Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mahu lupakan kontroversi - Tasha Shila

MENJADI artis yang penuh sensasi dan kontroversi seperti Tasha Shilla tentu sekali bukan satu perkara yang mudah. Bahkan tak semua artis mahu keadaan seperti itu berlaku meski akan mendapat publisiti meluas selain peluang lakonan yang melimpah-limpah. Perlu diingat, sekali 'bermewah' dengan kontroversi, ia harus dibayar dengan kekuatan emosi. Artis terbabit juga perlu bijak menepis dan menangkis pertanyaan yang menerpa dari pelbagai arah. Itu yang dikutip dan dipelajari oleh Tasha sepanjang tahun pertama dia meredah jalan sebagai seorang pelakon. Kebetulan, tahun lepas, begitu banyak kontroversi terpalit pada dirinya. Dari cerita bersosial di kelab malam sehinggalah isu ditaja orang kenamaan, boleh dikatakan Tasha memang layak bergelar artis paling popular untuk tahun 2012. Bayangkan, betapa banyaknya kontroversi yang melingkari diri Tasha, sehingga sampai satu tahap, orang sudah mula muak dengannya. Tutup buku lama yang sarat cerita hangat, tahun ini menyaksikan satu sisi berlainan pada diri anak kelahiran Ampang, Selangor ini. Ramai yang berpendapat, kehebatan Tasha cuma terukir pada tahun lalu sahaja. Untuk tahun 2013 perkara sebaliknya berlaku. Tasha dianggap sudah mula melalui zaman kejatuhan apabila dia tidak lagi mendapat perhatian keterlaluan sebagaimana yang diterima sebelum ini. Bisik-bisik sinis menerjah ruang atmosfera dunia gosip apabila situasi ini dikaitkan dengan diri Tasha yang tidak lagi ditaja orang kenamaan. Menganggap itu sekadar usikan, Tasha menjawab tenang pertanyaan Pancaindera berhubung isu popularitinya yang semakin sendu. "Biasalah, Tuhan mahu uji. Ada masa manusia berada di atas, ada masa dibawah. Benda-benda macam ni normal. Bukan terjadi dalam dunia artis sahaja. Dalam kehidupan orang lain juga begitu. "Saya faham benar, bila ujian datang, ia sebenarnya nak duga sejauh mana kematangan kita. "Saya akui, tahun lepas banyak kontroversi melanda diri saya dan menyebabkan saya menerima publisiti yang meluas. Lagipun ia tahun pertama saya dalam industri hiburan, lumrah artis, memang akan terkena," katanya. Saya gembira beginiTidak kisah dikatakan populariti sudah mula menunjukkan simptom merudum, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Gemilang ini bagaimanapun mengaku keadaan dan situasi ini benar-benar membahagiakan dirinya. Kata Tasha, dia merasa selesa dengan keadaan ini kerana ini membuatkan dirinya berasa lebih tenang tanpa diasak dengan pertanyaan yang bukan-bukan yang entahkan betul entahkan tidak. Baginya, asalkan rezekinya tidak putus dan selagi dia masih ada kudrat untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelakon, Tasha tidak mahu terus memikirkan soal kontroversi mahupun tanggapan negatif orang kepadanya. "Biarlah kalau orang nak kata saya sudah mengalami zaman kejatuhan atau apa, yang penting saya rasa selesa begini. "Betul, ikhlas saya katakan, saya lebih suka keadaan macam ini sebab saya dah tak perlu sibukkan diri untuk menjawab segala kontroversi sebagaimana sebelum ini. "Saya tak kata publisiti itu tidak penting. Tengok sahaja macam mana publisiti memainkan peranan dan kuasanya sehingga menjadikan saya dikenali sehingga sekarang. "Tapi perlu diingat, walau saya tak minta ia berlaku, kalau publisiti itu lebih terarah kepada usaha nak menjatuhkan, saya sendiri pun tak suka. "Berulang kali saya tegaskan sebelum ini, biarlah publisiti yang saya terima tu melibatkan kerja saya, bukannya cuma kontroversi yang bukan-bukan," katanya. Jadi bahan lawakSatu negara sudah tahu penangan Tasha bila didakwa sebenarnya ditaja oleh orang kenamaan yang dikenali dengan nama Datuk J. Dan setiap kali diasak dengan persoalan, Tasha tetap teguh dengan jawapan yang sama. Dia tidak kenal siapa itu Datuk J. Didakwa hidup mewah atas tajaan Datuk J, sehingga sekarang, cerita itu nyata melekat dan akan terus melekat pada diri Tasha selama mana dia mampu bertahan dengannya. Bahkan, sampai satu tahap, Tasha menjadi bahan lawak sesetengah pihak yang galak bertepuk tangan bila menganggap Tasha akan 'mati' bila tidak ditaja lagi. Iyalah, banyak sangat orang kenamaan yang terkait dengannya. Ada Datuk S , Datuk J, selepas ini Datuk apa pula ya? Lebih kurang begitulah usikan yang diterima Tasha. Namun wanita ini tabah menghadapi semua itu dan masih mampu tersenyum. "Saya tak kisah apa orang nak kata. Sebab peminat saja yang tahu siapa sebenarnya saya. Benda macam ni, bukan saya seorang saja yang kena, artis lain pun pernah berdepan dengan benda macam ni. "Saya dah berulang kali jelaskan keadaan yang saya tak tahu siapa Datuk J dan sesiapa saja yang dikaitkan dengan saya. Namun orang tak nak juga percaya. Siapa saya nak paksa orang untuk percaya pada saya. Perlukah sampai nak kena tunjuk bukti baru semua orang puas hati? Rasanya tak perlu kot. "Saya kerja teruk-teruk, apa salahnya saya hidup senang sedikit? Semua itu datangnya dengan titik peluh saya. Tapi tetap orang mahu mengata. "Sudahnya, saya biarkan saja mereka bercakap dan terus mengata. Terpulanglah," katanya dalam hela yang nyata penat melayan kerenah pembenci dirinya. Mahu orang ingatLebih suka mengambil pendekatan kurang bercakap, lebihkan bertindak, Tasha mengaku sudah semakin matang selama berpijak sebagai seorang anak seni. Mahu memberi tumpuan lebih kepada kerjaya, Tasha mula menyusun strategi untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri dan di mata masyarakat. Sedar bahawa terlalu banyak cerita kurang enak tersebar dan bertebaran pada tahun lalu, kata Tasha dia memasang hajat untuk menyediakan dirinya dengan aktiviti seni yang lebih bermanfaat. "Tahun lepas, saya berpeluang mencipta nama untuk dikenali, saya sudah rasai pengalaman itu, maka tahun ini saya mahu buat diri saya diingati. "Apa yang saya maksudkan adalah melalui kerja, lakonan dan menerusi aktiviti amal kebajikan yang saya buat. "Dikenali dan diingati adalah dua perkara berbeza. Sudah-sudahlah dengan kontroversi. Berilah peluang pada saya untuk diingati sebagai seorang pelakon yang berjaya selain sebagai individu yang mampu menyumbang kepada masyarakat," katanya. Kejutan TashaSibuk melibatkan diri dalam dunia lakonan, tambah-tambah menerusi drama 28 episod berjudul Rindu Bertamu Di Abu Dhabi dan Epilog Cinta Kirana, Tasha ada kejutan buat penyokong dan peminatnya. Bukan bosan bergelar pelakon, tetapi kata Tasha, dia cuma mahu menukar angin untuk menjadi penyanyi dan bakal direalisasikannya tahun ini. Bergandingan dengan trio Tiga Swagger yang terdiri daripada Eddy, Beeru dan DJ Krates, Tasha akan membuat kejutan dengan menjadi penyanyi rap bersama kumpulan tersebut menerusi lagu berjudul Sayang Pulang Sayang. Berkongsi rasa mengenai penglibatan barunya itu, kata Tasha segala-galanya bermula apabila dia didatangi dan dipelawa oleh Cat Farish untuk kolaborasi itu. "Sebenarnya saya memang suka menyanyi dan kebetulan Cat juga tahu mengenai hal ini. Secara kebetulan bertemu dengannya dalam sebuah majlis anugerah, Cat telah bertanya pada saya. "Tak fikir panjang, saya terus bersetuju sebab memang kena dengan jiwa saya dan pertam kali mendengar lagu Cat itu, saya terus jatuh cinta," katanya. Sudah bersedia menerima sebarang kritikan daripada mereka yang gemar mencari salah orang, kata Tasha dia tahu keadaan itu tentu akan berlaku namun tetap positif untuk meneruskan hasrat itu. "Biasalah, orang akan kata saya macam-macam, tamaklah, nak buat semua bendalah, saya tak kisah. "Saya anggap diri saya versatil dan saya boleh buat sebab itu saya berani ambil tawaran ini. Saya tahu, trend semasa sekarang, banyak pelakon yang beralih kepada bidang nyanyian. "Tapi saya buat bukan sebab trend. Tapi sebab rezeki datang. Tak akanlah saya nak tolak. Lagipun saya buat ni demi menghargai peminat. Anggap sajalah ia adalah hadiah buat semua yang menyokong saya selama ini. "Sekurang-kurangnya, selain lakonan, saya ada cara lain yang boleh menghiburkan mereka. Melalui muzik!" katanya yang berharap agar semua pihak menerima baik keputusannya untuk menceburi dunia seni suara.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails