Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Debar hati Liyana

JURANG seminggu sebelum diijabkabulkan ternyata menjadi fasa yang cukup digeruni oleh pasangan ini. Bukan tidak gembira sebaliknya debaran untuk disatukan sebagai suami isteri cukup menghambat rasa. Bagi Liyana Jasmay, impiannya akan tercapai dalam tempoh terdekat ini. Tidak pernah ralat untuk mengakhiri zaman bujang pada usia muda, dia tekad ini masa terbaik untuknya mendirikan rumah tangga. Memilih Fathuddin Mazlan sebagai teman hidup, Liyana tahu hati budi lelaki itu. Menempuh fasa percintaan sebelum ini, lelaki itu jugalah yang berjaya mencuri hatinya. Tidak pernah ragu dalam membuat keputusan besar begini, dia tahu Fathuddin akan menjaganya sampai ke akhir hayat. Sikap manja Liyana menjadi rencah untuk mereka menyatukan cinta ke jenjang pelamin. "Saya tidak pernah ralat untuk mengakhiri zaman bujang seawal ini. Saya juga anggap ini merupakan keputusan yang tepat dan besar yang pernah saya buat dalam hidup. "Ini adalah permulaan baru hidup saya. Selama ini saya hidup bersama keluarga besar tetapi ini merupakan titik permulaan untuk saya hidup dengan keluarga sendiri. "Perjalanan baru inilah yang akan saya lalui bersama dengan Fathuddin. Bukan bermakna saya mengetepikan terus keluarga tetapi ini laluan baru yang harus ditempuhi," jelas Liyana. Melihatkan raut wajah gadis kecil molek ini, terpancar seraut wajah yang cukup berseri-seri. Tidak pernah putus mengucapkan syukur, dia mahu majlis perkahwinan yang dilangsungkan 2 Februari ini berjalan lancar seperti yang diimpikan. Bagi gadis serba boleh ini, dia mahu mengadakan majlis yang sederhana. Cukup dengan kehadiran kaum keluarga, kenalan dan sahabat handai. Tanpa memerlukan banyak tenaga kerja, Liyana percaya ahli keluarganya telah melakukan yang terbaik terutama kakaknya yang bekerja keras berbulan-bulan lama untuk merealisasikan hari bahagianya itu. Biasa di dapurRALIT bercerita mengenai perkahwinan, Liyana kelihatan cukup gembira apabila bercerita mengenai bakal suaminya. Menyifatkan lelaki tersebut sebagai penyabar, atas faktor itu juga yang membuatkan hatinya terpaut pada sikap terpuji itu. "Saya ini jenis yang kelam kabut. Kalau ada perkara yang terjadi tiba-tiba saya akan panik dan buat macam-macam perkara yang pelik sejak dulu. "Tapi bila kami bersama, dia akan cuba kawal keadaan. Dia akan cuba tenteramkan perangai kelam kabut saya. Itu memang buat saya tenang kalau dia ada bersama. "Apa yang paling penting dia seorang yang penyabar. Dia tahu saya anak manja. Bila macam-macam perkara yang berlaku sebelum ini, dia sabar menghadapi kerenah saya. "Mungkin ini lelaki yang baik buat saya. Saya tidak salah membuat keputusan bahawasanya saya bertuah memilikinya. Semoga persefahaman ini akan berkekalan sampai bila-bila," luah gadis yang berusia 25 tahun ini. Bercerita mengenai persiapan diri pula, ternyata Liyana telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri. Baginya, soal memasak bukan perkara sukar memandangkan hampir kesemua adik beradiknya boleh memasak hasil didikan ibu mereka. "Orang baru berkahwin pasti akan menghadapi situasi macam ni. Alhamdulillah saya tidak menghadapi isu itu sebab biasa ke dapur sejak kecil lagi. "Cuma bila berkahwin nanti, saya kena belajar masak makanan Itali. Fathuddin memang gemar makanan Itali tetapi saya belum mahir," katanya. Ikut kehendak hatiTREND perkahwinan ditaja bukan situasi asing bagi artis apabila ada persefahaman antara kedua-dua pihak. Namun berbeza dengan pelakon filem Papadom 2 ini yang tekad enggan menerima sebarang tajaan untuk hari bahagianya. "Memang ramai yang menyatakan hasrat untuk menaja perkahwinan kami. Ada yang nak taja baju, lokasi, pelamin, bunga dan macam-macam. Tapi semua saya tolak. "Saya tak mahu terikat dengan mereka. Kalau boleh biarlah saya rasa sendiri macam mana perit nak buat itu ini. Situasi-situasi macam ini bukan senang nak dapat. "Biarlah saya keluarkan duit sendiri untuk buat semua (persiapan perkahwinan). Mujur ada kakak saya yang memang sudah berpengalaman sebelum ini. Dia banyak bantu dan urus segalanya," jelas Lityana. Mengimpikan perkahwinan bertemakan romantis, dia memilih gaun pengantin rekaan Jovian Mandagie dan Rizman Ruzaini. Malah keputusan untuk memilih kek perkahwinan, makanan, lagu-lagu yang bakal didendangkan juga dibuat bersama kekasih hatinya. "Saya merasakan baju itu adalah kunci kepada sesebuah perkahwinan. Sebab itu saya sangat menitik berat soal itu sampai minta mereka buat baju mengikut kehendak saya. "Segala-galanya romantis buat kami. Apa yang saya fikir mampu membuai perasaan itu, saya akan selit di dalam majlis kami nanti. Saya mahu tetamu yang hadir rasa apa yang kami rasa," katanya. Terus berkaryaBIARPUN sudah bergelar isteri nanti, kecintaan Liyana terhadap lakonan, nyanyian dan pengarahan tidak mungkin terpadam. Tegasnya, dia akan terus aktif memandangkan syarikat produksi Mermaid Studios miliknya masih baru dan memerlukan perhatian untuk bersaing dalam bidang penerbitan. "Fathuddin tidak pernah beri syarat untuk saya berhenti berlakon selepas kahwin. Tetapi sebagai isteri saya perlu mengutamakan keluarga kemudian kerjaya yang memang sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. "Selepas kami berkahwin saya akan ke New York, Amerika Syarikat untuk penggambaran. Nampaknya saya akan bawa Fathuddin bersama nanti memandangkan hanya itu sahaja masa yang kami ada. "Mungkin habis sahaja penggambaran saya dan dia akan meneruskan perjalanan ke London dan Rom memandangkan dua tempat itu yang masih belum dia kunjungi," ceritanya. Dia yang baru sahaja menamatkan pelajaran di Akademi Filem New York (NYFA) juga memberitahu akan menetap di Kota Kinabalu, Sabah selepas berkahwin kerana mengikut bakal suaminya yang bekerja di sana. Namun dia akan selalu berulang alik antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu atas tuntutan kerja seninya di sini. "Kalau nak fikir soal kerjaya memang banyak sebenarnya perancangan saya. Selain menunggu tayangan tiga buah filem untuk tahun ini (Papadom 2 dan Isyarat Cinta), saya juga perlu fokus pada bidang nyanyian. "Belum ada rasa nak tinggalkan dunia nyanyian sebab itu memang minat saya. Nampaknya ramai yang suka dengan lagu Cinta Bersatu dendangan saya. Mungkin tak lama lagi akan ada album baru. "Melalui syarikat Mermaid pula, saya akan mengeluarkan beberapa lagi telefilem menarik. Berdasarkan sambutan sebelum ni memang ramai yang suka dengan produk Mermaid. "Itu sebenarnya menambahkan lagi azam saya untuk terus berjaya dalam bidang seni," katanya yang sebelum ini pernah menerbitkan drama antaranya Cik Paris Diva Kampung, Tudung Tweet dan Basikal Pixie Kampung Berangan.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails