Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Puas berlakon di Malaysia - Randy

SAYA puas berlakon di sini. Bukan sahaja jalan cerita yang bagus tetapi sebagai pelakon saya mampu membawakan watak mengikut kehendak saya," luah Randy Pangalila baru-baru ini. Tidak pernah menyangka namanya bakal popular secepat ini di Malaysia, Randy tidak menafikan impak drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang dan Dalam Hati Ada Taman (DHAT) membawanya sampai ke tahap kini. Malah dia merasa megah melihatkan makin ramai peminat di sini yang ternanti-nanti kehadirannya dengan produk baru untuk pasaran tempatan. “Jika di Indonesia, saya terpaksa berlakon sehingga beratus-ratus episod untuk sesebuah sinetron. Kita bukan lagi mengejar kualiti tetapi perlu fokus untuk menghabiskan saja. “Biasanya sampai ke episod 25 sahaja perasaan teruja itu datang. Waktu itu skrip masih lagi segar dan ceritanya juga masih menarik. “Selepas itu kita terpaksa mengejar masa sampai satu tahap berlakon di tempat yang sama sahaja. Yang berubah hanyalah set pengambaran dan konflik yang diulang-ulang untuk menarik perhatian peminat. “Walaupun perkara itu kurang memberangsangkan tetapi peminat di sana masih menerima. Berlakon ala kadar sekalipun, rating tetap tinggi dan itu yang semua pelakon kena kejar. “Berbanding di sini, kita akan berubah lokasi hampir setiap hari. Pelakon juga diberi skrip dan boleh menggayakan watak itu dengan cara mereka. Mana babak sedih atau gembira kita boleh tahu dahulu. “Tidak ada batas untuk saya mengembangkan bakat dengan cara sendiri. Ternyata berlakon di sini lebih memberikan kepuasan kepada saya," kata Randy. Kehadirannya di Kuala Lumpur minggu lalu sempena majlis ramah mesra bersama para peminat setia dan meraikan episod akhir drama DHAT. Biarpun kesuntukan masa dengan jadual penggambaran yang ketat, Randy tidak mahu melepaskan peluang apatah lagi acara itu sudah dirancang sebelum DHAT ditayangkan lagi. Tidak mahu terus gelojoh menerima pelbagai tawaran yang datang, Randy hanya mahu fokus kepada beberapa perkara yang sudah direncanakan sebelum ini. Mengakui dia menerima banyak tawar- an oleh beberapa produksi di sini, Randy hanya memilih satu sahaja tawaran tersebut yang dianggap cukup sesuai buat dirinya. “Micheal Ang (pengarah DHAT) ada beritahu beberapa produksi berminat mengambil saya berlakon di sini. Melalui apa yang dikatakan itu, saya mungkin akan menerima satu sahaja filem jika mengambil kira faktor masa. “Saya tak mahu gelojoh. Mungkin setahun satu atau dua projek di sini sahaja yang akan saya ambil kerana fokus masih tetap di Indonesia. Saya juga risau kalau peminat di sini bosan melihat wajah saya selalu," katanya tertawa. Sensasi MENGULAS lanjut mengenai isu drama tidak berkualiti yang dibangkitkan oleh Julia Perez baru-baru ini, Randy menganggap apa yang dikatakan oleh Jupe itu merupakan pandangan peribadinya semata-mata. “Ini dunia sensasi. Apa yang dikatakan oleh Jupe itu satu perkara yang sensasi dan jadi popular dengan isu berkenaan. Cuma kita kena lihat kembali apa yang diperkatakan oleh Jupe. “Semua negara pun ada menayangkan drama yang berkualiti dan tidak. Sama seperti Hollywood sekalipun, masih ada filem-filem yang ditayangkan jelik dan tidak berkualiti. Bergantung kepada orang yang membuatnya. “Di Indonesia misalnya, ramai yang anggap ada sinetron yang tak bagus tetapi kalau lihat pada beberapa filem di sana, memang hebat. Contohnya Ayat-Ayat Cinta, Ada Apa Dengan Cinta dan banyak lagi. “Itu antara contoh filem yang memang berkualiti dan bagus. Saya anggap apa yang diperkatakan Jupe hanyalah pandangan dia terhadap apa yang dilihat, bukan pandangan umum," tegas Randy yang lebih popular di layar kaca daripada layar perak.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails