Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Erra selektif demi Aleesya

PEMILIK nama Fazira Wan Chik atau lebih dikenali sebagai Erra Fazira cukup sinonim dalam dunia seni tanah air. Perjalanan karier lebih sedekad menjadikan Erra semakin matang dalam memenuhi kepadatan jadual lakonan mahupun persembahan pentas. Bagaimanapun, membuka lembaran baharu tahun 2013, Erra mengambil sikap lebih selektif dalam perjalanan kerjaya kerana faktor usia yang semakin meningkat dan demi menumpukan perhatian kepada puteri kesayangan, Engku Aleesya Engku Emran. Sejak hampir empat tahun lalu, Erra cukup bahagia dalam memikul tanggungjawab sebagai ibu kepada zuriat tunggalnya, Engku Aleesya yang menjadi penyeri kehidupan insan seni serba boleh ini. “Saya sudah menetapkan setiap hari Ahad sebagai hari cuti daripada karier seni untuk memberi sepenuh tumpuan kepada Engku Aleesya. “Pada hari-hari lain pula, saya akan memastikan segala keperluan anak dipenuhi terlebih dahulu sebelum menerima komitmen lain,” katanya sambil menguntum senyuman. Dia yang cukup peramah itu ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran produk baharu, Desa Murni Batik Sdn. Bhd. (DMBSB) di Pengadang Baru, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini. Sejak hampir dua tahun lalu, Erra telah dipilih menjadi duta produk DMBSB dalam menggayakan pelbagai batik digital dan tudung keluaran syarikat berkenaan. Tampil anggun dengan baju kurung berwarna putih dan dipadankan tudung berwarna jingga, Erra tetap mempunyai aura tersendiri apabila ratusan peminat setia membanjiri Galeri Tudung dan Batik, DMBSB semata-mata ingin melihat kelibat artis kesayangan mereka. Tidak ketinggalan peminat merakam gambar kenangan bersama personaliti kesayangan mereka itu. Jelas Erra lagi, keadaan kini tidak seperti dahulu ketika dia belum mempunyai komitmen bersama keluarga menyebabkan dia semakin selektif untuk memenuhi undangan termasuk dalam bidang lakonan. “Kalau dulu saya tidak mempunyai sebarang masalah malah akan bekerja tidak mengira masa tetapi situasi sekarang sudah berubah. Bagi tawaran berlakon juga sekarang ini tidak lagi semudah dulu. “Saya perlu meneliti jalan cerita terlebih dahulu yang bersesuaian untuk saya malah tidak pentingkan kuantiti tetapi lebih pentingkan kualiti. Katanya, dia juga tidak kisah jika tidak berlakon satu filem dalam tempoh satu tahun jika ia tidak menepati kualiti yang diharapkan. Dalam pada itu, Erra memberitahu, dia juga jarang membawa anaknya ke lokasi penggambaran ataupun tempat bekerja kerana ingin anak kesayangan membesar secara normal seperti kanak-kanak lain. “Bagi saya persekitaran kerja saya tidak sesuai untuk dia tetapi kalau sekadar sekitar Kuala Lumpur atau tempoh waktu pendek saya akan membawanya,” katanya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails