Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hans pada mata Elaine

BAGAI tidak lengkap kehidupan seorang selebriti andai kisah peribadi tidak disentuh tatkala peluang diberikan untuk bersua dan kali ini Elaine Daly berkongsi ceritanya. Elaine, 36, akur akan atmosfera yang sedang dijejakinya selaku figura yang menuntut pelbagai penjelasan dan kesimpulan tatkala timbul pelbagai isu, katanya, selagi dia memegang status solo, selagi itu kontroversi tidak akan lekang. "Saya seorang perancang dan suatu ketika dahulu saya pernah mengimpikan saya sudah mendirikan rumah tangga pada usia 30 tahun dan mempunyai dua orang anak tetapi mungkin jodoh saya belum sampai. "Bukan tidak mencari tetapi saya menganggap diri ini seorang yang pentingkan kerjaya sehingga saya dilabelkan sebagai seorang yang cerewet dan lelaki pun takut untuk mendekati saya. "Bagi saya, sebelum berkahwin saya mahu mengenali seseorang lelaki itu sebaik mungkin dan apabila melihat perkahwinan kawan-kawan saya yang tidak kekal lama saya jadi lebih berjaga-jaga supaya hidup saya nanti terjamin. "Perceraian bagi saya bukan satu pilihan," kongsinya ketika pertemuan di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini untuk sesi pemadanan baju sempena Bella Awards. Tambah Elaine, dia ingin mencari seorang lelaki sejati yang jujur dan berterus-terang serta boleh menerima kerjayanya sebagai seorang pelakon, pengacara dan bakal pengarah. "Paling penting lelaki itu baik dan memahami saya. Saya tidak pernah mengharapkan duit kerana saya pun berkerjaya. Kalau perkara itu yang saya tekankan, awal-awal lagi saya sudah berkahwin. "Seboleh-bolehnya, lelaki itu berkerjaya, mempunyai cita-cita dan senang berkomunikasi. Kalau berjumpa dengan lelaki yang lebih muda, itu jodoh. Tapi bagi saya kematangan seseorang lelaki itu bermula pada usia 30-an," tegasnya. Bagaimanapun, Miss Malaysia Universe 2003 itu tidak melihat mengambil seorang anak angkat sebagai penyelesaian untuk mengisi kekosongan hatinya. Hubungan mesra Selama 16 tahun mengenali aktor, model merangkap sutradara serta Pengarah Urusan Tall Order Productions Sdn. Bhd., Hans Isaac, Elaine tertawa saat diajukan soalan mengenai hubungan mereka yang khabarnya kembali erat sejak kebelakangan ini. Ujarnya, hubungan mesranya dengan pelakon filem Cuci itu tidak melibatkan perasaan cinta melainkan kawan rapat atau lebih disifatkan seperti adik-beradik. "Hans dijemput untuk mengacarakan Bella Awards pada 2 Mac depan dan dia satu-satunya pengacara lelaki di samping saya, Daphne Iking dan Vanessa Chong. "Mungkin pihak produksi dan penonton melihat kolaborasi Hans dalam rancangan Bella sempena edisi Hari Natal tahun lalu sangat positif, maka mereka memilihnya sekali lagi untuk Bella Awards. Lagipun saya senang bekerja dengan dia. "Kami ibarat kawan baik selepas berpisah sepuluh tahun lalu dan saya juga anggap dia seperti abang saya. Kedua-dua belah keluarga kami pun rapat. Saya dan Hans sudah tiada sebarang perasaan cinta. "Sebelum ini pun Hans ada keluar lepak bersama-sama saya dan bekas teman lelaki saya. Kami menghormati satu sama lain dan saya andaikan perpisahan kami adalah perpisahan terbaik sepanjang hidup saya," kata pengacara The Breakfast Show itu lagi. Ibu, isteri Elaine bersyukur kerana tidak membuat keputusan terburu-buru untuk menamatkan zaman solonya ketika berusia 20-an malah tidak mudah melenting apabila sering dikaitkan dengan Hans. "Enam tahun bersama Hans adalah satu tempoh panjang malah, ada antara kawan-kawan saya yang berkahwin pun tidak sampai usia enam tahun. "Tidak menjadi masalah kalau saya sering dikaitkan dengan Hans sebab kami bersama dalam satu tempoh yang panjang. "Apapun saya bersyukur kerana tidak membuat keputusan terburu-buru untuk berkahwin ketika berusia 20-an kerana kematangan dan pemikiran kita berbeza apabila kita semakin berusia. Sekarang saya sudah bersedia untuk bergelar isteri dan seorang ibu!" jelas peguam lulusan Universiti London itu. Diminta mengulas mengenai perkembangan hubungan Hans dan pelakon kontroversi Neelofa yang sering digosipkan bersama sejak tahun lalu, kata Elaine, dia gembira dengan apa pun keputusan Hans. "Selagi Hans gembira dengan tindakan yang dilakukannya, saya pun gembira. Kalau dia nak kahwin dengan siapa pun saya gembira. Tapi saya tegaskan kami tak akan boleh bersama atau berkahwin kerana kami umpama adik-beradik," ulasnya bersulam ketawa kecil.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails