Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Erra tolak, Lisa terima

MENGIKUT perancangan asal, pementasan teater Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sepatutnya sudah mula dipentaskan di Istana Budaya semalam sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55, tetapi ia terpaksa ditunda pada 14 September ini. Walau bagaimanapun, perjalanan untuk merealisasikan teater yang menceritakan tentang tokoh negarawan terkemuka yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 tidak berjalan seperti yang diharapkan. Bermula dengan keputusan Adlin Aman Ramlie yang menarik diri untuk mengarah teater berkenaan, terbaharu, aktres popular Erra Fazira yang sepatutnya memegang watak Dr. Siti Hasmah turut mengambil tindakan yang serupa. Jika Erma Fatima menggantikan peranan Adlin selaku pengarah, watak tokoh negarawan itu pula kini bakal dipegang oleh pelakon Lisa Surihani yang baru kali pertama beraksi di pentas teater. Ketika dihubungi Kosmo! semalam, isteri kepada Yusry Abdul Halim itu mengakui sangat terkejut dengan tawaran yang diterima, namun mengakui begitu teruja untuk terbabit dalam pementasan teater berkenaan. Kosmo!: Bila Lisa ditawarkan untuk membawakan watak sebagai Dr. Siti Hasmah? LISA: Saya telah dihubungi oleh pihak Istana Budaya. Saya telah diberitahu bahawa Kak Erma mahu saya membawakan watak ini setelah Erra terpaksa menolaknya kerana pertindihan jadual setelah tarikh teater ini ditunda. Secara peribadi saya berpendapat bahawa Erra merupakan pelakon yang paling sesuai dengan watak ini berdasarkan pengalaman yang dimilikinya. Saya percaya dia mampu memainkan peranan sebagai Dr. Siti Hasmah dengan berkesan. Apakah reaksi Lisa ketika mendapat tawaran tersebut? Sudah tentu saya sangat terkejut dan seperti tidak percaya kerana saya langsung tidak mempunyai pengalaman dalam pementasan teater. Pada mulanya saya ingat ditawarkan watak kecil sahaja, tetapi tidak sangka pula saya dikehendaki membawakan watak seorang individu yang memang menjadi idola saya selama ini. Namun, saya tidak mahu ramai yang salah sangka kerana saya tidaklah menggantikan Erra secara keseluruhan kerana saya sekadar membawakan watak Dr. Siti Hasmah semasa muda. Sebenarnya pementasan ini membabitkan dua babak iaitu perjalanan ketika Dr. Siti Hasmah muda (babak pertama) dan dewasa (babak kedua). Jadi saya sekadar terbabit dalam babak yang pertama sahaja, manakala babak kedua pula dilakonkan oleh pelakon lain. Kenapa Lisa bersetuju untuk beraksi dalam pementasan teater ini? Sebelum ini saya pernah ditawarkan berlakon teater, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana mempunyai komitmen lain. Secara kebetulan pula jadual saya sekarang tidak terlalu sibuk dan akhirnya saya bersetuju untuk terlibat sama. Namun, saya ada memberitahu pihak produksi bahawa sepanjang pementasan berlangsung dari 14 hingga 23 September nanti, ada dua hari yang saya tidak boleh terlibat kerana ada komitmen lain dan mereka bersetuju untuk menggantikan saya dengan pelakon lain. Pementasan ini dijadualkan bakal berlangsung dua minggu lagi, adakah Lisa yakin mampu membawakan watak yang dibawakan ini? Saya akui tempoh dua minggu memang sangat singkat untuk menjayakan sebuah pementasan teater, apatah lagi saya langsung tiada pengalaman. Saya anggap ia merupakan satu cabaran baharu yang berguna buat diri saya sebagai seorang pelakon. Tidak dinafikan beraksi di hadapan kamera dan penonton secara langsung memang sangat berbeza. Namun, saya percaya kerjasama dengan semua pihak yang terlibat serta tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman saya akan berusaha bersungguh-sungguh. Adakah Lisa akan menerima tawaran untuk berlakon teater lagi pada masa akan datang? Bagi saya itu semua bergantung kepada rezeki kerana pembabitan saya dalam teater ini juga berlaku pada saat-saat akhir. Selepas pementasan teater ini kalau ada tawaran lain yang diterima mungkin saya akan mempertimbangkannya.

Fouziah Gous berkecil hati

"SAYA sanggup lakukan apa sahaja untuk dia. Saya dengan dia memang sangat rapat. Malah, kami juga tidur bersama," akui Fouziah mengenai wasilah atau dalam erti kata lain, ikatan cinta terhadap ibu kesayangannya, . Sebagai seorang isteri yang baru kehilangan suami, Fouziah faham mengenai perasaan sunyi dan kehilangan yang membelenggu ibunya. Disebabkan itu, setelah bapanya meninggal dunia 11 Ogos lalu ketika umat Islam bakal menyambut Syawal lapan hari lagi, Fouziah berjanji akan menjaga ibunya, Sajadi Ibrahim, 58. "Saya seorang sahaja anak perempuan dalam keluarga. Apa yang berlaku saya kena jaga ibu. Walaupun saya sedih dengan kehilangan ayah, saya tidak akan sekali-kali menangis depan dia. Saya tak mahu dia tahu saya bersedih," ujar anak bongsu daripada lima beradik itu. Terpaksa menyambung penggambaran drama tiga hari yang lalu, menurut Fouziah, dia akan memastikan semua perkara yang melibatkan ibunya selesai sebelum keluar bekerja. Masih bersedih dengan kematian bapanya, Mohd. Gous Agulam Dastagir, 75, pelakon yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 11 Disember ini juga mengakui berasa kecil hati kerana cerita kematian bapanya ditulis tanpa kenyataan daripada mulutnya sendiri. "Saya minta maaf sebab tak dapat nak jawab panggilan telefon media masa ayah saya meninggal dunia. Bukan sengaja tetapi ketika itu saya benar-benar tidak berkesempatan. Malah, panggilan daripada teman-teman juga saya tidak angkat. "Saya juga kecil hati sebab tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan daripada mulut saya tetapi ada beberapa pihak yang menulis mengenai arwah yang mengatakan dia meninggal disebabkan penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sedangkan ayah saya meninggal bukan disebabkan kedua-dua penyakit itu tetapi disebabkan penyakit tua," rungkainya mengenai isu tersebut ketika ditemui selepas majlis pratonton episod pertama drama Trilogi Cinta 2 di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kuala Lumpur, kelmarin. Ingin menjernihkan situasi, jelas Fouziah, bapanya sememangnya sudah berusia iaitu 75 tahun. Badan bapanya semakin hari semakin lemah sehingga membuatkan lelaki kesayangannya itu lebih banyak terlantar. Begitupun, dia mengakui tidak menjangkakan kematian ayahnya pada hari itu kerana bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda. "Saya bersyukur kerana arwah meninggal pada bulan Ramadan dan proses pengebumian arwah sangat mudah dan cepat. Sebelum Zuhur dia meninggal tetapi selepas Asar dia sudah dikebumikan," ceritanya mengenai arwah bapanya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Puchong, Selangor. Cinta ahli korporat duda Masih belum reda dengan isu cintanya bersama seorang ahli korporat berstatus duda yang dikatakan bakal ke jenjang pelamin pada tahun ini, bekas pramugari itu mengakui, kadangkala berasa rimas tetapi dia tidak akan sekali-kali melatah dan marah dengan gosip yang melanda dirinya. "Saya faham industri hiburan memang macam ini. Saya tidak akan melatah dan marah. Cuma, cukuplah perihal ini (cerita kahwin) ditulis lagi. Ia telah menyebabkan saudara-mara saya berasa kecil hati dan terkejut. Tolonglah, jangan tulis benda yang tidak benar yang kita sendiri tidak cakap," ucapnya yang mengakui lega kerana gosip tersebut tidak menyebabkan keluarganya berpecah-belah. Sebelum ini, kecoh mengatakan Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) dalam Anugerah Skrin 2007 itu bakal mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli korporat pada bulan Jun lalu. Fouziah bagaimanapun menafikan gosip liar tersebut dengan menjelaskan dia sebenarnya terlalu sibuk dan terikat dengan penggambaran beberapa buah drama termasuk Trilogi Cinta 2 terbitan Suhan Movies. Membawakan watak seorang gadis bernama Nurjinah yang berkahwin dengan seorang duda bernama Razif lakonan Rosyam Nor dalam Trilogi Cinta 2, Fouziah turut ditebak persoalan bagaimana jika karakter yang dibawanya bakal menjadi kenyataan pada dirinya. Tenang dia menjawab. Katanya: "Saya cuma minta pada Allah agar dikurniakan seorang suami yang baik. Buat apa mencari masalah dengan berkahwin dengan lelaki yang kita tahu bakal mengundang masalah." Trilogi Cinta 2 Bercerita mengenai wataknya dalam drama yang mencatat rating sebanyak dua juta itu, jelas Fouziah, ketika musim pertama drama Trilogi Cinta, watak Nurjinah lebih lembut tetapi untuk musim kedua ini watak Nurjinah agak tegas. "Drama Trilogi Cinta musim kedua ini lebih mencabar kerana Nurjinah sudah berkahwin dan menjadi ibu. Di situ, dia perlu bermain dengan banyak emosi sebagai seorang isteri, ibu dan juga sebagai seorang kakak," ujarnya. Tiada pengalaman sebagai seorang isteri, jelas Fouziah, dia banyak mendapatkan tip daripada teman-teman yang sudah berumah tangga bagaimana melakonkan watak sebagai isteri. Lebih-lebih lagi sebagai seorang isteri yang sarat menyimpan perasaan dan suka bermain dengan emosi. Namun begitu, berlakon sebagai seorang ibu tidak mendatangkan masalah kepada Fouziah kerana dia mempunyai pengalaman menjaga anak-anak buahnya.

Dikenali tapi sukar cipta nama - Siti Saida

SEBELUM bergelar penyanyi, nama Siti Norsaida Tarudin, 36, sudahpun dikenali dalam dunia hiburan tempatan sebagai kakak kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza. Malah namanya terus menjadi sebutan apabila terpilih sebagai peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6). Biarpun tidak berjaya muncul sebagai juara namun kehadiran Saida dalam bidang seni terus mendapat liputan. Ditambah pula dengan kes perceraiannya dengan bekas suami Mohd. Ghazali Yahya Fikri pada 7 Oktober 2011 yang dinikahi pada 14 Disember 1996. Sebagai anak seni, Saida berharap namanya bakal menjulang seperti rakan artis lain bagi membuktikan yang dia juga berbakat. Melihat carta perkembangan seni Saida setakat ini, namanya masih belum berdiri seiring dengan rakan AF yang semusim dengannya. “Saya tidak kesal walaupun belum berjaya mencapai populariti seperti rakan lain tapi saya bersyukur kerana nama dikenali dalam bidang seni. “Biarpun nama saya biasa-biasa sahaja dalam bidang seni tapi Alhamdulillah kerana setakat ini saya sentiasa mendapat tawaran mengadakan persembahan. Kata orang, rezeki itu masih ada," katanya terus terang. Malah ibu kepada Siti Nuruunnyssa, 15, Anas, 13, Khalid, 9, dan Siti Nurul Mashitah, 6, mengakui yang dia tidak akan berputus asa kerana yakin tuahnya akan datang juga. Sebagai buah tangan pertama dalam bidang seni suara, Saida pernah tampil dengan album Apresiasi, gandingannya bersama adiknya, Sairah yang dihasilkan pada tahun 2010. “Album Apresiasi merupakan satu pengalaman untuk saya. Selepas album itu dilancarkan, saya tahu sekarang ini peminat mahukan kelainan. “Jadi untuk penampilan akan datang, saya pasti akan cari kelainan dari segi lagu bagi memastikan kehadiran saya diterima," katanya bersungguh. Tambah Saida, dalam mencari perubahan itu dia telah temui pasangan serasi iaitu komposer Mohd. Atlas yang mencipta lagu Cinta Kayangan untuknya. Katanya, dia amat teruja kerana diberi kesempatan oleh komposer berkenaan untuk merakam lagu tersebut bagi dimuatkan dalam album terbitan Global Records. “Single terbaru saya, Cinta Kayangan telah pun disiarkan di radio. Lagu itu dimuatkan dalam album yang turut menampilkan artis lain seperti Ayu One In A Million (OIAM) dan Isma (AF7). “Lagu berentak balada itu tidak ada kena mengena dengan diri saya. Waktu dapat lagu itu, semuanya sudah siap dan saya rakam lagu itu sebelum bulan puasa lepas," jelasnya. Tolak tawaran berlakon SEJAK berlakon teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an pada 2011, Saida akui dia mendapat banyak tawaran berlakon. Namun kebanyakan tawaran tersebut terpaksa ditolak kerana dia lebih mengutamakan keluarga. “Memang sekarang ini saya terlibat sepenuh masa dalam bidang seni suara biarpun masih lagi bekerja sebagai Pengurus Kewangan di Siti Nurhaliza Productions (SNP). “Saya bersyukur kerana aktiviti seni banyak berlaku pada hujung minggu, jadi ia tidak menganggu kerja-kerja di pejabat. Disebabkan terikat dengan kerja pejabat, saya terpaksa tolak tawaran berlakon," katanya terus terang. Selain itu, sebab lain mendorong Saida menolak tawaran berlakon adalah kerana anak-anak yang memerlukan bimbingannya. Kata Saida, keinginan untuk berlakon tidak pernah padam tapi bila mengenangkan anak-anak, impian itu dipendam. “Tunggulah bila sudah bersedia barulah saya fikir untuk berlakon lagi. Bukan apa, anak-anak ini manja sangat. Lagipun saya perlu ambil dan hantar mereka ke sekolah. “Kalau ada rezeki tak ke mana. Setakat ini saya lebih senang memberi perhatian pada keluarga. Bila anak-anak sudah pandai urus diri sendiri, barulah saya fikir kembali untuk berlakon atau tidak," katanya tanpa berselindung.

Anas (Mentor) Tutup Mulut Isu Curangi Kekasih

PETALING JAYA: Penyanyi Anas (Mentor 6) enggan mengulas tuduhan kononnya dia berlaku curang kepada kekasihnya yang dikenali lebih lima tahun lalu selepas dikatakan intim dengan seorang finalis program itu, Ana Syuhada Noor Asram. Anas atau nama sebenarnya Anas Ridzuan, 23, berkata, perkara tersebut sama ada benar atau tidak adalah urusan peribadinya dan dia berhak untuk tidak memberikan komen lanjut berhubung tuduhan tersebut. “Saya tidak mahu ulas lanjut mengenai perkara (curang) itu kerana ia adalah urusan peribadi saya. Saya mohon perkara itu dihormati,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Khamis. Mengenai desas-desus kononnya dia sedang menjalin hubungan dengan Ana Syuhada, Anas berkata, keakrabannya dengan bekas protege kepada Ramlah Ram itu hanya berlandaskan hubungan persahabatan. “Memang saya rapat dengan Ana sejak dalam Mentor lagi. Kami serasi dan dia banyak berkongsi ilmu mengenai aspek vokal tetapi hanya kawan biasa. “Buat masa ini, kami belum sampai ke tahap bercinta. Saya memang menyenangi Ana tetapi banyak perkara yang perlu saya kenali sebelum memikirkan soal bercinta,” hurainya.
Ditanya mengenai perkembangan kerjaya, Anas berkata, dia bakal mempromosikan lagu sulungnya berjudul Hanya Dirimu di corong-corong radio dalam masa terdekat. “Lagu berentak santai itu dicipta Audi Mok, Omar K dan mentor saya Faizal Tahir. Kini kami dalam proses pada peringkat akhir. Insya-Allah, selepas musim Hari Raya ini kami akan mula mempromosikan lagu tersebut. “Kerjaya nyanyian saya bertambah baik dan semakin dikenali ramai. Saya mendapat undangan nyanyian di merata tempat secara konsisten sekarang,” ceritanya. Anas kini sibuk dengan latihan teater berjudul Kawan-Kawan Yang Kita Suka (KKYKS) yang akan dipentaskan bermula 5 hingga 9 September depan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Teater arahan Fasyali Fadzly itu turut membariskan Karl Shafek, Fazleena Hishamuddin dan Ameera Ramly. Maklumat lanjut, layari laman Facebook dengan carian Teater Kawan-Kawan Yang Kita Suka dan Twitter #KawanKawanYangKitaSuka.

Zizan Nin Teruja Tinggal Di Rumah Baru

PETALING JAYA: Pelakon Zizan Nin memberitahu dia dan isterinya, Fazilah Hani Harun teruja kerana dapat berpindah ke rumah baru mereka di Ukay Perdana, Ampang dekat sini sejak awal Ramadan lalu. Zizan berkata, mereka yang sebelum ini menetap di Kota Damansara di sini masih lagi dalam proses menghias kediaman itu yang akan mengenakan konsep moden. "Akhirnya impian untuk memiliki kediaman impian kami berdua terlaksana dan kami cukup gembira akhirnya dapat berpindah ke rumah baru," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Zizan memberitahu walaupun mereka berdua gemarkan konsep moden tetapi isterinya menyerahkan kerja-kerja menghias rumah tersebut kepadanya. "Isteri sentiasa sibuk dengan kerjayanya dan saya pula jika tiada sebarang penggambaran akan menghabiskan masa untuk menghias rumah," katanya. Sementara itu, Zizan berkata, jika tiada aral melintang dia dan isteri ingin mengadakan rumah terbuka buat sahabat dan rakan media dalam masa terdekat ini. "Dulu rumah di Kota Damansara tidak begitu selesa untuk menjemput rakan-rakan datang ke rumah. Jadi tahun ini kami suami isteri berhasrat untuk menjemput sahabat handai dan rakan media dalam sebuah majlis rumah terbuka," ujarnya. Bercerita tentang perkembangan terbarunya Zizan berkata dia sedang meneliti beberapa tawaran lakonan dan menjangkakan akan kembali sibuk di lokasi penggambaran selepas Syawal.

Selesai Risik, Shahz Jaszle Mengaku Bakal Bertunang Selepas Raya

Masih ada yang peduli akan Shahz Jaszle? Okay, kami akan tulis juga kerana kami pasti ada lagi sekerat dua peminat pelakon lelaki muda popular ini. #LOL Kecoh juga apabila Shahz Jaszle secara tiba tiba di’katakan bakal bertunang dengan seorang gadis bernama Redzwani Puteri yang berakhir dengan majlis merisik. “Saya sudah bersedia untuk mengikat tali pertunangan dengan Puteri memandangkan kedua dua belah keluarga telah merestui hubungan kami,” ujar Shahz Jaszle. Menurut pelakon drama 3 Janji ini, beliau ingin melangsungkan majlis pertunangan dengan Redzwani Puteri secepat mungkin selepas sambutan Aidilfitri ini. Shahz Jaszle turut mengakui pada awalnya mereka merancang untuk berkahwin tahun ini juga tetapi keluarga pihak perempuan mahu mereka mengikut adat & peringkat. Ramai peminat sebenarnya menyarankan Shahz Jaszle untuk terus sahaja berkahwin kerana bakal isteri ini nampak sebagai satu pilihan yang bijak. “Sudah sampai seru untuk saya berkahwin. Yang sebenarnya saya tidak pernah merancang pun, malah hubungan yang terjalin antara kami sebenarnya telah lama kerana dia kawan baik saya. Setahun mengenalinya dan kami tidak pernah bercinta,” tambah Shahz Jaszle kepada Kosmo! baru baru ini.

Di Twitter: Abby Abadi Pertikai Kenyataan Hudud Dr Asri, Peminat Tegur

Oh kenapa’lah Abby Abadi sebegitu lantang di Twitter. Bukan sekali dua kenyataan selebriti ini menjadi bahan kontroversi dan kali ini melibatkan seorang bekas mufti. Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih di’kenali sebagai Dr MAZA berkongsi pandangan beliau tentang pelaksanaan hukum hudud menurut Islam. “Apakah satu keadilan jika dua orang yang terlibat dengan kecurian — seorang di’potong tangan sedangkan seorang lagi di’penjara kerana berbeza agama?” tulis Dr Asri. Kenyataan Dr Asri itu lantas di’sambut oleh Abby Abadi yang berbunyi “Maafkan saya. hudud itu ‘kan hukum Allah. Dr (Asri) belajar tinggi kenapa masih persoalkan?” Kenyataan balas Abby Abadi itu turut mendapat sokongan beberapa orang peminat beliau tetapi ramai yang menegur cara beliau mempertikai kenyataan seorang bekas mufti. Dr. Asri kemudian memberikan komen balas terhadap kenyataan Abby Abadi dengan mengatakan “Seseorang yang kembali kepada agama & juga di’jemput ceramah tidak bererti dia telah benar benar faham Islam. Teliti sebelum komen.”

Gambar: Farah Asyikin Kemalangan Jalan Raya, Pandu Kereta Sepupu

Berita yang baru sahaja kami terima. Penyanyi yang semakin aktif mendalami Islam, Farah Asyikin telah mengalami satu kemalangan jalan raya awal pagi tadi. Kejadian berlaku sekitar jam 8.00 pagi tadi di hadapan pejabat Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara apabila kereta di’pandu Farah Asyikin melanggar sebuah kereta orang awam. Kedua dua yang terlibat dalam kemalangan ini tidak mengalami sebarang kecederaan serius namun kereta Mitsubishi yang di’pandu Farah Asyikin agak teruk keadaan’nya. Sumber kami turut memberitahu yang kereta di’pandu Farah Asyikin ini merupakan milik sepupu beliau. Sebarang berita atau perkembangan akan kami laporkan segera.

Jimmy Shanley Hantar Dua Video Sebagai Bukti Kelakuan Buruk Isteri

Terlalu lama pula rasanya kes perbicaraan kes rumahtangga Jimmy Shanley & Nursuhaila Eliani dan laporan hari menyebut perkembangan terbaru kes ini. Jimmy Shanley telah menyerahkan dua salinan video kepada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebagai menyokong akan keterangan beliau tentang kelakuan Nursuhaila. Pelakon & pengacara ini mempertikai kelayakan Nursuhaila sebagai ibu selepas isteri’nya itu menuntut hak penjagaan anak perempuan mereka, Zahra Rania Shanley. Jimmy Shanley memberitahu dua rakaman video menggunakan iPad ini di’rakamkan masing masing pada Ogos 2010 dan 5 Disember 2010 di kediaman Nursuhaila. Harian Metro turut melaporkan yang Jimmy Shanley memberi keterangan di mahkamah yang Nursuhaila gemar berjudi pada waktu malam sehingga subuh & tidur sepanjang siang hari. Mahkamah menetapkan 6 Disember sebagai tarikh memutuskan kesahihan video selain menetapkan sama ada video itu boleh di’tayangkan secara terbuka atau mengandungi perkara sensitif.

Nurul Wahab Pilih Blog Untuk Kembali Menulis

Bukan mudah untuk menjadi seorang penulis, apatah lagi jika anda adalah seorang selebriti. Namun, berlainan pula bagi penyanyi yang juga bekas isteri Ajai iaitu Nurul Wahab. Selebriti ini telah memilih untuk kembali menulis setelah sekian lama dia meninggalkan bidang itu. Sebelum ini, Nurul pernah menulis buku biografi mengenai dirinya. Kini, Nurul kembali menulis dan memilih blog sebagai medium untuk dia mengekspresikan penulisannya. Menurut Murai, alasan untuk Nurul memilih blog sebagai medium adalah kerana kini ramai yang memilih media baru berbanding media konvensional. Buat masa kini, blog Nurul masih belum dilancarkan lagi. Namun ianya akan diumumkan dalam masa terdekat. Jadi, kepada anda yang gemar membaca nukilan di blog-blog tempatan, pelancaran blog Nurul adalah satu bonus untuk para peminat penyanyi yang popular dengan lagu “Kerana Terluka” ini.

Amyza Aznan Keguguran Kandungan 3 Minggu

Amyza Aznan sebentar tadi dalam laman Twitter rasminya telah memberitahu bahawa dia telah mengalami keguguran. Selebriti ini telah mengesahkan sendiri berita ini dan dia mengalami keguguran ketika kandungannya baru berusia 3 minggu. Dalam kenyataannya dilaman Twitter, Amyza menulis, “Takde rezeki. Perancangan Allah lebih baik. Aku redha. Miscarriage for my 3rd baby.” Amyza walau bagaimanapun kelihatan tenang menghadapi dugaan ini. Ia dapat dilihat melalui jawapan yang diberikan kepada peminatnya. “TQ Eddy. I ok so far. Nasib baru 3 week. If 3 month! Mau meroyan! hehhehhe.” Untuk pengetahuan, Amyza sudahpun mempunyai dua orang cahayamata bersama suaminya, Khairil Izhar.

Tauke Raja Lawak Bercerai, Hampir 4 Bulan Kahwin?

Tauke Raja Lawak atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria, 36, menjelaskan kepada pihak Sinar Harian, bahawa dia sudah melafazkan cerai talak satu ke atas bekas isterinya Meera, 23, pada 12 Ogos lalu. Menurut Tauke,“Sekarang saya sudah tiada apa-apa hubungan dengan dia dan memang saya sudah kembali solo sejak dua minggu yang lalu.” Tauke turut mengaku bahawa, rumah tangganya sebelum ini memang dilanda krisis agak besar dan pada bulan Julai yang lalu, bekas isterinya telah keluar dengan membawa semua pakaiannya. Untuk makluman, Meera merupakan perkahwinan ketiga Tauke. Hasil perkahwinan pertama dan kedua sebelum ini, Tauke memiliki enam orang cahaya mata. Tauke dan Meera dikatakan telah berkahwin pada bulan April yang lalu di Thailand.

Foto : Beego Berseronok Di Kelab Hiburan?

Sudah habis dihambat kontroversi, timbul lagi kontroversi baru yang melanda pelakon, Beego. Menerusi blog hiburan tempatan, Rotikaya, 2 keping foto menunjukkan Beego sedang berseronok telah tersebar dan turut bersama selebriti ini ialah beberapa orang wanita. Beego yang pernah membintangi drama bersiri Puteri ini masih lagi dalam perbicaraan kes khalwat, namun timbul pula isu terbaru yang OHBULAN! rasa tidak sepatutnya pada waktu ini. Menurut blog hiburan itu lagi, foto Beego sedang berseronok ini dikatakan telah dirakamkan pada minggu lepas, ketika semua orang masih lagi dalam ‘mood’ Aidilfitri. Imej terbaru Beego ini juga kelihatan sedikit ‘nakal’ dengan misai dan janggut serta anting-anting yang dapat dilihat di telinga kirinya.

Izara Aishah Cerewet

Izara Aishah merupakan nama yang tidak asing lagi di arena seni lakonan tanah air. Bakatnya mula dicungkil menerusi drama bersiri TV3 Vanila Coklat yang pernah ditayangkan untuk slot Lestary pada Disember tahun lalu. Selesai sahaja berlakon dalam drama bersiri Vanila Coklat, nama Izara Aishah terus meningkat naik dan kemunculannya mula mendapat perhatian semua pihak. Selain berlakon, Izara turut dipilih menjadi duta untuk produk terkenal Cosry Purple Label, dan yang terbaru duta makanan segera, Burger King. Izara memaklumkan kepada pihak Sinar Harian bahawa beliau merupakan seorang yang cerewat dalam bab untuk menerima tawaran sebagai duta, dan beliau hanya memilih produk tertentu sahaja. “Saya memang cerewet dalam bab ini dan hanya memilih produk yang boleh membantu karier saya. Selain itu, saya juga akan meneliti terlebih dahulu tugas saya sebagai duta dan pasaran sesebuah produk,” ujar Izara Aishah. Izara turut mengaku, dengan penglibatan beliau sebagai duta untuk sesuatu produk, secara tidak langsung ia dapat mendekatkan dirinya kepada peminat-peminat.

Foto : Lan ‘A To Z’ Dikurniakan Cahaya Mata

Tahniah OHBULAN! ucapkan pada Lan atau nama sebenarnya Norazlan Abd Aziz yang sekali lagi bergelar bapa apabila isterinya, Siti Nur Ain telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki semalam. Lan dan Ain telah bernikah pada 11 November tahun lepas di Kuala Kubu Baru, Selangor dan tidak sampai setahun, kedua mereka sudah pun dikurniakan cahayamata. Bagi Lan, ini adalah perkahwinan kedua untuknya. Berita gembira ini turut dikongsikan bersama oleh rakan artis, Zarul Umbrella menerusi blognya. Semoga pasangan ini akan bahagia hingga ke hujung hayat.

Foto : Fasha Sandha Beraya Bersama Mentua, Sangkal Dakwaan Tidak Rapat

Kalau kenyataan dari Fasha Sandha sendiri anda katakan hanya sekadar propa, disini terdapat beberapa keping gambar yang menunjukkan Fasha Sandha pulang berhari raya di rumah keluarga suaminya, Jejai. Memang sebelum ini terdapat bermacam-macam spekulasi yang tidak menarik mengenai hubungan Fasha Sandha bersama keluarga Jejai. Tapi biasalah, mulut orang siapa boleh tutup kan? 3 keping foto ini membuktikan Fasha bahagia bersama mentuanya. Menurut Beautifulnara, Fasha Sandha dan Jejai pulang berhari raya lewat kerana Jejai yang sibuk dengan perlumbaan kereta di China. Biar lambat macam mana pun, yang penting kita tidak lupakan ibu bapa kita kan?

Perompak ‘Beraya’ Di Rumah Imuda, Rugi RM7,000

Ketika semua orang sedang sibuk menyambut kemeriahan Aidilfitri di kampung, rumah pelakon dan pelawak, Imuda telah dimasuki perompak. Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mereka sekeluarga telah pun pulang ke kampung pada 17 Ogos lepas. Menerusi laporan Harian Metro hari ini, Imuda memberitahu, perompak tersebut bukan sahaja mengambil barang-barang berharga, malah kumpulan itu juga seolah-seolah datang ‘beraya’ apabila mereka sempat menjamah biskut raya dan air sirap. “Perompak itu sempat menjamah biskut raya dan minum air sirap dalam peti ais seolah-olah beraya dalam rumah kami pula. Malah, mereka sempat meletakkan tiga gelas air itu dalam sinki. Mereka lakukan itu kerana tahu kami tiada di rumah,” ujar Imuda. Antara barang-barang berharga yang telah dicuri dari rumah Imuda termasuklah komputer riba, dua telefon bimbit dan empat jam tangan berjenama. Dalam pada itu, Imuda yang juga merupakan seorang pelukis dan juga penyanyi ini memberitahu, isterinya juga pernah hampir diragut dikawasan tempat mereka tinggal namun penyamun tersebut gagal meragut kerana terkejut dengan jeritan jiran mereka.

Rabecca tak sabar beli baju bayi

PERKARA yang paling menggembirakan buat setiap wanita yang bergelar isteri sudah tentu apabila disahkan mengandung anak sulung. Nyata, perasaan itu kini dialami pelakon Rabecca Nur Al-Islam Ahmad apabila disahkan mengandung buat kali ketiga selepas dua kandungan terdahulunya gugur. Melayari bahtera rumah tangga bersama ahli perniagaan, Nor Azam Sulaiman sejak mengikat tali pernikahan pada 14 Januari tahun lepas, kini dia sedang mengandung bayi pertamanya dari darah dagingnya sendiri dan dia dijangka melahirkan bayi perempuan pada awal November ini. Pelakon filem Keramat yang lebih mesra dengan panggilan Becca itu kini sudah tidak sabar-sabar lagi untuk membeli kelengkapan bayinya itu, namun dia akur dengan pantang larang orang-orang tua supaya membeli kelengkapan ketika kandungan berusia lapan bulan ke atas. Disebabkan dia sudah ada pengalaman duka bayi terdahulu yang dikandungnya gugur ketika berusia beberapa minggu, Becca kini agak fobia dan mengamalkan pantang larang orang tua bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Ketika ditemui di rumahnya di Sering Ukay Perdana, luah Becca: “Saya kena tunggu kandungan berusia lapan bulan dahulu. Orang tua-tua cakap tak elok beli barangan bayi pada awal kandungan, saya ikut pesanan itu sebagai langkah berjaga-jaga.” Beritahunya yang kini mempunyai seorang anak berusia empat tahun iaitu Nor Adam Daniel, perasaan tidak sabar untuk membeli barang seperti katil, kereta sorong dan baju bayi itu amat luar biasa sekali dirasakannya. Rahsiakan nama anak Sungguhpun sudah mempunyai dua anak tiri, Nor Arif Qayyum, 16, dan Nor Khaiyrin Sofiya Nor Azam, 10, selain Adam, Becca bagaimanapun berjanji untuk memberikan kasih sayang yang sama rata tanpa mengira sama ada mereka anak kandungnya atau tidak. “Adam sendiri sekarang bukan main lagi apabila perut saya sudah kelihatan, dia selalu cium perut saya dan sangat cemburu dan marah apabila papanya (Nor Azam) buat perkara yang sama kerana bagi Adam dia seorang yang boleh cium baby,” katanya. Begitu juga dengan Nor Arif dan Nor Khaiyrin, kata Becca, mereka juga teruja untuk mendapat adik baharu dan sering mengajaknya untuk membeli barangan bayi. Tambah Becca, sepanjang mengandung, dia tidak mempunyai sebarang kesukaran yang ketara kecuali mual ketika kandungan berusia dua dan tiga bulan.
“Sekarang sudah okey, cuma sepanjang bulan puasa, saya tidak tahan lapar kerana bayi mesti menendang-nendang jika lapar,” jelasnya yang ingin merahsiakan nama yang dipilih kepada bayinya itu. Dia memberitahu lagi, perubahan dirinya ketika mengandung tidak ada yang sangat ketara melainkan kulitnya yang kelihatan lebih gelap dari kebiasaan. “Syukur saya tidak alami masalah macam sesetengah ibu mengandung lain, cuma kulit saya macam gelap sikit, orang tua cakap kalau mengandung bayi perempuan dia akan ambil seri ibunya,” kata yang pernah berlaku drama bersiri Dejavu Di Kinabalu. Becca turut memberitahu, anaknya Adam turut menunjukkan sikap yang agak lasak dari kebiasaan ketika dirinya disahkan mengandung. “Dia jadi kanak-kanak yang hiperaktif. Mungkin dia mahu perhatian saya dengan selalu melakukan perkara yang di luar jangkaan. Saya pernah dengar cerita kalau budak mahu dapat adik selalunya begitu, jadi saya akur dan tidak terlalu tegas dengan perangainya itu,” jelasnya. Beraya di Johor Selain mengandung anak sulung, Becca turut teruja untuk menyambut Aidilfitri, apabila tahun ini adalah giliran mereka sekeluarga beraya di kampung halaman Becca di Johor Bahru, Johor. Jika tahun lepas Becca sekeluarga telah pulang ke kampung keluarga suaminya di Sarawak, kali ini giliran beraya di Johor pula. “Kami sekeluarga pulang dua hari sebelum Aidilfitri selama seminggu,” ujarnya yang menggemari semua jenis masakan yang berasal dari kampung halamannya. Dia memberitahu, keseronokan dapat pulang ke Johor apabila dapat bertemu adik-beradiknya dan kemeriahan menyambut Aidilfitri cukup dirasai kerana dia mempunyai saudara yang rama di sana. “Saya ada lapan adik-beradik, itu tidak termasuk 15 orang anak buah lagi, memang meriah dan seronok sangat,” jelasnya yang sudah tentu menikmati lontong Johor sebagai juadah wajib hari raya.

Elfira mahu terbang tinggi

MERAIH populariti dan mempunyai pendapatan sendiri dalam usia yang masih mudah bukanlah tiket untuk tiga pelakon remaja yang juga adik-beradik Elfira, 18, Ezlisa, 16, dan Ezzrin Loy, 15, hidup berbeza daripada remaja seusia mereka. Sebaliknya anak-anak kepada Filzah Yusoff, 47, yang telah 14 tahun bergelar ibu tunggal itu masih menjalani kehidupan remaja normal cuma jadual waktu mereka sangat ketat dan harus disusun sebaik mungkin supaya tidak bertembung dengan jadual persekolahan. "Kami pergi sekolah, kelas tuisyen, kena buat kerja sekolah dan keluar dengan kawan-kawan macam orang lain juga tidak ada bezanya. "Kami juga kena marah kalau buat salah, tidak ada yang istimewa hanya kerana bergelar pelakon pada usia yang muda. Malah, ibu hanya beri belanja sekolah RM3 sehari walaupun kami ada pendapatan sendiri," balas Elfira yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik. Elfira yang sedang menuntut di peringkat diploma di Kolej Damansara Utama dalam pengkhususan kesenian hiburan memberitahu pelajaran tetap diutamakan meskipun kerjayanya semakin stabil. "Saya bukanlah jenis orang yang suka merancang sebaliknya hanya ikut rentak keadaan. Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk sambung belajar tetapi niat itu muncul seiring dengan peluang yang datang secara kebetulan. "Jadual saya semakin padat bila sambung belajar tetapi saya bukanlah jenis ulat buku dan akan ambil cuti daripada lakonan untuk ulang kaji pelajaran menjelang minggu peperiksaan sahaja," tutur Elfira dalam tawa yang juga duta produk Maybeline. Tegas pelakon telefilem popular Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu, meskipun jadual hariannya dipantau ibunya yang merangkap pengurus peribadinya, segala keputusan berhubung kerjaya ibunya tidak pernah masuk campur. "Ibu tidak pernah menghalang atau mengawal saya dalam bidang lakonan. Segala keputusan berhubung pemilihan watak diserahkan bulat-bulat kepada saya.
"Ibu cuma pesan jaga perangai dan jangan abaikan pelajaran walaupun sibuk berlakon, harus pandai bahagikan masa. Setakat hari ini Alhamdulillah, nama saya masih bersih. "Rasanya tidak ada apa cerita panas tentang saya yang boleh ditulis sebab saya bukannya jenis keluar malam. Rutin harian saya, bangun pagi pergi kuliah, pergi ke set penggambaran dan balik rumah, semuanya ditemani ibu sebab saya tidak boleh memandu," kata Elfira sambil dipersetujui oleh ibunya. Ezlisa mahu buka restoran Elfira dan dua adiknya mengaku selain minat, mereka terlibat dalam bidang lakonan kerana pulangan yang cukup lumayan. Bagaimanapun, ibunya langsung tidak memaksa mereka bertiga untuk bekerja sebaliknya keinginan untuk berlakon terbit daripada hati mereka sendiri. "Berlakon memang dapat kumpul duit, terpulang kepada seseorang pelakon itu menguruskan kewangan mereka. Macam saya mempunyai simpanan sendiri dan wang kegunaan harian dipantau ibu supaya saya tidak terlebih belanja. "Namun, jika ada barang berjenama mewah yang saya diingini, saya akan beli tetapi tidak banyak. Bagi saya barang jenama mewah perlu untuk tingkatkan nilai komersial seseorang terutamanya kerjaya saya sebagai aktres. "Bukan untuk bermegah-megah tetapi memiliki barangan mewah meletakkan saya pada suatu standard yang tersendiri, apa salahnya memuaskan hati sedikit daripada hasil titik peluh sendiri, cuma beli barang yang perlu sahaja," kata Elfira bersungguh-sungguh. Adik Elfira, Ezlisa pula berkata, dia lebih suka pergi ke sekolah dan kelas tuisyen daripada berada di set penggambaran kerana minatnya lebih terarah kepada bidang masakan daripada lakonan.
"Cita-cita saya untuk menjadi seorang tukang masak dan membuka restoran sendiri suatu hari nanti, malah, selepas tamat sekolah saya merancang untuk memasuki sekolah kulinari. "Lakonan tempat untuk saya mencari duit, sebenarnya antara kami bertiga saya yang paling tidak aktif berlakon. Saya hanya berlakon jika saya mahu membeli sesuatu seperti telefon bimbit atau pakaian," kata Ezlisa yang mengambil jurusan sains tulen di sekolah. Ezzrin berdikari Anak bongsu keluarga seni, Ezzrin Loy mula berlakon sejak berusia sembilan tahun dalam teater Ali Baba bersama kakaknya Elfira. Sungguhpun semakin popular, namun Ezzrin yang cukup manja dengan ibunya berkata perjalanan kehidupannya masih panjang, oleh itu dia sendiri tidak tahu tentang masa depannya sendiri. "Saya belum memutuskan untuk terus terlibat dalam lakonan atau terlibat dalam bidang lain apabila dewasa kelak. "Buat masa ini saya hanya mengikut perjalanan yang telah diaturkan. Saya suka berlakon kerana boleh beli barangan yang saya ingin tanpa minta duit ibu atau kakak, tetapi selalunya kakak akan marah jika saya beli barang yang bukan-bukan," ujar Ezzrin yang sehingga kini sudah membeli empat buah motosikal. Tutur ibu mereka, dalam tiga orang anak itu, anak bongsunya paling berdikari. Ibunya juga jarang-jarang menemani Ezzrin di lokasi penggambaran berbanding dua anak perempuannya itu. "Adik (panggilan untuk Ezzrin) campak di mana pun dia boleh hidup sebab itu saya tidak risau sangat. Cuma sebagai ibu saya tetap kawal jadual hariannya," kata ibunya.

Akui pernah tersilap - Gambit Saifullah

KONTROVERSI demi kontroversi membelenggu sebaik melangkah ke dunia seni. Bermula dengan sikap dirinya yang dikatakan sombong dan bongkak, dia juga dianggap sebagai seorang artis yang bermulut lepas. Pun begitu puncak segala kontroversi mengenai diri sang pelakon bernama Gambit Saifullah ini tentunya perihal video klip penyanyi Prema Yin, Marilah yang diarahkannya yang dikatakan berunsur lucah sehingga menimbulkan kemarahan khalayak. Sejak tercetusnya isu panas itu kira-kira dua tahun lalu, pelbagai pihak mengecam pelakon tersebut hingga akhirnya nama Gambit itu sendiri lenyap dari dunia seni. Biar sudah memohon maaf atas keterlanjuran itu, empunya badan sendiri juga seakan-akan menyepikan diri dan kemudian 'hilang' dari arus seni. Tetapi hari ini, dia kembali. Kembali dengan semangat dan tekad baru. "Ya! Saya mahu berubah. Berubah ke arah yang lebih baik, sudah tentu," katanya kepada Hits lewat pertemuan dengan aktor muda itu baru-baru ini. Mungkin semakin matang mengharungi kehidupan sebagai anak seni, Gambit yang kini berusia 27 tahun merendah diri memberitahu dia berharap diterima peminat seada dan selayak dirinya. "Saya hanya mahu menjadi diri saya. Cuma saya tak tahu nak jadi macam mana? Bila saya terlalu berterus terang, orang kata saya lantang. Tapi kalau saya tak suarakan apa yang terbuku, akan memakan diri saya pula. "Saya tidak mahu jadi hipokrit," tegasnya. Mengakui mungkin sikap dirinya itu tidak boleh diterima sesetengah pihak namun dalam masa yang sama Gambit juga berusaha untuk memperbetulkan pelbagai persepsi negatif terhadap dirinya. "Jujur dan berterus terang. Itu adalah saya. Saya tak ada niat jahat. Bagi saya setiap orang ada tanggungjawab terhadap apa yang dilakukan," katanya. Sebab itu tegasnya, biar bergelar pelakon, dia tidak mengejar glamor dan kemasyhuran sebaliknya cuba memberikan yang terbaik untuk masyarakat, mahu berbuat sesuatu yang memberi impak kepada khalayak. Biarpun mengakui bahawa kedua-dua aspek itu perlu bagi seorang pelakon namun katanya, dia lebih mengimpikan kepuasan diri. "Kalau diberi pilihan, antara tawaran yang lumayan tetapi melakonkan perkara yang saya tidak suka, saya lebih rela bergaji rendah tetapi watak saya memberikan kepuasan kepada diri dan memberi impak kepada masyarakat," ujarnya. Menjadi lebih baik "Saya mahu orang melihat sisi baik saya. Malang sekali mereka melihat sebaliknya," kata Gambit atau nama sebenarnya Saifullah Rosli. Dia beranggapan mungkin dengan pelbagai isu panas yang mengaitkan dirinya, dia tidak menanganinya dengan berhemah menyebabkan banyak pihak yang salah faham. "Dulu saya mungkin rebel. Cakap direct. Malah saya akui ketika tercetusnya isu klip video itu adalah masa paling drastik dalam hidup saya. Ia kemuncak segala kontroversi yang melanda," katanya. Namun segala-galanya berubah selepas pulang dari mengerjakan umrah kira-kira dua tahun lepas. Katanya, banyak perkara yang diperoleh dalam pengembaraannya ke Tanah Suci itu. Malah dia menganggap ia satu perjalanan yang membuka hatinya kepada banyak perkara berkaitan kehidupan. "Perjalanan itu menyedarkan saya bahawa hidup kita bukan tentang materialistik semata-mata," katanya. Menegaskan bahawa dia seorang lelaki yang berpegang teguh pada prinsip, pengalaman yang dilalui sepanjang bergelar anak seni juga mematangkan diri. Dan pada ketika dia melalui saat-saat sukar dan keliru, ketika itulah juga tawaran berlakon datang mencurah-curah. "Saya kecewa, keliru dan gundah dengan segala kontroversi. Saya fikir, biar saya relaks dulu. Pada masa yang sama, saya pergi mengembara. Dari situ, saya kemudiannya menerbitkan program televisyen. "Saya beruntung dan bersyukur kerana bertemu dengan pasukan kerja yang betul yang membuatkan saya ingin terus berada dalam dunia ini. Mereka membuatkan saya kuat dan bersemangat," katanya. Kini lebih senang menumpukan perhatian kepada bidang penerbitan namun tegas Gambit, dia juga tidak melupakan bidang lakonan yang menjadi minatnya. "Saya mahu orang nampak apa yang saya buat dan dapat membawa masyarakat ke arah yang lebih baik tidak kira dari segi lakonan mahupun penerbitan," katanya lagi.

Debaran raya Asmidar

BAGI Asmidar, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini cukup bermakna dan berbeza buat dirinya. Ini kerana, tahun ini merupakan kali pertama dia beraya sebagai artis selepas menjuarai pertandingan nyanyian anjuran TV3, Vokal - Bukan Sekadar Rupa pada tahun lalu. Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad bukan setakat beraya bersama sanak saudara dan handai taulan tetapi juga para peminatnya. Untuk itu, dia juga tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka sempena Hari Lebaran seperti tahun-tahun sebelumnya pada tahun ini, cuma kali ini turut dirai bersama peminat. Justeru, kata penyanyi berusia 26 tahun ini, dia merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka pada minggu ketiga Aidilfitri nanti. Menariknya, penyanyi berasal dari Kuala Lumpur ini akan menyediakan sendiri masakan pada majlis tersebut. "Sebelum menjadi penyanyi pun saya dan keluarga saya sudah pernah mengadakan rumah terbuka sempena tibanya bulan Syawal. "Tetapi saya berasa berdebar-debar juga apabila sedang merancang untuk mengadakan rumah terbuka yang pertama selepas bergelar artis pada tahun ini. "Saya akan mengadakan majlis rumah terbuka bersama keluarga saya di rumah kami di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada minggu ketiga dalam bulan Syawal ini. "Kalau boleh saya mahu memasak sendiri menu pada majlis itu nanti. Kalau setakat masak murtabak saya tiada masalah," katanya kepada Hits baru-baru ini. Berniaga makanan Menurut Asmidar, dia tiada masalah untuk menyediakan juadah untuk majlis seperti rumah terbuka yang dianjurkannya itu. Ini kerana, dia sudah biasa berniaga makanan terutamanya setiap kali tibanya bulan Ramadan dan menjualnya dalam kuantiti yang agak besar. Bagaimanapun dia yang menggondol hadiah berupa wang tunai berjumlah RM50,000 selepas menjuarai Vokal itu bagaimanapun mengakui berdebar-debar untuk menanti kunjungan tetamu pada majlis rumah terbuka yang akan diadakannya itu kelak. Debaran Asmidar itu ada asasnya kerana dia belum pasti berapa ramai tetamu yang akan hadir pada majlis tersebut. "Saya memang sudah biasa memasak sendiri dan menjual murtabak di bazar Ramadan di Wangsa Maju pada hampir setiap tahun. Malah selain itu saya juga memasak roti canai dan membantu ibu saya menjualnya di Wangsa Maju pada setiap tahun dari pagi hingga tengah hari. "Bagaimanapun, menyediakan makanan dan menjualnya kepada orang ramai tidak sama dengan mengadakan rumah terbuka. "Saya kena bersedia dari sekarang dan harap makanan akan cukup sepanjang majlis itu diadakan nanti. Apa pun saya seronok kerana ini adalah cara saya beraya dengan semua orang termasuklah peminat saya," ujarnya. Malah penyanyi bersuara lantang yang menyanyikan lagu berjudul My Way dan Biar Sampai Ke Bintang pada final Vokal pada 25 Disember tahun lalu itu juga mengakui tidak malu untuk terus membantu ibu bapanya berniaga murtabak dan roti canai meskipun sudah bergelar artis.

Remy Ishak Tolak Tawaran Berlakon Untuk Pulih Emosi

PETALING JAYA: Pelakon kacak, Remy Ishak mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon gara-gara terbawa-bawa watak Budi menerusi filem terbarunya berjudul 29 Februari. Remy berkata, perkara itu terjadi selama sebulan selepas penggambaran tamat dan terpaksa berehat sepanjang tempoh itu bagi memulihkan emosi. "Saya tidak tahu mengapa watak Budi begitu memberi kesan kepada saya sehingga tidak mampu melepaskannya sehingga terbawa-bawa ke alam realiti saya walaupun telah selesai menjalani penggambaran. "Bagaimanapun perkara tersebut hanya berlarutan selama sebulan dan ia kembali seperti sedia kala selepas itu," ujarnya ketika ditemui semasa pra-tonton filem terbitan KRU Studios itu di sini pada malam Selasa. Tambah Remy, kejadian mungkin berlaku kerana semasa penggambaran dia sentiasa berperang dengan watak tersebut yang memerlukan dia menukar 'mood' lakonan beberapa kali dalam sehari mengikut perjalanan cerita yang berubah mengikut tahun. "Sebagai contoh, pada waktu pagi saya perlu berlakon untuk watak ketika zaman 1950-an, sebelah tengah hari untuk watak tahun 2012 manakala pada waktu petang pula kembali ke era 1970-an. "Ia kelihatan mudah pada orang lain tetapi realitinya ia sukar kerana saya perlu bijak membezakan gaya dan cara mengikut zaman-zaman tertentu," katanya. Dalam pada itu, Remy tidak menafikan berlakon dalam filem arahan Edry Abdul Halim itu turut memberikan pengalaman berbeza kepadanya sebagai seorang pelakon.
Menurut Remy, walaupun telah bergelar sebagai pelakon untuk beberapa tahun dia mendapati masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan menerusi 29 Februaribanyak pengetahuan telah dikutip. "Selepas mengharungi watak Budi yang penuh dengan karakter berbeza mengikut zaman, saya lebih yakin dengan teknik menjiwai sesuatu watak yang diberikan. "Tambahan pula saya perlu menyanyi dalam filem ini dan ia menambah lagi keyakinan diri saya sebagai seorang pelakon kerana ia bukan mudah untuk dilakukan," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai gandingannya dalam filem tersebut iaitu Jojo Goh, Remy memberitahu kagum dengan pelakon berbangsa Cina itu kerana dia sangat profesional ketika berada di set penggambaran. "Saya kagum dengannya kerana walaupun telah banyak pengalaman bergelar sebagai pelakon dia telah merendah diri bertanya tentang perkara yang dia tidak pasti. "Malah dia tidak lokek berkongsi pengalamannya yang pernah berlakon dalam produksi filem di Hong Kong sebelum ini," katanya. Selain Remy dan Jojo, 29 Februari turut dilakonkan oleh Izzue Islam, Fizz Fairuz, Dian P. Ramlee, Muniff dan Namron. Ia bakal ditayangkan kepada umum bermula 30 Ogos ini dalam tiga format berbeza iaitu 3D, 2D dan 35mm secara serentak di 79 buah pawagam di seluruh negara.

Norish Tidak Dicemuh Kerana Kontroversi Anak Keempat

PETALING JAYA: Pelakon Norish Karman berkata pendedahan mengenai status bayi lelakinya yang dikatakan anak luar nikah di sebuah akhbar harian pada minggu lalu tidak mengundang cemuhan masyarakat. Norish atau nama sebenarnya Nor’Asikin Karman, 38, berkata, dia mendapat sokongan peminat sejak pendedahan secara terbuka mengenai anak keempat tersebut iaitu Muhammad Haq Lutfie Alexander (Haq) yang berusia 11 bulan. “Tiada cemuhan atau penghinaan daripada peminat dan masyarakat yang saya terima sejak pendedahan (mengenai bayi lelaki) di akhbar baru-baru ini. “Sebaliknya, peminat memahami kesulitan yang saya hadapi dan menyatakan sokongan, kasih sayang dan perangsang di laman Facebook kepada saya dan keluarga,” katanya yang melahirkan anak itu pada 24 September tahun lalu. Aktres dari Singapura itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya program Wanita Hari Ini di perkarangan Sri Pentas TV3, Bandar Utama di sini, petang Rabu. Norish berkata, dia juga tidak kesal atau terkilan apabila gambar-gambar dan tuduhan berkenaan tersebar di Internet sejak beberapa bulan lalu. “Tiada apa yang perlu saya kesalkan apabila cerita itu timbul dan diperkatakan secara meluas. Saya terimanya dengan reda kerana ini adalah ketentuan Allah. “Orang yang tidak tahu apa-apa lebih baik jangan buka mulut dan menyebarkan cerita yang mereka tidak tahu kesahihannya,” katanya. Ditanya mengenai tindakannya berdiam diri seperti mahu melarikan diri sebelum ini, Norish berkata, dia tidak berniat untuk mengelak tetapi menunggu waktu terbaik untuk membuka mulut. “Pada asalnya saya mahu berkongsi mengenai kemunculan Haq dalam keluarga kami pada sambutan hari lahirnya yang pertama pada September depan. Apabila cerita itu timbul awal dan tersebar saya terpaksa hadapinya dengan tenang, bijak dan matang. “Jujurnya, saya malas hendak layan dan merunsingkan fikiran. Saya terima kontroversi ini sebagai takdir yang membuatkan saya lebih popular biarpun secara negatif,” katanya. Mengenai zuriat itu, Norish berkata dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang tidak banyak ragam serta dilimpahi kasih sayang keluarga di sebalik cerita-cerita negatif yang timbul. Terbaru, pelakon filem Sayang Salmah ini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang Psikologi dan Sains Sosial di sebuah institusi yang dirahsiakan, selain tumpuan pada kerjaya lakonan, nyanyian dan penceramah motivasi. Norish turut memiliki tiga anak hasil pernikahan pertamanya iaitu Muhd. Haqiem Armany, 13, Muhd Hardy Amieran, 9 dan Nur Hanyz Amanda, 8.

Bunga-bunga cinta - Misha

STATUS selebriti yang dipegangnya hampir sedekad tidak pernah mengaburi mata wanita ini untuk hidup di dalam dunia angan-angan. Cukup matang melontarkan setiap pendapat, bagi ibu angkat kepada Muhammad Adam Emir berusia enam dia percaya definasi kehidupan itu sentiasa berubah. Sudahpun mengikat tali pertunangan dengan seorang juruterbang, Firos Ezzwan Rossly, 30, menurut Misha Omar,30, dia kini sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baru kehidupannya. Menyentuh soal perkahwinan, Misha memberitahu masih belum ada tarikh pasti bila dia dan si jantung hati akan disatukan. Bagaimanapun dia berjanji apabila semuanya sudah di tetapkan perkongsian berita gembira ini pasti dikhabarkan kepada seluruh peminatnya. “Semuanya masih kabur lagi (tarikh kahwin). “Bagaimanapun saya dan Firos sudah membuat perancangan untuk menyelesaikan semuanya pada tahun ini juga," jelasnya ketika ditanya tarikh perkahwinan. Berkongsi impian tema perkahwinannya, bagi Misha dia bukanlah seorang yang terlalu taksub untuk mengadakan perkahwinan secara besar-besaran. Cukuplah sekadar sederhana tetapi amat bermakna buat dirinya dan keluarga. ‘Kalau boleh saya nak buat secara sederhana sahaja. “Rasanya tidak perlu sebuah majlis yang besar, ini kerana perkongsian hari bahagia ini lebih penting dengan kehadiran orang tersayang dan doa mereka semua," katanya. Membuktikan dia sudah mampu menjadi seorang ibu yang baik selama enam tahun lamanya, menurut Misha debaran menjadi isteri itu sebenarnya sudah terasa sejak awal lagi. Namun bagi wanita matang ini tiada apa yang perlu dirisaukan kerana ini adalah satu proses normal untuk setiap wanita yang akan melangkah ke alam rumah tangga. “Memandangkan tahun depan merupakan kali pertama kami akan menyambut lebaran sebagai suami isteri, saya akan menyambutnya di rumah belah mertua dahulu. ‘Perasaan takut itu mesti ada, namun sebagai seorang wanita saya pasti ia merupakan suatu proses yang normal untuk memulakan satu kehidupan baru," katanya. Bercerita mengenai keluarga yang bakal dibina, Misha memberitahu sudah menjadi impiannya untuk mempunyai sebuah keluarga yang besar. Selain sebagai penyambung zuriat, Misha dan Firos juga tidak mempunyai masalah untuk mengambil lebih ramai anak angkat di dalam memeriahkan keluarganya. “Kami berdua memang suka untuk mempunyai sebuah keluarga yang besar. “Dan pada masa hadapan rasanya tidak ada masalah untuk kami berdua meneruskan usaha untuk mengambil anak angkat juga," katanya. Kerjaya Bersyukur dengan segala kurniaan, bagi Misha sokongan yang akan diberikan bakal suaminya memberi satu sebab untuk dia terus berjuang di dalam dunia seni. Lantaran dari itu Misha turut ingin satu berkongsi berita gembira dengan peminatnya. “Saya bukan menghilang cuma sibuk dengan beberapa urusan. “Dan hujung tahun ini mungkin saya akan muncul dengan album terbaru yang juga album keempat saya," katanya. Tidak dilupakan kerjaya lakonannya, secara jujurnya Misha memberitahu dia memang sudah lama jatuh cinta dengan bidang lakonan. Dan kini masih lagi belajar di dalam memantapkan mutu lakonannya. “Saya memang suka berlakon, dan harapan saya kini adalah untuk terus memperbaiki mutu lakonan saya. “Saya tahu selama beberapa tahun dikenali sebagai pelakon ada yang masih kurang berpuas hari dengan lakonan saya, namun akan saya pastikan ia akan terus dimantapkan demi kesinambungan kerjaya ini," katanya.

Soal kahwin beri tekanan - Aliff Aziz dan Anne

PERKENALAN tanpa diduga menyatukan mereka sebagai pasangan kekasih, sedar tidak sedar sudah lapan bulan kini mereka menyemai kasih bersama. Tidak menolak untuk meneruskan episod bahagia ini ke jinjang pelamin suatu hari nanti bagi Aliff Aziz, 21 dan Anne Ngasri, 28 biarlah perjanjian suci itu tidak terlalu di hebahkan dahulu kerana takut memberi tekanan buat mereka. Biarlah cinta yang bersemi berjalan seadanya mengikut rentak dan melodi yang sepatutnya, bukan untuk terlalu dipaksa. Aliff Aziz Ikhlas Mula di himpit kontroversi sejak hubungan mereka di sahkan, bagi Aliff niatnya hanya satu iaitu untuk berlaku jujur dengan para peminatnya. Walaupun menerima pelbagai khabar menyakitkan namun Aliff percaya cintanya terhadap ibu tunggal itu ikhlas. "Jujur saya katakan saya ikhlas dalam hubungan ini. "Namun saya percaya bukan mudah untuk puaskan hati semua orang. Bagi mereka yang tidak menyokong hubungan ini saya tidak mampu lakukan apa-apa selain meminta mereka berhenti berbicara buruk mengenai kami," katanya ketika menghadiri sesi fotografi di Studio Utusan Malaysia baru-baru ini. Menyentuh soal umur yang jauh lebih muda dari pasangannya, bagi Aliff kematangan tidak seharusnya diukur melalui angka. Menurut jejaka yang berasal dari Singpaura ini melewati pelbagai peristiwa perit di dalam hidupnya sedikit sebanyak mengajarnya untuk lebih menghargai apa yang terbentang di hadapannya. "Soal umur memang saya akui kami jauh berbeza, namun itu tidak pernah merunsingkan kami sebenarnya. "Bagi saya hubungan ini seimbang, Saya punyai kelemahan dan Anne membantu saya mengatasi, begitu juga sebaliknya. Sepertinya kami melengkapi kekurangan masing-masing," katanya yang kini sedang sibuk menyiapkan drama bertajuk Tiara bersama penyanyi Adira. Lupakan hukuman lampau Norma manusia biasa, sesiapa sahaja pasti akan melakukan kesalahan. Menurut Aliff dia pernah khilaf sebelum ini namun itu bukan bermakna dia tidak layak untuk mendampingi wanita seperti Anne. "Saya pernah buat silap dan ingin saya katakan disini itu bukan diri saya lagi. "Perubahan yang berlaku ke atas diri saya ini banyak dibantu Anne dan masa juga," kata penyanyi lagu Sayang-sayang. Melangkah ke dalam industri dengan bantuan orang paling penting di dalam hidupnya, Aliff memberitahu ibunya tidak pernah membantah hubungan yang terjalin ini. "Saya pernah membawa ummi bertemu dengan bekas teman wanita saya sebelum ini, dan nyata agak sukar untuk mendapat kepercayaannya. Ummi seperti tidak memberi sepenuh restu. "Bagaimanapun apabila dia (ummi) bertemu dengan Anne, seperti terdapat kesinambungan di dalam hubungan itu. Saya sangat yakin ummi tidak mempunyai masalah untuk menerima Anne," katanya yang memanggil Anne dengan gelaran "sayang". Sedia tahu status yang dipegang wanita yang dicintainya ini, bagi Aliff umur dan status tidak pernah menjadi penghalang buat dirinya untuk meneruskan hubungan yang semakin mekar ini. Rapat dengan ketiga-tiga anak teman wanitanya ini menurut Aliff kehadiran Abdul Warits Abdul Wafi, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazhakah Afroza, 1, seperti memberi satu lagi sebab untuk dia meneruskan hubungan ini. "Ia sesuatu yang sangat indah untuk melihat kami semua keluar bersama seperti sebuah keluarga. "Soal terlalu awal tidak pernah menjadi masalah untuk saya memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah ini kerana saya selesa dengan mereka," katanya yakin. Semakin ligat mencipta nama di dalam bidang lakonan, menurut Aliff sebagai orang baru dia mahu mencuba segala peluang yang di bentangkan. Bukan terlalu taksub mengejar populariti baginya ini merupakan antara laluan untuk dirinya mengembangkan bakat yang dimilikinya. "Memandangkan kini banyak masa saya di Malaysia jadi saya ambil peluang yang datang. "Bagaimanapun tumpuan utama saya masih lagi di dalam bidang nyanyian, dan di dalam mengimbangi hala tuju karier nyanyian, saya mengidamkan sebuah album yang lebih matang pada masa hadapan," katanya yang popular kini dengan lagu Jangan Ganggu Pacar Ku. Anne Ngasri tak serik Tidak memilih untuk terus meratapi episod sedih di dalam hidupnya bagi Anne ketentuan yang telah berlaku ini merupakan antara dugaan Allah buat hambanya. Menemui cinta baru disaat hati masih lagi berbelah bahagi mencari kebahagiaan bagi Anne dia pasti Aliff merupakan lelaki yang jujur dengan keputusannya. "Saya tidak pernah serik dengan apa yang berlaku. Bagi saya Allah sudah merencanakan sesuatu untuk saya. "Dan kehadiran Aliff juga merupakan antara sebahagian darinya," katanya manis tersenyum. Mempunyai wajah yang tenang, janda kepada tiga anak ini memberitahu, walaupun hubungan ini dilihat berlaku terlalu pantas, namun tiada siapa yang tahu isi sebenar hatinya. "Saya pernah mengalami kegagalan rumah tangga. Secara jujurnya perasaan untuk mempercayai lelaki itu masih lagi menjadi isu besar buat saya. "Namun melihat keluarga yang terus memberi sokongan buat hubungan ini serta Aliff sendiri yang bersungguh-sungguh membuatkan saya percaya akan keikhlasannya," katanya sambil mengerling manja ke arah Aliff.

Nadiya Nissa Terpaksa Cari Pembantu Rumah

PETALING JAYA: Pelakon Nadiya Nissa sedang mencari pembantu rumah untuk menguruskan hal rumah tangganya berikutan kesibukannya dengan pelbagai tawaran berlakon. Nadiya, 27, berkata, sebelum ini dia menguruskan sendiri hal keluarga tetapi kerana jadual kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia dan suami iaitu Saiful Razman Mohd Kassim mengambil keputusan untuk mencari pembantu. "Kalau ikutkan hati memang tidak mahu mengambil pembantu rumah kerana lebih seronok menguruskan sendiri rumah tangga tanpa bantuan sesiapa tetapi tuntutan kerjaya saya yang tidak menentu membuat saya dan suami membuat keputusan ini. "Tapi buat masa sekarang kami masih mencari dan belum berjumpa dengan orang yang sesuai," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Nadiya, keputusannya untuk mengambil pembantu rumah bukan bererti dia ingin melepaskan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada Omar Saiful Razman yang kini berusia setahun tetapi sebagai meringankan bebannya yang sentiasa berada di luar. "Hanya akan ada masa-masa tertentu saya sibuk di lokasi dan bukannya selalu tetapi apabila tidak sibuk saya sendiri akan menguruskan keperluan keluarga," ujarnya. Dalam pada itu, Nadiya berkata suaminya sentiasa menyokong perjalanan karier seninya selain banyak memberi kata-kata semangat untuk kejayaannya sebagai seorang pelakon. "Saya sentiasa ada suami yang banyak menyokong apa sahaja yang saya lakukan. Selain itu kami juga mempunyai banyak aktiviti bagi memastikan perkahwinan kami menjadi lebih meriah dan teratur. Sementara itu, Nadiya gementar dengan reaksi penonton terhadap lakonannya bersama Aaron Azizi dalam drama bersiri Adam dan Hawa yang sedang ditayangkan menerusi saluran Mustika HD (134). Ia disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 10 malam. Menurut Nadiya, drama bersiri yang mengambil masa selama lima bulan penggambaran itu cukup mencabar dirinya sebagai pelakon apatah lagi bekerja dengan pengarah Mohd Feroz Kadir yang berjaya memberikan dimensi baru buat dirinya. "Saya sudah terbiasa dengan arahan Osman Ali sebelum ini yang memberi kebebasan kepada pelakon dalam menentukan corak dan hala tuju lakonan sebaliknya dengan Feroz pula, timbul cabaran apabila saya perlu merealisasikan apa yang beliau inginkan. "Bagaimanapun sebagai pelakon itu adalah pengalaman yang baik untuk saya dalam mengembangkan potensi diri apabila bekerja dengan pelbagai pengarah berbeza," katanya. Selain Adam dan Hawa, Nadiya juga sedang sibuk di lokasi penggambaran filem Pengapit bersama Farid Kamil yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.

Akhil Hayy Mahu Tubuh Produksi Konsep Islam

PETALING JAYA: Pendakwah bebas Akhil Hayy merancang untuk menubuhkan sebuah produksi penerbitan drama, program atau filem berlandaskan ajaran Islam. Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai berkata, konsep tersebut bukan sahaja hanya dalam karya yang mahu diterbitkan itu sahaja sebaliknya perlu dipatuhi merangkumi seluruh pekerja dan krew produksi termasuklah pelakon. "Sudah tiba masanya untuk industri hiburan di negara ini berubah dan sebagai permulaan saya mahu menubuhkan produksi yang bekerja dan menghasilkan karya mengikut cara Islam. "Sebagai contoh, kerja-kerja penggambaran masih lagi boleh berjalan seperti biasa tetapi apabila sudah sampai waktu solat, kita berhenti sebentar. Begitu juga dengan pelakon-pelakon, mereka tidak perlu bersentuhan untuk sesebuah watak tetapi jika ia perlu, kita boleh fikirkan cara lain," katanya. Tambah Akhil, konsep sebegini juga mestilah menjadi syarat tetap bekerja dan ia sekali gus dapat mengajak semua umat Islam dalam produksi berkenaan untuk mengamalkan ajaran Islam yang sebenar seperti melakukan ibadat bersama-sama. "Perkara ini sebenarnya boleh dijalankan bagi mana-mana produksi sekali pun. Terpulang kepada pengarah. Tetapi sayang sekali kita sebenarnya pegangan atau pandangan yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup," ujarnya. Sementara itu, Akhil yang kini menjadi duta kepada syarikat Duta Marli Travel & Tours Sdn Bhd sedang sibuk menguruskan perniagaannya iaitu Akhil Network Sdn Bhd. Syarikat tersebut mengetengahkan produk-produk yang halal sebagai satu alternatif kepada semua khususnya umat Islam di negara ini. "Sudah lama syarikat ini ditubuhkan iaitu pada Julai 2010 dan ia merupakan sebuah syarikat perdagangan yang memasarkan produk wangian bebas alkohol dan kesihatan. "Dan produk pertama syarikat ini adalah “Akhil Perfume For Men”, “Akhil Perfume For Women” dan “Akhil Bio Foot Patch” iaitu pelekat kesihatan untuk kaki. "Alhamdulillah, produk-produk ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan kami sedang mencari stokis-stokis dan pengedar-pengedar bagi memasarkan produk Akhil Network ini," katanya.

Fasha Sandha Doa Kejayaan Suami Sertai Lumba Kereta

PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha tidak akan menghalang hobi suaminya Rizal Ashram Ramli untuk menyertai sebarang aktiviti perlumbaan kereta walaupun ia boleh membahayakan nyawanya. Fasha atau nama sebenarnya Fasha Sandha Hassan, 28, berkata, sebagai seorang isteri, dia akan sentiasa menjadi tulang belakang suami selain percaya doanya dan keluarga mampu melindungi Rizal daripada perkara-perkara yang tidak diingini. "Saya tidak pernah halang apa-apa yang dia mahu buat. Yang penting, saya akan menjadi tulang belakang untuk menyokongnya. Malah saya juga sanggup berpanas di atas trek litar. "Diakui, mana-mana isteri pun akan risau apabila suami berada dalam zon bahaya, tetapi saya percaya dengan kemampuannya dan berdoa kepada Allah supaya dia selamat dan berjaya. "Seronok juga jadi pengurus peribadi suami, asalkan dia bahagia, saya sanggup buat apa sahaja," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa. Rizal atau nama panggilannya, Jejai menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi dua perlumbaan di kejohanan Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia yang diadakan pada 18 dan 19 Ogos lalu.
Pemandu daripada pasukan Lamborghini Kuala Lumpur JH Italia itu menewaskan 18 pelumba lain dari seluruh Asia untuk memenangi perlumbaan yang diadakan di Ordos, China itu. Kejohanan berkenaan pertama kali diadakan di Asia iaitu di Asia Litar Antarabangsa Sepang Mei lalu. Dalam pada itu, Fasha yang turut menemani suaminya dalam kejohanan itu menganggap kemenangan Jejai adalah rezeki perkahwinan mereka dan anak dalam kandungan yang kini berusia kira-kira tiga bulan. "Alhamdulillah syukur, kemenangan ini juga hasil daripada doa daripada keluarga kami. "Kiranya, berbaloi juga kerana inilah kali pertama saya beraya di luar negara tanpa keluarga. "Tahun ini juga merupakan sambutan Aidilfitri yang paling seronok. Insya-Allah saya dan suami akan membuat majlis rumah terbuka bergabung dengan dua orang artis lagi," ujarnya. Tambah Fasha, dia dan suami akan berangkat ke Guandong China pada 15 September depan untuk kejohanan seterusnya. Dalam perkembangan lain, Fasha bersama barisan pelakon Kamal Adli, Scha AlYahya dan Fida Ibrahim bakal muncul menerusi drama Runtun Qalbu bermula 21 September depan di slot Zehra, TV3.

Afiq Muiz Tidak Terkilan Disindir Sekadar 'Artis Karpet Merah'

PETALING JAYA: Pelakon remaja, Afiq atau nama sebenarnya Muhamad Afiq Muiz Azman Shah sedikit pun tidak terkilan dengan sindiran yang diberikan sesetengah pihak terhadapnya sebagai “artis karpet merah” Afiq, 20, berkata, walaupun dia sering dilihat muncul di kebanyakan majlis hiburan serta acara-acara melibatkan karpet merah, ia tidak bermakna dia gagal untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang lakonan. "Walaupun saya sering dilihat kerap muncul untuk majlis-majlis hiburan, ia tidak bererti kerjaya lakonan saya tidak berjalan dengan baik. Sebenarnya banyak tawaran yang saya dapat. Orang sahaja tak tahu. "Tetapi cakap-cakap sedemikian tidaklah menggores hati saya kerana itu perkara biasa apabila bergelar seorang artis," ujarnya kepada mStar Online. Afiq berkata, dia tidak kisah jika orang tidak mengetahui mengenai perkembangan kerjaya seninya kerana apa yang penting dia sentiasa mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah. Dalam pada itu, Afiq menjelaskan dia gembira kerana kerjaya lakonannya semakin bertambah baik walaupun pada mulanya ia agak perlahan. Malah dia tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dilakukan sebaliknya sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri dan mutu lakonan. "Saya bukan sekadar ingin popular tetapi mahu serius dalam bidang lakonan tambahan pula saya masih muda dan banyak lagi ruang untuk saya memperbaiki kelemahan diri," katanya. Ditanya mengenai tawaran berlakon filem Afiq berkata, dia belum mempunyai ilmu yang cukup untuk muncul di layar perak tetapi meletakkan sasaran sehingga tahun hadapan untuk mengambil cabaran itu. "Saya belum bersedia untuk berlakon filem walaupun ada mendapat tawaran dan buat masa sekarang saya masih mengutip ilmu dengan berlakon telefilem dan drama bersiri bagi memantapkan mutu lakonan saya," katanya.

Sharifah Sofia gembira dahulukan anak

Melihat dari raut wajah pelakon kelahiran England, Sharifah Sofia ini yang ternyata berubah selepas hatinya terpanggil untuk berhijrah dan terus berhijab. Seperti rindu mahu melihat dia kembali di dalam dunia lakonan setelah filem terakhir "Berani Punya Budak" menjalani penggambaran sekitar tahun 2009. Langsung tidak merasakan sesuatu yang istimewa apabila memiliki raut wajah kacukan Inggeris- Melayu ini, Sharifah Sofia tetap menegaskan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga dan kehidupan sebagai isteri dan juga ibu kepada anak perempuan Sharifah Ariana Syed Ismail dan melupakan seketika bidang lakonan. Ikuti perkembangan terbarunya dalam temubual eksklusif bersama pelakon berjiwa kental ini! Sebelum ini anda pernah menyuarakan keinginan untuk membuka syarikat produksi sendiri dan membuat filem yang anda inginkan. Jadi, filem apa yang anda ingin lakukan jika diberi peluang? Itu soalan yang agak susah! Saya tidak mahu cuba membuat filem di dalam kuantiti yang banyak. Kita tengok sahaja ketika itu filem jenis apa yang sesuai. Saya sebenarnya sudah memiliki syarikat produksi sendiri tetapi banyak projek yang ditinggalkan separuh jalan kerana buat masa ini saya memang sibuk dengan jadual sebagai seorang suri rumah sepenuh masa. Tambahan pula, Arian semakin lasak. Saya perlukan masa untuk dia membesar. Apa perkembangan terbaru anda? Selain daripada apa yang saya sebutkan diatas iaitu menjalankan syarikat produksi sendiri saya turut baru bermula di dalam perniagaan sendiri. Saya kalau boleh tidak mahu bercerita lagi tapi saya bagi beberapa klu sahaja, kemungkinan jika diizinkan tuhan saya akan mula menjual produk untuk ibu dan bayi. Dimana akan ada label pakaian sendiri, buku masakan untuk kanak-kanak yang mana akan ada kandungan di dalam menyediakan resepi organik untuk bayi. Bayangkan diri anda jika bukan sebagai seorang pelakon? Seorang ibu! Maksud saya, terdapat banyak lagi pekerjaan yang saya boleh lakukan selain bergelar pelakon. Namun itu ketika saya muda, sekarang ini semuanya harus difikir untuk kebaikan Ariana. Rasanya saya memang bayangkan jika tidak berlakon menjadi seorang suri rumah sepenuh masa (Sambil tergelak) Filem yang menjadi pilihan pada tahun ini? "Marvel's The Avengers". Sebelum itu rasanya filem . "Transformers: Dark of the Moon". Saya tak berapa ingat kerana sekarang jarang dapat masa untuk pergi menonton filem. Terima kasih Sharifah Sofia kerana meluangkan masa ! Sama-sama dan gembira dapat bekongsi cerita bersama anda !

Fiffy cabar diri cuba watak liar

Pelakon remaja yang kian meningkat dewasa, Fiffy Natasya cabar diri untuk mencuba pelbagai watak dalam lakonannya termasuk watak liar dan hitam. Fiffy yang kini berusia 19 tahun telah bersetuju untuk menjayakan watak berkenaan dalam filem terbarunya, "Leftwings". "Memang orang cakap watak hitam banyak bawa kesan buruk kepada artis kerana takut orang label artis tertentu itu 'liar'." "Ya, saya memang takut orang kata saya liar, tapi pada masa sama, apa yang saya lakonkan itu hanya rekaan watak semata-mata. Sedangkan dalam realiti kehidupan saya sebenarnya orang biasa yang punya keluarga yang akan menegur jika saya membuat kesilapan," katanya yang dipetik daripada sebuah blog hiburan tempatan. Menurut Fiffy, filem "Leftwings" merupakan sebuah filem muzikal Rock yang penuh dengan pengajaran terutamanya kepada golongan remaja. Sementara itu, Fiffy menolak kontroversi untuk cepat mendapat populariti dengan mencetus kontroversi yang berbaur negatif. "Saya tidak akan mencari publisiti murahan. Tak kisahlah rekaan saya sendiri atau orang lain. Biar lambat naik asalkan hasil kerja saya diberkati," katanya yang tidak kisah untuk bermula dari bawah demi untuk membuktikan bahawa dia benar-benar berbakat. Filem "Leftwings" yang turut dibintangi oleh Aweera, Zouladeq, Wan Zaimie dan ramai lagi akan menemui penonton pada 30 Ogos ini.

Shahz Jaszle bakal bertunang?

Pelakon popular, Shahz Jaszle dikhabarkan bakal bertunang dengan seorang gadis bernama Redzwani Puteri. "Saya sudah bersedia untuk mengikat tali pertunangan dengan Puteri memandangkan kedua-dua belah pihak keluarga telah merestui hubungan kami," ujar Shahz Jaszle kepada Kosmo! baru-baru ini. Menurut pelakon berusia 24 tahun ini, dia ingin melangsungkan majlis pertunangannya secepat mungkin selepas Aidilfitri ini. Jelas pelakon drama "3 Janji", pada mulanya mereka telah merancang untuk berkahwin tahun ini juga tetapi keluarga pihak perempuan mahu mereka mengikut adat dengan bertunang dahulu. "Sudah sampai seru untuk saya berkahwin. Yang sebenarnya saya tidak pernah merancang pun, malah hubungan yang terjalin antara kami sebenarnya telah lama kerana dia kawan baik saya. Setahun mengenalinya dan kami tidak pernah bercinta," katanya.

Iqram Dinzly berubah bukan untuk sertai parti politik

Ramai artis tidak kira artis lelaki mahu pun artis wanita berhijrah kearah kebaikan, dan pelakon popular, Iqram Dinzly turut sama mengikut jejak langkah baik tersebut dan mengakui dia kini lebih tenang selepas mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Menurut Iqram, tujuannya untuk kembali ke jalan Allah S.W.T adalah untuk mendalami ilmu agama Islam dan menolak dakwaan yang mengatakan golongan artis yang berubah kearah kebaikan ini adalah kerana ingin menyertai parti politik. "Saya kurang senang dengan dakwaan setengah pihak yang mahu mendalami Islam dengan menyertai parti politi. Kalau betul nak pelajari Islam, pergilah ke sekolah pondok atau pun mengikuti majlis-majlis ilmu yang disediakan." "Terus-terang, saya tidaklah berubah sepenuhnya. Saya kini adalah lelaki yang mencari jawapan apa dan kenapa yang sering berbangkit mengenai Islam," katanya kepada sebuah portal hiburan tempatan. Pelakon berusia 30 tahun ini berkata, hatinya mula terbuka untuk mendekati Tuhan dan agama bermula dari ajakan rakan-rakannya. "Saya sudah banyak kali diajak rakan-rakan artis lain untuk menyertai kumpulan ini. Alhamdulillah, selepas menyertainya, saya merasakan perubahan pada diri saya dan saya rasa lebih tenang. "Saya akui, sebelum ini, saya seorang yang degil tetapi selepas mendalami ilmu Islam bersama ahli kumpulan ini, saya perasan diri saya mula berubah. Saya pun seronok apabila berjumpa ustaz-ustaz di sini kerana mereka semua sempoi. Terus-terang saya katakana persatuan ini tidak sama seperti tabligh," katanya. Iqram dan beberapa artis lain seperti Irma Hasmie, Yatt Hamzah, Siti Nurdiana dan Natasha Hudson telah menyertai kumpulan Fitrah yang ditubuhkan oleh beberapa orang artis lain yang mempunyai misi untuk belajar dan mendalami ilmu agama dengan lebih meluas.

Yusof Haslam: "Usah perbesar isu kemasukan artis asing"

Penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam tidak mahu isu kebanjiran artis asing terutamanya dari Singapura diperbesar-besarkan. Dipetik daripada Harian Metro, Yusof berkata, persaingan diantara artis tempatan dan luar perlu dilihat dari sudut positif dan tidak berat sebelah supaya ia tidak memberi kesan kepada industri seni negara. "Jika seseorang artis itu mempunyai bakat, dia tidak perlu takut. Bagi saya, jika mahu menidakkan kehadiran artis Singapura ke sini ia tidak adil." "Ini kerana orang Melayu kita dengan negara jiran itu tiada beza cuma dipisahkan atas factor sempadan politik," katanya yang mengulas laporan sebuah akhbar tempatan pada Khamis lalu mengenai isu kebanjiran artis luar di negara ini. Tambah Yusof lagi, hubungan artis tempatan dengan Singapura sudah lama terjalin sejak era Tan Sri P.Ramlee lagi, jadi dia tidak mahu isu ini terus diperbesarkan oleh segelintir pihak. "Saya berpesan jangan sedap mulut atau berfikiran tidak matang pada segelintir pihak yang membesarkan isu ini." "Setahu saya kebanyakan artis luar yang masuk ke negara ini mengikut prosedur, tetapi jika tiada permit, pihak berkenaan perlu mengambil tindakan," ujar Penerbit Skop Production Sdn Bhd. Sementara itu, pengarah dan juga penerbit Excellent Pictures Sdn Bhd, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, kemasukan artis asing adalah kerana faktor peluang dan permintaan daripada penerbit. "Ini sebenarnya menunjukkan penanda aras industri hiburan tempatan semakin maju sehingga memberi keyakinan kepada artis luar untuk mencuba nasib di negara ini," katanya.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails