Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Enggan lagi sebut pasal Rita - Lisdawati

PERBUALAN yang mesra pada mulanya bertukar menjadi serius. Semuanya gara-gara nama Rita Rudaini disebut dalam pertanyaan Kosmo! kepada Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, pada sesi fotografi berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ungkap Lisdawati, kalau boleh dia enggan lagi menjawab soalan yang berkaitan dengan Rita daripada pihak media mulai saat itu. Keengganannya bukan disebabkan mereka bergaduh semula, tetapi luah pelakon berusia 35 tahun yang masih kekal cantik itu, ada kenyataannya dalam media (bukan akhbar Kosmo!) mengenai Rita, baru-baru ini telah disalahertikan. "Kalau boleh saya tidak mahu lagi sebut pasal dia (Rita). Bukan sebab apa, saya takut disalahertikan. "Tutup cerita lama buka cerita baharu. Biarlah saya simpan isi hati ini sampai akhirat nanti," jelasnya penuh makna. Lisdawati sebelum ini dituduh sebagai sengaja mencari publisiti untuk kembali popular dengan memberi pelbagai kenyataan, ekoran dia dan Rita dikatakan berdamai selepas bersengketa selama tujuh tahun. Ujarnya, dia membuat kenyataan tentang Rita sebelum ini sebagai jawapan kepada banyak pertanyaan media yang diajukan kepadanya. "Saya tidak perlukan publisiti atau kontroversi untuk popular. Sejak awal berlakon lagi, banyak kontroversi yang saya sendiri tidak cari, muncul melanda diri ini. "Saya percaya rezeki merupakan kehendak Allah. Alhamdulillah, rezeki lakonan sentiasa ada. Penerbit masih ambil saya berlakon," ujarnya yang mengakui sentiasa bermuhasabah diri. Menyambung bicara, luah Lisdawati, dia sedar nyawanya untuk hidup dalam alam fana ini cuma sekadar dipinjamkan Allah dan dia tidak perlu terlibat perkara yang menyesat dan menyeksakan hatinya lagi. Belajar kaunseling Ditebak pula mengenai hubungan dengan suaminya, aktor Fauzi Nawawi, yang dikhabarkan sudah acap kali dilanda masalah berikutan Fauzi sering dikaitkan dengan beberapa wanita lain, dedah Lisdawati, dia masih bahagia bersama Fauzi sehingga kini. "Sedangkan sesama adik-beradik juga boleh bergaduh inikan pula dengan suami - orang yang kita baru kenali pada usia yang matang. "Krisis rumah tangga sedikit-sedikit itu perkara biasa yang berlaku kepada suami isteri. Kadang-kadang pasal anak atau kerja," ujarnya yang sering beristighfar setiap kali dilanda masalah rumah tangga. Dalam pada itu berkongsi cerita baharu tentang dirinya, ungkap Lisdawati, dia merancang untuk menyambung pelajarannya tidak lama lagi. Mengambil kaunseling, jelas Lisdawati, dia sangat menyukai jurusan tersebut selain berniat untuk mempraktikkan ilmu tersebut di rumah. Sedar anak-anaknya dan juga anak-anak tirinya iaitu anak Fauzi daripada perkahwinan terdahulunya semakin membesar, kata Lisdawati, dia perlukan ilmu di dada untuk mendidik mereka agar menjadi insan yang berguna kelak. "Saya berbincang dengan anak sulung (anak Fauzi hasil perkahwinan pertama), Fatihah, 17, mengenai perancangan tersebut memandangkan dia juga baru menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," jelasnya yang akan menyambung pelajaran bersama-sama anak tirinya itu tetapi berlainan bidang. Tegas
Terlanjur bercerita tentang anak, Lisdawati juga mengakui sangat tegas dalam mendidik anak-anaknya, Farhana, 4, dan Fazneesya, 3, termasuk anak-anak tirinya, Hainal Fatiha, 17, Fariz Hazwan, 16, Hana Farisha, 14, serta Fikri Hakimi, 11. "Saya kena tegas dan pantau aktiviti anak-anak termasuk anak abang (Fauzi Nawawi). Sebab kalau jadi apa-apa orang akan tanya anak siapa? Saya tidak mahu mereka jadi seperti kebanyakan remaja yang sudah rosak peribadi," ujarnya yang mengakui zaman remajanya tidak bebas walaupun dia suka menunggang motosikal berkuasa besar. Ditanya apakah ketegasan yang diterapkannya, jelas Lisdawati, dia tidak akan membenarkan langsung anak-anak Fauzi keluar dengan kawan-kawan mereka kecuali jika dia atau Fauzi turut ikut bersama. Begitupun, dia tidak menghalang anak-anak tirinya mempunyai teman lelaki atau wanita asalkan diperkenalkan terlebih dahulu kepadanya dan Fauzi. Jelasnya lagi, ramai ibu bapa yang sibuk bekerja tetapi tidak tahu sikap sebenar anak mereka.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails