Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Izzue Islam Tepis Dakwaan Bakal Kahwin Tahun Ini

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Izzue Islam menepis desas-desus yang mendakwa dia bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini. Pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, dakwaan itu adalah tidak berasas kerana dia tidak pernah berbincang atau menetapkan tarikh tertentu untuk berkahwin dalam masa terdekat. “Bukan merancang tetapi saya sudah bersedia untuk berkahwin jika jodoh sudah sampai. “Buat masa ini tiada perancangan seperti yang didakwa. Kalau ada tentu saya beritahu,” katanya ketika ditemui mStar Online. Izzue ditemui pada majlis ramah mesra para pelakon empat slot drama TV9 iaitu Skrin Di 9, Aurora, Ratu dan Mutiara Hati yang berlangsung di The Curve di sini, pada Khamis. Izzue yang juga anggota kumpulan Forteen berkata, dia berasa kurang selesa untuk berkongsi kisah peribadi dengan khalayak kerana menganggap ia adalah hak privasinya. “Kalau boleh saya kurang selesa hendak bercerita mengenai hal peribadi kepada khalayak. “Bukan apa, saya bimbang kalau sibuk bercerita mengenai cinta, hubungan atau kahwin tetapi sudahnya tidak jadi,” luahnya yang mengakui sedang menjalin hubungan dengan seseorang. Anak jati Kelantan ini juga mengakui dia tidak keberatan untuk bernikah pada usia muda walaupun sedar nama dan kerjayanya sedang meningkat naik. “Saya tidak perlu risau kalau jodoh sudah sampai untuk berkahwin muda, saya terima sahaja. “Saya tidak fikir status perkahwinan akan mengganggu perjalanan kerjaya kerana semua orang ada hak untuk berkahwin. “Rezeki sama ada saya akan terus diterima atau kurang digemari kalau berkahwin awal ditentukan Tuhan, jadi saya percaya pada rezeki,” kongsinya. Terbaharu, Izzue terlibat dalam penggambaran drama 13 episod berjudul Bunga Merah Punya yang bakal disiarkan bermula 21 Februari ini pada setiap Khamis, pukul 8.30 malam. Dua filem lakonannya iaitu Sunti dan Hantu Toq Mudim dijangka ditayangkan pada tahun ini.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails