Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Awie-Erra tiada sembilu

MENGURAI simpulan emosi yang berbaki dalam hati Awie dan Erra Fazira merupakan satu misi yang menggetarkan mata pena. Ibarat menyelak buku lama, terkasar sedikit pasti helaian usang terkoyak. Bersarang juga kebimbangan, mampukah akal menguasai pertimbangan perasaan. Itu sekadar bayangan awal. Tatkala mendekati pasangan dua sejoli yang telah lama bercerai kasih itu, segala tanggapan yang liar tadi meleset tanpa sipi. Apa yang terlihat jelas, ada bunga-bunga kemesraan berkuntum daripada patah bicara mereka. "Siapa yang menyebabkan awak terjebak dengan dunia permotoran ini," tebak Awie dalam satu temu ramah bersama wanita yang digelar primadona filem Melayu itu. Jawab Erra: "Ala, saya ada ramai kawan lelaki lagi pun bekas saya dahulu pun (bekas teman lelaki), mat motor" Segmen dalam program Tunggu Sekejap kendalian Awie yang mengundang Erra sebagai salah seorang tetamu di studio itu memecahkan hilai semua penonton. Situasi itu cukup sebagai pengenalan kepada penyatuan semula 'AwieErra' dalam satu dimensi yang cukup manis. Bukan itu sahaja, mereka juga melakonkan semula sebuah adegan romantik yang dipetik daripada filem Sembilu. "Mula-mula hendak melangkah masuk menjadi tetamu Awie, perasaan gemuruh dan berdebar itu memang terasa. Saya terfikir anggapan orang luar terhadap kami. Anggapan itu sebenarnya yang merosakkan keadaan. Sebelum ini, saya dan Awie sendiri pernah bekerjasama dalam filem Cuci. Akhirnya, ini satu kolaborasi yang menyeronokkan," lentur Erra sekali gus melerai sedikit gusar pada temuramah yang eksklusif itu. Selepas Cuci ditayangkan pada tahun 2008, inilah buat pertama kali dalam lima tahun kebelakangan ini, pasangan yang pernah memutuskan pertunangan pada hujung tahun 1998 itu diganding semula dalam sebuah program hiburan. "Tipulah kalau tiada perasaan gementar. Penonton yang datang juga beri impak yang berlainan sehingga mendatangkan rasa kurang selesa. Tapi bila sudah lebih 30 minit rakaman, barulah okey. Apa yang dijangkakan oleh penonton? Lain jadinya. Kami hanya bekerja dan harus bertindak secara profesional," Awie pula melenturkan perasaannya. Vokalis grup Wings itu menjelaskan, ura-ura untuk membawa masuk Erra bertamu ke ruang kerjanya sudah lama dibincangkan pihak produksi. "Hal ini tidak menjadi satu masalah buat saya, seperti kata Erra, kami memang sudah pernah bekerjasama dalam Cuci. Orang luar sahaja merasa pelik bagaimana kami boleh bekerjasama. Sedangkan tidak pelik pun," sambung hero filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Moon dan Jin Pakai Toncit itu selamba. Erra, Awie saling memuji Sudah adat menjadi anak seni yang berkongsi gelanggang, bersilat ke kiri atau ke kanan, mereka pasti mendengar sorak yang sama. Mata penonton juga sering mahu melihat apa yang sudah lama mereka tidak saksikan. Mencari simpulan kepada kisah cinta tak kesampaian antara hero dan heroin bernama Erra dan Awie, terserlah sebuah pernyataan yang selama ini jarang ditanya. Di sebalik takdir yang tidak mengizinkan mereka bersatu, rupa-rupanya tidak memutuskan Erra dan Awie untuk saling mengagumi antara satu sama lain. "Selepas filem Sembilu, Erra buat Janji Diana dan macam-macam lagi. Jika tidak tonton pun, saya boleh tahu daripada surat khabar. Sejujurnya, saya bangga dengan kesinambungan kariernya yang tidak putus-putus. "Saya juga mengembangkan karier dan syukurlah kami masih diberi peluang. Bagi saya, apa yang berlalu biarlah berlalu. Kita tutup buku lama dan buka buku baharu. Ini terbaik untuk kami. Masing-masing sudah berkeluarga, ada karier dan kehidupan sendiri. Benda sudah baik dan tak perlu lagi hendak keruhkan keadaan. Jika ada lagi peluang untuk bekerjasama, saya okey," jelas Awie yang harus membayar 'hutang' atas penglibatan Erra ke dalam programnya kali ini. "Haruslah, kalau dia tak mahu terima undangan saya ke Primadona, kira kami bermusuh semula," sampuk Erra secara berseloroh. Tambah Awie: "Saya kagum dengan keseriusan dan kejujuran dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan Erra selama ini sehingga dia berjaya dapat pengiktirafan sebagai pelakon terbaik." Tunduk sambil pandangannya dilabuhkan ke lantai tanpa menunjukkan reaksi bagaimana yang harus diberikan atas pujian Awie, Erra kemudian diminta mengulas topik yang sama. "Satu perkara yang tidak berubah tentang Awie, dia tetap rockstar dari dahulu sampai sekarang. Dahulu dia penyanyi dan pelakon tapi sekarang lakonannya sudah pelbagai. Dahulu kalau bukan filem romantik, mesti filem aksi tapi sekarang dia sudah boleh buat komedi dan jadi lebih versatil. Sekarang, kehidupan dan kekeluargaannya berjalan seiring. Sebagai kenalan lama Awie, saya bangga dengannya," ungkap Erra sarat kejujuran dan melihat Awie tidak luput ditelan zaman. Kenangan Awie dan Erra sebagai hero dan heroin filem Melayu masih terpahat kemas di hati ramai. Tidak mustahil, jika ada peluang dan ketentuan dipertemukan semula secara profesional, mereka tidak menolak. Ujar Erra tentang kemungkinan kolaborasi ini terjalin, primadona anak satu itu menjawab: "Ini merupakan titik mula untuk memberitahu khalayak bahawa kami tidak ada masalah." Tambah Awie: "Ya, selama ini pandangan orang ramai yang membuatkan kami susah dekat. Benda sudah lepas, jangan jadikan tembok untuk tidak bertegur sapa. Perkara yang lepas itu, lepaslah." Tidak mustahil peminat akan melihat kerjasama lebih hebat membabitkan dua nama besar ini dalam naskhah tempatan. Apa yang pasti, banyak mata yang mahu melihat kerana keserasian mereka sebagai anak seni tidak pernah ditolak zaman dan rasa.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails