Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Siti Saleha Lebih Selesa Tanpa Teman Lelaki

PETALlNG JAYA: Pelakon Siti Saleha lebih selesa dengan statusnya sebagai wanita solo kerana dia tidak perlu pening kepala memikirkan untuk mencari teman lelaki dalam masa terdekat ini. Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 23, berkata, perasaan itu timbul kerana sifat berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada lelaki yang telah dipupuk oleh keluarganya sejak kecil. "Rasanya saya boleh hidup tanpa kehadiran seseorang lelaki kerana saya bukan jenis yang terlalu bergantung kepada mereka. "Malah saya sebenarnya seorang yang sangat berdikari dalam banyak perkara," jelasnya ketika ditemui selepas majlis tayangan perdana filem Kerat 14 di sini pada Rabu. Saleha yang memegang watak Nurzara bergandingan dengan Aaron Aziz dalam filem arahan Arjin Uppal itu. Ia bakal ditayangkan pada 14 Februari depan.
Dalam pada itu, Saleha berkata, kenyataan tersebut bukan bererti di membenci golongan lelaki sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonannya yang sedang meningkat. Jelas Saleha, sebelum ini dia ada berkawan dengan beberapa lelaki namun hubungan itu tidak berakhir ke alam percintaan. "Kerjaya merupakan tumpuan saya ketika ini dan rasanya soal cinta itu boleh tunggu. Tambahan pula, tiada lelaki yang mahukan saya, sebab itu saya masih solo," ujarnya berjenaka. Sementara itu, Saleha melahirkan rasa teruja dengan filem pertamanya itu dan berharap ia akan mendapat sambutan ramai. "Ini adalah permulaan yang baik untuk saya pada 2013 dan banyak kejutan yang akan saya berikan untuk peminat tahun ini," katanya. Kerat 14 turut dibintangi oleh Zamarull Hisham, Arash Mohamad, Ali Arami, Fouziah Gous dan Arora Salwa.

'Instagram' Punca Hubungan Nora Danish & Qi Razali Heboh

AMPANG: Pelakon Nora Danish menjelaskan perbuatannya yang memuat naik gambar dia bersama pengacara Qi Razali menerusi laman sosial foto Instagram menjadi punca mereka digosipkan mempunyai hubungan intim. Kata Nora, 31, disebabkan Qi Razali atau nama sebenarnya Kushairi Mohammed Razali, 36, masih bujang, dia merasakan tidak salah untuk mengabadikan gambar-gambar mereka menerusi laman sosial tersebut tetapi sayang sekali ia menjadi sensasi. “Qi masih bujang dan begitu juga saya yang solo kembali. Semasa penggambaran filem Bencinta arahan Farid Kamil di Langkawi, saya mengambil peluang memasukkan gambar-gambar kami menerusi Instagram,” katanya kepada mStar Online pada pelancaran koleksi barang kemas Pandora keluaran Habib Jewels di sini pada Rabu. Nora diminta mengulas mengenai hubungannya dengan anggota kumpulan OAG itu yang masih diperkatakan umum. Tambah Nora, dia dan Qi sememangnya rapat tetapi hanya ketika penggambaran filem berkenaan sahaja.
Dalam pada itu Nora mengakui berasa pelik apabila sejak akhir-akhir ini dia sering dikaitkan dengan pelakon-pelakon lelaki yang pernah digandingkan dengannya seperti Adi Putra, Shaheizy Sam, Anuar Zain serta Qi sendiri. "Tidak lama lagi saya akan menjalani penggambaran drama cinta arahan Michael Ang dengan aktor Indonesia Randy Pangalila. Diharap tidak ada gosip yang berlaku antara kami,” katanya. Jelas Nora, dia agak kurang selesa dengan gosip-gosip seperti itu kerana perkara tersebut akan memberi kesan buruk apabila anaknya iaitu Putera Rayqal Ramli Rizal yang kini berusia empat tahun besar kelak. Katanya, tentu sekali Rayqal akan memikirkan sesuatu apabila membaca kisah-kisah yang kurang manis mengenai ibu sendiri. Dalam perkembangan lain Nora diberi tanggungjawab menggayakan koleksi terbaharu barang kemas Pandora bersama-sama artis seperti Marsha, Lisdawati dan Fauzi Nawawi serta Datuk Yasmin Yusoff sempena tarikh hari kekasih iaitu 14 Februari depan. "Pandora merupakan salah satu jenama barangan kemas kesukaan saya. Malah saya akan membeli setiap satu 'charm' di negara-negara yang telah saya kunjungi untuk dihiaskan pada gelang tangan saya. "Kiranya setiap 'charm' yang ada pada gelang saya mempunyai kisah dan kenangan yang tersendiri untuk diingati," ujarnya.

Fauzi Nawawi Rasa Bangga Dikaitkan Dengan Ramai Wanita

AMPANG: Sebagai seorang lelaki tulen, pelakon Fauzi Nawawi berkata adalah menjadi kebanggaannya apabila dia sering dikaitkan mempunyai hubungan ataupun skandal dengan ramai wanita. Menurut Fauzi, hal itu membuktikan lelaki sepertinya yang sudah mencecah usia 40 tahun serta mempunyai enam orang anak masih lagi “laris” dan mendapat perhatian "Ya... saya begitu berbangga apabila dikaitkan dengan ramai wanita walaupun saya sudah berkahwin dan mempunyai anak. "Walaupun saya agak bosan dengan kontroversi itu, ia bermakna sebagai seorang lelaki, saya sebenarnya masih lagi laku,” katanya kepada mStar Online semasa ditemui pada pelancaran koleksi barang kemas Pandora keluaran Habib Jewels di Ampang Point di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Fauzi sering dikaitkan dengan beberapa orang wanita termasuklah pelakon Ida Nerina serta Zarina An-Joulie dan pelbagai kontroversi lain yang dinafikannya. Isu mengenai pergaduhan isterinya iaitu pelakon Lisdawati dengan Rita Rudaini tujuh tahun lalu juga dipercayai berpunca apabila Lisda dikatakan cemburu dengan hubungan baik Fauzi dan aktres itu. Sementara itu ditanya benarkan Fauzi pernah mengurat Rita Rudaini seperti dakwaan tersebut sehingga membuatkan Rita enggan dia berada bersama di mana-mana set penggambaran drama, kata Fauzi, tuduhan itu tidak benar sama sekali. "Saya tak pernah kacau, bercinta mahupun menjalinkan hubungan cinta tiga segi dengan Rita semasa dia belum kahwin dulu. “Selepas insiden pergaduhan mereka (Rita dan Lisdawati), saya berkahwin dengan Lisda dan kami bahagia sehingga sekarang dan bagaimana pula dengan rumah tangga Rita?” soalnya.

Ning Baizura Selamat Lahirkan Bayi Lelaki

PETALING JAYA: Penyanyi Ning Baizura selamat melahirkan seorang bayi lelaki kira-kira pukul 3.06 pagi Khamis di sebuah hospital di ibu negara. Menurut pengurusnya, Aylwin Santiago, bayi seberat 3.5 kilogram itu diberi nama Ryan Sky Dalton dan kedua-dua mereka berada dalam keadaan sihat. "Ning bersalin di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan keadaan mereka kini baik. Ning sudah pun dibenarkan keluar dari hospital pagi ini (Khamis)," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis. Aylwin turut memberitahu kehadiran orang baru itu lebih bermakna apabila Ning, 37, melahirkan bayi tersebut pada hari ulang tahun perkahwinannya yang kelima. Bagaimanapun katanya, Ning hanya akan berkongsi gambar anaknya itu dengan peminat dalam masa dua minggu lagi. Turut berada di sisi Ning semasa beliau bersalin ialah ahli keluarganya dan juga suami. Ning dan Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 37, berkahwin pada 31 Januari 2008.

Mimifly (One Nation Emcees) Akan Jadi Penyanyi Solo

PETALING JAYA: Satu-satunya ahli wanita dalam kumpulan One Nation Emcees (ONE), Mimifly meletakkan sasaran dalam tempoh dua tahun untuk melangkah sebagai penyanyi solo. Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 27, berkata, dia sudah lama berhasrat untuk ke arah itu lebih-lebih lagi selepas merakamkan beberapa lagu untuk diperdengarkan kepada umum. "Saya ada merancang untuk menyanyi solo, dah macam-macam lagu dirakamkan. Konsep muziknya juga sangat berbeza daripada apa yang ditampilkan oleh ONE sekarang ini di mana ia berkonsepkan 'punkrock'. "Mungkin masanya masih belum sesuai. Dan saya memberikan tempoh sehingga dua tahun lagi, barulah Mimifly akan keluar dengan lagu-lagu solo," katanya. Bagaimanapun, tambah Mimifly, sekiranya perancangannya itu tidak menjadi, dia mungkin akan memuat naik lagu-lagu yang dirakamkan itu ke laman YouTube untuk tatapan para peminatnya.
Dalam pada itu, dia turut risau jika langkahnya akan mengganggu ahli-ahli kumpulannya iaitu Jojofly (Nur Hasan Balas) dan Zydee (Mohd Norzaidi Edris) daripada pelbagai sudut seperti karier dan peribadi. "Diakui, saya agak risau juga jika pembabitan saya secara solo itu boleh merosakkan karier ONE kerana kumpulan kami belum stabil sepenuhnya. "Sebab itu saya meletakkan sasaran dua tahun. Apa-apa pun, biar apa saja keputusan yang dibuat, saya akan setia bersama ONE, walaupun bergerak solo. "Ini kerana, kami telah bersusah senang sejak awal pembabitan dalam industri seni muzik tempatan sehinggalah sekarang," ujarnya.

Soo Wincci Tersentuh Dikerumuni 50 Media Taiwan

KUALA LUMPUR: Penyanyi Soo Wincci sebak dan terkejut apabila dikerumuni kira-kira 50 wakil media Taiwan ketika pelancaran album sulungnya di negara itu pada minggu lalu. Wincci, 28, berkata, sebagai pendatang baharu yang cuba menembusi pasaran muzik negara itu dia tidak menyangka lagu pertaruhannya berjudul Happiness diterima baik oleh peminat di sana. “Kalau diikutkan saya memang orang baharu yang mencuba nasib di sana (Taiwan). Perjalanan karier di sana pun bermula sejak Oktober tahun lalu tetapi tidak sangka ia mendapat sambutan pula. “Pengalaman dikerumuni kira-kira 50 media Taiwan ketika pelancaran album itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Perasaan terharu, terkejut dan gembira bercampur baur ketika itu. “Ia adalah permulaan yang baik untuk saya kerana perjalanan karier di pentas antarabangsa masih jauh lagi,” katanya ketika ditemui pada pelancaran rangkaian kasut wanita Soo Wincci by XES Shoe Line di RedBox, The Gardens di sini, pada Selasa. Bekas Ratu Dunia Malaysia 2008/2009 ini berkata, apa yang lebih yang menyentuh hati apabila lagu Happiness semakin mendapat tempat di carta radio dan muat turun yang tinggi di kalangan peminat.
“Lagu saya bersaing dengan penyanyi-penyanyi popular lain dalam carta-carta lagu di Taiwan. Malah, muat turun digital untuk lagu itu juga tinggi walaupun album fizikal belum dikeluarkan. “Apa yang lebih menyeronokkan apabila pelancaran album itu serentak dengan album terbaharu Jay Chou tetapi saya masih dapat perhatian di kalangan media,” katanya. Wincci menambah, penerimaan baik di kalangan media itu dipengaruhi latar belakang dan pakej yang dimilikinya sebagai pendatang baharu di sana. “Mereka (media) tertarik untuk mengetahui lebih mendalam mengenai diri saya. Mereka anggap profil, pencapaian dan pendidikan yang saya miliki sebagai pakej lengkap untuk seorang selebriti. “Malah, saya juga dapat jolokan ‘Superwoman’ kerana profil dan kesungguhan saya mengejar impian di Taiwan,” kongsinya. Mengenai enam jenis kasut rekaannya itu, Wincci berkata, ia memakan masa selama enam bulan untuk disiapkan ekoran kesibukannya yang berulang alik ke Taiwan. “XES mahu memulakan projek kasut ini sejak Jun 2012 tetapi jadual seni saya juga sangat padat ketika itu. “Mahu tidak mahu, saya terpaksa bahagikan masa sebaik mungkin antara kerjaya, pengajian dan rekaan kasut ini. “Kasut-kasut ini dijangka dipasarkan pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini untuk semua peringkat umur wanita,” katanya yang turut merancang mengeluarkan rangkaian beg tangan tidak lama lagi. Kasut-kasut itu dijual pada lingkungan harga RM109.90 hingga RM159.90 di semua cawangan XES dan pasar raya terpilih di seluruh negara.

Tasha Shilla Kurang Senang Ada Pihak Cetuskan Provokasi

PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shilla berasa hairan dengan sikap segelintir pihak yang terus mencetuskan pelbagai isu bagi membangkitkan kemarahannya termasuklah melakukan provokasi. Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 26, berkata, walaupun dia tidak pernah melayan atau melenting dengan isu-isu yang timbul sepanjang tahun lalu, senario itu masih berlanjutan sehingga kini. “Saya sendiri berasa hairan kenapa orang terus berusaha melakukan provokasi menerusi pelbagai isu semata-mata untuk melihat saya melenting? “Namun, saya seorang yang positif dan fokus pada objektif menceburi bidang ini jadi tidak perlu saya melayan kontroversi itu semua,” katanya kepada mStar Online. Tasha berkata, selepas berdiam diri beberapa bulan kerana kesibukan kerja, dia sekali lagi diuji dengan isu kononnya tidak mendapat penajaan undian sehingga tidak dicalonkan dalam mana-mana kategori pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012 tahun ini. Pada tahun lalu, Tasha memenangi Artis Baru Wanita Popular anugerah itu yang turut dikaitkan kononnya dia menerima tajaan bagi mengundinya sehingga berjaya meraih kemenangan tersebut. Katanya, segelintir pihak terus mengasaknya dengan pelbagai persoalan walaupun dia menganggap soal dicalonkan atau tidak pada anugerah itu kali ini adalah ketentuan Tuhan. “Dapat atau tidak (pencalonan) ia adalah soal rezeki yang ditentukan Tuhan. Malah, tiada apa yang hendak diperbesarkan pun. “Dari dulu lagi, saya dihentam macam-macam tapi saya senang ambil pendekatan untuk tidak melatah dan hadapi dengan tenang,” katanya. Mengenai kerjaya, aktres ini berkata, dia masih sibuk menyudahkan komitmen drama berjudul Rindu Bertemu Abu Dhabi untuk siaran TV3. “Komitmen untuk drama 28 episod ini bermula Disember lalu hingga Februari depan untuk tempoh 3 bulan. “Saya selesa apabila sibuk berlakon, apa jua kontroversi yang timbul boleh saya alihkan pada kerja. “Biarlah orang nak timbulkan provokasi, saya senang berdiam diri dan fokus pada kerja sahaja,” katanya.

Nash Akui Sukar Cari Wanita Solehah Untuk Calon Isteri

PETALING JAYA: Penyanyi Nash (Lefthanded) meluahkan keinginannya untuk berumah tangga dengan seorang wanita yang mampu menjadi isteri solehah serta mentaati suami. Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 54, berkata, pada zaman serba moden ini, agak sukar untuk dia mencari wanita yang memiliki ciri-ciri idamannya seperti itu. "Bagi kebanyakan lelaki (duda) seperti saya, pasti ramai yang inginkan seorang wanita yang serasi dengan diri untuk menjadi teman hidup bersama, begitu juga dengan saya. "Cuma saya begitu 'mengidam' untuk memiliki seorang wanita yang mampu menjadi isteri solehah dan sentiasa mentaati suami," katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun tambah Nash, dia juga mengakui tidak berusaha dalam mencari wanita sebagai teman hidup seperti yang diinginkan itu, sebaliknya menganggap jodohnya akan sampai apabila tiba masanya. "Saya tak mencari, sebab itulah saya lambat dapat calon," seloroh Nash. Hasil perkahwinan terdahulu, Nash dikurniakan tiga cahaya mata, Fareena Nasha, 24, Najeeha Nasha, 22, Mohd Shameer Nasha, 16 dan seorang anak angkat, Jasmin Hanis Nasha, 14. Nash juga pernah berkahwin dengan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor sebelum bercerai pada 26 Mei 2009. Sementara itu, Nash bersama kumpulannya, Lefthanded serta Sweet Charity dan May bakal beraksi pada konsert Dimensi Rockarisma yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru) Johor Bahru pada 9 Februari depan. Tiket berharga RM78 boleh ditempah dengan menghubungi talian 03-7880799 atau layari laman web www.ticketpro.com.my. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Aida Husin menerusi talian 012-2166873 atau e-mel di mewahevent@gmail.com.

Jumpa Anak 2 Jam, Jimmy Shanley Tidak Puas Hati

Shah Alam: Pengacara Jimmy Shanley mengakui kurang selesa dengan kehadiran bekas ibu mentuanya yang juga ahli perniagaan Datin Muniroh Kassim ketika dia bersama anaknya perempuannya, Zahra Rania, setahun lapan bulan. Menurut laporan Harian Metro pada Rabu, Jimmy atau nama penuhnya, Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 33, berkata masa dua jam yang diberikan untuk meluangkan masa dengan anaknya itu juga tidak mencukupi. “Masa dua jam untuk saya berjumpa dengan anak tidak cukup. Saya mengandaikan dapat bermalam dengan anak, tapi tidak dapat sebab bekas ibu mentua ada bersama,” katanya dalam perbicaraan hak penjagaan anak (hadanah) di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, Selasa. Tambah Jimmy, kali terakhir dia berjumpa anak tunggalnya itu pada 23 Januari lalu di rumahnya Putra Height, Subang Jaya.
"“Sebab itu saya putuskan tidak jumpa anak bila ibu mentua ada,” katanya ketika sesi soal semula oleh peguam syarie yang mewakilinya Mohd Noor Aizan Md Idrus. Selain itu, ketika ditanya siapa sebenarnya menguruskan anaknya, Jimmy berkata, dia yakin anaknya itu bukan diuruskan plaintif sebaliknya ibu mentuanya. Terdahulu, ketika disoal balas peguam syarie Sa’adiah Din yang mewakili Nursuhaila Eliani Suhaimi (plaintif), Jimmy berkata, pada 23 Januari lalu bekas ibu mentuanya menghantar SMS (sistem khidmat pesanan ringkas) bertanyakan sama ada dia berada di rumah kerana ingin membawa anak Jimmy ke rumahnya. “Dia SMS sebab takut saya tiada di rumah,” katanya. Dia bagaimanapun setuju dengan Sa’adiah bahawa bukan permintaannya untuk berjumpa Rania sebaliknya bekas ibu mentua yang sedia membawa bayi itu ke rumahnya. “Saya bersama anak selama lebih kurang dua jam setengah antara jam 3.30 petang hingga 5.45 petang,” katanya yang kini bekerja sebagai pengarah dan perunding syarikat. Menurutnya, dia mempunyai pengalaman menjaga anak kecil iaitu ketika menjaga dua anak saudaranya yang ketika itu berusia empat serta enam tahun sekitar 1998 hingga 2000 dan disebabkan itu dia tiada masalah menjaga anaknya tanpa bantuan. Hakim Syarie Mawardi Che Man kemudian mengarahkan kedua-dua pihak menyediakan hujah masing-masing dan menetapkan 8 April depan untuk keputusan. Kemelut rumah tangga pasangan itu menemui noktah selepas sah bercerai talak satu secara tebus talak (khuluk) dengan nilai ganti rugi RM1 pada 10 Oktober lalu. Pasangan itu diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dengan hantaran RM31,186 yang diambil sempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986. Pengacara Akademi Fantasia ke-8 itu dan isterinya dilaporkan tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010.

Ramli Sarip Akui Belum Cukup Ilmu Muzik

PETALING JAYA Penyanyi Ramli Sarip menganggap ilmunya dalam bidang muzik masih lagi cetek walaupun sudah 46 tahun beliau bergelar seorang artis. Ramli, 61, berkata, dia merasai kelemahan dirinya itu apabila mendapati banyak lagi ilmu yang belum diterokainya apabila membaca buku-buku berkaitan bidang berkenaan. "Saya seorang yang suka membaca mengenai perkembangan muzik di negara-negara Eropah terutamanya buku yang berunsur falsafah dan biografi artis yang menceritakan jatuh bangun mereka dalam mengejar impian sebagai penyanyi. “Buku-buku itu juga menyedarkan saya bahawa banyak perkara berkenaan dengan muzik yang saya tidak tahu dan ilmu muzik itu sendiri tidak ada penghujungnya," kata Ramli kepada mStar Online. Tambah Ramli, membaca adalah salah satu minatnya selama ini yang mampu memberikannya pengetahuan mendalam dalam satu-satu perkara khususnya berkaitan muzik. Malah, dia juga turut mengikuti perkembangan semasa dunia hiburan menerusi pembacaan menerusi akhbar dan majalah-majalah hiburan. "Jika remaja sekarang ini lebih senang menggunakan Internet dalam mencari maklumat terkini, saya pula masih menggunakan konsep lama iaitu dengan membaca menerusi buku-buku, akhbar dan majalah," katanya. Dalam pada itu, Ramli yang juga vokalis kumpulan Sweet Charity turut meluahkan hasratnya untuk menghasilkan sebuah buku berbentuk biografi menceritakan kisah hidupnya sepanjang menjadi penyanyi dalam industri muzik tempatan. "Sebelum ini, hanya sedikit kupasan mengenai kumpulan saya yang dipaparkan dalam buku biografi 'Sweet Charity 40 Tahun Bagaikan Bermimpi'. "Selepas menerima respons yang bagus, peminat meminta saya membuat sebuah biografi tentang diri saya dan memang saya ada perancangan ke arah itu," tuturnya. Sementara itu, Ramli bersama Lefthanded dan May bakal beraksi pada konsert Dimensi Rockarisma yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru) Johor Bahru pada 9 Februari depan. Tiket berharga RM78 boleh ditempah dengan menghubungi talian 03-7880799 atau layari laman web www.ticketpro.com.my.

Ibu kesal gambar ‘mesra’ Liyana Jasmay, tunang tersebar

KURANG dua minggu saja lagi, pelakon berbakat besar, Liyana Jasmay, 24, menanti detik bahagia bergelar isteri. Memilih ahli perniagaan, Fathuddin Mazlan, 28, sebagai pasangan hidup, pelantun lagu Cinta Bersatu, ini bakal disatukan pada 2 Februari depan. Namun, dalam keterujaan itu, pasangan ini dihimpit kontroversi menjelang hari pernikahan tidak lama lagi. Menerusi gambar pra perkahwinan yang dirakam di Hyatt Regency Kuantan Resort, Isnin lalu, ia mengundang kontroversi apabila ramai pihak mula mengkritik tindakan pelakon dan penyanyi ini. Gambar yang menampilkan babak romantik itu turut merakamkan aksi mesra mereka dan sekali gus mengundang rasa tidak puas hati ramai pihak kerana ianya dilihat bertentangan dengan nilai dan budaya masyarakat kita. Zass cuba mendapatkan penjelasan daripada tuan badan, akhirnya, ibu Liyana, Datin Habsah Simpon, mengeluarkan rasa terkilan berikutan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu.
“Saya dan keluarga kesal dengan apa yang berlaku. Perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku ketika ini memandangkan majlis bakal berlangsung tidak lama lagi, “Gambar itu sepatutnya tidak boleh dipaparkan kepada umum kerana perkara ini telah dijanjikan sejak awal lagi. Ia hanyalah untuk simpanan peribadi sahaja. “Kami kesal dengan tindakan jurugambar berkenaan. Namun, tidak perlu diperkatakan lagi kerana ianya telah berlaku dan kami akui kesilapan itu,” katanya dengan nada kesal. Persiapan kahwin Tidak mahu memanjangkan kontroversi itu, Habsah mengakui dia dan keluarga lebih tertumpu kepada persiapan perkahwinan. “Saya malas nak fikir banyak mengenai perkara itu. Begitu juga dengan Liyana, lebih baik kami endahkan sahaja dan fokus kepada majlis yang bakal berlangsung. “Alhamdulillah, segala persiapan termasuk undangan telah siap dibuat dan kini hanya tinggal yang picisan sahaja. “Memandangkan majlis itu dibuat pada hari yang sama, saya hanya berharap agar perjalanan majlis itu berjalan dengan lancar mengikut apa yang telah dijadualkan,’ katanya yang turut mengakui bakal menantunya tidak akan menghalang karier seni Liyana. Bibit perkenalan Mungkin ramai tidak tahu, kisah cinta antara pelakon filem, Papadom dan tunangnya itu, mula berputik dengan satu pesanan ringkas (SMS) sahaja dan mereka berjiran. Dari saat itu, mereka terus berhubung melalui telefon dan pertemuan pertama mereka bertempat di restoran dengan ditemani rakan. Fathuddin pernah menghadiahi Liyana satu bakul bunga mawar merah dengan seleksi coklat kegemarannya. Mereka juga pernah bersekolah di sekolah yang sama dan Fathuddin adalah seniornya. Pada 29 Mac lalu, mereka membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan dan menetapkan 24 Januari sebagai tarikh pernikahan. Namun, atas sebab-sebab tertentu, majlis itu ditunda pada 2 Februari ini setelah Liyana pulang ke tanah air setelah menamatkan kursus enam bulan dalam bidang lakonan dan pengarahan di New York Film Academy, Amerika Syarikat. Majlis akad nikah dan persandingan mereka akan diadakan pada hari sama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Nabil berkorban demi anak

SELAIN bergelar pelawak, pelakon dan pengacara Ahmad Nabil Ahmad atau lebih sinonim dengan panggilan Nabil pernah mengembangkan bakat seninya apabila menjadi penyampai radio di Suria FM. Bagaimanapun, jodoh Nabil bersama stesen radio berkenaan tidak panjang apabila dia mengambil keputusan untuk mengundur diri selepas kontraknya tamat pada akhir tahun lalu. Ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Lawak Ke Der 2 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur minggu lalu, Nabil tetap bersyukur apabila rezekinya semakin bertambah sejak dikurniakan cahaya mata. Menurut suami kepada Nazirah Ayub itu, sekarang ini dia perlu bekerja dengan lebih keras memandangkan tanggungjawabnya sudah semakin bertambah. Kosmo!: Apakah perkembangan kerjaya Nabil sekarang? NABIL: Dalam tempoh terdekat ini saya akan terbabit dengan program komedi Karoot Komedia X dan Lawak Minggu Ini. Selain itu saya akan membintangi dua buah telefilem iaitu Elly Dan Epit dan Geng Bas Sekolah. Kemudian pada bulan Mac ini pula saya berkemungkinan besar akan pergi ke Belanda untuk rakaman sebuah program Astro. Mengikut perancangan, saya akan bawa isteri dan anak ke sana, namun ia bergantung kepada keadaan. Bagaimanakah dengan kehidupan Nabil sekarang, setelah dua bulan bergelar bapa kepada Naira Mikayla? Kehidupan saya sekarang tidak banyak jauh berbeza berbanding sebelum ini, tetapi kehadiran Naira merupakan pelengkap kepada kehidupan kami sekeluarga. Sepanjang bergelar bapa ini, saya dan isteri akan bergilir-gilir menjaga Naira, kadang-kadang terpaksa bangun pukul 4 pagi untuk bancuh susu dan tukar lampin pakai buang kerana kami tidak ada pembantu rumah. Adakah anak menjadi salah satu faktor Nabil mengundur diri daripada menjadi penyampai radio? Saya tidak nafikan kehadiran cahaya mata merupakan salah satu faktor saya tidak menyambung kontrak bersama Suria FM. Selepas memiliki cahaya mata, saya rasa perlu memberikan komitmen yang lebih kepada keluarga. Sekiranya mata pencarian saya hanya sebagai penyampai radio saya tidak kisah, tetapi saya masih lagi berlakon dan lebih baik memberikan tumpuan kepada lakonan dan terpaksa mengorbankan kerjaya di konti radio demi anak. Bagaimanakah perasaan Nabil sepanjang setahun menjadi penyampai radio? Ia memberikan satu pengalaman baharu dalam kehidupan saya sebagai seorang artis. Dapat bergabung dengan Kenchana Devi dan penyampai hebat seperti Halim Othman memang sesuatu yang menyeronokkan. Adakah Nabil tidak kisah sekiranya Naira mengikut jejak anda sendiri apabila dia sudah besar nanti? Sejujurnya saya tidak kisah kalau suatu hari nanti Naira turut mengikut jejak saya menjadi artis. Namun begitu, saya mahu dia membesar sebagai seorang gadis yang berilmu dan berpelajaran tinggi. Bagi saya, pelajaran itu merupakan perkara yang paling utama dan sudah tentu saya tidak mahu dia menjadi seperti saya yang tidak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Kontrak RM28 juta Salman Khan

AKTOR tersohor Bollywood, Salman Khan mencatat rekod baharu apabila menandatangani perjanjian bernilai Rs. 500 (RM28 juta) dengan Star TV Network untuk iklan rangkaian televisyen antara yang terbesar di India itu. Sehingga tempoh lima tahun yang lepas, pelakon berusia 47 itu muncul menerusi filem pecah panggung, Ready, Dabangg, Bodyguard, Ek Tha Tiger dan Dabangg 2 yang mana setiap satunya mengumpul kutipan mencecah Rs.100 (RM5.6 juta). Pengurus Besar Star Gold, Hemal Jhaveri, memberitahu portal berita India, IANS, Salman Khan adalah pilihan yang tepat memandangkan pencapaian yang telah diraih menerusi rekod filem-filem pecah panggung lakonannya. "Salman merupakan pelakon yang konsisten dari segi kutipan pecah panggung filem-filem lakonannya. Dari segi tersebut, dia merupakan pelakon yang memiliki nilai tertinggi dalam kalangan pelakon di Bollywood," ujarnya. Tambahnya, mengikut kepada perjanjian, saluran TV itu akan memiliki hak siaran eksklusif televisyen menerusi semua filem terbaharu Salman. "Selepas perjanjian yang dibuat pada tahun ini, kami mempunyai hak penyiaran eksklusif terhadap kesemua filem lakonan Salman atau apa-apa penerbitan yang berkaitan dengan pelakon itu," katanya. Salman yang mempunyai masalah kesihatan dan bakal mendapatkan rawatan di Amerika Syarikat akan memulakan penggambaran tidak lama lagi untuk filem Kick, No Entry Mein Entry dan Sooraj Barjatya.

Semangat jitu Tania

NAMA Tania Nadira Hudson semakin terpinggir dan kurang mendapat liputan sejak lebih setahun lalu. Hal itu berlanjutan sehinggalah kemunculannya di set penggambaran drama Surat Dari Langit Biru di Desa Park City, pinggir bandar raya Kuala Lumpur pada petang hari Selasa lalu. Polos tanpa olesan bahan soleken, wajah yang mirip seperti kakaknya, Natasha Hudson itu bagaimanapun nampak sugul dan kurang bermaya. Ditanya mengenai kesihatannya, jawab Tania, 28, dia kini berada dalam keadaan yang sihat tanpa kesan sampingan selepas menjalani pembedahan sekitar empat tahun lalu. "Alhamdulillah, saya kini lebih sihat. Cuma, saya perlu kawal corak hidup dan tekanan sekeliling dengan lebih cermat. Rawatan susulan cuma tiga tahun selepas pembedahan dan sekarang semua kembali normal, tetapi kepala ada berdenyut sekali-sekala. "Saya bersemangat untuk kembali bekerja seperti sebelum ini. Fokus saya adalah karier lakonan yang nampak sudah semakin menyusut sejak akhir-akhir ini," katanya. Tania sebelum ini pernah menjalani pembedahan otak akibat menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) pada tahun 2009. AVM adalah sejenis gumpalan urat yang tidak normal tumbuh pada bahagian otak dan penyakit yang dialami pelakon itu menjadi serius apabila berlaku pendarahan dalaman. Tania menegaskan, ketiadaannya dalam industri selepas kemunculannya menerusi drama bersiri Tiramisu dua tahun lalu bukan kerana merajuk. Sebaliknya, tempoh itu digunakan untuk memerhatikan suasana dunia seni dan pada masa sama, masih aktif di pentas peragaan fesyen. "Jauh sekali untuk saya merajuk kerana berlakon juga sumber pencarian saya selain peragaan. Cuma saya sengaja memberikan rehat untuk diri sendiri sebelum kembali semula dengan lebih aktif dan fokus.
"Saya masih aktif membuat peragaan dan berlakon iklan. Selain itu, ada juga membantu bisnes kek ibu saya (Ratna Hussin)," ujarnya. Kahwin Diajukan soalan nakal sama ada dirinya sudah mempunyai calon suami dan kemungkinan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, balas pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu, dia masih solo. "Belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin. Usahkan berkahwin, calon pun belum ada," kongsinya bersulam ketawa. Tambah Tania, harapannya ingin berjaya terlebih dulu dalam kerjaya sebelum memutuskan untuk berumah tangga. "Kalau boleh saya ingin menamatkan zaman solo sebelum mencecah usia 30 tahun tetapi susah nak cakap, sebab jodoh bukan kita tetapkan," ujar Tania. Meletakkan beberapa kriteria lelaki yang diidamkan, kata Tania dia mahukan seseorang lelaki yang berupaya membimbingnya, matang dan lebih berusia daripada dirinya. "Lagi tua seseorang itu lagi matang pemikirannya. Paling tidak pun dia boleh membimbing saya. Selain itu, saya mahukan seorang lelaki yang kelakar, berjaya dalam kerjaya, menghormati saya dan berpegang pada janji. Ikhlas itu penting dalam sesebuah perhubungan," jelasnya. Jahat Berkongsi karakternya dalam drama Surat Dari Langit Biru, kata Tania, dia terkejut ketika ditawarkan untuk melakonkan watak Lisa. Ia merupakan salah seorang pemegang watak antagonis dalam drama itu.
"Pertama kali saya diberikan watak antagonis yang bermulut jahat dan licik, malah Lisa juga bertanggungjawab memporak-perandakan keluarganya sendiri. Biarpun kemunculan saya hanya sekejap tetapi sebenarnya meninggalkan impak mendalam," katanya yang pertama kali berlakon dibawah arahan pengarah terkenal, Rashid Sibir. Drama bersiri 15 episod terbitan Rashbir Media dan mendapat sentuhan skrip Basri Musa itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Johan As'ari, Yana Samsudin, Fizo Omar, Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Iqram Dinzly, Nabila Dally dan Ika Nabila. Surat Dari Langit Biru mengisahkan ikatan persaudaraan antara Zarul (Johan) dan Salmi (Yana) yang sangat rapat dan serba sederhana. Menginjak dewasa, Salmi berjaya bergelar seorang doktor. Namun, Zarul terpaksa berkorban masa depannya demi melihat kakaknya itu berjaya. Pada masa sama, bapa mereka, Pak Hassan (Datuk Rahim) mengahwinkan Salmi dengan anak penghulu kampung Heykal (Fizo) kerana telah banyak terhutang budi sedangkan Heykal sendiri menyimpan dendam terhadap keluarga itu. Rumah tangga Salmi tidak bahagia ditambah pula Zarul yang diperangkap oleh Heykal dan adiknya Lisa (Tania) sehingga dihalau keluarga. Lantas Zarul pergi menghilangkan diri. Segalanya bakal terjawab dalam Surat Dari Langit Biru yang akan disiarkan mulai 6 Februari 2013, setiap hari Selasa hingga Khamis pukul 10 malam di TV3.

Shera Aiyob masuk hospital, kini stabil

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Pelakon, Shera Aiyob terpaksa mendapat rawatan di hospital akibat pening dan muntah, semalam. Isteri kepada pelakon Zahiril Adzim yang sedang hamil empat bulan itu memberitahu, keadaannya kini bagaimanapun telah stabil. Menurut Shera, keadaan badan yang sedikit lesu akibat selesema dan keletihan menyebabkan dia pening dan muntah. Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana doktor yang merawatnya memberitahu abahawa kandungan berada dalam keadaan baik. "Mungkin disebabkan keletihan serta selesema saya mengalami sakit kepala yang melampau. Bagaimanapun, saya dan suami sangat bersyukur untuk mengetahui kandungan saya sihat. "Saya hanya beberapa jam sahaja di hospital, dan melalui ujian darah doktor mengesahkan saya bebas daripada sebarang virus merbahaya. Buat masa ini saya masih bercuti, dan akan kembali berada di set setelah sihat nanti," katanya. - UTUSAN

Tuduhan Rampas Kekasih, Aidil Zafuan Tuntut Mohd Nazmi Mohon Maaf

PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak menuntut bintang bola sepak kelab SC Beira-Mar Portugal, Mohd. Nazmi Faiz Mansor membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menuduhnya menjalinkan hubungan sulit dengan gadis, Tengku Fiella. Aidil, 25, yang juga pemain bola sepak pasukan negeri Johor berkata, tuduhan Mohd Nazmi, 19, yang dibuat menerusi Twitter miliknya itu telah memburukkan lagi keadaan Aidil yang masih berhadapan masalah rumah tangga dengan pelakon Rita Rudaini. “Masalah saya dengan Rita masih belum selesai, timbul pula hal baru yang tidak benar.
"Saya tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita dan saya minta Mohd Nazmi memohon maaf kerana tuduhannya itu,” kata Aidil kepada mStar Online yang dihubungi di sini petang pada Isnin. Mohd Nazmi yang juga bintang bola sepak remaja kebangsaan menerusi Twitter miliknya pada Isnin telah menuduh Aidil Zafuan mempunyai hubungan dengan bekas kekasihnya sehingga sanggup memberikan wang RM1,000 untuk berbelanja. Bagaimanapun, kira-kira pukul 9.30 pagi Isnin, Mohd Nazmi telah memadamkan komen-komennya menerusi Twitter yang telah dimuat naik tetapi sempat disalin oleh pihak mStar Online. Tambah Aidil, dia telah menghubungi Mohd Nazmi yang kini berada di Portugal pada petang Isnin untuk mendapatkan gambaran kenapakah dia memuat naik status tersebut.
Katanya, Mohd Nazmi memberitahu dia berbuat demikian kerana begitu marahkan bekas teman wanitanya itu selain terlalu mendengar cakap rakan-rakan mengenai hal berkenaan. "Nazmi menjelaskan bahawa dia tidak fikir panjang apabila mendapat tahu kononnya saya mempunyai hubungan dengan bekas kekasihnya selain tidak memikirkan kesan daripada tindakannya memuat naik status tidak benar itu. “Dia sudah memohon maaf daripada saya dan sebagai orang yang lebih tua daripadanya, saya memaafkan dia walaupun yang nampak buruknya akan terkena pada saya. Maklumlah (dia) darah muda. "Cuma saya mahu dia bersihkan nama saya. Lagipun kami tidak bermusuhan pun," ujarnya.
Aidil turut memberitahu dia tidak mengenali gadis yang dimaksudkan Mohd Nazmi manakala jumlah RM1,000 yang dikatakan itu juga tidak benar. Sementara itu Tengku Fiella yang merupakan gadis kelahiran Kelantan berkata Mohd Nazmi merupakan seorang yang kuat cemburu dan meminta semua pihak tidak mengambil serius kenyataan itu. “Jangan ambil serius apa yang Nazmi Faiz tulis di Twitter kerana dia sendiri belum matang dan mungkin dalam keadaan tertekan dengan kelab di portugal,” katanya seperti dilaporkan portal rotikaya.com. pada Isnin. Malah gadis tersebut juga berkata dia tidak pernah mengenali Aidil Zafuan dan bersimpati kerana turut dikaitkan dalam isu itu. Dalam perkembangan terbaharu, Mohd Nazmi telah membuat permohonan maaf menerusi Twitter miliknya kira-kira pukul 9 malam Isnin dan meminta semua pihak tidak menyalahkan Aidil. "Saya minta maaf mengenai perkara yang lepas, jangan salahkan Aidil Zafuan. Dia tiada kaitan dalam hal ini," katanya.

Azza (Elite) Dapat Hidayah Bertudung Ketika Berlakon Drama

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Azza (Elite) mendedahkan watak yang dilakonkannya sebagai wanita muslimah bertudung menerusi drama Mujahid pada tahun lalu telah membuka hatinya untuk terus menutup aurat. Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 35, berkata, dia bersyukur kerana mendapat rahmat berkenaan ketika sedang mencari rezeki dalam dunia lakonan yang menjadi punca rezekinya selama ini. "Itulah, orang kata, rahmat yang Allah berikan kepada setiap manusia berbeza-beza dan apabila sudah sampai waktunya, apa salahnya kita berhijrah terus. "Sebenarnya, sebelum Mujahid, saya dah mula berselendang sepanjang penggambaran drama Kiah Pekasam bersama Rozita Che Wan di Jepun, tahun lalu. "Alhamdulillah, menerusi bidang lakonan yang menjadi punca rezeki utama juga menyedarkan saya kepada sebuah penghijrahan yang indah dalam hidup ini," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin. Tambah Azza yang mula bertudung pada 6 Januari lalu, dia juga bersyukur apabila keluarga dan suaminya, Azlan Zulaily memberi sokongan terhadap perubahan penampilan barunya itu. Kata Azza, suaminya juga pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dia bertudung selepas mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu, namun lelaki itu tidak memaksanya untuk melakukan perubahan secara drastik.
"Kalau nak tahu, sebelum ini hanya saya seorang dalam keluarga yang tidak bertudung dan sedikit rasa janggal lebih-lebih lagi ketika seluruh keluarga berkumpul untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Pulau Pinang pada pertengahan Disember lalu. "Kemudian saya terfikir, kasihan pula pada ibu apabila anaknya seorang ini sahaja yang tidak bertudung dalam keluarga," tuturnya yang turut diberikan hadiah pelbagai jenis tudung daripada rakan-rakannya termasuk daripada pelakon Sheila Rusly. Sementara itu, Azza berkata, bertudung litup juga tidak menghalangnya untuk berlakon dan menyanyi seperti biasa. Malah dia bersyukur apabila perubahan imej baru itu tidak mengganggu karier seninya. "Ini (berlakon) adalah sumber pendapatan saya. Selama ini, lakonan saya tidak pernah melebihi batas-batas atau mengundang rasa tidak senang kepada orang ramai. "Saya akan terus berlakon dan menyanyi seperti biasa. Cuma yang bezanya hanyalah penampilan diri sahaja. "Apa-apa pun diharap, setiap tutur kata dan perlakuan saya lebih bersifat sederhana, Insya-Allah," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Azza bakal muncul dengan drama Mujahid, Musim Cinta Atuk dan Sepai di TV1 serta Kiah Spy di Astro Warna.

‘Beli Lagu Letak Nama Sendiri Itu Fitnah’ - Amran Ismail

PETALING JAYA: Pelakon Amran Ismail tetap mempertahankan pendirian lagu Ini Janjiku nyanyian dan ciptaannya adalah tulen dan bukan diciplak dari mana-mana karya walaupun ia nyata mempunyai persamaan dengan lagu I Heart You nyanyian kumpulan Smash dari Indonesia. Amran atau nama sebenarnya Md Amran Ismail, 28, berkata, lagu itu diilhamkan ketika dia berlakon dalam drama Cinta Buat Emelda tidak lama dulu. Persoalan yang timbul bagaimana Amran yang tidak mempunyai pengetahuan muzik boleh mencipta lagu selain ada desas-desus mengatakan dia membeli karya berkenaan daripada seseorang sebelum mendakwa lagu berkenaan adalah nukilannya. “Memang lagu itu saya cipta sendiri. Saya juga tidak menyedari ia ada persamaan dengan lagu kumpulan Smash. Saya pun tak kenal kumpulan itu,” katanya kepada mStar Online apabila diminta menjelaskan isu berkenaan. Amran turut memberitahu dia mahu berbincang dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia selepas syarikat rakaman itu berhasrat mengambil tindakan terhadapnya kerana karya itu terang-terangan meniru lagu I Heart You. Ikuti penjelasan Amran kepada mStar Online berhubung isu terbabit. Bagaimana anda hasilkan lagu tanpa pengetahuan/ilmu muzik? Memang saya tiada ilmu muzik. Saya dapat ilham buat lagu itu menerusi teknik humming bukan gitar atau alat muzik lain. Ilham datang ketika penggambaran drama bersiri Cinta Buat Emelda pada tahun lalu. Daripada situ, saya minta bantuan rakan untuk gubah muziknya, manakala lirik saya hasilkan juga. Cuma, saya berkesempatan untuk lancarkan ia pada baru-baru ini. Reaksi anda apabila dituduh menciplak lagu kumpulan Smash? Saya akui terperanjat dengan kontroversi itu tetapi terus-terang saya tidak pernah mendengar lagu kumpulan tersebut. Saya tidak berani cakap banyak kerana lagu itu dihasilkan tanpa pengetahuan mengenai kewujudan lagu Smash. Mungkin ia sekadar kebetulan dan saya enggan komen lanjut. Anda didakwa tidak boleh menyanyi secara langsung. Apa komen anda? Isu boleh menyanyi atau tidak bukan persoalannya. Kita sudah ada kecanggihan teknologi jadi apa salahnya kita memanfaatkan kemudahan itu. Bukan satu kesalahan pun saya gunakan bantuan teknologi. Takkan kita nak melekat di takuk lama, muzik sudah berubah dan pembaharuan perlu diberikan sedikit sebanyak. Apa-apa pun, setiap kritikan saya terima seadanya. Timbul dakwaan kononnya anda ditaja oleh ahli perniagaan berpangkat Datuk untuk projek lagu itu? Penerbitan lagu itu tidak memakan kos yang tinggi tetapi mengikut kemampuan saya. Benar ada pembabitan seorang Datuk tetapi beliau bukan menaja saya tetapi sekadar menganjurkan majlis pelancaran itu sahaja. Beliau yang saya anggap seperti pakcik sendiri hanya bantu secara kecil-kecilan sahaja. Ada sumber mendakwa lagu Ini Janjiku bukan ciptaan anda tetapi dibeli daripada seorang komposer? Itu fitnah. Saya merujuk kepada komposer itu untuk memperkemaskan lagu berkenaan daripada aspek komposisi muzik dan lirik, manakala selebihnya adalah idea saya sepenuhnya. Harapan anda mengenai kontroversi yang timbul. Saya berharap isu ini segera diselesaikan dengan cara baik. Saya tidak marah pada sesiapa walaupun terkilan dengan tuduhan yang timbul. Semoga semuanya kembali pulih seperti sedia kala kerana setiap masalah ada penyelesaiannya.

Erin Malek bukan gadis liar

PELAKON Erin Malek dilihat sebagai antara artis muda yang sangat berbakat besar dan sudah mula berkecimpung dalam dunia lakonan pada usia yang masih kecil lagi. Bagaimanapun, bergelar artis membuatkan pelakon yang memiliki nama sebenar Nur Arina Abdul Malek itu terpalit kontroversi sehingga mencalarkan imej peribadinya. Pelakon yang bakal menginjak usia 19 tahun itu pernah dituduh menghisap ganja di lokasi penggambaran, bertindik di lidah dan memuat naik gambar seksinya ke dalam Instagram miliknya. Erin yang ditemui di lakosi penggambaran drama Tiga Nenek Tiga Dara di Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur minggu lalu berkata, dia berharap tidak lagi dikaitkan dengan sebarang cerita kontroversi. Kosmo!: Boleh ceritakan sedikit perkembangan Erin sekarang? ERIN: Buat masa ini saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie berjudul Anak Sampah untuk slot Cerekarama di TV3. Selain itu, saya juga turut menjadi pengacara rancangan Uni Challange 1957 yang disiarkan menerusi saluran TVi (180). Untuk filem pula, pada akhir tahun lalu saya telah berlakon filem berjudul Lari di samping Aaron Aziz, Dira Abu Zahar dan Hazama. Selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, adakah Erin tidak menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi? Selepas memperoleh keputusan SPM, saya tidak ada perancangan untuk menyambung pelajaran. Saya ingin kembali aktif dalam dunia lakonan memandangkan semasa di tingkatan empat dan lima saya memang jarang berlakon kerana perlu menumpukan kepada pelajaran. Lagipun keputusan yang saya buat ini turut disokong sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapa. Memandangkan kini saya sudah tidak lagi bersekolah, mereka sudah memberikan kebebasan untuk saya membuat pilihan. Sebelum ini nama Erin selalu menjadi sebutan kerana beberapa isu kontroversi. Jadi, apakah harapan Erin pada tahun ini? Sudah tentu saya sangat berharap supaya tidak lagi terbabit dengan cerita-cerita yang negatif memandangkan saya sedang berusaha memantapkan lagi karier dalam bidang lakonan. Cuma sebagai seorang manusia melakukan kesilapan pastinya sukar untuk dielakkan. Namun begitu, saya akan cuba sedaya upaya agar nama saya bersih daripada sebarang kontroversi. Apakah komen Erin sekiranya dituduh sebagai seorang gadis liar oleh segelintir pihak? Biarlah apa yang orang lain ingin cakap tentang diri saya kerana keluarga, rakan-rakan dan teman lelaki lebih mengenali diri saya yang sebenarnya. Bagi saya, orang yang membuat tuduhan sedemikian sebenarnya mempunyai sifat dengki. Adakah Erin tertekan apabila setiap kali nama Erin diperkatakan ramai kerana kontroversi? Saya akui pada mulanya saya memang berasa cukup tertekan dan hilang semangat, tetapi ibu dan bapa saya banyak membantu dan memberikan sokongan moral. Bagaimanapun, saya terpaksa menghadapinya kerana inilah jalan saya pilih dengan menjadi seorang pelakon. Saya sedar apa yang dilakukan oleh seseorang pelakon itu pasti menjadi perhatian ramai. Jadi, pada usia sekarang ini saya perlu menjadi seorang gadis yang lebih matang. Sudah tiba masanya saya harus bertindak dengan bijak untuk menangani setiap permasalahan yang berlaku terhadap diri saya.

Tohmahan mencuri gagal jejaskan Awal, Scha

KETIKA menemui pasangan selebriti suami isteri ini pada majlis Cabaran Switch For Xtra anjuran Petronas di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya kelihatan seperti masih dalam dalam fasa berbulan madu. Sedangkan mereka sebenarnya sudah enam bulan bergelar suami isteri sejak 4 Mei tahun lalu. Tidak gusar dengan keadaan sekeliling yang pernah menuduh mereka panjang tangan dalam sebuah majlis pembukaan gedung pakaian terkemuka pada tahun lepas, kedua-dua Awal dan Scha menyatakan perkara itu tidak sedikit pun menutup periuk nasi mereka. Malah, mereka bersyukur apabila rezeki masing-masing semakin mencurah-curah sejak berkahwin. Kata Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 32, sejak kontroversi berkenaan melanda mereka berdua, tawaran mengacarakan majlis tetap banyak diterimanya. Malah, syarikat pengurusan majlis yang sama dengan gedung pakaian terkemuka yang telah menyebabkan isu mencuri itu timbul masih menjemput mereka untuk ke acara tertentu. "Selepas kontroversi itu berlaku, saya dan Scha masih dijemput oleh syarikat yang sama tetapi kami tidak pergi sebab sudah berasa jauh hati," ujarnya yang menyertai Cabaran Switch For Xtra bersama Scha, Faizal Ismail dan Hanis Zalikha. Tambahnya, dia yakin dirinya dan Scha berada pada pihak yang benar kerana mereka tidak pernah membuat sebarang kesalahan. Sehingga sekarang ini, Awal dan Scha masih memikirkan bagaimana kontroversi berkenaan boleh dikaitkan dengan diri mereka. "Saya bersyukur sangat, selepas berkahwin dan dilanda kontroversi itu, rezeki saya semakin banyak," katanya.
"Kontrak sebagai pengacara program Melodi juga disambung setahun lagi dan program, Awal Lagi pula akan masuk musim kedua pada bulan April nanti," ujarnya. Awal memberitahu, tidak ada mana-mana syarikat atau individu yang bekerja dengan mereka membatalkan kerjasama yang telah dirancangkan disebabkan isu mencuri itu, sebaliknya kontroversi berkenaan dijadikan bahan jenaka. "Semasa program Melodi, Zizan (Zizan Razak) pernah menegur baju saya lawa. Saya cakap, saya curi baju berkenaan, kami semua tergelak," ujarnya. Perkara yang sama turut diakui oleh isteri Awal yang juga pengacara dan pelakon, Scha, 30, apabila isu mencuri turut menjadi bahan jenaka tatkala dia menghadiri sesuatu majlis. "Ketika hadir pada satu majlis, teman wartawan ada membuat lawak suruh saya curi barang di tempat itu. Jadi, setakat ini ia hanya jadi gurauan dan tidak pernah diambil serius oleh sesiapa pun," ujarnya. Namun pemilik nama sebenar, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al- Yahya ini menjelaskan, ketika awal kontroversi itu berlaku, dia mengakui cukup tertekan. Ini kerana melibatkan soal maruah dirinya dan Awal. "Saya tidak pernah mencuri, demi Allah saya tidak pernah buat benda itu, saya tidak faham macam mana benda-benda itu boleh dikaitkan dengan nama kami," katanya yang berharap tahun baharu ini tidak timbul lagi isu berkenaan. Mengakui periuk nasinya juga tidak pernah terjejas, Scha bersyukur kerana masih menerima tawaran berlakon drama dan telemovie yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Anak Selesai bercerita mengenai kelangsungan hidup mereka selepas dilanda kontroversi dituduh mencuri, Awal dan Scha menyatakan jauh di sudut hati, mereka teringin untuk menimang cahaya mata. Namun, disebabkan nasihat beberapa temannya supaya tidak terlalu tertekan dan mengharap untuk mendapatkan anak, Awal dan Scha lebih memilih pendekatan untuk tidak merancang. "Kami tidak rancang apa-apa kalau ada rezeki ada, setakat ini saya jaga pemakanan dan gaya hidup sihat," ujar Scha.
Tambahnya, beberapa temannya ada memberikan nasihat agar tidak terlalu mengharap agar kehamilan itu berlaku secara semulajadi. "Kata mereka, kalau kami tertekan hendak anak sangat nanti tidak jadi pula akan beri kesan kepada kesuburan kami, jadi kami memilih untuk bergembira dan menikmati kehidupan kami berdua dulu," jelasnya yang tidak kisah memiliki badan gemuk apabila mengandung kelak. Bagi Awal pula, dalam hatinya memang teringin untuk memiliki anak tetapi selagi belum ada rezeki mereka berdua akan membuat aktiviti yang disukai mereka. "Kalau hendak pergi melancong atau ke mana-mana kami akan buat sekarang, nanti bila sudah ada bayi susah pula hendak buat," ujarnya yang menganggap Allah sudah menentukan masa yang tepat untuk mereka mempunyai anak nanti. Scha pula menambah, walaupun masih dalam fasa pengantin baharu, dia sentiasa berdoa agar dapat mempunyai anak sendiri seperti rakan artisnya yang berkahwin pada tahun yang sama dengan mereka seperti pasangan Diana Danielle dan Farid Kamil. Berlakon Bercerita mengenai kerjaya mereka pula, Awal memberitahu, bahawa dirinya masih lagi mencintai dunia lakonan dan dia tidak pernah berhenti dalam bidang itu walaupun kini kelibatnya jarang-jarang dilihat dalam drama atau filem. "Sebelum ini sibuk dengan persiapan perkahwinan, menjadi pengacara dan sebagainya, jadi saya banyak tolak tawaran berlakon, saya tidak pernah lupa bidang itu sebenarnya," jelasnya yang bakal muncul dalam telemovie baharu, Syurga Seorang Isteri pada 2 Februari nanti. Kata Awal, tahun ini dia akan cuba untuk mengimbangi kembali kerjaya pengacaraan dengan lakonan agar tidak disalah anggap bahawa dirinya sudah melupakan kerjaya berkenaan. "Ramai yang anggap saya sudah berhenti berlakon, jadi tawaran pun sudah kurang, tahun ini saya akan bahagikan masa untuk kedua-dua bidang itu agar ia selari," ujarnya. Tambahnya, selepas ini dia akan memulakan penggambaran drama bersiri, 24 episod untuk slot Akasia di TV3 dan mengharapkan pengarah dan penerbit tidak salah anggap bahawa dirinya sudah berhenti berlakon. Bagi Scha pula, dia sekarang sedang giat mempromosikan filem terbaharunya, Awan Dania The Movie yang bakal ditayangkan pada bulan Mac nanti dan bakal memasuki set penggambaran untuk beberapa telemovie dan drama baharu.

Sheila Abdull masih wujud

"SHEILA ABDULL masih wujud. Kali ini saya keluar dengan persiapan mental dan fizikal yang cukup," keterangan tegas yang diberikan oleh penyanyi yang pernah muncul dengan sebuah lagu hits berjudul Mungkinkah. Mungkin khalayak sudah terlupa namanya. Sheila menyedari perkara itu, malah dia sedar ada juga yang hanya mengenali judul lagu dan nama tetapi tidak pada wajahnya. Dia akur dengan suasana tersebut. Usai album perdana dilancarkan pada Mac 2008 dan lagu yang boleh digelar one hit wonder itu berkumandang ke udara, ada ketika yang nama Sheila menjadi pudar. Dia sempat mengeluarkan dua buah single yang berjudul Pengkhianat Cinta dan Semuanya Keranamu namun pencapaian lagu tersebut tidak menyamai lagu Mungkinkah. Empat tahun masa yang diambil untuk muncul semula ke persada dunia nyanyian. Kali ini dengan senjata baharu, juga beserta keyakinan dan kematangan yang dibina sepanjang dia dilihat diam dalam dunia seni. Kali ini Sheila yang kini berumur 25 tahun mempertaruhkan karya Tam Spider dan nukilan Ad Samad. Lagu berjudul Gadis Yang Dulu diharap dapat menaikkan kembali namanya. "Saya harap lagu ini dapat dimainkan di radio. Bagi saya, lagu ini memang sedap dan saya mahu ia meresap dalam hati pendengar," diluahkan harapan yang sedang dibawanya. "Kini perjalanan seni saya lebih sistematik. Saya bernaung di bawah In Digital yang menguruskan karier seni saya," ceritanya yang turut berterima kasih kepada SND yang pernah menguruskan dirinya di awal kemunculan. Shiela mengaku perjalanan seninya tidaklah begitu pantas dan laju berjalan. Sewaktu mula mahu bergelar penyanyi, syarikat EMI yang menaunginya gulung tikar. Dia mengaku terumbang-ambing seketika selepas itu. Kini dia mengutip kembali semangat. Mahu muncul dan mempamerkan bakat yang ada pada dirinya. Sheila mengaku dengan prinsip tidak pernah menyesal akan pengalaman lalu membuatkan dirinya lebih matang dalam membuat keputusan kini. Dia juga mengaku menjadi lebih berhati-hati dalam gerak langkahnya. "Mahu pulun habis kali ini. Saya yakin dengan lagu Tam yang berentak pop rock ini," senyumnya manis. "Saya percaya walaupun sebegitu keras mencuba jika bukan rezeki, maka bukan. Tetapi semangat dan rasa saya untuk menyanyi masih kuat malah berkobar-kobar. Semoga ada rezeki," doanya penuh harap. "Sebenarnya selain sibuk menyambung kembali pengajian, saya juga masih dijemput menyanyi hingga ke Sabah dan Sarawak," luahnya yang juga terbabit dengan perniagaan miliknya sendiri.

Noryn berdakwah melalui lagu

DALAM busana jubah hijau dan solekan tipis, Noryn Aziz hadir ke studio Nar Records untuk kembali berada dalam atmosfera yang pernah dilaluinya. Hampir dua tahun dia tidak melaksanakan tugasan sebagai penyanyi rakaman. Kali terakhir, isteri Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah ini muncul dengan album I'm Alright pada tahun 2010. Sedihnya album itu tidak mendapat perhatian ramai seperti album perdananya, Fantasi O Realiti (1997). Jangkaan bahawa Noryn bakal muncul dengan lagu-lagu ketuhanan sedikit meleset. Kolaborasi bersama Adi 6ixth Sense menyediakan dua juadah telinga yang cukup indah. Kedua-duanya mempamerkan perbezaan dalam sentuhan namun disantunkan dalam lagu-lagu yang kena rasa. Kedua-dua ini diberi ruang pradengar. Sedikit berbeza dengan penampilan Noryn yang dahulu. Lagu dengan tajuk Mutiara bakal memberikan rasa jazz yang lembut dan sedikit ringan manakala Tinta Putih pula menjurus kepada gelombang ketuhanan. "Selama ini saya buat lagu sendiri. Sekarang saya tidak rasa saya boleh buat kerana faktor masa. Saya juga sudah biasa dengan lagu-lagu yang teknikal. Jadi saya mencari komposer yang mencipta lagu melalui hati. Jodoh saya bertemu Adi. Dia sangat disiplin dan berbakat," senyum Noryn yang terasa perbezaan dalam keluaran produknya kali ini. Mengaku tidak menyanyikan lagu sebegini sebelum ini, Noryn lantas mengaku mencari lagu yang bersifat komersial. Juga mahukan sebuah lagu yang boleh dinyanyikan khalayak beramai-ramai. "Lagu kedua bertajuk Tinta Putih pula merupakan sebuah lagu dengan konsep ketuhanan. Juga dibuat oleh Adi dan liriknya ditulis oleh Buddhi Hikayat," terang Noryn yang mengaku projek kali ini adalah daripada kewangannya sendiri.
Menyasarkan lagu Mutiara bakal bertemu para pendengar pada bulan Februari kelak, Noryn mengaku dia pernah memperlahankan aktiviti seninya seketika. "Saya pernah rasa mahu berhenti menyanyi. Tetapi apabila saya fikirkan bahawa muzik ini dapat memberikan sesuatu yang positif, saya kembali. Saya mahu melakukan sesuatu kepada khalayak dengan memberikan mesej yang baik dalam lagu dan lirik. Saya mahu berdakwah secara kecilan melalui muzik," jelasnya yang menganggap muzik mempunyai kuasa yang kuat dalam masyarakat. Adi yang merupakan komposer kedua-dua single baharu Noryn memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama dia muncul dengan lagu-lagu sebegini. Adi dibantu oleh pemuzik seperti Ayoy (bass), Wan (drum), Jay (gitar), Firdaus (keyboard) dan Eddie Marzuki (string) "Lagu Mutiara dengan muzik jazz yang ringan ini idea Noryn. Lagu ini bercerita tentang wanita. Sesuatu yang dekat dengan kita semua," ujar Noryn bersemangat untuk bertemu khalayak kembali dengan lagu yang menampilkan kelainan dan tersendiri. Ditemani Buddhi dan Adi sewaktu rakaman vokal, Noryn mengaku berasa gemuruh memasuki studio kembali. Lama tidak menjejak kaki, lama juga masa yang diambil untuk masuk kembali ke gear rakaman. "Saya akui, ada rasa gemuruh kerana sudah lama tidak masuk ke studio. Semoga lagu-lagu saya kali ini diterima pendengar. Seperti yang saya katakan, saya mahu berdakwah melalui lagu," senyumnya cantik.

Zizan pendam rasa cinta

NAMA Zizan sedang beraja di hati khalayak. Baik penampilannya sebagai pengacara program atau persembahan mahu pun aksinya dalam status sebagai pelawak, humor Zizan pantas disukai ramai. Baru sahaja memenangi tangga juara pertandingan Maharaja Lawak Mega yang berlangsung minggu lalu, kemenangan itu mengizinkan Zizan dan rakan sepasukannya, Johan membawa pulang kejuaraan berharga RM500,000. Terdahulu Zizan juga pernah dinobatkan juara Super Spontan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan sebuah kereta Toyota Camry. Solo, semakin stabil dengan perjalanan karier dan nama sedang mengharum, pasti gosip-gosip cinta menghampiri jejaka yang berasal dari Terengganu itu. Namun apabila diterjah dengan soalan-soalan bersifat sedikit peribadi, Zizan dalam nada serius mahu mengelak cerita cinta daripada keluar terlalu kerap ditatap peminat. Terbaharu, dia dikaitkan dengan aktres cantik Elfira Loy. Mengaku hanya rakan biasa, Zizan meminta cerita ini tidak diperpanjangkan. Apa aktiviti terkini Zizan ? ZIZAN: Saya akan ke Australia malam ini (Jumaat) untuk sesi penggambaran majalah. Di sana selama lima hari. Kemudian saya akan ke London pula untuk sesi penggambaran bersama pihak penaja. Itu akan berlangsung selama dua minggu. Dengarnya Zizan ada menaruh hati terhadap Elfira Loy? Kami kawan biasa-biasa sahaja.
Mata-mata memberitahu, Zizan menonton teater Ali Baba di Istana Budaya untuk melihat Elfira. Khabarnya, ibu Zizan juga bersama. Tak adalah bawa. Saya dapat tiket daripada pengurus. Saya pergi ke sana untuk melepaskan tekanan sewaktu terlibat dengan program Maharaja Lawak Mega. Saya pergi dengan Kaka. Kebetulan Kaka memang baik dengan El (Elfira) sebab mereka sama-sama terlibat dalam program Fear Factor. Sejauh mana khabar angin mengaitkan Zizan dan Elfira? Tidak ada kena mengena. Ini bukan perkara besar pun. Kami kawan sahaja dan tidak ada ke arah lain. Tidak payah tulislah tentang ini. Sudah rimas dikaitkan dengan ramai wanita? Saya takut jadi tak best. Sebelum ini pun orang kaitkan saya dengan Emma Maembong walhal kami satu bumbung pengurusan. Payah nanti orang cakap macam-macam. Kalau boleh saya nak mengelak cerita-cerita macam ini. Kalau boleh tidak payahlah tulis cerita-cerita macam ini. Khalayak mahu tahu juga cerita-cerita Zizan. Kalau boleh saya mahu mengelak cerita macam ini. Banyak lagi aktiviti yang saya lakukan. Saya pun tidak fikir ke arah itu. Susah pun ada. Terlampau banyak cerita-cerita gosip cinta ini. Saya mahu fokus dengan kerja. Saya pun ada hobi baharu iaitu bermain kereta kawalan jauh.

Elfaeza masih fobia dibuli

NAMA Elfaeza Ul Haq belum berantai dari bibir ke bibir. Belum terbiasa peminat industri seni lakon tempatan menyebut namanya apatah lagi mengenali peribadi bunga yang datang dari Kota Singa ini. Namun dalam kesederhanaan, wanita berusia 27 tahun ini mahu mencipta langkah. Dia sudah membikin gelombang kecil dalam kariernya. Lakonan sebagai Azie dalam drama fenomena Adam dan Hawa sudah meninggalkan kesan tersendiri. Di samping kegilaan khalayak terhadap watak Adam serta Hawa bawaan Nadiya Nisa dan Aaron Aziz, Elfaeza juga mendapat rentak serupa. Walaupun terpaksa membawa bayang-bayang karakter Azie untuk waktu ini, Elfaeza atau ringkas disapa Elfa setidak-tidaknya sudah meninggalkan ingatan. Kesan mula dalam langkah terawal bergelar aktres. Karier berjalan lancar Penggerak watak Azie selama 80 episod ini tahu 'roh' Azie masih berlegar dalam dirinya. Dia yang hadir sederhana dan manis di studio Utusan mengaku tidak merancang secara halus setiap gerak langkah. Sebaliknya diserahkan kepada jalan waktu dan takdir untuk bergerak. "Jalan karier sekarang bergerak lancar. Tidak ada kesesakan trafik," ketawanya kecil sambil disolek. Ungkap Elfa, usai Adam dan Hawa, dia muncul dalam dalam drama bersiri Cinta Qaseh arahan Feroz Kader. Malah rezekinya berjalan lancar ke drama Dalam Setiap Sujudnya yang yang kini bersiaran di saluran TV9. Masih dalam lingkungan selesa iaitu di bawah bimbingan sutradara dan produksi yang sama, atas nama kesyukuran Elfa berasa lingkungan keliling banyak membantu pergerakan kerjayanya. "Walaupun masih berada dalam lingkungan yang sama, saya berterima kasih kepada pihak kru dan tenaga produksi kerana banyak 'menjual' nama saya dan melancarkan kerjaya saya," ujarnya yang sudah menetap di Malaysia sejak 1 Mac tahun lalu. "Bercerita tentang watak Azie, saya sangat bersyukur kerana dapat peluang tersebut. Tawaran pertama saya di sini adalah adaptasi novel yang laris beserta para pelakon yang bagus. Memang drama ini dijangka sukses tetapi tidak terbayang akan jadi fenomena. Saya tidak pernah menyangka dan tempiasnya," jelasnya yang tidak cuba membuang bayang-bayang Azie sebaliknya menyahut jika dipanggil nama itu oleh umum. Meneroka kota Kuala Lumpur Bersendiri meneroka kehidupan di kota Kuala Lumpur sementelah keluarga di seberang tambak, untuk Elfa dia sudah terbiasa hidup berdikari. Dia nekad berkelana di sini kerana berasakan pergerakan lakonannya di Singapura sudah tersimpul. Sudah tidak mampu berkembang dan demi mahukan kemajuan, dia berhijrah. "Di Singapura saya sudah berlakon. Juga pernah menjadi pengarah dan produser teater kanak-kanak. Saya masuk dalam industri sejak umur 18 tahun melalui program nyanyian yang dinamakan Anugerah. Saya juga sempat menjadi hos bagi program kanak-kanak Krayon," terangnya yang bercita-cita menjadi seorang guru kerana gemarkan kanak-kanak. "Pada tahun 2008 sewaktu usia 21 tahun, saya sempat menetap di Kuala Lumpur. Sempat berlakon dua buah drama dengan watak kecil iaitu Impak Maksima dan KL Menjerit. Saya rasa usia terlalu muda untuk saya berdikari jadi saya pulang ke Singapura," cerita Elfa yang sudah menyertai persatuan Seniman sebagai langkah utama berdiri sebagai pelakon di sini. Merasakan sekarang masa yang sesuai untuk menggelecek bakatnya di padang lakonan, Elfa menyimpan hasrat untuk berlakon filem dan muncul dengan sebuah single nyanyiannya. "Dalam masa tiga tahun lagi saya mahu jadi aktres yang orang tahu bakat saya. Bukan hanya menjual wajah atau cerita, fokus bakat," azamnya yang menjadikan doa sebagai senjata utama persiapan menjadi anak seni.
"Saya rasa inilah waktunya. Lagipun saya bukan muda lagi. Umur sudah 27 tahun jadi saya perlu cepat mengejar cita-cita saya. Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak kelam-kabut," kata Elfa lagi. Bersendirian di sini, jika tidak sibuk di set penggambaran Elfa mengaku lebih gemar duduk di rumah. Bukan sekadar menimba pengalaman di lokasi, kegemaran menonton drama bersiri juga merupakan bekalan untuknya bergelar pelakon. "Saya suka menonton siri How I Met Your Mother, New Girl, White Collar dan terbaharu saya menonton drama Korea The Great Seer dan The Rooftop Prince," katanya dengan mata bersinar perihal drama kegemaran. "Kalau boleh saya mahukan watak-watak profesional seperti doktor atau wartawan. Saya suka menonton drama Amerika yang menjurus kepada profesion," terangnya yang pernah berlakon drama Inggeris bertajuk The Pupil waktu di Singapura. Pernah kena buli Wanita muda berdarah Pakistan ini mengaku dia fobia orang. Apatah lagi kalau berada dalam situasi yang penuh dengan manusia. "Saya takut berdepan orang tambah-tambah orang baharu. Nak datang sesi fotografi ini pun saya berdebar. Saya takutkan suasana, takut juga tersalah cakap," ujarnya yang mengelak menyakitkan hati orang. "Dahulu masa sekolah saya pernah dibuli rakan-rakan. Mereka pulaukan saya tanpa sebab. Mereka kata tidak berkenan melihat wajah saya, tiada sebab lain. Jadi sejak sekolah lagi saya sudah biasa bersendiri. Rakan-rakan tidak ramai," kata cerita Elfa yang kadangkala keluar bersama rakan-rakan baiknya, Shah Iskandar dan Dazrin Kamarudin. Kebiasaan itu terbawa-bawa hingga dewasa. Dia banyak bersendiri. Masa lapangnya dihabiskan di rumah untuk membaca atau ke gim, juga sendiri. "Sejak usia 24 tahun saya mahu bersikap berdikari. Mahu banyak masa sendirian bermuhasabah diri. Kalau keluar pun hanya untuk minum teh bersama rakan-rakan dan kadangkala berkaraoke. Saya tidak suka ke kelab (malam) sebab ramai orang," jujurnya bercerita sedikit kisah peribadinya. Menyendiri banyak membantu Elfa merenung ke depan untuk membuka gerak sebagai pelakon di Malaysia. Langkah Elfa masih baharu, masih hijau tanah yang dilaluinya. Semoga angin kemeriahan sambutan watak Azie terus membawa dirinya ke kincir kejayaan bergelar seorang aktres.

Nas Adila tidak sia-siakan bakat

DUNIA tariannya bermula sejak dari kecil lagi, mewarisi bakat ini dari ibunya. Bagi penyanyi dan pelakon, Nas Adila Mohd. Dan, 26, ini merupakan antara minat yang tidak mahu disia-siakan. Walaupun pada mulanya tarian hanya kekal sebagai penggerak buat setiap persembahan nyanyian, kini Nas memilih untuk membawa kebolehannya ini ke peringkat yang lebih tinggi. Merupakan pemilik studio tarian, D’apple Studio Dance & Slimming Center yang beroperasi di Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor. Nas memberitahu selain bertindak sebagai sumber kewangannya, perniagaan itu juga diibaratkan sebagai penyambung nyawa buat kerjaya seninya. “Saya memang suka menari, malah sejak dari kecil lagi saya sudah mendapat pendedahan daripada ibu saya yang juga merupakan bekas penari Yayasan Warisan Johor. “Baru beberapa bulan beroperasi saya dapat lihat sendiri sambutan yang diberikan amat menggalakkan. Bercakap soal cawangan saya fikir masih terlalu awal untuk saya fikirkan,"katanya. Menurut Nas, selain bergantung kepada minat, sebelum membuka perniagaan ini dia juga mengambil masa mempelajari teknik tarian yang betul dengan memasuki beberapa kelas tarian. “Sebelum benar-benar yakin untuk meneruskan perniagaan ini, saya sebenarnya ada memasuki beberapa kelas tarian. “Hampir setengah tahun juga saya membuat persiapan sebelum bersedia membuka perniagaan ini. Bukan apa memandangkan modal yang dilaburkan bukan sedikit, saya mengambil pelbagai langkah untuk memastikannya berjaya," katanya. Pernah menceburkan diri dalam perniagaan cuci kereta sebelum ini, menurut Nas, dia terpaksa melupakan perniagaan pertamanya itu kerana faktor masa dan minat. Mendedahkan modal untuk perniagaan terbarunya ini mencecah RM100,000, bagi Nas apa yang penting buat dirinya kini dia mahu studio tarian miliknya ini kekal menjadi aset buat masa depannya. “Mengapa saya memilih untuk membuka studio latihan tarian? Saya rasakan perniagaan ini merupakan pilihan yang paling dekat dengan jiwa saya. “Selain itu juga saya merupakan duta untuk produk perlangsingan D’Apple Fiber dan melalui aktiviti yang ditawarkan studio ini, saya sebenarnya membantu mereka untuk mendapatkan kesihatan yang lebih baik melalui senaman yang betul," kata Nas yang juga bekas bintang Akademi Fantasia musim tujuh. Demi masa depan Percaya dunia hiburan menempatkan peluang yang agak terhad buat pendatang baru sepertinya, bagi Nas, hanya melalui strategi yang betul dia mampu memastikan namanya kekal berada dalam pasaran. Malah tujuan utama dia membuka perniagaan ini juga adalah untuk membantu karier seninya. “Mungkin ramai yang tidak tahu aktiviti seni saya masih lagi berjalan seperti biasa, selain tawaran menyanyi saya juga sibuk memenuhi undangan berlakon. “Selain studio tarian, saya juga menyediakan kelas vokal serta perniagaan pengurusan acara," katanya. Tidak mahu dilihat sebagai artis tangkap muat, menurut Nas, dengan keadaan dunia hiburan kini, dia yakin bakat seni tidak seharusnya tertumpu kepada satu bidang sahaja. Memilih untuk mencuba setiap peluang yang tiba pelantun lagu I Love U ini percaya ini merupakan langkah yang paling tepat untuk kariernya. “Saya tidak akan melakukan sesuatu perkara itu kalau saya tidak mampu. “Saya suka menyanyi, menari dan berlakon, melihat peluang yang ada saya cuba mengubah minat saya ini kepada perniagaan. Walaupun begitu harus saya akui ia bukan sesuatu yang mudah untuk saya yang masih muda ini, namun berkat sokongan keluarga saya yakin dengan diri saya sendiri," katanya. Melalui jadual harian yang agak sibuk menurut Nas, jika dia terpaksa berada di luar daerah, perniagaannya itu akan diuruskan oleh empat pekerjanya. Bagaimanapun menatang perniagaannya ini ibarat “anak sulung", bagi Nas walau sesibuk manapun dia akan pastikan sempat untuk melihat perkembangan perniagaannya itu setiap hari. “Kalau saya tidak sempat datang pada waktu siang, saya akan pastikan saya datang pada waktu malam. “Bukan tidak percaya dengan kebolehan pekerja saya, namun ini merupakan perniagaan saya, jatuh bangun perniagaan ini bergantung kepada kesungguhan saya," katanya.

Janda? Buktikanlah! - Hanez

HANEZ masih bujang dan tak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Cuma Hanez pernah hampir berkahwin selepas bertunang satu masa dahulu. Malangnya kami tak jadi kahwin, " dedah pelakon Hanez Suraya berhubung status dirinya yang dikatakan janda. Keraguan tentang status Hanez itu berlaku apabila ada pihak mendakwa pelakon berusia 26 tahun ini pernah berkahwin sebelum menjalin hubungan cinta dengan kekasihnya, penyanyi Awi Rafael. "Semua khabar angin itu tak benar. Apabila tiba tentang soal status diri, orang bujang macam Hanez ni tak takut nak bagi kenyataan sebab berada di pihak yang benar. Tapi apa yang menghairankan Hanez apabila orang di luar lebih arif tentang diri Hanez sendiri. Ini soal maruah. Kalau setakat bercakap ikut sedap mulut dan tak ada bukti hitam putih, baik jangan cakap. Sebab itu, Hanez cabar orang yang buat fitnah itu tampil ke hadapan kemukakan kebenaran. Buktikan apa yang dikata tentang Hanez itu sememangnya benar," katanya dengan penuh emosi pada pertemuan baru-baru ini. Adakah Hanez sedar bahawa ada rakan industri yang mengaku rapat dengan Hanez kemudian bertindak memburuk-burukkan dirinya? Katanya: "Hanez tak tahu nak cakap macam mana kalau ada kawan-kawan terdekat buat Hanez macam itu. Hanez ni jenis yang berhati-hati dengan setiap tindakan dan memilih kawan." Namun dia menolak dakwaan kononnya kebanyakan kontroversi yang tercipta secara tidak langsung telah menaikkan namanya. "Kontroversi kadang kala menaikkan nama seseorang artis. Tapi Hanez ada pendirian iaitu tak suka cipta kontroversi semata-mata nak dapatkan publisiti," katanya. Risau Awi terasaPADA masa yang sama dia turut menyatakan rasa bimbang seandainya khabar angin mengenai status dirinya itu menjejaskan hubungan cintanya dengan Awi. "Kalau nak tahu hubungan cinta Hanez dengan Awi sekarang ini sangat baik. Biarpun timbul masalah, kami tak pernah menyalahkan antara satu dengan lain sebaliknya kami berbincang," jelasnya. Pada masa yang sama dia menyatakan rasa syukur kerana rezekinya dalam bidang lakonan semakin murah apabila ditawarkan watak hebat. "Berlakon adalah mata pencarian Hanez dan Hanez takkan sia-siakan. Hanez teringin nak berlakon dengan Namron atau Khairul Adzim satu hari nanti," harap pelakon yang mempunyai kelab peminat OfficialHSFC di hujung perbualan.

Siapa khianati Qazem?

NASIB malang yang terjadi kepada pelakon Qazem Nor bermula seminggu selepas bergelar suami kepada Nor Azuriana Amirudin atau mesra dipanggil Embun pada 20 Oktober tahun lalu. Pada waktu itu, kesabaran Qazem cukup diuji kerana majlis resepsi perkahwinan yang dijanjikan gilang gemilang oleh pihak penaja dibatalkan pada saat-saat akhir. Nampaknya nasib malang Qazem terus bertimpa-timpa apabila kini dia dikatakan kehilangan punca pendapatan dalam dunia lakonan angkara perbuatan khianat seseorang. “Benar saya tertekan sebab tak ada kerja selepas berkahwin dengan Embun. Pada mulanya saya beranggapan mungkin semua orang ingat saya masih dalam mood pengantin baru tapi apabila keadaan yang sama berterusan, terus jadi tanda tanya. “Saya juga perasan yang rakan-rakan terdekat yang selalu lepak bersama turut menyepi seribu bahasa. Kalau dahulu, ramai yang telefon bertanyakan khabar, bertanyakan peluang dan tawarkan kerja, sekarang ini langsung tak ada. Kadangkala saya rasa seolah-olah orang sekeliling tak sedar kehadiran saya. “Keadaan tak ada kerja ini turut menjejaskan keharmonian hubungan saya dengan Embun. Kesannya kami sering bertegang leher walaupun dalam soal remeh-temeh sedangkan sebelum ini tak pernah," katanya dalam nada kesal pada pertemuan pagi Isnin lalu. Mungkinkah ketiadaan tawaran berlakon disebabkan kehadiran Qazem tidak lagi menepati kehendak pasaran, bapa kepada tiga anak daripada perkahwinan terdahulu itu menafikannya. “Tak pernah berlaku dalam sejarah kerjaya saya apabila langsung tak ada kerja. Duduk di rumah goyang kaki sampaikan telefon bimbit langsung tak berdering. Selama ini rezeki saya dalam industri hiburan tak pernah putus. “Saya juga bukan jenis yang suka reka cerita. Apa yang berlaku pada saya ini memang kisah benar. Saya tak rasa cerita tentang khianat yang terjadi pada saya ini wajar direka untuk raih publisiti murahan," katanya bersungguh-sungguh. Dalam usaha untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi, pemilik nama Mohd. Nazim Atim dan bapa kepada Aqif Anaqy, 10, Muhammad Darial Ivan, 8, dan Nur Jasmien, 4, itu mengakui dia mengambil keputusan untuk menjalani sesi rawatan Islam di kampungnya di Teluk Intan, Perak. “Ini adalah kali kedua saya mengalami kisah ganjil sebegitu sebab sebelum ini berlaku masa duduk bujang. Masa itu, ada banyak kejadian pelik berlaku termasuk tumbuh tompok-tompok di kepala. “Saya anggap itu adalah kesan daripada amalan pemakanan tak menentu tapi sebenarnya adalah kerja khianat seseorang setelah diberitahu oleh seorang pakar agama," dedahnya. Bagaimanapun pelakon yang bakal berusia 40 tahun pada 23 November ini enggan mendedahkan siapa yang mengkhianati dirinya.

Puas berlakon di Malaysia - Randy

SAYA puas berlakon di sini. Bukan sahaja jalan cerita yang bagus tetapi sebagai pelakon saya mampu membawakan watak mengikut kehendak saya," luah Randy Pangalila baru-baru ini. Tidak pernah menyangka namanya bakal popular secepat ini di Malaysia, Randy tidak menafikan impak drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang dan Dalam Hati Ada Taman (DHAT) membawanya sampai ke tahap kini. Malah dia merasa megah melihatkan makin ramai peminat di sini yang ternanti-nanti kehadirannya dengan produk baru untuk pasaran tempatan. “Jika di Indonesia, saya terpaksa berlakon sehingga beratus-ratus episod untuk sesebuah sinetron. Kita bukan lagi mengejar kualiti tetapi perlu fokus untuk menghabiskan saja. “Biasanya sampai ke episod 25 sahaja perasaan teruja itu datang. Waktu itu skrip masih lagi segar dan ceritanya juga masih menarik. “Selepas itu kita terpaksa mengejar masa sampai satu tahap berlakon di tempat yang sama sahaja. Yang berubah hanyalah set pengambaran dan konflik yang diulang-ulang untuk menarik perhatian peminat. “Walaupun perkara itu kurang memberangsangkan tetapi peminat di sana masih menerima. Berlakon ala kadar sekalipun, rating tetap tinggi dan itu yang semua pelakon kena kejar. “Berbanding di sini, kita akan berubah lokasi hampir setiap hari. Pelakon juga diberi skrip dan boleh menggayakan watak itu dengan cara mereka. Mana babak sedih atau gembira kita boleh tahu dahulu. “Tidak ada batas untuk saya mengembangkan bakat dengan cara sendiri. Ternyata berlakon di sini lebih memberikan kepuasan kepada saya," kata Randy. Kehadirannya di Kuala Lumpur minggu lalu sempena majlis ramah mesra bersama para peminat setia dan meraikan episod akhir drama DHAT. Biarpun kesuntukan masa dengan jadual penggambaran yang ketat, Randy tidak mahu melepaskan peluang apatah lagi acara itu sudah dirancang sebelum DHAT ditayangkan lagi. Tidak mahu terus gelojoh menerima pelbagai tawaran yang datang, Randy hanya mahu fokus kepada beberapa perkara yang sudah direncanakan sebelum ini. Mengakui dia menerima banyak tawar- an oleh beberapa produksi di sini, Randy hanya memilih satu sahaja tawaran tersebut yang dianggap cukup sesuai buat dirinya. “Micheal Ang (pengarah DHAT) ada beritahu beberapa produksi berminat mengambil saya berlakon di sini. Melalui apa yang dikatakan itu, saya mungkin akan menerima satu sahaja filem jika mengambil kira faktor masa. “Saya tak mahu gelojoh. Mungkin setahun satu atau dua projek di sini sahaja yang akan saya ambil kerana fokus masih tetap di Indonesia. Saya juga risau kalau peminat di sini bosan melihat wajah saya selalu," katanya tertawa. Sensasi MENGULAS lanjut mengenai isu drama tidak berkualiti yang dibangkitkan oleh Julia Perez baru-baru ini, Randy menganggap apa yang dikatakan oleh Jupe itu merupakan pandangan peribadinya semata-mata. “Ini dunia sensasi. Apa yang dikatakan oleh Jupe itu satu perkara yang sensasi dan jadi popular dengan isu berkenaan. Cuma kita kena lihat kembali apa yang diperkatakan oleh Jupe. “Semua negara pun ada menayangkan drama yang berkualiti dan tidak. Sama seperti Hollywood sekalipun, masih ada filem-filem yang ditayangkan jelik dan tidak berkualiti. Bergantung kepada orang yang membuatnya. “Di Indonesia misalnya, ramai yang anggap ada sinetron yang tak bagus tetapi kalau lihat pada beberapa filem di sana, memang hebat. Contohnya Ayat-Ayat Cinta, Ada Apa Dengan Cinta dan banyak lagi. “Itu antara contoh filem yang memang berkualiti dan bagus. Saya anggap apa yang diperkatakan Jupe hanyalah pandangan dia terhadap apa yang dilihat, bukan pandangan umum," tegas Randy yang lebih popular di layar kaca daripada layar perak.

Kenapa sasar saya? - Mimie O.N.E

BERKELAKUAN seperti orang tak normal, Shamimi Amalina Norhisham atau lebih dikenali dengan panggilan Mimie kali ini terkena lagi. Merupakan satu-satunya anggota wanita dalam kumpulan One Nation Emcees (ONE), Mimie bagai tidak dapat lari daripada kontroversi sama ada cetusannya secara sengaja atau tidak. Kali ini, Mimie berdepan dengan tuduhan ‘ting tong’ di khalayak ramai dalam sebuah majlis hiburan baru-baru ini. Bila dah jadi begitu, maka ramailah yang mula buat spekulasi bahawa Mimie seolah-olah seperti berada di bawah pengaruh luar. Ada yang kata, Mimie terhuyung-hayang sebab pengaruh alkohol, ambil ‘barang’ dan macam-macam tohmahan lainlah! Maka, banyaklah yang mengaku sakit mata melihat perangai dan kerenah si Mimie yang tak tentu arah ni. Iyalah, dalam majlis kenapa nak ting tong pula kan. Situasi itu menyebabkan Mimie dikecam kerana dianggap tidak menghormati majlis dan tetamu yang hadir. Pancaindera membuka ruang buat Mimie untuk memberikan penjelasan mengenai apa sebenarnya yang berlaku. Lalu ini jawapan Mimie. Dituduh‘ ting tong’ dalam sebuah majlis baru-baru ini, apa cerita ni Mimie? Buat hal apa pula kali ni? Saya tak faham kenapa orang menganggap saya tak normal ketika itu. Saya normal okey! Apa yang lebih mengejutkan ada yang melabel saya dengan perkataan ‘ting tong’. Apa tu? Saya okey saja masa hal tu berlaku. Jadi apa yang berlaku sebenarnya. Cuba cerita dengan jujur. Entahlah. Apa yang saya tahu, saya dijemput untuk buat persembahan bersama kumpulan O.N.E. Tak ada apa yang aneh pun. Jadi apa masalahnya? Kalau tak aneh maka tak adalah orang mengata. Semua orang nampak Mimie macam ‘ting tong’ ketika itu. Memang masa tu saya datang untuk menyanyi dan buat persembahan. Lagu yang kami nyanyikan lagu Anak Kampung. Semua orang tahu lagu tu lagu rancak, tak akanlah saya nak kaku di atas pentas? Kalau nak sentuh bab menari, saya memang agresif. Sebagaimana saya buat persembahan di mana-mana tempat lain, macam itu jugalah saya ketika di atas pentas. Jadi apa yang tak kenanya? Mimie didakwa berkelakuan tak normal, macam orang tak betul sejak masuk ke dalam dewan lagi. Apa alasan Mimie? Kalau orang nak cakap pasal karakter saya, memang itulah karakter saya. Seorang yang happy go lucky. Takkanlah sebab saya seorang saja wanita yang berambut panjang, agresif dan menari gila-gila di atas pentas sedangkan artis lain yang datang boleh dikategorikan sopan dan baik, maka saya dijadikan sasaran untuk orang mencipta isu? Padahal, saya sangat okey dan kawan-kawan saya pun tahu (keadaan) saya okey. Jadi Mimie cuba katakan yang ada pihak cuba cari kesalahan Mimie dengan sengaja? Begitu? Ya. Mungkin mereka tengok saya ni mudah dijadikan sasaran untuk cerita-cerita begini, maka orang buat. Saya anggap ini satu dugaan. Sebelum ini pun saya dah pernah terkena. Jadi artis ni biasalah... sekali dua memang akan terkena. Tapi saya nak orang tahu yang saya tak ‘ting tong’. Istilah ‘ting tong’ menunjukkan (perangai) saya gila-gila tu lainlah. Itu memang karakter saya. Tapi ‘ting tong’ sebab benda lain memang salah. Ada yang buat spekulasi Mimie jadi begitu sebab berada di bawah pengaruh luar. Sama ada mabuk atau ambil ‘barang’. Apa komen Mimie? Mabuk? Majlis tu tengah hari kot. Nak mabuk tengah hari buta? Mengarutlah. Janganlah sampai macam tu buat cerita pasal saya. Tapi saya tak salahkan orang sebab masing-masing ada persepsi sendiri. Macam saya boleh buat persepsi sendiri tentang orang walaupun saya tak kenal orang tu. Macam tu jugalah orang lain. Reaksi Mimie bila dapat tahu mengenai isu ini? Saya memang tergelak. Malah kawan-kawan yang kenal saya pun ketawa sebab mereka tahu saya macam mana. Saya memang selalu ‘ting tong’ (gila-gila). Bukan masa tu saja. Sebab itu adalah diri saya yang sebenar. Buat apa saya nak ‘plastik’ dan hipokrit, depan orang saya buat-buat sopan, di belakang saya jadi agresif. Itu seperti saya menipu diri sendiri. Tapi terus-terang, saya tak marah pun benda macam ni terjadi sebab saya tahu, bila orang tak kenal saya maka inilah jadinya. Bagi mereka yang kenal, mereka akan tahu Mimie ni orang yang bagaimana. Jadi memang tak kesallah perkara macam ni berlaku? Orang cuba nak rosakkan nama Mimie. Takkan tak marah? Betul saya okey dan terima hal ini dengan terbuka. Tapi saya mengaku, bila isu ini keluar, ibu saya bertanya pada saya dan tak suka dengan cerita macam tu. Bukan mudah untuk saya memandangkan dia cukup arif dengan dunia penyiaran dan hiburan. Nak tak nak saya kena hadapi dengan senyuman. Mungkin lepas ni Mimie kena kawal sikit kelakuan. Iyalah, tak semua orang di Malaysia ni suka dengan wanita yang ‘huha huha’. Mungkin juga. Saya tak tolak teguran-teguran sebegini. Tapi kalau saya tak agresif, dari awal saya masuk dalam industri dan menang program Gangstarz dulu, mungkin kumpulan saya tak akan menang dan kami tak akan berada di kedudukan sekarang. Tapi saya lega sebab peminat yang kenal, mereka banyak bagi sokongan dan tak kisah sangat dengan hal ini. Apa pun saya minta maaf kepada mereka yang mungkin tak selesa dengan karakter saya. Dalam lima perkataan, bagaimana Mimie kelaskan karakter Mimie? Saya seorang yang misteri, lantang, berjiwa besar, bebas dan periang.

Debar hati Liyana

JURANG seminggu sebelum diijabkabulkan ternyata menjadi fasa yang cukup digeruni oleh pasangan ini. Bukan tidak gembira sebaliknya debaran untuk disatukan sebagai suami isteri cukup menghambat rasa. Bagi Liyana Jasmay, impiannya akan tercapai dalam tempoh terdekat ini. Tidak pernah ralat untuk mengakhiri zaman bujang pada usia muda, dia tekad ini masa terbaik untuknya mendirikan rumah tangga. Memilih Fathuddin Mazlan sebagai teman hidup, Liyana tahu hati budi lelaki itu. Menempuh fasa percintaan sebelum ini, lelaki itu jugalah yang berjaya mencuri hatinya. Tidak pernah ragu dalam membuat keputusan besar begini, dia tahu Fathuddin akan menjaganya sampai ke akhir hayat. Sikap manja Liyana menjadi rencah untuk mereka menyatukan cinta ke jenjang pelamin. "Saya tidak pernah ralat untuk mengakhiri zaman bujang seawal ini. Saya juga anggap ini merupakan keputusan yang tepat dan besar yang pernah saya buat dalam hidup. "Ini adalah permulaan baru hidup saya. Selama ini saya hidup bersama keluarga besar tetapi ini merupakan titik permulaan untuk saya hidup dengan keluarga sendiri. "Perjalanan baru inilah yang akan saya lalui bersama dengan Fathuddin. Bukan bermakna saya mengetepikan terus keluarga tetapi ini laluan baru yang harus ditempuhi," jelas Liyana. Melihatkan raut wajah gadis kecil molek ini, terpancar seraut wajah yang cukup berseri-seri. Tidak pernah putus mengucapkan syukur, dia mahu majlis perkahwinan yang dilangsungkan 2 Februari ini berjalan lancar seperti yang diimpikan. Bagi gadis serba boleh ini, dia mahu mengadakan majlis yang sederhana. Cukup dengan kehadiran kaum keluarga, kenalan dan sahabat handai. Tanpa memerlukan banyak tenaga kerja, Liyana percaya ahli keluarganya telah melakukan yang terbaik terutama kakaknya yang bekerja keras berbulan-bulan lama untuk merealisasikan hari bahagianya itu. Biasa di dapurRALIT bercerita mengenai perkahwinan, Liyana kelihatan cukup gembira apabila bercerita mengenai bakal suaminya. Menyifatkan lelaki tersebut sebagai penyabar, atas faktor itu juga yang membuatkan hatinya terpaut pada sikap terpuji itu. "Saya ini jenis yang kelam kabut. Kalau ada perkara yang terjadi tiba-tiba saya akan panik dan buat macam-macam perkara yang pelik sejak dulu. "Tapi bila kami bersama, dia akan cuba kawal keadaan. Dia akan cuba tenteramkan perangai kelam kabut saya. Itu memang buat saya tenang kalau dia ada bersama. "Apa yang paling penting dia seorang yang penyabar. Dia tahu saya anak manja. Bila macam-macam perkara yang berlaku sebelum ini, dia sabar menghadapi kerenah saya. "Mungkin ini lelaki yang baik buat saya. Saya tidak salah membuat keputusan bahawasanya saya bertuah memilikinya. Semoga persefahaman ini akan berkekalan sampai bila-bila," luah gadis yang berusia 25 tahun ini. Bercerita mengenai persiapan diri pula, ternyata Liyana telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri. Baginya, soal memasak bukan perkara sukar memandangkan hampir kesemua adik beradiknya boleh memasak hasil didikan ibu mereka. "Orang baru berkahwin pasti akan menghadapi situasi macam ni. Alhamdulillah saya tidak menghadapi isu itu sebab biasa ke dapur sejak kecil lagi. "Cuma bila berkahwin nanti, saya kena belajar masak makanan Itali. Fathuddin memang gemar makanan Itali tetapi saya belum mahir," katanya. Ikut kehendak hatiTREND perkahwinan ditaja bukan situasi asing bagi artis apabila ada persefahaman antara kedua-dua pihak. Namun berbeza dengan pelakon filem Papadom 2 ini yang tekad enggan menerima sebarang tajaan untuk hari bahagianya. "Memang ramai yang menyatakan hasrat untuk menaja perkahwinan kami. Ada yang nak taja baju, lokasi, pelamin, bunga dan macam-macam. Tapi semua saya tolak. "Saya tak mahu terikat dengan mereka. Kalau boleh biarlah saya rasa sendiri macam mana perit nak buat itu ini. Situasi-situasi macam ini bukan senang nak dapat. "Biarlah saya keluarkan duit sendiri untuk buat semua (persiapan perkahwinan). Mujur ada kakak saya yang memang sudah berpengalaman sebelum ini. Dia banyak bantu dan urus segalanya," jelas Lityana. Mengimpikan perkahwinan bertemakan romantis, dia memilih gaun pengantin rekaan Jovian Mandagie dan Rizman Ruzaini. Malah keputusan untuk memilih kek perkahwinan, makanan, lagu-lagu yang bakal didendangkan juga dibuat bersama kekasih hatinya. "Saya merasakan baju itu adalah kunci kepada sesebuah perkahwinan. Sebab itu saya sangat menitik berat soal itu sampai minta mereka buat baju mengikut kehendak saya. "Segala-galanya romantis buat kami. Apa yang saya fikir mampu membuai perasaan itu, saya akan selit di dalam majlis kami nanti. Saya mahu tetamu yang hadir rasa apa yang kami rasa," katanya. Terus berkaryaBIARPUN sudah bergelar isteri nanti, kecintaan Liyana terhadap lakonan, nyanyian dan pengarahan tidak mungkin terpadam. Tegasnya, dia akan terus aktif memandangkan syarikat produksi Mermaid Studios miliknya masih baru dan memerlukan perhatian untuk bersaing dalam bidang penerbitan. "Fathuddin tidak pernah beri syarat untuk saya berhenti berlakon selepas kahwin. Tetapi sebagai isteri saya perlu mengutamakan keluarga kemudian kerjaya yang memang sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. "Selepas kami berkahwin saya akan ke New York, Amerika Syarikat untuk penggambaran. Nampaknya saya akan bawa Fathuddin bersama nanti memandangkan hanya itu sahaja masa yang kami ada. "Mungkin habis sahaja penggambaran saya dan dia akan meneruskan perjalanan ke London dan Rom memandangkan dua tempat itu yang masih belum dia kunjungi," ceritanya. Dia yang baru sahaja menamatkan pelajaran di Akademi Filem New York (NYFA) juga memberitahu akan menetap di Kota Kinabalu, Sabah selepas berkahwin kerana mengikut bakal suaminya yang bekerja di sana. Namun dia akan selalu berulang alik antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu atas tuntutan kerja seninya di sini. "Kalau nak fikir soal kerjaya memang banyak sebenarnya perancangan saya. Selain menunggu tayangan tiga buah filem untuk tahun ini (Papadom 2 dan Isyarat Cinta), saya juga perlu fokus pada bidang nyanyian. "Belum ada rasa nak tinggalkan dunia nyanyian sebab itu memang minat saya. Nampaknya ramai yang suka dengan lagu Cinta Bersatu dendangan saya. Mungkin tak lama lagi akan ada album baru. "Melalui syarikat Mermaid pula, saya akan mengeluarkan beberapa lagi telefilem menarik. Berdasarkan sambutan sebelum ni memang ramai yang suka dengan produk Mermaid. "Itu sebenarnya menambahkan lagi azam saya untuk terus berjaya dalam bidang seni," katanya yang sebelum ini pernah menerbitkan drama antaranya Cik Paris Diva Kampung, Tudung Tweet dan Basikal Pixie Kampung Berangan.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails