Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hans sedih 'ditinggalkan'

SEBELUM ini tidak banyak yang dikongsikan pelakon kacak, Hans Isaac tentang pemergian ibunya, Carmina Anciano Isaac yang meninggal dunia pada Oktober 2012. Hanya baru-baru ini, Hans berkongsi bagaimana perasaan kecewa, sedih dan rasa kehilangan yang ditanggungnya selepas pemergian ibu tercinta yang meninggal pada usia 74 tahun. Sebagai anak tunggal yang sangat rapat dengan ibunya apatah lagi selalu menjaganya ketika sakit, Hans mengakui, dia memerlukan banyak masa untuk menguatkan kembali semangatnya, menjalani kehidupan tanpa insan tersayang. "Saya tidak kongsi dengan ramai orang mengenai perkara ini sebenarnya. Kesedihan, rasa kehilangan itu tidak dapat saya ceritakan. Ia sesuatu yang memeritkan. Ada kalanya kalau fikiran saya tengah kusut, saya sampai tersasul singgah ke rumah ibu saya," beritahu Hans. Menurut aktor berdarah Serani ini, pada awalnya dia sukar menerima hakikat kehilangan itu. Bagaimanapun beberapa bulan kemudian, dia semakin pulih dan menjalani kehidupan dengan lebih baik. "Memang sukar kerana semasa sakitnya, saya yang menjaga ibu dalam jangka masa yang lama. Bapa saya terlibat kemalangan ketika usia saya masih remaja dan tanggungjawab menjaga ibu terletak pada saya ketika itu. "Saya menjaga dia hingga ke akhir hayatnya dan dia menghembuskan nafas terakhir di hadapan mata saya," tuturnya perlahan, berkongsi perasaan. Menurut Hans, itu adalah realiti kehidupan yang harus diterima oleh sesiapa sahaja dan ia juga banyak memberi pengajaran buat dirinya. "Saya belajar sesuatu yang matang. Hidup ini hanya sementara. Jika kita ada peluang, kita harus lekas mengambil peluang itu, dan tidak harus sia-siakannya begitu sahaja," jelasnya sewaktu ditemui di majlis tayangan Lawak Ke Der 2 di Damansara, Selangor, baru-baru ini. Cabaran baru Sementara itu, membuka tirai tahun baru dengan sesuatu yang baru, Hans Isaac bakal muncul dengan filem terbaharunya, Lawak Ke Der 2. Lawak Ke Der 2 diangkat daripada sebuah pementasan lawak di Istana Budaya melibatkan pelawak-pelawak terkenal di tanah air termasuk, Afdlin Shauki dan Haron Salim Bachik (Boboy), Johan dan Zizan Razak (Jozan), Harith Iskandar dan Nabil Ahmad. Walaupun nama-nama yang terlibat dengan pementasan yang difilemkan ini adalah mereka yang boleh dijadikan tarikan, tetapi adakah ia mampu mengubah fikiran untuk penonton tempatan menyaksikan genre baru komedi seperti ini di pawagam? "Itu memang saya sangat risau tetapi saya jadikan ia sebagai satu cabaran. Susah sebenarnya hendak mengubah satu pementasan ke dalam filem. Banyak perkara yang perlu diambil kira. "Contohnya masa pementasan, durasinya ialah selama dua jam tetapi untuk tayangan pawagam kita terpaksa potong sehingga menjadi 105 minit sahaja. "Ada juga saat-saat kelakar semasa di pementasan yang saya suka tetapi tidak boleh dimasukkan kerana kita kena fikir untuk adegan seterusnya pula, itu yang menjadi cabaran," katanya. Tambah Hans lagi, ada ketikanya dia berasa begitu tertekan dan sudah tidak larat untuk meneruskan projek ini kerana cabarannya yang terlalu tinggi. "Saya tumpukan pada benda ini sahaja selama dua bulan. Selama dua bulan melihat rakaman ini dan saya akui, saya memang tidak cukup tidur ketika itu. "Malah ada juga ketikanya saya sudah tidak larat dan kebuntuan idea kerana ada adegan yang kita sudah masukkan, tatapi terpaksa buang semula kerana faktor kekangan masa untuk tayangan di pawagam," jelasnya. Menurut Hans, selagi ia belum ditayangkan di pawagam, masih menjadi kegusaran baginya sama ada penonton mampu menerima genre filem sebegini atau tidak. Bagaimanapun, dia tetap meletakkan harapan yang tinggi untuk filemnya kali ini. "Ini adalah genre filem yang baru di negara kita. Malah, kita tidak pernah lagi tonton filem sebegini untuk tayangan di pawagam tempatan," ujarnya. Untuk menghadapi cabaran sebegitu, Hans melalui syarikatnya, Tall Order Production (TOP) mengeluarkan sebahagian jumlah besar untuk promosi filem ini sahaja. "Ya, kita akui memang bajet yang besar kita keluarkan untuk promosi filem ini. Kita keluarkan sebanyak RM500,000 kerana ia sesuatu yang baru dan kami percaya promosi yang dilakukan akan membantu filem ini di pawagam," katanya. Selain itu, jelas Hans, mereka yang sudah menonton pementasan Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya juga harus menyaksikan ia semula di pawagam. "Untuk tayangan di pawagam, kita rakam persembahan di minggu ke enam dan ke tujuh dan sesiapa yang melihat pementasan pada minggu sebelum itu, lawak yang dipersembahkan tidak sama. "Lagipun untuk tayangan pawagam, saya pilih dahulu bahagian-bahagian lawak yang betul-betul menepati perasaan penonton. "Bukan senang sebenarnya sebab kadang-kadang, lawak kita tidak menjadi dan biasanya lawak-lawak spontan yang mendapat sambutan. Jadi, saya pilih saat-saat seperti itu untuk dimasukkan ke dalam filem," ujarnya. Bagi Hans, ini adalah sesuatu yang baru dalam industri komedi tempatan dan ia adalah peluang untuk pelawak-pelawak memperdagangkan isi lawak mereka. "Setiap orang ada pelaburan masing-masing dalam dunia seni. Begitu juga dengan pelawak dan dunia komedi. "Dengan cara ini, mereka sebenarnya dapat memperdagangkan lagi isi komedi yang dilakukan kerana nilai pelawak terletak pada 'isi lawak' mereka itu sendiri," jelasnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails