Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Jangan Hina Orang Tidak Bertudung' - Catriona Ross

PETALING JAYA: Pelakon Catriona Ross menasihati sesiapa sahaja termasuk artis yang bertudung agar tidak menghina individu lain kerana Allah boleh menarik semula hidayah itu sekelip mata. Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 33, agak sedih kerana terdapat individu yang mendakwa sudah memperoleh hidayah tetapi masih merendah-rendahkan orang lain dengan kata-kata yang kurang manis. “Saya sedih dengan sesetengah pihak yang sudah berubah tetapi cuba memperlekehkan orang lain yang tidak bertudung. Jangan buat macam itu! Setiap manusia ada fasanya dan Allah itu boleh tarik bila-bila masa sahaja hidayah yang diberi,” katanya kepada mStar Online. Pelakon ini diminta memberi pandangan mengenai artis-artis wanita sejak kebelakangan ini mengambil pendekatan menutup aurat. Catt yang sudah bertudung sejak tiga tahun lalu berkata, setiap individu yang telah diberi petunjuk haruslah tidak berusaha untuk merenggangkan diri dengan rakan-rakan yang masih lagi belum berubah sebaliknya terus berkawan dengan mereka sebagai sahabat baik. Malah orang atau artis yang bertudung seharusnya menjadi contoh kepada individu lain agar perubahan itu dapat diikuti oleh teman-teman mereka. “Saya mengambil sikap berkawan dengan semua orang tidak kiralah mereka pakai tudung ataupun tidak. Saya percaya apabila Allah mengetuk pintu hati seseorang untuk berubah, dia akan berubah. “Begitulah apabila orang yang sudah menutup aurat, tidak mustahil dia akan pakai skirt pendek semula jika tewas dengan ujian Allah,” tambahnya lagi. Sementara itu ketika ditanya ke mana dia menghilang selepas berumah tangga Catt berkata, selepas melahirkan anak pertama iaitu Sephia Rani Ross’iddin yang kini berusia tiga tahun, Catt mengambil pendekatan berehat sebentar daripada dunia lakonan untuk membesarkan anaknya itu. Malah dia juga bimbang anaknya dijaga pembantu rumah kerana ketika dilahirkan, kes-kes bayi dilarikan orang gaji agak berleluasa. “Dulu saya memang takut nak ambil pembantu rumah. Takut anak dibawa lari. Lebih baik saya senyap sekejap dan beri tumpuan pada anak sehinggalah dia dah besar, barulah saya nak aktif berlakon semula,” katanya. Jelas Catt selain Sephia Rani, dia juga mempunyai seorang lagi anak iaitu Jammal Raess Ross’iddin yang baru berusia enam bulan, hasil perkahwinannya dengan Shaharuddin Mokhtaruddin, 34. Bagaimanapun kali ini Catt telah mendapat seorang pembantu rumah yang benar-benar boleh dipercayai untuk menjaga anak-anaknya agar membolehkan dia berlakon. Kata Catt, pada ketika ini dia sedang aktif berlakon drama Bila Mak Mengandung Lagi untuk siaran Astro. Malah dia tidak menganggap perubahan imejnya sebagai wanita bertudung telah mengehadkan kerjaya seninya sebagai seorang pelakon. “Saya mahukan pelbagai jenis watak dan saya tidak kisah kalau diberikan watak wanita jahat yang bertudung. Tidak semestinya kalau kita bertudung, kita harus berimej baik. “Cuma, jika watak berpegangan tangan atau berpelukan dengan lelaki itu sahajalah yang perlu saya tolak,” katanya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails