Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bukan kerana duit - Ezad

ANTARA rahsia Allah kepada kita adalah soal jodoh pertemuan. Walau sekuat manapun kemahuan kita untuk disatukan dengan insan tersayang, tanpa keredaan-Nya, ia mungkin tidak terlaksana. Itu merupakan kenyataan yang harus diterima lelaki berusia 34 tahun ini. Mengakui melalui fasa yang paling perit didalam hidupnya apabila perkahwinan yang dirancang terpaksa dibatalkan, Ezad tetap merasa akan hikmahnya kini. Meneruskan kehidupan dengan sisa kekuatan yang masih ada, lelaki ini percaya masih ada ruang untuknya mencari kebahagiaan. Menurut Ezad setelah setahun meletakkan kariernya di belakang, dia kini mahu memberi nafas baru buat dunia nyanyiannya. "Selepas putus tunang saya akui, saya melalui fasa yang menakutkan. Hidup saya kosong, tidak bermakna. "Mungkin setelah empat tahun ditemani, bila berseorangan tanpa teman di sisi, ia agak lain. Apa yang boleh saya kata ia memang banyak memberi kesan kepada diri saya," katanya kepada Hits. Ditanya sama ada dia bersedia untuk berkongsi punca keretakan hubungan dengan bekas tunang, Ezad memberitahu ia terlalu peribadi untuk diceritakan. "Saya memang tidak mahu berkongsi mengenai hal ini. Cukuplah kalau saya katakan setiap yang berlaku melibatkan banyak pihak, maksud saya keluarga masing-masing. Jadi adalah lebih baik untuk saya menjaga hati mereka," katanya. Menolak khabar angin yang mengatakan dia sebenarnya mengalami masalah kewangan sehingga terpaksa membatalkan urusan perkahwinan, Ezad sekali lagi menegaskan itu bukan punca sebenar. "Perkahwinan yang saya rancang ini, mengambil masa selama setahun. Jadi saya memang cukup bersedia melangkah ke alam perkahwinan. "Duit bukanlah sebab utama mengapa kami berdua membatalkan perkahwinan kami, bukan itu, " katanya tegas. Meneruskan cerita, Ezad sempat berkongsi cara dia melupakan perkara yang menyakitkan ini. Menurutnya bagi mengelakkan dia terlalu berfikir, dia mengambil lebih peluang untuk pulang ke kampungnya di Alor Star, Kedah. "Saya bukan tertekan sebab malu, tetapi kerana tidak percaya ini semua berlaku tanpa dijangka. "Keluarga saya banyak membantu, malah beberapa bulan lepas juga saya banyak berada di kampung untuk bersama keluarga," katanya. Meneruskan kehidupan sendiri kini, Ezad bagaimanapun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk menguruskan kariernya sendiri. "Seperti yang semua tahu bekas tunang merupakan pengurus saya sebelum ini, "Namun selepas apa yang berlaku saya memilih untuk menguruskan diri saya sendiri. Dan ternyata ia bukan sesuatu yang mudah," katanya yang turut mengakui sudah tidak berhubung dengan bekas tunangnya itu. Percaya perkahwinan mampu melengkapkan kehidupannya sebagai lelaki, Ezad secara terbuka memberitahu dia kini bersedia untuk menerima orang baru didalam hidupnya. "Prinsip saya kini kehidupan harus diteruskan. "Dan saya memang sudah bersedia untuk berkahwin, cumanya jodoh belum sampai," katanya tersenyum. Mengusik jiwa bekas vokalis kumpulan Exist ini, kami ajukan soalan sama ada dia mahu bakal isterinya nanti juga bekerja sebagai pengurusnya. "Saya rasa itu tidak perlu, setelah apa yang berlaku saya dapat pengajaran untuk tidak perlu sentiasa bersama. "Saya juga tidak kisah jika bakal isteri saya nanti juga bekerja," katanya ringkas. Azam 2013 Sedang sibuk menyiapkan mini album solo terbarunya menurut Ezad, ini merupakan waktu yang sesuai untuk dirinya kembali memberi fokus buat dunia nyanyian. "Saya sudah lama meninggalkan dunia nyanyian untuk beri tumpuan soal kahwin. Dan kini merupakan waktu yang sesuai untuk saya kembali," katanya. Baru sahaja selesai merakamkan dua lagu, Ezad akui cukup sukar sebenarnya diri dia keluar dari bayangan Exist. "Orang memang mengenali saya dengan nama Ezad Exist sebelum ini, malah sehingga kini juga ada di antara peminat yang tidak tahu status penyanyi solo saya. "Mungkin aura yang dibawakan Exist begitu kuat untuk saya, bagaimanapun nama Ezad Lazim itu juga sebenarnya sudah mempunyai impak tersendiri kini," katanya. Tidak menolak untuk memberitahu di lebih senang berada di dalam kumpulan, Ezad bagaimanapun berhasrat untuk tetap mengukuhkan namanya. "Kalau boleh saya memang lebih senang berkumpulan dan sudah ada perancangan ke arah itu. Perkongsian idea itu lebih mudah, dan mungkin juga sudah terbiasa bekerja secara kerjasama," katanya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails