Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Noryn berdakwah melalui lagu

DALAM busana jubah hijau dan solekan tipis, Noryn Aziz hadir ke studio Nar Records untuk kembali berada dalam atmosfera yang pernah dilaluinya. Hampir dua tahun dia tidak melaksanakan tugasan sebagai penyanyi rakaman. Kali terakhir, isteri Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah ini muncul dengan album I'm Alright pada tahun 2010. Sedihnya album itu tidak mendapat perhatian ramai seperti album perdananya, Fantasi O Realiti (1997). Jangkaan bahawa Noryn bakal muncul dengan lagu-lagu ketuhanan sedikit meleset. Kolaborasi bersama Adi 6ixth Sense menyediakan dua juadah telinga yang cukup indah. Kedua-duanya mempamerkan perbezaan dalam sentuhan namun disantunkan dalam lagu-lagu yang kena rasa. Kedua-dua ini diberi ruang pradengar. Sedikit berbeza dengan penampilan Noryn yang dahulu. Lagu dengan tajuk Mutiara bakal memberikan rasa jazz yang lembut dan sedikit ringan manakala Tinta Putih pula menjurus kepada gelombang ketuhanan. "Selama ini saya buat lagu sendiri. Sekarang saya tidak rasa saya boleh buat kerana faktor masa. Saya juga sudah biasa dengan lagu-lagu yang teknikal. Jadi saya mencari komposer yang mencipta lagu melalui hati. Jodoh saya bertemu Adi. Dia sangat disiplin dan berbakat," senyum Noryn yang terasa perbezaan dalam keluaran produknya kali ini. Mengaku tidak menyanyikan lagu sebegini sebelum ini, Noryn lantas mengaku mencari lagu yang bersifat komersial. Juga mahukan sebuah lagu yang boleh dinyanyikan khalayak beramai-ramai. "Lagu kedua bertajuk Tinta Putih pula merupakan sebuah lagu dengan konsep ketuhanan. Juga dibuat oleh Adi dan liriknya ditulis oleh Buddhi Hikayat," terang Noryn yang mengaku projek kali ini adalah daripada kewangannya sendiri.
Menyasarkan lagu Mutiara bakal bertemu para pendengar pada bulan Februari kelak, Noryn mengaku dia pernah memperlahankan aktiviti seninya seketika. "Saya pernah rasa mahu berhenti menyanyi. Tetapi apabila saya fikirkan bahawa muzik ini dapat memberikan sesuatu yang positif, saya kembali. Saya mahu melakukan sesuatu kepada khalayak dengan memberikan mesej yang baik dalam lagu dan lirik. Saya mahu berdakwah secara kecilan melalui muzik," jelasnya yang menganggap muzik mempunyai kuasa yang kuat dalam masyarakat. Adi yang merupakan komposer kedua-dua single baharu Noryn memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama dia muncul dengan lagu-lagu sebegini. Adi dibantu oleh pemuzik seperti Ayoy (bass), Wan (drum), Jay (gitar), Firdaus (keyboard) dan Eddie Marzuki (string) "Lagu Mutiara dengan muzik jazz yang ringan ini idea Noryn. Lagu ini bercerita tentang wanita. Sesuatu yang dekat dengan kita semua," ujar Noryn bersemangat untuk bertemu khalayak kembali dengan lagu yang menampilkan kelainan dan tersendiri. Ditemani Buddhi dan Adi sewaktu rakaman vokal, Noryn mengaku berasa gemuruh memasuki studio kembali. Lama tidak menjejak kaki, lama juga masa yang diambil untuk masuk kembali ke gear rakaman. "Saya akui, ada rasa gemuruh kerana sudah lama tidak masuk ke studio. Semoga lagu-lagu saya kali ini diterima pendengar. Seperti yang saya katakan, saya mahu berdakwah melalui lagu," senyumnya cantik.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails