Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Adibah terima Halim

SEBUAH majlis yang diadakan ala-ala resepsi perkahwinan sempena meraikan tempoh tiga minggu pasangan Halim Othman dan Adibah Noor digandingkan bersama di Suria FM barangkali mengundang pelbagai persepsi umum. Ada yang menilai majlis itu umpama isyarat awal pasangan Adibah dan Halim bukan hanya mengikat janji menerusi penyatuan di dalam konti radio saja bahkan mungkin bersatu sebagai pasangan suami isteri. Ditanya soalan nakal adakah Adibah bersetuju sekiranya ditakdirkan jodohnya bersama Halim, jawab pelantun lagu Terlalu Istimewa itu, dia akur. "Kami meluangkan masa bersama selama lima jam sehari lebih lima hari seminggu yang tidak semua pasangan berkahwin pun mempunyai tempoh waktu berkualiti seperti kami. "Mungkin disebabkan itu juga gandingan kami menjadi sesuatu yang luar biasa. Hubungan yang kami bina sangat menyeronokkan dan ramai yang mendoakan kami bersama. "Kalau Tuhan kata jodoh kami berdua menjadi, maka jadilah. Takkanlah saya nak menolak kalau betul Halim itu bakal suami saya. Apapun, kami hanya berjumpa di konti saja," ujar Adibah yang menyifatkan hubungan mereka saling melengkapi. Sementara itu, Halim yang diminta mengulas mengenai keakraban hubungan mereka tidak mahu terburu-buru memberikan kenyataan dan mengakui selesa bekerja bersama Adibah. "Enam bulan adalah tempoh perkenalan dan selama lebih tiga minggu ini ramai yang merestui kerjasama yang kami jalinkan. Kita tengok apa yang akan berlaku seterusnya. "Saya perlu memberikan respons dengan orang baharu yang digandingkan bersama saya. Adibah seorang yang cepat belajar dan mampu memberikan tenaga sama seperti yang saya berikan. Ia menjadi satu pusingan yang sukar dicari di tempat lain," katanya yang ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Bagaimanapun tambah Halim, dia ingin menyajikan satu program radio yang tidak terlalu berat dan berlainan daripada stesen radio lain. "Kami sentiasa mencari formula untuk menjadikan segmen kami berilmu, biasa, santai dan tidak terlalu serius. Walau kami berbeza karakter tapi kami berkongsi minat dan kecenderungan yang sama," tambah Halim lagi. Adibah dan Halim digandingkan bersama untuk mengendalikan segmen Ceria Pagi yang ke udara pada pukul 5 hingga 10 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat di Suria FM. Dalam pada itu, Adibah yang kini sedang giat berlatih untuk Teater Muzikal Chow Kit Road yang akan dipersembahkan di Istana Budaya pada bulan Mei nanti mengakui masih aktif dalam bidang nyanyian dan pengacaraan. "Walaupun saya menjadi seorang penyampai radio sekarang, karier nyanyian, lakonan dan pengacaraan saya tidak ketepikan. Waktu terluang selain di konti saya habiskan untuk menyiapkan album saya yang akan datang. "Tapi saya akan melancarkan single demi single yang hanya menunggu masa yang sesuai sahaja. Kemudian baru dikumpulkan untuk menjadi album," ujarnya. Pelakon filem Nasi Lemak 2.0 itu juga tidak melihat wujud diskriminasi lagu miliknya yang diputarkan di Suria FM. Katanya jika sebelum ini lagunya jarang dimainkan di radio tiada bezanya untuk dia memilih tawaran bergelar penyampai radio. "Saya berfikir demikian sebelum menjadi penyampai radio lagi dan sebab faktor itu saya menerima tawaran ini. Saya tidak bersama Suria FM pun orang tidak mainkan lagu saya, jadi apa bezanya sekarang? "Saya ada lebih 20 buah lagu daripada dua buah album saya selama tujuh tahun dalam industri dan saya tidak nampak diskriminasi di Suria FM kerana sebelum ini pun lagu saya berkumandang di stesen radio ini. "Memang betul keputusan untuk sesebuah lagu itu diputarkan di radio datang daripada orang atasan dan kini saya sudah sedikit sebanyak faham sistem putaran lagu di radio," katanya yang tidak pernah lagi memainkan lagu sendiri di Suria FM dan mendapat layanan sebagai penyanyi seperti artis lain. - KHAIRUL AMRI HASSAN

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails