jadi penyanyi. Sampai sekarang saya masih belajar untuk menerima hakikat itu (ketawa)," ujarnya. Apabila disoal bilakah mahu melahirkan album penuh dalam bahasa Melayu, Zee tersenyum lebar. Jelasnya, dia sendiri tidak sabar lagi untuk muncul dengan album penuh dalam bahasa Melayu kerana itu impiannya. "Memang saya sendiri tidak sabar untuk lahir dengan album penuh bahasa Melayu, tetapi buat masa ini fokus saya hanya untuk album ketiga. "Selepas album ketiga ini, saya ada masa lapang. Mungkin pada hujung tahun hadapan atau tahun 2014. Saya belum boleh beri kata putus, tetapi saya memang teringin sangat membikin sebuah album bahasa Melayu," balasnya. Jika melahirkan album bahasa Melayu, luah Zee dia amat sukakan muzik nostalgia seperti lagu-lagu daripada R. Azmi dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais. Katanya: "Kalau saya melahirkan album bahasa Melayu, inspirasi saya daripada muzik-muzik lama. Bagi saya muzik lama sangat jujur dan meresapi jiwa. Sebab itu pada tahun 2012 kita masih boleh menerima muzik lama. Antara lagu yang saya suka seperti Nasib Penyanyi, Serba Salah dan Hitam Manis." Aizat Bercakap tentang Aizat, penyanyi lelaki yang dikaitkan rapat dengan dirinya kini, mata Zee terus bersinar. Akuinya, sebelum ini dia langsung tidak mengenali Aizat. Selepas muzik Aizat diperkenalkan oleh rakannya, Zee cukup kagum dengan bakat muzik yang dimiliki Aizat serta abangnya, Anas. "Saya tidak tahu kenapa baru sekarang saya kenal Aizat. Kami berkenalan baru-baru ini dan terus boleh rapat sebab kami satu kepala apabila berbicara tentang muzik. Memang saya suka berkawan dengannya.
"Kami telah bekerjasama baru-baru ini dan saya juga telah ke studio Kasi Gegar Entertainment. Sebenarnya bukan semua orang yang sesuai bekerja dengan nada suara dan muzik saya, tetapi tidak untuk mereka. Mungkin kami akan bekerjasama dalam sebuah lagu pada masa depan, siapa tahu? Tunggu dan lihat," luah Zee berahsia. Bercerita mengenai Yuna yang juga mencapai sukses di luar negara sepertinya, Zee juga berbangga apabila rakan seperjuangan telah mengharumkan nama Malaysia. Bagaimanapun, kesibukan jadual menyebabkan mereka tidak berkesempatan untuk bekerjasama. "Biarpun sama-sama berada di Amerika Syarikat, sebab masing-masing sibuk, kami tidak sempat untuk bertemu. Apabila saya berpindah ke Los Angeles, Yuna sedang sibuk dengan konsert jelajahnya. Apa pun, saya bangga dengannya kerana dia cukup berbakat besar dan melakukan dengan baik di sana," kata Zee.

Anzalna Tidak Peduli Dituduh ‘Dumb Blonde’

PETALING JAYA: Pelakon jelita Anzalna Nasir berkata dia tidak peduli dengan tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dirinya sebagai selebriti yang berfikiran cetek atau ‘dumb blonde.’ Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, 24, berkata, persepsi itu tidak mengganggu dirinya sehingga dia perlu berubah menjadi individu yang berlainan daripada karakter semula jadinya yang ceria. “Terus-terang, saya tidak kisah dengan persepsi orang. Saya tidak akan boleh buat semua orang menyukai saya. “Biarlah apa orang nak anggap kerana mereka hanya menilai pada luaran. Saya tetap dengan diri dan karakter ceria yang tidak menyusahkan sesiapa pun. “Pada saya, jika teguran atau tanggapan itu berasas, saya akan terima dan berubah dengan hati terbuka tetapi kalau persepsi kononnya saya ‘dumb blonde’, ia tidak akan menyakitkan saya,” katanya ketika ditemui mStar Online di sini, baru-baru ini. Pelakon filem Sepah The Movie ini berkata, tuduhan yang tidak berasas itu dilemparkan oleh sikap segelintir pihak tanpa mengenali dirinya dengan lebih dekat. “Saya sedar sikap periang dan gemar ketawa dengan kuat ini membuatkan orang menuduh saya berfikiran singkat dan nampak bodoh. “Walaupun saya kelihatan seperti suka mengambil mudah dalam urusan yang dilakukan, ia tidak bermakna saya tidak boleh berfikir dan menilai baik dan buruk sesuatu perkara. “Saya belajar sehingga ke peringkat universiti dan ada ilmu. Otak saya bukan kosong cuma saya tidak mahu bersikap serius dalam kehidupan seharian,” jelasnya. Beralih pada perkembangan kerjaya, Anzalna berkata, dia kini mengimpikan untuk menggalas karakter yang berbeza kerana sudah bosan dengan watak antagonis. “Saya bermula dalam industri menerusi watak-watak jahat, penggoda dan wanita gedik. Apabila khalayak membenci dan merungut dengan watak itu, ia menunjukkan lakonan saya diterima. “Kini saya sudah muak dengan watak begitu dan mahu mencari peluang watak-watak lain pula,” kongsinya yang juga akan muncul dengan filem Kahwin 5 pada Disember depan. Filem Sepah The Movie yang turut dibintangi antaranya kumpulan Sepah dan Jehan Miskin akan ditayangkan bermula 29 November ini.

Aidil Kecewa, Rita Dakwa Suami Tidak Cakap Benar

PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak mengakui kecewa apabila isterinya, Rita Rudaini Mokhtar sering mengeluarkan kenyataan kononnya dia tidak pernah mempedulikan dua anaknya. Aidil, 25, berkata, sebagai seorang bapa, dia sedih dengan kenyataan sebegitu seolah-olah dia tidak mempunyai perasaan terhadap dua anak mereka iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun. "Bapa mana yang tak sedih apabila Rita pernah berkata anak-anak tidak pernah bertanyakan tentang saya. "Saya percaya anak-anak tidak tahu apa-apa jika tidak diajar mengenai sesuatu perkara," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin. Beritahu Aidil, walaupun masalah dia dan Rita masih lagi belum selesai, dia tetap akan berusaha untuk mendapatkan hak melawat anak-anaknya itu. "Walau apa pun terjadi, saya akan pastikan dapat berjumpa dengan anak-anak. Saya tidak sanggup kehilangan mereka. "Saya sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan hak sebagai seorang bapa," tegasnya. Ditanya adakah Aidil akan meneruskan kes penceraiannya dengan Rita, dia enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut. Dalam pada itu, dia juga turut kesal apabila diberitahu Rita dan anak-anaknya kini berada di Australia tanpa pengetahuannya. "Sepatutnya, Rita perlu memberitahu setiap perkara yang dibuat bersama anak-anak terutamanya apabila melibatkan ke luar negara. "Sebagai seorang bapa yang masih memberikan nafkah, saya berhak tahu setiap pergerakan anak-anak," tuturnya dengan nada kesal.
Sementara itu Rita Rudaini dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online memberitahu, Aidil tidak jujur dalam memberikan kenyataan. Kata Rita dia tidak pernah menghalang Aidil untuk berjumpa anak-anaknya tetapi dia yang bertindak keluar dari rumah kelamin mereka di Damansara, dekat sini tanpa sebab. Tegasnya juga jika Aidil seorang yang bertanggunjawab, sudah tentu dia akan hadir ke mahkamah apabila diarahkan berbuat demikian sebelum ini untuk menyelesaikan kes mereka tetapi sudah beberapa kali dia tidak muncul. “Dia bagi alasan sibuk kerana bermain bola sepak. Dari situ kita boleh mengukur kejujuran kata-kata Aidil itu,” katanya. Lebih menyedihkan Aidil juga didakwa Rita tidak memberi nafkah kepada anak-anak sehingga memaksanya menghantar saman melalui peguamnya kira-kira dua bulan lalu untuk tuntutan tersebut tetapi bintang bola sepak itu memberi alasan tidak menerima saman berkenaan. Katanya, alasan itu tidak benar sama sekali kerana keluarga Aidil pernah berhubung dengan wakil peguam Rita yang melahirkan rasa kurang senang selepas menerima saman berkenaan. “Saya mahu Aidil bercakap benar. Jangan putar belitkan cerita. Saya akan tetap meneruskan tindakan saya untuk menuntut keadilan,” katanya. Rita, 35 dan Aidil, 25, bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah yang berpanjangan.

Zain Saidin Tidak Tolak Jodoh Dengan Rozita Che Wan

PETALING JAYA: Pelakon kacak Zain Saidin berkata dia tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan aktres Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta pada masa akan datang. Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 28, berkata, dia menyuarakan hasrat itu kerana hatinya sudah lama tertarik dengan sikap baik hati dan keikhlasan wanita berusia 39 tahun itu. “Dia seorang wanita yang baik dan ikhlas. Jika tertulis ada jodoh antara kami, saya tidak menolak. “Saya akui memang menyukai Che Ta tetapi lebih daripada itu saya tidak boleh komen,” luahnya ketika dihubungi mStar Online, baru-baru ini. Ujar Zain, walaupun gosip yang mengaitkan mereka seolah tidak pernah berakhir, hubungan mereka pada waktu ini masih lagi sekadar teman biasa. “Memang saya mahu dan tertarik pada dia tetapi kami hanya berkawan pada masa ini. Saya tidak nafikan mahu menjalin hubungan melebihi apa yang kami lalui sekarang. “Kalau benar ada sesuatu yang terjalin antara kami, sudah tentu saya akan berkongsi dengan khalayak,” terangnya.
Mengenai perkembangan kerjaya, Zain berkata, dia bakal terbang ke India selama tiga minggu untuk penggambaran drama bersiri Cinta Agra tidak lama lagi. “Drama itu akan menjalani penggambaran di Malaysia dan India tetapi saya belum pasti bila jadual penggambaran di sana akan bermula. “Pada masa ini, saya masih menjalani penggambaran drama bersiri KL Drift The Series di bawah Skop Productions. “InsyaAllah, selepas itu penggambaran drama Oh My English bagi musim kedua pula menyusul pada Januari depan,” tuturnya. Terbaru, aktor berdarah kacukan itu didakwa berasa cemburu ekoran keintiman Rozita dengan pelakon baru, Shah Iskandar di lokasi penggambaran.

Aziz Satar rujuk isteri kembali

KUALA LUMPUR – Selepas sembilan bulan bercerai, seniman veteran dan pelawak tidak asing lagi, Datuk Aziz Satar mengesahkan beliau akan rujuk kembali dengan bekas isterinya, Hashimah Delan dalam masa terdekat. Seniman kelahiran Surabaya, Indonesia yang berusia 87 tahun itu menegaskan, beliau dan bekas isteri bersetuju berbuat demikian setelah masing-masing memperoleh kembali persefahaman. Sehubungan itu beliau meminta semua pihak tidak membesar-besarkan isu tersebut kerana perselisihan antara suami dan isteri merupakan asam garam rumah tangga. “Perkara ini tidak perlu lagi diperbesarkan kerana semuanya sudah selesai. Perselisihan kecil yang berlaku itu adalah lumrah dalam kehidupan rumah tangga dan semua orang melaluinya. “Semuanya telah selesai dengan baik, kami bersepakat untuk merujuk semula perkara ini secara sah di mahkamah dalam masa satu atau dua hari lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tuah Diana Danielle

TUAH ayam nampak di kaki, "tuah" Diana Danielle nampaknya di perut. Opss... Bukan sebab apa, tapi Syed pasti ramai yang memang rasa "teruja dan gembira" dengan perkhabaran yang diuar-uarkan Isnin lalu. Sejak Isnin lalu juga satu Malaysia gegak gempita dengan berita gembira ini. Malah, Diana dan Farid pun tidak menyorokkan berita gembira tersebut dan sudi berkongsi kegembiraan dengan peminat di laman sosial mereka. Ada yang kata ini tuah orang menikah pagi. Sebab tu cepat dapat anak dan macam-macam teori lagi yang keluar. Syed tak ada masalah dengan isu itu sebab berita yang keluar ini pun berita yang baik. Sebelum ini Fasha Sandha dan Jejai pun dikatakan hebat sebab disahkan mengandung awal. Kali ini giliran Diana dan Farid pula 'bunting pelamin' selepas 16 hari berkahwin. Apa nak hairan? Rasanya ramai yang memang cemburu dengan pasangan ini. Bukan calang-calang orang mampu 'bunting pelamin' secepat ini. Apa-apa pun Syednak ucap tahniah pada mereka. Ternyata Farid Kamil akan menjadi idola kebanyakan lelaki di Malaysia lepas ni. Hebat tu bro. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121125/hi_04/Tuah-Diana-Danielle#ixzz2DIPk7AZN © Utusan Melayu (M) Bhd

Siapalah pedajal Ayda?

TERPERANJAT beruk Joyah apabila sahabat Joyah daripada majalah Mangga khabarkan tentang berita kemalangan Ayda Jebat, awal pagi Selasa lalu. Memang sedih tengok keadaan dia. Mana taknya, tengok keadaan kereta yang remuk itu, macam dah teruk sangat. Tapi alhamdulillah, Tuhan sayangkan dia. Ayda cuma bengkak, patah tulang pipi dan luka satu badan. Joyah sempat tanya khabar keadaan dia. Sekarang sedang berehat di rumah emaknya di Melaka. Tapi Ayda ni, walaupun mulut berjahit, tetap kepoh bercerita tentang kejadian penuh menginsafkan itu. Tapi banyak-banyak cerita Ayda tu, Joyah lebih tertarik dengan perangai semulajadi orang kita yang mudah ambil kesempatan dalam kesulitan orang lain. Sepatutnya apabila terjadi kemalangan, sepatutnya kita hulurkan bantuan. Lainnya berlaku pada kes Ayda ini. Kelakarlah bila orang yang tolong Ayda itu pun sibuk tolong cari barang berharga masa kemalangan. Panjang tangan siap korek-korek bahagian kereta yang remuk. Ayda yang mamai tu hanya tengok saja orang tu ambil duit dan barang berharga dalam keretanya tanpa perasaan. Mana larat nak larang sebab keadaan kudrat masa tu. Kenapa eh ada perangai macam ini? Sepatutnya kalau ada kemalangan, kita beri bantu. Mentang-mentanglah orang yang ditolong itu artis. Jadi ingat banyak barang berharga. Minta maaf ye, artis pun bijak. Dah tak simpan barang mahal dalam kereta.

Kak Mon kritikal barah tahap tiga

KHABAR tentang penderitaan akibat penyakit barah payudara yang sedang dialami pelakon senior, Maimon Mutalib, 54, mula hinggap di telinga ramai. Di sebalik keceriaan, senyuman serta lakonan yang membangkitkan emosi benci atau marah yang tersiar di kaca televisyen, Maimon yang lebih mudah dibahasakan Kak Mon itu rupa-rupanya sudah lebih setahun berjuang untuk melawan penyakit yang sangat digeruni kaum Hawa. "Saya memang takut jarum, sebut perkataan hospital pun saya sudah seriau. Selama ini saya tidak pernah masuk hospital kecuali sewaktu hendak bersalin dahulu. "Sudah setahun setengah saya tahu menghidap barah payudara, itu benda yang paling ditakuti. Saya sembunyikan daripada pengetahuan umum sebab gerun dan fikir macam-macam. "Selama ini saya cuma elak ke hospital tapi berbagai-bagai usaha sudah dilakukan, daripada berubat kampung sehinggalah bertemu pengamal perubatan homeopati, apa yang orang kata bagus, semua saya buat," katanya saat dihubungi Sensasi Bintang untuk bertanyakan khabar yang sedang diperkatakan. Dalam nada sedikit lemah, Maimon bercerita bahawa dia dimasukkan ke hospital sejak Selasa lalu berpunca daripada kekejangan yang dialami pada paha kiri. Pelik dengan situasi yang tidak pernah dialaminya itu sementelah badannya mulai lemah dan tidak mampu bergerak sendiri, dia dinasihatkan anak-anak dan ahli keluarga yang lain untuk membuat pemeriksaan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). "Sebenarnya saya terjatuh dari tangga, selepas itu terus rasa kejang. Bila datang hospital, terus saya ditahan untuk pemeriksaan lanjut. Bengkak di bahagian kiri payudara saya semakin menyakitkan apabila doktor buat macam-macam ujian. Rasa sebak pun ada, sampai mengalir air mata bila badan kita diuji-uji begitu, tapi nak buat macam mana. "Sekarang ini ibaratnya 'serah diri' sahaja, saya dah tak boleh buat apa-apa. Saya juga tak tahu sampai bila lagi saya akan duduk dalam wad hospital ini. Selepas ujian imbasan CT nanti kena tunggu keputusan untuk prosedur kemoterapi pula," katanya. Ditanya tentang tahap kritikal barah yang dihidapi, cerita Maimon: "Ikut kata doktor, barah saya sekarang sudah masuk tahap ketiga. Doktor juga periksa kepala sebab syak barah sudah merebak ke anggota badan yang lain, tapi semuanya okey. Saya cuma berdoa kepada Allah, minta dipermudahkan urusan dan segera sembuh. Kalau diizinkan Allah, saya masih perlu bekerja untuk anak-anak yang masih bersekolah," luah Maimon yang berstatus balu sejak kematian suami, 15 tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, Maimon hanya bergantung hidup kepada lakonan sebagai mata pencarian untuk membesarkan lima orang anak. Sepasang anak kembar, Abdul Rahman Haji dan Abdul Rahman Haj, yang juga anak bongsunya kini masih di Tingkatan Empat. Anak keduanya, Surayatul Nadia, 32, pula tidak boleh bekerja kerana menghidap sakit buah pinggang. Maimon juga mempunyai seorang lagi anak perempuan, Surayatul Natasha yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi dan anak sulung, Kamarul Syahid, 34. "Sudah dua-tiga bulan juga saya terpaksa tolak banyak tawaran sebab tak larat. Saya juga selalu dimarahi kawan-kawan dan anak-anak kerana berdegil tak mahu ke hospital. Saya tak suka, nanti bila masuk hospital akan jadi begini, semua orang tahu dan fikir yang bukan-bukan," katanya. Baru muncul dengan filem Budak Pailang, Maimon juga pernah berlakon dalam filem Sumpahan Kum-Kum, Semerah Cinta Stilleto, Pensil, Hijab, Hantu Dalam Botol Kicap dan banyak lagi. Di kaca televisyen, mungkin sudah ratusan judul yang menampilkan wajah Maimon dengan variasi watak. Sepanjang berada di hospital, Maimon turut dilawati rakan-rakan artis serta wakil daripada Persatuan Seniman.

Sepah 'hidup' dalam Sepah The Movie

RIBUT pergeseran dan perpecahan kumpulan pelawak Sepah yang dianggotai Jep, Mamat dan Shuib sudah lama reda. Sepah meraih populariti apabila muncul sebagai juara pertandingan Raja Lawak musim ketiga sebelum menjulang pula trofi Maharaja Lawak musim pertama. Seperti terbakar oleh glamor dan perhatian umum, perpecahan Sepah banyak memberikan impak. Selain penubuhan Sepahtu oleh Shuib dan Jep, Mamat yang terpinggir dan membawa haluan sendiri pula terheret dengan pelbagai kontroversi sehingga mendedahkan kepincangan grup komedi yang dikatakan pengganti kepada kumpulan lawak terkenal, Senario. Konflik Mamat, Jep dan Sepah dikatakan belum berakhir walaupun mereka kembali bersepakat untuk menjayakan filem sulung Sepah The Movie pada hujung tahun lalu. Tanpa perlu berselindung, Shuib mendakwa itulah filem pertama dan terakhir membabitkan mereka bertiga. Selain Mamat, Jep dan Shuib, filem terbitan PTV Film Productions itu turut dibintangi oleh Jehan Miskin, Yus (Jambu) dan Asrul dari Raja Lawak, Anzalna Nasir dan Ramona Qadri. Hadir ke sesi fotografi tanpa Jep yang ada komitmen penggambaran sebuah drama di utara tanah air, Mamat dan Shuib menegaskan antara mereka bertiga, ikrar persahabatan Sepah tidak akan mati walaupun mereka sedang menggerakkan haluan secara berasingan. Bagaimana hubungan kamu bertiga kini? MAMAT (M): Provokasi dan berita yang digembar-gemburkan sebenarnya lebih besar daripada kisah sebenar perpecahan kami bertiga. Saya cuma bukan Sepahtu dan tidak boleh bergabung dengan Jep dan Shuib sebagai Sepahtu, tapi apabila projek itu dinamakan Sepah, kami masih berbaik. Saya boleh jamin, penonton tidak akan dapat mengesan sebarang kejanggalan kami dalam filem itu nanti. SHUIB (S): Tapi dalam pada orang lihat kami bergaduh, kami sebenarnya boleh bekerja secara profesional. Kalau mahu tahu kami bergaduh atau tidak, tengoklah filem Sepah The Movie nanti. Selain bahan komedi, apa tarikan yang dijanjikan oleh kalian terhadap filem itu? M: Bagi saya filem ini satu keajaiban dunia. Kami menang Raja Lawak dan Maharaja Lawak, buat filem pula selepas berpecah. Filem ini sebuah nostalgia, hadiah untuk peminat yang undi kami selama ini walaupun banyak kontroversi tetapi ia dapat diselesaikan dengan cara terhormat. S: Aksi-aksi sukan motorcrosss semua kami lakonkan sendiri. Kalau dalam drama Bujang Sepah, kami digambarkan sebagai adik beradik, jadi ada hukum yang tak boleh dilanggar tapi dalam filem ini kami kawan dan kami guna nama sebenar. Sepah lebih 'hidup' dalam versi filem ini. Secara peribadinya, bagaimana kalian melihat naik-turun kehidupan masing-masing? M: Banyak cerita buruk tentang saya, lepas satu, kemudian satu lagi. Saya tahu dan itu semua menjejaskan mata pencarian saya. Sudah lama saya tiada tawaran berlakon, maruah saya jatuh dan keluarga di kampung juga terkena tempias. Tapi, saya tetap kena teruskan hidup. Nasib baik saya selalu dapat tawaran dari Singapura. Orang Singapura tidak ambil peduli tentang kontroversi saya. S: Saya percaya hidup tak semuanya indah. Kami pernah berjanji untuk tidak berpecah, tapi akhirnya berpecah juga. Saya sebenarnya terkilan apabila ramai pihak di luar sana yang tidak puas-puas mahu mencari silap Mamat. Saya tidak tahu kenapa dia ditimpa nasib yang sebegitu, saya mendoakan yang terbaik untuk Mamat. Dalam keadaan tertentu, saya kena menjadi seorang yang pentingkan diri sendiri, saya ada keluarga dan kena ada sasaran dalam karier. Perkembangan terbaharu masing-masing? M: Saya ada mulakan perniagaan kecil-kecilan berhampiran dengan Taman Tema Legoland yang baru dibuka di Johor. Alhamdulillah bisnes saya bagus. S: Disember nanti saya akan mulakan penggambaran sebuah filem bersama Zul Yahya. Jadual saya sentiasa padat dan terbaharu, saya dilantik sebagai Duta Dobi Aqua Nano. Ia sebuah jenama kedai dobi yang diusahakan secara francais. Itu semua rezeki anak, Siti Sarah (isteri) kini sedang hamil anak kedua.

Rosyam tak lupa asal usul

UMUM mengenali Rosyam Nor sebagai Remy sejak kemunculan pertamanya dalam filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1986. Asalnya lakonan itu sekadar main-main. Hadirnya pun belum benar-benar menangkap mata dan rasa. Namun itu adalah sebuah langkah bayi untuk ke arah sebuah kejayaan. Tapak mula ke arah sebuah penjenamaan dirinya yang dilihat gah kini. Setelah 26 tahun, Rosyam Nor, 45, kini menikmati waktu kreativiti dan penghasilan dalam hidupnya. Dia bukan hanya muncul sebagai seorang aktor Malaysia tetapi jauh daripada itu. Dia tampil sebagai seorang pelakon yang menjadikan namanya satu jenama dalam industri hiburan tanah air. Lelaki berasal dari Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur itu hanya mampu mengangguk tanda setuju bahawa selebriti perlu ada sebuah penjenamaan. Rayu ruang, peluang “Jujurnya seawal tahun 1997 saya sudah meletakkan satu visi iaitu diri dan nama sendiri perlu ada penjenamaan. Bagi saya seseorang itu selepas tumbuh sebagai artis, dia perlu dikilatkan dan sinarnya perlu sampai. Kelibatnya perlu dirasai masyarakat penonton,” luah Rosyam Nor yang juga merupakan penaung Suhan Movies yang sudah bergerak selama 15 tahun. Dia membuka cerita bahawa satu waktu dahulu, dia tidak malu untuk merayu serta menghadap sutradara popular untuk dibekalkan ruang dan peluang. Itu juga langkah dan strategi seorang Rosyam.
“Saya pernah mohon berlakon kepada Datuk Yusof Haslam. Saya mendekati dan bergaul dengan individu yang dapat memberi impak. Awie, Erra Fazira, Ziana Zain saya mohon sewaktu diberi peluang muncul dalam filem Maria Mariana 2. Saya tumpang populariti mereka dan saya pastikan penonton tidak lupakan Rosyam Nor waktu keluar menonton filem tersebut,” sungguh-sungguh Rosyam bercerita strategi penjenamaannya. “Kemudian saya bertemu Bada dan Rashid Sibir yang memberi peluang kepada saya. Saya muncul dalam drama-drama Rashid Sibir dan filem perdananya, Laila Isabella. Saya tanpa segan memohon mereka untuk peluang itu,” jujur Rosyam bersuara. Tahun ini dia berlakon pula bawah arahan anak Yusof. Pengarah muda Syamsul Yusof memberinya peluang muncul dalam filem KL Gangster 2. Membawakan watak Tailong, Rosyam mengharapkan magis dalam kemunculannya kali ini setelah melihat impak kepada filem terdahulu. “Saya berterima kasih kepada Syamsul kerana memberi peluang saya muncul dalam filem yang besar. Saya berikan komitmen sepenuh hati dan harap Syamsul puas hati. Ini peluang saya untuk mengumpulkan para peminat baharu,” ungkap Rosyam yang merasakan Tailong ialah gangster yang kemas dan berperwatakan menarik. “Jujurnya saya mengharapkan magis pada tahun 2013. Saya menanti sebuah fenomena pada diri dan kerjaya saya. Tahun depan saya ada tiga buah filem bakal ditayangkan iaitu KL Gangster 2, Balistik dan Laga,” ujarnya. Tidak lupa juga dia muncul kali kedua membawakan watak Razif dalam drama popular Trilogi Cinta 2. Drama yang kini menemui para peminat semula selepas dua minggu tidak bersiaran. Selang hari dan tahun bergelar selebriti, pelakon yang benar-benar merangkak mencipta jaya dari bawah ini tidak kalah diusik kontroversi. Terbaharu, kisah dia membezakan dua stesen televisyen sewaktu Anugerah Skrin 2012 berlangsung. Dangkalnya jiwa yang menerima lalu menjatuhkan hukum kononnya Rosyam cetek ilmu agama. Hanya kerana dia menyebut “Nasib baik kita dekat TV3 boleh cuit-cuit, kalau TV Al-Hijrah cuit pun tak boleh.” Elak watak tua Rosyam enggan melanjutkan cerita. Cuma katanya dia mengungkapkan hal nyata yang berlaku di dua buah stesen televisyen. Banyak yang menangkap dalam konotasi negatif berbanding sebuah kebaikan. Lalu penulis bertanyakan soal latah orang kita dalam sesebuah situasi. Baik latah seorang yang berstatus artis atau pemerhati tegar yang bergelar peminat. Dia menarik nafas sebelum menjawab. “Kalau masyarakat, itu hak mereka kerana artis adalah hak mereka juga. Suka atau tidak, itu perlu diterima. Cuma saya perlu tekankan bahawa personaliti seseorang itu akan terserlah bila mereka melatah atau bersuara. Tahap mana akademik dan pemikiran mereka dapat dikesan dengan reaksi atau jawapan mereka,” senyumnya sinis. “Berbalik kepada selebriti pula, jujurnya saya lihat media suka apabila artis itu melatah. Baru ada cerita. Ini salah satu cara artis itu buat nama, orang lebih kenal dan impak jadi lebih besar. Ada yang cari kesempatan atas situasi ini,” senyumnya lagi. Dia tidak kesal atas situasi yang berlaku. Apa yang membuat dirinya kesal apabila diberi gelaran hero tua. Konflik di ASK bukan satu hal yang meninggalkan buah hitam dalam hatinya. “Saya lebih kesal bila digelar hero tua kerana tiada istilah tersebut. Juga apabila orang mencari pengganti saya sedangkan saya masih hidup. Kalau diperhatikan, saya tidak pernah bawakan watak orang tua. Bukan menidakkan usia tetapi saya mengelak. Saya tidak mahu mulakan,” luahnya yang melihat fenomena aktor luar negara yang diberikan watak matang pada usia lebih 40-an dan bukan ditadahkan karakter orang tua.
Ingat pesan ibu Satu hal yang dikongsi oleh aktor terkenal ini, dia tidak pernah merasakan dirinya popular apalagi glamor. Tidak pernah disematkan dalam sanubarinya bahawa dia adalah seorang selebriti dengan nama yang cukup besar dalam ladang seni. “Saya sentiasa letakkan diri saya di bawah. Saya cari naskhah yang baik dan harap magis berlaku dengan perjalanan rezeki Allah. Saya tidak pernah letak Rosyam Nor itu besar. Ya, orang sekeliling yang mungkin membuatkan nama itu jadi besar. Saya tidak pernah lupa diri kerana nikmat itu adalah milik Allah. “Mak juga pernah pesan supaya jangan pernah lupa asal usul. Dalam bergelar pelakon, saya belajar mendalami kehidupan manusia. Itu pelajaran buat saya. Dalam menjadi selebriti, saya belajar menjadi kuat dan perlu banyak bersyarat. Tidak semua orang sukakan kita,” senyumnya di akhir-akhir perbualan Sebagai selebriti yang sudah menembus industri, Rosyam sedang menikmati karier. Frekuensi kemunculannya di televisyen dan filem tidak pernah berhenti sejak tahun 1995 hingga kini. Cuma untuk ruang kini, dia mengaku memerlukan istirehat. Penat katanya. “Selama 26 tahun sibuk berlakon. Ada rasa penat sedikit. Kini masa bersama keluarga. Saya isi semula masa yang ada kini untuk bersama keluarga setelah satu masa lalu ia dicuri kerjaya lakonan. Penat tidak bermaksud berhenti. Cuma saya berehat untuk mengatur hidup. Mungkin orang jadi terlalu muak melihat wajah saya di televisyen atau filem. Biarkanlah mereka bertanya,” senyum bapa kepada lima orang anak ini. Satu pernyataan lagi diberikan sebelum usai perbualan. Satu pernyataan tentang kehidupan Rosyam. “Saya sudah berusia 45 tahun. Mati sudah semakin dekat,” ujarnya dalam tenang.

Amani duta Samsung

ZAMAN sekarang, kalau nak pakai telefon canggih, mesti iPhone 5 atau Samsung.Diva bab gajet ni tak berkira sangat, pakai apa yang ada, janji bukan pakai prepaid. Cakap pasal telefon, sumber Diva yang bukan pakar telefon sudah bercerita pasal model Samsung yang baharu. "Tak payah cakaplah pasal SIII atau Note 2, gua ada model Samsung yang terbaik punya, Sharifah Amani!" macam berlagak pula konon-kononnya dia hebat sebab sudah tengok model baharu Samsung bernama Amani. Maksud sumber Diva tadi, bukan nama model baharu Samsung tapi duta baharu. Katanya, dia ada dengar nama Sharifah Amani dipetik sebagai duta Samsung. Hebatlah, lama juga Diva tak dengar cerita pasal Amani. Memang benda itu tak diumumkan lagi, tapi kalau benar, sikit masa lagi pasti ada majlis pelancaran, tunggulah!

Zizan mula tujuk belang

ADA-ADA sahaja cerita pasal Zizan Razak. Terbaharu, jejaka dari Terengganu tu bukan main lagi mengasah ayat cinta dengan Nora Danish di laman Twitter. Bagi Diva, setakat main ayat cinta di laman sosial itu perkara biasa. Ada juga yang putus cinta pun di Twitter juga. Tapi cerita minggu lalu lagi panas. Diva teringat episod fotografi di pagi hari yang diaturkan di sebuah studio untuk promosi satu acara. Fahamlah Zizan sekarang sibuk, sebagai pelawak paling berjaya, waktunya emas. Jadi segala benda kena cepat dan padat. Bila diminta untuk satu sesi fotografi, Zizan bagi tarikh dan waktu ikut kehendak dia, media kena setuju. Semua pihak yang mahu digandingkan dengannya juga kena patuh. Jadi, bila Zizan tetapkan waktu fotografi bersamanya pada pukul 9.30 pagi semua pun kena setuju, kalau tak setuju, dia tak ada waktu lain. Kalau dengan Zizan seorang okey, tapi bila melibatkan artis lain, kenalah ada persetujuan bersama. Tiba waktu yang dijanjikan, artis yang terpaksa ikut jadual Zizan tiba tepat pada masa yang dijanjikan. Tunggu punya tunggu, orang yang berkeras bagai besi sakti mahu buat fotografi awal pagi tak nampak batang hidung. Artis yang digandingkan dengan Zizan pun, bukan calang-calang orang, tapi sanggup berpinar mata tempuh kesesakan jalan raya dan beralah demi Zizan. Pelakon ada trofi tadi pun termangu daripada setengah jam jadi sejam, lepas sejam masuk dua jam. Malangnya, Zizan yang beria-ria tetapkan jadual ibarat masuk kerja kena punch card pula yang sampai dua jam kemudian. Jangan terlalu pentingkan diri. Kalau orang lain boleh tepati masa, jangan mainkan masa orang lain.

Gerai Dynas Tarik Perhatian Himpunan Wanita 2012

KUALA LUMPUR: Kesibukan aktiviti lakonan dan tanggungjawab sebagai ibu tidak menghalang pelakon Dynas Mokhtar untuk turut berniaga sempena Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinaz Wan Mokhtar berkata, gerai yang menjual busana wanita mengandung, aksesori dan produk kecantikan wanita di Dewan Tun Razak 1 itu dikerumuni orang ramai termasuk peminat yang mahu bergambar bersama. Katanya, dia tergerak hati untuk berniaga sempena himpunan itu kerana ingin mengembangkan perniagaan yang baru sahaja dimulakan setahun lepas, selain mendapat sokongan suami dan keluarga. "Kebanyakan pengunjung Himpunan Wanita pada hari ini adalah wanita, jadi saya mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan produk saya kepada umum. "Kebetulan saya diberi peluang oleh Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin untuk mereka bentuk busana mengandung beliau, maka Datuk sendiri mencadangkan saya supaya berniaga di sini," katanya. Dynas berkata busana rekaannya bukan hanya terhad kepada wanita mengandung. "Selain jubah ibu mengandung, sesetengah daripada pakaian rekaan saya unik di mana ia memberi kemudahan kepada ibu yang selepas bersalin menyusukan bayi mereka tanpa terpaksa mendedahkan aurat," katanya. Pelakon itu juga berkata jika sambutan pada kali ini memberangsangkan, dia berminat untuk terus berniaga pada perhimpunan akan datang. Bersempena himpunan itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pertunjukan fesyen, demonstrasi solekan dan penjagaan kesihatan. - BERNAMA

Imran Ajmain Masih Belum Temui Pengganti Siti Saerah

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penulis lagu Imran Ajmain mengakui masih belum mempunyai kekasih selepas hubungannya dengan penyanyi Siti Saerah Tarudin pada dua tahun lalu menemui kegagalan. Imran, 31, berkata, kejadian itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya sehingga menyebabkan dia enggan terburu-buru untuk memulakan komitmen cinta yang baru. “Saya masih solo selepas kegagalan hubungan (dengan Siti Saerah) dan tidak mahu terburu-buru dalam mencari pasangan. “Banyak juga saya keluar dan berkawan dengan beberapa wanita. Malah, ada yang berkenan cuma saya belum bersedia sepenuhnya,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Siti Saerah yang merupakan adik kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya, Saiful Anuar pada 27 Oktober 2010. Jelas penyanyi lagu Seribu Tahun ini, kegagalan hubungan lalu bagaimanapun tidak langsung menjejaskan hasratnya untuk membina keluarga sendiri kelak.
“Saya tumpang gembira dengan kebahagiaan perkahwinan dia (Siti Saerah). Sudah bukan jodoh kami untuk bersama. “Apa pun, saya mahu berkahwin dalam tempoh lima tahun ini. Saya tidak mahu memiliki anak yang masih kecil ketika usia meningkat tua,” katanya. Mengenai perkembangan kerjaya, penyanyi yang berasal dari Singapura ini berkata, dia kini tampil dengan lagu terbaharu berjudul Dikalung Kasihan ciptaan Azlan Abu Hassan dan B. Azhar. “Selepas tiga tahun menyepi, saya kembali dengan Dikalung Kasihan yang bakal dimuatkan dalam album akan datang untuk dipasarkan pada suku pertama 2013. “Sambutan orang ramai terhadap lagu itu memberikan petanda baik untuk saya kembali aktif. Sejak lagu itu kian popular saya menerima banyak tawaran persembahan semula,” kongsinya.

Natasha Hudson Elak Babak Romantik Sejak Bertudung

KUALA LUMPUR: Aktres Natasha Hudson berkata dia menitikberatkan tawaran lakonan yang diterima demi menjaga batas dan adab sebagai muslimah sejak mula berhijab pada awal April lalu. Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 30, berkata, atas kesedaran dan tanggungjawab itu dia akan mengelakkan babak-babak romantik atau bersentuhan dengan pelakon lelaki lain dalam drama atau filem. “Setakat ini belum ada lagi tawaran watak atau babak yang romantik, intim dan bersentuhan dengan pelakon lelaki lain sejak saya bertudung. “Bagaimanapun, saya tidak boleh terlalu cerewet terhadap tawaran yang diterima kerana ini (lakonan) adalah kerjaya saya. “Mujurlah, kebanyakan pengarah dan penerbit peka dan menghormati batas-batas bagi pelakon yang bertudung seperti saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Pemenang trofi Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem Chermin ini mula bertudung selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah pada penghujung Mac lalu. Justeru itu, Natasha berkata, dia kini memberikan keutamaan pada bidang pengacaraan dan urusan syarikat produksi miliknya dan suami Carleed Khaza iaitu Dream Cloud Productions.
“Atas kesedaran terhadap batas-batas pergaulan dan adab saya memberikan lebih tumpuan pada kerja-kerja belakang tabir dan pengacaraan sekarang. “Saya banyak membantu suami untuk kerja-kerja produksi syarikat kami Dream Cloud. Saya juga aktif menyiapkan rekaan terbaru koleksi hijab yang dijual secara dalam talian,” ujarnya. Bagaimanapun, ujar Natasha, dia perlu bijak mengimbangi antara lakonan, pengacaraan dan perniagaan kerana belum bersedia untuk berundur diri daripada dunia lakonan. “Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon sepenuhnya buat masa ini kerana ia adalah minat dan kepuasan saya. “Cuma, saya perlu bijak mengimbangi dan memilih tawaran lakonan yang bersesuaian dengan penampilan dan status sekarang,” kongsinya. Mengenai kehidupannya yang kini hamil empat bulan, Natasha berkata, perkara itu tidak menghalangnya untuk bergiat aktif dalam bidang seni. “Rasanya kehamilan pada kali ini lebih baik daripada pengalaman pertama ketika mengandungkan anak sulung Nessa Helena. “Setakat ini, saya tidak mengalami alahan atau mengidam yang pelik-pelik cuma mudah berasa letih sahaja. Selagi larat, saya akan bekerja macam biasa,” jelasnya. Natasha diijabkabulkan dengan komposer dan penyanyi rap Carleed Khaza atau nama sebenarnya Khalid Kamal, 33, pada 15 April lalu di Masjid Wilayah, di sini.

Nabil Ahmad Terkejut Anak Perempuan Lahir Awal Tiga Minggu

PETALING JAYA: Pelawak dan pengacara Ahmad Nabil Ahmad mengakui terkejut menyambut kelahiran anak perempuannya pada pagi Ahad yang dilahirkan lebih awal daripada jangkaan. Nabil, 29, berkata, perasaan itu wujud kerana anak yang masih belum diberikan nama itu dilahirkan tiga minggu lebih awal dari tarikh jangkaan isterinya Nazirah Ayub, 24, bersalin iaitu pada pertengahan Disember depan. Menurutnya, anak sulungnya itu selamat dilahirkan pada pukul 8.40 pagi menerusi pembedahan Caesarean di sebuah klinik di Shah Alam, dekat sini selepas isterinya mengadu kesakitan pada sekitar pukul 3 pagi Ahad. “Sebenarnya, saya masih terkejut dan rasa hendak menangis kerana tidak jangka dia (isteri) akan bersalin secepat ini. Kalau mengikut perkiraan dia dijangka bersalin dalam tempoh tiga minggu lalu. “Memandangkan kelahiran ini berlaku secara mengejut, saya masih belum sempat ambil cuti kerana ikut perancangan saya akan mula bercuti pada Disember nanti,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Ahad. Pengacara program MeleTop itu berkata, dia berasa gembira dengan kelahiran itu turut mengakui debaran untuk menjalani fasa baru kehidupan sebagai seorang bapa.
“Saya bersyukur dan gembira kerana semuanya selamat dan terkawal. Namun, saya juga berasa gementar dan berdebar untuk bergelar bapa. “InsyaAllah, saya akan menyesuaikan diri secara perlahan-lahan. Yang penting, isteri dan bayi berada dalam keadaan selamat dan sihat,” luahnya. Ditanya mengenai nama pilihan untuk anak perempuan itu, Nabil berkata, dia dan isteri masih belum menetapkan sebarang nama pada waktu ini kerana kelahiran yang berlaku secara mengejut. “Kami belum ada pilihan nama untuk anak ini lagi kerana tidak sangka kelahiran berlaku terlalu awal. Kalau ikutkan, kami memang buat persiapan untuk bulan depan. “Kalau hendak tahu, saya dan isteri baru sahaja membeli buku panduan nama-nama Islam ketika kami keluar bersama pada malam tadi (malam Sabtu). “Belum sempat pun saya selak nama-nama yang sesuai, anak sudah lahir. Tunggulah sehari dua lagi baru saya akan berikan nama,” kongsinya.

Emma Maembong Mahu Teruskan Legasi Bapa

PETALING JAYA: Pelakon Emma Maembong berhasrat untuk meneruskan lagesi bapanya iaitu seorang pelukis terkenal negara, Ismail Embong dan terlibat secara serius dalam bidang itu. Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 20, berkata, sebelum bergelar artis dia banyak menghabiskan masa dengan melukis dan menggemari lukisan jenis animasi dan potrait. "Sejak berusia 12 tahun lagi saya sudah didedahkan dengan dunia lukisan oleh ayah dan beliau adalah sumber inspirasi saya dalam bidang tersebut. "Sebelum ini kami sering menghabiskan masa bersama dengan melukis sehingga pukul tiga atau empat pagi dan beliau banyak memberikan inspirasi kepada saya sebagai seorang pelukis," ujarnya kepada mStar Online. Kelibat Emma boleh disaksikan menerusi drama bersiri Cinta Itu Milikku terbitan Orangetree Production yang sedang bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3. Selain Emma, drama bersiri 24 episod itu turut menampilkan Fazreen Rafi, Ana Dahlia, Ery Putra, Mustapha Kamal, Karl Shafek, Sherry Merlis dan Liza Abdullah. Dalam pada itu, Emma berkata, dia tidak pernah berasa malu untuk mengakui dirinya 'anak ayah' kerana sangat rapat dan manja dengan bapanya itu. Emma memberitahu hubungan mereka rapat selepas ibu bapa mereka bercerai ketika usianya masih kecil dan dia tinggal bersama bapanya itu. "Ayah seorang yang sangat tegas namun jarang sekali dia memarahi saya dan adik-beradik lain kalau ada kesilapan kami lakukan. Dia sentiasa menggunakan nasihat untuk menyedarkan kami. "Hubungan kami sangat rapat kerana saya tinggal bersamanya sejak kecil selepas ibu bapa bercerai dan banyak perkara tentang kehidupan saya belajar daripadanya terutama seni lukisan," ujarnya. Cerita Emma lagi, sejak kecil dia tidak boleh berpisah dengan ayahnya itu dan akan mengikut ke mana sahaja beliau pergi. "Kerana restu daripada ayah saya menjejakkan kaki sebagai pelakon dan doa beliau membuatkan saya sentiasa tabah dalam mengharungi pelbagai cabaran dalam dunia hiburan ini walaupun masih baru," katanya.

Irma Hasmie Hasrat Kembali Berlakon Selepas Bersalin

PETALING JAYA: Pelakon Irma Hasmie berhasrat untuk kembali berlakon selepas melahirkan anak pertama bersama suami Reza Syah Azmeer Mohd Redzuan pada Mac tahun hadapan. Irma, 30, berkata, buat masa ini dia mahu berehat daripada bidang itu kerana tidak yakin mampu memberikan persembahan terbaik dengan keadaannya yang sedang berbadan dua. "Sekarang ni nak bercakap pun termengah-mengah apatah lagi nak berlakon. Jadi saya berehat sebentar daripada dunia lakonan dan Insya Allah akan kembali selepas bersalin nanti," katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun kata Irma, dia hanya akan menerima watak yang sesuai dengan penampilan dan statusnya sebagai isteri orang. "Suami pun tidak menghalang dan jika ada rezeki untuk berlakon dengan watak yang sesuai apa salahnya," jelasnya. Dalam pada itu, Irma memberitahu kandungannya yang sudah memasuki usia lima bulan tidak mempunyai sebarang masalah dan memberitahu dia berkemungkinan bakal menimang cahaya mata lelaki.
"Masa buat imbasan tempoh hari dia macam menyorok lagi tetapi Insya Allah dapat anak lelaki. Bagaimanapun saya tidak kisah dengan jantina kerana yang penting bayi dalam keadaan sihat," jelasnya. Sementara itu, Irma berkata, dia kini banyak menumpukan perhatian kepada bidang pengacaraan di TV Al-Hijrah iaitu program Assalamualaikum selain aktif menghadiri kelas Usrah Fitrah. "Buat masa sekarang bidang pengacaraan yang paling sesuai dengan saya dan sekurang-kurangnya saya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama suami. "Manakala dengan Usrah Fitrah selain menghadiri kelas agama, kami kini sedang giat mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa keganasan Israel di Semenanjung Gaza dengan mengutip dana dan mengadakan solat hajat untuk saudara Islam di sana," jelasnya. Orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian melalui Bank Islam Malaysia Berhad (No. Akaun: 1202-9010-0478-80) atau Maybank Malaysia Berhad (5622-6301-0787) atas nama 'Aman Palestin Berhad'. Sumbangan juga boleh dibuat melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip PALESTIN 10 (Jika nilai RM10) dan hantar ke 39111. Sebarang maklumat lanjut boleh melayari www.amanpalestin.net atau www.usrahfitrah.com.

Zoey Mulai Bosan Kerana Watak Remaja

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Zoey Rahman mengakui sudah bosan apabila sering diberikan watak remaja dalam sesebuah drama. Zoey, 27, berkata, perkara itu telah menyebabkan kredibilitinya sebagai seorang pelakon tidak mempunyai peningkatan apabila sering diberi peranan sama. "Jujurnya saya sudah mula bosan kerana watak yang diberikan sentiasa sama sehingga saya lihat tiada peningkatan dalam kerjaya sebagai pelakon. "Saya sering mendapat watak remaja atau budak sekolah sehingga saya mempunyai set pakaian seragam sendiri kerana sering dapat watak pelajar," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Zoey, atas dasar itu juga dia mula mengehadkan aktiviti lakonan dan lebih selektif terhadap tawaran yang diberikan. Dalam pada itu, Zoey memberitahu, walaupun perjalanan karier lakonannya tidak selancar seperti diharapkan namun dia mengakui semakin menyerlah dalam bidang pengacaraan. "Saya semakin selesa bergelar pengacara kerana ia banyak membantu saya dari segi pengetahuan dan meningkatkan keyakinan diri," jelasnya. Sementara itu, Zoey memberitahu selain lakonan dan pengacaraan dia kini turut memberikan tumpuan kepada dua perniagaan yang diusahakan bersama abangnya iaitu Calista Design dan sebuah restoran di kampung halamannya, Besut, Terengganu, yang diberi nama Durian Belanda. Menurut Zoey, jika tidak mempunyai sebarang projek lakonan atau pengacaraan dia akan menghabiskan masa di butik yang menyediakan khidmat hiasan dalaman itu yang terletak di Damansara dekat sini. "Saya pernah mengikuti kursus hiasan dalaman dan perniagaan tersebut dikongsi bersama abang saya. Jika tiada sebarang projek saya akan ke sana untuk menguruskan hal-hal pejabat," jelasnya. Tambah Zoey, dua perniagaan tersebut adalah sebagai salah satu persediaan untuk masa depannya. "Bukan selamanya kita akan berada di dalam industri ini dan perniagaan adalah satu bentuk persediaan sekiranya saya tidak lagi berlakon atau mengacara," jelasnya.

Farid Kamil Terkejut Diana Mengandung Awal

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah filem Farid Kamil Zahari menafikan dakwaan kononnya dia cuba mengelak daripada berjumpa pihak media selepas isterinya aktres Diana Danielle mendedahkan berita kehamilannya pada Isnin lalu. Farid, 31, berkata, dia mendiamkan diri dan tidak menjawab panggilan media kerana berasa terkejut dengan kehamilan Diana yang berlaku dalam tempoh kurang sebulan daripada tarikh pernikahan mereka. “Saya tidak mendiamkan diri atau cuba mengelak daripada media selepas berita kehamilan itu didedahkan Diana kepada khalayak. “Cuma saya menjadi tergamam kerana tidak sangka dia mengandung secepat itu. Saya tidak kecoh-kecoh sebab ia masih terlalu awal,” katanya. Farid berkata demikian ketika ditemui mStar Online selepas previu filem terbaharu lakonannya berjudul Lagenda Budak Setan 2: Katerina (LBS2) di GSC Pavilion, Bukit Bintang di sini, pada Jumaat. Pada Isnin lalu, Diana mendedahkan dia hamil selepas 16 hari bernikah menerusi laman sosial Twitter dan Instagram miliknya. Pasangan itu melangsungkan pernikahan pada 3 November lalu dalam sebuah upacara ringkas di Hotel Flamingo by The Lake, Ampang dekat sini. Farid berkata, pada awalnya dia berasa keliru dengan berita itu dan mengambil pendekatan untuk menghadapinya dengan tenang. “Saya ambil pendapat kawan-kawan dan orang-orang lebih berpengalaman apabila Diana memaklumkan dia hamil, di mana saya tidak mahu terlalu seronok dan teruja kerana ia masih terlalu awal. “Apa sahaja boleh berlaku. Saya tidak mahu terlalu berharap cuma mendoakan yang terbaik sahaja,” katanya. Ketika ditanya adakah dia sudah membawa Diana melakukan pemeriksaan susulan, Farid berkata, mereka tidak berbuat demikian kerana ia masih terlalu awal. “Kami bernikah pun belum sampai sebulan. Masih terlalu awal rasanya untuk membuat pemeriksaan walaupun alat penguji kehamilan menunjukkan Diana mengandung. “Buat masa ini biarlah dulu sebab kehamilan itu masih baru. Lagi pun kami sedang pening kepala dengan persiapan menjelang majlis resepsi pada 1 dan 12 Disember depan,” katanya. Sementara itu, dalam bahagian kedua filem LBS ini, Farid yang kembali menggalas peranan sebagai Kashah terus diuji dengan kehadiran Katerina (Maya Karin) yang cuba mencuri hatinya serta kehilangan beberapa individu penting dalam hidupnya. Filem yang turut dibintangi antaranya Bront Palarae, Azri Iskandar dan Sheila Mambo ini akan ditayangkan bermula 29 November ini.

Jadi suami di usia 40-an - TS Jeffery

KALAU nak diikutkan bukan senang untuk seorang anak seni yang bukan Melayu meraih kejayaan dalam industri hiburan tempatan. Bagaimanapun bagi pelakon yang pernah terkenal di era 90-an ini, kepayahan itu akhirnya berjaya diatasi dengan usaha keras. Sehingga kini dia bukan sahaja diakui sebagai pelakon tetapi pengarah dan juga penerbit. Setelah 22 tahun bertungkus lumus mengejar impian dalam bidang seni, akhirnya T.S. Jeffry menamatkan zaman solonya setelah bergelar suami orang. Baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Domithila Servatius yang berasal dari Sabah, Jeffry mengakui niat untuk berkahwin sudah ada sejak dia berumur 20-an lagi. "Saya bertemu jodoh pada usia yang lewat namun niat untuk berkahwin itu memang sudah ada sejak dahulu lagi, tetapi belum sampai waktunya. "Saya mengenalinya sejak dua tahun lalu . Selepas lama kenal baru kami mengambil keputusan berkahwin dan perasaan saya kini sukar digambarkan. Penyatuan sebagai suami isteri ini memberi lebih makna buat kehidupan kami berdua," katanya. Menurut Jeffry, perbezaan umur dia dan isteri tidak menjadi masalah dalam hubungan mereka. "Saya sudah mencecah 40-an dan isteri pula 20-an. Bagaimanapun kematangan yang ditunjukkan Domithila memberi sebab untuk saya memilihnya. "Isteri saya baru sahaja habis pengajian. Buat masa ini saya harap dia boleh membantu saya menguruskan produksi saya dahulu," katanya. Sementara itu menurut Jeffry resepsi perkahwinan mereka bakal diadakan pada 12 Disember ini di kediaman keluarganya di Kelantan.

Aliff Aziz meluah isi hati

PERTEMUAN setelah beberapa minggu memencilkan diri daripada media pada petang kelmarin sempena sebuah majlis sidang akhbar di Holiday Villa Subang Jaya, Selangor baru-baru ini memperlihatkan sisi Aliff Aziz yang berbeza - kurang ketawa, serius dan sugul. Terasa kekecewaan dan kesan perpisahannya dengan pelakon Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 28, sehingga menampakkan Aliff kurang bermaya bersama wajahnya yang terhias beberapa titik jerawat. Ditanya mengenai kadar kesihatannya kini selepas keluar daripada wad kerana disyaki menghidap serangan palpitasi jantung (denyutan jantung tidak teratur) pada awal bulan Oktober lalu, jawab Aliff dia kini sedang dalam peringkat pemulihan. "Saya dinasihatkan untuk berehat seketika dan Alhamdulillah kini sudah sihat. Baru-baru ini demam sekejap mungkin disebabkan keadaan cuaca sekarang yang tak menentu. "Sekarang, saya sedang berusaha untuk kurangkan merokok dan kurangkan berfikir sampai jadi stres," katanya. Tanpa berselindung, kisah perpisahannya dengan Anne menjadi pokok bicara. Ujar Aliff atau nama sebenarnya Muhamad Aliff Aziz, 21, dia kini sedang berusaha untuk kembali ke trek asal iaitu mengejar kejayaan dalam karier sebagai penyanyi serta berbakti kepada keluarga. "Saya cuba elakkan untuk berfikir perkara yang boleh mengusutkan minda saya terutama kisah perpisahan kami. Buat masa sekarang saya mahu terus fokus kepada prioriti iaitu keluarga dan kerjaya serta menerima perpisahan ini seadanya," ulasnya. Anne enggan balas SMS Aliff bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan punca perpisahannya dengan Anne namun masih sudi berkongsi secebis cerita proses perpisahannya dengan pelakon itu. "Beberapa minggu lepas kami ada sedikit perselisihan faham dan memutuskan untuk memberi ruang kepada diri masing-masing seketika, sehinggalah pada hari dia bertunang, saya dimaklumkan oleh peminat melalui Twitter mengenai majlis itu. "Kalau orang tanya apakah puncanya kami berpisah, saya tidak rasa signifikan untuk saya memberitahu sebabnya, biarlah ia kekal rahsia antara kami. Kami manusia biasa yang tidak dapat lari daripada kesilapan. "Susah untuk dijelaskan tetapi saya pasti tiada siapa mahu rasa apa yang sedang saya rasa sekarang," cerita Aliff menahan sebak. Tambahnya, seminggu sebelum berpisah, Aliff dan keluarga Anne masih berhubung rapat malah Anne sendiri pernah menghubungi bapa Aliff untuk bertanya khabar. "Kami memang ada buat perancangan untuk berkahwin pada bulan Disember, tapi jodoh tak kesampaian. Dalam proses pemulihan, tiba-tiba saya dapat tahu yang dia sudah bertunang dan akan berkahwin. Jujur, ia benar-benar membuatkan hati saya terluka. "Sepanjang perkenalan kami, dia tak pernah melakukan kesalahan. Dia memang jaga segalanya termasuk pemakaian saya. "Anne ada bertanyakan khabar saya melalui bapa saya menerusi panggilan telefon lebih kurang seminggu sebelum bertunang tapi dia tidak memaklumkan akan majlis yang bakal berlangsung itu. "Kata Anne, dia tak mahu membalas semua SMS saya sebab enggan melihat saya lebih sakit dan cara itu katanya boleh membantu saya untuk melupakan dia," ujar pelantun lagu Sayang Sayang itu. Selepas majlis itu, Aliff mengakui ada menghantar ucapan tahniah melalui Twitter namun tidak mendapat respons daripada Anne. Menyifatkan Anne sebagai seorang wanita yang paling sempurna yang pernah dipertemukan sepanjang hidup, jelas Aliff dia tidak menyesal mengenali Anne. "Saya sangat bersyukur dipertemukan dengan dia dan dia salah seorang wanita yang paling sempurna bagi saya. Saya tidak menyesal mengenali dia kerana dia telah banyak mengajar saya erti cinta dan kehidupan. "Baru kini saya rasa betapa pedihnya apabila perlu berpisah dengan orang yang kita sangat sayang dan baru sekarang saya faham apa ertinya cinta," tambah Aliff. Adakah Aliff sudah serik untuk bercinta selepas ini? Jawabnya: "Ikutkan hati apabila melalui sesuatu yang memberikan impak dan membuatkan kita rasa sedih sudah pasti akan rasa fobia. Tapi ini lumrah hidup yang telah ditetapkan Tuhan namun, buat masa sekarang saya belum fikir untuk mencari pengganti dia." Alih perhatian
Pastinya setiap hati yang baru remuk dihentam bahana cinta akan melalui pengalaman berbeza untuk memulihkan diri dan jiwa daripada peristiwa pedih seperti yang dilalui Aliff. Pilihan dirinya adalah dengan menyibukkan diri bersama keluarga dan karier yang dirasakan tepat untuk melupakan kisah sedemikian. "Kini saya lebih banyak luangkan masa dengan keluarga dan ke gimnasium untuk mengalihkan perhatian daripada situasi sebegini. "Ibu saya selalu nasihatkan saya, katanya kalau sudah bukan jodoh saya tiada apa boleh buat. Terima hakikat dan reda," katanya yang mengambil keputusan untuk tidak berhubung dengan keluarga Anne. Bagaimanapun, Aliff memanjatkan rasa terima kasih kepada keluarga Anne berikutan sokongan dan kasih sayang sepanjang tempoh awal dia mula bertapak di Malaysia. "Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada baba (panggilan Aliff kepada ayah Anne) dan keluarganya yang selama ini mendidik saya serta menjadi keluarga saya di sini. "Halalkan makan minum saya dan saya minta maaf sekiranya terkasar bahasa dan ada sikap yang tidak menyenangkan keluarga baba," tutur bicaranya perlahan. Pesanan untuk Anne Aliff mengakui dia tidak akan sesekali melupakan kenangan bersama Anne. Katanya, memori bersama Anne akan disimpan buat panduan pada masa akan datang. "Saya akan menjadikan kisah ini sebagai pengajaran untuk masa akan datang dan saya akan menggunakan memori ini agar tidak mengulangi perkara yang sama berulang kali. "Ini adalah pengajaran yang besar buat saya kerana selama ini bersikap endah tak endah terhadap wanita yang pernah bertakhta dalam hati saya. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya berharap dengan mendoakan kebahagiaan Anne, kesakitan ini dapat dikurangkan. Bagaimanapun, Aliff mempunyai sedikit pesanan dan kata-kata akhir kepada Anne. "Saya tidak mahu runtuhkan kebahagiaan yang dia sedang kecapi, memandangkan dia juga sibuk dengan persiapan perkahwinan cukuplah saya mengatakan saya bertuah dipertemukan dengan dia. Semoga kehidupannya berjalan lancar. "Saya mahukan yang terbaik untuk dia dan kini doa saya telah dimakbulkan untuk melihat dia bahagia cuma bukan dengan saya. Saya doakan yang terbaik buat dia," ungkap Aliff. Gerhana cinta yang sedang dilalui oleh pucuk muda yang barangkali dilabelkan masih mentah untuk memahami makna cinta itu ditepis perlahan-lahan. Noktah yang adakalanya tidak menghadiahkan kebahagiaan hanya mampu diharungi dengan motivasi dan sokongan sekeliling. "Saya mula merasakan saya kini telah kehilangan sesuatu yang amat besar, tapi selagi ada keluarga, peminat dan kerjaya tiada apa yang mampu menghalang saya," tegasnya.

Jalaludin hampir putus asa

TUGAS sebagai seorang pengalih suara untuk sebuah program dokumentari tidak semudah berlakon. Hal itu diakui sendiri oleh Datuk Jalaludin Hassan yang baru-baru ini terlibat dengan tugas tersebut untuk dokumentari Mankind: The Story Of All Of Us. Masih berbaki beberapa episod yang setiap satunya berdurasi hampir sejam, pelakon veteran itu mengaku dia hampir berputus asa pada peringkat awal menggalas tugas berat itu. “Saya mengambil alih suara Josh Brolin, seorang aktor Hollywood yang saya sanjungi dan apabila terpilih untuk melakukan tugas itu sejujurnya saya berbesar hati. “Saya diberikan skrip untuk satu episod yang tebalnya seperti skrip sebuah telefilem. Episod pertama, saya terpaksa mengambil masa lebih kurang lima jam untuk disempurnakan dan hakikatnya saya hampir berputus asa. “Ketika rakaman, saya tidak dibekalkan skrin untuk melihat apa yang sedang ditayangkan. Sebaliknya, saya perlu mendengar suara Josh Brolin setiap kali sebelum melontarkan suara. “Momentum suara yang diperlukan untuk sesebuah program dokumentari perlu konsisten sepanjang masa dan ia bukanlah tugas yang mudah,” katanya yang ditemui ketika tayangan perdana episod pertama Mankind: The Story Of All Of Us di GSC Signature, The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini. Selain perlu menjaga suaranya, Jalaludin mengakui dia juga harus menjaga kualiti kesihatan, diet dan jadual penggambarannya sepanjang pembikinan dokumentari 12 episod itu. “Dokumentari ini mengganggu saya sebenarnya, saya perlu melahirkan perasaan saya sendiri agar tidak dibayangi oleh Josh Brolin. Saya perlu memahami skrip dan proses rakaman berjalan terus tanpa sebarang latihan. “Saya menerima tawaran ini bukan semata-mata faktor bayaran, tapi untuk mencabar diri sendiri dan mencipta pengalaman baharu mengendalikan program yang bermanfaat kepada penonton,” ujarnya ketika ditanya mengenai cabaran sepanjang terlibat dengan dokumentari tersebut. Program itu merupakan siri TV pertama yang meneliti perkembangan manusia dari zaman ke zaman. Setiap episod menceritakan misteri sejarah perkembangan tamadun manusia, penemuan baharu dan peristiwa kemuncak dalam revolusi manusia dan dunia. Antara 12 episod yang ditampilkan sepanjang siri tersebut termasuklah Inventors, Empires, Survivors, New World, Revolutions dan New Frontiers. Mankind: The Story Of All Of Us mula ditayangkan pada 14 November lalu pukul 9 malam di saluran History (Astro 555).

Shah Iskandar Sedia Temui Zain Saidin Isu 'Rebut' Rozita Che Wan

PETALING JAYA: Pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar bersedia untuk bersemuka dengan aktor Zain Saidin bagi meleraikan salah faham berhubung isu “rebut” pelakon Rozita Che Wan. Shah atau nama sebenarnya Shah Iskandar Mahfuz, 30, bagaimanapun berkata, Zain ada hak untuk merasai perasaan kurang senang terhadap dia dan Rozita kerana mereka berdua sedang bergandingan dalam beberapa drama terbitan Zeel Production sejak dua bulan lalu. “Dia (Zain) ada hak untuk berasa kurang senang atau salah sangka dengan kemesraan saya bersama Che Ta (Rozita), walaupun saya tidak tahu status sebenar hubungan mereka, sama ada masih bersama atau sudah tiada apa-apa. “Saya tidak salahkan Zain pun malah, saya bersedia dan terbuka untuk bersemuka jika dia mahu mendapatkan penjelasan berhubung gosip ini. “Hakikatnya, hubungan saya dengan Che Ta pada masa ini hanya atas nama kerja dan profesional. Tiada apa-apa yang serius antara kami,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis. Shah berkata demikian sebagai respons kepada desas-desus terbaharu yang mendakwa dia mempunyai hubungan istimewa dengan Rozita sejak terlibat dalam penggambaran drama Kiah Pekasam dua bulan lalu sehingga menimbulkan perasaan cemburu kepada Zain.
Selain drama bersiri itu, ketiga-tiga mereka digandingkan bersama beberapa minggu lalu dalam telefilem Anak Ikan arahan Rashid Sibir untuk siaran Astro di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson, Negeri Sembilan. Zain dilaporkan telah mengirimkan puluhan bunga ros dan patung beruang ke bilik penginapan Rozita di hotel berkenaan bagi memujuk hati wanita itu yang dikatakan sedang merajuk. Dalam pada itu Shah tidak menolak jika ditakdirkan hubungannya menjadi lebih rapat dengan Rozita pada masa akan datang kerana dia menyenangi sikap wanita berusia 39 tahun itu. “Setakat ini belum ada apa-apa yang serius antara saya dan Che Ta. Kami memang rapat dan tidak dinafikan banyak mata melihat kami bergurau serta berbual ketika di lokasi. “Namun seperti dinyatakan tadi, ia hanya berlandaskan hubungan profesional. Saya tidak tahu pula pada masa akan datang hubungan kami menjadi lebih intim? “Apa-apa pun selepas ini saya perlu lebih relaks dan berpada-pada dalam tindak-tanduk yang akan mengundang perasaan kurang senang kepada segelintir pihak,” jelasnya yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri Kiah Spy di Perlis.
Sementara itu, Zain yang dihubungi enggan mengulas mengenai dakwaan kononnya dia terasa hati dengan kemesraan dua pelakon itu sehingga bertindak membelikan puluhan kuntum bunga ros bagi memujuk hati Rozita. “Saya tidak mahu komen mengenai gosip itu. Sejak nama saya dikaitkan dengan Che Ta, macam-macam cerita timbul dan akhirnya saya juga yang terkena kesannya. “Saya sudah penat bercerita dan menjawab perkara-perkara begini,” luahnya. Ditanya mengenai kemesraan Shah dan Rozita, Zain berkata, pada pengamatannya mereka hanya rapat sebagai rakan artis di tempat kerja. “Kebetulan mereka berlakon bersama untuk tempoh yang lama. Mungkin sebab itu mereka menjadi rapat dan ia adalah perkara normal. “Saya tiada masalah mengenai gosip itu dan tidak fikir mereka mempunyai hubungan yang serius,” kongsinya yang terlibat dalam penggambaran drama bersiri Evolusi Kl Drift The Series.

Anak Di Kandungan Beri Tuah Buat Fasha Sandha

SUBANG JAYA: Pelakon Fasha Sandha menyifatkan kehadiran bayi sulung yang dikandungkannya sepanjang empat bulan setengah itu memberikan tuah dan rezeki buatnya dan keluarga. Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 28, berkata, walaupun dia sudah berehat daripada sebarang aktiviti lakonan, namun dia mendapat tawaran untuk menjadi duta kepada dua produk iaitu kecantikan dan barangan bayi. "Alhamdulillah, anak ini memberikan tuah kepada kami sekeluarga. Ada sahaja rezeki yang datang. Contohnya, saya sudah ditawarkan untuk menjadi duta kepada dua produk selepas bersalin nanti. "Malah, setiap perkara yang dilakukan mesti menjadi lebih mudah dan orang selalu mendahulukan saya daripada pelbagai segi apabila berada di luar," katanya. Tambah Fasha, tuah berkenaan turut dikongsi oleh suaminya Rizal Ashram Ramli atau Jejai, 36, yang mendapat tempat kedua dalam kejohanan Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia yang berlangsung pada 15 dan 16 November lalu. "Ini merupakan kemenangan yang bermakna sejak mendapat tempat ketiga pada tahun 2004 dan saya percaya kejayaannya itu dek kerana rezeki anak yang dikandungkan ini. "Selain itu, anak ini juga telah merapatkan hubungan silaturahim antara kedua-dua belah keluarga. Alhamdulillah," tuturnya yang enggan mendedahkan jantina anak itu. Sementara itu, Fasha berkata, selepas bersalin nanti, dia akan menjalani tempoh berpantang selama 100 hari. Dia juga percaya penjagaan yang rapi selepas bersalin amatlah penting untuk mendapatkan tubuh badan asal. "Saya lebih senang mengikut cara tradisional dalam berpantang, risau juga kalau berat badan naik," ujarnya.

Anuar suka Nora

“NORA DANISH memiliki ciri-ciri seorang wanita yang saya idamkan.” Kata-kata yang terlontar daripada mulut Anuar Zain membuatkan seluruh ruang di White Box, Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur terdiam seketika. Harus diakui bahawa pengumuman yang berbaur soal jodoh dan pilihan hati si jejaka kacak yang tidak dimamah usia itu merupakan penantian yang membuahkan hasil yang selama ini dinanti-nantikan banyak pihak. Bicara Anuar, 42, semasa sidang akhbar bersempena tayangan khas klip video dua single terbaharunya, Ajari Aku dan Sempurnakan Aku itu pantas mengaitkan dirinya dengan aktres comel, Nora Danish. “Selain memiliki skil lakonan yang bagus, Nora juga berjaya memberikan perasaan luar biasa sehingga menusuk jauh ke dalam lubuk jiwanya,” luah pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini. Tambahnya: “Nora amat tepat untuk dipilih sebagai seorang isteri. Saya suka melihat dia sejak daripada siri Puteri lagi dan dia nampak manja serta mempunyai raut wajah yang murni. “Jika wajahnya sudah kelihatan seperti seorang bidadari, pastinya dia memiliki sekeping hati yang suci.” Tidak menolak sekiranya takdirnya bertemu seorang wanita yang pernah menjadi suri di hati orang lain sebelumnya, kata Anuar lagi status seseorang bukan penghalang untuk lebih mengenali.
“Saya mahu mencari seorang wanita yang lebih kurang seperti Nora Danish. Saya terima jika jodoh saya dengan wanita yang berstatus sepertinya. Tapi, buat masa sekarang saya belum terfikir akan soal hati. “Kami bersama atas dasar kerja saja, peribadi atau personal belum terlintas. Saya juga tidak rasa ada cetusan perasaan sama antara kami berdua,” hurainya lanjut. Hal yang harus diakui sebenarnya, Anuar telah memilih Nora untuk membintangi klip video untuk dua single terbaharunya, Ajari Aku dan Sempurnakan Aku. Hubungan profesional antara dirinya dan Nora di set penggambaran kedua-dua video klip itu tegas Anuar, tidak melarat sehingga ke peringkat yang lebih mendalam. Tegas Anuar: “Setakat ini saya masih solo.” Pemilihan Nora hasil perbincangan dengan pengarah klip video tersebut, Ghaz Abu Bakar, kata Anuar dirasakan amat tepat. Ini memandangkan Nora merupakan aktes yang berupaya menjiwai watak sebagai suri hatinya dalam klip video itu dengan berkesan. “Naik bulu roma saya apabila bersama dengan Nora dalam set penggambaran yang sama. Dia seorang pelakon yang hebat dan boleh memberikan perasaan kepada kita. “Nora merupakan jenama yang ada kredibiliti. Kalau bekerja, dia tidak akan mencampuradukkan dengan hal peribadi. Biasanya kami akan meluangkan masa bersembang seketika sementara menantikan penggambaran bermula,” ulas Anuar lagi. Dua single Selain Nora Danish, Anuar turut memilih Datuk Rahim Razali yang mendukung peranan sebagai bapanya dalam kedua-dua klip video tersebut. “Banyak yang saya dapat belajar daripada mereka dan saya harapkan magis kali ini menjadi. Mereka adalah bintang dalam klip video ini,” luncur harapan Anuar.
Single Ajari Aku dan Sempurnakan Aku dipilih Anuar selepas beberapa single terdahulu daripada album Anuar Zain 2011 iaitu Ku Berjanji Kerna Cinta dan Cinta Tak Harus Memiliki dilancarkan dua tahun lalu. Anuar bagaimanapun turut meluahkan rasa kesal mengenai hasil kedua-dua single sebelum ini yang kurang memberikan impak kepadanya. “Single Ku Berjanji Kerna Cinta kurang mendapat sambutan. Sedih memang sedih tetapi saya tidak berputus asa. Lagu seterusnya (Cinta Tak Harus Memiliki) juga mempunyai banyak jiwa, tapi mungkin kurang pendedahan untuk lebih diterima ramai. “Peminat mendengar dan menilai sesebuah lagu yang dimainkan di radio, mereka juga ada hak untuk memilih. Saya tidak akan mengubah muzik dan nyanyian saya selama ini kerana saya fikir kita perlu memberikan kepelbagaian dengan cara sendiri,” getus pelantun lagu Sedetik Lebih itu. Konsert Pengumuman penting sebenarnya berhubung konsertnya pada 16 Februari tahun depan merupakan klimaks kepada pertemuan dengan penyanyi berbakat besar itu. Konsert mega Anuar Zain - Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari itu kata Anuar akan menterjemahkan dirinya di kaca mata peminat sepanjang 30 tahun berkarya. Bakal diiringi oleh pengarah muzik tersohor, Mac Chew, kembara konsert itu akan dipersembahkan dengan iringan 26 orang pemuzik berserta lagu-lagu hit sepanjang zaman. “Lagu-lagu akan dipetik daripada album saya sejak tahun 1998 dan ditukar sedikit susunan muziknya. Selain itu, akan dipaparkan gambar-gambar saya dari kecil hingga sekarang. “Pertama kali menjayakan konsert sendiri pastinya perasaan gemuruh itu ada, tapi tetap teruja memberikan yang terbaik kepada peminat yang menyokong saya selama ini,” katanya yang sebelum ini berdepan dengan masalah kewangan sehingga terpaksa menunggu hingga tiba detik ini. Konsert tersebut akan berlangsung pada 16 Februari 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails