Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Elfaeza masih fobia dibuli

NAMA Elfaeza Ul Haq belum berantai dari bibir ke bibir. Belum terbiasa peminat industri seni lakon tempatan menyebut namanya apatah lagi mengenali peribadi bunga yang datang dari Kota Singa ini. Namun dalam kesederhanaan, wanita berusia 27 tahun ini mahu mencipta langkah. Dia sudah membikin gelombang kecil dalam kariernya. Lakonan sebagai Azie dalam drama fenomena Adam dan Hawa sudah meninggalkan kesan tersendiri. Di samping kegilaan khalayak terhadap watak Adam serta Hawa bawaan Nadiya Nisa dan Aaron Aziz, Elfaeza juga mendapat rentak serupa. Walaupun terpaksa membawa bayang-bayang karakter Azie untuk waktu ini, Elfaeza atau ringkas disapa Elfa setidak-tidaknya sudah meninggalkan ingatan. Kesan mula dalam langkah terawal bergelar aktres. Karier berjalan lancar Penggerak watak Azie selama 80 episod ini tahu 'roh' Azie masih berlegar dalam dirinya. Dia yang hadir sederhana dan manis di studio Utusan mengaku tidak merancang secara halus setiap gerak langkah. Sebaliknya diserahkan kepada jalan waktu dan takdir untuk bergerak. "Jalan karier sekarang bergerak lancar. Tidak ada kesesakan trafik," ketawanya kecil sambil disolek. Ungkap Elfa, usai Adam dan Hawa, dia muncul dalam dalam drama bersiri Cinta Qaseh arahan Feroz Kader. Malah rezekinya berjalan lancar ke drama Dalam Setiap Sujudnya yang yang kini bersiaran di saluran TV9. Masih dalam lingkungan selesa iaitu di bawah bimbingan sutradara dan produksi yang sama, atas nama kesyukuran Elfa berasa lingkungan keliling banyak membantu pergerakan kerjayanya. "Walaupun masih berada dalam lingkungan yang sama, saya berterima kasih kepada pihak kru dan tenaga produksi kerana banyak 'menjual' nama saya dan melancarkan kerjaya saya," ujarnya yang sudah menetap di Malaysia sejak 1 Mac tahun lalu. "Bercerita tentang watak Azie, saya sangat bersyukur kerana dapat peluang tersebut. Tawaran pertama saya di sini adalah adaptasi novel yang laris beserta para pelakon yang bagus. Memang drama ini dijangka sukses tetapi tidak terbayang akan jadi fenomena. Saya tidak pernah menyangka dan tempiasnya," jelasnya yang tidak cuba membuang bayang-bayang Azie sebaliknya menyahut jika dipanggil nama itu oleh umum. Meneroka kota Kuala Lumpur Bersendiri meneroka kehidupan di kota Kuala Lumpur sementelah keluarga di seberang tambak, untuk Elfa dia sudah terbiasa hidup berdikari. Dia nekad berkelana di sini kerana berasakan pergerakan lakonannya di Singapura sudah tersimpul. Sudah tidak mampu berkembang dan demi mahukan kemajuan, dia berhijrah. "Di Singapura saya sudah berlakon. Juga pernah menjadi pengarah dan produser teater kanak-kanak. Saya masuk dalam industri sejak umur 18 tahun melalui program nyanyian yang dinamakan Anugerah. Saya juga sempat menjadi hos bagi program kanak-kanak Krayon," terangnya yang bercita-cita menjadi seorang guru kerana gemarkan kanak-kanak. "Pada tahun 2008 sewaktu usia 21 tahun, saya sempat menetap di Kuala Lumpur. Sempat berlakon dua buah drama dengan watak kecil iaitu Impak Maksima dan KL Menjerit. Saya rasa usia terlalu muda untuk saya berdikari jadi saya pulang ke Singapura," cerita Elfa yang sudah menyertai persatuan Seniman sebagai langkah utama berdiri sebagai pelakon di sini. Merasakan sekarang masa yang sesuai untuk menggelecek bakatnya di padang lakonan, Elfa menyimpan hasrat untuk berlakon filem dan muncul dengan sebuah single nyanyiannya. "Dalam masa tiga tahun lagi saya mahu jadi aktres yang orang tahu bakat saya. Bukan hanya menjual wajah atau cerita, fokus bakat," azamnya yang menjadikan doa sebagai senjata utama persiapan menjadi anak seni.
"Saya rasa inilah waktunya. Lagipun saya bukan muda lagi. Umur sudah 27 tahun jadi saya perlu cepat mengejar cita-cita saya. Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak kelam-kabut," kata Elfa lagi. Bersendirian di sini, jika tidak sibuk di set penggambaran Elfa mengaku lebih gemar duduk di rumah. Bukan sekadar menimba pengalaman di lokasi, kegemaran menonton drama bersiri juga merupakan bekalan untuknya bergelar pelakon. "Saya suka menonton siri How I Met Your Mother, New Girl, White Collar dan terbaharu saya menonton drama Korea The Great Seer dan The Rooftop Prince," katanya dengan mata bersinar perihal drama kegemaran. "Kalau boleh saya mahukan watak-watak profesional seperti doktor atau wartawan. Saya suka menonton drama Amerika yang menjurus kepada profesion," terangnya yang pernah berlakon drama Inggeris bertajuk The Pupil waktu di Singapura. Pernah kena buli Wanita muda berdarah Pakistan ini mengaku dia fobia orang. Apatah lagi kalau berada dalam situasi yang penuh dengan manusia. "Saya takut berdepan orang tambah-tambah orang baharu. Nak datang sesi fotografi ini pun saya berdebar. Saya takutkan suasana, takut juga tersalah cakap," ujarnya yang mengelak menyakitkan hati orang. "Dahulu masa sekolah saya pernah dibuli rakan-rakan. Mereka pulaukan saya tanpa sebab. Mereka kata tidak berkenan melihat wajah saya, tiada sebab lain. Jadi sejak sekolah lagi saya sudah biasa bersendiri. Rakan-rakan tidak ramai," kata cerita Elfa yang kadangkala keluar bersama rakan-rakan baiknya, Shah Iskandar dan Dazrin Kamarudin. Kebiasaan itu terbawa-bawa hingga dewasa. Dia banyak bersendiri. Masa lapangnya dihabiskan di rumah untuk membaca atau ke gim, juga sendiri. "Sejak usia 24 tahun saya mahu bersikap berdikari. Mahu banyak masa sendirian bermuhasabah diri. Kalau keluar pun hanya untuk minum teh bersama rakan-rakan dan kadangkala berkaraoke. Saya tidak suka ke kelab (malam) sebab ramai orang," jujurnya bercerita sedikit kisah peribadinya. Menyendiri banyak membantu Elfa merenung ke depan untuk membuka gerak sebagai pelakon di Malaysia. Langkah Elfa masih baharu, masih hijau tanah yang dilaluinya. Semoga angin kemeriahan sambutan watak Azie terus membawa dirinya ke kincir kejayaan bergelar seorang aktres.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails