Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Selepas lima tahun - Atie AF

BERTAHUN-tahun menunggu akhirnya Atie AF atau nama sebenarnya Suriati Abu Bakar selamat melahirkan anak perempuan, 8 Januari lalu di Hospital Ampang, Selangor. Berkongsi pengalaman kali pertama ini, Atie menjelaskan ketibaan anak sulungnya ini hadir dengan pelbagai dugaan. Walaupun begitu, permata hati yang diberi nama Zara Rijwani berjaya memberi makna baru buat kehidupannya bersama suami, Saiful Annuar Baharim. Berkongsi pengalaman pertama kali bergelar ibu, Atie memberitahu ia adalah perasaan yang tidak mungkin sama sekali dapat dibeli dengan wang ringgit. "Alhamdullilah, setelah lima tahun mencuba, memang ini merupakan waktu yang saya dan suami nantikan. Bercakap soal pengalaman itu memang ini merupakan kali pertama buat Atie. "Namun boleh Atie katakan ia merupakan antara pengalaman paling indah, terutamanya untuk merasai sendiri saat menyusukan anak," katanya. Bagaimanapun pengalaman indah ini tidak hadir begitu mudah untuk Atie. Menurut penyanyi yang lahir dari program realiti Akademi Fantasia musim pertama ini, dia terpaksa berada di hospital untuk tempoh selama 37 hari akibat masalah kandungan yang dihadapinya. "Saya berada di hospital selama sebulan lebih, kerana kandungan saya mengalami masalah, Placenta Previa Type 3. "Keadaan ini berbahaya untuk kandungan, dan jika berlaku pendarahan doktor terpaksa melakukan pembedahan pada bila-bila masa sahaja," katanya. Terus berkongsi pengalaman kali pertamanya itu, menurut Atie dia amat bersyukur sepanjang melalui tempoh sukar tersebut suami serta rakan-rakannya yang sering menjadi pembakar semangatnya. "Suami banyak membantu saya, malah rakan-rakan juga sering hadir melawat ketika di hospital. "Pada mulanya agak bosan kerana berada sebulan lebih di sana. Bukan mudah sebenarnya namun demi kelancaran waktu bersalin, saya gagahkan juga diri untuk berada di hospital,' katanya yang mengetahui tentang masalah kandungannya itu ketika usianya tiga bulan.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails