Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jalin semula hubungan lama - Zakiah Anas

PERSONALITI televisyen yang dikenali melalui program 999 di TV3 iaitu Zakiah Anas nyata gembira dan teruja setelah kembali bergelar isteri apabila selamat disatukan dengan insan istimewa di hatinya, Raja Shahrul Azmi Raja Sahar, 42, pada 12 Disember lalu. Menurut Zakiah, perkahwinan kali kedua bersama ahli perniagaan ini merupakan sesuatu yang istimewa. Ini kerana mereka telah lama berkenalan sebelum ini, iaitu sewaktu sedang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi. "Kami mula berkenalan kira-kira 20 tahun yang lalu, sewaktu masing-masing menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM). "Pada waktu itu, saya mengambil jurusan Komunikasi Massa sementara Shahrul pula dalam bidang Pelancongan dan Pengurusan Hotel. "Tetapi, perkenalan yang terjalin itu tidak berkekalan lama apabila Shahrul mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Jepun," katanya yang mengimbau detik manis pertemuan mereka. Tambah Zakiah, mungkin jodoh antara mereka sudah ditakdirkan pada waktu itu apabila mereka bertemu semula setahun yang lalu sewaktu kes perceraian Zakiah hampir selesai. Tanggal 19 Januari juga pastinya tarikh yang akan kekal menjadi memori manis dalam hidup pasangan ini kerana pada hari itulah majlis resepsi mereka diadakan yang disambut dengan meriah oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat. Sungguhpun majlis yang diadakan lebih berkonsepkan santai dan sederhana, tetapi ia tetap berlangsung dalam suasana meriah apatah lagi ia turut dihadiri personaliti TV3 yang lain antaranya Azizah Ariffin, Azura Karim, Mazidul Akmal Sidek dan juga Ras Adiba Radzi. Jelas Zakiah, dia tidak mahu mengadakan majlis resepsi pada skala yang lebih besar kerana menyedari zaman kegemilangannya sebagai personaliti televisyen sudah pun berlalu. "Saya sedar siapa diri saya. Zaman populariti yang pernah dikecapi dahulu juga sudah berlalu dan usia juga bukan bertambah muda. "Jadi saya lebih selesa mengadakan majlis pada skala kecil seperti ini kerana perkahwinan kedua saya ini merupakan sesuatu yang berbentuk peribadi," katanya yang kini berusia 46 tahun. Serasi bersama Selepas kes perceraian dengan bekas suami selesai, Zakiah mengatakan tidak terdetik dalam hatinya pada waktu itu untuk kembali menjalinkan hubungan yang serius dengan mana-mana lelaki, apatah lagi mendirikan rumah tangga buat kali kedua sepantas ini. "Selepas memegang status ibu tunggal semenjak November 2011 lalu, saya tidak menyangka akan kembali bergelar isteri secepat ini. "Tetapi benar jodoh dan pertemuan itu ketentuan Ilahi. Semenjak bertemu dengan Shahrul, hati ini kembali terbuka untuk menerima kehadiran seorang suami," katanya yang mempunyai tiga cahaya mata melalui perkahwinan terdahulu iaitu Aiman Muzammil, 18, Amir Muzhaffar, 14, dan juga Ashfeeya Myazarra, 6. Menurut Zakiah lagi, dia berharap perkahwinan keduanya ini akan menjadi yang terakhir dan semoga hubungan yang terjalin kini berkekalan sehingga ke akhir hayat mereka berdua. "Seperti wanita lain, satu sahaja yang saya impikan dalam perkahwinan ini iaitu agar mahligai yang dibina berkekalan dan kami bahagia bersama. Shahrul ternyata mempunyai ciri-ciri lelaki idaman saya dimana kami mempunyai banyak persamaan," jelasnya lagi. Seperti juga Zakiah, perkahwinan ini juga merupakan yang kedua buat Shahrul dan hasil perkahwinan terdahulu, dia telah dikurniakan empat cahaya mata.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails