Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kontroversi tidak gugat kebahagiaan - Liyana Jasmay

LAKSANA sebuah istana kayangan yang dilakar indah untuk menyambut seisi alam bertandang, begitulah gilang-gemilangnya majlis pernikahan dan persandingan pasangan Liyana Jasmay dan Fathudin Mazlan yang berlangsung pada hari Sabtu lalu. Hotel Seri Pacific dan Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur menjadi saksi terpatri cinta dua jiwa antara pelakon dan penyanyi lincah Liyana, 25, bersama ahli perniagaan, Fathudin, 29. Majlis akad nikah berlangsung seawal pukul 9 pagi di dewan utama Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur bersaksikan 200 orang tetamu undangan terdiri daripada keluarga, teman rapat dan media. Sebanyak dua kali lafaz, pada tepat pukul 10.27 pagi Fathudin selamat dinikahkan oleh bapa Liyana sendiri, Datuk Jasmay Md. Shah dengan mas kahwin berupa seutas gelang tangan emas bernilai RM5,500. Setinggi-tinggi ucapan syukur dipanjatkan oleh kedua-dua mempelai yang turut melangsungkan persandingan pada sebelah malamnya di Dewan Merdeka, PWTC. "Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan dipermudahkan segala hal. Rasa seperti bermimpi pun ada dan saya bersyukur semuanya selamat dilangsungkan. "Saya bukan seorang yang terperinci tapi asalkan semua tetamu yang hadir gembira dan biar majlis ini menjadi sebuah majlis yang diingati selamanya," kata Liyana usai majlis pernikahan awal pagi Sabtu lalu. Menyarung sepasang busana rona putih rekaan pereka fesyen terkenal Jovian Mandagie, Liyana disolek penuh seri oleh jurusolek kegemarannya, Tiar Zainal. Liyana menerima lima dulang hantaran daripada pihak lelaki berupa tepak sirih, seutas rantai emas, sebuah tas tangan, wang hantaran bernilai RM28,388, dan set barang kemas (seutas rantai, sebentuk cincin dan sepasang anting-anting). Sementara pihak Fathudin pula dibalas dengan tujuh dulang hantaran iaitu kek, semangkuk buah anggur, dompet jenama Louis Vuitton, sepasang kasut kulit Prada, seutas jam tangan Tag Heuer, sebentuk cincin Bvlgari dan sirih junjung. Hi jiran! Perkenalan yang bermula dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Fathudin kepada Liyana yang berbunyi "Hi jiran!" akhirnya berakhir di jenjang pelamin pada tarikh keramat 2 Februari 2013.
Kata Liyana, sepanjang melayari alam perkenalan mereka hanya bertemu sebanyak lima kali sebelum memutuskan untuk mendirikan rumah tangga bersama. "Susah nak dijelaskan sebab saya suka dia (Fathudin) kerana itu terlalu peribadi, tapi apa yang boleh saya katakan dia seorang yang sangat memahami dan kami mudah serasi. Pertama kali berjumpa seperti sudah 10 tahun kenal! "Dia sangat tenang dan penyabar, mungkin itu daya penarik dia. Walaupun kami berjiran, tidak pernah pula bertegur sapa selama ini," ungkap Liyana mengenai detik awal pertemuan mereka. Janji Liyana dia bagaimanapun akan cuba menjaga hubungan rumah tangganya bersama Fathudin namun dalam masa yang sama tetap meneruskan kariernya sebagai pelakon, penyanyi dan bakal pengarah. "Sepanjang kita membesar, personaliti dan kematangan juga berubah. Saya akan cuba untuk melakukan yang terbaik untuk menjaga dia. "Dari segi lakonan pula saya akan memilih watak yang bersesuaian dengan imej saya sebagai seorang isteri orang, bagaimanapun saya tidak meletakkan syarat. Berlakon adalah kerjaya dan jiwa saya, cuma mungkin tidak sekerap seperti sebelum ini," jelas anak bongsu daripada tiga beradik itu. Layar seninya bakal dicorakkan dengan warna yang berbeza apabila syarikat produksinya, Mermaid Studio bakal ligat beroperasi. Kontroversi Ketika majlis pertunangan pasangan itu pada 29 Mac tahun lalu, Liyana membuat pengumuman mengenai tarikh pernikahan mereka yang sepatutnya dilangsungkan pada 24 Januari lalu. Atas alasan tertentu yang tidak dapat dielakkan, majlis itu terpaksa ditunda ke tarikh 2 Februari. Selain itu, seminggu sebelum majlis pernikahan pasangan itu turut terpalit dengan kontroversi gambar praperkahwinan yang telah mengundang banyak komen negatif selain percakaran dengan jurufoto profesional, Saiful Nang. Menjawab akan kisah kontroversi yang melingkari perjalanan bahagia Liyana dan Fathudin, kata mereka isu itu tidak menjejaskan kedua-dua majlis pernikahan mahupun persandingan mereka.
"Saya tidak marah langsung. Kenapa perlu tertekan dengan perkara sebegini. Kami nak berkahwin dan majlis ini perlu diraikan dengan kegembiraan. "Kalau boleh saya tidak mahu bercakap mengenai kontroversi itu kerana saya sudah lali dengan dunia seni. "Perkara biasa jika ada orang bercakap mengenai kita dan sampai satu ketika orang akan melupakannya apabila timbul isu lain. Perkara ini langsung tidak menjejaskan kami," kata Liyana. Sementara itu, Fathudin yang enggan meletakkan dirinya seiring dengan populariti Liyana menjelaskan dia tidak mengambil kisah akan perkara buruk yang terjadi sebelum majlis perkahwinannya. "Isu itu merepek dan saya tidak mahu ambil tahu langsung. Fokus saya ketika itu adalah persiapan perkahwinan dan mahukan satu majlis yang indah untuk kami berdua," katanya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails